Looking for Something?

SUNYI SEKEPING HATI DI KEMERIAHAN MAULID NABI

Author:

maulid-nabiSaya berteleku, termenung dan merenung menjelang hari keputeraan baginda Rasulullah SAW kali ini. Pada usia yang semakin mendekati separuh abad, saya menghitung-hitung… apakah saya semakin dekat dengan baginda? Maksudnya, mencintai, menegakkan dan memperjuangkan sunahnya. Entah kenapa kali ini, banyak undangan untuk memberi ceramah dan forum saya tolak awal-awal lagi. Rasa benar-benar tidak layak. Rasa tidak tergamak memuji dan menyanjung Nabi Muhammad SAW dengan lidah dan hati yang berdosa. 

“Assalamualaikum, menung panjang nampaknya,” tegur isteri dari arah belakang.
“Walaikum salam,” jawab saya pendek. Saya kembali diam.
Isteri semacam sudah memahami. Dalam keadaan begini “mood” berbual saya telah tumpul.
“Masih menolak?”
“Insya-Allah, confirmed, ,” balas saya.
“Takut insiden tahun lepas berulang?” usik isteri.

Saya senyum. Ingatan kembali mengimbau forum yang saya penuhi tahun lepas. Ya, forum Maulid Nabi. Bagi saya itu insiden yang telah “mengguris” hati. Saya masih ingat bagaimana rakan panel saya dalam forum tersebut telah menerangkan secara panjang lebar tentang rahmat kedatangan Rasulullah SAW. Rahmat yang dimaksudkan ialah berkhatan!

Lebih tiga perempat masa dihabiskannya menerangkan dengan hikmah berkhatan. Lengkap dengan “joke” dan contoh-contoh yang semi lucah. Semasjid ketawa jadinya. Saya yang menjadi panel kedua, semacam “kesunyian”. Namun, saya gagahi juga menjelaskan maksud surah Al Ahzab ayat 21, bila tiba giliran saya bercakap. Saya akur, subjek yang saya bawakan agak berbeza dari sebelumnya. Walaupun saya cuba mengelak, tetapi saya akui tidak mampu mengikut rentak popular yang di canang sebelumnya.

Masih saya ingat bagaimana saya cuba menegaskan betapa kita hanya mampu menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan jika memiliki tiga syarat – pertama, rasa harap kepada Allah. Kedua, rasa harapkan Hari Akhirat dan ketiga, bila hati mengingati Allah dengan banyak. Ini syarat yang dinyatakan secara jelas oleh surah yang sering dibacakan bila tiba musim maulid.
“Untuk kita merasai perlunya Tuhan dan mengharapkan-Nya, terlebih dahulu kita mesti menginsafi kelemahan diri dan terasa kebesaran Ilahi.” Saya masih ingat itulah peringatan yang saya berikan kepada audiens. Namun kali ini peringatan itu kembali menerjah diri sendiri…

“Umat ini mesti diajak dan dididik kembali meyakini akan adanya Hari Pembalasan sekali gus rindukan syurga dan takutkan neraka,” tekan saya lagi walaupun hanya sepertiga hadirin yang masih segar manakala yang lain sudah “tangkap lentuk” kerana masa sudah semakin suntuk. Biarlah, saya teruskan juga dengan lebih bersemangat walaupun hakikatnya saya sedang memberi “semangat” buat diri sendiri.

Saya masih ingat metafora yang saya berikan pada malam itu…
“Kalau kita sedang memandu di sebuah lebuh raya, tiba-tiba kenderaan yang datang dari arah bertentangan mengelip-ngelipkan lampunya. Satu demi satu… apa petandanya itu?” tanya saya.
“Ada polis di hadapan!” jawab hadirin beramai-ramai.
“Jadi apa yang kita buat?”
Ada yang menjawab pakai tali pinggang keledar. Kurangkan halaju, jawab yang lain. Campakkan telefon ke sisi jika kita sedang berbual tanpa “hand free”.

“Kenapa kita bertindak demikian?” tanya saya.
“Sebab kita percaya di hadapan ada polis walaupun kita belum nampak. Hanya dengan isyarat, kita sudah yakin. Keyakinan itu melahirkan tindakan, betul atau tidak?” tambah saya lagi.
Pendengar mula terdiam. Mungkin sudah terfikir ke mana arah sebenarnya metafora yang saya ajukan itu.
“Keyakinan pasti melahirkan tindakan. Begitulah sewajarnya dengan keyakinan kita kepada Hari akhirat. Pasti ada tindakan. Walaupun belum nampak. Kalau kita percaya kepada pemandu-pemandu kenderaan yang hanya mengelip-ngelipkan lampu padahal kita tidak kenal pun siapa mereka. Entah mereka berbohong, entah mereka hanya bergurau… tapi kita terus percaya dan bertindak…”
“Sekarang saya ingin bertanya, siapa yang membawa berita tentang hari akhirat, syurga dan neraka ini?”

Senyap.
“Bukankah dia yang kita rayakan hari kelahirannya pada malam ini? Yakinkah kita kepadanya? Baginda bukan sekadar mengelipkan lampu bahkan berjuang habis-habisan untuk meyakinkan kita tentang syurga dan neraka.”
“yakin atau tidak?”
Masih diam. Sebahagian mula mengangguk-anggukkan kepala.
“Kalau yakin mana tindakan kita?”
Walaupun suara saya agak kuat ketika itu, tetapi dalam hati begitu sayu rasanya. Hati kecil saya seakan-akan turut berkata, sebenarnya diri kau juga tidak berapa kenal dan yakin kepadanya. Berapa banyak sunah yang telah kau ditegakkan?

Malam itu ketika memandu pulang hati saya sayu. Mengulangi rasa hati yang sama tiga tahun yang lepas ketika sambutan Maulid di sebuah mini stadium di pinggir ibu kota. Apa tidaknya, setelah tamat ceramah, bernasyid dan berselawat… stadium di penuhi dengan taburan sampah yang berselerakan. Kotor dan semak sungguh kelihatannya. Kalaulah kehebatan mendengar ceramah, bernasyid dan berselawat dibuktikan juga dengan sunah menjaga kebersihan… bukankah lebih baik? Nabi Muhammad SAW sangat suka kebersihan yang disifatkannya sebagai sebahagian iman… tetapi sayang kita membuat kotor dalam kehangatan menyambut hari kelahirannya. Apa bezanya dengan sampah sarap yang terhasil oleh mereka yang menyambut perayaan lain?

“Sudahlah, kalau keberatan cakapkan sahaja. Tidak pula orang ternanti-nanti.”
Tiba-tiba suara isteri memutuskan lamunan panjang.
“Saya nak menulislah…” jawab saya masih pendek.
Isteri semacam sudah memahami apabila komputer riba saya telah di “on”kan dan segelas air suam telah disediakannya. Malam itu ketiak jari jemari tangkas berketik menekan butang komputer saya tercari-cari rasa-rasa hati yang hebat kepunyaan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimana hati mu wahai Rasul ketika kau berkata,”jangan kau seksa penduduk Taif, kerana aku mengharap dari sulbi mereka akan lahir keturunan yang beriman…” (Ketika menjawab permintaan Malaikat untuk mengazab penduduk Taif yang mendustai dan melukakannya dengan lontaran batu)

Bagaimana hati mu wahai Nabi ketika kau berkata,” hari ini aku maafkan kamu semua wahai penduduk Makkah. Kamu semua adalah saudara ku…” (ketika pembebasan Kota Makkah dan memberi pengampunan beramai-ramai kepada orang yang pernah mengejek, menyeksa dan ingin membunuhnya dahulu.)

Bagaimana hati mu wahai kekasih Allah ketika kau berkata,” umat ku, umat ku… (ketika hampir menemui ajal sedang Siti Aisyah kesayangan mu dan lain-lain anggota keluarga lain berada di sisi sedangkan mulut mu tetap mengingati kami… umat mu!)

Bagaimana hati mu ya Rasulullah… tidak terjangkau oleh hati kami yang berdosa ini. Tak mungkin, tak mungkin ada lagi hati yang sesuci begitu. Hati yang kotor ini cuma mampu merintih: Berikanlah aku ya Allah, hati mampu berharap untuk dapat mencintai… hati yang seperti itu!

Feedback

11
  • paenfs

    Assalamualaikum Ustaz.

    Terima kasih untuk “sunyi sekeping hati di kemeriahan maulid nabi”.

    Kesayuan yang di gambarkan dapat saya rasai, alhamdulilah dapat juga saya pelajari sesuatu daripada penulisan ustaz.

    Sebenarnya, sememang saya tidak tahu bagaiman hendak menyambut Maulid Nabi setiap tahun kerana kurangnya pengetahuan dan penghayatan.

  • gentarasa

    Salam, pertama ada rasa gembira dengan ulang tahun kelahirannya. Kedua, ada rasa sayu setelah ditinggalkannya sekian lama. Ketiga, ada rasa marah bila syariat dan sunnah yang dibawanya dipinggirkan. Keempat, ada azam yang kuat untuk menegakkan sunahnya walaupun cuma sekecil-kecil perkara. Dan akhir, ada rasa rindu melihat wajahnya, untuk bertemu dengannya… satu hari, pasti.

  • Azman

    Askum Ust,sayunyer hati tatkala membaca artikel ini,teringat zaman dulu tika muda berjuang,berkorban sungguh2,atas nama agama,tegakkan sunnah nabi dikala orang membenci,tika itu agama dipandang sepi sekali,sesiapa yg mengamalkannya pasti direnung dan diumpati,tapi kini tatkala semua orang sudah mula sedar dan insaf ingin kembali kepada agama,kemana perginya mereka yang mempelopori aktiviti agama itu? Dimana kekuatan diri untuk menegakkan sunnah Nabi? Islam jadi tempelan dan batu loncatan demi meraih sesuatu..sedih,pilu,sepi silih berganti menghantui perasaan ini.

  • hanisah

    salam ustaz. sangt susah utk terus mendidik hati agar terus ingt cinta dan sayang pada Allah dan Rasulullah.membaca perkongsian ustaz ni,alhamdulillah mengingatkan kembali diri yang lupa.jazakallh…

  • abuyon

    Barangkali kerana pewarisnya tiada berdekatan. Kata orang tiada akar, rotan pun berguna.

  • catalyzerb

    salam..
    artikel ini sungguh menyentuh jiwaku..tetapi rangkap ini agak bercanggah dgn hadith;
    “Bagaimana hati mu wahai kekasih Allah ketika kau berkata,” umat ku, umat ku… (ketika hampir menemui ajal sedang Siti Aisyah kesayangan mu dan lain-lain anggota keluarga lain berada di sisi sedangkan mulut mu tetap mengingati kami… umat mu!)”..
    Rasullulah s.a.w hnya menyebut “bersama shabat tertinggi,bersama sahabt tertinggi”(hadith Bukhari)..
    maaf atas pndangan ini,semoga Allah membri rahmat kpd genta-rasa,atas penulisan2nya yg begitu bermotivasi..
    wassalam

  • nurizz

    ilahi anta maqsudi waridho kamathlubi.

    Allah maksud hidup kita

  • nurizz

    Assalamualaikum ustaz,

    Baru-baru ini saya telah menghadiri sambutan maulidur rasul. Antara pesanan yang sempat saya catat dan boleh dikongsikan bersama ialah kita perlu lebih menumpukan amal sir berbanding amal jawarih krn kita tak mampu sembahyang 24 jam sementara amal sir kita sntiasa boleh mengamalkannya. Kalau kita henti amal sir, maka oksigen utk roh tlh berhenti. Soalannya…Apakah akan berlaku jika kita berhenti bernafas?? Dgn cara yang sama, kalau kita hentikan amal sir, hati kita akan mati. Cara amal sir – berterusan ingat di hati Allah adalah maksud hidup kita.
    Doakan moga saya, ustaz dan kita semua mendapat taufiq hidayah dr Allah dan terimakasih dgn kata-kata motivasi ustaz

  • um masyitah

    assalamualaikum ustaz,alhamdulillah.
    saya tertarik dengan kata penuh sentuhan rasa ini.izinkan saya copy sebahagiannya ke blog saya..

  • siti sofiah

    salam ustaz..
    ya ALLAH… rasa sebak benar di hati ini tatkala membaca artikel ini…. speechless….
    bagaimana rasa di hati Baginda apabila meelihat kita dalam keadaan skarang~~`

  • Nur adrenalin

    Muhammad Khaira Khallillah… the best of mankind….insan terpilih yg memandang sepi pd kemewahan, menghabiskan 2/3 mlmnya ditikar sembahyang hingga bengkak kaki……pujian @ kejian tidak memberi kesan pdnya….

Leave a Reply

%d bloggers like this: