Looking for Something?

graviti hati

Author:

hatiSewaktu menulis ini saya di Naza Hotel JB. Insya-Allah, akan terus di sini hingga Ahad nanti untuk mengendalikan kursus dengan warga Bank Rakyat cawangan Kulai, Taman Universiti Skudai dan Pontian. Semalam saya bersama ustaz Zamri di IKIM.fm dalam slot buku – menjelaskan objektif dan segala persoalan berkaitan buku Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau kurang Zikir.
Mudah-mudahan semua itu ada kebaikannya untuk umat. Soalan yang santai tapi tajam daripada ustaz menghidupkan suasana perbincangan. Ditambah lagi oleh bantuan daripada Tuan Haji Muhammad Zakaria. Entah kenapa, banyak yang saya tidak fikirkan sebelumnya terlontar bersahaja melalui dialog itu.

Sebelum bertolak tadi, ustaz Zamri memberitahu bahawa banyak respons positif diterimanya daripada dialog semalam. Mudah-mudahan itu juga akan memberi satu aspirasi menjelang terbitnya buku saya NOTA HATI SEORANG LELAKI dan 7 LANGKAH CELIK MATA HATI nanti. Insya-Allah.

Namun, kali ini ada sesuatu yang penting, yang ingin saya kongsikan bersama. Selepas sahabat saya Zakaria Sungip memberikan satu VCD – tentang hukum daya tarikan dalam kehidupan (maaf Zek, kerana tidak dapat memenuhi permintaanmu untuk mengulas novel hebat buah tangan penulis baru yang berbakat besar itu… kita kesuntukan masa), saya ingin meluahkan rasa hati saya terhadap apa yang dipaparkan oleh VCD itu. Inilah luahannya…

Sahabat, apa yang kita fikirkan, sangat mempengaruhi hati. Justeru, jika kita ingin mengetahui bagaimanakah keadaan pemikiran kita – sama ada positif atau negatif, kesanlah perasaan kita. Ceria atau nestapa. Jika ceria, insya-Allah itu petanda fikiran kita positif dan insya-Allah tindakan-tindakan kita pun akan jadi positif juga. Tindakan yang positif, akan menghasilkan natijah yang positif.

What you see, is what you get – apa yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat. Maksud “see” di sini bukan dengan mata, tetapi dengan pemikiran dan perasaan. Jika pemikiran kita positif terhadap sesuatu perkara, maka kita akan mendapat sesuatu yang positif daripadanya. Tetapi jika kita melihat sebaliknya, yang negatif akan kita dapat sebagai balasannya.

Dalam kaedah psikologi ada yang dinamakan “reframing” – yakni, memberi erti baru kepada sesuatu yang negatif. Misalnya, ketika dibuang kerja… Itu buruk bukan? Tetapi cuba beri erti baru, itu sebenar peluang untuk kita mencari pekerjaan yang lebih baik. Mungkin juga untuk memberi ruang bagi meneruskan pelajaran. Atau memberi tumpuan yang lebih kepada keluarga. Bukan menafikan realiti, tetapi dengan “reframing” kita akan dapat ketenangan hati dan kestabilan fikiran untuk menyelesaikan kemelut kehidupan.

Itu semua kaedah yang dianjurkan oleh pakar psikologi. Tetapi Islam punya kaedah yang lebih hebat daripada itu. Kita ada ajaran bersangka baik sekali gus dilarang berprasangka (itu satu dosa). Kita ada anjuran untuk berdoa – bukankah dalam doa kita pinta yang baik-baik dan pinta dijauhkan daripada yang buruk. Kita ada tawakal, ada solat hajat, ada istikharah dan ada muzakarah. Semuanya yang dibuat atas dasar yang baik dan mengharap yang baik-baik.

Semunya itu hakikat satu “mekanisme Ilahi” untuk melakarkan sesuatu yang positif dal;am fikiran dan hati para insani. Malah, Allah sendiri menegaskan –  AKU menurut sangka hamba-KU! Jadi, inginkan kebaikan? Sangka baik dengan Allah, dengan diri sendiri dan dengan orang lain serta sikon (situasi & kondisi) yang dihadapi.

Ingat betul-betul bahawa hati itu umpama magnet. Ia mempunyai kuasa menarik sesuatu yang di luar diri. Apa yang dirasakan, menentukan apa yang diterima sebagai pantulan. Justeru, penting sekali bersangka baik, agar kebaikan akan ‘ditarik’ ke dalam diri. Jauhi daripada prasangka dan dendam, kerana itu jua yang akan diterima sebagai balasan. Sekali lagi… hati umpama magnet, semaikan rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai kebaikan. Jangan sekali-kali menyemai badai, nanti terpaksa pula kita menuai taufan!

Hati itu bolak-balik sifatnya. Sabda nabi, bagai kuah yang mendidih dan menggelegak. Simpang-siurnya begitu licik. Naik turunnya, berbolak-balik. Kekadang ia baik, bagaikan asal mulanya sejak dulu. Jadi kain bersih yang menghamparkan kejernihan dan kesucian. Namun, seseketika bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.

Para Muttaqin pernah memberi petunjuk… Bila hatimu keras, buas dan liar sekali, bukalah Al Quran, bacalah dan tadabbur akan makna dan rasanya. Al Quran itu bukankah penawar hati? Namun jika masih keras juga, dirikan solat. Solat itu zikir penyucian hati. Namun sekiranya masih keras jua… bangunlah di dinihari. Berwuduk dan berdoalah, pintalah kepada Tuhan agar dikurniakan hati yang lain kerana hati yang kau miliki waktu itu hakikatnya bukan lagi hatimu!

Hati itu ditarik antara dua graviti. Pertama, graviti tahap tinggi pintalan ilham para malaikat. Kedua, graviti menjunam lembah kehinaan simpulan para syaitan. Ketika melihat simiskin meminta-minta, suara hati berdetik… bantulah dia, insan lara yang datang kerna kemiskinan. Namun sedetik cuma, tiba-tiba graviti bertukar, memberi alasan, biarkan… itu balasan buatnya akibat kemalasan! Kau prasangka? Bukan, cuma berhati-hati. Dan atas alasan ‘berhati-hati’ ramai yang telah enggan memberi tetapi masih merasakan diri baik hati!

Ingat mati – pembasuh hati yang gelisah dan jiwa yang resah. Cukuplah mati sebagai peringatan dan amaran. Ingat mati akan memadamkan rasa nikmat melakukan maksiat. Ingat mati akan memadamkan rasa enggan melaksanakan kebaikan. Ingat mati itu sesungguhnya menghidupkan hati. Tetapi… sayang, kita kian lupa untuk mengingatnya. Lalu, kita terkapa-kapa antara tarikan dua graviti hati… membuat kebaikan belum terasa kemanisannya, melakukan kejahatan tidak sunyi diburu rasa keresahannya!

Feedback

5
  • srikandi

    masyALLAH…saya tidak sabar menantikan buku2 baru Ustaz di pasaran!

  • gentarasa

    Salam, terima kasih. Mudah-mudahan Allah permudahkan. Salam Jumaat yang berkat!

  • hamba ALLAH

    salam ustaz pahrol..
    saya sebenarnya telah lama ingin bertanya ustaz tentang ingat mati..

    memetik kata-kata ustaz seperti diatas
    Ingat mati – pembasuh hati yang gelisah dan jiwa yang resah.

    masalah saya skg, saya ingat mati tapi jiwa makin gelisah dan resah.saya menjadi takut dan hilang semangat membuat kerja.badan saya pula, saya rasa kan sakit-sakit…saya menjadi murung..lebih mengerikan hidup apabila melihat berita orang-orang yang mati diusia muda..aduii..seksanya jiwa..saya rasa kalaulah saya yang berada ditempat mereka betapa tidak bersedianya saya..

    apa masalah saya sebenarnya ustaz ?
    apa patut saya lakukan ? ada rakan yang berkata perlu redha untuk mencapai ketenangan..masalahnya hendak redha pun dirasakan payah..
    harap ustaz dapat membantu

  • gentarasa

    Salam, ingat mati bukan bererti takut mati. Ramai orang yang takut mati, ini akan menimbulkan keresahan, kebimbangan untuk berpisah dengan segala kesayangan kita di dunia. Sebaliknya, kalau kita ingat mati, semangat untuk hidup akan semakin menyala-nyala. Ini kerana persediaan untuk menghadapi mati dibuat semasa kita hidup.

    Mengingatkan mati juga akan menimbulkan rasa hilang lazatnya dosa. Malah yang halal pun kita nikmati secara berpada-pada. Memang, kekadang sukar dibezakan antara TAKUT mati dengan INGAT mati. Namun, yang terpuji ialah ingat mati. Manakala yang keji, takut mati.

    Ramai yang takut mati dalam sangkanya “ingat” mati. Jadi, sama-samalah kita muhasabah… kita ini ingat mati atau takut mati atau LUPA mati.

  • adlin

    salam ustaz… macam mana nak capai apa yang ditulis oleh ustaz…
    kekadang hati ingin berubah.. namun situasi sekeliling yg asyik memperkatakan akan keburukan yang lalu mematahkan semangat yang baru hendak bangkit…..

Leave a Reply

%d bloggers like this: