RSS

BACALAH… (sekadar satu catatan perjalanan)

20 Apr

83736223Alhamdulillah, saya pulang semula ke Kuala Lumpur setelah 3 hari 2 malam di JB. Masih terbayang-bayang wajah peserta kursus Penghayatan Nilai RAKYAT menerusi Solat. Kebanyakannya muda-muda – aktif, dinamik dan energetik. Kakitangan Bank Rakyat cawangan Masai, Larkin dan Johor Bahru itu sangat responsif. Pengurus-pengurus mereka juga hebat. Tahniah. Benar-benar saya teruja, sayang dan mesra dengan semua mereka. Bertemu tidak lama tetapi hati telah terikat bagaikan sudah lama bersama.
Buku Formula Solat Yang Sempurna (Ustaz Zaharudin), Tentang Cinta, Nota Hati seorang Lelaki, Duhai yang tersayang, Dilema Melayu Islam dan majalah Solusi yang kami bawa semuanya habis terjual. Pesan saya, cuma satu: Baca ya. Saya gembira jika kita berkongsi idea dan rasa. Sebab buku-buku yang saya tulis ada misi yang terlalu ingin saya sampaikan. Bukan manfaat komersial yang jadi pertaruhan tetapi sejauh mana ia menjadi penggerak kepada perubahan kepada cita-cita Islam kita bersama.

Saya pulang ke KL dengan gembira. Terbalas segala keletihan dan kelelahan. Sempat juga menjenguk 2 orang anak di UTM, menantu dan seorang cucu. Perjalanan pulang diisi pula dengan diskusi dakwah bersama ustaz Zaid (seorang da’i) yang begitu aktif berceramah dari surau ke surau, pejabat ke pejabat (yang juga fasilitator utama Fitrah Perkasa).

Saya ingin mendengar suara sebenar masyarakat melalui mereka yang dekat dengan mereka. Dan ustaz Zaid adalah “telinga” masyarakat – tidak kira atasan mahupun marhaen. Bagi saya “alam siber” dengan internet, blog, book face atau apa sahaja… masih belum mampu menandingi suara hati para da’i yang bergelumang dengan kerenah masyarakat.  

Walaupun di tengah kesibukan memberi kuliah dan mengendalikan bengkel, saya sempat “mendapat khabar” melalui SMS dan panggilan daripada sahabat-sahabat di KL. Bagaimana perkembangan pameran buku di PWTC yang telah bermula sejak Jumaat 17 April. Saya tidak sempat langsung menjenguk muka ke sana. Pagi Jumaat saya mengacara rancangan Nur Islam di TV1 dan kemudian terus berkejar ke JB.

Alhamdulillah, melalui sahabat saya saudara Zakaria Sungib (saya lebih senang memanggilnya ustaz Zek) perkembangan “booth” Geleri Ilmu sangat memberangsangkan. Katanya, “alhamdulillah bagus.” Begitu juga saya mendapat maklumat langsung booth Telaga Biru pun begitu juga. Pengunjung terpaksa beratur panjang untuk membayar di kaunter kewangan Telaga Biru. Buku terbaru saya, Nota Hati seorang lelaki dan Tentang Cinta juga mendapat sambutan baik.

Mudah-mudahan perkembangan ini akan menyemarakkan budaya ilmu. Ya, mungkin ramai yang mula melangkaui tahap pertama – membeli buku. Perlu ditingkatkan setahap lagi, membaca buku yang telah dibeli. Saya teringat satu peribahasa Cina yang berbunyi: “Dengan wang kita boleh membeli buku tetapi kita tidak akan dapat membeli ilmu.”

Sehubungan itu juga saya teringat apa yang pernah diperingatkan oleh Ustaz Kariman (seorang ustaz yang saya kenal punya pandangan yang unik, dinamik dan praktikal), ramai orang yang ghairah menghadiahkan buku kepada kenalan, sahabat atau saudaranya tetapi tidak pun membaca buku yang dihadiahkannya itu.

Sempat juga pesanan daripada Fauzil Azim (seorang penulis Indonesia yang saya kagumi) menerjah ingatan saya, katanya (lebih kurang):
“Sangat hairan kalau ada penulis yang ingin jadi penulis besar… untuk membaca buku kecil sahaja dia tidak sanggup!”
Kepada “junior-junior” yang sering meminta nasihat saya bagaimana mahu jadi seorang penulis yang baik, saya sering memanjangkan sahaja kata-kata dari Buya HAMKA… “penulis mesti lebih banyak membaca dari menulis!”

Ketika anak saya bertanya, kenapa begitu, saya menjawab, ” kerana dengan membaca, bahasa kita akan lebih kemas, fikiran kita akan lebih tajam dan hati kita akan lebih subur!” Saya bukan seorang pengamal “fast reading” tetapi saya cuma mengamalkan selektif “reading” – maksudnya, pilih buku-buku tertentu yang terbaik antara yang baik dan baca dengan serius (dengan catatan dan juga fikiran).

Isnin nanti saya akan ke Fitrah Perkasa dan kemudian ke Telaga Biru untuk menangani kerja-kerja penerbitan Solusi Edisi ke 7 dengan tajuk INILAH JALAN YANG LURUS. Mungkin belum berkesempatan untuk ke Pesta Buku kerana minggu ini ada beberapa mesyuarat dan usrah terpaksa saya hadiri. Insya-Allah, hari Jumaat petang mungkin saya ke sana sebentar untuk turut sama-sama memberi semangat kepada sahabat-sahabat di Telaga Biru dan Galeri Ilmu yang sedang bertungkus-lumus menjadi “ejen perubahan” ke arah membudaya ilmu dalam masyarakat.

Saya sangat menghargai editor (penyunting) – yang saya sifatkan sebagai “bidan” yang memegang tanggung jawab paling besar dan berat dalam proses “kelahiran” sebuah buku. Ketika orang mengelek bayi dengan pujian, comelnya, cantiknya… Mak bidan masih mengesat keringat di belakang tabir. Menghela nafas. Mencuci tangan daripada darah dan air yang berpadu dengan keringatnya untuk membantu ibu melahirkan.

Begitulah nasib editor. Yang kerap dipuji buku dan penulisnya… tetapi merekalah hakikatnya “wira yang tidak didendangkan” di sebalik kejayaan sebuah buku dan penulis. Tidak mengapa sahabat-sahabatku, Allah Maha Tahu!

Begitu juga dengan semua “crew” penerbitan – yang mencari dalil, yang membaca pruf, reka letak dan membuat design kulit muka buku. Mereka semua insan berjasa yang mendapat pahala (insya-Allah) dalam jihad memperjuangkan ilmu ini. Tidak dilupakan mereka yang terlibat dalam promosi dan pasaran – mereka yang bermandi keringat mengangkat, memindahkan dan bertanggung jawab hingga buku dapat dibaca oleh masyarakat. Anda mujahid! Anda semua adalah manusia “kecil” yang sebenarnya besar dalam perjuangan yang besar.

Dan tidak lupa kepada pembeli dan pembaca, anda juga adalah insan mulia. Ayuh, kita mulakan perjuangan ini seperti mana asalnya ia bermula. Bermulanya dengan kalimah “Iqra bismirabbik! bacalah dengan nama Tuhan mu.

 
11 Komen

Posted by di 20 April 2009 in Uncategorized

 

Label: , , , ,

11 responses to “BACALAH… (sekadar satu catatan perjalanan)

  1. myikhwanfiideen

    21 April 2009 at 12:15 am

    Salam budiman buat Ustaz..

    “Sangat hairan kalau ada penulis yang ingin jadi penulis besar… untuk membaca buku kecil sahaja dia tidak sanggup!”

    Syukran atas ‘kongsi rasa’ ustaz.. Dalam maknanya tue..

    P/s-Ust ade anak kat UTM..? tak sangka ye.. :) Sy pun dari ‘bumi’ yang sama..

     
  2. gentarasa

    21 April 2009 at 6:57 am

    Salam,
    Jaga solat. Taat ibu-bapa, tumpu studi. Komited dengan Islam. Itu pesan saya pada anak-anak. myikhwanfiideen juga “anak” saya kan? Ya, dua orang anak saya di UTM – seorang di tahun akhir, seorang menyambung di peringkat master. Apapun itu hanya alat, matlamat kita jadi insan soleh dan solehah. Teruskan perjuangan di “bumi”mu!

     
  3. husaini

    24 April 2009 at 9:43 pm

    Salam ustaz pahrol yg di kasihi,

    Betul ustaz, perjalanan yang di iringi dgn hati yg celik akan mengaut banyak didikan yg memandu jiwa.Samaada kita sedar atau tidak musafir kehidupan dalam perjalanan ke destinasi abadi merupakan satu didikan yang tak berguru,bersijil dan bersekolah. Tapi didikan musafir kehidupan ini hanya dapat di rasa oleh hati yg di izin oleh Allah untuk mempelajari nya.

    Ini lah hakikat kehidupan , kita sedang di didik dan terus di didik oleh Allah dgn rahmat dan kasih sayang nya.Cuma nafsu kita yg degil tak mahu tunduk dgn didikan ini.Doakan saya ustaz untuk dapat mempelajari dari universiti kehidupan ini!

     
  4. gentarasa

    26 April 2009 at 5:48 am

    Salam Husaini,
    Begitulah kita, tidak boleh jemu, lesu dan berpaling dalam melalui jalan mujahadah ini. Seperti yang saya pernah tuliskan dalam lirik nasyid Suci Sekeping Hati: Pangkalnya jauh, hujungnya belum tiba. Bertaubat dan berdoa, semoga Allah permudahkan. Begitulah kesimpulan Rasulllah SAW apabila Muaz mengadu tentang kesukaran dan kebimbangannya menhadapi ujian. Tahan mulutmu dari menyakiti hati orang lain. Itu satu lagi pesan baginda. Ya, doa mendoalah kita ya Ustaz. Teruskan dakwah di Celcom. Assalamualaikum untuk sahabat-sahabat yang masih mengingati ana. Teruskankan langkah mujahadah… tak kalah walau jatuh, tak undur walau berkali-kali terbentur. Tak sampai ke hujung tidak mengapa, asal menempuhnya…

     
  5. syam

    30 April 2009 at 12:20 am

    salam ust.. lama tak buka blog ust krn bergelut dgn buku dan nota utk hadapi final exam. alhamdulillah segalanya diharungi dgn penuh kesusahan yg disengajakn utk memahami erti sebuah kejayaan…

    begitu berharga nasiht ust… ermmm ana shbt baik dgn myikhwanfiideen tu. kami dr bahtera yg sama.. menarik juga ust ada anak kat sini..

    rugi pulak tak jumpa ust.. kalu tak leh kutip titisan ilmu dan hikmah dr ust..

    teruskn ush pencerahan ini ust.. Semoga Allah berikn kpd kita kekuatan..

     
  6. gentarasa

    30 April 2009 at 4:48 am

    Salam,
    Salm saya juga untuk myikhwanfiideen. Jazakallah atas ulasan Syam tentang Nota Hati kita dalam blog. Terus menulis… Itupun satu perjuangan yang mendesak sekarang. Mudah-mudahan satu hari nanti kita dapat bertemu muka. Insya-Allah.

     
  7. Syam

    30 April 2009 at 8:13 am

    terima kasih ust atas kunjungan ke teratak maya ana…

     
  8. gentarasa

    30 April 2009 at 10:13 am

    Terima kasih kembali. Wassalam. Teruskan keindahan dan ketepatan blog yang ada sekarang.

     
  9. aziza

    11 Disember 2009 at 4:55 pm

    salam ustaz,
    bersahabat dengan orang berilmu mudah2an Allah menjadikan saya juga orang berilmu walaupun sedikit…
    berbahagia sungguh insan2 yang Allah kurniakan keimanan di dada mereka. yang bergelar suami soleh dapat membimbing isteri solehah dan anak2 yg soleh jua.. dapat mengolah rumahtangga bahagia rumah ku syurga ku.. moga Allah memberikan keizinan dan anugerahNYA kepada kami jua seperti kurniaan kepada insan2 yang beriman ini.. amin. tahniah ustaz. mungkin ustaz tidak merasa beruntungnye ustaz berada di “‘tempat” ustaz kerna ustaz tidak berada di tempat saya…ingin sungguh saya berada dalam kehidupan orang2 seperti ustaz..yang akan sentiasa di rahmati ALLAH.. ajarkan saya supaya dapat jadi sebahagian dari cara kehidupan yang dirahmati ALLAH..mudah2an Allah memudahkan langkah ini.. terima kasih ustaz..wasalam

     
  10. gentarasa

    11 Disember 2009 at 8:29 pm

    Salam,
    Setiap orang ada masalahnya. Jangan rasa kita tidak bernasib baik… Hidup ini diuji. Saya, puan, dia, kami dan kita semuanya diuji. Memang, selalu kita melihat pelangi ada di atas kepala orang lain. Padahal, selagi kita hidup… tak kira siapa, akan sentiasa diuji. Bila diuji jangan kata, kenapa aku sahaja yang kena… tapi katalah aku telah terpilih. Ujian adalah didikan daripada Allah. Jika dengan didikan Allah kita tidak boleh terima dengan baik, bagaimana pula hanya dengan didikan manusia. Begitulah saudaraku, kata-kata didikan yang selalu saya dengar. Ya Allah, permudahkan hati kami untuk menerima didikan-Mu!

     
  11. kiah

    7 Mac 2011 at 7:54 pm

    askum ustaz.sy bru mengikuti laman ni..sy tatarik dgan laman ini..saat ini sy sedang mencari ketenangan jiwa.skrg jiwa sy sentiasa tidak tenang, kadangkala sy sedar sy terleka tetapi pada masa yang sama sperti buntu..ketika belajar sy sukar untuk memahami kerana hati sy tidak tenang.sy seoerti mencari sesuatu yang sampai sekarang masih belum jumpa.sedangkan saya tidak tahu ape yang sy cari sebenarnya..sy selalu ketinggalan di belakng sahabt2 sy dalam pelajaran walaupun telah berusaha.sy sentiasa cepat letih kerana terlalu banyak berfikir yang sy sdiri pun tidak pasti apa yang sy fikirkan.apabila sy menbaca alquran hati sy tenang seketika,tetapi ketika sy membuat kerja hati saya kembali tidak tenang dan keje saya menjadi tertangguh.harap ustaz boleh memberi pandangan.

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,104 other followers

%d bloggers like this: