RSS

Catatan perjalanan: Aku dan 3 ibu…

30 Apr

kelahiran1Kali ini izinkan aku menulis tentang jasa IBU. Aku tidak pandai berfalsafah. Aku hanya ingin berkongsi rasa. Susuri rasa ini dalam tulisan sederhana yang ku beri tajuk: Aku dan 3 ibu…

Ibu pertama:

Aku mengayuh basikal laju-laju. Ingin cepat sampai ke destinasi. Masih terngiang-ngiang pesan emak sebentar tadi.

“Jumpa misi (jururarawat) sahaja terus bagi kad merah tu. Katakan emak dah sakit,” kata emak lemah. Wajahnya berkerut-kerut menahan kesakitan. Umur ku ketika itu baru 12 tahun. Emak sakit perut untuk bersalin. Ayah ku seorang buruh telah pergi bekerja awal pagi tadi. Di rumah tinggal aku dan dua orang adik perempuan.

“Emak nak bersalin ke?” tanyanya naif.

Emak tak bercakap banyak. Hanya mengangguk-angguk. Tubuh emak begitu kurus.

 Tanpa berfikir panjang aku terus meminjam basikal jiran sebelah. Kebetulan tidak ada siapa orang lelaki yang boleh diharap kecuali aku. Pak cik sebelah menyebelah juga keluar bekerja. Rumah misi yang juga pusat kesihatan daerah kami agak jauh. Tetapi pada tengah hari itu semuanya seakan dekat. Aku mengayuh terus.

 “Misi, emak saya nak bersalin. Ini kadnya,” kata ku tercungap-cungap sambil menyerahkan  kad tersebut.

Misi, seorang perempuan Cina lewat 40’an itu agak terkejut. Namun kemudian membelek dan melihat kad itu secara terperinci.

“Aiya, saya tak boleh jadi bidan emak lu. Dia punya darah dan jantung ada sikit “problem”. Saya tak boleh…”

“Habis macam mana?” tanya ku agak cemas.

“Lu call ambulan. Minta dia datang rumah lu!”

 

Aku panik. Dalam usia 12 tahun, manalah aku pandai menelefon. Ini cerita 35 tahun dahulu, ketika kemudahan telekomunikasi tidak seperti hari ini. Sekarang anak-anak sudah pandai mendail telefon bimbit seawal usia 6 atau 7 tahun lagi. Mana nak dicari telefon awam.

“Misi boleh tolong tak?” aku merayu.

Misi terdiam. Tak lama kemudian dia bersuara, “minta tolong call ambulan? Ya, ya. Lu tulis alamat rumah di sini,” katanya sambil menyerahkan satu carikan kertas. Syukur, walaupun berlainan bangsa dan agama, tetapi misi ini baik orangnya.

  Selepas dia menelefon, aku berkejar balik ke rumah semula. Setiba ku di sana, sebuah wagon ambulan telah sedia menanti.

“Boleh saya ikut?” pinta ku seakan-akan merayu kepada pemandu ambulan berbangsa India yang bermisai tebal itu.

“Tak boleh. Lu masih budak-budak lagi. Emak lu kena terus ke hospital!”

Aku sungguh kecewa.

 

Tak lama kemudian, emak kelihatan turun dari tangga rumah kayu kami terhincut-hincut. Emak sempat merenung ku dan berpesan, ” emak dah masak nasi. Tapi tak ada lauk, tengok-tengokkan makan adik-adik ya?”

Aku mengangguk akur. Dalam keadaan biasa pun itu memang sudah menjadi sebahagian rutin ku. Memasak dan menyediakan makanan memang tugas yang selalu emak amanahkan kepada ku.

 

Ya, semua itu masih segar dalam ingatan. Bagaimana gementarnya aku menunggu berita daripada emak. Malam, baru bapa pulang memberitahu yang emak telah bersalin. Aku begitu gembira… dapat adik baru!      

 

Ibu kedua

Isteri di dalam bilik rumah mertua ku sedang bertarung dengan kesakitan. Sekali-sekala terdengar suaranya mengeluh lemah Allah, Allah, Allah… Tiba-tiba emak bidan keluar diiringi oleh ibu mertua ku. Mereka berbincang sekejap. Aku memerhatikan sahaja dari jauh. Apa halnya? Hati ku tertanya-tanya.

 

Sejak subuh tadi isteri ku mengaduh sakit perut. Mula-mula sakitnya datang berselang-seli. Jarang-jarang, kemudian kerap-kerap. Apabila “air ketuban” telah pecah, ibu mertua ku dengan segera menyuruh aku memanggil bidan berhampiran.

“Mak Cik isteri saya nak bersalin,” kata ku sebaik sahaja memberi salam kepada orang tua itu. Dia begitu tua. Agak-agaknya telah berusia lewat 60’an. Tetapi dia sahaja harapan orang kampung itu untuk membidani wanita-wanita yang bersalin.

 

“Bila sakitnya?” tanya bidan tua itu tenang. Begitu selamba, seakan-akan tidak dapat dijangkaunya gelora rasa dalam hati ku sebagai seorang suami yang menanti kelahiran anak pertama. Perlahan-lahan, dia bergerak. Wajahnya yang cerah berseri, pakaiannya bersih serta mulutnya kumat-kamit berzikir. (Kemudian aku baru tahu rupa-rupanya bidan tua ini sedang berpuasa 6).

 

Tidak sabar, aku terus mendekati ibu mertua ku.

“Kenapa emak?”

“Isteri kamu ada masalah. Budak tak mahu keluar. Bidan kata dia takut budak kelemasan…”

“Jadi?”

“Kita bawa ke klinik atau hospital dengan cepat.”

Yang terbayang di ruang fikiran ku hanya wajah isteri. Berkali-kali dia telah berpesan hendak “dibidankan” oleh bidan atau doktor wanita. Aku mesti menunaikan permintaannya. Aku mesti bertanggung-jawab.

 

“Kita cari klinik yang ada bidan wanita saja ya?” rayu ku kepada ibu mertua ku. Begitu ringan mulut ku meminta persetujuannya walaupun dalam tangan ku wang yang begitu sedikit. Aku tekad sahaja, kalau terpaksa berhutang. Aku akan berhutang. Semuanya ku terima seadanya kerana aku masih dalam pengajian. Namun, untuk mempertaruhkan maruah isteri tidak sama sekali.

 

Dahulu, bukan senang untuk mendapat suasana Islamik di hospital-hospital biasa. Tetapi sekarang, syukurlah suasana sudah berubah. Doktor, jururawat dan bidan perempuan sudah ramai. Hasil kesedaran Islam suasana di hospital pun sudah semakin Islamik.

 

Bila teksi yang dipanggil datang, isteri, ibu mertua dan bidan tua itu pun segera masuk. Aku duduk di hadapan di sebelah pemandu teksi. Destinasinya? Sebuah klinik bersalin milik seorang perempuan Cina. Semuanya mengikut hasil perbincangan ibu mertua ku dengan bidan tua. Bidan tua itu “berkeras” untuk terus mengikut kerana hendak menjaga “suasana” bersalin secara Islam buat isteri ku. Dalam keadaan tubuh tuanya terketar-ketar aku masih dapat melihat semangatnya begitu kental. Kalau ikutkan lemah, elok dia berehat sahaja di rumah dan minta bidan berbangsa Cina itu sahaja mengambil alih.

 

Setelah berhempas pulas dengan teriak raung zikir dan keluhan biasa, akhirnya terdengar suara tangisan. Begitu kuat, hingga mengejutkan aku di ruang legar klinik yang begitu sempit. Aku hanya mampu pasrah dan bermunajat di atas kerusi usang klinik yang serba daif itu. Tidak lama bidan tua itu pun melambai-lambai tangannya kepada ku.

 

“Alhamdulillah, anak kamu perempuan, cepat azankan…” katanya sambil tersenyum. Aku terlampau gembira hingga terasa ingin memeluknya. Tidak lama selepas aku selesai melaungkan azan dan berdoa, aku melihat bidan tua itu menjamah sedikit makanan dan meneguk air sejuk. Dia berbuka dan berjaya menamatkan puasa enamnya dengan begitu tenang sekali. Ku lihat wajah isteri tersenyum puas di sisi anak yang masih merah hasil “perjuangannya” sejak awal pagi itu. Tanpa disedari air mata mengalir. Sedih bercampur gembira, syukur wahai Tuhan, anak ku selamat dilahirkan walaupun dalam keadaan kami yang serba kekurangan.  Aku begitu gembira… dapat anak sulung!

 

Ibu ketiga:

Ingin aku kongsikan, rasa yang ku alami ketika menunggu detik kelahiran itu. Anak perempuan ku mula sakit pada malamnya dan melalui saat-saat cemas mula jam 7 pada paginya. Tuhan memberi mehnah seorang ibu kepadanya. Rasa sakit, rasa perit dan keletihan tahap tinggi, yang bakal menempa dan “mengeluarkan” segala keupayaannya untuk menjadi seorang ibu terbaik. Kesakitan yang hakikatnya satu “ijazah” yang melayakkan seorang ibu mendapat ketaatan  tiga kali ganda berbanding ayah.

 

Siapa lagi di sisi? Genggaman tangan seorang suami walau seerat mana tidak akan dapat bersama-sama berkongsi kesakitan. Ibu kepada bakal ibu (isteri ku), mengambil jarak jauh, berdoa, menangis dan merintih di luar kamar. Ketika pertarungan hidup dan mati itu… tidak ada teman, tidak ada sesiapa dapat berkongsi rasa, hanya dia dan Allah.

 

Rasai, rasailah wahai anak ku, detik melahirkan yang persis detik kematian… rasa harap yang sewajarnya seratus peratus kepada Tuhan. Seharusnya tidak ada lagi rasa bimbang, selamat atau tidak, pengakhiran buruk atau baik… Yakin, sangka baik, insya-Allah selamat, insya-Allah baik! 

 

Ya, aku di mana? Aku pun rupanya tidak tega menunggu begitu. Mendengar seru dan desah resah, Allah, Allah. Jua kata semangat dan lonjak dorongan daripada para jururawat dan doktor. Lalu apa pilihan lagi buat ku selain meminggir sepi di satu sudut yang paling sunyi.  Ya, aku masih ingat lagi detik itu. Detik aku terperosok dalam bilik sempit yang dinamakan “surau” itu.

 

Di situlah tegaknya kamar sufi tempat ego dan takbur tersembam ke bumi. Ketika insan dipagut keresahan, kegelisahan dan ketidaktentuan, barulah semua berpaut kepada Tuhan. Lalu, aku merasakan saat resah ini hakikatnya satu anugerah, untuk aku kembali semula kepada Mu.     

 

Ya, Allah… pengharapan ku pada mu terlalu tinggi. Tetapi aku sedar, aku berdosa. Terlalu banyak kesalahan dan kekhilafan ku kepada Mu. Namun mampukah aku berpaling dari Mu? Tidak, walau dosa ku setinggi gunung, tetapi pengampunan Mu jauh lebih tinggi. Lebih tinggi dari langit yang tujuh. Telah aku ungkapkan kata-kata itu melalui lirik-lirik nasyid yang ku tuliskan, namun seakan-akan baru kini aku merasakan. Aku kembali, aku kembali kepada Mu Tuhan…

 

Jam 11 pagi, tiba-tiba pintu surau kecil itu terkuak. Anak bongsu lelaki ku memberi salam dan berbisik, “kakak dah selamat bersalin!” Derai air mata ku tidak dapat ditahan lagi. Syukur, syukur, syukur ya Allah, Engkau masih sayang kepada ku, pada kami, pada semua insan yang terlalu banyak berdosa ini. Dalam sujud syukur ku di hujung duha, aku terdengar raungan tangis cucu yang pertama. Alhamdulillah, lahir cucu ku yang pertama!

 

Aku dan tiga ibu:

Demikian ku kesahkan segalanya. Aku pasti, kamu dan kita semua ada kisah masing-masing. Yang unik dan istimewa tentunya. Ku tulis segala hanya untuk mengingatkan betapa besarnya jasa ibu kita. Ku tulis ‘aku’ hanya untuk mendekatkan rasa. Namun aku percaya ‘aku’mu begitu jua. Kisah, ibu yang melahirkan ibu, melahirkan ibu… dan seterusnya.

 

Tiga jasa ibu yang tidak mungkin ditandingi oleh seorang bapa – pertama, mengandungkan, kedua melahirkan dan yang ketiga menyusukan. Ketika berat hati kita untuk membalas jasa dan mendoakannya… kenangkanlah, betapa satu ketika kita telah berhutang nyawa kepadanya. Tidak kira betapa besar dan tingginya jasa kita, namun kita adalah insan terhina jika melupakan jasa ibu!

 
21 Komen

Posted by di 30 April 2009 in Iktibar Kisah

 

Label: , , , ,

21 responses to “Catatan perjalanan: Aku dan 3 ibu…

  1. Syam

    30 April 2009 at 8:10 am

    Ya Alah.. ust terasa begitu terasa getaran kerinduan emak yg berada diperjauhan.. tak sabar nak balik rumah setelah setahun tak dpat balik kerana sebuah perjuangan menuntut ilmu..

    Hati ana menangis membc enrty ust kali….

     
  2. norah_nor

    30 April 2009 at 8:20 am

    Assalamualaikum, untuk sekian kalinya sy baca artikel ni “gentar” rasa hati..kasih IBU membawa ke syurga, kasihnya AYAH hingga akhir nyawa..betul ke ustaz org kata kalau anak perempuan mirip ibunya sedikit ‘panas’?

     
  3. gentarasa

    30 April 2009 at 10:12 am

    Salam,
    Kata orang begitulah. Tetapi watak asal (berdasarkan gene, tarikh lahir dsb) boleh berubah mengikut didikan dan mujahadah. Tapi kalau ibu dan bapanya “sejuk” insya-Allah, mirip siapa-siapapun sejuk. Dan kalau kita sedar kita ni “pemanas” sikit orangnya, teruslah didik dan latih diri sendiri. Apapun kita bertanggung jawab terhadap diri kini. Tidak ada sifat yang “dilahirkan” terus berkekalan. Demi keadilan Allah – empunya syurga dan neraka.

     
  4. gentarasa

    30 April 2009 at 10:15 am

    Salam,
    Memendam rindu sama dengan memendam bahagia. Sedalam rindu yang dideritai, sedalam itu jualah bahagia pertemuan yang akan dinikmati. Jaga diri baik-baik, doakan ibu anda bagi pihak saya sekali ya!

     
  5. wardah

    30 April 2009 at 1:04 pm

    Sayu rasanya membaca entry ini. Terbayang dimata waktu kecil2 dulu. Nakal, tak dengar kata..hakikatnya ibu sentiasa bersabar dengan kita. Sebagai anak, berdosa rasanya apabila mengecewakan mereka.

    Namun, sekarang jika lihat ada anak remaja sanggup mengenepikan ibu hanya kerana cinta. moga diri ini sentiasa mengenang jasa ibu. Syukran ustaz, atas kesedaran ini.

     
  6. gentarasa

    30 April 2009 at 3:18 pm

    Salam Wardah,
    Syukran atas respons. Mudah-mudahan kita semua sentiasa menghargai jasa ibu – dunia sampai akhirat. Siapa yang mengutamakan cinta daripada ibunya… dia pasti akan “disiksa” oleh cintanya itu. Lambat atau cepat. Hati-hati menjaga hati!

     
  7. Suluh Hati

    30 April 2009 at 5:35 pm

    Ya Allah..tetapkan hati kami untuk terus mencintai ibu kami dengan hati mahupun tindakan kami… Hindarilah kami dari menyakiti mereka serta mudahkan bagi kami menyayangi mereka..

     
  8. gentarasa

    30 April 2009 at 5:53 pm

    Salam,
    Syukran Suluh Hati. Amin atas doamu yang suci itu. Amin…

     
  9. Radieah Mohd Nor

    30 April 2009 at 10:34 pm

    Assalamu’alaikum..

    Mak saya pernah bercerita tentang peristiwa bagaimana mak melahirkan saya. Mak cakap, mak mula sakit pagi Sabtu dan saya selamat dilahirkan pagi Ahad. Sehari suntuk mak sakit. Kesian mak…

     
  10. merah hatiku

    1 Mei 2009 at 10:24 am

    Salam ustaz…
    saya selama ni pembaca senyap blog ustaz. saya suka baca artikel ustaz. santai dan padat dengan nasihat dan panduan. Terima kasih ustaz.

    Bercakap pasal ibu…saya nak kongsi juga pasal ibu yang wujud dalam hidup saya.

    saya ada 4 ibu yang istimewa. 1) Ibu kandung 2) Ibu yang menjaga 3) Ibu tiri dan tak lama lagi yang ke 4) ibu mentua….syukur Allah anugerahkan saya ibu ibu yang hebat.

    Juga hebat juga dugaan untuk berkongsi kasih sayang antara mereka…Takut kasih tak terbahagi dengan baik kepada mereka…

    Sekadar berkongsi rasa….

    Terima kasih ustaz.

     
  11. sukri

    1 Mei 2009 at 7:55 pm

    as`kum wr. wbt…
    ana terasa hiba..tangisan tiada dapat dilindung lg tika membaca artikel ini..insya Allah, akan ana buktikan buat ibu tercinta dengan segulung ijazah dr ilmu 3 tahun di perantauan ni..

     
  12. gentarasa

    2 Mei 2009 at 7:47 am

    Salam Radieah,
    Begitulah perjuangan mak Radiah, emak Pahrol dan emak-emak yang lain. Semoga kita sentiasa mengenang jasa emak walaupun apabila kita sendiri sudah menjadi emak. Syukran jazilan!

     
  13. gentarasa

    2 Mei 2009 at 7:57 am

    Salam,
    Merah hatiku… semerah semangat dan rasa hatimu. Jazakallah. Tahniah kerana memiliki 4 ibu… Ya, jangan menanti hingga jadi ibu baru hendak mengetahui bagaimana besarnya jasa ibu. Cinta tidak mungkin dibahagi-bagi… kerana ia bukan benda. Ingat, jika kita mencintai Allah, kita akan dikurniakan kemampuan mencintai orang lain dengan adil dan saksama. Perlukah mentari “berfikir” bagaimana meratakan cahayanya di muka bumi? Tidak. Mengapa? Mentari sangat besar, cahayanya mampu mengenai segala dan semua di atas muka bumi. “Membahagi” cinta bukan mengurangkan, bahkan menambahkan. Insya-Allah.

     
  14. gentarasa

    2 Mei 2009 at 8:04 am

    Salam,
    hadiah terbaik seorang anak untuk ibu ialah kejaayaannya (bukan kejayaan ibunya). Dan pastikan ijazah itu nanti digenggam oleh seorang anak yang soleh atau solehah. Insya-Allah. Salam mujahadah!

     
  15. zul

    3 Mei 2009 at 11:05 am

    Begitu sebak membaca artikel ini..Begitu tinggi nilai pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu…

    Thanx ustaz atas muhasabah yang diberi…

    Kepada mereka2 yang masih mempunyai ibu,hargailah sebelum terlambat…

    Diri ini tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu,ibu ana meninggal dua jam selepas ana dilahirkan akibat komplikasi darah…tetapi ana tetap bangga dengan ibu ana kerana sanggup mengorbankan nyawanya demi melahirkan seorang anak

     
  16. taj

    4 Mei 2009 at 10:49 am

    Salam,

    tersentuh hati bila membaca entri ini… terus rasa rindu pada ibu saya…
    Ya Allah, engkau limpahkan rahmah dan berkatmu kepada ibuku dan ibu-ibu yg lain dan ampunkan dosa-dosa mereka… amin

     
  17. gentarasa

    6 Mei 2009 at 1:49 pm

    Salam,
    Taj, amin. Moga doamu makbul… demi ibu-ibu kita yang berjasa. Ya, Allah… berilah mereka syurga di dunia (ketenangan) dan di akhirat sana (kebahagiaan). Amin.

     
  18. hanani

    6 November 2009 at 10:27 am

    salam ustaz,
    ingin mendapat pandangan ustaz
    anak saya perempuan ada 2 pusar di kepalanya.. ramai yang berpendapat anak mcm ini agak degil. sedih rasa bila ramai mengatakan berkata demikian. sebagai ibu, saya tetap mendoakan yang terbaik untuk anak.mudah-mudahan tidaklah seperti yang diperkatakan orang.
    wassalam

     
  19. air mengalir

    4 Disember 2009 at 6:09 pm

    aduh..
    bce cite pasal ibu ni mmg best..
    tp yg xbest nye..
    dah xde ibu la…

     
  20. gentarasa

    7 Disember 2009 at 11:47 am

    Salam,
    Jika tidak ada ibu… jadilah ibu itu. Atau bersedia menjadi ibu. Hidup untuk memberi!

     
  21. Alia Ruzaidy

    13 April 2011 at 2:26 pm

    Mohon izin untuk di copy dan di sharekan di blog sy. termia kasih. entry ini sedikit sebanyak telah meninsafkan sy.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,252 other followers

%d bloggers like this: