RSS

PRAKATA BUKU NOTA HATI SEORANG LELAKI…

08 Apr

nota-hati-seorang-lelakiInsya-Allah buku terbaru saya sudah siap dicetak untuk diedarkan di Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2009 (KLIBF09) nanti. Saya berdoa, semoga para pembaca akan dapat menimba sedikit sebanyak kebaikan daripadanya. Berikut adalah kata Penerbit buku tersebut ketika memperkenalkan buku saya itu. Kepada Allah jua diserahkan segala urusan…

Gunakanlah prinsip: Ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan.

Bila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Bila bertamu kesenangan, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Bila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi bila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.

Semua itulah yang terpapar melalui kisah dan peristiwa yang ditulis begitu menarik, jelas dan indah dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki ini. Membacanya, seolah-olah melalui lembaran-lembaran kehidupan dengan sorotan mata hati yang seni dan murni.  

Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah yang mana orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu. Inilah inti pati daripada buku Nota Hati Seorang Lelaki yang sedang anda tatap ini.

Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud di sebalik takdir-takdir Allah itu. Dengarlah suara tarbiah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi Allah apa yang ditakdirkan-Nya pasti satu kebaikan. Carilah kebaikan itu. Dan inilah yang cuba dipandu oleh penulis menerusi kata-katanya yang bersahaja tetapi dalam maknanya.

Jangan mengeluh, kenapa anda tidak berjaya seperti insan-insan lain. Jika kita terus mengeluh, kaki kita akan melekat selamanya di anak tangga ujian itu. Kita tidak akan meningkat lebih tinggi. Terimalah dengan pasrah, tetapi jangan sekali-kali mengalah. Hati tunduk akur berteman sabar namun akal ligat berputar mencari jalan keluar!
Jangan memberontak, asyik mempersoalkan mengapa dan kenapa? Justeru kita tidak akan dapat mengubah realiti. Bukankah takdir akan sentiasa mengatasi tadbir? Jalan sebaik-baik, terimalah seadanya, ya itu telah berlaku, ya itulah keadaannya … tak kira bagaimana keadaannya sekalipun anda tetap hamba Allah. Jangan cuba jadi “Tuhan” walaupun pada kehidupan anda sendiri.

Tunduk dan akurlah pada takdir dengan mengatur sebaik-baik tadbir. Jadilah lelaki yang menjadikan akidah sebagai akar jati diri, syariat sebagai kompas hidup dan akhlak sebagai senjata diri. Inilah yang cuba digarap oleh penulis dalam mentafsirkan gelanggang kehidupannya sebagai anak, suami dan ayah.

Seruan penulis, carilah kebaikan, milikilah kebaikan dan warisilah kebaikan. Kebaikan itu bukan hanya pada yang harum dan indah, tetapi juga ada pada yang busuk dan hodoh. Najis boleh ditukar menjadi baja. Penawar bisa ular datang daripada racunnya.

Tidak cukup hanya kita yang menjadi baik tetapi berilah kebaikan. Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan dan menenangkan diri kita sendiri. Nikmatilah kisah-kisah menarik yang memaparkan hakikat ini nanti.

Berkali-kali penulis berpesan (menerusi anekdot-anekdot) agar kita menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan menjadi semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan.

Dan inilah maksud didikan Tuhan ketika menjadikan manusia ujud secara bersama (“co-existence”) di atas dunia ini. Bukankah ini bererti seolah-olah Tuhan telah berpesan, belajarlah sesama insan nescaya kita akan terasa kesan didikan-Nya. Ya, inilah yang anda akan fahami, hayati dan rasai apabila mula membaca Nota Hati Seorang Lelaki… Selamat membaca.

- Telaga Biru Sdn. Bhd.

 
44 Komen

Posted by di 8 April 2009 in Semasa

 

Label: , , , ,

44 responses to “PRAKATA BUKU NOTA HATI SEORANG LELAKI…

  1. pali

    8 April 2009 at 3:42 pm

    Salams

    nota lelaki yang sudah di”sempurna”kan imannya lebih elok dikelek & didengar dari nota lelaki yang masih lagi dalam “pemburuan”.

    Tak kira la buruannya itu cinta Ilahi mahupun seorang wanita buat teman karib seumur hidup.

    Insyallah. Benda yang baik dikongsi bersama. Terima kasih ustaz. :D

     
  2. Ana Muslim

    8 April 2009 at 7:46 pm

    Assalamualaikum wr wbt ustaz, ada tak peluang nak beli buku ni di UK?

     
  3. gentarasa

    9 April 2009 at 3:39 am

    Salam,

    Insya-Allah, nanti saya tanyakan kepada penerbitnya. Jazakallah atas sokongan. Mudah-mudahan di kejauhan sana kita tetap dekat di hati, atas misi dakwah yang suci.

     
  4. gentarasa

    9 April 2009 at 3:43 am

    Salam,

    Ya, ya. Teruskan mencari! Tidak ada sesiapa pun yang benar-benar sempurna. Kita hidup dalam kekurangan. Dengan kekurangan itu kita terus mencari. Pencarian itu sendiri hakikatnya satu penemuan. Allah tidak menilai, sampai atau tidak… tetapi apakah kita sudah menempuh jalan-Nya. Teruskan pemburuan. Saya yang hampir separuh abad inipun masih terus mencari. Dan, manusia yang paling tidak sempurna ialah yang merasa dirinya sudah sempurna! Hi, hi.

     
  5. ummimusa

    9 April 2009 at 7:56 am

    salam ustaz,
    bolehkah kiranya saya meminta email address ustaz? ingin bertanyakan soalan mengenai bidang penulisan.

     
  6. maryam

    9 April 2009 at 8:31 am

    salam,

    insyaAllah, saya cuba dapat kan buku ini, setakat ni dah 2 buku ustaz yang saya beli, alhamdulillah, saya amat berminat dengan penulisan ustaz, dan saya juga pernah juga attend kuliah ustaz di Celcom (thn 2006 mungkin), semoga ustaz sentiasa di beri taufik dan hidayah untuk terus menulis, menulis kerana Allah untuk kebajikan.

     
  7. gentarasa

    9 April 2009 at 3:32 pm

    Salam,
    Sarah, semuga diberkati Allah. Email saya: pahrolmjuoi@yahoo.com

     
  8. gentarasa

    9 April 2009 at 3:35 pm

    Salam,
    Jazakallah atas sokongan. Apa khabar ustaz Husaini? Semuga terus istiqamah dalam majlis ilmu. Jazakallah juga atas doa. Ya, saya akan terus menulis. Mudah-mudahan diberi Taufik dan Hidayah untuk kita untuk terus bermujahadah. Saya insan lemah yang hanya ingin bersama-sama memperbaiki diri. Semuga Allah membantu kita. Amin.

     
  9. Zatil

    10 April 2009 at 6:51 pm

    Salam ustaz.
    Saya dah baca buku “Satu Rasa Dua Jiwa” dan “Tentang Cinta”. Kaedah pengurusan cinta yang baik nilainya.
    InsyaAllah, saya akan dapatkan buku ni masa di Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2009 (KLIBF09).
    Tak ada sesi bertemu penulis ke?

     
  10. gentarasa

    11 April 2009 at 9:03 am

    Salam Zatil,

    Jazakallah. Mudah-mudahan ada kebaikan juga dalam buku saya Nota Hati ini nanti. Insya-Allah. Saya sedang menyusun jadual agar dapat hadir sama dalam sesi bersama penulis yang diatur oleh penerbit Telaga Biru. Saya selalu musafir melaksanakan program training – dijangka minggu depan saya ke Johor. Salam dakwah!

     
  11. gentarasa

    11 April 2009 at 9:23 am

    Salam Zatil,
    Semoga gerak kerja jihad didasari hati sufi. Hingga kita dapat membenci dosa bukan pendosa. Hingga dengan itu kita masih mampu mendoakan hidayah dan taufik untuk musuh-musuh kita. Berjuang kerana cinta… Bukan kerana benci! Tahniah Zatil, blog anti sangat hebat!

     
  12. intan

    22 April 2009 at 7:42 pm

    Assalamualaikum ustaz,

    Alhamdulillah, buku Nota Hati Seorang Lelaki ini telah saya miliki..

    Sudah separuh saya baca..

    Buku yang cukup santai dan bersahaja, namun sarat dengan pengisian dan perkongsian yang senang untuk difahami..dan diteladani..

    Jazakallah ustaz..semoga ustaz dan keluarga sentiasa di bawah rahmatNya..dan ustaz akan terus diberikan kekuatan olehNya untuk terus berjuang di jalan ini..

     
  13. gentarasa

    23 April 2009 at 5:55 am

    Salam Intan,
    Syukran kerana sudi berkongsi Nota Hati – saya letakkan kesudian itu satu doa untuk saya merealisasikan apa yang saya tulis dalam realiti hidup yang menguji ini. saya memilih “bercerita” kerana merasakan itu lebih mudah difahami. Ya, untuk Intan dan keluarga juga saya doakan diberi kekuatan yang berterusan dalam mengharungi perjuangan ini. Saya akan melawat di blog mu segera nanti. Sekali lagi, syukran. Saya sangat menghargainya!

     
  14. husaini

    24 April 2009 at 9:51 pm

    Salam ustaz pahrol yg di kasihi,
    Cemburu saya bila melihat ramai yg dah baca buku ustaz sedangkan saya masih terkial-kial dalam mencari alasan utk menutup kemalasan saya.Inilah kelemahan saya ustaz.tak rajin membaca. mungkin kerana masa yg terluang banyak di habiskan dgn perkara yg sia2.Tapi saya tetap berazam utk “kuat” membaca dlm usaha mencetak minda dan menempa hati kejalan yg di redhai.

     
  15. gentarasa

    26 April 2009 at 5:54 am

    Salam,
    Pesan pendek saya: Bila kita dah mula istiqamah membaca… itu bermakna proses menjadi penulis telah bermula! Membaca itu kerja utama penulis.

     
  16. naja

    22 Mei 2009 at 8:20 am

    salam ya ustaz,

    saya ingin bertanya,adakah buku ini khas ditujukan kepada seorang lelaki,atau pun buku ini masih tetap sampai mesejnya kepada seorang wanita?

    sekadar bertanya.

    tahniah saya ucapkan atas usaha murni ustaz!

     
  17. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:15 am

    Salam Naja,

    Lelaki dan wanita itu SATU. Peringatan untuk lelaki hakikatnya untuk wanita juga. Bacalah rasa hati seorang lelaki yang seharusnya difahami oleh seorang anak, isteri, ibu kepada seorang LELAKI. Insya-Allah, ada manfaatnya untuk kita. Bacalah ya!

     
  18. arupasirdi

    27 Mei 2009 at 6:37 pm

    salam ustaz,
    sudah puas saya mencari buku tulisan ustaz, baru semalam saya ber’temu’ dengannya di sebuah kedai stesen minyak. Saya bercadang untuk menghadiahkannya kpd seorg teman akrab yg bakal mendirikan rumahtangga. Harap mendapat keizinan ustaz.

     
  19. gentarasa

    31 Mei 2009 at 6:11 pm

    Salam arupasirdi,
    Syukran atas sokongan. Saya sangat hargainya. Semoga Allah membalas dengan yang lebih baik dan kekal. Amin, ya Allah!

     
  20. saerah

    14 Oktober 2009 at 9:18 pm

    Salam…saya telah membaca buku Nota Hati Seorang lelaki..dan saya amat terkesan dengan apa yang Ustaz sampaikan di dalamnya..Tahniah..isinya penuh dengan nasihat yang bersahaja…

     
  21. gentarasa

    15 Oktober 2009 at 8:58 am

    Salam saerah,
    Semoga mesej daripada Nota hati Seorang Lelaki akan terus mengalir dalam masyarakat. Syukran atas sokongan dan bantuan. Kepada Allah saya titipkan harapan dan doa – semoga kita lebih baik daripada sebelumnya. Amin.

     
  22. Nani

    7 November 2009 at 5:47 pm

    salam ustaz..

    boleh ke kalau saya membeli buku ni secara online dari ustaz?

     
  23. hidayah

    8 November 2009 at 9:45 am

    assalamualaikum ustaz,
    buku ini kat MPH midvalley ada dijual x

     
  24. gentarasa

    10 November 2009 at 12:50 pm

    Salam,
    Insya-Allah ada.

     
  25. gentarasa

    10 November 2009 at 12:52 pm

    Salam. saya tak arif tentang pembelian on line ini. Di MPH ada. Kalau perlu hubungi sahaja Telaga Biru. Syukran atas sokongan.

     
  26. abul

    12 November 2009 at 5:32 pm

    salam ustaz,

    trima kaseh kerane hadir dlm diri sy selama ini,,,walaupon kehadirn itu agak baru dn terlambt…namun impaknye cukup terkesan di diri ini..mengenali blog ustaz melalui laman web telaga biru sebln yg lalu, membuatkn sy jd terpukau dn amat tertarik dgn gaya bahasa yg cukup memikat, huraian kata yg tidak terjangke ditambah pula dgn prinsip2 hidop ustaz yg cukup menyegarkn djiwa ini..

    mula mengenali dan mencintai keseronokan membace novel2 terbitan telaga biru melalui seorg shbt bernama afiq bin abd ghafar, sy dahulunya amat tidak suka membaca dek monopolinya novel2 cinta yg lebih membawa pembacanya kealam fantasi, sehingga kini…sy sudh berjaya memiliki 3 buah novel sendiri hasil terbitan telaga biru…iaitu TERASING, SHABAB, TRAVELOG SEORG DA’I..penulisannya cukup terkesan dihati.

    skrg masih menduduki paper final di UPM, insyaALLAH sy akan mendptkn novel hasil coretn ustz pula selepas cuti sem bermule..(arituh dh belek2 kat kedai…tp tyme tuh xde duet…hehe~)

    sy harap ustz akn terus menulis dn mencurahkn idea2 serta kupasan2 menarik terutama kepda para pelajar dlm meniti aspal duri kehidupan ini.salam

    coretan seorg pelajar kpd IDOLA nya~

     
  27. jannatul raudhah

    14 November 2009 at 2:02 pm

    salam..
    sy sgt berminat dgn koleksi artikel tulisan tuan..
    terima kasih dgn curahan ilmu tuan..smoga di manfaatkan sepenuhnya.

     
  28. anamuslimin89

    16 November 2009 at 3:12 am

    Akan saya cari buku tersebut a.s.a.p. terima kasih kepada Ustaz kerana telah memberi saya sedikit “hobi” baru kepada saya.. Semoga ustaz teruskan usaha dakwah murni ustaz.. InsyaAllah..

     
  29. Siti Aida

    19 November 2009 at 3:05 pm

    Salam,
    Terima kasih di atas perkongsian ilmu serta pengalaman di dalam buku NHSL ini. Sangat berbaloi-baloi untuk dimiliki.

     
  30. anamuslim71

    19 November 2009 at 6:19 pm

    Salam ustaz,
    Saya juga berminat untuk mendapatkan buku-buku ustaz secara online seperti sahabat kita Nani. Kaedah pembelian cara ini lebih memudahkan dan menjimatkan masa.

     
  31. gentarasa

    20 November 2009 at 10:19 am

    Salam Siti Aida,
    Terima kasih atas sokongan. Saya sangat-sangat menghargainya. Masya Allah, Alhamdulillah.

     
  32. gentarasa

    20 November 2009 at 10:21 am

    Salam ana muslim,
    Saya sedang merangka kaedahnya. Akan bertanya dengan sahabat-sahabat yang arif tentang ini. Syukran atas sokongan.

     
  33. HANEFFA MUCHLIS GAZALI

    30 November 2009 at 12:40 am

    MasyaAllah… indah sungguh bait2 ayat yang dituturkan…

    Melenturkan hati, menyedarkan diri…

    Teringin dan teruja ingin memiliki buku ini….

     
  34. ashyfida

    2 Disember 2009 at 10:02 am

    salam ustaz..

    menbaca dan menghayati baitan kata-kata meruntun jiwa yang ustaz karangkan membuatkan hati ini sentiasa tersentuh. muhasabah dan bersemangat untuk terus cuba menulis. tapi ilmu ini masih cetek, khuatir untuk menyusun kata-kata. saya percaya pesanan ustaz.. “tulislah apa yang kamu rasai dalam hatimu” saya yakin mampu untuk samai kepada hati orang lain. semoga dakwah melalui kata-kata pelangi indah ini mampu menjurus ke arah pembinaan rohani yang lebih mantap. dengan taufiq dan hidayah Allah, insyaAllah medan ini sentiaa berada di bawah payung rahmatnya..

    salam maju jaya :)

     
  35. Ouled Kenitra

    26 Disember 2009 at 8:39 am

    Alhamdulillah saya telah berkesempatan membaca buku ini. Buku yang pada awalnya saya bayangkan membawa pembicaraan yang berta ditampilkan dengan begitu bersahaja dan amat mudah membacanya.

    Doa saya agar ustaz terus diberikan kesihatan, idea dsb agar terus melahirkan bahan penulisan yang bermutu.

    Ouled Kenitra

    kenitra1975.fotopages.com

     
  36. nur adibah

    31 Disember 2009 at 11:08 am

    assalamualaikum…

    ustaz, buku ni saya dah terima. dan alhamdullillah sy membacanya. tp x berkesempatan utk menghabiskan. ekoran sibuk dgn urusan walimatulurus perkahwinan adik. permulaan membacanya mengagumkan…
    insyaallah, moga-moga diberi kesempatan menghabiskan buku karya ustaz dan insyaallah nukilan ustaz akan dikongsi bersama dgn teman yg lain….

    salam,
    ieznur@yahoo.com.my

     
  37. gentarasa

    5 Januari 2010 at 3:03 pm

    Salam nur adibah,
    Syukran atas sokongan anda. Semoga dakwah dan tarbiah akan terus di alam nyata dan maya ini.

     
  38. zakiahanum

    14 April 2010 at 9:33 pm

    Saya dah baca buku ini sampai habis…ia adalah hadiah pemberian seorang kawan sepejabat.

    buku yang sgt baik…sering terhenti pembacaan sbb saya perlu berfikir….
    saya & suami berkongsi membaca…
    saya merasakan galakan & peringatan yag tercoret dalam buku ini adalah suatu jalan alternatif untuk melakar satu perubahan dalam kehidupan….

    thanks for opening our eyes, dear writer…

     
  39. Rosni Ali

    18 Jun 2010 at 1:21 pm

    Salam Ustaz,
    Dalam mencari pasti kita akan diberi, Mengenali orang yang kita cari,itulah anugerah yang tak ternilai.Tercurah bahasa yang indah pasti hati tersentuh penuh ikhlas. Moga ilmu yang singgah terbuku kukuh dan tersentuh hingga keakhir hayat.Doa diiringi agar Allah merahmati dan menyinari cahaya abadinya untuk Ustaz sekeluarga. Amin.

     
  40. seroja

    27 Mac 2011 at 2:40 pm

    bolehkah nak beli buku cara online? nyatakan nombor account untuk bank in.

     
  41. adnan zain

    12 Februari 2012 at 9:08 pm

    salam…macam mana nak beli buku ini secara online..saya berada disabah…

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,101 other followers

%d bloggers like this: