RSS

Catatan hati di hari jadi

22 Mei

PakistanSaya memohon maaf kerana sudah beberapa hari saya tidak mengemaskinikan blog. Juga respons daripada pembaca-pembaca yang gagal saya tangani.  Saya terlalu dikejar waktu hingga tidak punya kesempatan untuk menulis. Ke utara, ke Selatan dan ke Timur untuk menjalankan program yang berderet-deret. Ditambah oleh “broad band” yang rosak. Mudah-mudahan Allah permudahkan saya bereskan hari-hari ini dengan ibadah dan taubat. Saya lemah… semoga Allah perkasakan dengan sedikit tenaga, idea dan kesihatan untuk terus memperbaiki diri disamping mengingatkan orang lain.

Di bawah saya sertakan 2 catatan untuk pembaca ikuti. Pertama, tentang cermin diri pada pandangan mata hati. Kedua, catatan hari lahir (yang telah saya coretkan pada tahun lalu). Sayangnya, pada hari lahir tahun ini – saya dalam musafir. Hanya catatan-catatan melalui pena saja sempat saya nukilkan. Insya-Allah saya akan perkemaskan untuk dikongsi bersama nanti. Terimalah seadanya… sahabat-sahabat  dan saudaraku.

1. CERMIN DIRI PADA PANDANGAN MATA HATI.
Sebenarnya diri kita juga boleh dilihat dengan empat pandangan – pandangan mata biasa, pandangan akal, pandangan nafsu, pandangan hati (mata hati). Cuba bayangkan, kita di hadapan cermin. Bila kita memandang dengan pandangan biasa (hari-hari kita memandangnya begitu), kita akui itulah diri kita. Kemaskan rambut, betulkan tudung atau rapikan baju, lalu kita berlalu. Itulah pandangan mata biasa.

Pandangan mata:

Tetapi ada orang yang melihat dirinya dengan pandangan akal. Bagaimana?
Dengan akal fikiran, berlakulah analisa diri sendiri terhadap wajah yang dipantulkan oleh cermin. Ah, semakin tembam aku ini. Semakin putih wajah ku. Oh, sudah ada garis-garis kedut di pelipis mata. Begitulah hasil analisa akal menerusi pandangannya. Hasil pandangan itu, kita pun bertindak mengurangkan berat badan, membetulkan kedudukan pakaian, menggunakan bahan kosmetik untuk merawat wajah dan berazam untuk memulakan diet atau senaman.

Pandangan nafsu:

Diri kita juga boleh dilihat dengan pandangan nafsu. Katalah, kita masih pada usia muda (remaja). Muda hanya sekali, begitu bisik pandangan nafsu. Jangan disia-siakan peluang yang datang hanya sekali ini. Maka nafsu yang sentiasa merangsang kepada kejahatan ini akan memberi ‘nasihat’ jahatnya. Mana lagi disko, dangdut dan tempat-tempat pelesiran yang belum didatangi. Tunggu apa lagi, ayuh pergi! Begitulah pandangan nafsu oleh orang muda.

Bagi orang yang telah tua pula, pandangan nafsu ada helahnya tersendiri. Eh, engkau belum tua lagi. Apakah kau lupa, ‘life begin at forty. Man like wine…” Akibatnya, orang tua tidak merasa tua lagi – miang-miang keladi, makin tua makin jadi. Maksiat terus diratah sebanyak-banyak dan secepat-cepatnya, seolah-olah pasukan bola yang memburu gol pada waktu kecederaan. Bila diingatkan, datuk dah senja ni… Dia tidak akan menerimanya bahkan istilah orang tua kerap ditukar menjadi orang lama. Ya, mungkin situa yang didominasi pandangan nafsunya ini, sudah pencen dalam kerjayanya tetapi belum pencen dalam melakukan dosa.

Pandangan hati (mata hati):

Bagaimana pula orang yang melihat dirinya dengan pandangan mata hati? Orang muda akan menghargai umurnya dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Muda bukan sekali, tetapi dua kali. Begitu bisik hatinya. Kali pertama ialah umur muda di dunia yang bersifat sementara. Manakala muda kali kedua ialah muda di dalam syurga yang abadi selamanya (menurut sesetengah ulama umur ahli syurga sekitar 30’an).

Orang muda yang dipengaruhi oleh pandangan mata hati ini insaf bawa muda adalah saat terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka ini sedar bahawa antara soalan yang akan ditanyakan di padang Mahsyar nanti ialah, ke mana umur muda mu kamu habiskan? Allah tidak bertanyakan umur tua… ini kerana umur muda adalah ‘prime time’ (masa yang sangat berharga) untuk seseorang manusia, dan alangkah baiknya jika ‘aset’ yang sangat berharga ini diserahkan kepada Allah? Bukankah itu petanda kita benar-benar mencintai-Nya?

Lalu hati orang muda itupun berazam, jika demikian aku akan gunakan umur muda yang sementara ini untuk mendapat umur muda yang kekal abadi di syurga. Demikianlah azam orang muda yang memandang dengan pandangan mata hati. Lalu dia akan menyegerakkan amalan kebaikan, tidak menangguh-nangguhkan taubat dan meninggalkan kejahatan. Usia muda dianggap sebagai satu kesempatan bukan satu penangguhan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Allah suka orang yang bertaubat, tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat.”

Manakala orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati pula akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan ‘berpatah arang’ dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka. Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat. Tumpuan utama hanyalah mengejar masa. Imam Safie r.m. misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat. Orang keliling kehairanan, justeru Imam Safie adalah seorang yang masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah yang tepat dan penunggang kuda yang cekap?

Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa dia bertongkat, Imam Safie berkata, “ tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah ku terima selama ini. Aku tidak perlukan lagi… Tumpuan sepenuh hati ku sekarang ialah menuju Allah!” Demikian ‘orang tua’ yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati. Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Safie tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat ‘pengingat’ seperti beliau, sebaliknya mencari tongkat ‘penggiat’ – tongkat Ali!

Bagaimana? Setiap kali kita memandang wajah di cermin, kita melihat dengan pandangan yang mana? Pandangan mata, akal, nafsu atau hati? Sebagai seorang Islam, kita diajar supaya setiap bercermin kita disunatkan membaca doa berikut:
“Ya Allah, sepertimana Kau telah sempurnakan wajah ku, maka Kau sempurnakanlah pekerti ku.”
Ini menunjukkan bahawa menerusi doa ini Islam mengajar kita, jangan sekali-kali hanya melihat wajah lahir (muka) tetapi perlu melihat wajah batin kita (pekerti). Pekerti kita itulah hakikat diri kita yang sebenar.

Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan kedut, reput bahkan hancur akan dimamah ulat, cacing dan tanah. Tetapi diri kita yang hakikiki ialah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Apa yang dilihat dengan pandangan matahati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.”

Kata pantun Melayu:
Pisang emas bawa belajar,
Gunung Daik bercabang tiga
Hutang emas boleh dibayar,
Budi baik dikenang juga.

2. CATATAN HATI DI HARI JADI

Entah kenapa, di hari lahir kali ini hatiku sayu sekali. Ucapan tahniah dan hadiah yang melimpah, tidak dapat mengusir segala kesepian yang menjengah. Hati terpasung oleh kata-kata yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali:
“Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga.”
Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa-sisa kegembiraan yang masih tersisa. Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu.

Teringat pula kata Imam Ghazali:
“Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekan.”Ya, esok (20 Mei ) ulang tahun kelahiranku. Sudah hampir separuh abad aku bernaung di bawah langit-Mu ya Allah. Belumpun aku terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjangg umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi… semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi… selamat pulakah hari matiku?

Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya, Allah… segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?

Ya, Allah di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gejolak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua, tiga dan… Ya, Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini.

Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiahtul Adawiyah yang sentiasa berkata:
“Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.”
Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku keras amat. Kucuba menangis dengan merasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ‘hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah.

Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ‘dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap-harap, minta-minta diampuni.

Buat sahabat, teman dan kenalan… terimakasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini, (mungkin inipunmasih dari terowong jiwaku yang gelap gelita.)…

“Marilah kita hidup…
seperti orang yang menanti mati
kerana ingat mati itu…
akan mengecilkan segala derita
akan mencairkan segala alpa
kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula
walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma…
itu lebih bermakna!”
Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu di tempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:
“In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning… “
Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya, Allah!

 
16 Komen

Posted by di 22 Mei 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , ,

16 responses to “Catatan hati di hari jadi

  1. pali

    22 Mei 2009 at 9:47 am

    salam,

    Benar nukilan ustaz diatas, didalam kesusahan ada kemudahan, insyallah. Harap ustaz sihat walafiat seperti biasa.

    Hari jadi ustaz ke? “Selamat pendek umur?” semoga umur tuan dipenuhi baraqah.

    Dipesan bekerjalah seolah- olah akan hidup selama-lamanya dan beribadah seolah-olah akan mati pada esok harinya.

    Insyallah ustaz, rantaian hasanah tidak akan putus dari 3 cabang, ilmu yang bermanfaat, amal jariah, dan doa anak yang soleh dan solehah.

    seperti dalam surah at Thalaq, Allah akan mencukupkan keperluan bagi orang yang bertawakal kepadanya..

    sebijak-bijak manusia adalah yang mengingati mati.

    ps: teringat pulak lagu “selimut putih”.

    -anak murid tumpang belajar- \(^;^)/

     
  2. Zatil

    22 Mei 2009 at 3:52 pm

    Teringat tulisan ustaz tentang hari jadi mendekatkan diri dengan kematian.

    “Selamat pendek umur”….semakin hari semakin dekat dengan mati

     
  3. mymj

    22 Mei 2009 at 8:32 pm

    Hari jadi mengingatkan detik kelahiran kita, sepatutnya jadikan ianya juga mengingatkan tempoh saat kematian yang semakin hampir.

    Bila tiba hari jadi, lazimnya manusia gembira. Tetapi tidak lazim manusia bersedih kerana nyawa semakin pendek.

    Bila tiba hari jadi sebenarnya kita menghampiri hari mati. Betul x Ustaz.

    ps: Saya jarang dapat ucapan hari jadi. Waaaa

     
  4. sukri

    22 Mei 2009 at 9:35 pm

    as`kum wr. wbt…
    salam ukhwah salam mujahid ustaz..memang ana menanti-nanti artikel ustaz..tertanya-tanya juga kenapa lama menyepi..akhirnya persoalan itu terjawab jua…

    Dua peringatan yang menarik ustaz kongsikan…Cermin Diri….manusia sering pula apakah sebenarnya yang diinginkan ketika hidup ini. adakah utk bersuka ria, bergurau senda, bekerja tanpa amal ibadat kepada pencipta-Nya atau apa-apa saja…Jadi kita perlu sentiasa cermin diri dengan mata hati…Ya, mata hati yang akan membuatkan kita sedar siapa dan mengapa kita diwujudkan di bumi Ilahi ini.

    Hari lahir…itulah hari yang selalu kebanyakan orang nantikan. utk menyambutnya, utk menerima ucapan, utk segala macam lg. namun, mereka lupa dan alpa bahawa semakin berusia mereka, maka semakin dekat dengan kematian. oleh itu, setiap muslim harus ingat bahawa tugas seorang umat Islam adalah beribadat dan beramal soleh kepada Allah s.w.t. pencipta segala makhluk..

    p/s : Selamat hari Lahir buat ustaz..Semoga Panjang Umor, Murah Rezki, dan diberkati Allah selalu..Amin

     
  5. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:03 am

    Salam,
    Syukran atas doa dan ingatan. Saya sekarang di Kuala Tahan, menjalankan kursus untuk kakitangan Bank rakyat cawangan Jerantut dan Raub. Alhamdulilah, nampak di sini line internet clear. Baru ada kesempatan membalas. Mudah-mudahan mati sentiasa hidup di hati kita. Doakan saya ya.

     
  6. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:06 am

    Salam mymj,

    Biarlah saya antara yang pertama mengucapkan selamat hari jadi untuk anda. Selamat hari Jadi – mudah2an makin dekat dengan Ilahi. Semoga makin baik dan soleh peribadi. Tidak kiralah jika tarikh itu “belum” atau “terlepas”. Insya-Allah. Amin.

     
  7. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:10 am

    Syukran,
    Tahniah, blog anti sangat hebat dan bermanfaat. Saya banyak belajar darinya.

     
  8. gentarasa

    23 Mei 2009 at 7:13 am

    Salam,

    Saya juga tumpang belajar. Ya, banyak yang pali pesankan. Syukran. Akhirnya selimut putih juga menjadi pakian kita. Doakan saya, 1 jun insya-Allah akan mengerjakan umrah.

     
  9. firstmartyr

    24 Mei 2009 at 9:18 am

    assalamu’alaikum ustaz,
    jazakallah atas perkongsian yg sgt bermakna..sy harap sy mampu menjadi org muda yg sgt dekat dgn Allah, yg soleh dan musleh.
    doakan kami orang muda mampu istiqamah dan tsabat di jalan ini.
    ustaz,
    smg diberkati baki usia yg Allah kurniakan. smg Allah permudahkan segala urusan ustaz dalam meneruskan perjuangan mentarbiyah manusia lain.
    slmt mengerjakan umrah!

     
  10. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:25 pm

    Salam,
    Jazakallah firstmartyr. Semoga kita mati jua di jalan Allah. Kekuatan pemuda/i adalah janakuasa untuk gerakan dakwah ini. Doakan kami generasi tua ini agar sentiasa mendapat semangat dan rela ditegur oleh generasi muda. Amin.

     
  11. hatijerneh

    30 Mei 2009 at 3:29 am

    Salam Ustaz,
    Baca catatan ustaz seperti membaca luahan hati saya sendiri. Sy juga sayu membaca ucap selamat teman2 pd 20 MEi yg lalu!…. Disaat hati ingin sangat mencintai Allah swt, nafsu bergolak-golak mengacau! Payahnya rasa!…. Sekali lagi minta catatan ustaz pohon dikongsi bersama teman2 yg sealpa saya…
    Hakikatnya hatijerneh sekadar timangan yg belum mampu dimiliki… Jazakallah Ustaz :)

     
  12. gentarasa

    31 Mei 2009 at 6:01 pm

    Salam,
    Doakan saya. Moga dapat mendengar berita yang lebih indah nanti. Insya-Allah. Ya, Allah jernihkanlah hatinya. Amin.

     
  13. Ahmad

    26 Januari 2011 at 7:17 pm

    Subhanallah…mnyntuh hati.

    Mnt izin Bolehkh sy copy ctatan’ ustadz?

     
  14. Norafizah Shukor

    22 Ogos 2011 at 12:42 pm

    setiap catatan akan memberi kesedaran pada jiwa yg tandus…mohon copy sebgai peringatan ye…terima kasih

     
  15. ibnu musa aljuhri

    1 November 2011 at 4:01 pm

    syukran jazilan atas peringatan buat diri sendiri serta orang lain

     
  16. Latifah Rabbaaniah

    13 Januari 2012 at 2:57 pm

    tulisan santai tapi sarat hikmah!

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,222 other followers

%d bloggers like this: