RSS

MENGHAPUSKAN POLITIK WANG HINGGA KE AKAR UMBI?

25 Mac

zikir-1Semua orang benci rasuah. Tetapi kenapa terlalu susah untuk menghapuskannya? Nanti saya akan cuba menyentuh persoalan ini. Tetapi kali ini saya hanya akan menyentuh punca-puncanya sahaja. Ini kerana saya lihat, seolah-olah orang kelihatan hilang punca dalam menangani rasuah – hanya fokus pada sistem, akta dan undang-undang, bukan pada  “manusia”nya. Dan lebih malang lagi, kekadang Tuhan dipinggirkan. Neraka dan akhirat tidak dikaitkan. Mari kita cuba melihat rasuah dari sisi yang saya akan paparkan ini:

Politik wang, pecah amanah, sogokan dan lain-lain bentuk rasuah adalah dosa-dosa luarbiasa yang sudah dianggap biasa. Ia adalah dosa yang ’luar biasa’ kerana rasuah bukan sahaja merosakkan kehidupan individu yang terlibat, masyarakat dan negara, bahkan akan menyebabkan penderitaan yang dahsyat di akhirat kelak. Ironinya, ia juga dianggap ’biasa’ kerana sudah kerap benar berlaku, dilakukan oleh semua peringkat masyarakat, malah hampir-hampir menjadi budaya.

Anehnya, negara-negara Islam adalah antara negara yang paling terkehadapan dalam pengamalan rasuah. Ini satu hakikat yang sangat memalukan. Kalau kita terus berhujah bahawa ada bezanya antara agama Islam dan umatnya yakni Islam sentiasa unggul tetapi masalah hanya terletak pada umatnya… bagaimana kalau nanti ada pihak yang mula mempersoalkan, kalau begitu mana keupayaan Islam dalam mendidik umatnya menjadi baik?

Kita tinggalkanlah dulu persoalan yang boleh mengundang polemik itu. Kita kembali kepada soal pokok. Mengapa rasuah seolah-olah menjadi budaya? Pakar psikologi menyatakan, kejahatan (dalam konteks ini rasuah) bukanlah kerana kebetulan atau keterlanjuran yang berlaku sekali-sekala tetapi ia adalah satu kebiasaan yang telah lama berakar-umbi justeru telah dilakukan berulangkali. Perasuah-perasuah ‘profesional’ sebenarnya sudah memulakan ‘karier’ mereka sejak awal lagi.

Kenapa seseorang itu terlibat dengan rasuah – memberi, menerima atau menjadi perantaranya? Tidakkah semua orang tahu keburukan rasuah dan bencikannya? Politik wang misalnya, dikecam oleh semua pihak. Seolah-olah semua pihak bencikannya, tetapi anehnya ia terus berlaku. Benar-benarkah yang mengecam dan membencinya telah berpatah arang dengannya? Berani kita katakan bahawa mereka yang mengecam rasuah kekadang turut sama melakukannya.

Tapi kenapa mereka melakukannya? Miskin? Ingin ditegaskan miskin bukan sebab utama orang melakukan rasuah. Tidak percaya? Lihat orang kaya pun terlibat dengan rasuah. Pangkat rendah? Sekali lagi kita terkejut, perasuah kerapkali bukan dari kalangan mereka yang berpangkat rendah. Orang yang berpangkat tinggi, yang berkuasa pun melakukan rasuah. Terdesak? Tidak juga, kerana ada orang yang tidak terdesakpun tergamak melakukan rasuah.
Sewaktu menghadiri satu seminar mengenai Integriti dalam Pengurusan tidak lama dahulu, seorang pembentang kertas kerja menegaskan bahawa rasuah disebabkan oleh NGO – ‘need’, ‘greedy’ dan ‘oputournity’. Rasuah berpunca daripada sifat tamak. Akibat tamak, seseorang lebih mementingkan diri berbanding orang lain. Asal aku senang, orang lain sudah tidak peduli. Tamak tidak mengira seseorang itu kaya atau miskin, pemimpin atau pengikut, pandai atau jahil. Bila ada sahaja sifat tamak, maka seseorang berpotensi untuk melakukan rasuah.

Kenapa pula seseorang itu tamak? Dalam Islam, tamak adalah antara sifat mazmumah (buruk). Menurut Islam lagi, sifat mazmumah berpunca dari iman yang lemah. Tegasnya, manusia yang melakukan rasuah ialah manusia yang lemah iman atau langsung tidak beriman. Iman itu pula apa? Secara mudah kita katakan, iman itu adalah keyakinan terhadap Allah dan Hari Akhirat.

Keyakinan bukan sesuatu yang bertapak pada akal sahaja, tetapi mesti bertunjang di hati. Jika hanya akal yang mengetahui tetapi hati tidak merasai, maka iman itu lemah. Iman yang lemah ini terdedah kepada sifat mazmumah. Orang yang lemah iman, hanya mampu untuk tidak melakukan kejahatan di hadapan manusia, atau ketika diawasi oleh undang-undang tetapi bila bersendirian atau undang-undang tidak dikuatkuasakan, ia akan melakukan kejahatan sewenang-wenangnya.

Sebaliknya, orang yang beriman – percaya kepada Allah dan hari pembalasan, akan meninggalkan rasuah dalam keadaan apa jua sekalipun. Cukup bagi mereka amaran daripada Rasulullah ini, hadis dari Thauban katanya:
“Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya,” (HR Ahmad & Hakim).

Bila Rasulullah saw, kekasih Allah itu telah melaknati kita maka mana upaya lagi untuk kita mendapat keberkatan dan ketenangan dalam hidup? Pada waktu itu, wang, harta, kuasa yang sebanyak manapun tidak berguna lagi. Cuba lihat betapa ramai orang yang kaya, tetapi hidupnya resah – rezekinya telah cukup tetapi masih tidak cukup-cukup (kaya harta, miskin jiwa). Inilah impak laknat yang maknawi sifatnya tetapi sangat menghancurkan kehidupan – ‘neraka’ dunia, sebelum neraka akhirat!

Lebih buruk lagi, satu dosa itu kerap kali mempunyai ‘reaksi berantai’ dengan dosa-dosa yang lain. Rasuah misalnya, boleh menjangkit kepada zina, judi, arak, bunuh dan sebagainya. Malah menurut pengalaman, wang yang didiperolehi dengan cara yang haram, selalunya mudah dibelanjakan ke jalan yang haram juga. Begitu juga kuasa atau jawatan yang didapati secara haram (politik wang), akan sering digunakan ke arah yang haram (salah guna kuasa, penzaliman dan penindasan).

Jadi bagaimanakah cara sebaiknya kita boleh membenteras rasuah? Apakah cukup dengan mengenakan undang-undang yang ketat dan keras. Atau apakah ada cara lain yang lebih berkesan? Tidak dinafikan undang-undang perlu untuk membenteras rasuah tetapi itu bukan jalan penyelesaian yang muktamad. Lihatlah betapa kerasnya undang-undang untuk pengedar dadah… hukuman mati mandatori! Namun, mengapa masih ramai yang berani mengedar dadah?

Begitulah hukuman terhadap orang yang rasuah, walau bagaimana keras sekalipun masih ramai yang berani melakukannya. Apatah lagi bila rasuah telah menjadi budaya – yakni diamalkan secara majoriti – maka ketika itu orang yang tidak mengamalkannya pula dianggap ‘bersalah’ dan terpinggir. Acapkali, yang salah dianggap benar, yang benar pula dianggap salah. Dalam masyarakat yang terlalu rosak, memberi dan menerima rasuah sudah dianggap satu ‘skill’ dalam urusan perniagaan dan pentadbiran. Filem Sivaji The Boss, sedikit sebanyak berjaya menggambarkan keadaan itu.

Untuk menangani rasuah yang telah membudaya, kita perlukan kaedah pencegahan dari dalam, dibuat secara bertahap-tahap dan memakan masa yang lama. Maksudnya, kita perlu mengatasi sebab-sebab dalaman (yang berkait dengan soal iman dan taqwa). Seperti yang telah ditegaskan sebelumnya, rasuah dilakukan oleh manusia yang tidak yakin akan pengawasan Allah serta pembalasan-Nya di akhirat.

Oleh itu, cara terbaik mengatasi rasuah ialah dengan melaksanakan program kesedaran, pendidikan dan kepimpinan yang berterusan kepada masyarakat. Terutamanya untuk generasi muda. Awal-awal lagi perlu ditanamkan rasa beriman kepada Allah melalui pendidikan formal dan informal. Kemudian ajak remaja menghayati rasa beriman itu dalam kehidupan sehari-hari. Beri bimbingan dan pimpinan selalu kepada golongan remaja. Isi dan fokuskan program itu ke arah pemantapan iman menerusi kaedah-kaedah yang sesuai dengan jiwa mereka yang dinamik, aktif dan ‘adventureous’.

Kita tidak boleh mengharapkan kepada undang-undang dan hukuman semata-mata. Kadangkala kita sudah ada undang-undang yang keras, tetapi masalahnya sukar pula untuk dikuatkuasakan. Sinisnya, sering terjadi ‘pemautau’ rasuah pun kekadang perlukan pemantauan. Bak sinikata lagu Allahyarham P. Ramlee, “al hasil, balik asal…. Itu pasal tak hasil.” Bila manusia mencipta undang-undang, maka manusia sentiasa ada cara untuk mengatasi atau melepasi undang-undang itu. Sebab itu pada sesetengah keadaan, jaring undang-undang hanya mampu menjerat ‘siikan bilis’, manakala ‘sijerung’ dan ‘sipaus’ dapat memboloskan diri. Jadi, langkah terbaik ialah melalui pendidikan, kesedaran dan bimbingan yang berterusan dan bermula dari peringkat muda lagi.

Usaha membenteras rasuah perlu dimulakan diperingkat kanak-kanak dan remaja. Benteras keburukan supaya jangan jadi kebiasaan. Kata pepatah Arab, mendidik sewaktu kecil bagai melukis di atas batu. Mendidik sewaktu dewasa bagai melukis di atas air. Maksudnya, bukan mudah kita hendak melatih diri kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan apabila sudah meningkat usia.

Jadi, sementara kita masih di peringkat remaja, jangan sekali-kali kita cuba melakukan rasuah atau kejahatan yang seumpama dengannya. Misalnya, remaja menyogok kawannya untuk mendapat sesuatu yang bukan haknya. “Aku belanja kau makan kalau kau menyiapkan ‘asignment’nya. “Eh, kau tak ingat dulu aku tolong kau? Eh, janganlah kedekut sangat brader… bagilah aku tiru sikit.” Ini semua juga bibit-bibit kepada rasuah. Mula-mula, hal kecil, tetapi lama kelamaan melarat menjadi hal yang besar-besar. Mula-mula tentang ‘kerja rumah’ akhirnya tentang ‘buat rumah’.

Oleh itu penting sekali membuang atau mengikis sikap tamak dalam hati remaja. Cuba tanam kesedaran bahawa sikap tamak yang membawa kepada rasuah tidak akan menguntungkan kita. Orang tamak selalu rugi. Apabila kita cuba mengambil sesuatu yang bukan hak kita, kita sebenarnya mengundang kecelakaan. Memang, kita mungkin mendapat apa yang kita inginkan, duit, harta, keseronokan dan sebagainya… tetapi kita tidak akan temui ketenangan dan kebahagiaan.

Sekiranya, setelah berusaha namun masih ditakdirkan tidak mendapat kerja yang baik. Mungkin sekadar buruh, pembantu pejabat atau tukang sapu, namun tanamkanlah ke dalam jiwa mereka bahawa mencari rezki dengan cara yang halal, walaupun hasilnya sedikit adalah lebih baik daripada rezeki yang banyak tetapi haram. Terimalah kesusahan yang sedikit di dunia demi mengharapkan kenikmatan yang berkekalan di akhirat.

Kata orang, jangan cuba menaiki tangga dengan cara melompat. Biar sedikit, tetapi halal dan berkat… itu lebih baik daripada banyak tetapi haram dan mudarat. Justeru, sejak pada usia muda semacam itulah remaja harus dibiasakan dengan wang dari sumber yang halal kerana bila dewasa dan memegang amanah yang lebih tinggi nanti, mereka akan terbiasa dengan kejujuran, amanah dan prihatin terhadap keadaan orang lain. Sekali lagi beringat-ingatlah… kejahatan bukanlah kerana keterlanjuran tetapi satu kebiasaan yang telah lama berakar-umbi. Maka begitu juga dengan kebaikan, ia bukan satu kebetulan tetapi satu kebiasaan yang dihasilkan oleh latihan berterusan! Ingat kata pepatah pujangga:
“Untuk mengenal kebaikan seribu tahun tidak cukup tetapi untuk mengenal kejahatan… satu hari telah terlalu lama!”

 
5 Komen

Posted by di 25 Mac 2009 in Politik / Siasah

 

Label: , , , , ,

5 responses to “MENGHAPUSKAN POLITIK WANG HINGGA KE AKAR UMBI?

  1. sukri

    4 Mei 2009 at 12:14 pm

    as`kum wr. wbt…
    Ustaz, sbnrnya ana tertanya2 knp setiap artikel ustaz ada komen @ perkongsian ilmu, namun dalam artikel berkaitan ‘rasuah’ ini tiada yg mahu memberi sebarang pendapat. Bagi ana, rasuah merupakan satu gejala yg sedang menular hebat di negara kita. Ana tidak mahu melihat benda yg luas, namun fokus ana di universiti tpt ana belajar sekarang iaitu sebuah ipta di sekitar Kuala Lumpur/Selangor..

    Pada pilihanraya kampus(PRK) yang berlangsung pada awal tahun ini, ana dapat melihat berlaku gejala rasuah dikalangan pentadbiran universiti yg mahukan kemenangan berpihak kepada calon yg mereka inginkan. Rasuah ini berbentuk kewangan kepada para pelajar/pengundi, still kolej, jwtn2 tertentu kpd pelajar dan byk lg.

    Ana tidak tahu mengapa pihak pentadbiran di universiti mahu campur tangan dalam pemilihan majlis perwakilan pelajar semasa PRK tersebut, sedangkan seperti yg kita tahu, pilihanraya perlu dijalankan dengan cara demokrasi tanpa ada berlakunya sikap @ tindakan yg dilihat sebagai berat sebelah.

    Ana harap perkara seumpama ini tdk akan berulang pd masa depan…

     
  2. gentarasa

    6 Mei 2009 at 1:48 pm

    Salam,
    Begitulah anakku. Bila rasuah menjadi budaya, yang baik kelihatan buruk. Yang buruk, nampak biasa. Tapi jangan mengalah pada suasana. Mulakan dari diri sendiri – jangan putus asa. Kebenaran itu memang bersifat “dagang”, kerana begitulah Islam bermula. Apa yang dihadapi itulah realiti… dan itulah namanya perjuangan. Hadapilah, segalanya dengan tenang dan berani. Harmoni, tegas tapi jangan keras. Lemah-lembut, tapi jangan melutut.

     
  3. khairul

    21 November 2009 at 5:19 pm

    Salam ustaz,

    saya pohon guna dan ubahsuai tulisan ini menjadi khutbah jumaat. Harap tidak keberatan.

     
  4. gentarasa

    22 November 2009 at 5:08 pm

    Salam khairul,
    Ya, silakan.

     
  5. Bawang Goreng

    30 Jun 2010 at 11:30 am

    Salam tuan,

    Saya difahamkan, rasuah bermula di rumah. Ini ditulis oleh Dato’ Dr Noor Laily (NURY). Saya salin dan simpan di belog.

    http://laman-seri.blogspot.com/2009/12/rasuah-bermula-dari-rumah.html.

    Pokoknya, kita sebagai ibubapa yang mengasuh anak-anak dengan rasuah. Benarkah?

    Harap tuan dapat beri pandangan.

    Terima kasih.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,251 other followers

%d bloggers like this: