Looking for Something?

KETUPAT EMAK

Author:

ketupat2Memberi lebih menggembirakan daripada menerima. Begitu yang selalu ditegaskan oleh pakar-pakar motivasi. Dalam Islam, kita memang digalakkan memberi berbanding menerima. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah, begitu maksud hadis. Tapi itu teorinya sahaja, dalam praktiknya payah hendak dirasakan memberi itu lebih menggembirakan, lebih baik. Memberi ertinya mengurangkan milik kita, bagaimana itu boleh menggembirakan?

Semua persoalan itu terjawab dari segi ‘rasanya pada hari raya tahun yang lalu. Seperti biasa saya pulang beraya di kampung bersama isteri dan anak-anak. Kami pulang agak lewat, tetapi sempatlah sembahyang raya di kampung. Selepas solat raya seperti tradisinya kami bermaaf-maafan dengan emak dan ayah. Meriah melihat anak, isteri, emak dan ayah berkumpul bersama.

Hari masih pagi bila kawan-kawan lama saya datang berkunjung. Kemudian, mereka beria-ria mengajak saya ke rumah mereka. Saya tidak patut menolak. Hari raya. Dari situ, melarat-larat ke rumah kawan-kawan yang lain. Lepas satu, satu. Tanpa disedari hampir sepuluh buah rumah semuanya. Hampir zuhur baru pulang ke rumah semula. Letih. Kenyang. Tiba-tiba adik bongsu saya datang dan berbisik, “bang, jangan lupa…”

Saya tersentak lantas berkata, “emak kat mana?”
“Dalam bilik.”
“Ketupat?”
“Macam biasa. Ada di balik pintu belakang,”jawabnya pendek.
Saya bergegas ke bilik emak.
“Emak, ketupat ada lagi tak?”
Seperti biasa emak senyum lantas bangun dari duduknya. Tangkas.

“Tulah, ingatkan kau dah lupa. Manalah tahu dah jumpa kawan-kawan…”
Kami bersama duduk di meja makan. Hampir zuhur begitu, tidak ada tetamu yang datang. Bapa dan anak-anak saya ada program sendiri. Isteri turut serta. Jadi tinggal saya dan emak. Adik bongsu di dalam bilik.

Kami berbual sambil makan ketupat. Itulah saat intim antara saya dengan emak sejak dahulu. Bukan sekadar makan ketupat tapi lebih dari itu. Semua itu membawa seribu satu makna dan rasa di sebalik pelbagai peristiwa. Suka duka kami bagai terjalin segalanya di sebalik jalinan daun ketupat, suapan dan kunyahan.

“Dulu kita susah…” emak berbicara sambil tangannya membelah sebiji ketupat untuk saya.
“Tapi emak tetap buatkan ketupat untuk saya setiap hari raya,” balas saya.
“Kekadang hanya tiga empat biji. Tanpa rendang, tanpa kuahnya.”
Dulu kami hidup susah. Adik-beradik ramai. Ayah seorang buruh. Setiap hari raya kami menyambutnya di bawah paras sederhana. Tapi, apa pun emak tetap buat ketupat untuk kami. Kekadang hanya empat atau lima biji. Kami adik-beradik makan beramai-ramai.

“Sekarang kita beli sahaja daun di pasar,” kata emak lagi. Dia sibuk memotong ketupat itu kecil-kecil. Begitulah saya dahulu, jika ketupat suka dimakan kecil-kecil. Emak masih ingat… sampai sekarang.
“Dulu susah benar. Puas kau ke sana ke sini mencarinya,” balas emak. Tersenyum. Ketupat bagaikan metafora yang melambang kasih-sayang antara kami. Masih ingat emak mengajar saya menganyam ketupat. Emak mengenalkan saya ketupat ‘jantan’ dan ketupat ‘betina’ – yang berbeza gaya mematikan anyamannya. Kekadang emak sengaja buat ketupat ‘kerbau’ hanya untuk menghiburkan saya.

“Emak, makan le…” pinta saya.
Dari tadi emak hanya mencuit sedikit, untuk memulakannya sahaja. Dia tahu saya tidak akan mula makan sebelum dia memulakan.
“Makan, makan… Emak puas tengok kau makan. Dari kecil, hinggalah sekarang dah beranak-pinak, emak masih syukur kerana masih mampu buat ketupat untuk kau…”
“Susah atau senang tetap ada ketupat…” kata saya.
“Selagi ada kasih sayang… selama emak hidup, insya-Allah.”
Perlahan suara emak. Emak telah tua. Tangannya mula terketar-ketar. Kaki emak tak kuat lagi berdiri dan mengangkat air. Adik bongsu saya menceritakan betapa ‘peritnya’ emak hendak menghasilkan ketupat kali ini.

“Emak tak payahlah susah-susah buat ketupat lagi…”
“Kau ingat emak susah? Tidak, emak gembira. Dari rumah ni masih kecil, masih rumah papan lagi hinggalah rumah ini dah besar, dah luas seperti sekarang… hati emak tetap gembira setiap kali membuat ketupat untuk anak-anak emak pada hari raya,” kata emak sambil mata tuanya merenung jauh. Saya yakin dia merenung masa silam dan masa depannya.
“Insya-Allah, anak-anak emak pun begitu. Kami akan sentiasa mendoakan emak.”
“Emak pun begitu. Selain takbir dan solat raya, emak paling gembira bila semua anak dan cucu berkumpul dan bermaaf-maafan. Dan jangan beritahu adik-adik kamu… satu lagi kegembiraan emak ialah bila dapat makan ketupat bersama dengan anak sulung lelaki emak ni,” kata emak seakan berbisik.

Begitulah emak, pandai mengambil hati saya. Tapi dengan adik-adik lain, tentu emak ada kata-kata khususnya tersendiri. Masing-masing rasa ‘dilebihkan’. Tetapi sebagai anak sulung memang saya yang banyak melihat derita dan kesusahan emak menjaga dan membesarkan adik-adik. Tetapi percayalah setiap kali kami duduk bersama menganyam ketupat menjelang raya, kemudian mengisinya dengan beras yang direndam… Dan keesokan harinya mencari kayu, menjaga api, menukar air dan kemudian menggantung ketupat yang masak di belakang pintu… kami berdua gembira. Ketupat bukan sekadar ketupat, ia cerita suka-duka kami, ia lambang jalinan kasih-sayang kami…

Ya, saya memahami rasa gembira emak. Rasa gembira hasil memberi. Justeru emak memberi dengan kasih-sayang. Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri. Allah memberi untuk kita memberi. Mulianya emak kerana tangannya selalu di atas, manakala tangan kita anak-anaknya selalu di bawah. Hidup akan kelam, duka dan kecewa bila kita hanya menerima… Ceriakanlah kembali dengan memberi.

Satu perkataan pendek yang menggambarkan seluruh pengajaran dari puasa dan Hari raya ialah: MEMBERI. Dan itulah pengajaran dari ketupat emak. Hidup mesti memberi!

Feedback

5
  • norah_nor

    tercuit rasa dhati…

  • tun fatimah

    Selama ini saya rasakan apa yang saya buat untuk anak-anak adalah kerana tanggungjawab..Tapi selepas ini saya ingin menjadi ibu yang sentiasa memberi pada anak-anaknya dengan rasa penuh kasih dan sayang.Saya akan cuba,saya juga ingin mendapat kemuliaan itu.Terima kasih ustaz.

  • rosma

    Salam..rasa sedih pulak..saya pun kecil2 dulu susah jg ustaz..namun dengan kepayahan itulah kami membesar dengan matang dan AlhamdulilLah Allah lapangkan rezeki belajar dan bekerja..Terima Kasih ustaz..

  • aziza

    Mulia sungguh hati seorang ibu kita.. mudah2an diri ini di beri peluang mnjadi anak yg sntiasa menyayangi ibu, ibu, ibu dan kemudian ayah.. dan mudah2an juga diri ini di kurniakan anak2 yang menyayangi ibu, ibu, ibu dan ayah. Amin amin Ya Allah..

  • Muhammad Hakim

    sayu dan sedih bila membaca cerita ini ustaz, tersentuh hati apabila kita mengenangkan kemuliaan hati kedua ibu bapa. terima aksih atas peringatan, memberi adalah lebih baik dari menerima.

Leave a Reply

%d bloggers like this: