RSS

BELAJAR DARI “UNIVERSITI KEHIDUPAN”

10 Apr

air-terjunBerikut saya coretkan mukaddimah daripada buku terbaru saya : Nota Hati seorang lelaki – gugusan kisah tarbiah sanak, suami dan ayah. Saya menyimpan cita-cita agar buku itu dibaca oleh seramai mungkin pembaca. Mudah-mudahan ia dapat dijadikan titian dan titisan dalam laut rasa yang begitu bergelora. Buku ini bukan untuk “saya” tetapi untuk “kita”. ¬†Walaupun buku itu hanya kecil, tetapi cita-cita di sebaliknya besar. Insya-Allah. Ya, Allah permudahkanlah tercapainya harapanku:

Aliran ilmu umpama aliran air. Air akan sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Lebih rendah sesuatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang bertakung di situ. Justeru, lembah dan lurah sering bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka begitu ilmu, perlu “ditakung” dengan hati yang merendah diri. Semakin tawaduk seseorang itu, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.Ya, begitulah jua adab kita belajar dengan kehidupan ini. Jika merendah diri, kita boleh belajar hampir daripada semua orang, keadaan dan peristiwa. Teringat kata Luqman Al Hakim ketika ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, “aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya.”

Luqman menjadikan si jahil sebagai “guru” yang mengajarnya erti sempadan pada percakapan dan tindakan. Kita bagaimana? Jangan dilupakan petua dalam pembelajaran, bila murid bersedia, guru akan tiba. Maksudnya, bila kita sentiasa ingin dan bersedia untuk belajar, maka akan muncul “guru-guru” yang mahu mengajar kita.

Pada kisah-kisah yang saya nukilkan nanti ada pengajaran yang tersurat dan tersirat, insya-Allah. Prinsip dalam penulisan saya mudah sahaja – tulislah sesuatu yang memang kita yakini, alami dan rasakan. Perhatikan benar-benar di mana “nilai” didikan (tarbiah) dalam kisah-kisah itu. Padankan segala-galanya dengan kisah-kisah hidup anda sendiri. Bergurulah dengan pengalaman hidup sendiri. Sesetengah ilmu perlu “dirasai” baru boleh difahami, dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan.¬†

Anekdot yang saya paparkan dalam buku ini, adalah gugusan kisah benar yang saya rasai sendiri atau pun apa yang telah saya kongsikan bersama keluarga, teman dan kenalan sepanjang kembara kehidupan sebagai anak, suami dan ayah. Walaupun ada kalanya isi pada anekdot itu saya “lebihkan” atau “kurangkan” atas sebab-sebab tertentu, namun pada hakikatnya pengajaran atau ibrahnya tetap saya kekalkan. Insya-Allah.

Pesan ringkas saya, jangan kesal jika kita tersalah di masa lampau. Melakukan kesalahan dan kesilapan adalah bukti yang kita masih manusia. Oleh itu, sebaik mendapat pengajaran daripadanya, lupakan dan tumpukan ke masa hadapan. He who does not look ahead remains behind – dia yang tidak memandang ke hadapan akan sentiasa tertinggal di belakang.

Kita tidak boleh “menggergaji habuk kayu” (meminjam istilah Dale Carnargie). Ertinya masa lalu akan terus berlalu. Apa yang penting, gunakan pengajaran masa lampau untuk “mengemas kini” masa kini dan merancang masa depan. Yesterday ended last night! Semalam berakhir malam semalam.

Jangan pula berbangga jika kita dalam kebenaran. Justeru, tidak ada jaminan kita akan seterusnya benar sepanjang hayat. Sering diperingatkan, kejayaan hari ini boleh menjadi musuh kepada kejayaan hari esok. Jagalah kebenaran yang kita miliki dengan selalu memohon hidayah dan taufik. Ingat selalu apa yang sering dipesankan oleh ulama yang mempunyai mata hati. Kata mereka, “dosa yang menyebabkan engkau menangis lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.”

Jadilah “wira’ yang tidak didendangkan. Wira yang berbakti tanpa ingin disanjung dan dipuji. Belajarlah “menikmati” keikhlasan dengan rasa ingin membuat kebaikan tanpa dilihat oleh orang lain. Saya catatkan kisah-kisah ini daripada mereka yang tidak pun tahu kisah mereka telah saya tulis. Mereka “menulis” menerusi amalan. Saya hanya menulis melalui perkataan. Ya, orang yang mencipta sejarah, jarang mampu menulis sejarah.

Mereka yang saya paparkan kisah-kisahnya ini hanya manusia biasa tetapi menjadi luar biasa kerana budi, nilai dan akhlak yang tinggi. Mereka punya hati emas yang tidak boleh direbut oleh sesiapa. Kekadang gelanggangnya hanya sekangkang kera, namun peranannya seluas maya pada. Ada kalanya pangkat mereka cuma kuli biasa, namun jasanya mengatasi hartawan, bangsawan dan sarjana.

Jangan dipinggirkan peranan lelaki di samping keluarga dan rumah tangganya. Lelaki sejati dikenali menerusi peranannya sebagai anak, suami dan ayah. Marilah kita sama-sama menyedari bahawa langkah pertama dan utama untuk menyelamatkan kita daripada malapetaka yang paling hebat dan dahsyat (Neraka) ialah dengan menyelamatkan diri dan keluarga. Firman Allah:
“Selamatkanlah diri dan keluargamu daripada api neraka.”

Sebagai anak, ingatlah bahawa reda Allah terletak pada reda kedua ibu-bapa. Sebagai suami sedarlah, sebaik-baik lelaki ialah yang terbaik pergaulan dengan isterinya. Manakala sebagai ayah, hubaya-hubaya atas sabda Rasulullah SAW:
“Seorang anak dilahirkan putih bersih terpulang kepada ibu-ayahnya yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Sekadar mengutip butiran hikmah yang pernah diluahkan oleh Mother Teresa ketika ditanya bagaimana hendak mewujudkan dunia yang lebih aman, beliau telah berkata, “pulanglah dan kasihilah keluarga masing-masing. Nescaya dunia ini akan menjadi lebih aman.”

Menerusi buku Nota Hati Seorang Lelaki ini juga saya cuba menyorot “sisi gelap” dari kisah dan peristiwa. Bukan untuk mencela, jauh sekali untuk menghina. Namun, bila ada gelap, barulah terserlah gemerlapan cahaya. Al Quran sendiri memaparkan kisah manusia-manusia durjana sebagai “gandingan” dan “bandingan” manusia-manusia yang mulia.

Begitu Al Quran mendidik, begitu juga kita cuba mencontohi-Nya. Segala-galanya dari perspektif seorang da’ie – yakni melihat sesuatu dalam kerangka seruan dan pendidikan agar manusia lebih dekat dengan Allah dan agama-Nya. Bertanyalah di mana Allah dalam kehidupan seorang lelaki yang bernama anak, suami dan ayah?

Marilah kita belajar di “universiti kehidupan” dengan gugusan kisah dan rencah peristiwa sebagai teks kuliah yang tidak bernoktah. Kita amat-amati nasihat dari “guru pengalaman” yang bersyarah tanpa suara dan kata. Buku Nota Hati Seorang Lelaki ini adalah suara hati anda sendiri yang cuba saya ungkapkan bagi pihak anda. Yakni, suara “hati kecil” kita yang lebih murni, tulus dan insaf, tetapi sering ditenggelamkan oleh “hati besar” kita yang ego, bangga dan alpa.

Bacalah… bacalah dengan nama Allah. Rendahkan hati dan diri anda. Pedulikan sama ada saya yang menulis ini baik atau jahat, jahil atau ilmuwan kerana jika anda tawaduk anda bukan sahaja boleh belajar daripada orang yang baik dan berilmu tetapi juga daripada orang yang jahat dan dungu!

 
8 Komen

Posted by di 10 April 2009 in Semasa

 

Label: , , , , , , ,

8 responses to “BELAJAR DARI “UNIVERSITI KEHIDUPAN”

  1. pali

    10 April 2009 at 9:05 am

    Salams,

    teringat semasa kecil, sekolah agama pada waktu petang;

    “Bangun, syukralakaya ustaz!” kata ketua darjah. Kemudian yang lain mengikut bersama. Bergema.

    ps: ucapan & gema yang sama saya berikan kepada ustaz. :D

     
  2. Suluh Hati

    10 April 2009 at 10:33 am

    salam ustaz..bila buku ni akan berada di pasaran? saya yang jauh di sarawak tak dapat ke pesta buku mendapatkannya..

     
  3. husaini

    10 April 2009 at 3:49 pm

    Salam Ustaz Pahrol..
    Insyallah saya akan meiliki buku ini dan yakin banyak yg boleh saya pelajari dari nya. Ibarat si musafir yg kehausan yg akan gelojoh bila menemui air di tgh padang pasir.

     
  4. gentarasa

    11 April 2009 at 9:13 am

    Salam sekali lagi,
    Imam Safie berkata, pada mereka yang malas dan enggan ke majlis ilmu takbir kepadanya 4 kali – solat jenazah. Hakikatnya, tanpa ilmu jiwa kita akan keras dan mati. Terima kasih atas sokongan.

     
  5. gentarasa

    11 April 2009 at 9:18 am

    Salam Suluh Hati,
    Jauh-jauh kita dipertemukan juga di alam siber. Itulah kekuatan hati yang sudah tersuluh…Ehm. Ehm. Jika ingin mendapatkannya, hubungi sahaja Telaga Biru ya. Apapun, saya dahulukan dengan ucapan salam jihad untuk warga Bumi Kenyalang… Suluh Hati!

     
  6. gentarasa

    11 April 2009 at 9:20 am

    Salam Pali,
    Ucapan & gema yang sama dari saya untuk akhi. Mudah-mudahan kita berjumpa juga di alam nyata nanti. Amin. Ingat, bila murid bersedia, guru tiba!

     
  7. Yusuf

    13 April 2009 at 12:09 am

    Saya tertarik betul dengan ungkapan ini:

    “Jika anda tawaduk anda bukan sahaja boleh belajar daripada orang yang baik dan berilmu tetapi juga daripada orang yang jahat dan dungu!”

    Saya setuju benar dengan ustaz. Semoga saya dapat menjadi tawaduk seperti ini. Tetapi kekadang hati yang kotor menyulitkan untuk menjadi tawaduk. Semoga Allah menunjukkan jalan dan memberi pertolongan.

    Anyway, saya berminat dengan gaya penulisan ustaz. Blog ustaz pun simple dan kemas. Saya baru menjumpai blog ustaz ini dan insyaallah akan sentiasa mengikuti blog ini. Segala puji bagi Allah yang memberikan bakat penulisan kpd ustaz.

     
  8. gentarasa

    13 April 2009 at 9:24 am

    Salam,
    Kita belajar bertatih untuk jadi tawaduk. Ia bukan semata-mata pengetahuan tetapi latihan dan mujahadah berterusan. Bagaimana ketika ego kita dicabar? Disalahkan? Dikata dan dipinggirkan?

    Tanpa disedari kadangkala melantun kata-kata ego kita tanpa disedari. Begitu juga dalam perlakuan. Ya, Allah… marilah sahabatku sama-sama kita bertaubat atas ego kita yang tersembunyi dan nyata.

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,164 other followers

%d bloggers like this: