RSS

KAMBING GURUN ‘BERTANDUK’ PANJANG: TRAGEDI ORANG LEMAH

26 Dis

© Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

© Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

Seekor kambing gurun tiba-tiba dikejar oleh seekor harimau. Dengan pantas kambing memecut dan lari mendaki bukit yang berhampiran. Kepantasannya tidak dapat ditandingi oleh harimau yang akhirnya tertinggal di bawah bukit. Namun harimau tidak putus asa, ia terus menunggu dibawah dengan harapan kambing itu akan turun juga akhirnya. Harimau terus menunggu, dan kambing terus pada kedudukannya di atas bukit. Masing-masing menanti siapakah yang akan mengalah. Sejak pagi kedua-duanya menunggu hinggalah tiba waktu tengahari dan matahari mula condong ke Barat. Pada waktu itu bayang-bayang kambing yang di atas bukit mula tertayang di atas muka bumi.

 

Mata harimau terus merenung kambing, manakala mata kambing merenung baying-bayangnya sendiri. Kambing semakin hairan bila dilihatnya bayang-bayang tanduknya semakin lama semakin panjang. Ia menyangka sesuatu ‘keluarbiasaan’ sedang berlaku pada dirinya yang mana tanduknya telah menjadi semakin panjang dan tajam. Dalam diam-diam timbul satu rasa kekaguman dan kehebatan terhadap dirinya sendiri. Ia rasa semakin kuat, yakin dan mampu untuk berdepan dengan harimau dengan tanduk barunya itu. Tanpa berfikir panjang ia pun melompat turun untuk berlawan dengan harimau. Apalagi, ‘pucuk dicita ulama mendatang’ harimau pun menerkam dan mencengkam leher sikambing. Kambing menjerit kesakitan dan akhirnya mati dalam keadaan terkejut kerana ‘kekuatan’ yang  dimilikinya rupa-rupanya tidak ada.

Banyak yang boleh dipelajari dari kisah kambing gurun bertanduk ‘panjang’ ini. Ini satu contoh bagaimana satu tragedi telah berlaku pada orang yang lemah. Dan tragedy itu semakin buruk apabila kelemahan diburukkan lagi keadaannya oleh kebodohan, keujuban dan kesombongan silemah. Kambing gurun bukan sahaja lemah berbanding harimau, tetapi bodoh, ego dan ujub dengan ‘kekuatan’ dirinya sendiri. Khusus buat Islam yang kini sedang berdepan dengan musuhnya yang jauh lebih kuat, maka kita terlebih dahulu perlu mengenal kelemahan dan kekuatan kita. Hanya dengan ini umat Islam boleh menggunakan dan menambah kekuatannya. Dan pada masa yang sama boleh mengurang dan mengatasi kekurangannya.

Iktibar dari cerita pendek ini sangat relevan dengan apa yang dihadapi oleh umat Islam kini. Mengenal diri sendiri adalah perkara pertama dan utama untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu perjuangan. Untuk berjaya umat Islam perlu fokus pada ‘circle of control’nya (dalam dirinya) berbanding circle of ‘non-control’nya (luar dirinya). Kita tidak boleh menipu diri sendiri dengan menyangka kita memiliki kekuatan yang tidak kita miliki atau menafikan kelemahan yang memang kita miliki. Hanya setelah menerima hakikat ini barulah kita boleh mula merancang dan merangka strategi untuk mencapai kejayaan. Kita tidak boleh tertipu dengan bayang-bayang kekuatan yang baru diangan-angankan atau diharap-harapkan sebelum memulakan usaha gigih dalam membinanya. Dan kita tidak boleh berani membuta-tuli untuk bertembung dengan musuh tanpa persiapan sepatutnya. Kita perlu menggunakan ‘strategi’ orang lemah untuk mengelakkan berlakunya tragedi yang sedang berlaku pada umat Islam kini.

Apakah kekuatan umat Islam kini? Kekuatan yang ada boleh dibahagiakan kepada dua. Pertama, yang berbentuk rohaniah – iman dan taqwa serta perpaduan. Kedua., yang berbentuk lahiriah – ekonomi dan sumber alam. Umat Islam mesti kenal dan yakin bahawa Islam yang dianutinya itu adalah sumber kekuatan yang utama. Ini telah ditegaskan berkali-kali oleh Tuhan dalam Al Quran dan telah pernah dibuktikan oleh Rasulullah saw dalam kenyataan. Islam adalah agama yang memiliki seluruh ciri keunggulan dari segi spiritual, mental dan fizikal. Islam telah pernah menukar umat Arab Jahiliyah yang ganas, mungkar dan tidak berketrampilan menjadi satu bangsa yang agung dan bertamadun. Tetapi dengan syarat, Islam yang diyakini ialah Islam yang sebenar dan sempurna bukan Islam yang serpih dan tercemar. Islam yang mampu memberi kekuatan ialah Islam yang tergabung secara bersepadu persoalan akidah, syariah dan akhlak.

Jadi untuk menambah kekuatannya, umat Islam mesti serius dengan agamanya. Keunggulan Islam tidak sepatutnya diterima disudut teori tetapi ia mesti diamalkan sebagai satu cara hidup yang merangkumi seluruh bidang kehidupan dan sistem hidup. Hasil pengamalan Islam secara total ini akan melahirkan hubungan yang lebih akrab dengan Tuhan (taqwa), hubungan yang rapat sesama manusia (akhlak) dan kecemerlangan dalam seluruh bidang kehidupan (itqan). Taqwa, akhlak dan itqan adalah tiga kekuatan rohaniah yang perlu diterokai dan dicapai oleh umat Islam masakini. Ini adalah satu kekuatan yang bukan sahaja telah merubah bangsa Arab, tetapi juga bangsa Mongol, Turki, Kurdi dan Parsi.  Umat Melayu khususnya telah pernah mencapai muqaddimah awal kepada kejayaan ini dengan tertubuhnya empayar Islam Melayu Melaka pada akhir kurun ke 14. Sayangnya, kejayaan itu terencat dan pupus apabila Sultan, pembesar dan rakyat jelata negeri  Melaka menjauhkan  diri daripada Islam. Akibat kerapuhan iman dan taqwa pada mulanya, kemudian merebak kepada perpaduan dan akhlak yang akhirnya menjejaskan prestasi dalam bidang pentadbiran, kewangan, peperangan dan lain-lain lagi.      

Selain kekuatan rohaniah dunia Islam punya juga kekuatan dari segi ekonomi. Hampir semua negara pengeluar minyak utama dunia terdiri daripada negara-negara Islam. Sumber alam ini jika digunakan dengan hemat sudah pasti akan menjana kekuatan ekonomi dikalangan umat Islam. Negara Islam yang kaya tetapi kurang kemahiran dari segi ilmu dan teknologi boleh mendapat bantuan daripada negara Islam yang mempunyai bijak-pandai dalam bidang-bidang yang diperlukan. Arab Saudi misalnya, boleh mendapat tenaga-tenga pakar dari Pakistan, Mesir dan Malaysia yang selama ini lebih banyak mendapat peluang pekerjaan di negara-negara Barat.

Begitu juga Negara Islam juga mempunyai jumlah rakyat yang ramai boleh membekalkan tenaga kerja yang mahir kepada  negara-negara kecil seperti Brunei, Bahrain, Emirets Arab Besatu dan sebagainya. Sumber tenaga manusia yang ramai ini sepatutnya dibangunkan dari sudut rohaniahnya dan kemudian dibekalkan dengan pelbagai kemahiran sesuai dengan bakat, minat dan kecenderungan masing-masing. Manakala negara-negara Islam yang sudah mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan, pentadbiran, perancangan ekonomi dan kemahiran teknologi seperti Malaysia boleh memindahkan pengalaman itu kepada negara-negara Islam yang lain.

Itulah antara kekuatan yang perlu dikenali, digunakan dan ditambah oleh umat Islam. Jika benar-benar dimanfaatkan akan terbinalah dua kekuatan yang sangat diperlukan oleh sesuatu umat untuk berjaya yakni kekuatan dalaman (iman, perhubungan  dan keintelektulan) dan kekuatan luaran (ekonomi dan teknologi). Usaha menggembelingkan kekuatan ini bukanlah sesuatu yang mustahil justeru dunia Islam telah pun memiliki  platform dan program ke arah merealisasikannya. Badan-badan seperti OIC misalnya, boleh dijadikan sebagai gelanggang untuk membincangkan, menyatukan seterusnya melaksanakan usaha ini secara bertahap-tahap bermula dengan agenda yang paling mudah hinggalah kepada yang paling rumit.

Umat Islam juga mesti mengenal apakah kelemahan mereka. Rata-rata umat Islam mengalami kelemahan di sudut rohaniah dan juga lahiriah. Di sudut rohaniah, walaupun umat Islam menjadi penganut agama yang diakui dan diredhai Allah, tetapi keruntuhan akhlak turut berlaku dikalangan mereka. Akhlak adalah perisai kekuatan sesuatu bangsa atau umat. Apabila akhlak runtuh maka rapuhlah kekuatan sesuatu bangsa walau sekuat manapun teknologi dan ekonominya. Empayar Rom dan Yunani runtuh apabila kemungkaran berleluasa dikalangan kaum bangsawan dan rakyat jelatanya. Al Quran menceritakan bagaimana keruntuhan yang dialami oleh Kaum Aad, kaum Tsamud, Firaun, kaum Lut dan lain-lain justeru mereka telah  melanggar tatasusila dan prinsip akhlak. Jadi apabila umat Islam lemah akhlaknya, maka usaha mesti dibuat untuk membina kekuatan ini semula.

Kelemahan akhlak ini adalah masalah utama yang perlu diatasi. Usaha mengatasinya mestilah setara malah kalau boleh mengatasi usaha kita untuk memajukan ekonomi, teknologi dan lain-lain. Jika tidak, kita akan menghadapi masalah yang bukan sahaja datang dari musuh-musuh Islam bahkan daripada umat Islam sendiri. Orang yang tidak berakhlak adalah perosak bangsa dan agama walaupun mereka kaya, berilmu dan mempunyai kepakaran yang tinggi. Malah kerosakan angkara orang jahat yang berilmu dan berharta lebih meluas dan buruk akibatnya daripada kerosakan yang boleh ditimbulkan oleh orang jahat yang bodoh dan miskin. Masalah akhlak tidak boleh dipandang sebelah mata dalam membangunkan kekuatan sesuatu bangsa.

Dari segi lahiriah, umat Islam masih ketinggalan di bidang ekonomi, pensenjataan, sains dan teknologi. Kelemahan ini perlu disedari agar umat Islam tidak tersilap ‘meledakkan’ kekuatan sebelum tiba masanya.  Pencapaian kita masih jauh dan perjuangan ke arah itu sebenarnya masih panjang. Tindakan meledakkan kekuatan sebelum tiba masanya bolehlah disifatkan sebagai menjolok sarang tebuan. Peristiwa 11 September walaupun berjaya menjejaskan keangkuhan Amerika tetapi sangat sedikit untungnya kepada perjuangan umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam yang mati dibunuh, menjadi pelarian, kehilangan tempat tinggal, sekolah, hospital dan lain-lain bentuk kesengsaraan lebih kronik keadaannya berbanding Amerika yang dianggap musuh oleh sesetengah kumpulan Islam. Malah sekiranya benar umat Islamlah yang menyerang WTC dan Pentagon, luka yang dialami oleh Amerika adalah sedikit daripada apa yang dideritai oleh umat Islam Afghanistan, Iraq dan Palestin.           

Jangan jadi kambing yang menyangka tanduknya sudah panjang dan cuba mencabar harimau yang garang. Sepatutnya kekuatan kaki kambing gurun yang mampu memanjat bukit dan kedudukannya yang strategik (di atas bukit) sudah cukup untuk menghadapi harimau. Jangan terlupa bahawa kekuatan pensenjataan yang masih rendah hanya oleh keberanian dan semangat yang meluap-luap. Justeru keberanian tanpa kebijaksanaan pada hakikatnya satu kebodohan yang menempa kebinasaan. Sekalipun negara Islam Pakistan misalnya mempunyai kemampuan senjata nuklear tetapi lebih banyak lagi negara bukan Islam yang mempunyai kemampuan yang sama malah lebih canggih lagi. Di mana letaknya Pakistan dan Iraq berbanding Amerika, Eropah dan Israel dalam peta pensenjataan dunia?  Jadi umat Islam perlu beringat, perang senjata bukanlah ‘medan pertarungan’ yang relevan dan signifikan untuk membuktikan kecemerlangan dan keunggulan. Namun ini bukan bermakna umat Islam tidak perlu membangunkan kekuatan senjata dan kuasa ketenteraan tetapi sekarang bukan masanya untuk melawan pengkhianatan musuh Islam dalam perang terbuka.

Adalah wajar umat Islam meniru dan belajar strategi Rasulullah saw dalam perjuangan baginda menegakkan Islam. Di tahap pertama perjuangannya (di Makkah) baginda terlebih dahulu membina kekuatan iman dan taqwa di dalam diri pengikutnya. Di peringkat ini focus baginda hanyalah pada pembinaan kekuatan dalaman. Ketika ini walaupun ada serangan dalam bentuk fizikal hingga ke peringkat membunuh, Rasulullah tidak melawan walaupun ada sahabatnya yang terkorban. Tidak tahan dengan penyiksaan, baginda mengarahkan beberapa orang sahabatnya hijrah ke Habsyah dan kemudiannya baginda sendiri hijrah ke Madinah. Pada peringkat awal di kota Madinah baginda memperkukuhkan tali persaudaraan dan kekuatan perpaduan dengan pembinaan mesjid dan membina suasana aman dengan memetrai Piagam Madinah. Kekuatan ekonomi mula dibina dan system hidup yang memerlukan pelbagai kepakaran mula diterokai.

Apabila kekuatan Islam mula terserlah dan musuh terus mencabar, barulah Rasululah mengangkat senjata dan berlakulah beberapa siri peperangan. Mula-mula Badar, kemudian Uhud dan akhirnya Khandak. Keberanian dan kepakaran dalam bidang ketenteraan tidak menggangu kecintaan Rasulullah saw kepada perdamaian. Lalu berlakulah perjanjian Hudaibiyah. Rasululah saw berani berperang dan berani berdamai dan dalam kedua-dua keadaan tersulam satu kebijaksanaan, kejujuran dan kekuatan yang tidak dapat ditandingi.  Dan akhirnya, dengan hati yang bertaqwa, pemikiran yang strategi dan persediaan fizikal yang mantap, Makkah berjaya dibebaskan dan Islam tersebar di seluruh Jaziratul Arab.

Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw bahawa, “bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi ia adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan…” Umat Islam bukan umat ‘kambing gurun yang bertanduk panjang’ – menempah tragedi dengan kelemahan dan kebodohan tetapi umat yang meniru strategi Rasulnya yang penuh kebijaksanaan (fatanah) dan keberanian (saja’ah) .  

 
1 Komen

Posted by di 26 Disember 2008 in Iktibar Kisah

 

Label:

One response to “KAMBING GURUN ‘BERTANDUK’ PANJANG: TRAGEDI ORANG LEMAH

  1. yana

    5 Mac 2011 at 7:40 pm

    btul3…

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,164 other followers

%d bloggers like this: