Looking for Something?

TERIMA KASIH ISA – BUNGA DARI KAMUNTING

Author:

isa(Sudah lama saya mencatatnya tetapi tidak pernah saya paparkannya. Buku saya: Bunga dari Kamunting: Terima Kasih ISA!, terus tersimpan. Sebulan yang lalu, seorang Dato’ meminta pandangan saya tentang ISA untuk dijadikan bahan kajian dan bukti hujah. Saya tidak segera memberi respons… justeru pengalaman sendiri hakikatnya bersifat “khusus” – yang tidak mungkin boleh dijadikan kayu ukur untuk “menghukum” sesuatu yang bersifat umum. Saya memilih untuk berdiam diri. Bukan tidak berpendirian, tetapi itulah pendirian saya (buat masa ini).

Saya terdiam. Lama bertafakur. Mencari jawapan dari pelbagai ulama dan intelektual Islam. Akhirnya saya mengambil sikap tawakkuf – berdiam sambil terus berusaha mencari ketepatan jawapan, bila ditanya ISA itu masih relevan atau tidak. Biarlah saya bersalah kerana tidak menghukum daripada bersalah akibat tersalah hukum. Ini bukan soal personal, tetapi soal prinsip yang melibatkan keadilan dan kesaksamaan hak sesama manusia di neraca KEADILAN Allah!

Namun, masih banyak yang boleh saya kongsikan apabila ditanya tentang ISA. Bukan sisi “halal” atau “haram”nya, tetapi sisi tarbiah dan ibrahnya. Ya, mungkin satu ketika nanti akan tiba juga masanya untuk saya luahkan segalanya. Tetapi buat masa ini biarlah hanya cacatan di bawah (yang dibuat 10 tahun yang lalu) menjadi pendulu bicara saya dalam Bunga Dari Kamunting: Terima kasih ISA!” Saya berdoa, kita yang hakikatnya masih dan terus sering “terpenjara” dalam mazmumah diri dapat mengutip cebisan tarbiah darinya.)

Telah ditakdirkan pada saya untuk melalui satu pengalaman yang unik. Maksudnya, bukan semua orang berpeluang melalui pengalaman itu. Dan mungkin tidak ada siapapun yang mahu melaluinya sekalipun ditawarkan. Tetapi hidup adalah misteri yang sering memaksa kita menjangka sesuatu yang tidak dijangka. Saya telah ditahan di bawah ISA dan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting, Taiping. Inilah detik hitam dalam hidup yang sama sekali tidak saya jangkakan.Setiap manusia pasti melalui saat itu. Bagaimana gah pun seseorang, pasti sekali dia ‘terkena’. Bahkan selalunya mereka yang pernah melalui saat seperti itulah yang akan berjaya. Sengatan peristiwa hitam sangat menyakitkan tetapi jika dapat dihadapi dengan baik ia menjadi seumpama suntikan imunasi yang menjadikan seseorang kebal dari sebarang kekecewaan. Ramai yang mula melonjak naik setelah ‘terkena’…. Bahkan sampai ada yang beranggapan, untuk menjadi manusia berjaya, seseorang mesti melalui satu peristiwa sangat pahit dalam hidupnya.Saya masih ingat apa yang dikatakan oleh pegawai penyiasat ketika saya mula dibayangkan akan dihantar ke KEMTA (Kem Tahanan Kamunting). Waktu itu saya mula membayangkan hidup 2 tahun, terasing kesepian. Mampukah saya? Saya beristighfar berkali-kali. Namun pegawai penyiasat saya berkata, “rilekslah… baru kena 2 tahun. Bukannya hukum gantung.” Saya tak pasti apakah dia juga akan rileks kalau dia yang berada di tempat saya. Saya juga tidak pasti apakah dia bercakap untuk menasihati saya atau sekadar ingin menyedapkan hati saya…. Tetapi yang pasti saya mendapat satu kekuatan dan cabaran untuk menghadapi realiti setelah mendengar kata-katanya.

Mulai hari itu saya sudah mula membiasakan diri dengan nama Kamunting. Sedangkan sebelumnya, mengingatnya pun sudah semacam satu kengerian. Sebelum ke Kamunting, saya sudah dibayangkan keadaan, cara hidup, kemudahan dan ‘keselesaan’ hidup di sana. Bermacam-macam yang saya dengar. Boleh beli makanan yang bermacam-macam di kantin, boleh belajar, memasak, bermain dan ‘bersama’ isteri dalam jangka masa yang boleh dirundingkan. Wah, meriah sungguh hidup di Kamunting. Saya sudah menyediakan bermacam-macam rancangan ketika di sana nanti.

Seorang kawan ingin meneruskan pengajiannya secara jarak jauh. Seorang lagi ingin meningkatkan penguasaan bahasa Arab dan Inggerisnya. Saya pula membayangkan untuk membawa peralatan komputer bersama dan boleh menulis sebanyak-banyaknya buku dengan bahan rujukan yang banyak di tempat yang selesa. Apatah lagi, dengar-dengarnya boleh membuat panggilan telefon kepada sanak-saudara, bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita. Lucunya ada seorang kawan berbangsa India dari Sarawak mendapat cerita bahawa di Kamunting ada “swimming pool” yang orang tahanan boleh berenang dan bersantai-santai di dalamnya.

Tapi… bila menjejak kaki di Kamunting, terbukti hampir tiga perempat cerita-cerita itu tidak benar lansung. Indah khabar dari rupa. Begitulah takdir yang saya temui di Kamunting. Keadaan di sana terlalu sunyi. Pergerakan terhad dan dikawal. “Kemunting Resort” tidaklah seindah yang dibayangkan oleh IO (pegawai penyiasat). Tapi hati saya tidaklah terlalu kecewa… memanglah tempat orang bersalah. Pastilah begitu keadaannya. Kalaulah selesa, cantik dan nyaman, tidak layaklah ia dijadikan tempat tahanan. Mungkin layak jadi tempat pelancongan.

Di situ, saya melalui kehidupan yang unik. Bayangkan, berbagai bangsa, agama dan budaya, ‘terkurung’ dalam satu kawasan terhad dan dipaksa menjalani tempoh ‘hukuman’ sebagai cara pendidikan untuk menginsafkan. Terlalu banyak yang saya belajar. Maha Suci Allah, yang terlalu kaya sifatnya hingga kasih sayang dan cinta-Nya dapat terus dirasai lewat kawat berduri. Dalam tahanan saya kerap berbincang dengan ramai orang Cina, India, Pakistan, Bangladesh, Madura, Serani dan lain-lain.

Pada masa yang banyak terluang, saya membaca buku-buku ‘antik’ yang masih tersimpan di perpustakaan Kamunting yang serba sederhana itu. Saya berkesempatan melihat catatan-catatan pensel pada novel-novel Melayu lama yang kebanyakannya dibuat oleh bekas tahanan Komunis. Tulisan dalam Bahasa Mandarin atau Inggeris yang begitu rapi walaupun beransur-ansur samar kerana semakin dimamah usia. Saya juga membaca luahan hati atau luapan semangat yang tercatat di muka surat tertentu. Walau apa pun saya kagum dengan kesungguhan mereka belajar.

Sejak “malam pertama” di Kamunting, yakni di bilik penerimaan (sebenarnya lokap) di Kawasan T1, saya sudah menulis. Kebetulan pada hari itu bekalan elektrik terputus, saya mula menulis di atas sampul surat berisikan perintah tahanan yang saya terima dari KDN sewaktu ditahan di Kuala Lumpur. Hanya sebuah sajak yang sarat dengan rintihan dan harapan. Baru seminggu kemudian ketika alat-tulis yang dipesan melalui keluarga sudah sampai dan juga buku catatan yang dibeli dari kedai tahanan, barulah saya menulis sedikit selesa dan mantap.

Saya mula membaca kitab Al Hikam oleh Ibnu Ataillah Askandari yang dihuraikan dengan baik oleh Prof. Dr. K.H Muhibbuddin Al Waly. Saya juga membaca Tafsir Al Azhar (HAMKA), Stop Worrying And Start Living oleh Dale Carnargie. Buku-buku yang lain payah didapati (perpustakan Kamunting perlu dipertingkatkan). Selain daripada itu saya mengulang kaji secara cepat buku Mauizatul Mukminin oleh Imam Ghazali. Ketika-ketika tertentu saya juga membaca buku-buku motivasi yang ditulis oleh penulis-penulis Barat yang kebanyakan dibaca oleh tahanan berbangsa Cina dan India. Untuk riadah saya mula membaca buku bagaimana bermain Ping Pong dengan baik.

Sayangnya, buku-buku itu ditulis dalam suasana eksklusif yang hanya dirasai oleh para penulisnya. Bagaimana ‘rasa’ daripada suasana itu mahu dipindahkan kepada manusia-manusia terkurung seperti kami? Kekadang ada yang naik geram, bila penulis mengesyorkan supaya orang yang bermasalah pergi melancong…. Tambah menderita kalau penulisnya mencadangkan supaya berbincang dengan isteri…. Bayangkan destinasi pelancongan di tempat tahanan ini? Dan mustahil dapat bebas bersama isteri ketika bertemu sekali-sekala dibatasi jaring-jaring besi….

Saya terpaksa berdepan dengan tahanan-tahanan ISA yang kebanyakannya tidak lagi mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi seperti dahulu. Kalau dahulu para tahanan terdiri daripada para intelek – Anwar Ibrahim, Syed Husin Ali, Karpal Singh (sekadar menyebut beberapa nama) tetapi kini tahanan terdiri daripada buruh kasar, kuli kontrak, tukang gunting, pembawa teksi.. Namun manusia tetap unik…Mari saya kenalkan dengan seorang teman berbangsa Cina sewaktu sama-sama ditahan di Kamunting dahulu. Dia seorang positif dan cergas. Cheong (bukan nama sebenar) setiap awal pagi lagi telah bangun dan mula bersenam dengan disiplin Taicinya. Setelah mandi dan bersarapan pagi, dia mula belajar bahasa Inggeris dan kemudian mengajar bahasa Mandarin. Jadual waktu belajar, bermain, pakaian dan aktiviti hariannya terdisiplin dengan begitu rapi.

Jarang saya melihat dia susah hati. Kalau adapun cuma sekali-sekala terutama pada hari Sabtu. tidak mengenalinya dari dekat, saya tentu tidak menyangka bahawa dia sebenarnya mempunyai banyak masalah. Pada suatu hari, dia telah dibenarkan pulang untuk satu masalah keluarga yang sangat “urgent”…. Daripada situ barulah rahsia dirinya tersingkap oleh saya (yang kebetulan rapat dengannya). Sebenarnya, dia mempunyai seorang ayah yang sedang nazak kerana penyakit barah. Perniagaan yang dikendalikan oleh isterinya pula sedang merosot akibat penahanannya. Anak lelakinya masih tertanya-tanya akan ‘kehilangan’nya.

Tetapi kawan saya itu tetap senang dan mampu gembira? Malah lebih gembira dari sesetengah kawan yang lain, yang kadang kala masalah-masalah mereka jauh lebih ringan daripadanya? Jawabnya… kerana kawan saya itu mengamalkan falsafah hidup yang betul. Dia selalu berkata, “apa guna risau-risau. Nanti sakit. Bila sakit, apa guna harta dan wang. Hari ini gua mahu senaman. Nanti gua mahu jumpa gua punya bini dan anak dengan badan kuat dan sihat. Kalau lu susah hati…. Talak makan, talak tidur, lu akan sakit. Kalau sakit nanti satu sen pun tak ada guna.”

Ramai kawan-kawan berbangsa Cina di kem tahanan yang mengamalkan falsafah mudah untuk mententeramkan hati mereka. Mereka selalu berkata, “jangan kita rugi dua tahun. Kita mesti untung dua tahun.” Pada mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh mereka tetapi kemudian saya faham maksud ‘ahli-ahli falsafah’ Kamunting itu. Di luar mereka tidak punya masa untuk bersenam, menjaga kesihatan dan menguruskan badan. Bahkan ada yang setiap malam minum arak dan berpelesiran hingga pulang jauh-jauh malam. Akibatnya, ramai yang kena penyakit darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan lain-lain lagi.

Tetapi bila ditahan, badan yang sakit mula sihat kembali hasil senaman, makan, tidur, baring dan lain-lain yang terkawal. Lebih-lebih lagi sentiasa mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan daripada pegawai perubatan (H.A) yang dikhaskan.Bagi mereka, pencapaian ini menguntungkan. Dengan badan yang sihat dan kuat terhasil semasa dua tahun ditahan, mereka lebih beruntung berbanding berada di luar dengan badan yang sakit-sakit dan lemah. Boleh jadi jika kesihatan terus diabaikan kematian pun boleh berlaku lebih cepat. Kalau begitu kan elok ditahan 2 tahun oleh ISA?

Di kem Kamunting, majoriti penghuninya mengalami tekanan perasaan. Walaupun tempoh tahanan dikatakan 2 tahun, tetapi tidak ada satu tarikh tetap untuk bebas. Berbanding dengan banduan yang “ditahan atas kesalahan jenayah”, tahanan ISA tidak pasti bila akan dibebaskan. Boleh jadi ditambah lagi…. Manusia menjadi musuh pada apa yang tidak diketahuinya. Ketidak-pastian satu penyeksaan. Dalam keadaan-keadaan seperti itulah mereka sering dilanda kecewa. Mula-mula ditahan, terasalah diuji Tuhan… masing-masing mula “merapati” Tuhan. Bertaubat, minta ampun dan akhirnya minta segera dibebaskan. Namun kemudian, hati resah kenapa doa tidak terjawab? Apakah Tuhan mendengar rintihan ku? Apakah Tuhan tidak mengasihani ku? Begitulah bisik-bisik hati. Mulanya hanya melintas sesekali tetapi kemudiannya membengkak dan akhirnya menunggu masa untuk meledak.

Bila terjadi demikian, tekanan makin membebankan. Sebab-sebab yang kecil sahaja boleh menimbulkan pertengkaran yang sengit. Bayangkan sebab seketul ayam yang kecil waktu makan pun boleh menimbulkan pergaduhan. “Haiya… dulu luar punya jam rebut-rebut pasal ribu-ribu, juta-juta, sekarang pasal ayam pun boleh gaduh-gaduh….” Begitu rungut seorang teman berbangsa Tionghua. Apa lagi kalau menerima berita buruk daripada keluarga. Surat cerai, anak sakit, kesempitan hidup dan pelbagai berita negatif di luar. Ini boleh menggugat ketahanan jiwa orang tahanan jauh melepasi batas yang dapat ditanggung oleh mereka.

Takdir menentukan saya hidup di sana dan menjadikan saya seorang daripada mereka. Tekanan jiwa, bimbang, marah dan kecewa menjadi basahan hidup sejak hari pertama ditahan untuk disoal-siasat. Jeritan untuk bebas sering bergema dalam hati. Penahanan adalah berlawanan dengan fitrah manusia yang cintakan kebebasan. Namun, takdir mengatasi tadbir. Manusia tidak dapat lari dari ketentuan Tuhan. Yang tinggal hanyalah keupayaan tadbir untuk menerima takdir. Tetapi setiap takdir, pasti ada hikmahnya. Mencari hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku, akan menyebabkan kita tidak terlalu siksa menerima sesuatu yang buruk.

Pernah saya berbual dengan seorang teman dari Madura seusai solat berjemaah.
“Apa hikmahnya Pak Cik ditahan?” Tanya saya.
“Oh, banyak… kalau di luar mana sempat saya solat. Asyik berdangdut saja. Nanti-nanti main judi…. Kalau tidak berzina…” jawabnya mudah.
Seorang kawan berbangsa Pakistan pula ketika ditanya, menjawab, “Syukur. Kalau tak ditahan saya terus main perempuan. Minum-minum….”

Begitulah teman-teman saya, begitulah saya. Cuba mencungkil sebanyak-banyak hikmah. Alhamdulillah saya temui hikmah itu di Kamunting. Tiba-tiba sahaja saya rasa mendapat kekuatan baru. Sebagai penulis, bukankah masa yang begini panjang boleh dimanfaatkan untuk membaca dan menulis? Anda mungkin tidak percaya kalau dikatakan Kamunting adalah ‘syurga’ bagi penulis. Saya mempunyai banyak masa di waktu siang untuk membaca buku, menyediakan catatan-catatan, menulis sajak, cerpen dan bahan pemikiran yang dirasakan penting.

Akhirnya, saya membuat keputusan untuk menulis. Sayangnya semacam satu hambatan (kalau tidak pun satu halangan) telah terjadi. Bagaimana saya betah menulis dengan tangan setelah sekian lama menggunakan L-top? Pada skrin komputer perenggan-perenggan tulisan boleh dialih-alihkan, kesalahan boleh dipadamkan dengan mudah dan tangan tidak lenguh memegang pena. Tentunya dalam bilik berhawa dingin pula. Tetapi semua itu mustahil di Kamunting, meja tulis terdiri daripada meja papan yang letaknya berdekatan dengan meja Ping Pong. Bangku panjang yang keras dan panas yang menyenggat. Peluh mengalir bersama aliran dakwat.

Saya juga kehilangan kawan-kawan di kalangan editor dan penulis. Bahan bacaan dan rujukan sangat terhad…. Rakan untuk ‘brain storming’ hampir-hampir tidak ada. Tiba-tiba saya tersedar, saya tidak boleh memandang rendah kepada kawan-kawan sekeliling. Mungkin mereka buruh kasar, tetapi selagi diberi akal tentu mereka mempunyai keistimewaan. Dan lagi, saya bertuah kerana semua mereka sedang menghadapi masalah…. Jadi tentu masing-masing ada cara untuk menghadapi masalah mereka. kenapa tidak dikutip kaedah-kaedah mereka itu? Bisik hati saya.

Ketika itulah saya sedar bahawa ‘kehilangan’ saya bukanlah satu kekurangan bahkan saya sedang menemui satu kekuatan baru yang jarang-jarang ditemui oleh orang lain. Saya sedar saya sedang mendapat latihan yang tidak ternilai kerana setiap hari saya terpaksa berdepan dengan OT (orang tahanan) yang bermacam-macam ragam. Ini sekolah bagi saya. Dan mereka semua adalah rakan yang perlu dibantu untuk menyelesaikan masalah. Tentunya ini satu latihan praktikal yang yang jika berjaya dilaksanakan, akan memberi nyawa kepada tulisan saya nanti?

Ya, saya terus mencari hikmah, justeru yakin hikmahlah yang dapat menjadikan manusia yang lemah menjadi gagah. Saya bisikkan ke hati, ada di antara pengarang menulis dengan darahnya. Dengan tinta dan kertas yang diseludupkan secara curi-curi pula. Tetapi mereka lelaki sejati… terus menulis walau apa pun keadaan yang mereka hadapi. Akhirnya saya bersyukur bila sedar bahawa cara menghadapi masalah mestilah ditulis ketika kita berdepan dengan masalah. Barulah, ‘real’. Tentulah janggal misalnya, kalau ada penulis yang menulis tentang kemiskinan ketika enak-enak bersantai di banglo besar tanpa merasa sedebu pun bahang kemiskinan. Dan sinis sekali, akhirnya si penulis menjadi kaya hasil jualan bukunya tentang kemiskinan ketika si miskin yang menjadi bahan tulisan terus dalam kemiskinan….

Alhamdulillah, saya dapati masa-masa yang saya habiskan di meja tulis dalam tahanan Kamunting, adalah masa-masa ‘bahagia’ dalam tempoh derita itu. Malah kadang kala lebih bahagia daripada masa-masa yang saya alami di luar. Barulah saya sedar, bahawa hakikatnya ‘penjara hati’ adalah lebih sempit daripada mana-mana penjara di dunia. Berapa ramai orang bebas dan merdeka membunuh diri berbanding banduan yang meringkuk di penjara?

Usaha untuk memahami hikmah perlukan ilmu. Perjuangan untuk merasai hikmah perlukan iman. Jelaslah, bahawa apa jua masalah yang dihadapi oleh manusia mesti disalurkan kepada ibu sawat yang mengawalnya. Kembalikanlah segalanya kepada Tuhan. Justeru Allah mengajar manusia bahawa setiap kali mereka ditimpa masalah (ujian), maka ucapkan apa yang tertera di dalam Al Quran:
“Kami milik Allah, dan kepada Allah kami akan dikembalikan.”

Sebaik sahaja segala-galanya dikembalikan kepada Tuhan maka akan terserlah ribuan hikmah di sebalik ujian yang satu. Hikmah terbesar ialah lambaian kasih sayang Tuhan di sebalik setiap ujian. Agar manusia yang lupa, derhaka dan sombong itu kembali ingat, taat dan merendah diri kepada Pencipta-Nya. Hanya apabila dipisahkan daripada segala kecintaannya – isteri, anak-anak, saudara-mara dan teman-teman, barulah manusia terdorong mengingati Tuhan.

Di dalam tahanan, semua tempat pergantungan seolah-olah telah dicantas. Talian bumi ke bumi telah putus. Tetapi talian kepada Tuhan – Teman Daerah Tinggi (sepertimana sabda Rasulullah) makin terbuka. Hati kita seolah-olah dibisikkan bahawa Tuhan itu dekat, lambaian-Nya mesti dibalas. Dileburnya akal seluruh tadbir, untuk dilenturkannya hati sepenuh takdir. Saya teringat kata profesor Hamka ketika beliau ditahan selama 2 tahun 4 bulan dipenjara Indonesia. Katanya “di waktu segala jalan hubungan di bumi ditutup orang, hubungan ke langit lapang terluang.”

Lalu atas kesedaran itulah saya menulis. Catatan ini bukan teori atau andaian tetapi hasil mengalami, merasai dan belajar di satu daerah yang unik dan asing. Di satu transisi yang jarum waktu seolah-olah diperlahankan dan penghuninya ‘terputus’ hubungan daripada dunia luar. Kini setelah beberapa lama berlalu, saya masih mampu mengimbau puputan angin dingin KEMTA, burung-burung gembala kerbau, serangga hitam berkulit tebal (istilah di Kemta: ‘Combat’) yang ‘menyerang’ waktu hujan, segar bunga kekwa, mekar bunga mawar, detakan mangga kunci pengawal waktu dinihari…

Oh, syukur saya ditakdirkan melalui saat itu. Saat yang paling mendidik dan menginsafkan. Kesibukan dunia bebas ke kadang terlalu bakhil untuk menghadiahkan waktu buat mengkoreksi kesilapan dan keaiban diri sendiri. Saya seorang yang penakut… Allah didik untuk saya berani melalui pengalaman yang “sakit” ini. Saya seorang yang sukar berdepan dengan “perpisahan”… Allah didik saya dengan perpisahan total ini. Saya seorang yang resah, Allah “sesah” saya dengan cemeti di daerah asing ini agar saya lebih tabah. Inilah “bunga dari Kamunting” yang pernah saya cium keharumannya. Hakikatnya, Tuhan telah ‘menahan’ saya… untuk membebaskan saya. Terima kasih ISA!

Untuk anda pembaca, yakinlah bahawa PENJARA JIWA itu lebih dahsyat dan mengikat daripada mana-mana penjara di dunia!

Feedback

27
  • Suluh Hati

    Subhanallah…cinta Allah terjelma dalam setiap tindakan-Nya..rugilah diri yang gagal membaca hikmahnya sedang terus keluh kesah dalam mehnah-Nya..

    Syukran Ustaz atas kisah penuh ibrah ini.

  • HOT ZOOM

    Salam ustaz,
    Ketika saya membaca setiap bait-bait patah perkataan yang ustaz tintakan itu terasa seperti saya juga berada disana ketika itu.
    Saya dapat bayangkan bunyi ‘dentuman’ pedal ibu kunci berbunyi apabila berlanggar dengan jeriji besi ketika pintu ditutup waktu dinihari.
    Ohhhh……begitu terasa sekali umpama berada disana kerana ISA.

    Izinkan saya copy artikel ustaz ini kedalam blog saya untuk tatapan saya sendiri dan para pembaca blog saya untuk dijadikan iktibar.

    Moga kenangan lalu memberi kita kekuatan untuk menghadapi hari esok.

    MOHON SIMPATI

  • muhammad fakhruddin

    Assalamualaikum ustaz,
    satu coretan yang menyentuh rasa.Satu pandangan jujur seorang bekas OT.Bukan sedikit ulama yang menghasilkan masterpiece di balik tirai.Teruskan usaha ustaz 🙂

  • khair

    erm..menariknya ‘diari’ yg ustaz tulis ni.ustaz,byk dh artikel ustaz yg sy baca dan alhamdulillah,byk juga terkesan dlm dri ni.ustaz mmg penulis yg hebat dlm menyusun kata dan mengolah bicara dlm menulis utk menarik minat pembaca..suka baca artikel ustaz=).erm..boleh tak sy tau knapa ustaz ditahan ISA?(untuk mengenali dgn lebih dkat tentang diri ustaz..)

  • gentarasa

    Salam,
    Jazakallah khair. Mudah-mudahan setiap orang mampu menyerlahkan “kelebihan”nya untuk Islam. Tuhan tidak mencipta manusia bodoh – cuma kebijaksanaan yang berbeza. Kenapa saya ditahan? Biarlah, nanti bila terbit buku tu akan terjawab ya. Biar suspen. Tapi tidak susah untuk mendapat jawapannya. Akan terjawab jua nanti. Insya-Allah.

  • gentarasa

    Salam,
    Mungkin bicara OT lebih difahami dan dirasai oleh OT juga. Saya hanya berusaha menjadi da’i – memperbaiki kelemahan diri di samping menyeru orang lain. Akhi M Fakhruddin, anda “dekat” dengan saya.

  • gentarasa

    Salam,
    ISA ada dua wajah – sisi mana kita melihatnya. Doakan saya dapat menulis dengan rasa hati yang ikhlas dan tepat. Semoga Allah memimpin kita. Ya, kenangan itu “milestone” masa akan datang. Terus berjuang!

  • gentarasa

    Salam,
    Suluh Hati… ketika sunyi, sendiri, sakit, kalah dan terhenyak, ketika itu bicara hati lebih tulus dan lurus. Syukran, untuk suluhan hatimu sahabatku!

  • Azman

    Salam,elok rasanya buku ttg ISA itu dipercepatkan pengeluarannya supaya segala fitnah dan kata nista yang berlegar selama ini dapat terungkai dan terjawab.Remember you’re always in my mind and also as an my idol…kenangan ketika zaman susah dahulu bersama sentiasa segar dalam ingatan.Moga ust. akan sentiasa diberi Allah kekuatan utk terus menulis dan berkongsi rasa dengan kami.

  • myikhwanfiideen

    Salam KAMUNTING buat Ayahanda ustaz,

    “James W. Pennebaker, seorang psikologis, dalam bukunya Opening Up: The Healing Power of Expressing Emotions (1990), mengatakan ketika manusia berdepan dengan cabaran getir dan pahit, mereka akan menjadi lebih kreatif dan melahirkan `sesuatu’ yang luar biasa dari fikiran dan jiwa mereka. Apatah lagi jika cabaran getir itu diharunginya ketika berada di penjara, tentulah segala tumpuan konsentrasi berkumpul dan bergejolak dalam dirinya.”

    Syukran ustaz sbb sudi berkongsi akan ‘luar biasa’ itu..

  • me

    Subhanallah. Saya mula ‘kenal’ ustaz dari majalah anis. Setiap kali membelinya, ruangan ustazlah yang saya tuju dahulu. Malah, terus-terang, saya mula suka Bahasa Melayu kerana ustaz. Gaya ustaz mengolah suasana dan pemilihan kata-kata membuatkan pembacaan berbahasa melayu tidak lagi membosankan. Artikel-artikel yang ustaz tulis di anis membuat saya merasa seperti saya pun berada dalam dialog-dialog tersebut.
    Dan entri ustaz ini – pengalaman peribadi ini – membuat saya berasa begitu kerdil dan sedar betapa banyaknya nikmat yang Allah telah beri kepada saya.
    Saya tak pandai bermain kata. Tidak dapat terkata gelora rasa saya kala ini. Hanya Allah yang dapat membalas jerit perih perjuangan pengorbanan dan limpahan airmata ustaz selama ini dan yang akan datang dengan indahnya shurga yang tidak tergambarkan oleh sebarang minda.
    Salam hormat saya kepada ustaz dan keluarga.

  • gentarasa

    Salam,
    Terima kasih Azman. Mudah-mudahan Allah permudahkan kita semua menegakkkan agama-Nya dalam diri, keluarga dan masyarakat.

  • gentarasa

    Salam me,
    Syukran atas kesudian membaca suara hati saya. Seboleh-bolehnya kita menulis apa yang kita perjuangkan dan yakini. Mungkin hanya impian tetapi bukan mimpi. Kita sedah mujahadah ke arah itu. Memilih kata-kata didahului dengan “memilih” rasa. Menyambut ayat samalah dengan menyambung hayat kepada roh tulisan kita. Tidak mengapa kalau tidak tepat, tetapi tulus dan seadanya! Setiap orang ada “ISA”nya masing-masing. Penjara maknawi dengan segala tipuan nafsu sentiasa cuba membelenggu kita. Apapun me… kesederhanaan sering menyelamatkan. Doa selalu agar kita dalam hidayah dan taufik-Nya.
    Sudah “ziarah” ke blog mu, semuga suami dan dua anakmu menjadi teman jalan jihad menuju Allah. Amin.

  • gentarasa

    Salam,
    Setiap peristiwa anakku… adalah luar biasa. Terpulang kepada kita memberi makna dan “rasanya”. Mungkin sedang sibuk untuk peperiksaan? Jaga solat. Pinta restu ibu-bapa. Syukran atas input yang diberikan. Cemburu saya melihat orang muda yang berjiwa agama… Ingat, setiap orang ada “ISA”nya tersendiri!

  • mymj

    Salam Ustaz…

    Alhamdulillah…Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kekuatan kpd Ustaz semasa berada dalam ISA…Semoga kita semua diberi kekuatan seperti itu…

    Apa komen Ustaz tentang status ISA di negara kita ini…Adakah ia patut kaji semula atau dimansuhkan terus…ISA begitu tidak adil kerana memenjarakan pesalah tanpa membicarakannya terlebih dahulu…

    Terima Kasih…Wallahualam

  • gentarasa

    Salam,
    Saya sedang mengkaji dan mencari jawapan bentuk-bentuk undang-undang pencegahan dalam Islam. Saya bukan pakarnya.Jadi perlu banyak merujuk dan belajar daripada ulama-ulama yang lebih auntektik ilmunya. Tentu ulama dari PAS dan JIM ada hujah dan dalilnya tersendiri ketika menentang ISA. Saya sanjung pandangan mereka. Begitupun saya “masih” tidak menutup pintu daripada hujah daripada ulama-ulama dalam dan luar negara yang tidak berada di dalam mana-mana kumpulan ataupun golongan. Saya masih berusaha mendapat pandangan mereka. Ada tulisan saya tentang ini. Insya-Allah, saya akan kongsikan bersama nanti. Apapun syukran jazilan mymj. Saya tidak sekuat mana pun. Saya sedang belajar membina kekuatan. ISA satu tapak dalam perjalanan yang panjang itu. Kepada-Mu ya Allah, kami semua memohon kekuatan. Ya, Qahhar!

  • HBI

    Salam.

    Saya membaca komen / pandangan dan pengalaman sendiri ustaz mengharungi ISA.

    Dari pandangan positif, ISA itu ada kebaikan..Tapi saya tak pasti sejauh mana kebaikan tersebut. Adakah kebaikan ISA mengatasi keburukan..Jika ini faktanya, maka ISA haruslah dikekalkan. Tetapi jika ISA mempunyai lebih keburukan dari kebaikan, maka ISA mesti dihapuskan.

    Apa pun, mampukah rakyat Malaysia mem’POSITIF’kan ISA apabila ditahan ISA ? Itu satu persoalan. Saya rasa, tidak ada manusia akan sanggup dikurung jiwa dan jasad tanpa ada alasan munasabah untuk ditahan. Kalau mengikut pengalaman Syed Husin Ali di ISA kan, beliau didera dengan teruk semasa di dalam tahanan. Ustz Saari Sungib pun mengalami penderaan yg teruk secara fizikal. Mereka berdua ini pun tidak bersetuju dengan ISA. Secara terang terang mereka menemplak ISA. Saya kagum dengan sikap mem’positif’kan ustaz terhadap ISA. Saya harap saya akan mendapat jawapan SETUJU atau TIDAK SETUJU dengan ISA dari Ustaz di dalam buku terbitan kelak.

    Saya rasa mempositifkan perkara tersebut adalah ubat sementara / ubat penahan sakit saja bagi OKT ISA. Berapa lama kita mampu bertahan jika serangan fizikan dan mental dikenakan kepada tahanan?

    Wassalam

  • gentarasa

    Salam HBI,
    Saya setuju sekali. Pengalaman Saudara Syed Husin Ali dan ustaz Saari Sungib sangat mengharukan. Saya hanya memaparkan wajah sebelah ISA. Ada sisi-sisi lain yang bersifat umum dan khusus yang belum dapat saya paparkan lagi. Mesej utama yang saya ingin sampaikan dalam tulisan yang pendek itu hanya satu – PENJARA JIWA lebih dahsyat dari mana-mana penjara di dunia. Agar dengan itu sahabat-sahabat kita yang tidak menjadi OT (orang tahanan) pun dapat membandingkannya.

    Ya, pengalaman sentiasa bersifat khusus. Manakala suluhan ilmu itu lebih muktamad dan tepat sifatnya. Saya mungkin berpengalaman (itu pun sedikit), tetapi berilmu jauh sekali (khususnya dari segi perundangan Islam). Justeru, saya mengambil sikap tawakkuf – sementara terus mendalami ilmu untuk memberi jawapan SETUJU atau TIDAK dengan ISA. Syukran HBI, akhi seorang yang empati dan berani. Kita bertemu lagi nanti. Insya-Allah. Amin.

  • me

    Assalamualaikum Ustaz,
    Terima kasih di atas kata-kata hikmat dan ‘ziarah’ ustaz ke benak saya. Apa yang saya baru lakukan ialah saya salin semua kiriman balas ustaz itu word-by word ke dalam buku nota saya untuk saya teliti,fahami (InsyaAllah) dan amalkan.(Amin)
    Sekali lagi syukran Ustaz

  • gentarasa

    Salam Me,
    Minta maaf kekadang terlalu diburu waktu, ejaan tidak tepat. Tak terdaya kata-kata untuk “memburu” rasa. Namun, saya yakin rasa jugalah yang akan membetulkan semula kata-kata yang tersalah eja. Semoga jadi ibu yang baik – untuk anak, dan zaujah solehah – untuk suami. Amin.

  • husaini

    Salam ust pahrol,

    Dan salam kepada semua anak-anakyg menghantar komen,
    Pada saya bukan soal ISA itu relevan atau tidak lagi.Ini adalah soal ilmiah dan perkara yg kedua yg perlu di bincangkan.Tetapi pd saya pengalaman dan didikan yg Allah berikan dan cara ustaz mencugkil hikmah dengan “pin syariat” dan “memandang” dgn suluhan halus berpandukan panduan”teman daerah tinggi” ini yg wajar kita ambil.

    Tahanan “ISA” ini hanyalah satu contoh. Tetapi cara kita “terima dan hadapi” sesuatu peristiwa itulah yg wajar kita ambil ikhtibar.Pada semua anak2 diluar sana.Pakcik harap suluh lah tulisan ust pahrol ini dengan rasa hatimu”(From the deepest part of your heart”).Anak-anak akan jumpa mutiara yg tak dpt di cari,di nilai oleh mata kasar manusia tetapi dpt di nilai oleh hati yg rendah serendah kedudukan mutiara di laut dalam sana.

  • gentarasa

    Salam ustaz Husaini,
    Syukran atas pandangan ustaz. Ya, betul… rasa hati kita sama. Itulah yang sebenarnya yang hendak ana sampaikan. Kita cuma mampu menyatakan apa yang sudah jelas dalam hati dan fikiran kita. Selebihnya… wallah hu a’lam. Membetulkan cara kita melihat – ya itulah yang ingin saya sampaikan kepada anak-anak kita. Sebab “what you see ( X look), is what you get!”. Biarlah ulama dan mereka yang lebih arif memperdebatkan soal ini dengan adil. Insya-Allah, akan ketara juga kebenarannya. Tetapi kita yang hanya bermujahadah sebagai da’i ini akan menyampaikan dari sudut yang kita nampak.
    Benar kata ustaz… “terima dan hadapi.” Terima dengan “rasa kehambaan”. Hadapai dengan “rasa bertuhan” – apa sahaja ujian dalam hidup kita. Itu yang saya tegaskan berkali-kali, setiap orang ada “ISA”nya masing-masing. Terima dan hadapi… jika tidak kita akan terus terbelenggu dalam “PENJARA JIWA” yang hakikatnya lebih dahsyat daripada ISA. Kamunting daerah sempit, tapi boleh jadi “daerah di luar kamunting” lebih sempit jika hati kita terus dimamah mazmumah.
    Syukran, kerana ustaz sudi “menggilap” mesej tulisan saya!

  • fikry

    salam,sy org baru..sy kenal ustaz mase ustaz jd kolumnis majalah i,sejak itu sy minat bc tulisan ustaz..baru jumpe blog ustaz..apapun tentang isa sy rasa saya faham ape mesej yg ustaz cuba sampaikn….salam ukhwah

  • amy

    assalamualaikum..
    menitis air mata sy ketika mmbca coretan ustaz..erm allah 2 maha esa DiAxkn mnghukum umatnya melibihi btasan yg mmpu dtnggung oleh umatnya..

  • kesidang

    assalamualaikum
    moga saya tidak terlewat untuk mengatakan…
    sesungguhnya pengalaman itu adalah guru yang paling baik
    tidak perlu pentauliahan atau pengijazahan sebagai sandaran
    kerana ia lebih bernilai daripada semua itu

    guru merotan murid untuk mendidik
    Allah ‘merotan’ kita kerana kasih sayangNya
    walaupun sakit tidak terkira
    ada manisnya dalam derita
    memang mudah untuk berbicara
    takkan sama dengan yang merasa

    semoga ustaz terus tabah dan ‘merotan’ kami yang terleka…insya allah..

  • kecek

    salam ustaz…

    sedih, tertitis air mata saya dengan pengalaman ustaz….dan tersedar dengan penulisan ustaz….
    tersedar bahawa setiap kesempitan dan kesusahn yang allah turunkan pada diri tidak lain tidak bukan untuk menyedarkan kita bahaw ALLAH adalah sebaik2 pengantungan…moga kesedaran ini terus terlekt di hati saya dengan peringatan melalui penulisan ustaz…

  • taker

    assalamualaikum ustad,,,
    Allhamdulillah buku ustad sangat menyentuh hati sy,seolah olah sy masih berada di sana,karna sy juga bekas dari banduan dari penjara kemunting dan saya bekerja memasak untuk OT bersama pak lateh dan pak din dan firnas (srilangka)..waktu itu ustad pernah menyapa sy sempat berbual dengan sy,dan sy masih ingat lg dengan wajah ustad,mase sy menghantar nasi ke T1.DI blok ustad..
    semoga menjadi hidayah bagi orang yg mau berkongsi pengalaman di kem kemunting…
    salam sejahtera dr sy pd ustad..budak aceh

Leave a Reply

%d bloggers like this: