Looking for Something?

BENAR-BENAR BERUBAH KE ARAH YANG BENAR

Author:

wajib-kembali-kepada-syaraiahBerubah? Ke arah mana? Tentulah kepada yang lebih baik (good), benar (true) dan betul (right). Mana kayu ukur yang menentukan suatu itu benar, baik dan betul? Tentulah Al Quran dan Sunah. Yang Haq itu datangnya daripada Allah. Di atas kebenaranlah bertapaknya segala yang baik dan betul. Tanpa kebenaran, yang baik dan betul (pada pandangan manusia) tetap dikira buruk dan salah pada pandangan Allah. Apa yang datang daripada Allah – semuanya untuk kemakmuran, keharmonian dan kebahagiaan.

Tidak ada retorik yang paling hangat diperkatakan dewasa ini melainkan perubahan. Pemimpin mahu mencetuskan perubahan. Rakyat inginkan perubahan. Ya, sama ada perubahan itu kerana “terpaksa” (berubah atau rebah) atau kerana “rela” (berubah kerana Allah), terpulanglah… Pokoknya semua ingin berubah. Jadi mengapa kita tidak belajar dari Rasulullah s.a.w untuk melakukan perubahan? Bukankah baginda kita akui sebagai role model dalam kehidupan?

Rasulullah s.a.w. menggunakan kaedah daripada Allah untuk mengubah manusia. Walaupun Arab jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik (mereka sentiasa berbalah sesama sendiri), kegawatan ekonomi (ekonomi mereka dimonopoli oleh orang Yahudi) dan kegawatan sosial (perzinaan, perogolan, minum arak dan membunuh anak perempuan menjadi tradisi), tetapi Rasulullahlah s.a.w. tidak mengubat “penyakit-penyakit” itu pada akibat-akibatnya, tetapi terus pada puncanya.

Baginda yakin kegawatan yang bersifat lahiriah itu adalah hasil daripada “sakitnya” tiga elemen dalaman manusia – akal yang jahil, hati yang keras dan nafsu yang liar.
Inilah punca kejahatan manusia. Menyedari hakikat ini, Rasulullah s.a.w memulakan perubahannya dari dalam keluar (inside out) bukan dari luar ke dalam (outside in).

Tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menangani elemen dalaman dengan wahyu-wahyu di peringkat Makkah. Ayat-ayat Quran peringkat itu pendek-pendek dan sarat dengan persoalan tauhid. Semuanya berkisar pada asas iman – menerangkan tentang keesaan, keagungan, kebesaran dan keindahan Allah. Juga menggambarkan nikmat di syurga dan seksa di neraka.

Ini proses perubahan yang hakiki dan sejati. Rasulullah telah membuktikan betapa “formula” dari Allah ini relevan dan signifikan dalam menghadapi situasi dan kondisi umat Arab jahiliah dahulu yang lebih dahsyat kebejatannya berbanding umat Melayu kini.

Itulah kunci ke arah perubahan sikap. Tauhid yang kuat secara automatik akan mengubah rasa, fikiran dan tingkah laku manusia. Transformasi, reformasi, evolusi atau apa sahaja istilah yang dikaitkan dengan perubahan mesti berlandaskan tauhid. Ia membekalkan kekuatan pengetahuan, kemahuan dan kemampuan untuk berubah.

Tauhid ialah sumber kekuatan kerana ia mampu mengatasi semua elemen negatif yang datang dari luar diri sama ada yang datang dari keluarga, persekitaran, budaya bangsa, pengaruh atasan dan keserakahan nafsu sendiri.

Selepas itu, yakni ketika di peringkat Madaniyah, aplikasi sistem Islam mula dilaksanakan secara total. Dimulakanlah ekonomi, politik, budaya, pertahanan dan lain-lain. Namun asas dan teras tauhid yang dibina di peringkat Makkiyah tidak pernah dipinggirkan, bahkan terus-menerus disuburkan.

Seperkara lagi, kejayaan mengubah manusia banyak bergantung kepada faktor pengubah (individu yang hendak mengubah) itu sendiri. Justeru, pemimpin atau sesiapa sahaja di kalangan orang Melayu yang hendak mengubah sikap bangsanya mestilah menjadi teladan perubahan. Berubahlah untuk merubah orang lain!

Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah manusia kerana baginda terlebih dahulu menjadi qudwah hasanah – contoh yang baik pada seruan, pendidikan dan pimpinannya. Hanya orang yang berjaya mengubah sikapnya dahulu, barulah dia akan berjaya mengubah sikap orang lain. Manusia lebih mempercayai mata daripada telinga. Maksudnya, cakap kita yang didengar manusia akan menjadi hambar sekiranya sikap kita yang dipandang terlalu tercemar.

Dua faktor perubahan di atas – pertama, formula perubahan. Kedua, pemimpin perubahan, perlu ditangani secara serius sekiranya kita benar-benar ingin berubah. Kita berdoa, semoga setiap pemimpin Melayu tidak kira di kumpulan mana sekalipun mereka berada, menyedari hakikat ini dan mula menelusuri kaedah Rasulullah s.a.w ini untuk berubah. Insya-Allah, mukadimah yang tepat pasti memberikan kita natijah yang baik. Amin.

Feedback

12
  • norah_nor

    Nawaitu tuk berubah sentiasa ada tapi malangnya kadang-kadang tindakan tidak sejajar… puas di tenung…

  • gentarasa

    Salam,
    Nawaitu untuk berubah itupun sudah satu PERUBAHAN!

  • mymj

    Salam…Saya bersetuju benar dengan Ustaz bahawa elemen dalaman iaitu akal yang jahil, hati yang keras dan nafsu yang liar yang membawa ke arah kejahatan.

    Jika dibaiki ketauhidan di dalam diri nescaya manusia akan berjaya membuat perubahan terbesar di dalam hidupnya…Kekuatan dalaman akan memandu manusia menempuh sebarang cabaran hidup…

  • gentarasa

    Salam,
    Saya hanya meluahkan kebimbangan kita lupakan Allah, dalam usaha merubah diri. Pada hal DIA telah menunjukkan jalan-Nya – ubah dalaman! Betapa iman kita kepada Allah dan hari akhirat, ada HIDUP selepas hidup ini. Itulah perubahan dari dalam – dengan rela dan istiqamah insya-Allah. Ya, Allah, bantulah hati kami untuk berubah. Amin.

  • muhammad

    salam,
    perubahan individu itu sendiri adalah satu kaedah yang tepat untuk mengajak manusia lain untuk turut sama berubah.tapi apa yang saya bimbangkan adalah,kebanyakan pemimpin yang ada pada zaman sekarang, hampir keseluruhannya melaksanakan pentadbiran yang tidak berlandaskan islam. pemilihan yang dibuat oleh rakyat dan individu2 lain selalunya akan berlandaskan faktor2 yang lain seperti populariti dan sebagainya. justeru kita harus jd lbih peka dalam proses pemilihan pemerintah yang akan mentadbir kita. insyaAllah, kepimpinan yag baik akan melahirkan rakyat yang baik.

  • abang ngah

    salam,
    maaf yer ustaz sy nak tanye soalan tp takde kaitan dengan artikel ni,
    alhamdulillah sy baru jer beli buku nota hati hati seorang lelaki,subhanallah sy terfikir ader tak yer ustaz,tulisan seperti ini dengan bahasa yang mudah,ringkas tp padat dengan pengisian yang menyentuh jiwa untuk muslimah,,mungkin nota hati seorang wanita,,,sy nak hadiahkan buku buat adik tersayang,umur die 16tahun,jenis yang sedikit keras, kdg2 pemarah,slalu memendam perasaan,so,nak minta pandangan ustaz buku yang sesuai untuk die?maaf yer ustaz,
    trima kash byk2:-)
    hanya Allah mampu membalas usaha ustaz ini

  • gentarasa

    Salam muhammad,
    ya, saya setuju. Bagaimana pengikut begitulah pemimpiin yang “diberikan” untuk mereka. Samaada mendidik rakyat melalui dakwah dan tarbiah…. agar rakyat baik, lalu mereka melantik pemimpin yang baik. Atau merubah kepimpinan kepada figur yang baik dengan kuasa siasah… agar pemimpin yang baik mendidik rakyat menjadi baik. Yang mana satu? Jawabnya, berpeganglah kepada yang mana satu atau kedua-duanya sekali. Rakyat berubah, baru pemimpin berubah. Pemimpin berubah, baru rakyat berubah… Mudah-mudahan ini akan menjadi fikir dan zikir yang panjang untuk kita. Baca cadangan saya dalam buku Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir. Insya-Allah.

  • gentarasa

    Salam Abang ngah.
    dari nota hati seorang lelaki kita dapat memahami nota hati seorang wanita insya-Allah. Syukran atas cadangan. Untuk adik-adik. saya syorkan buku Kisah Para sahabat 1 & 2 (yang menjadi bacaan wajib dalam majlis taklim dan tazkirah sahabat kita Jamaah Tabligh.) Buku itu sangat berkesan pada jiwa saya. Tapi banyak buku yang lain. Tetapi dulukan dengan buku-buku yang mudah – pendek, cerita dan bahasa yang rengkas. 16 tahun memang begitu. Itu bukan masalah, itu biasa. Tetapi kita mesti rapat. Mesti selalu bersama. jangan meminggir atau mendekat hanya bila nak “berkhutbah”. Raikan “subjek” bual dan minat mereka. Yang paling penting… JAGA SOLAT mereka. Itu pokoknya.

  • syam

    salam…

    satu lagi enrty yg telah melarutkn dlm dunia perubahan ini. berubah ke arah kebaikan.. semoga Allah istiqamah ana dlm menuju ke arh kebaikan ini…

  • gentarasa

    Salam akhi Syam,
    Syukran atas ziarah. Hebat blog mu. Tahniah, muda-muda lagi sudah istiqamah berjuang. Semoga terus istiqamah… sampai syurga! Amin.

  • Ummu Izzuddeen

    salam ustaz,
    saya dah lama jadi silent reader di blog ustaz. saya mohon link blog ini di blog saya ye.
    entry ini mengingatkan saya tentang peri pentingnya mendidik si anak kecil dengan tauhid sbb bilamana elemen ini kuat dan mantap, maka kemana sekalipun dia akan pergi, biar apapun jawatannya tentulah Allah yang paling utama baginya.
    soalnya ustaz, bagaimana cara paling praktikal menanamkan aqidah yang mantap di kalangan anak2?
    syukran

  • gentarasa

    Salam,
    Nanti saya akan berkongsi artikel : kesalahan dalam mendidik tauhid pada anak-anak. Insya-Allah, berilah sedikit masa. Sukran Ummu, dari diam sudah bersuara nampaknya. He, he.

Leave a Reply

%d bloggers like this: