RSS

SELAMAT PENDEK UMUR!

02 Apr

mati“Selamat pendek umur,” saya bergurau.
Sahabat saya agak tersentak, namun tetap senyum. Dia faham, saya hanya bergurau.
“Kenapa pula?” tanyanya. Dia kelihatan ceria. Hari ini ulang tahun hari kelahirannya. Saya meraikan dia dengan belanja makan di restoran berhampiran tempat kami bekerja.
“Yalah… bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu…” 
“Makna, semakin hari semakin pendeklah umur kita?” tingkahnya penuh pengertian.
“Ya, hari ini setapak lagi kita dekat dengan kematian.”

“Pelik, selalunya bila hari lahir orang bercakap tentang hidup. Tentang kejayaan. Tentang pencapaian. Sekarang kita bercakap tentang kematian pula.”
“Siapa yang tidak bercakap tentang mati akan ‘mati’,” balas saya.
“Kenapa pula?”
“Hukama berkata, barangsiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”
“Untuk apa kita mati?”
“Untuk hidup…” kilas saya lagi, sekadar bermain kata, bersilat bahasa untuk meninggikan makna.
Dia diam. Menung dan alam fikirnya telah terusik barangkali.

“Mati untuk hidup?”
“Ya, mati bukanlah suatu pengakhiran tetapi hanya satu permulaan…”
“Satu permulaan? Maksud kau?”
“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat. Kau masih ingat kata-kata Umar Ibn Aziz yang aku sering ungkapkan dulu?”
“Hampir terlupa. Waktu di kampus dulu?”
“Umar berkata, manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”
Terkesima dia. Jari-jarinya mula mengetuk-ngetuk meja. Perlahan. Tetapi saya yakin gerakan mindanya makin laju. Dia biasa begitu.

“Jadi, hidup ini untuk mati dan mati itu untuk hidup?”
Wah, saya pula yang terkejut mendengar liuk lentuk bahasanya. Berputar-putar seputar maknanya.
“Ya. Hidup di sini, di dunia ini, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup di sana, di akhirat. Itulah tujuan hidup yang fana ini, demi kelangsungan hidup yang baqa itu. ”
“Jika demikian apa ada pada umur?”
“Umur hanyalah putaran surya, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arlogi,” balas saya. Seronok sekali-sekala, berbual dengan bahasa berbunga di sulam kosa kata yang yang berputik dan berbuah.

“Maksudnya kita abadi?”
“ya, tapi bukan abadi seperti Khalik yang tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran. Kita tetap makhluk.”
“Jika demikian, umur itu relatif juga kan?”
“Ya, kan Enstein pun fahamnya begitu? Masih ingat Teori Relativiti masa?”
“Panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti tapi pada kualiti.”
“Juga bukan pada yang zahir tapi juga yang maknawi.”
Semakin rencam perbincangan kami. Tidak mengapa, sekali-sekala apa salahnya… berfalsafah kekadang lebih indah.

“Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazali… tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad,” tambahnya memberi contoh.
“Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya,” sambungnya lagi.
“Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur ialah dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa,” kata saya seakan merumuskan.
“Harta boleh panjangkan umur… sedekah atau wakafkan, jadilah amal jariah. Pahalanya berterusan. Akhlak boleh panjangkan umur… hubungi silahturrahim, panjanglah umur kita. Demikian maksud hadis.”

“Apakah rahsia kejayaan orang-orang yang ‘panjang’ umur itu?”
“Mereka sedar tentang tujuan! Mereka adalah peribadi yang sentiasa sedar akan tujuan segala sesuatu . Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan.”
“Hasilnya?”
“Dunia sentiasa menyediakan jalan kepada orang yang punya tujuan. When there is wiill, the is a way!.”
“Tapi kita bukan mereka?”
“Betul. Tapi itu bukan kelemahan, bahkan satu kekuatan. Setiap kita adalah unik. Tuhan tidak ciptakan manusia bodoh, tetapi Dia mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”
“Kita lebih bijak daripada mereka?”
”Ya, di sudut-sudut tertentu. Seorang pemandu lebih bijak daripada seorang profesor dari segi pemanduan kereta.”

“Tetapi keintlektualan lebih berharga daripada kebolehan memandu kereta. Profesor lebih berharga daripada seorang ‘driver’. Gaji mereka lebih tinggi”
“Maksudnya, umur seorang profesor lebih ‘panjang’ berbanding seorang driver? Maksud kau begitu?”
“Perbezaan itu bukan perbezaan taraf, tetapi perbezaan jalan. Jalan untuk seorang driver menjadi hamba Allah berbeza dengan jalan seorang profesor. Itu sahaja.”
“Kau tidak mengiktiraf derjat orang berilmu?”
“Tidak begitu. Orang berilmu memang dilebihkan beberapa derjat… tapi dengan syarat, mereka takutkan Allah. Kan itu takrif sebenar seorang ulama?”
“Maksudnya?”
“Seorang driver yang takutkan Allah lebih tinggi derjatnya daripada seorang profesor yang tidak takutkan Allah. Tetapi sekiranya kedua-duanya takutkan Allah, tentu sahaja ‘umur’ profesor itu lebih panjang daripada umur seorang driver lantaran ilmu dan amalanya yang lebih tinggi dan berharga!”

“Ah, surah Al Baqarah menukilkan seorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup… Syuhadak mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, satu petua lagi untuk panjang umur ialah mati syahid,” ujar saya mengalih arus perbualan.
“Benarlah kata ahli sejarah, para sahabat Rasulullah itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan generasi hari ini ‘mati’ kerana mencintai hidup.”
“Wah, terlalu panjang perbualan kita petang ini. Apapun aku ingin mengucapkan ‘selamat panjang umur’ sempena hari lahir kau yang ke 40 tahun hari ini,” pintas saya sambil bangun. Jam telah menunjukkan pukul 6 petang. Hari semakin pendek.
“Eh, tadi kau kata ‘selamat pendek umur’, sekarang dah bertukar balik seperti ucapan biasa yang aku dengar… selamat panjang umur?” tanya hairan.
“Eh, kau lupa agaknya. Maksud ‘panjang umur’ ku berbeza dari biasa. Maksudku, selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silahturrahim, srlamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah. Ya, itulah. Itulah maksudku selamat panjang umur!”

 
13 Komen

Posted by di 2 April 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

13 responses to “SELAMAT PENDEK UMUR!

  1. adilah

    2 April 2009 at 5:11 pm

    jazakallah khairan katsira

    saya juga tergigit cili nampaknya~

    baru sahaja membaca buku ‘thoriiqud dakwah’ tentang penyelewengan ilmu atas jalan yang kita peringatkan. besar fitnah ilmu bila seorang yang tinggi ilmu itu beranggapan bahawa ilmu yang dia ada itu mencukupi, sehingga dia merasakan mampu beristinbat dan mengeluarkan fatwa, serta boleh pula merendah2kan imam mujtahidin zaman silam. maka pentinglah untuk seorang ‘alim itu takut pd Allah, dan akan tinggilah darjatnya di langit dan di bumi.

    wallahua’lam

    -berusaha nak memanjangkan umur yg pendek ni-

     
  2. denaihati

    3 April 2009 at 1:31 pm

    Kita sering takut dihukum manusia, takut miskin, takut tiada pekerjaan tapi tidak takut kematian kian hampir.

     
  3. pali

    4 April 2009 at 7:00 pm

    salams,

    benar apa yang ditulis. hidup ini mencari bekal, menanam amal, mempersiapkan diri, agar dituai di negeri kekal abadi.

    terima kasih atas muhasabah ini. (sambil tersenyum dan menghulurkan tangan berjabat salam) :D

     
  4. Kaklong

    6 April 2009 at 6:40 pm

    assalamualaikum.
    ana dapat view blog ni dari adik ana punya bookmark. tak sangka dapat baca artikel yg sgt menarik. syukran jazilan. ana pun selalu pesan pada pelajar ana tentang perkara yang sama dengan artikel ustaz. saya ni baru je mula mengajar. masih banyak ilmu mengajar yang perlu ana cari untuk memperbaiki kualiti P&P ana dan pada masa yg sama pelajar ana mendapat manfaat terbaik untuk masa depan mereka.

     
  5. gentarasa

    7 April 2009 at 4:25 am

    Jazakallah Kak Long,

    Semuga menjadi murabbi yang diredai Allah. Memang sukar untuk mendidik diri, pada masa yang sama ingin mendidik orang lain. Namun itulah hakikatnya… kita di sini untuk bersusah-payah. Berjuang memang pahit, kerana syurga itu manis. T.kasih, sudi menjengah ke laman bicara hati saya yang daif ini.

     
  6. gentarasa

    7 April 2009 at 4:28 am

    Salam,

    Sambil tersenyum juga saya menyambut salam Pali. Semuga taawun untuk kebaikan dan kebajikan ini berterusan. Semuga kita diberi titisan rahmat dalam menghadapi ujian yang laksana taufan ini. Ya, hanya titisan… itupun sudah cukup menghadapi segala yang menggila ini. Selamat berjuang, di suasana Islam yang kian dagang ini!

     
  7. Ruzaini

    26 April 2009 at 3:55 am

    Salam wbt,
    Terima kasih byk2 ustaz atas peringatan =) Very Inspiring!

     
  8. gentarasa

    26 April 2009 at 6:05 am

    Salam Ruzaimi,
    Syukran. SELAMAT PENDEK UMUR!

     
  9. gentarasa

    29 April 2009 at 11:47 am

    Salam,
    Syukran atas perkongsian ilmu. Semoga diberkati Allah sentiasa.

     
  10. humaira

    6 Mei 2009 at 12:05 pm

    salam wbt.
    minta izin utk diletakkan dlm blog saya.
    insyaAllah saya ltkkn link blog ini sekali~

     
  11. gentarasa

    6 Mei 2009 at 1:23 pm

    Salam,
    Syukran humaira kerana menghargai mesejnya. Sebar2kanlah jika ada kebaikannya.

     
  12. hatijerneh

    20 Mei 2009 at 11:56 am

    Salam wbt,

    Slamat Hari Jadi pd ustaz.. kita berkongsi tarikh lahir 20 Mei. Sempena harijadi sy yg ke 34 ini sy memohon kebenaran ustaz untuk masukkan cerita ini ke dlm Facebook sy sebagai mesej untuk diri & kwn-kwn… (tentu sekali dilink kan dgn blog ini)

    Terima kasih

     
  13. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:22 am

    Salam,

    Selamat hari jadi. Terima kasih atas usaha menyebarkan jariah ilmu. Saya sangat menghargainya!

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers

%d bloggers like this: