RSS

KEMATIAN YANG DIHADAPI OLEH RASULULLAH SAW

23 Mac

madinahMinggu lalu saya menerima berita yang mengejutkan. Kematian isteri seorang sahabat lama. Masih dikira muda. Tak dapat saya bayangkan kesedihan sahabat saya itu. Anak-anak masih kecil dan perjalanan seakan masih jauh. Tiba-tiba teman seperjalanan yang sekian lama setia dan bersama “hilang”. Saya resapkan kesedihannya. Saya letakkan diri di tempatnya. Ah, terlalu pedih. rasanya.

Namun saya gagahi juga untuk menulis… kematian yang dihadapi oleh Rasulullah SAW. Mudah-mudahan dengan catatan ringkas ini ada model untuk kita tatapi dalam ratapan hati ini… Inilah luahan hati saya:

Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.

Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abu Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Tinggallah Rasulullah SAW dengan kekasih hatinya, Khadijah. Namun, tidak berapa lama Khadijah pula mengikut jejak bapa saudaranya. Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan.

Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.

Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di Karbala.

Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan… ketika itulah baginda menyebut, “rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!”

Dalam “kamus” kehidupan para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa.

Namun begitu, di saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita… umat yang akan ditinggalkannya.

Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:
“Aku telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?” Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: “Mengapa engkau tidak kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: “Mengapa ada pula barang ini?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah baiknya kalau barang itu ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!”

Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Tulisan ini cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki itu. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu tepat dan padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!”

 
10 Komen

Posted by di 23 Mac 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

10 responses to “KEMATIAN YANG DIHADAPI OLEH RASULULLAH SAW

  1. Amaluddin Mohd Napiah

    24 Mac 2009 at 6:12 am

    Slm Ust Pahrol. Alhamdulillah, ana pengunjung tetap blog ust dan ana telah linkkan juga adress ust ke blog ana. Artikel2 ust byk mendidik ana, alhamdulillah.

    Ust: Pada catatan kisah pakcik Nabi saw, ana rasa ust nak tulis Abu Talib, tetapi mungkin tertulis Abdul Mutalib. Mungkin ana tersalah. Ana mohon maaf. Jumla lagi ya.

     
  2. gentarasa

    24 Mac 2009 at 7:48 am

    Salam,
    Jazakallah ustaz atas teguran. Ana akan betulkan segera. harap tegur-tegurlah ana yang menulis adakalanya dalam keadaan bergegas. Ana lebih banyak belajar dari ustaz. Tahniah, ana pun sentiasa ziarah ke blog ustaz.

     
  3. Azman

    24 Mac 2009 at 2:33 pm

    Salam,alangkah indahnya jika tulisan ini dapat dibaca oleh semua golongan dan dirasai. Betapa agong dan hebatnya peribadi rasulullah. Tetapi sayang seribu kali sayang,keadaan manusia hari ini menunjukkan seolah-olah mereka akan kekal selamanya didunia ini.

    Perebutan kuasa yang tiada berkesudahan,hingga umat berpecah belah dari sehari ke sehari tidak menunjukkan tanda-tanda ianya akan reda.Apakah kematian belum cukup untuk mengingatkan kita?

     
  4. Iman

    17 Julai 2009 at 9:21 am

    salam perkenalan ustaz..

    Artikel yg sangat menarik.syukran ustaz atas penulisan ini, ianya membuka mata hati saya utk muhasabah diri…

    teruskan perjuangan ustaz di bidang ini, insya ALLAH saya setia membacanya..

    wassalam.

     
  5. gentarasa

    20 Julai 2009 at 8:37 am

    Salam Iman,
    Syukran atas respons. Kesedihan Rasulullah SAW telah dihiburkan oleh Allah. Semuga kita juga dapat serpihan kurnia yang sedemikian. Amin.

     
  6. khairul

    19 Ogos 2009 at 7:09 am

    salam ustaz,

    artikel ini ringkas tapi padat…

    mati adalah pasti…..

    tapi macam mana kita nak bimbing dan dakwah orang supaya selalu ingat pada mati kerana ramai orang tahu ia akan mati tapi tetap melanggar hukum-hukum Allah, tak laksanakan kewajipan.. lebih lebih lagi remaja sekolah.

    minta bagi pandangan ye ustaz, saya sebenarnya seorang warden yang menjaga sebuah sekolah asrama

     
  7. gentarasa

    19 Ogos 2009 at 9:41 am

    Salam,
    Untuk mengingatkan manusia kepada mati, mesti bermula dengan menjawab untuk apa manusia hidup? Remaja perlu didekati melalui subjek yang paling hampir dengan mereka. Dan subjek mati diselitkan secara tidak direct pada mulanya. Yang paling penting, sebelum berdakwah rebutlah kepercayaan mereka terlebih dahulu. Untuk mendapat kepercayaan, perlu ada kasih sayang. buktikan kasih sayang dan perbuatan dan perhatian yang benar-benar ikhlas. Selepas itu barulah apa yang kita perkatakan akan didengar, dipercayai dan diikuti.

    Menjadi warden sangat besar amanahnya, sangat sukar tugasnya tetapi terlalu tinggi nilainya di sisi Allah. Murabi atas tugas warisan para nabi.

     
  8. hairul bin maisar

    16 Jun 2010 at 9:41 am

    salam ust..
    mohon share artikel ni….

     
  9. rohasliza

    10 Ogos 2010 at 8:57 am

    terima kasih….

     
  10. Anas

    12 Jun 2014 at 4:58 pm

    “Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil.”.. menurut sirah, baginda dikurniakan 7 anak, tiga lelaki dan empat perempuan. Salah seorang anaknya adalah dari Mariah al Qibtiyah..yang lainya dari Khadijah.

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,179 other followers

%d bloggers like this: