RSS

MEMBINA KEMATANGAN BERPOLITIK ORANG MELAYU

16 Dis

Uruskan perbezaan, manfaatkan persamaan!

Survival bangsa Melayu, yang pada sesetengah pihak sangat sinonim dengan soal ketuanan Melayu, sangat bergantung kepada kuasa politik. Selagi Melayu menguasai politik, selagi itulah Melayu akan terus kuat dan berdaulat. Demikian ke­yakinan yang sering dilaung­kan oleh se­se­tengah pihak untuk menunjukkan betapa satu-satunya tempat orang Melayu berpaut bagi memper­tahankan keutuhan dan maruah ialah kuasa politik. Realitinya pencapaian di bidang ekonomi dan ke­cemerlangan dalam bi­dang akademik orang-orang Melayu masih belum mencapai tahap yang boleh di­banggakan. Melayu masih perlukan sistem kuota, subsidi dan “imuniti” untuk menghadapi cabaran globalisasi.

Ironinya politik yang dianggap kotor itulah nampaknya terus menjadi benteng terakhir untuk memper­tahan­kan orang Melayu agar tidak menjadi “hamba” dengan gelaran ketuanannya. Namun apakah orang Melayu sudah matang dalam berpolitik hingga membolehkan mereka terus mempertahan­kan kuasa pada masa akan datang? Atau di bidang ini pun sesuatu yang negatif sedang berlaku yang mana jika tidak di­tangani dengan tepat akan meng­hakis kuasa politik Melayu?

Inilah per­soalan yang bukan sahaja menarik untuk di­fikirkan tetapi sangat kritikal untuk di­selesai­kan. Lebih-lebih lagi selepas pilihan raya ke-12 yang pada sesetengah pihak telah menghakis kekuatan politik orang-orang Melayu. Sesetengah ahli akademik beranggapan bahawa gaya dan pola politik Melayu masa kini begitu celaru dan tidak menun­juk­kan satu kematangan selaras dengan usia demokrasi di Malaysia. Ini kerana orang Melayu yang ter­pecah ke­pada dua ke­lompok besar parti politik (satu kerajaan dan satu pembangkang) yang telah saling ber­cakaran tidak kira musim, tempat dan subjek. Berbeza dengan bangsa lain yang kelihatannya lebih bijak “menguruskan” perbezaan dan “memanfaatkan” persamaan tanpa terikat dengan “baju” kepartian!  

Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur oleh lautan api per­musuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak. Cara menyerang lawan begitu agresif hingga boleh me­letakkan situasi pada keadaan “kalah jadi abu, menang jadi arang”. Per­tembungan bukan sahaja berlaku pada musim pilihan raya tetapi terus berlaku pada setiap masa dan perkara. Pihak yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menjolok yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus meng­henyak yang di bawah. Terlupakah kita bahawa kerja untuk “membina” sesungguhnya masih banyak? Mengapakah kerja untuk “meruntuh” pula yang jadi keutamaan?

Sekadar perbandingan rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika Syarikat misalnya. Biasanya apa­bila terjadi pertandingan merebut jawa­tan presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Namun apabila keputusan pemilihan presiden diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W. Bush dalam Pilihan­ raya Presiden Amerika suatu masa dulu) kedua-duanya merujuk kes itu ke mahkamah. Setelah mahkamah memutuskan yang Bush adalah pe­menang mutlak, Al Gore menerimanya dan berkata, “Bush ialah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu kata-mengata, tuduh-menuduh, tidak berlaku lagi. Pemimpin yang terpilih boleh terus menjalankan tugasnya, manakala yang kalah, akur dan sanggup memberi ketaatan sebagai rakyat.

Selepas itu rakyat Amerika tidak kira anggota Parti Demo­krat atau pun Re­publikan, terus berkerja membina ne­gara dengan polisi dan prinsip yang dibuat oleh parti Re­publikan yang telah diamanahkan membentuk kerajaan. Masing-masing berfikir dan bertindak bagaimana hendak membela kebajikan rakyat dan keutuhan negara se­panjang tempoh pemerintahan parti Republikan. Jika adapun kritik­an, ia disuarakan secara matang di meja perundingan yang melibatkan wakil-wakil yang wibawa dan kompeten. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat, di seluruh tempat dan di semua perkara secara caca-marba.

Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, para profesional, ahli akademik, golongan pekerja dan petani tidak sibuk “berpolitik” kerana mereka telah memberi tumpuan dan disibukkan oleh tanggungjawab dan peranan di bidang masing-masing. Kerajaan pada ketika itu, lebih berperanan sebagai jentera negara secara meluas bukan lagi sebagai jentera parti yang sempit. Sebagai balasan, kerajaan akan menerima komitmen serta kesetiaan bukan sahaja daripada anggota parti pemerintah tetapi daripada seluruh rakyat. 

Melihat kepada perbandingan tersebut, jelas kematangan berpolitik seumpama itu belum ada di kalangan orang Melayu di negara kita. Sama ada di pihak mana pun, masing-masing masih kuat terikat dengan ke­penti­ngan parti walaupun musim pilihan raya telah berlaku. Akibat­nya, yang menang gagal “mengisi” kemenangan, manakala yang kalah pula terus “menyalak bukit”. Apa sahaja yang dikatakan “putih” oleh satu pihak, pihak yang sebelah lagi akan berkata “hitam”.

Dan rakyat se­luruhnya turut ter­heret dalam gaya politik “separuh masak” ini ke jabatan kerajaan, syarikat swasta, pusat pengajian tinggi, masjid, sekolah, kedai kopi, kaki lima dan tempat-tempat lain. Akibatnya, orang Melayu ber­politik hampir setiap masa, tempat dan perkara. Sikap prejudis – menghukum sebelum mengadili sering terjadi. Hanya kerana seseorang daripada parti lawan, maka cakapnya tentu tidak benar!

Malah lebih parah lagi bila keputusan, pertimbangan, pe­nilaian dan pengkajian terhadap sesuatu tidak lagi bersandar­kan pada etika kerja, disiplin ilmu atau sikap profesional dalam sesuatu bidang, tetapi lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian. Untuk memberi sesuatu jawatan misalnya, perlu diteliti si polan orang parti mana? Kekadang untuk mem­beri satu tender atau kenaikan pangkat, terlebih dahulu diselidiki pegangan politik seseorang berbanding kemampuan di bidang yang berkenaan. Walaupun praktik ini belum menyeluruh, nampaknya ia mula membenih dalam amalan politik orang Melayu.

Budaya negatif ini akan merugikan bangsa Melayu secara khusus dan negara secara umum. Politik kalah mati yang di­amalkan sekarang jika tidak ditangani dengan baik, akan menyebabkan orang Melayu menjadi semakin emosional dalam menghadapi sesuatu isu sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Sikap profesional berdasarkan analisa ilmu dan kepakaran di bidang-bidang ter­tentu akan terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen ke­partian yang melampau. Misalnya, seorang pentadbir yang cekap dan amanah mungkin boleh tersingkir kerana adanya calon lain yang lebih diyakini pendirian politiknya oleh sesuatu pihak. Ataupun ada pula pentadbir atau pengurus yang bertindak atas sentimen kepartian bukan atas penilaian ilmu dan etika bidang kepakarannya (walaupun ia memiliki kemampuan itu) dalam jabatan, agensi dan unit yang diterajuinya.

Bayangkan apa akan jadi jika sesuatu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seluruhnya telah disorot oleh seorang pentadbir, pengarah atau pengerusi melalui kaca mata pemikiran dan jiwa yang le­bih dipengaruhi oleh untung rugi parti yang disokongnya? Jika sikap yang sama menular ke bidang pendidikan, eko­nomi, budaya, sukan dan lain-lain maka lama-kelamaan akan berleluasalah penguasaan tenaga kerja yang tidak pakar di semua bidang di semua peringkat. Yang dominan nanti ialah tenaga yang hanya ada ketaatan tetapi tidak ada kepakaran. 

Orang Melayu perlu ingat, bahawa semakin mereka ghairah bergaduh (atas justifikasi apa pun), pihak lain lebih bijak bertindak dengan menyodorkan agenda kepentingan mereka. Di sudut ini nampaknya parti-parti bangsa lain lebih matang kerana walaupun dalam parti yang berlainan tetapi sama-sama menjaga kepentingan. Mereka lebih rasional untuk menimbang dan membuat pilihan. Kematangan ini dibuktikan dalam Pilihan raya 1999 dan 2008 yang lalu apabila orang Cina “tahu” siapa yang harus mereka pilih untuk menjamin status ekonomi dan sosial mereka. Mereka lebih bijak untuk melihat banyak titik per­samaan sesama mereka (walaupun berbeza parti) dan berusaha bersama-sama untuk mencapainya.

Nampaknya orang Cina juga bijak dalam menguruskan krisis dan tahu bila mahu berhenti apabila keadaan memerlu­kan mereka bersatu. Inilah kematangan berpolitik namanya. Manakala dalam bidang perniagaan, mereka lebih bersifat objektif… siapa yang dapat menyumbangkan keuntungan dan setia dalam perniagaan, me­reka akan sanggup berkerjasama. Dalam politik, ada disiplin politik, maka dalam bidang perniagaan, pendidikan dan budaya, ada jua disiplin dan etikanya yang tersendiri. Justeru, disiplin politik tidak lagi relevan untuk mendapat per­timbangan yang tidak bias, prejudis dan emosional dalam bidang-bidang yang lain. 

Walaupun ada banyak persatuan tetapi orang Melayu seharusnya punya satu kesatuan. Yang berbeza cuma cara dan kaedah, tetapi prinsip dan matlamat tetap sama. Pada waktu tenang, kaedah yang sesuai dengan ketenangan digunakan, tetapi pada waktu tegang, kaedah yang sesuai dengan keadaan itu pula digunakan. Dalam hal ini sekali lagi kematangan bangsa Cina terserlah.

Pencapaian di bidang ekonomi dan akademik oleh bangsa Cina misalnya, sentiasa diiringi oleh tuntutan-tuntutan politik yang matang dan kena pada masanya. Sebagai contoh, secara berkesan, kaedah ini telah berjaya menambah ruang dan peluang mereka dalam bidang akademik dengan terbinanya berbagai-bagai institusi pengajian tinggi swasta, mengamalkan budaya dan bahasa dengan lebih meluas. Dan nampaknya mereka lebih objektif dan berhati-hati tentang penubuhan Sekolah Wawasan, penerapan bahasa tambahan di sekolah-sekolah rendah dan lain-lain. Ya, parti politik mereka berbeza, tetapi perbezaan itu lebih bercorak “the same differences”.

Di peringkat antarabangsa pula cuba lihat kematangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang politik dan ke­tenteraan ketika berdepan dengan dunia Islam. Sebaik sahaja WTC di­serang mereka terus bersatu dengan Amerika untuk me­me­rangi “keganasan”. Manakala di bindang ekonomi negara-negara Eropah telah ber­jaya mengatasi perbezaan pendapat apa­bila rela menggunakan mata wang yang sama untuk meng­­hadapi era ekonomi global yang lebih mencabar. Me­reka tidak membesarkan krisis yang ada apabila ada cabaran daripada pihak ketiga.

Untuk itu, sejarah pertelingkahan antara Muawiyah dan Sayidina Ali r.a. harus dijadikan iktibar. Perbezaan pandangan antara mereka berdua demi kemaslahatan ummah telah menyebabkan berlakunya perang saudara. Keadaan ini cuba diambil kesempatan oleh pihak ketiga – kerajaan Rom. Wakil Rom yakni pihak luar ketika itu berjumpa dengan Muawiyah untuk menghulurkan bantuan bagi menghadapi tentera Sayidina Ali, namun Muawiyah dengan tegas telah menolak tawaran itu.

Ini membuktikan bahawa Muawiyah tahu batas-batas krisis sesama Islam – yakni jangan sekali-kali bersekongkol dengan musuh yang mempunyai “hidden agenda” untuk menyelesaikan masalah sesama Islam. Justeru, kita lihat betapa empayar Islam terus berkembang di luar jazirah Arab walaupun perang saudara itu berlaku. Juga tidak semua pihak terheret dalam pertikaian politik, para pendakwah, ahli ekonomi, pakar sains dan teknologi terus bekerja di sebalik pertikaian orang politik.    

Malangnya, sering kali kebencian “membunuh” kerasionalan. Kebencian orang Melayu kepada penjajah suatu masa dulu menyebabkan lahirnya se­gelintir mereka yang memilih Parti Komunis Mala­ya (PKM) sebagai cara menegakkan keadilan. Sedangkan komunis juga hakikatnya bukanlah suatu ideologi dan parti yang lebih baik daripada penjajah. Ketidakmatangan ini boleh berulang jika bangsa Melayu tidak mem­punyai ilmu yang cukup untuk menilai. Adakah kebencian terhadap sesama bangsa dan sesama agama(?) mewajarkan kita untuk membuka pintu kepada pihak lain yang siap siaga untuk menangguk di air keruh? Jangan, jangan, jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar!

Oleh itu, barangkali sudah tiba masanya wujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu. Yakni golongan yang boleh dan mampu berpolitik secara matang dan profesional dalam bidang masing-masing. Mereka yang lebih objektif, rasional dan “gentleman” dalam menghadapi perbezaan politik. Namun keprihatinan, kesetiaan, komitmen dan kecintaan mereka ter­hadap agama, negara dan bangsa tidak diragukan.

Aktiviti po­litik mereka mungkin terhad pada musim pilihan raya sa­haja, tetapi sebaik sahaja rakyat membuat ke­pu­tusan dan pemben­tukan kerajaan (sama ada pusat atau negeri) telah disahkan oleh perlembagaan, mereka akan ber­kerja penuh tekun, disiplin dan amanah di sektor-sektor yang telah diper­tanggungjawab­kan.

Jika dasar yang mereka dukung dirasakan tidak sesuai, maka itu tidak dijadikan alasan untuk “mensabotaj” kerajaan (pusat atau negeri) itu “dari dalam”, sebaliknya ditegur dan dibaiki mengikut per­untukan dan peraturan yang sedia ada. Atau jika masih tidak berjaya juga mereka akan “berpolitik” dengan meng­guna­kan kuasa undi yang ada di tangan mereka pada pilihan raya akan datang.   

Perlu adanya golongan menengah Melayu yang mem­punyai pegangan yang mantap dengan Islam di sudut ke­yakinan dan keimanan (fardu ain) sekali gus mempunyai kemahiran dan ilmu dalam bidang-bidang profesional seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, kebudayaan dan lain-lain (fardu kifayah). Dengan sifat Mukmin mereka mampu memperbaiki keadaan orang Melayu yang sedang diserang oleh pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran dan ilmu yang tinggi, mereka mampu menyelesaikan masalah Melayu yang ketinggalan di bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains.

Mereka mungkin mempunyai satu persepsi yang berbeza dengan mengenengahkan satu keyakinan baru bahawa tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh mendakwa survival bangsa Melayu terletak di tangan parti tersebut, tetapi sebalik­nya survival parti tersebutlah yang bergantung kepada orang Melayu sendiri.

Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada “public victory” (pada parti), sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan mem­bina kekuatan diri sendiri (personal victory) terlebih dahulu. Parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan bangsa, negara dan agama tidak boleh berhenti walau apa pun masalah yang melanda parti.

Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kao­mintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara. Begitu juga Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan di mana-mana jua – hakikatnya parti hanyalah satu “jalan” sedangkan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah satu “tujuan”. Matlamat hanya ada satu, tetapi jalan mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk mencapai satu tujuan! 

Pandangan ini seharusnya tidak dicurigai, justeru orang Melayu juga yang akan mendapat manfaatnya jika ada dua bentuk aliran perjuangan di kalangan orang Melayu kini. Tidak kira sama ada aliran yang memperkuatkan parti orang Melayu untuk menguatkan bangsa Melayu ataupun aliran yang menguatkan bangsa Melayu secara langsung tanpa penyerahan total kepada sesebuah parti, maka jika kedua-dua aliran ini bergerak secara lancar, sudah tentu bangsa Melayu-Islam juga akan mendapat manfaatnya.

Inilah ke­matangan berpolitik namanya. Aliran ketiga ini bebas untuk bekerja­sama dengan mana-mana pihak, sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi kor­porat, tanpa melihat dan dilihat secara prejudis. Asalkan pe­luang diberikan, sarana logistik memadai, prinsip asas Islam serta kepentingan bangsa dan peraturan negara dapat dijaga, maka mereka boleh bekerjasama dengan siapa sahaja untuk membina kecemerlangan. Mungkin ini yang dikatakan prinsip “tidak ke mana-mana” tetapi “ada di mana-mana”. 

Idea perlu wujudnya aliran ketiga ini bukanlah untuk lebih memecahkan orang Melayu, tetapi hanya untuk me­nangani perpecahan yang sedia ada dengan satu cara yang lebih matang, diplomasi dan intelektual. Inilah yang berlaku di kalangan profesional, pendakwah dan tenaga kerja Islam sewaktu berlaku perbezaan politik antara Sayidina Muawiyah dan Sayidina Ali. Yang “bergaduh” atas ijtihad masing-masing ialah kedua-dua pemimpin itu… Tetapi golongan profesional Islam yang lain terus menumpukan kepada bidang dan pe­ranan masing-masing. Sebab itu sejarah membuktikan bahawa per­kem­bangan dakwah Islmiah, ilmu pengetahuan Islam, empayar Islam dan kemajuan-kemajuan yang lain tidak te­rencat sekalipun berlaku peperangan antara kedua-dua sahabat besar itu.

Maksudnya, tidak semua golongan meninggalkan tugas mereka untuk turut bersama-sama ber­politik dengan Sayidina Ali dan Muawiyah. Bahkan mereka terus berkerja dengan gigih dan profesional kerana me­letakkan kepentingan Allah dan Rasul mengatasi atas segala-galanya. Jika tidak masakan Islam boleh terus ber­kembang dengan cepat dan me­luas?   

Sayangnya, minda kita sedikit terusik apabila modal wacana parti-parti politik bukan lagi terfokus kepada idea, perancangan dan program memperkasa umat bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan yang diwarnai oleh mainan kata, sindirian dan ejekan. Apa yang umat Melayu dapat dari “wa­cana” seperti ini? Apakah ini yang dinamakan kematangan berpolitik? Baik pada yang memulakan isu, mahukan pada yang memainkan isu, gejala politik “lipstik” dan “kosmetik” ini seharus tidak dibiarkan mengisi ruang minda dan pe­mikiran Melayu. 

Inilah yang akan menyuburkan budaya taksub sama ada atas jenama agama ataupun bangsa di kalangan orang-orang Melayu. Sedangkan apa yang diperbalahkan itu (tidak kira mana pihaknya) belum tentu relevan untuk memajukan bangsa dan agama. Mungkin itu cuma agenda politik, bukan agenda Melayu apalagi agenda Islam. Kata orang “what we see depends mainly on what we look for”, maka bangsa Melayu seharusnya melihat perkara-perkara besar untuk mendapat manfaat yang besar.

Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan, sikap dan worldview tentang banyak perkara di kalangan orang-orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk “menguruskan” perbezaan ini. Ingatlah, tidak semestinya setiap perbezaan adalah satu per­tentangan. Bahkan perbezaan itu boleh menjadi satu keindahan jika ia dapat ditangani dengan penuh bijaksanaan dan keikhlasan. Sebenarnya, kita masih boleh bersatu walaupun dengan wujudnya banyak perbezaan. Soalnya, kita mahu atau tidak? Mahu seribu daya, hendak sejuta cara!

 
Tinggalkan komen

Posted by di 16 Disember 2008 in Politik / Siasah

 

Label:

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,164 other followers

%d bloggers like this: