RSS

JANGAN LUPA – PENASYID ADALAH DAIE DAN MURABBI

15 Mei

83696459Pagi ini saya rasa terpanggil untuk memperkatakan sesuatu tentang nasyid. Walaupun sudah lama saya tidak mengirim lirik nasyid, namun saya tetap mengikuti perkembangan dari jauh. Saya turut mendengar respons, kritikan bahkan “kecaman” kepada nasyid dan penasyid-penasyid yang ada. Walaupun, apa yang saya dengar dan lihat tetap tidak boleh dijadikan rujukan muktamad atas sifatnya yang khusus malah mungkin terpencil. Tetapi sekali-skala datang rasa bimbang juga… ke mana hala tuju nasyid sekarang? Lalu saya catatkan catatan ini sekadar renungan pada pagi Jumaat yang mulia ini…

Anggaplah tulisan ini satu pandangan sekilas atas apa yang berlaku di dalam atau di luar kumpulan nasyid. Walaupun, kekadang ada juga figur-figur tertentu dalam kumpulan nasyid datang “bersembang-sembang” dengan saya – saya selalunya lebih suka menjadi telinga yang mendengar “perkembangan” dan kemajuan kumpulan mereka. Sekali skala saya sempat menatap surat khabar dan “terjumpa” majalah-majalah yang menceritakan hal mereka itu.

Sudah jadi sunnatullah, “semakin tinggi pokok yang kita panjat maka semakin kuatlah pula angin yang menggoyang.” Berada di bawah dan sedang berusaha untuk naik adalah lebih mudah berbanding berada di tempat yang tinggi dan ingin terus mendaki agar sampai ke kemuncak. Di bawah kita selalu beringat, tetapi di puncak kita selalu alpa. Di bawah anginnya sepoi-sepoi bahasa, di atas sudah ada ribut yang melanda.

“Kejayaan” berjalan seiringan dengan ujian. Baik ujian yang datang dari luar ataupun ujian yang datang dari dalam. Inilah cabaran yang sedang dihadapi oleh kumpulan-kumpulan nasyid kini. Yakni, apakah sambutan masyarakat sebelum ini hanya satu fenomena sementara atau ia memang sesuatu yang ‘real’. Dan yang lebih utama, menilai semula apakah tauhid, syariat dan akhlak Islamiah masih menjadi nilai teras bukan sahaja pada “produk” nasyid, tetapi pada keseluruhan modus operandii pengurusan dan pentadbiran, kewangan dan pemasaran, dan juga akhlak serta keperibadian kumpulan-kumpulan tersebut.

Persoalan ini harus ditangani dengan berkesan, jika tidak nasyid akan mengalami zaman ‘gerhana’nya. Bukan gerhana di mata manusia sahaja tetapi gerhana juga di sisi Allah – disebabkan keberkesanan dakwah dan tarbiahnya semakin tumpul. Kenyataan ini bukanlah untuk menakut-nakutkan tetapi perlu dihadapi dengan fikiran yang terbuka. Jika tidak ada angin, masakan pohon bergoyang. Tanpa menyentuh kes-kes yang bersifat personel – masing-masing seharusnya sering menepuk dada dan tanyalah “suara hati” masing-masing.

Usaha berterusan perlu dibuat untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan nasyid sebagai media hiburan dan pendidikan. Kualiti nasyid mesti dipertingkatkan dengan menambah nilai (‘add value’) pada elemen-elemen utamanya seperti lirik, melodi dan alat-alat muzik dan yang lebih penting elemen kemanusiaannya – yakni mereka yang terlibat dalam proses penerbitannya seperti penasyid, komposer, penerbit, pemuzik dan penulis lirik.

Semua pihak perlu rajin dan kreatif membuat R&D – mencari nilai saintifik, artistik dan autentik untuk memantapkan nasyid. Kreatif tapi tetap bertunjangkan syariat. Inovatif tetapi terus beradab. Cuma diingatkan, apa yang ada dalam diri penasyid itulah yang akan lahir sebagai produknya. Mudah-mudahan dijauhkan daripada terpaksa berlegar-legar pada idea yang telah “direcycle” berkali-kali. Carilah “rasa hati” baru yang segar, murni dan benar-benar sejati untuk diberikan pada masyarakat! Jika kita tulus, nescaya jalan kita lurus (dipermudahkan). Insya-Allah!

Hakikat ini wajib disedari oleh kumpulan-kumpulan nasyid dan kini begitu ghairah mengorak langkah pembaharuan, perubahan, peningkatan serta kepelbagaian dari segi melodi, lirik, alat muzik, stail dan imej diri. Apakah usaha mereka ini telah menemui ‘track’ yang betul atau sekadar tercari-cari dan akhirnya terpaksa melakukan pusingan U semula – kembali ke asal? Wallahua’lam.

Atau sedikit demi sedikit mula tersasar dalam eksperimen yang dianggap ‘menjadi’ (tetapi terpaksa menggadaikan nilai-nilai yang lebih murni) dan di hujung nanti berakhir dengan tragedi – dunia dan akhirat melepas! Atau keperibadian turut luntur dan terbentur dalam asakan dan godaan cara hidup hedonisme hingga turut terbawa-bawa dalam arus budaya popular tanpa sedar jati diri sendiri (sebagai dai dan murabbi) semakin terhakis? Fikir-fikirkanlah, atas dasar sayang kita mengingatkan, atas dasar kasih kita turut membimbangkan…

Jangan lupa, apa sahaja pembaharuan yang ingin dibuat mestilah berasaskan nilai-nilai teras (‘core value’)  Islam itu sendiri. Nilai teras itu ialah syariat dan akhlak. Manakala tujuan perubahan itu pula mestilah tidak terseleweng daripada misi utama nasyid yakni untuk berdakwah dan mendidik masyarakat.

Namun dalam soal pendekatan dan teknikal, pembaharuan itu juga mesti menitik-beratkan aspek-aspek komersil berdasarkan kehendak massa dan kaji selidik pemasaran. Bagi saya apa sahaja label baru yang hendak diberi kepada nasyid samada istilah global, world, kontemporari, terkini, komersial atau apa sahaja mestilah tidak mengabaikan aspek-aspek di atas.

Nilai Islam bukanlah satu sekatan tetapi adalah satu kawalan agar muzik sentiasa terarah kepada keselamatan dan ketenangan. Islam atas sifatnya yang sederhana tidak menyekat kreativiti manusia, tetapi mendorong dan mengaturnya agar kreativiti dan inovasi itu tidak keterlaluan hingga terbabas ke arah kelalaian dan kehancuran. Syaitan terlalu bijaksana dalam menipu – putih tidak ditukarkannya terus kepada hitam, tetapi perlahan-lahan ditukarkannya kepada “grey” sedikit demi sedikit. Dan akhirnya menjadi hitam tanpa sedar!

Lirik nasyid mestilah mempunyai unsur kebenaran dan keindahan. Keghairahan memasukkan nilai-nilai Islam tidak seharusnya menenggelamkan nilai-nilai keindahan yang sepatutnya ada pada lirik yang baik. Rima-rima yang puitis dan kata-kata yang indah mestilah disertai oleh makna-makna yang baik sehingga nasyid teradun secara bersepadu antara nilai estatik dan autentik.

Lirik tidak seharusnya kabur dengan bahasa-bahasa puitis dan kata-kata bombastik sehingga sukar untuk difahami. Lirik juga jangan sampai ditenggelami oleh ‘kehangatan’ melodi sehingga sukar didengari. Justeru gagasan fikiran atau mesej yang hendak disampaikan sebenarnya diterjemahkan sepenuhnya oleh lirik bukan melodi. Sayang, acap kali mesej dari lirik tidak jelas, atau pengucapannya terganggu oleh “kebisingan” melodi. Mungkin mereka yang pakar ada sebab-sebab tersendiri, tetapi sebagai medium dakwah, lirik mesti jelas, tepat dan dapat difahami. Jika untuk didengar pun sudah sukar, bagaimana pula hendak memahaminya?

Melodi mestilah memberi daya tarikan dan latar yang baik agar pendengar berminat untuk mendengar lirik. Jadi misi dakwahnya tentulah akan terhalang jika lirik sesuatu nasyid sukar didengar oleh para pendengar. Walaupun mungkin ada yang mengatakan itu hanya satu stail, tetapi jika stail telah menjejaskan maksud, stail itu tentulah menjejas misi utamanya berdakwah! Mungkin hanya berhibur.

Namun itu tidak bermakna saya nafikan kepentingan melodi. Melodi sangat penting kerana ia merupakan penyumbang utama kepada nilai estetika (keindahan) sesuatu nasyid. Dalam filem, muzik latar sangat penting untuk menghidupkan suasana yang ingin digambarkan oleh sesuatu babak. Begitulah dalam nasyid. Mesej yang dibawa oleh lirik akan dapat dihayati dengan baik sekiranya melodi yang serasi digunakan.

Tenang, berani, lantang, cemas, garang, sedih, gembira mempunyai melodinya yang tersendiri. Sebenarnya nilai-nilai Islamik pada nasyid tidak hanya terletak kepada lirik tetapi turut disumbangkan oleh melodinya. Melodi nasyid seharusnya tenang dan lembut pada subjek-subjek seperti munajat, taubat, rintihan dan doa. Namun rancak dan dinamik pada subjek seperti jihad, kebangkitan, kembara, syukur dan lain-lain.

Islam mengiktiraf melodi yang berasal dari mana-mana bangsa atau daerah geografi. Islam adalah agama bersifat sejagat untuk semua bangsa. Ia bukan milik sesuatu bangsa. Oleh itu melodi yang datang dari mana-mana etnik adalah dibenarkan. Walaupun melodi nasyid pada asalnya banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Arab (kerana Islam dan Al Quran diturunkan kepada bangsa Arab), tetapi melodi dari bangsa Melayu, Cina, India, Turki, Uzbek, Kurdi dan lain-lain tidak ditegah. Malah kadangkala melodi nasyid akan jadi lebih indah hasil percambahan dan perkongsian nilai-nilai antarabangsa.

Atas dasar ini potensi nasyid untuk mencapai tahap global sangat cerah. Tenaga profesional yang menerbitkan nasyid seharusnya lebih kreatif dan inovatif untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan memasukkan pelbagai jenis melodi berasaskan nilai pelbagai bangsa dalam album nasyid mereka. Pada saya, kuasa melodi melampaui kuasa lirik untuk memertabatkan nasyid ke arena antarabangsa kerana melodi ialah ‘bahasa rasa’ yang dapat difahami oleh semua bangsa berbanding ‘bahasa kata’ yang terbatas buat sesuatu bangsa.

Selain bersumberkan nilai tradisional, melodi nasyid juga boleh diperkayakan dengan memasukkan irama dari aliran muzik kontemporari seperti pop, raggae, blues dan sebagainya. Walaupun tidak ada nas yang jelas yang mengharamkan langkah ini namun sikap berhati-hati (malah warak) tetap diperlukan terutamanya apabila menyentuh soal adab dan kehalusan akhlak.

Melodi qasidah, syair dan nasyid yang lahir dari jiwa halus para sahabat nabi, waliullah dan para salafussoleh pada zaman awal Islam tentunya berbeza dengan rentak rap yang lahir dari ekspresi masyarakat golongan rendah (ghetto) yang tertekan di AS pada tahun-tahun 60’an.

Namun untuk lebih adil, persoalan ‘rasa’ ini adalah subjektif dan relatif sifatnya, lalu kita seharusnya bersifat lapang dada jika ada kumpulan nasyid yang telah melakukan tindakan berani dengan memasukan input rap, ballad, blues, folk, dan ‘pop dance’ dalam melodi nasyid mereka. Tetapi harus diingat, melodi yang asal-usulnya dari “orang-orang soleh” tentunya mempunyai kekuatan yang unik dan tersendiri dalam menyampaikan ajaran Allah.

Pendengar-pendengar nasyid mungkin boleh dibahagikan kepada dua, satu yang telah bersedia untuk menerima ‘pengisian’ manakala kelompok kedua yang masih dalam tahap ‘peralihan’. Melodi nasyid yang lebih konvensional dan ‘resmi’ diterima oleh kelompok yang menanti pengisian.

Sementara golongan yang masih dalam tahap transisi (terutamanya yang masih pekat dengan aliran muzik Barat) mungkin memerlukan melodi nasyid yang agak ‘sama’ dengan muzik yang mereka minati. Syukurlah, jika ada nasyid yang berjaya menyentuh hati nurani golongan transisi ini dan syabas kepada kumpulan nasyid yang berani membuat pembaharuan itu tanpa takut kehilangan peminat di kalangan golongan yang menanti pengisian.

Langkah baru ini juga telah membuka pintu seluas-luasnya bagi penggubah-penggubah lagu, penulis lirik dan pemuzik dari kategori lain untuk turut sama menyumbang bakat dan kepakaran mereka bagi memperkayakan lagi irama nasyid. Sikap prajudis hendaklah dielakkan sama sekali, justeru apa yang baik dalam Islam bukanlah monopoli sesuatu golongan.

Oleh itu kehadiran mereka (penyanyi dan pemuzik rock dan lain-lain) hendaklah diterima sebagai satu ‘perkongsian’ ke arah kebaikan dan kebajikan. ‘Kedatangan’ mereka hendaklah dialu-alukan oleh tenaga-tenaga yang sedia ada dalam industri nasyid untuk sama-sama memertabatkan nasyid. Namun, mereka perlu faham apa misi nasyid sebenarnya? Mereka juga mesti difahamkan mana soal prinsip dan yang mana soal teknikal dalam bidang ini.

Soal ‘nawaitu’ mereka serahkan kepada Allah. Apa yang kita doakan ialah berlakunya proses ‘give and take’ yang begitu harmoni, yang melibatkan bukan sahaja kepentingan komersil tetapi juga kepentingan rohani (dakwah dan pendidikan). Semoga cahaya kebenaran daripada nasyid akan membersihkan dunia muzik “mereka yang hijrah ini”. Jangan pula, dicampur adukkan. Sekejap terang, sekejap gelap dicemari prinsip lapuk – minyak dan air tak kan bercampur!

Kekhilafan (perbezaan) di kalangan para ulama – ada yang mengharamkan alat muzik yang bertali dan bertiup dan ada pula yang mengharuskan semua alat muzik asal sahaja digunakan ke arah kebaikan. Khilaf ini sahaja telah menunjukan bahawa alat muzik adalah soal ranting dalam Islam (tidak mungkin ulama berbeza pendapat dalam soal pokok). Namun sikap berhati-hati kumpulan nasyid yang kebanyakannya masih mengekalkan alat-alat muzik mereka kepada alat yang berasaskan ‘percussion’ (alat ketuk), synthesizer, drum mechine dan eletronik komputer harus dipuji.

Tindakan ini tentunya lahir dari hati yang begitu prihatin dengan hukum-hakam Islam. Sungguhpun begitu sikap itu tidak menghalang kreativiti dalam menghasilkan muzik berkualiti untuk nasyid-nasyid tradisional dan kontemporari. Perkembangan dunia ICT telah dimanfaat sepenuhnya oleh penggubah melodi nasyid untuk menghasilkan pelbagai bunyi yang diperlukan. Hasilnya, pelbagai rentak nasyid dapat dihasilkan tanpa menggunakan alat-alat muzik yang ‘dilarang’.

Namun dalam keadaan apa sekalipun faktor kemanusiaan merupakan faktor yang paling utama menentukan kebaikan atau keburukan sesuatu bidang. Nasyid yang berkesan sebagai media dakwah tentulah lahir dari peribadi-peribadi yang berjiwa dakwah.

Maksudnya peribadi mereka mestilah selaras dengan apa yang mereka nasyidkan atau sekurang-kurangnya sedang berusaha dengan gigih (mujahadah) untuk memiliki sifat-sifat baik. Mereka bukanlah seperti penghibur-penghibur Barat yang kebanyakannya tidak terhibur dengan hidup mereka akibat dosa, sakit jiwa, kaki botol, runtuh rumah-tangga, dadah dan bunuh diri.

Mereka bukanlah lilin yang menerangi orang lain dengan nasyid-nasyid mereka tetapi membiarkan diri sendiri kegelapan dari nilai-nilai cahaya yang mereka serukan. Allah swt telah menerangkan hakikat ini dalam satu surah khas yang dinamakan surah As Syuaara’ (penyair). Walaupun surah ini diturunkan bagi menjelaskan peribadi penyair-penyair pada zaman Rasulullah namun ia tetap relevan hingga kini. Firman Allah:
“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya kecuali penyair-penyair yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut nama Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui mana mereka akan kembali.” As Syu’araa’ (224-227)

Dalam surah yang diturunkan di Makkah ini Allah secara khusus telah menyebut sifat-sifat penyair yang suka memutar-belitkan kata, tidak mempunyai pendirian dan mengucapkan sesuatu yang tidak mereka kerjakan kecuali mereka yang mempunyai empat sifat yakni beriman, beramal soleh, banyak menyebut nama Allah (berzikir) dan mendapat kemenangan dari Allah. Inilah garis kasar perilaku yang harus ada pada tenaga-tenaga yang terlibat dalam penghasilan nasyid.

Hakikat ini perlu dinyatakan walaupun pada kita kekadang ia seperti terlalu ideal untuk dimiliki. Namun hakikat tetap hakikat, lambat atau cepat kita mesti berusaha untuk mencapainya justeru kita patut merasa malu kepada diri sendiri untuk terus bersikap hipokrit kepada Tuhan. Tegasnya, penasyid mestilah peribadi yang jelas iltizamnya dengan Islam kerana dia adalah figur ikutan yang mudah mempengaruhi orang ramai dengan cara hidup, stail dan perwatakannya. Samada di atas pentas, di studio rakaman atau dalam kehidupan sehari-hari, dia seharusnya berusaha untuk benar-benar mengamalkan apa yang diserukannya dalam nasyid-nasyidnya.

Akhirnya, hendaklah diingat bahawa fungsi utama nasyid hanyalah untuk membawa manusia kepada Tuhan agar mematuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Hanya dengan kembali kepada Allah hati akan mendapat ketenangannya yang hakiki. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan tenang – Ar Ra’d:28”
Apabila hati telah tenang ia akan mendapat hiburan apabila menyembah Allah. Sabda Rasulullah saw:
“Wahai Bilal, tenangkan kami dengan azanmu.”

Nasyid adalah hiburan pemangkin – untuk menyemarakkan hiburan yang asasi dan hakiki yang mesti diperolehi oleh seorang muslim melalui solat, zikir, Al Quran, doa, munajat, taubat, sabar, syukur dan lain-lain sifat mahmudah. Hakikatnya, solatlah hiburan sejati dan nasyid tentang solat cuma mewar-mewarkan kepentingan solat. Apabila pendengar benar-benar bersolat, insya-Allah mereka akan menikmati hiburan yang lebih tinggi dan asyik dari nasyid tentang solat. Inilah hiburan yang digambarkan sendiri oleh Rasulullah saw melalui sabdanya:
“Sejuk mataku di dunia dengan solat.”

Nasyid hanya bertindak sebagai ‘pengajak’ atau ‘pengiklan’ kepada hiburan-hiburan utama itu. Penasyid yang telah di”mertabat” sebagai teladan (maaf saya tidak gunakan istilah idola), kelakuan dan keperibadian kita perlu dijaga – atas pentas, luar pentas atau di mana sahaja. Oleh itu janganlah hendaknya kita terkeliru dan mengelirukan orang lain akan hakikat hiburan sejati sehingga masyarakat menganggap ‘iklan’ lebih penting dari apa yang diiklankan!

Opss… saya sendiri sangat takut pada satu ketika dulu, bila sajak saya “layar lara seorang puteri” yang mengisahkan pencarian dan penderitaan Puteri Diana dalam mencari bahagia telah dianggap menganggung-agungkan mendiang. Sajak asal yang lebih panjang telah dikerat dan diadjust oleh kumpulan nasyid itu lalu jadilah sebuah nasyid. Al hasil, itu telah menimbulkan fitnah yang sangat meresahkan hati saya. Percayakah, kalau saya katakan hingga saat ini… saya tidak pernahpun mendengar nasyid yang dimaksudkan?

Tetapi saya berdiam diri… dan membisu. Akhirnya ia berlalu tanpa kontroversi lagi. Syukur. Ya, Allah ampunkan aku. Di bawah saya tuliskan semula petikan sajak (dari sebuah sajak panjang) yang dijadikan nasyid itu….

LAYAR LARA SEORANG PUTERI
(Puteri Diana)

Hadirmu bersama kuntum-kuntum senyuman
Wajah terlukis cantik rupawan
Kau jadi impian berjuta pria
Kau jadi idola pujaan pemuda
Namun akhirnya kau pergi jua
bersama tragedi…
dalam pencarianmu pada cinta sejati

Kau umpama kerdipan dian di malam gelita
Akhirnya terpadam dipagut derita
Benarlah tiada ketenangan tanpa iman
Benarlah tiada kebahagiaan tanpa Islam

Sesungguhnya harta., nama dan rupa…
bukanlah satu jaminan untuk bahagia

Terima kasih wahai Tuhan
Segalanya peristiwa tidak sia-sia
Layar lara seorang puteri
Kembara sayu seorang ibu
Menghadiahkan jutaan iktibar
Telah melakarkan satu sempadan
…di hati perempuan

KEPADA SAHABAT-SAHABAT KUMPULAN NASYID… AMPUN MAAF. SEMOGA ALLAH MEMBANTU KITA DALAM MEMPERJUANGKAN AGAMANYA INI!

 
19 Komen

Posted by di 15 Mei 2009 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

19 responses to “JANGAN LUPA – PENASYID ADALAH DAIE DAN MURABBI

  1. tun fatimah

    15 Mei 2009 at 12:27 pm

    Nasyid-nasyid sekarang dah banyak berubah dari zaman awalnya tapi tak menambah kesan yang lebih pada pendengarnya.Mungkin tiada ruh… Teringat sajak ustaz Jalan Mujahadah yang pernah kami jadikan nasyid..

     
  2. sukri

    15 Mei 2009 at 2:20 pm

    as`kum wr. wbt..
    ana bersetuju dengan pendapat ustaz. para penasyid adalah merupakan daie dan murabbi…dalam arus globalisasi yang sedang meningkat maju ini, ana melihat para penasyid juga semakin maju dari segi pelbagai aspek.

    namun apa yang ana ingin kongsikan di sini ialah para penasyid seharusnya menjaga adab dan personaliti diri sebagai seorang daie atau murabbi. mana tidaknya, akhir2 ini telah timbul fitnah yang mengaitkan artis nasyid berpasangan dalam pawagam!!apakah ini yang kita sebagai masyarakat ingin lihat pada diri seorang penasyid itu?? tentulah tidak jawapannya.

    di tempat ana belajar sendiri pun terdapat beberapa orang artis nasyid seperti fitri(unic), takiiyuddin(nice) dan beberapa artis nasyid yang lain. alhamdulillah mereka dapat menjaga diri mereka daripada sebarang perkara yang buruk. inilah yang kita kehendaki, sebagai seorang penasyid yang juga merupakan daie dan murabbi, mereka seharusnya menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada masyarakat

    semoga industri nasyid dapat berkembang dengan lebih cemerlang untuk meneruskan tugas daie mereka kepada masyarakat. insya Allah

     
  3. nas

    15 Mei 2009 at 3:28 pm

    assalamualaikum ustaz,

    saya rasa ustaz ‘ter’ copy and paste 2 kali article ni… :)

    wallahua’lam

     
  4. gentarasa

    15 Mei 2009 at 6:24 pm

    Salam Nas,
    Syukran. Ya, nas tercopy dua kali. Saya sibok sangat nak bergerak ke Kuantan pagi tadi. Terima kasih atas ingatan.

     
  5. mymj

    15 Mei 2009 at 7:21 pm

    Salam…

    Pada pendapat saya muzik nasyid Malaysia sekarang tidak begitu mengujakan. Kumpulan nasyid yang paling menarik hati saya adalah Raihan. Namun begitu zaman sekarang bukanlah zaman Raihan. Muzik Raihan begitu memberikan kesan kpd jiwa. Muzik mereka begitu sederhana, yang diiringi melodi indah yang tetap sederhana tetapi sarat dengan mesej.

    Mesej yang disampaikan begitu jelas dan mantap. Lirik yang dibawakan amat jelas didengari dan tidak ditenggelami oleh melodi yang terlalu mengkhayalkan seperti kata Ustaz yang lebih membawakan kepada hiburan. Lirik mereka mudah diingati hatta golongan kanak-kanak sekalipun. Sebagai contoh lagu 25 rasul. Sejujurnya saya berjaya dengan mudah menghafal nama-nama Rasul melalui lagu ini.

    Saya sebenarnya bukanlah peminat nasyid. Tetapi ini bukanlah bermaksud saya seorang yang gemarkan hiburan barat yang melampau tanpa arah tujuan. Saya menjadi kurang berminat untuk mendengar nasyid masakini salah satunya kerana hanya mesej cinta sahaja yang dibawakan. Maksud saya cinta muda-mudi walaupun ianya merupakan cinta yang digariskan syarak. Tetapi janganlah disempitkan muzik dengan lambakan mesej yang sama. Variasikanlah tema dan mesej dalam penciptaan lagu. Sampai kekadang ada terdengar nasyid ‘tangkap leleh’ yang terlalu mendayu-dayu tetapi kosong dari segi ruhnya seperti komen yang diberikan tun fatimah.

    Ini menyebabkan saya bersikap lebih terbuka dalam memilih muzik. Saya lebih gemarkan muzik yang mempunyai mesej yang jelas secara tersurat mahupun tersurat. Ini menyebabkan pemikiran pendengar dijana dan dihidupkan bagi memahami dan menghayati mesej yang dibawakan. Walaupun muzik yang dibawakan termasuk dalam genre Rock atau Rap sekalipun jika mesej yang ingin disampaikan tebal, saya memang akan suka mendengarnya. Ini secara tak langsung menjadi peringatan kepada diri kita dalam menghadapi kehidupan.

    Banyak cubaan pemuzik seperti Ungu, Radja, Too Phat, Amuk dan banyak lagi kumpulan luar negara yang bukanlah kumpulan nasyid tetapi berjaya membawakan mesej kebaikan dalam muzik mereka. Secara peribadi saya lebih sukankan irama Rock yang mempunyai penyampaian mesej yang kuat dan jelas berbanding irama nasyid yang longgar penyampaiannya. Tetapi memang tidak dinafikan mereka bukanlah sempurna, tetapi ikutilah apa yang baik dan jauhilah apa yang dirasakan tidak baik. Teruskanlah bersangka baik. Mereka sebenarnya masih ada kemahuan untuk berdakwah dan menyampaikan seruan kebaikan. Janganlah diadili muzik berdasarkan genre tetapi apa yang ingin dibawa.

    Oleh itu, penasyid-penasyid masakini teruskanlah penambahbaikan dalam muzik anda. Tetapkanlah matlamat dan niat yang suci. Janganlah ditenggelami glamour dan populariti. Tingkatkanlah kreativiti bagi melonjakkan irama nasyid di seluruh dunia.

     
  6. gentarasa

    16 Mei 2009 at 11:37 am

    Salam,
    Tahniah atas pandangan dan nasihat. Saya sangat hargainya. Mudah-mudahan pengunjung yang lain dapat iktibar daripada membaca respons saudara ini. Jazakallah!

     
  7. Ummu Izzuddeen

    16 Mei 2009 at 3:11 pm

    salam to all:
    berkenaan nasyid dan pemodenannya saya suka berkongsi satu analogi mudah:
    Analoginya begini, katakanlah kita mahu meng’upgrade’kan laptop. Maka kita akan menjadikan proses pemprosesannya lebih laju, menambah kapasiti storage, menyahkan virus dan mendefragmentaskan storagenya. Untuk itu, kita perlulah mengambil langkah yg wajar cthnya menghantarnya ke pusat servis. Logiknya, segala tindakan yang wajar untuk meng’upgrade’kan laptop tadi akan kita terima dengan senang hati.
    Pun begitu, untuk menjadikan laptop itu canggih bukanlah bermaksud kita memasukkan semua perkara ke dalamnya. Contohnya, kita tentu tidak menerima tindakan memasukkan ke dalamnya straw minuman, penyangkut baju, bola pingpong hatta sudu plastik. Kenapa? Sebab apa yang disenaraikan tadi TIDAK membantu apa-apa terhadap prestasi laptop itu.
    Begitu juga nasyid… dalam modenisasi nasyid dan dalam usaha menjadikannya ‘canggih’ tidak semestinya kita perlu memasukkan ‘segala-galanya’ di dalam nasyid.
    Baik rock, pop, hip hop, balada, jazz atau rap sekalipun. Hingga kita tidak perlu mendengar lagu pop kumpulan UKAYs jika mahu mendengarnya kerana semuanya ada di dalam nasyid. Ingatlah, bila ini berlaku, maka sesuatu yang fatal telah berlaku atas nama nasyid yang kononya “Islamik”.
    Apa yg perlu dimasukkan dalam nasyid adalah apa yang PERLU untuknya. Penilaian yang berhemah tentang yang PERLU inilah yang perlu dititikberatkan.
    Seruan saya untuk penggubal lirik, penasyid mahupun penyusun muziknya, muhasabahlah tentang apa yang PERLU dimasukkan ke dalam nasyid bagi menambah baik prestasinya.
    Teruskan usaha agar nasyid menjadi pemangkin pembinaan jiwa dan alternatif yang disenangi oleh pendengar terutamanya remaja.
    In fact, komen saya ini khusus atas rasa insaf dan sedar saya tentang jiwa saya yg sukakan nasyid, namun mungkin nasyid yang dulu-dulu sahaja yg masih ada di hati saya.

     
  8. muhammad fakhruddin

    18 Mei 2009 at 7:35 pm

    Assalamualaikum ustaz,wah semuanya melontar pandangan yang panjang lebar.

    1)Ada orang yang berkongsi buah fikir dengan ustaz,boleh ustaz baca di http://ms.langitilahi.com/islam-itu-bukan-mereka/
    2)Silap kita memandang nasyid dan imej Islam itu ialah 1.Penasyid juga manusia seperti kita yang tak lekang dari salah dan silap.Kita mesti bijak membezakan antara nasyid sebagai alat penyampai seruan Islam dengan Islam yang berdiri sendiri sebagai agama dan cara hidup yang lengkap.
    Sekadar secoret pandangan kecil saya…^_^

     
  9. Ruqaiyah

    20 Mei 2009 at 5:13 am

    nasyid ikut zaman atau zaman ikut nasyid..?
    hmm..

     
  10. faisal

    21 Mei 2009 at 7:18 am

    assalamualaikum
    kalau ada rezki lepas ni boleh belajar buat puisi dengan ustaz.(^^,)

     
  11. ummu hafidz

    21 Mei 2009 at 5:38 pm

    Salam ustaz..kami sekeluarga sentiasa menanti artikel dan tulisan ustaz…sbg panduan usrah dan muzakarah..syukran

     
  12. cucu tokku paloh

    22 Mei 2009 at 4:34 am

    Assalamualaikum. Tumpang sekaki…

    Adakah beberapa patah ‘perkataan Islamik’ yang dimasukkan di dalam lirik ‘nasyid cintan cintun’ itu adalah untuk menjustifikasikannya sebagai satu hiburan Islam yang murni? Sedangkan pendengar yang mendengarnya tidak dibawa mengingati Allah, Rasul dan solehin, tetapi hanya lebih mengingati dan memuja sang kekasih, insan ajnabi yang belum ada ikatan yang sah.

     
  13. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:18 am

    Salam,

    Saya sangat setuju dengan pandangan cucu tokku paloh. Nasyid jika tidak dikawal akan lari sedikit demi sedikit daripada landasannya. Tidak terus hitam, tetapi menjadi keperang-perangan terlebih dahulu. Sama-samalah kita mengingatkan. Allah ciptakan hati untuk mengingat… cuma ada hati yang lebih kuat mengingat dari hati yang lain.

     
  14. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:19 am

    Salam,
    Syukran. Semoga menjadi keluarga bahagia dunia dan akhirat. Semoga kita dapat bertemu satu hari nanti. Amin.

     
  15. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:20 am

    Salam,

    Banyak ilmu boleh dipelajari tanpa diajar. Kata Imam ghazali, bersihkan hati! Nanti mata air ilmu akan mengalir dari dalam diri dengan sendiri.

     
  16. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:23 am

    Salam,

    Bila manusia mengikut kebenaran… zaman akan mengikut kebenaran. Nasyid itu akan diikuti zaman, jika nilai terasnya tetap KEBENARAN.

     
  17. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:30 am

    Salam,

    Alhamdulillah saya sudah ikuti tulisan itu. Baik dan bermanfaat sekali. Semoga ramai penasyid membaca artikel yang sama. Walaupun bukan ulama, penasyid harus terus berpijak pada peranan pendakwah. Sedikit ilmu, tetapi disampaikan dengan ikhlas dan berterusan pun sudah begitu baik. Itulah yang kita harap daripada penasyid. Jangan terpengaruh dengan dunia hedonisma walaupun kita terpaksa berenang di dalamnya!

     
  18. insanbiasa

    22 September 2010 at 2:44 pm

    Salam, saya setuju dengan tajuk tulisan ini. Hanya cara mereka berbeza, namun penasyid juga adalah daie. Meskipun kumpulan nasyid di Malaysia kini tidak seperti Raihan yang lagu-lagunya amat sederhana tetapi membawa pengertian mendalam tiada alasan untuk kita selaku umat Islam berpaling ke arah hiburan yang melalaikan. Keinginan untuk mengisi jiwa dengan lagu yang mampu menginsafkan dan menambah kecintaan pada ISLAM membawa saya mengenali penyanyi Islamik luar negara seperti Sami Yusuf, Zain Bikha, Muhammad al Husayn, Maher Zain, Mesut Kurtis dll. Meskipun lagu mereka dalam bahasa Inggeris atau Arab namun, dapat dirasai ikhlas mereka menyanyikannya hingga terasa kita amat bertuah menjadi umat Islam danlagu-lagu tentang Rasulullah SAW membuatkan kita berasa tambah kasih dan rindu pada baginda. Semoga suatu hari nanti nasyid di Malaysia kembali ke arah sebenar. Jika tidak buat masa ini, hati saya tetap memilih lagu nasyid dari luar kerana bukankah Islam itu global.

     
  19. gentarasa

    22 September 2010 at 3:24 pm

    Salam,
    Pernah berbual dengan beberapa penasyid utama… minta mereka perkukuhkan idealisme dan roh perjuangan seperti Sami Yusuf, Maher Zain dan lain-lain. Tapi dapat jawapan”mereka yang banyak rujuk kita.” Saya diam. Inilah bahananya merasa diri sentiasa yang terbaik. Padahal soal keikhlasan, roh perjuangan dan keberkesanan dakwah perlu sentiasa dipelajari dan diperhalusi. Ya, saya pun lebih dekat dengan Maher Zain dan Sami Yusuf kerana anak-anak di IPT pun begitu trendnya. Mereka kata, lebih tulus, menyentuh dan jelas mesejnya! Wallahua’lam.

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,190 other followers

%d bloggers like this: