RSS

APAKAH ITU BAHAGIA?

28 Apr

tenangJika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

  • Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.  

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

  • Sumber dalaman atau luaran?

Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

  • Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.

Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

  • Bukti hilangnya bahagia.

Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang.

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

  • Ujian hidup punca hilang bahagia?

Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

  • Metafora air limau dan luka di tangan

Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

  • Inilah erti bahagia

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.

 
30 Komen

Posted by di 28 April 2009 in Diari Hati

 

Label: , , ,

30 responses to “APAKAH ITU BAHAGIA?

  1. khairaummah

    28 April 2009 at 9:57 am

    subhanAllah..
    syukran atas perkongsian, really beneficial…

     
  2. nour

    28 April 2009 at 1:00 pm

    assalamualaikum ustaz, rasanya dlm perenggan terakhir tu, ustaz maksudkan sifat2 mahmudah kan?

    ‘Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. ‘

    jzkk for the entry

     
  3. ika

    28 April 2009 at 1:50 pm

    salam..

    rasa macam silap mazmumah tu patotnya mahmudah kan? last paragraph…terima kasih..

     
  4. khair

    28 April 2009 at 2:41 pm

    salam ustaz…
    pembetulan sedikit dalam artikel ustaz..
    perenggan terkhir,perkataan ‘mazmumah’ perlu ditukr kepada ‘mahmudah’.=).hehe.jadi editor artikel ustaz sekejap..itu jer..
    artikel yg menrik..mabruk!!
    maas salamah..

     
  5. nas

    28 April 2009 at 5:01 pm

    salam..

    nice artikel..bahagia tu sangat subjektif…tapi semua orang mencari bahagia..

     
  6. Suluh Hati

    28 April 2009 at 6:27 pm

    Manusia menafsirkan bahagia dengan kaca mata masing-masing, tapi tak semua merasakan kebahagiaan dengan pencapaian seperti yang ditafsirkannya…

    Menarik sekali air limau dan luka sebagai analogi… Memahami hakikat bahagia menjadikan hati lebih lapang melalui ujian..

    Jazakallah ustaz. Mohon izin untuk copy artikel ustaz dengan disertai link nya ya ustaz….

     
  7. gentarasa

    29 April 2009 at 11:42 am

    Salam Suluh hati,
    Ya, manfaatkanlah kalau ada kebaikan. Say pun sedang bertatih dalam mujahadah.

     
  8. gentarasa

    29 April 2009 at 11:43 am

    Salam Nas,
    Syukran. Ya, pada Allah, bahagia manusia hanya dengan Mengingati-Nya.

     
  9. gentarasa

    29 April 2009 at 11:44 am

    Salam Khair,
    Saya telah betulkan sebaik mendapat teguran dan makluman. Syukran jazilan!

     
  10. gentarasa

    29 April 2009 at 11:46 am

    Salam Nour,
    Memang tersilap. Ya, bukti saya masih manusia. Syukran atas ingatan dan perhatian. Semua bahagia membaca artikel mengenai bahagia tu. He, he.

     
  11. gentarasa

    29 April 2009 at 11:51 am

    Salam,
    Syukran juga buatmu. Saya sangat menghargai ziarah saudara/i.

     
  12. muhammad

    29 April 2009 at 12:20 pm

    salam ustaz..
    saya ingin minta pendapat ustaz tentang masalah saya ni..
    saya selalu mengamalkan solat2 sunat seperti solat dhuha,taubat,hajat dan sebagainya..
    orang kata kita boleh merasa kebahagiaan bile kite wt sume tu sebab kite akn rase dkat dengan Allah..
    tapi semakin hari saya rase semakin banyak dugaan yang Allah turunkan kpd saya..
    kadang kala saya berasa putus asa untuk meneruskan amalan ini..
    astagfirullah..Ya Allah jauhkan lah aku dari kufur kepadaMu..
    ape nasihat ustaz..

     
  13. gentarasa

    30 April 2009 at 4:55 am

    Salam Muhammad,
    Semakin kita dekat melalui amalan sunat… Insya-Allah, Allah semakin sayang. Apa tanda Allah makin sayang? Ya, DIA datangkan ujian-ujianNya. Ujian itu samada hendak menghapuskan dosa kita yang lalu, menghadiahkan kita pahala sabar… atau meningkatkan darjat kita di sisi-NYA. Teruskan beramal, insya-Allah teruskan tabah menempoh ujian. Kekadang hati kita tidak akan menjadi lebih baik dengan solat dan amalan-amalan sunat… tetapi dengan ujian-ujian hidup. Itulah punca hati kita sabar, reda, qanaah dan sebagainya. Satu lagi… bila Allah uji, itu petanda kita mampu menghadapinya. Allah tidak akan uji sesuatu yang diluar kemampuan hamba-Nya menghadapinya. Tetapi kekadang rasa tak mampu juga… kenapa? Itu petanda kita belum “mengeluarkan” segala daya dan upaya yang dibekalkan Allah untuk menghadapinya. Jadi, Allah uji, untuk kita keluarkan kemampuan yang terpendam itu. Jadi, masih rasa rugi diuji? Sakit memang sakit, tapi tahanlah… No pain, no gain!

     
  14. ana_muslim

    30 April 2009 at 6:42 pm

    Assalamualaikum ustaz…
    Maaf, lari sikit kot dr topik. Hm..saya cuma nak tanya pendapat ustaz. Adik saya (muslimat) sering mengeluh kerana sering diusik dan dibuli oleh rakan2 lelaki di sekolah sehinggakan dia rasa tertekan untuk ke sekolah. Dia juga menjadi pendiam dan rasa rendah diri. Saya juga pernah mengalami perkara yg sama semasa di zaman persekolahan. Saya tertanya2 kenapa ya rakan2 lelaki berbuat begitu? Sedangkan saya x pernah bercakap2 @ mengganggu mereka.

     
  15. gentarasa

    2 Mei 2009 at 7:42 am

    Salam,
    Masalah yang sedang dihadapi oleh anda dan adik itu adalah “biasa” dalam kehidupan. Sepertimana anda telah melalui dan berjaya mengharunginya (hingga sekarang), maka begitulah jua dengan adik anda nanti. Insya-Allah. Itu satu “proses”. Ia perlu dilalui dalam ruang lingkup komunikasi dan intraksi kita sesama manusia. Soalannya sama seperti… mengapa kita perlu jatuh semasa belajar menonggang basikal? Itu bukan masalah, hakikatnya. Itu satu proses! Besarkan jiwa adik anda, kerana akan lebih banyak cabaran dalam kehidupan yang akan ditempuhinya nanti. Katakan, itu masalah biasa… Semoga dia dapat menanganinya. Insya-Allah!

     
  16. taj

    4 Mei 2009 at 9:17 am

    Salam,

    semoga Allah terus merahmati ustaz, sukran.

    mengingati Allah, saya rasa bahagia dan tenang.

     
  17. ana_muslim

    5 Mei 2009 at 2:30 pm

    salam…
    syukran atas perkongsian ustaz…saya juga mengharapkan yang sama..kerana saya juga sedang cuba memperbaiki diri sebab perasaan rendah diri tu terbawa sampai ke universiti…tapi x bermaksud saya mendendami mereka…insyaAllah..saya akan cuba beri dorongan kepada adik saya dan sama2 cuba memperbaiki diri…syukran sekali lagi…
    assalamualaikum…

     
  18. gentarasa

    6 Mei 2009 at 1:27 pm

    Salam,
    Bila kita memandang dengan pandangan cinta, apa yang kita lihat dan dapat ialah CINTA. Sebaliknya, jika memandang dengan benci… hidup kita dipenuhi oleh kebencian. Tahniah, kerana belajar di menara gading. Belajarlah di kedua-dua universiti, universiti yang sedia ada dan UNIVERSITI KEHIDUPAN. Salam saya untuk adik ana_muslim. Assalamualaikum!

     
  19. gentarasa

    6 Mei 2009 at 1:50 pm

    Semoga untuk anda juga. bahagia dan tenang dalam pelukan iman, walau digugah seribu ujian di jalan mujahadah!

     
  20. madisyak

    4 Oktober 2009 at 7:57 pm

    Ustz.

    Alhamdulillah! saya mendapat banyak manfaat dari tulisan ustaz ini.

    Sudah lama saya mencari-cari penawar hati dan kini saya telah menemuinya. Terimakasih tidak terhingga.

     
  21. @TiE

    10 November 2009 at 11:42 am

    syukur kehadrat illahi..bahawa kite masih lagi di kurniakan nikmat hidup..sesungguhnya segala ujian yang melanda ke atas setiap manusia ini ada hikmah yang tersembunyi dan di sebalik ujian itu ada ganjarannya..ganjaran itu akan kita miliki jika kita benar tenang dan sabar mghadapinya…sama2la kita mencari kebahgiaan

     
  22. siti

    13 November 2009 at 9:59 am

    salam ustaz,

    syukur pada Allah, pertama kali saya membaca blog ustaz..saya seolah2 bertemu dgn sesuatu yg dicari2 selama ini ..amat bermanfaat..penuh dgn pengisian..jiwa terasa terubat dan bahagia sekali.. blog ustaz banyak memberi kekuatan jiwa…semoga ustaz akan terus berkarya…terima kasih

     
  23. Ashraf

    15 November 2009 at 11:19 am

    salam ustaz,
    shukran atas perkongsian ini, artikel ni banyak menjawab persoalan2 yang sering bertandang datang di minda

     
  24. wardatulsakinah

    12 Januari 2010 at 8:25 am

    salam,
    ustaz, pertama kali sy membuka blog ustaz, sy sudah jatuh cinta dgn blog ini..perkongsian2 yang simple tapi amat bermakna dan penuh pengajaran..sy nak copy artikel2 ustaz yang lain..bolehke?

     
  25. rozz

    21 April 2010 at 4:32 pm

    Tulisan ustaz sangat terkesan di hati. Sudah lama saya mencari tulisan yang dapat memberi panduan sebegini. Teruskan bertarbiah. Di zaman ini, banyak jiwa2 yang kosong.

     
  26. hafiz

    29 Mei 2010 at 1:33 pm

    Salam Ustaz,

    saya rasa memang apa yang ustaz katakan itu benar, hati kita mestilah bersih, bersih dari segala perkara yang mengotorkan hati kita demi mencari kebahagiaan..
    akan tetapi ustaz, untuk mencapai ‘kebersihan hati’ dan ketenangan, boleh ustaz sarankan amalan2 yang perlu kami lakukan, sperti zikir yang mcm mana, dan sebagainya. kerana ada kalanya bila saya amalkan zikir, hati saya tetap resah gelisah dan runsing.
    seperkara lagi, ustaz ada ayat2 atau zikir untuk menghilang rasa was-was, supaya hati kita tekad dan tetap untuk melakukan sesuatu perkara.
    terima kasih ustaz.
    wassalam.

     
  27. has

    14 Februari 2011 at 11:33 pm

    salam ..ustaz.
    sy nak tnya..mcm mana sy nak hadapi sgala ujian yg dibeli..? sy x pasti sama ada itu ujian atau perkara yang belaku atas salah sendiri..
    dari kcil hingga sekarang..mcm2 perkara yang berlaku dalam diri saya..
    sy x tahu mcm mana nak menghadapi serta melupakan @ memaafkan segala perbuatan org terhadap sy…
    yang saya thu, saya benci kan org yg berbuat jhat pada saya…

     
  28. al bukhari

    25 Mac 2012 at 11:46 am

    syukur apa yg ada dan sabar apa yg tiada…. menarik sekali. alhamdulillah, terima kasih ustaz

     
  29. Nursyazwani Baharudin

    27 April 2012 at 11:43 am

    Mohon share ustaz….sesungguhnya manusia d beri dgn pelbagai ujian yg berbeda….semoga kta sama2 tabah dan tenang menghadapinya…Insyaallahh..

     
  30. zila

    15 November 2012 at 1:50 pm

    salam ustaz..syukur di atas anugerah yang Allah kurniakan pada ustaz kerana tidak pernah jemu utk membimbing kami ..mohon share artikel nie

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers

%d bloggers like this: