RSS

MELAYU YANG “MATI AKAR”

16 Dis

Jangan hanya bercakap soal pucuk dan bunga

pucukTelah banyak forum, kuliah, ceramah dan bahan-bahan didikan yang bermesej Islam muncul di tengah ma­syarakat. Malah kumpulan-kumpulan nasyid juga semarak tumbuh dengan banyaknya. Produk-produk berjenama “Islamik” pun semakin melambak di pasaran. Tetapi anehnya, masalah sosial dan keruntuhan moral juga semakin ber­tambah. Media pornografi, sumbang mahram, dadah dan macam-macam lagi juga semakin berleluasa. Di mana salahnya? Mung­kin­kah pendekatan kita untuk menyelesaikan masalah-masalah ini sudah tersasar?

Hingga dengan itu penawar yang kita pilih sudah tidak berkesan lagi. Atau kita berlegar-legar pada “pucuk” masalah sedangkan masalah sebenar terletak pada “akar”nya. Ya, boleh kita katakan masyarkat kita sudah lama “mati akar” (walaupun kebanyakan masyarakat lebih gemar bercakap soal mati pucuk…). Ya, akar dalam diri kita sudah semakin tumpul daya tahan, daya saing dan kemampuannya untuk menolak keburukan dan kejahatan yang datang menggoda dengan wajah yang begitu menggiurkan!

Begitu ketara betapa lambakan maklumat dan ilmu ten­tang kebaikan hanya bagaikan pelita yang diletakkan di atas atap rumah. Apa gunanya? Justeru di dalam rumah tetap bergelap kerana cahaya pelita hanya tersebar di atas atap. Begitulah, jika ilmu tidak meresap menjadi keyakinan di dalam hati. Ia tidak mendarah daging untuk dapat di­praktik­kan. Cahayanya hanya tersebar di luar diri – dalam bentuk lisan dan slogan. Soalnya sampai bila kita harus begini?

Apabila bergaul dengan masyarakat, bermacam-macamlah keluhan dan rintihan yang kita dengar. Masyarakat mengeluh tentang kerosakan anak, ketidaksetiaan isteri, kekejaman suami, ketidakadilan pemimpin, kedegilan pekerja, keegoan majikan, kepincangan rumah tangga, kelesuan organisasi dan bermacam-macam lagi.

Di dalam diri, ramai yang masih tercari-cari kekuatan dalamannya untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dan ujian hidup. Manakala di luarnya pula, terjadi macam-macam krisis dan pertelingkahan yang tidak sudah-sudah. Alhasil, bertemulah dua kekecewaan. Kekecewaan terhadap diri sen­diri dan kekecewaan terhadap orang lain. Dua kekecewaan ini sahaja sudah cukup untuk “melemahkan” manusia moden yang kononnya serba canggih dan serba “super” ini. Ke­mis­ki­nan, kegagalan, kesakitan dan kesempitan hidup terus me­landa manusia kerana itulah hakikat hidup, tapi yang anehnya manusia moden seolah-olah tidak pernah matang meng­hadapi­­nya walaupun kecanggihan ilmu dan teknologinya se­makin meningkat.

Berani saya katakan masalah-masalah itu berpunca daripada satu masalah lain – yakni kebanyakan manusia gagal melihat secara tersirat tentang sesuatu permasalahan. Berdepan dengan persoalan ini kebanyakan kita hanya melihat hal-hal yang tersurat. Fokus kita hanya terbatas untuk melihat buah atau kesan sesuatu masalah sahaja. Tidak menyelam ke dalam untuk mencari hakikat yang tersirat atau punca sebenar sesuatu perkara. Akibatnya, jalan penyelesaian yang kita pilih selalunya terpusat pada soal-soal “kulit” bukan lagi pada isi atau inti sesuatu masalah.

Kita gemar menggunakan yang “lahir” untuk mengawal yang “batin”. Sedangkan hakikat manusia itu bukan lahiriah­nya tetapi batinnya – akal, hati, perasaan dan nafsunya. Murid yang jahat, perketatkan disiplin. Isteri yang tidak taat, longgokkan harta. Pekerja yang malas, potong gaji. Majikan yang tamak, boikot. Pemimpin yang zalim, demonstrasi. Membuang sampah, denda. Mengedar dadah, gantung! Ini pen­dekatan yang tidak tepat. Umpama hendak memadam lampu eletrik hanya dengan meniupnya… tidak mungkin. Yang tepat ialah kita cari suisnya. Lalu dimanakah “suis” yang mengawal perilaku manusia?

Bukan sahaja pakar agama, malah pakar psikologi, motivasi dan pendidikan telah sepakat bahawa manusia itu ialah apa yang diyakininya. Istilah yang selalu digunakan untuk keyakinan ini ialah “belief system”. Keyakinan ini dibentuk oleh prinsip fitrah insani dan juga soal keimanan yang bersumber daripada wahyu. Dalam Islam elemen ini di­namakan akidah atau iman. Bila keyakinan sudah teguh, maka terbentuklah apa yang dikatakan “world-view” atau pandangan alam – yakni bagaimana kita melihat kehidupan, diri dan alam ini. Dari sini terbentuklah sistem nilai. Sistem nilai ini ialah penentu dalam diri yang mempengaruhi pilihan seseorang. Dia akan memilih sesuatu yang dilihatnya bernilai dan meninggalkan sesuatu yang tidak bernilai. Akhirnya, inilah yang membentuk sikap dan kelakuan seseorang.

Soalnya, berjayakah kita menanam soal keyakinan, pandangan alam dan sistem nilai dalam diri generasi kita? Guru dan ibu bapa selalunya berjaya mengajar ilmu matematik, sains dan geografi tetapi mereka gagal me­nanam nilai-nilai dalam diri anak atau murid mereka. Bagai­mana mengajar dan mendidik tentang nilai jujur, integriti, sabar, syukur, amanah dan sebagainya? Dan sebelum itu bagaimana para guru menanam soal keyakinan dan memandu pelajar mempunyai pandangan alam yang betul dan benar? Ya, sekali lagi saya katakan ini soal yang maknawi (abstrak) – tidak nampak. Inilah yang saya katakan sejak tadi, ini soal akar – soal yang hanya mampu dilihat secara tersirat. Pelukis misalnya, bila melukis pokok tidak melukis akarnya… Yang dilukis dan diwarnakan hanya batang, dahan, ranting dan buahnya.

Alhasil, hidup zaman ini terlalu bergantung kepada akta, undang-undang, ganjaran, hukuman dan peraturan. Manusia menjadi semakin liar kerana cuba dikawal dari luar, bukan dari dalam. Jarang-jarang kita cuba menyelami dan mengenal diri manusia – melihat dengan “mata hati” ke dalam akar diri­nya. Apakah sebenarnya yang mengawal perlakuannya? Apa­kah hakikat manusia itu? Maaf, saya bukan bercakap soal falsafah atau ilmu hakikat yang tinggi melangit, tetapi sebagai manusia saya kira semua orang harus mengenal siapakah dirinya sebenar. Kita perlu tahu apa yang mengawal diri kita barulah kita mampu mengawal segala-galanya. Kita perlu mengenal “anggota” dalaman kita sepertimana kita mengenal anggota luaran kita – hidung, mata, kaki dan muka kita. Bagai­mana hati, nafsu, emosi dan akal kita?

Sudah terkenal kata hukama, “Barang siapa mengenal dirinya, maka dia akan mengenal Tuhannya.” Kata ini pendek tetapi dalam maksudnya. Manusia yang kenal dirinya sahaja yang dapat mengenal Tuhan. Justeru, manusia yang tidak kenal Allah – nama, sifat dan perbuatan-Nya, bolehlah kita katakan dia tidak kenal dirinya sendiri (atau lupa diri). Kita tidak kenal diri kita yang kerdil, lalu dengan itu kita tidak kenal betapa besarnya Tuhan. Kita tidak kenal diri kita lemah, kita sangka kita kuat dan bijak. Lalu kita tidak terasa lagi betapa perlunya Allah dalam kehidupan kita.

Lalu jarang kita merujuk kepada Allah – untuk menerima panduan, petunjuk dan pimpinan-Nya. Bagaimana kehendak, perintah dan kemahuan-Nya? Maaf, tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa manusia semakin angkuh dan merasakan mereka mampu menyelesaikan masalah dunia ini tanpa perlu­nya Tuhan. Sedangkan dia diciptakan, bukan pencipta. Se­bagai yang dicipta dia perlu tahu apa tujuan ia diciptakan. Dan untuk tahu apakah tujuan ia diciptakan perlulah dia merujuk kepada Penciptanya (Tuhan). Malangnya, ini tidak berlaku. Akibatnya, manusia semakin tidak pasti apakah sebenarnya missi – “reason for existence”nya – berada di dunia ini dan ke mana dia akan pergi selepas ini. Manusia hari ini semakin lupa asal, lupa tujuan dan lupa hujung kembara yang tidak dipintanya ini!

Lalu, apa yang terjadi? Terjadilah dilema, jemu, bosan, ragu, marah dan bermacam-macam lagi tekanan akan me­nyerang diri terutamanya bila “skrip” kehidupan tidak sama seperti yang kita harapkan. Apa yang kita kehendaki, tidak dapat. Apa yang dibenci pula yang datang. Kejam! Boring! Tension! Itulah jeritan batin manusia moden apabila hidup di­rasakan serba tidak kena, keliru dan kadang-kadang misteri. Lalu lahirlah suara-suara tertekan seperti, “Batinku menjerit namun tiada suara.” “Tidak kupinta lahir ke dunia.” “Oh, Tuhanku… Kau cabutlah nyawaku.”

Namun hakikatnya hidup ini ialah sesuatu yang pasti dan jitu. “Skrip” dan “lakonan” kita telah ditentukan. Manusia seharusnya tidak lagi terkapa-kapa dengan pelbagai soalan tanpa jawapan di atas pentas dunia jika sentiasa mengikut arahan pengarahnya. Tidaklah nasibnya akan menjadi seperti yang digambarkan oleh sebuah syair Arab yang berbunyi:

“Aku ini siapa?

Alam ini apa?

Manusia ini siapa?

Dari mana aku datang?

Hidup ini apa?

Kematian itu apa?

Bagaimana keadaan akan datang… yang sedang menanti

aku sesudah ini?

Adakah lagi ‘hidup’ selepas hidup ini?”

Inilah “dilema” sama ada disuarakan atau tidak disuarakan oleh manusia zaman moden ini. Walaupun kini teknologi sudah semakin canggih tetapi “tamadun dalaman” manusia masih kuno. Semakin ramai yang tidak tahu jawapan yang tepat terhadap soalan-soalan asasi tentang hidup. Sepertimana kereta yang tidak ada pemandu atau ada pe­mandu tetapi tidak ada arah tujuan, begitu hidup orang yang gagal men­dapat jawapan yang tepat tentang apakah tujuan asasi dalam hidup.

Sakit jiwa, tidak tenang, “tension”, “boredom” menjadi-jadi. Dan akhirnya sudah ramai yang berani membunuh diri kerana takut menghadapi hidup. Malah lebih ramai yang kelihatan pada zahirnya sahaja “hidup” tetapi hakikatnya telah mati kerana “akar” dalam dirinya telah reput. Yang berani mati kerana takut hidup membunuh diri sendiri. Manakala yang masih hidup pula jadi seperti kata pepatah “hidup segan, mati tak mahu”. Sedangkan, kita sepatutnya hidup selagi hidup. Maksudnya, kita mesti berani, tabah, gagah, cekal dalam menghadapi hidup.

Anda mungkin bertanya apa guna memeningkan kepala memikirkan soal ini. Ini persoalan yang tidak relevan. Mung­kin sebagai seorang ketua jabatan anda akan bertanya, “Apa kaitannya semua ini dengan tugas pengurusan dan pen­tadbiran saya?“ Atau separuh sinis dan “sceptical” seorang korporat menyindir, “Apakah ini akan menambahkan pro­duktiviti dan kualiti produk dalam syarikat perniagaan saya?” Para pelajar pula akan mencelah, “Buat apa pening-pening kepala tentang ini, bukannya disoal dalam exam!” Begitu juga para jurutera, peguam, guru, pembantu pejabat, buruh, suri rumah, ayah dan anak-anak… mungkin tertanya-tanya bagaimanakah persoalan-persoalan asas ini boleh membantu anda melaksanakan tugas dan hidup seharian?

Ingin saya tegaskan, mahu tidak mahu, sudi atau tidak, kita akan memikirkan hal-hal ini. Sama ada pada waktu terdekat atau pada waktu lain. Cuba perhatikan sejak dunia dilanda isu keganasan dan kegawatan ekonomi ini semakin ramai yang kembali kepada agama. Di Amerika dan Eropah sendiri, bilangan orang kembali kepada agama semakin ramai (malah yang memeluk Islam juga semakin ramai). Mungkin secara sinis ada yang berkata, “Padan muka dah susah, barulah nak ingat Tuhan.” Tapi syukurlah, itu masih baik. Lantaran ada manusia yang tetap lupakan Allah meskipun telah dilanda berbagai-bagai kesusahan.

Syukurlah jika kita “dipaksa” kembali kepada Allah bersama datangnya “cambukan” peringatan berupa kesusahan demi kesusahan. Kini telah banyak Bahagian Sumber Manusia dalam organisasi korporat berbicara tentang penanaman dan penyuburan nilai-nilai. Semakin sedar betapa penting “value based organisation” dibentuk menjadi budaya kakitanganya. Dan kini nilai-nilai Islam semakin diambil untuk membentuk dan melahirkan kakitangan yang cemerlang. Sayangnya, akibat begitu lama meminggirkan Islam dalam sistem pentadbiran dan pengurusan kekadang ramai yang masih keliru walaupun keinginan kepada Islam sudah ada.

Ada yang tidak dapat membeza dan memilih keutamaan. Jika Islam umpama sebatang pokok, ada yang keliru dan sukar membezakan yang mana satu buah, akar, daun dan batang. Ada juga yang masih melihat Islam menerusi dimensi yang terpencil dan terpinggir dalam arus kehidupan yang global dan mencabar. Maka lahirlah Islam serpihan yang tertumpu pada juzuk-juzuk tertentu sahaja. Yang cenderung kepada soal ekonomi, fokusnya cuma Islam ekonomi, Islam pentadbiran dan pengurusan serta soal-soal fardu kifayah sahaja. Manakala yang cenderung pada Islam ritual, fokusnya hanya pada solat, puasa dan soal-soal fardu ain sahaja. Ramai yang mengambil Islam untuk memenuhi kepentingan diri dan kelompok semata.

Bila perniagaan merudum, Islam dilihat sebagai tempat merintih dan mengadu… Bila kakitangan bawahan mem­be­ron­tak, Islam dilihat sebagai faktor penjinak… Bila ke­dudu­kan kewangan goyah, Islam dilihat sebagai “panadol” untuk menghilangkan kerunsingan… Islam jadi semacam “escapis­me”, tidak lagi dilihat sebagai penggerak, pencatur dan penyelesai masalah. Alhasil, Islam dipilih secara reaktif bukan proaktif untuk membina kemajuan dan kejayaan. Dalam program latihan dan pendidikan di sekolah, organisasi dan keluarga elemen Islam kekadang macam “nasi tambah” sahaja. Ia tidak menjadi teras untuk menjana pencapaian program latihan itu secara keseluruhan tetapi cuma diterap dan menampung sedikit-sedikit secara pinggiran.

Malah adakalanya Islam hanya pada tajuk dan istilah, tetapi isinya masih sarat dengan nilai-nilai Barat. Saya bukan anti-Barat. Ilmu yang benar tidak kira Timur atau Barat adalah hak kita umat Islam. Pada saya, nilai-nilai teras yang ada dalam kitab-kitab besar para ulama khususnya dalam bidang membentuk dan mendidik manusia perlu disampaikan dengan pendekatan kontemporari terkini dan diperkuat hujah­nya dengan kajian saintifik (tidak kira dari Barat atau Timur). Saya teringat satu kaedah dalam Islam yang ber­bunyi:

“Hikmat ilmu pengetahuan merupakan hak orang Mukmin (pada asalnya). Maka di mana sahaja mereka menemuinya, merekalah yang lebih berhak terhadapnya.”

Nilai Asia – semangat Bushido, strategi Sunt Tzu, Kai Zen atau apa sahaja boleh luruh. Tetapi roh dan fikrah Islamiah tidak akan dapat dibunuh kerana ia milik Tuhan. Kita yakin umat Islam akan terus berjuang – sama ada di bidang fardu ain melalui solat, puasa, haji dan zakat dan juga di bidang fardu kifayah – soal ekonomi, perniagaan, pentadbiran, pengurusan dan pembangunan untuk meletakkan dasar-dasar Islam menjadi asas dan teras pembangunan rohaniah dan material dalam era globalisasi ini. Ya, marilah dalam tempoh kegawatan ekonomi yang mungkin akan mengecutkan sedikit “perut” dan “mulut”, kita mengorak langkah untuk menyuburkan “hati” dan “budi” di dalam. Marilah kita bicarakan soal “akar” setelah sekian lama kita bercakap soal “pucuk” dan “bunga”!

 
2 Komen

Posted by di 16 Disember 2008 in Politik / Siasah

 

Label:

2 responses to “MELAYU YANG “MATI AKAR”

  1. izharhadafi

    13 Mac 2009 at 8:14 am

    saya menemui blog saudara melalui laman Ust Zaharudin.

    setuju dengan pendekatan Islam untuk merungkai segala permasalahan ummah.

    hanya jihad (ekonomi, politik, etc.) dapat menterjemahkan segala konsep ‘lengkap’nya Islam itu kepada realiti.

    dan jalan jihad inilah yang payah hendak di lalui oleh muslim di zaman ini (saya termasuk), apabila rebung sudah menjadi buluh..

    wallahu’alam.

     
  2. munirah sulaiman

    8 Julai 2009 at 9:44 pm

    Salam ustaz.

    Addicted nak baca artikel ustaz, daunting tapi sangat satisfying. Sangat. Alhamdulillah.

    Jadi saya pilih tajuk yang mengujakan as the first few ones.

    Tahniah ustaz. Jazakallah. Betul-betul mind-blowing, eye-opener. InsyaAllah, harapan agar kita sentiasa dilimpahi hidayah, berada terus-terusan di jalan yang benar. Di samping kekuatan, perbaiki akhlak dan akidah, InsyaAllah :)

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,222 other followers

%d bloggers like this: