Looking for Something?

KEJAHATAN ITU BUKAN SATU KEBETULAN…

Author:

sb10064243i-001Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja nenentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.

Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya… rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan… tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk ’maju’ setapak lagi. Itulah tahap ke-empat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi siberdosa itu menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat… pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat. 

Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Ketelanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri… ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah ’peringatan’ yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak ‘menjadi’ berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh ‘nikmatnya’ yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.

Wahai diri, ingatlah… sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa… tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!

Feedback

22
  • sukri

    as`kum wr. wbt..
    “Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam”. petikan dr wadah bicara ustaz. Ana tertarik dengan ayat yang ditulis oleh ustaz ini. benar apa yang diungkapkan.

    di sini, ana ingin mengaitkan kejahatan dan dosa itu dengan sikap “mengumpat”. ana pelik, kenapa semakin ramai seseorang itu berkawan, semakin kuat dan banyak pula sahabat2 mengumpat. walhal mereka telah tahu mengumpat itu merupakan satu dosa.

    ada sesetengah shbt ana bukanlah org biasa. mereka dr bidang pengajian Islam, petah berbicara hal agama. namun, sikap mengumpat mereka tidak menampakkan mereka berada dalam bidang tersebut.

    jadi, diharap semoga para shbt sedar bahawa mengumpat juga merupakan salah satu dosa yang sering dilakukan oleh kebanyakan umat Islam sekang..insaflah wahai shbt2…

    p/s : peringatan utk diri ana sendiri

  • naja

    salam.

    setiap manusia itu ada kelemahannya yg tersendiri.

    mgkin sbb mereka di jurusan pengajian agama,jd kita nampak kesilapan mereka lebih2 lagi.

    tak kira siapapun kita,saling mengingati antara satu sama lain.
    insyaAllah.

    syukran ya ustaz.

    setiap coretan ustaz sampai maknanya bg org2 yg berfikir.
    insyaAllah.

  • Suluh Hati

    Kadang-kadang rasa kecewa mencengkam hati kerana taubatku sering kunodai. Moga taufiq dari Allah masih sudi menjengah, agar tidak hati ku merasa aman dengan kederhakaan. Allah, jangan Kau biar ku menjauh dari-Mu…

  • pali

    salams,

    inilah yang saya maksudkan; diri kita tak biasa menipu (insyallah) tetapi sering kali tertipu dengan diri sendiri.

    ada orang kata ngan saya pasal kitab talbis Iblis? Kitab yang bagitau macamana Iblis menggoda manusia, tak kira siapalah kita, muslim, not yet muslim, ustaz, ustazah, remaja, ayah, ibu, anak, pelajar, bloggers, pembaca, penulis dsb.

    benar mujahadah itu perlu.

    masih bertapa. kekeke.

    -anak murid tumpang belajar-

    alhamdulilah ustaz,sememangnya nota lelaki yang sudah bernikah lebih terang lagi bersuluh. Semoga Allah menambahkan lagi baraqahnya ke atas Tuan.

  • gentarasa

    Salam Pali,

    Hakikatnya tidak ada siapapun punya kekebalan daripada hasutan syaitan. Malah lebih tinggi iman seseorang, lebih hebat godaan syaitan. Hanya taubat, doa dan zikir selalu sebagai perisai. Masih bertapa? He, he. Uzlah le tu. Bagus, semoga iman meningkat. Bila kita uzlah, kita takut kejahatan kita menjangkiti orang lain, bukan kejahatan orang lain menjangkiti kit. Begitu pesan guru-guru sufi.

  • gentarasa

    Salam,
    Taubat, mungkir, taubat dan mungkir lagi. Apa yang hendak dibuat jika sikap begini? Kata Imam Ghazali, teruslah bertaubat. Mana tahu kita mati… semasa dalam taubat. Atau sedang menuju satu taubat lagi. “Walau taubat seringku mungkir, tetapi pengampunan-Mu tidak bertepi…” begitu lirik nasyid yang pernah saya tulis dahulu.

  • gentarasa

    Salam naja,
    Ya, begitulah untuk diri kepada diri yang lain. Hakikatnya kita adalah insan alpa yang perlukan peringatan sesama kita. Jumpa lagi. Amin!

  • firstmartyr

    assalamu’alaikum ustaz.
    jazakallah atas tazkirah.
    moga-moga setiap taubat yg dilaksanakan adalah taubat nasuha..
    selalu merasakan mempermainkan Allah bila memungkiri taubat yg dilaksanakan.
    mohon dgn sgt agar allah ampunkan segala dosa.
    ustaz, sy minta izin share artikel ni di blog saya ye.
    syukran

  • gentarasa

    Salam Sumayyah,
    Sudah ziarah ke blog mu. Alhamdulillah, cantik dan mendidik sekali. Kemas dan jelas. Saya terasa ingin menteladani blog mu. Tetapi saya belum punya kesempatan untuk belajar menghias, mengatur dan menceriakannya. Saya benar-benar baru dalam bidang ini. Dorongan utama datang daripada seorang sahabat yang berkata, “jika benar-benar nak berdakwah… mesti ujudkan blog”. Saya terkial2 belajar, dengan dia sendiri membinanya. Al hasil, sekarang saya hanya pandai memasukkan entry, mengedit dan meletakkan gambar. Saya ingin juga meletakkan pautan blog sahabat-sahabat yang selalu mengunjungi di blog saya. Atau meninggalkan komen dalam blog-blog yang saya kagumi… tapi saya tak pandai. Nantilah, saya belajar lagi… jika dah pandai nanti, insya-Allah blog firstmartyr.blog.friendster.com ni akan saya letakkan pautannya.

    Sumaiyah, taubat kita memerlukan satu taubat lagi. Begitulah berulang kali. Mudah-mudahan Allah menilainya juga. DIA Maha Penyayang. Ya, Allah… terimalah taubat kami dan pandanglah kami dengan pandangan rahmat. Amin.

  • rainbow7

    Alhamdulillah… santapan rohani hari ini buat minda lebih ‘segar’ dan menghapuskan kekusutan dalam hati..

    semoga ia bukan setakat hari ini.. ameen2 ya rabbal alameen..~

    jazakallah yaa ust..

  • khairunisazulkurnain

    salam ustaz,
    maafkan saya tak sempat nak beritahu ustaz.saya ade ambill seberapa perenggang dr article ustaz..izinkn saya share di blog saya…article ustaz psl kejahatan ni btul2 saya takut baca..kadang2 kita x sedar kejahatan yang kita lakukan sbb dh jd sebati dgn diri..memang btul bila org tegur pn kita takkan sedar…ya Allah,jauhknla…terima kasih byk2 ustaz atas article tu..btul2 menyedarkan saya…nafsu dan tipu daya syaitan takkan putus2…

    wslm…

  • gentarasa

    Salam,
    Saya juga ucapkan syukran jazilan. Mudah-mudahan tersebar jua kebaikannya (jika ada). Masih di sana? Semuga jadi mujahidah di manapun kita berada. Ya, sebaik-baik wanita – dalam apa jua keadaan, masa dan tempat. Amin!

  • gentarasa

    Salam,
    Terima kasih atas kunjungan. Semoga kesegaran roh jihad kita akan melahirkan tindakan-tindakan dakwah yang berkesan bermula dengan pembinaan akhlak yang baik. Amin.

  • mek yah

    salam ustaz
    wahh nak nangis huhu
    betol lar ustaz dosa 1x sedar wat taktahu,2x wat eh best lar pulak,3x dosa xper lar nanti taubat…mek teringat mek masa zaman GELAP,skrg ni mek tgh mengislahkan diri…huhu…setiap baris menampar muka mek ustaz….alhamdulillah hati mek masih hidup…ustaz doakan mek….

    “Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati… itu semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat”

  • gentarasa

    Salam mek yah,
    Samalah kita mek. Semoga Allah berikan kekuatan untuk terus mujahadah dan bertaubat. Walaupun taubat sering patah, kita teruskan lagi. Ya, bisikan ke hati… pertolongan Allah sudah dekat.

  • farha

    salam ustaz..
    saya x de blog, tp sy minat nukilan ustaz…
    izinkn saya simpan2 artikel ustaz ini.. smoga dpt sy jd kn motivasi diri di kal hati ni makin hanyut… terima kasih ustaz..

  • Bawang Goreng

    Kalaulah dosa itu ditanda atau berbau tengik… tentu ramai yang tidak mahu melakukannya…

    Semoga kita semua sempat bertaubat…

  • suhaimi

    izinkn saya share di blog saya

  • siti shamsiah

    Selepas membaca artikel yang comel ini, perasaan saya berbaur-baur dan tidak dapat dirungkai. Saya amat terpaut dengan perenggan akhir. biar kita sedih dan kesal dengan dosa yang dilakukan, ia lebih baik berbanding dengan rasa takbur kerana melakukan kebaikan.

    Pada pendapat saya, jangan jemu bertaubat dan jangan malu untuk terus bertaubat walaupun kita mungkiri taubat kita. Pada saat kita merasa kesal dan insaf, insya-Allah, sebenarnya ia proses pembinaan kekuatan dan dinding yang akan menghalang kita suatu hari nanti daripada terus melakukan kemungkaran.

    Pada masa itu, kita akan menikmati rasa bahagia kerana kita kuat untuk tidak mengulangi dosa.

  • sumayyah

    susah meniti hidup tanpa ‘tergelincir’. nama pun manusia, pasti ada dosa melainkan nabi yang maksum. dahulu, saya sgt berjaga-jaga agar tak berbuat dosa. tetapi apakan daya saya manusia yang lemah, pastinya berdosa juga. saya bertaubat, berjanji tak buat lagi, tetapi kemudian terberdosa lagi. selepas itu saya sgt kecewa marahkan diri kerana tak dpt mempertahankan taubat saya. saya bertaubat kembali, berdosa kembali, sehingga berulang kali. akhirnya saya penat dan merasakan diri saya teruk. saya memikirkan Allah pasti murka pada saya kerana spt mempermainkan taubat, atau Allah pasti tidak mahu menerima taubat saya lagi kerana sering mungkir. disebabkan pemikiran spt itu, saya berhenti bertaubat seketika. saya fikir, apa guna bertaubat tetapi tak berubah. malu pada diri sendiri.

    tetapi lama kelamaan hati saya tak tenteram, fikiran saya serabut, hati saya sentiasa sedih. saya fikir bagaimana kalau mati menjenguk. pastinya saya masuk neraka kerana tak bertaubat. kemudian barulah saya rasakan kebodohan saya sendiri kerana tahu Allah itu kan Maha Pengampun. jujur saya katakan, bukan saya ingin ambil kesempatan pada Allah yang Maha Pengampun, tetapi diri ini yang ‘tergelincir’ :(. sedaya upaya saya menjaga diri, tetapi tetap ‘tergelincir’ juga. saya sedih.

    tetapi skg, saya telah ubah pemikiran saya. skg saya tak kira, apa juga yg saya lakukan, saya tetap mahu bertaubat. saya akan sentiasa memohon ampun kpd Allah kerana bukan niat saya ingin berbuat dosa. semoga Allah tahu hati saya. semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya. semoga Allah bawa saya ke arah jalan yang benar dan kehidupan yang dirahmatiNya. amin.

  • Aisyah

    Assalamualaikum. tulisan yang menarik, izinkan saya untuk kongsi tulisan Ustaz.

  • ameena

    Assalamualaikum saya nak sangat berubah utk anak saya supaya anak sy dpt contoh dan teladan yang baik..saya takdela jahat sangat..tp tak sempurna akhlaknya..saya rasa sedih kenapa saya sentiasa rasa berdosa..sy selalu bertaubat dan menangis pd Allah tp selalu juga tergelincir lepastu.. bila baca artikel ustaz ni,saya rasa lega sikit sebab saya rasa kira masih ada harapan utk saya..moga2 Allah akan terima taubat kita semua..amiin..

Leave a Reply

%d bloggers like this: