RSS

WAKIL RAKYAT YANG TAK BERSAMA RAKYAT

16 Dis

Mana lebih utama, kreadibiliti calon atau parti?

Amaran kerap dikeluarkan oleh pemimpin atasan Melayu-Islam sama ada daripada UMNO, PAS dan PKR agar wakil-wakil  rakyat mereka menjalankan peranan dengan berkesan setiap kali selepas memenangi kerusi pilihan raya. Dr. Mahathir, Pak Lah, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dan Tok Guru Nik Aziz pernah berbuat demikian walaupun dengan cara dan nada yang berbeza. Saya kira itu bukan sahaja mengejutkan wakil rakyat berkenaan tetapi juga rakyat yang telah memilih mereka.

Tentu rakyat rasa kecewa. Apa tidaknya, amaran itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa tidak se­mestinya calon yang ditunjukkan oleh parti-parti orang Melayu sama ada untuk menjadi ADUN atau MP adalah terdiri daripada individu yang benar-benar komited pada perjuangan membela rakyat. Kenapa mereka telah terpilih ini perlu diingatkan lagi? Bukankah sepatutnya, mereka ini telah disaring terlebih dahulu? Nampak­nya, parti politik (tidak kira UMNO atau pem­bangkang) mesti mempunyai mekanisme yang lebih telus dan cekap untuk mengenal “mana intan mata kaca” di kalangan calon-calon mereka sebelum rakyat dikempen untuk memilih calon-calon tersebut.

Dan lebih aneh, kalau “kaca” yang disangka permata ini boleh lepas daripada saringan untuk dipilih sebagai wakil rakyat yang bukan sahaja gagal bergelanggang di tengah rakyat (untuk sama-sama berpanas, berhujan dan berembun) tetapi untuk duduk dalam parlimen yang berhawa dingin pun mereka tidak mampu. Tentulah kerja berbahas, berhujah, memerah fikiran untuk membuat keputusan di dalam parlimen walaupun diakui adalah sukar dan mencabar tetapi melaksanakan keputusan itu saya kira jauh lebih sukar.

Ini bukan cerita yang sengaja diada-adakan, tetapi pernah wakil rakyat ditegur akibat kerap “ponteng” dan “tertidur” sewaktu perbahasan dijalankan. Mujur, ada siaran langsung seperti yang dijalankan oleh RTM sekarang… sekurang-kurang ini satu motivasi untuk wakil rakyat untuk lebih serius dalam tugasan mereka.

Saya teringat betapa satu ketika Sayidina Umar bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Jika aku telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin-pemimpin pembantuku, apakah aku telah melaksanakan amanah kepimpinan ini dengan baik?” Sahabat-sahabatnya menjawab, “Tentu sudah wahai Amirul Mukminin…” Sebaliknya Umar menjawab, “Belum. Sehingga aku memastikan orang baik itu melaksanakan kebaikannya!” Bagaimana kita? Sudahkah terlantik orang yang baik? Itupun sudah terlalu sukar. Dan sudahkah orang yang baik itu melaksanakan kebaikannya? Hal yang kedua ini jauh lebih sukar.      

Saya kira parti-parti politik Melayu-Muslim perlu lebih ketat untuk menyaring bagi mendapat calon-calon terbaik mereka kerana kita tidak boleh mengharap rakyat berbuat demikian dalam pilihan raya umum. Ini kerana kecenderungan sekian lama oleh masyarakat yang memilih wakil rakyat mereka berdasarkan parti yang mereka yakini bukan calon yang terlibat. Kreadibiliti calon lebih disandarkan kepada kreadibiliti parti… ini masalahnya.

Ini akan memberi ruang yang cukup besar untuk “wakil rakyat yang tak bersama rakyat” ini mendapat kedudukan dalam parti walaupun mereka tidak langsung berada di hati para pengundi. Jadi apa yang mereka lakukan… hanyalah berbuat sesuatu agar tetap mendapat “perhatian” beberapa orang yang berkuasa dalam parti ataupun wakil-wakil bahagian, untuk terus mendapat pencalonan sebagai calon ADUN atau MP.

Saya rasa ini juga satu sebab yang memungkinkan ber­lakunya “politik wang” dalam parti. Bagi mereka yang “busuk” ini adalah lebih mudah menggunakan wang untuk mem­pengaruhi individu-individu dalam parti daripada kerja keras untuk mempengaruhi rakyat di tengah masyarakat. Apabila menang pilihan raya, mereka mengaut untung melalui kedudukan dan status MP atau ADUN. Kemudian wang itu “dilaburkan” sedikit untuk mendapat sokongan berterusan dalam parti. Kemudian mereka tercalon lagi.

Dan mengaut untung, lalu melabur lagi… Begitulah sifir mudah politik wang. Kedudukan dalam parti bukan dilihat sebagai amanah untuk berbakti tetapi sebagai pelaburan untuk menguntungkan peribadi. Bagi mereka, parti mungkin dilihat sebagai entiti perdagangan di mana kuasa telah digunakan untuk menjana keuntungan…    

Rakyat berada nun jauh di sana… poster wajah calon yang ditampal pada musim-musim pilihan raya bukan “wajah” calon itu yang sebenar. Rakyat hanya mengenal dacing, bulan dan lain-lain. Pada mereka itu sudah sinonim dengan ke­makmuran, keislaman, keadilan yang kerap dilaung-laungkan. Tidak kiralah siapa orangnya, asalkan baik partinya. Betul juga, kalau hanya calonnya baik tetapi partinya tidak baik, mana mungkin jentera pembangunan setempat hendak dibangunkan?

Ia memerlukan keupayaan sebuah organisasi bukan kekuatan peribadi. Jadi apa harapan rakyat? Harapan rakyat ialah parti tersebut mesti berbuat sesuatu untuk memastikan agar “musang berbulu ayam” ini tidak dicalon bukan untuk kali keduanya tetapi jangan pun buat kali pertama! Masa 4 hingga 5 tahun adalah terlalu panjang untuk membiarkan pemimpin gadungan ini bermaharajalela.  

Dunia kepimpinan Malaysia sedang menuju ke arah satu peringkat kematangan. Tahap di mana semakin ramai orang yang ingin muncul sebagai pemimpin. Secara sinis mungkin kita boleh berseloroh, akan tiba masanya nanti ketika lebih ramai orang ingin memimpin daripada yang rela dipimpin. Waktu itu berapa keratkah yang masih tinggal untuk menjadi pengikut?

Dalam keghairahan membangunkan generasi muda se­bagai pelapis kepemimpinan, elemen asas yang harus di­terapkan ialah nilai-nilai dan etika kepimpinan yang berkesan. Saya kira elemen ini yang agak lemah dalam parti-parti po­litik di Malay­sia. Satu kaedah pemantapan nilai yang kukuh belum terserlah. Sedangkan nilai adalah faktor utama dalam menentukan sikap dan perlakuan seseorang. Ia adalah benih kepada buah kebaikan dalam diri dan organisasi. Jadi kalau kita hanya bercakap soal buah, tetapi soal benihnya tidak disentuh, maka kita pasti gagal melahirkan pemimpin yang bersih, cekap dan amanah. 

Bagaimana menanam nilai dalam diri anggota organisasi dan parti-parti politik khususnya? Pakar agama, pakar psi­ko­logi, pakar motivasi dan pakar pendidikan telah sepakat bahawa manusia itu ialah apa yang diyakininya. Ertinya, asas sistem nilai ialah keyakinan. Istilah yang selalu digunakan untuk keyakinan ini ialah “belief system”. Keyakinan ini dibentuk oleh prinsip fitrah insani dan juga soal keimanan  yang bersumber daripada wahyu. Dalam Islam elemen ini di­nama­kan akidah atau iman. Bila keyakinan sudah teguh, maka terbentuklah apa yang dikatakan “world-view” atau pandangan alam – yakni bagaimana kita melihat kehidupan, diri dan alam ini. Dari sini terbentuklah sistem nilai. Sistem nilai ini ialah penentu dalam diri yang mempengaruhi pilihan sese­orang. Dia akan memilih sesuatu yang dilihatnya bernilai dan meninggalkan sesuatu yang tidak bernilai. Akhirnya, inilah yang membentuk sikap dan kelakuan seseorang.

Itulah gambaran selayang pandang tentang erti nilai dan bagaimana menerapkannya dalam organisasi politik. Jadi soalan yang menarik untuk difikirkan ialah sudahkan biro atau bahagian dalam parti berkenaan berfikir tentang per­soalan ini dengan serius? Sudahkan dirangka pelan tindak untuk me­mantapkan keimanan sebagai asas keyakinan diri para pengikut terutamanya mereka hendak menjadi calon ADUN dan MP? Apakah mereka sudah melalui satu program atau proses mengenal pasti nilai-nilai yang hendak dijadikan pegangan oleh parti? Apakah mereka tahu, mahu dan mampu untuk men­selaraskan tindakan seharian dengan nilai-nilai yang diyakini atau ada “percanggahan” perlakuan dan ke­yakinan yang akhirnya melahirkan pemimpin yang cakap tak serupa bikin?

Tanpa minda dan pengertian yang tepat, seseorang  hanya­lah seperti “burung tiong yang pandai bercakap” sekali­pun telah di­nobatkan sebagai pemimpin. Burung tiong hanya pandai  bercakap kerana ia dilatih untuk menurut apa yang diperkatakan tanpa memahami pengertiannya. Keadaan yang  sama boleh berlaku bila seseorang menjadi pemimpin tetapi tidak me­mahami langsung erti nilai, etika dan kriteria ke­pimpinan. Hakikat ini sering berlaku dalam parti ter­utama­­nya apa­bila seseorang terlalu mengikut apa yang dilaku­kan oleh orang No.1 secara “pak turut” semata-mata.

Pemimpin bukanlah satu profesyen biasa yang boleh ditangani secara mudah. Tanpa persediaan yang cukup, akan lahir pemimpin-pemimpin “instant” yang tidak tahan godaan dan tidak mampu menangani cabaran terkini. Kualiti pe­mimpin tidak sama dengan makanan segera yang sifatnya cepat disiapkan, cepat pula dimakan. Pemimpin yang muncul men­dadak, cepat naik dan kemudian cepat pula jatuhnya, sama­lah seperti mi segera – “cepat dimasak, sedap di­makan…” Kemudian.. cepat pula dibuang!

Keghairahan untuk menjadi pemimpin di kalangan gene­rasi muda mestilah diimbangi oleh ilmu kepimpinan khusus­nya memahami erti kepimpinan sebenar. Yang paling penting se­belum memimpin orang lain, mereka harus belajar me­mimpin diri sendiri dahulu. Dengan memahami definasi kepimpinan terutama yang berkaitan dengan elemen-elemen asasnya, se­orang bakal pemimpin akan tahu apakah persiapan yang perlu dibuat dari segi mental, spiritual dan fizikal untuk memikul tanggungjawab kepimpinan. Untuk mendapat ilmu kita perlu belajar dan untuk belajar kita mesti menjadi pengikut. Oleh itu, tidak salah kalau kita belajar menjadi pengikut yang baik terlebih dahulu sebelum menjadi pe­mimpin yang baik.

Yang pastinya bakal pemimpin harus belajar mengenal diri sendiri, menganalisis potensi pemikirannya serta men­cungkil sebanyak-banyaknya iktibar dan hikmah daripada pe­nga­laman yang boleh digarap ketika mengharungi realiti se­panjang hayatnya. Dari segi ketahanan diri pula, mereka perlu didedahkan kepada cabaran dan dugaan hidup yang di­ter­jemahkan melalui program wacana, kembara, dilatih meng­harungi kaedah-kaedah “survival”, hidup di tengah masyarakat, serta dipandu untuk mendisiplinkan diri secara istiqamah dan penuh iltizam demi menyerlahkan lagi jati diri berteraskan nilai-nilai murni yang abadi.

Di alaf matang dunia kepimpinan ini, kebijaksaan sangat  diperlukan untuk mempertahankan kualiti kepimpinan daripada  sekian banyak kuantitinya. Apabila tokoh-tokoh korporat dan golongan profesional menceburi politik, mereka perlu faham bahawa yang mereka hadapi kini ialah manusia yang ada fikiran dan perasaan bukan mesin dan produk. Sekurang-kurangnya mereka seharusnya tidak terkeliru antara peranan kepemimpinan dengan pengurusan.

Berdasarkan definasi kepimpinan yang tepat, kita seharusnya dapat membezakan antara pemimpin dan pengurus. Stephen R. Covey dalam bukunya “The 7 Habit of  Highly Effective People” dengan jelas membezakan antara seorang pengurus dengan seorang pemimpin. Menurutnya, fokus asas kepimpinan ialah: Apakah perkara yang mahu dicapai, sedangkan fokus asas pengurusan ialah: Apakah cara atau alter­natif yang paling baik untuk mencapai perkara yang telah ditentukan.

Berdasarkan kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa  kepimpinan dahulu dan pengurusan kemudian. Secara analogi­­nya, “pengurusan ialah kecekapan memanjat tangga kejayaan; kepimpinan menentukan sama ada tangga itu me­nyandar pada tembok yang betul”. Peter Druker dan Warren Danis pula men­definasikan, “Management is doing things right; Leadership is doing the right thing”. Dalam erti kata yang lain, pengurusan dan kepimpinan bukanlah suatu yang sinonim. Seorang pengurus yang baik tidak semestinya se­orang pemimpin yang baik, begitulah sebaliknya. Seorang pengurus di­kehendaki merancang, menyusun kakitangan dan mengawal. Manakala pemimpin berperanan mempengaruhi dan me­nentukan agar pengikut sentiasa menuju ke arah matlamat.

Pengurusan yang cekap tanpa kepimpinan yang ber­kesan  adalah seperti “berlunjur sebelum duduk”. Seorang yang  hanya berwatak pengurus, tidak akan mampu mempengaruhi dan mengarah anggota organisasinya mencapai matlamat organisasi. Penyusunan yang baik, plan tindak yang kreatif  dan prasarana yang mencukupi, tidak bermakna apa-apa jika anggota organi­sasi tidak dapat dipengaruhi dan didorong untuk ber­tindak. Justeru itu secara idealnya, seorang pengurus mestilah juga merupakan seorang pemimpin kerana ia se­harus­nya mampu mempengaruhi sarbodinat ke arah per­laksanaan.

Tegasnya, kriteria dan kelayakan yang perlu ada pada seorang pemimpin adalah lebih tinggi daripada seorang pengurus atau peniaga. Antara sifat yang perlu ada ialah mereka mesti mempunyai keperibadian dan karisma semula jadi seperti keupayaan berfikir, keberanian yang luar biasa, kepetahan berkata, wajah yang menarik dan lain-lain. Mereka mesti memiliki kekuatan jiwa, akal dan perasaan yang me­lahirkan pelbagai sifat baik seperti tabah, yakin, berani, tahan uji, optimis, tegas, mempunyai idea, kaya minda, ber­strategi, kreatif, bijaksana, imiginasi, simpati, empati, prihatin, timbang rasa, lemah lembut, kasih sayang dan pemaaf.

Dengan segala sifat yang baik barulah mereka boleh berperanan. Pemimpin mesti boleh berperanan dengan baik. Malangnya, ramai yang berfikir secara songsang – apa yang difokuskan bukan peranan tetapi ganjaran. Jika kita hanya berfikir tentang ganjaran, maka ini akan menyebabkan kita mengabaikan peranan. Sebaliknya, bila seseorang pemimpin fokus pada peranan, maka ganjaran akan datang dengan sendirinya. Malangnya, wakil rakyat yang kita sebut di awal tulisan ini asyik memikirkan ganjaran bukan peranan. Apakah peranan utama pemimpin?

Secara ringkas saya nyatakan bahawa ruang lingkup peranan pemimpin terbahagi dua: Menjaga keperluan lahiriah (kebajikan) pengikut. Kedua, mendidik (akliah, perasaan dan rohaniah) para pengikutnya. Untuk itu mereka harus mem­punyai watak yang “verstyle”. Antaranya mereka perlu ber­watak guru, sahabat, motivator, kaunselor, imam solat dan sebagainya. Walaupun mungkin mereka tidak semestinya mempunyai ilmu dan kebolehan khusus dalam bidang-bidang tersebut, tetapi mereka mesti memiliki “general knowledge” yang membolehkan mereka berperanan serba sedikit. Itulah sifat pemimpin, jika kita tidak layak… beri laluan pada yang lain!

Seperkara untuk bermuhasabah, apakah anda (khususnya wakil rakyat) pernah mengajar dan mendidik orang bawahan anda? Apakah anda pernah berusaha untuk melahirkan lebih banyak pemimpin pelapis? Apakah anda giat menambah kemahiran kepimpinan sama ada yang berkaitan “behavioral skills” atau “technical skills”? Dan sebagai pe­mimpin Islam sudahkah anda memantapkan lagi ilmu-ilmu asas di bidang akidah, fiqah dan akhlak? Jika jawapannya “belum”, maka anda seharusnya belajar jadi pemimpin bukan memimpin. Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Syafi‘i, “Belajarlah sebelum jadi pemimpin!”

Untuk menjalankan peranannya, para pemimpin (seperti­mana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w.) mestilah menjadi khadam (hamba) kepada pengikutnya. Di satu hadis yang lain Rasulullah menegaskan para pemimpin ialah “gembala” kepadanya pengikutnya. Ertinya, tugas ke­pemim­pinan adalah amanah bukan anugerah. Ia akan dihisab dipertanggungjawabkan (ditanggung dan akan disoal) tentang kepimpinannya bukan sahaja oleh ketua parti atau Perdana Menteri tetapi oleh Tuhan.

Jika para pemimpin sedar tentang hakikat ini, mereka bukan sahaja akan merendah diri, rajin dan komited dengan tugas bahkan bimbang bila dilantik menjawat sesuatu amanah. Memang, sikap kita dengan kepimpinan seharusnya tidak berebut untuk mendapatkannya tetapi apabila telah dilantik juga dia akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan iltizam.

Kesimpulannya, kejahilan kita tentang tanggungjawab dan amanah kepimpinan telah menyebabkan berlakunya perebutan untuk menjadi pemimpin. Dan apabila telah di­lantik, tidak me­nunaikan amanah dengan sebaik-baiknya. Memahami erti ke­pimpinan dan menguasai ilmu tentang elemen-elemen asasnya, adalah prasyarat buat seseorang untuk menjadi pe­mim­pin. Bayangkan, sedangkan seorang tukang masak pun mesti mempunyai ilmu tentang masakan, apatah lagi seorang pemimpin.. yang mengurus dan memimpin manusia. Kita menaruh harapan agar para pemimpin Melayu, khususnya wakil-wakil rakyat tidak kira dari parti manapun diberi hidayah dan taufik oleh Allah untuk terus bersama rakyat.

 
2 Komen

Posted by di 16 Disember 2008 in Politik / Siasah

 

Label:

2 responses to “WAKIL RAKYAT YANG TAK BERSAMA RAKYAT

  1. khairul

    12 Ogos 2009 at 4:10 pm

    saya link kan artikel tuan bertajuk “wakil rakyat tak bersama rakyat pada forum tranungkite.net, haraf adamanafat utk ramai umat Islam. Moga tuan tak marah.

     
  2. coupons

    10 April 2013 at 9:37 pm

    Aw, this was a really nice post. Taking the time and actual effort to generate a superb article… but what can I say… I put things off a lot and never manage to
    get anything done.

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,222 other followers

%d bloggers like this: