Looking for Something?

CERITA PASAL MAKAN

Author:

makanDalam krisis ekonomi sekarang, isu yang ada kaitannya dengan makanan menjadi topik yang semakin hangat diperbincangkan. Apa tidaknya, ramai yang masih boleh bersabar jika harga barangan lain naik, tetapi jika harga makanan yang naik, semua pihak kelam-kabut. Miss baju baru masih ‘Ok’, tetapi kalau miss sorru, semua ‘Ko’. Graf keresahan masyarakat semakin melonjak bila bilangan pengangguran diramal memuncak.

Ini semua akibat kemelesetan ekonomi yang mulanya melanda Amerika. Bagai domino, bila ekonomi US rebah, menyebabkan semua yang berkaitannya rebah sama. Ironinya, US yang semakin galak menampakkan kecenderungan untuk menjaga ‘keselamatan manusia’, arus pemikiran dan perlakuan, bagi menentu-corakkan perkembangan ekonomi, politik dan sosial dunia itu kini sedang terkial-kial mengatasi masalahnya sendiri.

Sebenarnya, ini bukanlah pertama kali rakyat Malaysia marahkan Amerika. Rekod Amerika memang sudah sedia lama tercemar lantaran sering menyebelahi Yahudi dalam pertikaian Arab-Israel di Timur Tengah. Semuanya itu masih basah dalam ingatan umat Islam. Kemarahan terhadap Uncle Sam kali ini mengingatkan kita kembali kepada percubaan demi percubaan memboikot barang-barang keluaran Amerika yang pernah dilancarkan sebelum ini.

Walaupun usaha itu tidak mendatangkan kesan terhadap Amerika, namun sekurang-kurangnya ia membuktikan bahawa sesuatu masih boleh dilakukan demi menjaga maruah negara dan agama. Memboikot barang keluaran Barat, kalaupun tidak sampai menjejaskan mereka tetapi setidak-tidaknya ia boleh menguntungkan kita. Sekurang-kurangnya wang kita selamat dari terjatuh ke tangan Barat.

Apalagi dalam suasana kemelesetan ekonomi seperti sekarang, penjimatan telah dikaitkan dengan semangat patriotik dan cintakan negara.Dalam membeli barang makanan misalnya, kita tentunya boleh mengawal diri dan keluarga kita daripada membeli makanan import, khususnya yang datang dari Barat. Langkah ini bukan sahaja selaras dengan usaha jimat-cermat yang wajib kita lakukan sekarang, tetapi ia juga mendatangkan keuntungan dari pelbagai sudut.

Makanan Barat sudah tentu tidak banyak menggunakan bahan-bahan mentah keluaran tempatan untuk membuatnya. Kebanyakannya menggunakan bahan import. Ini menyebabkan harganya menjadi lebih tinggi berbanding makanan tempatan. Harga sekeping piza yang dibuat daripada pelbagai sos, bahan dan perisa yang diimport adalah lebih mahal daripada sebungkus nasi lemak yang dibuat dari beras, ikan bilis dan santan kelapa.

Selain daripada soal harga, makanan tempatan juga lebih berkhasiat berbanding makanan Barat yang selalunya sarat dengan pelbagai perisa kimia. Ulam-ulam kampung yang hijau, bukan sahaja enak dimakan tetapi sekali gus menjadi ubat kepada banyak penyakit.

Ironisnya, fakta itu selalunya dipandang sebelah mata sahaja kerana pembeli lebih mementingkan nilai prestij dan imej yang kononnya ada apabila membeli atau memakan makanan Barat. Dari segi ekonomi, makanan Barat kebanyakannya masih terikat dengan sistem francais dari negara-negara itu. Dalam sistem ini, syarikat pengeluaran makanan Barat terpaksa membayar royalti (fees) kepada pemegang hak ciptanya di Barat.

Syarikat tempatan juga terpaksa mengeluarkan belanja untuk skim latihan dan lain-lain program kemahiran yang dianjurkan di luar negara. Itu belum dikira kos yang terpaksa dikeluarkan untuk membeli mesin, menyelenggarakan dan membaiki kerosakan yang semuanya menguntungkan Barat. Ini semua menyebabkan pengaliran wang yang bukan sedikit ke kantung pengusaha-penguasa Barat.

Taste warga kota khususnya, yang mula serasi dengan hot dog, steak, french fries, fish and chips dan lain-lain makanan Barat perlu dibiasakan semula dengan makanan Malaysia seperti pelbagai jenis nasi, kuih kampung, ulam-ulam dan lain-lain. Makanan Melayu misalnya, kebanyakannya dibuat dari hasil pertanian tempatan seperti padi, pulut, ubi dan pisang. Dengan memakan makanan tempatan, secara langsung ia akan meningkatkan hasil pertanian tempatan.

Oleh itu tidak ada apa ruginya kalau makanan Barat dipinggirkan kerana memilih makanan tempatan bukan sahaja selaras dengan langkah kerajaan malah ia juga menjimatkan, menyihatkan dan menyelerakan.

Sebenarnya secara sedar atau tidak, Barat sedang melakukan pelbagai serangan budaya di seluruh dunia termasuk melalui makanannya. Fast food misalnya, boleh mengubah corak hidup tanpa kita sedari. Bercakap mengenai fast food dan cuba mengaitkannya dengan nilai-nilai Barat, mungkin dipandang sinis oleh sesetengah pihak tetapi Barat sendiri hakikatnya sudah mendabik dada tentang hal.

Dalam sebuah tesis yang bertajuk Coca-colanisation (berasal dari jenama produk minuman Barat?) para pemikir Barat mendakwa bahawa budaya popular Barat, terutamanya budaya popular Amerika, sudah tersebar ke seluruh dunia. Pengaju tesis ini juga mendakwa ruang-lingkup budaya ini merangkumi makanan, pakaian, muzik pop, filem dan barangan konsumer Amerika yang semakin diminati oleh penduduk dunia. Justeru itu, pada mereka, nilai Barat adalah nilai sejagat dan mesti diterima sebagai satu ciri sebuah negara maju.

Walaupun anggapan angkuh Barat ini masih boleh dipertikaikan dari segi intelektual kerana seorang Melayu belum tentu berfikir secara Amerika hanya dengan memakan pizza atau fish and chips. Seperti juga seorang Amerika tidak akan bersikap seperti orang Jepun hanya dengan memakan Sushi. Tetapi jenis makanan yang dimakan dan bagaimana kita memakannya, mesti ada kesannya ke atas ekonomi, budaya, kesihatan dan sosial.

Kuih Melayu seperti karipap, lepat, koci, ketayap menunjukkan kehalusan sikap orang Melayu. Penggunaan daun pisang, isi kelapa, gula nira ditambah dengan berbagai bentuk kuih yang unik dan cantik menggambarkan seni budaya Melayu yang indah dan unik.

Hubungan budaya dengan penggunaan barang material termasuk makanan tidak dapat dinafikan. Sejak dahulu, nasi menjadi makanan ruji kepada bangsa Asia termasuk bangsa Melayu. Beras, menjadi akar budaya makan yang sudah tertanam sejak lama. Menukarnya dengan gandum atau kentang, akan menjejaskan budaya kita secara tidak langsung. Pertukaran ini sedikit sebanyak akan memberi kesan dari segi psikologi dan corak hidup.

Hal ini ketara jika dikaji dari latar-belakang dan asal-usul makanan Barat itu sendiri. Burger misalnya, adalah makanan yang tercipta berlatar-belakangkan masyarakat Barat yang kononnya terlalu sibuk hingga tidak punya masa untuk makan. Ia lebih cepat, ringkas dan boleh dimakan sambil berdiri. Sedangkan makanan Melayu kebanyakannya memerlukan sedikit keselesaan, kesopanan dan ketenangan untuk dinikmati.

Walaupun mereka yang sibuk mendakwa memilih burger boleh menjimatkan masa dan kerana itu makan makanan lain dianggap ‘membuang masa’ tetapi makan dalam budaya Melayu bukan hanya semata-mata makan. Ia ada kaitannya dengan hubungan kekeluargaan, pendidikan dan lain-lain elemen yang penting dalam kehidupan. Sambil makan sekeluarga contohnya, masyarakat Malaysia membina ikatan keluarga. Bapa, ibu dan anak-anak makan dengan tenang dan ceria.

Di mulakan dengan doa, saling bantu cedok mencedok makanan, berbual-bual mesra dan lain-lain interaksi yang bersifat interpersonal sebuah keluarga Melayu dapat diperkukuhkan melalui budaya makan. Sayangnya, sudah ramai di kalangan kita yang merasa megah atau bangga jika mampu makan Fast Food di tempat-tempat yang dianggap eksklusif walaupun terpaksa mengorbankan nilai-nilai positif tadi. Malah makan di restoran-restoran dengan nama-nama Barat itu telah dianggap satu prestij sekali gus memberi satu imej bagi menunjukkan seseorang itu kaya, terpelajar dan bergaya.

Dalam keadaan tertekan begini, suasana tenang harus terus dikekalkan. Pelbagai reaksi panik yang timbul di kalangan massa perlu diredakan. Keyakinan rakyat perlu dipupuk dan dipelihara untuk sama-sama berganding bahu bagi menjayakan sebarang langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ini. Rakyat tidak sepatutnya tidak terlalu emosi dan menggelabah dalam keadaan yang dijangka sukar ini. Namun begitu, rakyat juga tidak boleh dibiarkan terus leka atau ‘relaks’ seolah-olah tidak berlaku apa-apa. Keseimbangan berfikir dan bertindak sangat diperlukan.

Jangan terlalu panik, dan jangan pula terlalu selamba. Atas rasional inilah pemimpin-pemimpin negara telah mengeluarkan kenyataan demi kenyataan, jaminan demi jaminan, langkah demi langkah untuk memperbaiki keadaan. Sasaran utamanya ialah mengawal kenaikan harga barang makanan di tahap yang paling minima khususnya jenis barang makanan yang menjadi keperluan asasi bagi rakyat.

Apa yang penting sekarang ialah penggemblengan seluruh tenaga dan sumber yang ada untuk menghadapi krisis ekonomi yang tidak dapat dipastikan bila akan dapat diatasi. Dalam keadaan beginilah rasa kasih sesama manusia selalunya teruji. Apakah akan terjadi ‘conflict of intrest’ yang akan bakal menyaksikan keuntungan peribadi menenggelamkan kepentingan ukhwah? Apakah akan ada pihak yang sanggup membelakangkan aspirasi nasional dengan bertindak secara yang tidak patriotik?

Justeru itu, program Amerika ke arah pembentukan hegemoni budaya mesti disedari. Pada mereka, budaya dan cara hidup Amerika harus diterima sebagai satu cara hidup yang piawai bagai semua negara maju. Mungkin dalam ‘kampung sejagat’ – Global Village seperti yang dinukilkan oleh Marshall MacLuhan, Barat sudah membayangkan para remajanya akan memakai jeans, mendengar muzik rock sambil memakan burger!

Feedback

2
  • halaqahmardhatillah

    saya setuju, masyarakat memandang enteng isu boikot barangan/makanan dr US, terutama dari segi fast food. Pandangan saya, faktor pemakanan ini juga mempengaruhi akhlak masyarakat kita sekarang, terutama anak remaja. Ditambah dengan sisitem pentarbiahan yang mungkin kurang penekanan. Kerana kita pun tahu,apa2 yang kita makan akan mempengaruhi seseorang itu jugak. jika apa yang dimakan itu halal, tanpa shubhah..insyaallah akhlaknya juga baik kerana ada keberkatan di situ. harap ustaz respon.Wallahualam

  • annourr

    makanan membentuk peribadi

Leave a Reply

%d bloggers like this: