Looking for Something?

LEBUH RAYA – KENALKAN DIRI KITA SIAPA SEBENARNYA

Author:

kereta-sesakKetika memandu pulang untuk menguruskan perkahwinan adik minggu yang lalu saya benar-benar teruji. Lebuh raya Selatan ke Utara begitu sesak. Merangkak-rangkak rasanya menuju destinasi. Sangat menguji kesabaran. Ah, sesak yang begini sudah terasa seksa inikan pula sesak di padang Mahsyar. Dalam belaian hawa dingin di dalam kereta masih terasa “panasnya” menunggu, inikan pula menunggu perbicaraan di sana nanti. Kita tidak akan mampu. Mudah-mudahan ini menjadi motivasi untuk menjadi antara tujuh golongan yang mendapat naungan Arsy di Mahsyar nanti.

Bila sesak, semuanya bergolak. Yang memandu dan siapa yang bersama-sama dalam kereta sama-sama teruji. Silap-silap bahang “di luar” menjadi bara di dalam. Alangkah baiknya bila ada cd atau kasset ceramah, ayat Quran yang menjadi teman perjalanan. Untung juga dapat belajar dan berhibur dengan sesuatu yang bermanfaat.

Tetapi itu bukan suatu yang hendak saya kongsikan bersama saudara/I kali ini. Ada sesuatu yang lain, yang saya kira lebih tersirat dan menyentuh. Bila sesak, pemandu di leboh raya juga terbahagi kepada beberapa golongan (persis pembahagian golongan di padang mahsyar nanti?). Golongan pertama, golongan yang hilang sabar. Mereka ini terus sahaja memasuki lorong kecemasan dan memecut ke hadapan, memintas orang lain dengan melanggar undang-undang. Ramai yang buat begitu. Asalkan matlamat diri tercapai, peduli apa undang-undang atau nilai-nilai murni. Saman? Mungkin itu sahaja yang menggerunkan mereka. Tetapi bagi sesetengah yang berduit, setakat dua tiga ratus RM, tidak menjadi kudis. Bayar dan redah sahaja!

Golongan yang kedua. Tidak seberani golongan yang pertama. Nak redah? Kalau kena saman bagaimana? Nanti dilihat orang bagaimana? Malunya masih ada. Congak untung rugi masih rasional. Kena saman nanti, tak berbaloi. Tetapi dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu betapa geramnya melihat golongan pertama begitu berani dan “kurang ajar”. Hendak ditiru, tidak berani. Jadi… teruskan perjalanan dengan hati yang “terseksa”. Menyumpah sepanjang jalan. Muka berkerut dan geram. Jika terperangkap dua jam, dua jam itulah hilang bahagia dan ketenangan. Bila pemandu hilang bahagia, hati-hati seluruh penumpang yang bersama… Jangan ada yang tersilap, habis semua menerima padahnya. Ikut undang-undang dengan terpaksa, itulah padahnya.

Golongan ketiga, lain pula keadaannya. Mereka tenang dan senang-senag sahaja. Sesak? Ya, itu memang sudah dijangkakan. Jadi golongan ini lebih bersedia. Memintas di lorong kecemasan? Oh, tidak sama sekali. Mereka ini mempunyai prinsip nilai yang tinggi. Siapa pun hendak cepat, tetapi apa maknanya kalau kita hilang nilai sabar, timbang-rasa, tolak ansur dan hormat menghormati. Mereka tahu apa yang mereka “kejar” dalam hidup ini. Terseksa? Tidak, mereka bahagia. Susah, memang susah. Tetapi mereka telah bersedia dengan “bahan” atau “alat-alat” tarbiah dan hiburan sebagai bekalan.

Kekadang terperangkap sejam dua, “menghadiahkan” masa untuk kita mendapat ilmu melalui ceramah atau kuliah mahupun diskusi ilmu bersama keluarga atau teman-teman sekereta. Boleh jadi, satu permasalahan keluarga dapat diselesaikan. Apalagi kalau kita “terperangkap” dalam kesesakan bersama dengan orang yang kita cintai… Ah, tak terasa segalanya. Malah, aneh kekadang makin lama terperangkap makin “nikmat” rasanya. Rasa cinta kata orang, ajaib nikmatnya. Cinta merubah kesesakan jalan raya menjadi medan cinta. Dan cinta mampu memutar jarum waktu menjadi terlalu “laju” dalam arloji rasa.

Di mana kita? Golongan pertama yang rakus hidup tanpa nilai? Golongan kedua, pengecut yang hidup marah-marah tanpa ketenangan? Atau golongan ketiga yang hidup dengan ketenangan atas keyakinan… ada sesuatu yang lebih berharga dalam litar kehidupan yang tidak sekali-kali ingin dikorbankan di litar jalan raya. Ah, ketika orang menjadi rakus, buas dan berebut-rebut memburu kejayaan dengan mengorbankan nilai-nilai kemanusiaan dan agama, apakah kita menjadi marah kerana tidak “mampu” menjadi mereka. Atau kita terus bahagia mengikut jalan kebenaran kerana tidak “mahu” menjadi mereka.

Ya, kalau kita bersesak-sesak kini, dulu dan nanti di lebuh raya… cuba kenang-kenangkan “ole-ole” renungan yang sederhana ini. Lebuh raya hakikat cerminan lebuh “kehidupan” yang lebih luas dan mencabar. Kenang-kenangkan destinasi dalam kembara yang singkat ini. Korban di jalan kehidupan ini sesungguhnya lebih dahsyat daripada korban jalan raya yang sering digembar-gemburkan oleh media massa. Kita di golongan yang mana?

Feedback

5
  • busyro

    betul tu ustaz,tulisan ustaz ini,alhamdulillah…buatkan saya berfikir

  • rahatvirtual

    saya setuju dgn ustaz.manusia nie cam2 ragam.time jalan sesak la baru kita tau diri sebenar,hehe…

  • rosma

    Salam ustaz..

    Terima kasih atas ilmu..rasa rugi kalau tak baca entri yg ustaz masukkan dlm blog ini yg mengandungi byk ilmu utk muhasabah diri..sy ni kekadang yg ke-2 tu ustaz..astaghafirullah..huhu..

  • gentarasa

    Salam,Saya pun. Begitulah kita… sama-sama mujahadah.

  • nurr

    Salam ustaz, tersedar dari lena. Betapa ruginya dalam golongan kedua..rasa terseksa dan marah. Untungnya berada dalam golongan ketiga rasa tenang dan aman. Syukran ustaz atas perkongsian.

Leave a Reply

%d bloggers like this: