RSS

MURABI ATAU SELEBRITI?

28 Jan

lilinLepas subuh tadi, sempat saya belek kembali majalah HIDAYAH dari Indonesia yang telah dibaca minggu lepas. “Penyakit para daei”, itulah tajuk yang sangat menyentuh hati saya.

Antaranya, penulis mengingatkan betapa para pendakwah kekadang terlalu sibuk mengajar hingga tidak sempat belajar. Terlalu ghairah menyampaikan hingga kurang menjadi “pendengar”. Terlalu acap ke luar diri, sudah jarang kembali ke dalam diri.

Itu akan menjadikan hatinya keras, dalam kelembutan dakwah secara lisan atau tulisannya. Menjadi akalnya dan pemikirannya tumpul justeru ilmunya seputar itu-itu juga.

Benar-benar saya terkesima. Pengalaman memberitahu bahawa “hati kecil” sentiasa mengingatkan bahawa pendakwah bukan lilin yang menerangi orang lain dengan membakar dirinya sendiri. Ilmu, kata-kata dan tulisaannya bukan komoditi niaga yang asyik dipromosi untuk mempopularkan diri. Hingga kekadang tanpa sedar, manusia ditarik bukan lagi kepada Ilahi, tetapi kepada diri sendiri.

Malang, bila pendakwah jadi “peniaga” yang menjaja bahan dakwah dan tarbiah mengikut selera massa. Dan kejayaan diukur oleh gelak getawa dan puji-puja masyarakat atas keterampilan kata dan gaya. Persis seorang selebiti! Mereka tidak lagi berdiri teguh sebagai karang di dasar lautan yang teguh bagaikan “doktor” memberi kepada ummah apa yang menyembuhkan walaupun terpaksa bergelut dengan kepahitan.

Bukan marahkan sesiapa, tetapi sekadar mengingatkan diri. Mengapa dalam arus ilmu dan maklumat, ceramah dan kuliah, masyarakat sangat kurang berubah? Mengapa jenayah semakin marak? Apakah dakwah kita sudah semakin tawar? Apakah tarbiah kita semakin hambar? Fikir-fikirkanlah. Kata yang datang dari hati… pasti jatuh ke hati. Bukan soal kecerdasan dan gaya, tetapi soal keikhlasan, hikmah dan taqwa.

Mengenangkan itu, teringat saya pada tulisan sendiri pada musim-musim yang lalu. Saya ingin berkongsi semula dengan saudara/i apa yang pernah saya luahkan dalam tulisan bertajuk… 

KAU MURABI BUKAN SELEBRITI!

Leaders are learners – pemimpin adalah individu yang sentiasa belajar. Begitu saya diingatkan berkali-kali. Malah, satu ungkapan yang sering menjadi pegangan saya ialah saat kita berhenti belajar saat itulah kita akan berhenti memimpin – when you stop learning, you stop leading. Ya, walaupun saya bukan pemimpin dalam skla yang besar tetapi saya adalah pemimpin keluarga dan setidak-tidaknya pemimpin diri sendiri. Hakikat ini mengingatkan saya kepada perbualan bersama Pak Long – orang tua kampung saya pada minggu yang lalu.
“Kau asyik mengajar sahaja, bila kau belajar?” tanya Pak Long pada satu hari.
Saya diam. Saya tahu, Pak Long bukan bertanya sebenarnya, tetapi dia mengingatkan.
“Apa yang kau selalu tulis dan cakapkan tu… betul-betul sudah kau amalkan?”
Saya bertmbah diam. Selain ayah, Pak Long adalah orang yang paling saya hormati… malah saya takuti (kadang-kadang).

Namun begitu, Pak Longlah tempat saya ‘ziarah’ apabila ada sesuatu keputusan, kemusykilan atau kecelaruan berlaku dalam episod hidup saya. Sejak saya masih di sekolah rendah, hinggalah kini Pak Long adalah ‘guru’ saya.
“Saya hanya penyampai Pak Long. Apa yang saya tulis dan cakap merupakan gugusan pengajaran yang bukan hanya diambil dari pengalaman diri saya tetapi juga orang lain. Saya juga berharap apa yang telah saya sampaikan, dapat juga saya amalkan.”
“Jangan hanya berharap, berusaha!” pintas Pak Long.
“Insya-Allah,” jawab saya pendek.

“Bagus tu. Jangan menulis ‘diri’ sendiri. Ingat pesan ni, orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang ‘orang lain’. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri.”
Saya mengangguk perlahan. Dalam maknanya kata-kata Pak Long kali ini.
“Pak Long lihat ada kecenderungan sestengah penulis asyik menulis tentang dirinya. Begitu juga penceramah yang asyik bercakap tentang ‘aku’nya.”
“Tapi Pak Long, tak salah kalau pengalamannya itu dapat dikongsi oleh orang lain. Malah itu lebih ‘real’ daripada apa yang dialami orang lain.”

“Betul. Tak salah. Tetapi jangan keterlaluan.”
“Kenapa Pak Long?”
“Sebab, kekuatan ilmu lebih ampuh daripada kekuatan peribadi. Biar pembaca atau pendengar bersandar kepada kekuatan ilmu yang diketengahkan, bukan kekuatan peribadi penulis atau penceramah itu sendiri.”
“Kenapa Pak Long?”
Pak Long merenung tajam. Dia faham kali ini saya bukan hanya menyoal tetapi mempersoalkan.

“Pak Long lihat, penulis atau pendakwah masakini tidak syumul dari segi personalitinya. Tak payahlah Pak Long huraikan lebih terperinci… muhasabahlah diri masing-masing.”
“Maksud Pak Long, golongan ini banyak kelemahan? Biasalah Pak Long. Siapa yang sempurna? Apakah hanya apabila semuanya sempurna baru kita boleh berdakwah?”
“Tidaklah begitu. Tetapi biarlah pendakwah sekurang-kurangnya ‘lebih sempurna’ sedikit daripada golongan yang diserunya.”
“Kalau tidak?”
“Masyarakat akan kecewa, apabila melihat figur-figur yang mereka kagumi malah ingin teladani… tidak seperti yang mereka harapkan.”
“Pak Long, sejak dulu kita diajar bertoleransi dalam hal-hal yang begini. Pendakwah tidak sempurna seperti ‘bahan’ dakwahnya. Begitu juga Islam, dengan umat Islam. Islam sentiasa hebat, tetapi muslim adakalanya hebat adakalanya tidak, bergantung sejauhmana mereka mengamalkan Islam itu sendiri!”

“Hujah lama,” balas Pak Long.
“Tapi masih relevan… Pak Long,” saya seakan merayu.
“Kalau hujah tu diputar-balik begini macam mana… Ya, kalau Islam sentiasa hebat tetapi umatnya belum tentu. Jadi kalau begitu, di mana letaknya keupayaan Islam dalam menjana kehebatan umatnya?”
Sahih, saya terperangkap. Seperti biasa, hujah Pak Long akan bertambah gagah, kalau disanggah. Justeru, kerana itulah saya selalu ‘melawan’. Pak Long bukan guru – kau diam, aku cakap! Tetapi dia adalah guru yang ‘demokratik’ – prinsipnya: Mari sama-sama kita cari kebenaran.

“Kau tidak pernah terbaca tulisan Dr. Yusuf Al Qaradhawi tentang kelohan seorang intelektual Barat yang baru memeluk Islam? Apa kelohannya?”
“Maha suci Allah yang telah memperkenalkan aku Islam sebelum aku mengenal muslim…”
“Tahu pun. Jika intelektual itu kenal muslim, mungkin dia tidak tertarikpun untuk memeluk Islam. Jadi dari segi tertib…siapa yang kita nak perkenalkan dahulu? Muslim atau Islam?”
“Islam Pak Long,” saya akur. Tunduk.
“Ya, itulah maksud Pak Long… pendakwah atau penulis, mesti mengenegahkan prinsip dakwah, Islam dan tarbiah, bukan input peribadi atau personalitinya. Bawa orang kepada Allah, bukan kepada diri, bawa orang kepada Islam, bukan kepada produk atau kumpulan. “
“Terimakasih Pak Long… selalu-selalulah ingatkan saya.”
“Ingat pesanan Pak Long ni… pendakwah adalah seorang murabbi bukan selebriti!”

(Pesanan Pak Long yang akhir itu sampai sekarang masih ‘menikam’ saya!)

 
14 Komen

Posted by di 28 Januari 2009 in Zikir & Fikir

 

Label: , , ,

14 responses to “MURABI ATAU SELEBRITI?

  1. cucu tokku paloh

    5 Februari 2009 at 5:31 am

    Semoga penulis yang terlalu banyak menulis tentang diri sendiri akan lebih banyak belajar tentang sifat riya’, ujub, takbur dan sum’ah. Takut2 terjatuh ke dalam amal yang sia-sia. Nauzubillah.

     
  2. aireensamirah

    18 Februari 2009 at 9:45 pm

    orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang ‘orang lain’. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri.”

    saya suka kata2 ini. sangat mendalam. sangat berguna bg para penulis blog.

     
  3. Selinap

    12 Mac 2009 at 7:13 am

    Peribahasa yang sangat menarik. Siapakah Pak Long itu?

     
  4. pali

    12 Mac 2009 at 11:50 am

    salams,
    ya, saya setuju. boleh bercerita tentang diri tapi jangan keterlaluan. beserhana sahaja.

    pak long anda best. :D

     
  5. faza4peace

    12 Mac 2009 at 6:03 pm

    salam…ush kedebuk kena sebijik…
    selalu diulang-ulang…tapi bila baca post nih memang kena aaa….hee minta ijin copas yer…

     
  6. Nik

    26 Mac 2009 at 12:36 pm

    Salam, huhu terasa diri sendiri byk lagi isu2 tarbiyah dan karat2 jahiliyah yang tidak settle… kadang2 susah jugak mau menegak apa yang sepatutnya kerna ingin lebih menjaga hati sedangkan haq adalah haq dan yang batil perlu ditinggalkan. mohon juga untuk dicopy..

     
  7. pali

    7 April 2009 at 9:35 pm

    salams.

    minta pandangan. boleh menjadi murobbi @ selebriti pada masa yang sama? Tapi beserdahanalah? Saya masih bersetuju yang amal baik itu bila diberi tangan kanan, tangan kiri tak tahu.

    Jadi Murobbi (terutamanya dalam ilmu Islam) dan selebriti (promosi supaya orang hadir kepadanya dsb), bagi saya tidak menjadi masalah, namun pendekatan mestilah sebagai “sahabat”.

    Macam yang ditulis diatas, perlu sentiasa sedia diajar dan mengajar, sebab ilmu itu luas, dan buah amal itu perlu sentiasa ditanam.

    Ada rakan saya yang berpandangan, bila disebut sebagai murobbi, maknanya diri perlu menjadi terbaik atas segala mad’u/ kawan-kawanya, sehingga tanpa sedar para da’ie memilih bulu.

    Walaupun satu manusia itu kurang agamanya, dan jika dia mempunyai satu kelebihan lain, seperti bijak dengan berniaga, seorang yang ramah, suka membantu orang, saya rasa, setiap pendakwah yang merasakan dirinya da’ie kadang-kadang perlu menjadikan orang tersebut sebagai “mualim” dalam memahami sifat tersebut.

    hidup ini satu perkongsian, bila bersama-sama dengan mana-mana golongan pun ibarat bermuhasah bersama.

    benarkah jika saya berpandangan begitu?

    Terima kasih ustaz atas nukilan.

    Lain kali saya ziarah lagi, buleh?:D

    -anak murid tumpang belajar-

     
  8. gentarasa

    9 April 2009 at 3:55 am

    Salam,

    Akhi, saya yang tumpang belajar dengan tuan. Jazakallah atas respon. Murabbi atau selebriti, kekadang tidak dapat dipisahkan. Namun rasa hati yang tepatlah yang mampu menyelamatkan niat kita. Kita boleh berpura-pura di luar, tetapi mana mungkin kita menipu diri sendiri. Lebih-lebih lagi untuk menipu Allag. Subhanallah. Gaya, ganjaran, liuk lentuk dan kata-kata kita sentiasa menjadi sorotan. Bukankah dalam Al Quran, Allah telah menegaskan bahawa amal kita akan dinilai oleh-Nya, Rasul dan orang mukmin?

    Khuatir atas kelemahan diri dan sahabat-sahabat para da’i yang lain… mendorong saya mengingatkan. Justeru, kekadang sudah terbayang riak-riak air di kolam yang dulunya jernih, kini kelihatan keruh. Kepada Allah jua saya berserah.

     
  9. qiswidad

    24 Julai 2009 at 2:18 pm

    alhamdulillah.. tulisan y benar2 membuat kita muhasabah n menilai diri semula..
    syukran atas ingatan

     
  10. Nurul

    18 Jun 2010 at 4:32 pm

    salam ustaz

    terima kasih utk perkongsian ini. mohon utk copy.

     
  11. Taufiq

    22 November 2010 at 9:34 pm

    Assalamualaikum w.b.t….
    Ustaz, saya memohon keizinan ustaz untuk memetik kata-kata yang terdapat dalam mana-mana penulisan ustaz dalam blog ini, untuk saya ketengahkan kepada saudara-saudara seagama di luar sana….
    Mudah-mudahan Allah akan merahmati kita semua dan ditunjuki-Nya ke jalan yang lurus dan benar…. Semoga kita yang diseru oleh Allah dan Rasul-Nya untuk menyampaikan Islam dilindungi daripada sifat riak dan takbur, dan dilindungi-Nya daripada mempergunakan agama sebagai jalan untuk mencari kemashyuran antara sesama makhluk….
    Amin, Ya Rabbil ‘Alamin….

     
  12. Ruqayya

    13 Disember 2010 at 2:08 pm

    tanpa ilmu hujjah buta , ada ilmu kadang-kadang tak nyata…em, sedih bila tahu air yg cetek disangka dalam ,berani membela ikan didalamnya akhirnya ikan pun mati, namun tiada disedari….

     
  13. iwan

    6 Mac 2011 at 8:23 pm

    tulisan yg bernas dan LUAS maknanya …

    Variasi pendakwah masa kini..

    semuanya ada ilmu yang mahu dikongsi,punya etika atau tidak…asalkan terus sahaja ditulis dan dikongsi

    Maka tertakluklah pada yang didakwah untuk menerima bagaimana…

    dan Allah juga sebaik2 pembuka hati untuk menerima ilmu..

    moga hati semua yang membaca tulisan ini disinari cahaya ilmu

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers

%d bloggers like this: