RSS

KALAU HATI BAIK, WAJAH SENTIASA CANTIK

18 Jan

ayamBelajar dari ‘ayam’ tua.

“Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?” keluh seorang sahabat rapat kepada saya.
“Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri,” tambahnya lagi.
“Mengapa? Teruji sangatkah?”
“Apa tidaknya… di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian.”
“Kau menjaga pandangan?”
“Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu.”
“Ya, iman kita sering teruji,” balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.
“Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik… cantik. Tapi entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri.”
“Kita akan dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini,” pujuk saya untuk meredakannya.
“Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita hadapi ujian itu.”
Saya senyum. ‘Bantuan’ yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.

“Kau yang mesti mulakan dulu, insya-Allahlah isteri akan mengikut nanti,” cadang saya.
“Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat ‘signal’ tu…”
“Amin.”
Saya termenung memikirkan ‘masalah kecil’ yang kekadang boleh mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias. “Apa guna, kita dah tua.” “Alah, awak ni tumpu ibadat lah.” “Dah tua buat cara tua.” Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.

Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik… (eh, seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.
“Tak berani poligami?”
Dia menggeleng kepala.
“Tak ada calon ke?” saya mengusik lagi.
“Ramai…”
Memang saya lihat pada usia awal 40’an dia tambah segak dan bergaya.
“Habis kenapa?”
Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.

“Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia… Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka.”
” Kau sudah berterus terang dengannya?”
“Tentang apa tentang poligami?”
“Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?”
“Aku takut melukakannya.”
“Tak palah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka,” saya berkata dengan nada sinis.
Dia faham maksud saya.
“Aku sedang mencari jalan berterus-terang,” dia mengaku juga akhirnya.

“Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik…”
“Lagi?”
“Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk… dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua,” saya senyum. Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana ‘ayam-ayam’ tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa… Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka – berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?

Mencari kecantikan isteri, bukan isteri yang cantik.
“Kita para suamipun banyak juga salahnya,” kata saya.
“Kita tak berhias?”
“Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu,” tambah saya lagi.
“Salah bagaimana?”
“Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!”
“Dalam makna kata-kata kau tu…”
“Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri… Di mana kecantikan sejati mereka selama ini.”
“Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga.”

“Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”
“Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi… aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya.”
“Kasih ke kasihan?” saya menguji.
“Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan.”

Tongkat ‘muhasabah diri’ vs tongkat Ali
“Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua.”
“Maksud kau?”
“Bila kita sedar kita telah tua… kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi.”
” Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?”
Saya diam.
“Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.”

Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50’an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.
“Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi…” tegas sahabat saya itu.
“Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan.”
“Ya, kalau kita baik, isteripun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!”
Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Seperti imam Safie …pada usia-usia begini ramai suami yang mula mencari tongkat… Sayangnya, bukan ‘tongkat muhasabah diri’ tetapi tongkat Ali!

 
22 Komen

Posted by di 18 Januari 2009 in Tentang Cinta, Uncategorized

 

Label: , ,

22 responses to “KALAU HATI BAIK, WAJAH SENTIASA CANTIK

  1. diariungu

    22 September 2009 at 9:03 am

    Salam, ustaz. Bagus sangat entri ini. Terima kasih di atas perkongsian.

     
  2. Teja

    31 Disember 2009 at 12:33 am

    Alhamdulillah..fikiran terbuka utk ‘cantik’ di mata suami

     
  3. nur asrar

    29 Mac 2010 at 1:32 am

    salam
    artikel yang sangt pemberi perancang bagi istri2 utk mencari kecantikan yg sebenr
    kalau kecantikan fizikal yg diutamakn tidak kan kekal lama
    tp lau kecantikan itu bermula dari hati ia akan tersirna di luaran.

     
  4. gentarasa

    29 Mac 2010 at 10:01 am

    Salam nur,
    Buat para suami pula… carilah “kecantikan” isteri kita. Jangan cari isteri yang cantik. Insya-Allah, tidak ada manusia yang buruk… hanya kecantikan yang berbeza!

     
  5. Rosaini Ramli

    29 Mac 2010 at 5:05 pm

    Jagalah HATI untuk kecantikan semula jadi…

     
  6. Rossa Rose

    29 Mac 2010 at 5:09 pm

    Bersihkan hati dan isi dengan niat yang baik, persepsi positif serta kawal emosi dengan bijak. Tanamkan dalam jiwa perkara-perkara yang bagus dan pasti ia tergambar pada perwatakan anda..

     
  7. salwani

    29 Mac 2010 at 9:10 pm

    alhamdulillah..inilah kata-kata yang dicari selama ini untuk maklumat para suami yang sering mencari isteri cantik,bukan kecantikan isteri yang sejati,mudahan ALLAH sentiasa redha dengan keikhlasan dihati ini untuk suami yang saya sayangi hingga ke akhir hayat.

     
  8. gentarasa

    30 Mac 2010 at 6:49 am

    Salam Salwani,
    Terimalah suami/isteri kita seadanya. Jangan mengharap terlalu tinggi… tetapi yang penting terus beruasaha jadi isteri yang baik, insya-Allah, kita akan dapat suami yang baik. Begitulah sebaliknya. Saya sedang berusaha… doakan.

     
  9. Cahaya Adliana

    31 Mac 2010 at 4:43 pm

    Syukran Jazilan atas entri ini. Walaupun sya belum berkhawin tp persediaan ke arah perkhawinan perlu juga utk manfaat masa depan. Terima kasih ustaz Pahrol.

     
  10. gentarasa

    1 April 2010 at 10:28 pm

    Salam Cahaya,
    Terima kasih cahaya. Semoga mendapat yang soleh nanti. Amin ya Rab…

     
  11. ummi akim

    4 April 2010 at 1:49 am

    salam ustaz,
    sgt menarik entri ini. Mohon share dgn kwn di facebook. tkasih

     
  12. gentarasa

    5 April 2010 at 6:10 pm

    Salam ummi,
    Silakan…

     
  13. Musafir25

    10 April 2010 at 10:59 pm

    Assalam ustaz,
    Terima kasih banyak ustaz atas peringatan yang diberikan. Buat ustaz, teruskan berkongsi ilmu sebagai peringatan dan nasihat buat manusia yang sentiasa lalai dan alpa dengan permainan dunia.Semoga ustaz sentiasa diberikan kesihatan dan kekuatan oleh Allah S.W.T dalam meneruskan jalan dakwah ini. Amin Ya Rab…

     
  14. gentarasa

    11 April 2010 at 6:00 pm

    Salam arifatarhim,
    Untuk anda juga, kesihatan yang membawa keimanan dan ketaqwaan. Amin. Doakan saya… saya mohon sangat.

     
  15. musfariza

    18 April 2010 at 12:41 pm

    salam penulis yang kusegani…kalo bait kata atau baris ayat penulis lain,sekali sahaja saya tatapi..bukan untuk yang kedua kali..namun tidak untuk hasil tulisan ustaz yang terlalu seni..dr hati kepada hati…berdakwah bukan mudah…namun,sebagai pendakwah,menajdi tanggungjawab kita utk menjadikan ia mudah dan dpt diterima semua hatta anak kecil yang masih di bangku sekolah mahupun seorang tua yang sudah kesemua giginya patah..semoga Allah kurniakan ilham kepada ustaz utk terus menghasilkan karya dan menjentik hati2 insan untuk kembali kepada Allah..dan yang dekat menjadi lebih dekat pada Allah..insya Allah…usah dicari kecantikan kerana ianya takkan pernah kekal…tetapi carilah kesederhanaan yang akan buat kita mensyukuri segala yang ada namun tidak pernah putus asa untuk akhirat yang menjanjikan hidup yang kekal abadi selamanya…andai semua lelaki berfikir seperti ustaz..aman agaknya dunia :)

     
  16. saiyida

    21 April 2010 at 3:48 pm

    assamualaikum ya ustaz…syukran ya ustaz..insyaallah moga segalanya dpt dimanfaatkan utk kebahagiaan dinia dan akhirat..amin..

     
  17. nur afifatul laeli

    30 April 2010 at 2:54 pm

    keren banget

     
  18. Yusmiza Abu Yamin

    14 Mei 2010 at 5:49 pm

    salam ust,

    sy setuju dgn musfariza. bg penulis lain, pndkwh lain, skali je la sy rs nk bc.. pd sy mmg xkn ade kali yg ke-2 utk singgah mmbc entri mereka.

    sy belia lg ust.. terlalu bnyk perkara yg sy ingin tahu n blja.. moga ust diberikan umur yg pnjg, supaya dpt lg memberikan ilmu2 yg bermanfaat dan nasihat2 dgn cara berhikmah dan bijaksana. terasa sgt ingin mndgr nasihat ust face to face..

     
  19. nurkhaira

    21 Mei 2010 at 3:15 pm

    Salam… artikel yg sangat bermanfaat..mohon copy… t/kasih

     
  20. luqluq

    19 Julai 2011 at 11:34 am

    Salam ustaz,
    Nak menagis saya membaca ini.Kedua-duanya ada benarnya…silap isteri malas berhias pada suami bergitu juga ‘kasih’ suami yang sepatutnya bukanlah kasihan pada isteri walaupun itu baik.

    Jika suami rajin memberikan alatan persolekan pada isteri ,itu lebih membuatkan isteri lebih memahami keingin suami dan lebih berhias didepannya…kekadang sibuk melayan anak-anak yang berderet dengan kerja rumah yang tak pernah habis …(dah dapat melelapkan mata seketika dah memadai apa pula nak bersolek…)dibandingkan suami yang hanya mengkomen di dalam hati sendiri….saya sendiri sebagai suri rumah ingin membuat sebaiknya kerana itu semua adalah pahala.

    Hakikatnya yang haram itu dilihat indah dari pandangan syaitan…yang halal walaupun berhias dipandang muak…bezanya terletak hanya pada suami yang beriman.

     
  21. hafizah

    7 Oktober 2011 at 11:27 am

    assalamualaikum
    pada suami-suami yang ingin buka “cawangan baru” renung2kanlah nasihat ustaz.baca..dan terus baca .ada kebenarannya..tahniah ustaz..bagus sekali..

     
  22. tiniey83

    2 Mac 2012 at 8:00 pm

    terima kasih ustaz.stp kata2 memberi keinsafan dalam diri sy.smoga mdapat kberkatan ilahi..sy mohon share di fb..

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,190 other followers

%d bloggers like this: