RSS

USTAZ, ENCIK ATAU PROTAZ?

23 Mei

86379664“Nak panggil encik ke ustaz?”
Saya terkejut. Ada juga pertanyaan semacam itu.
“Panggil apa-apa sahajalah,” jawab saya ringkas.
“Tak boleh begitu…”
“Mengapa?
“Ustaz itu yang orang yang mempunyai latar belakang agama,” balasnya.
“Latar belakang agama?” tanya saya lagi.
Kalau sekadar berlatar belakangkan agama, semua kita memilikinya. Kita orang Islam. Bisik hati saya.

“Kalau ada kelulusan agama, bolehlah kita dipanggil ustaz,” jelasnya lagi.
Saya senyum. Dia semacam begitu naif. Tetapi benarkah begitu?
“Kalau begitu saya bukan ustaz. Saya encik,” jawab saya akhirnya.
“Tapi kenapa encik selalu cakap tentang agama?’
Saya akui kuliah, tulisan atau sajak-sajak yang saya tulis mempunyai “suara” dan “bau” agama. Islam agama saya, salahkah saya bercakap dengan agama saya? Begitu suara hati saya. Tetapi saya pendamkan sahaja. Bimbang kalau-kalau nanti disalah ertikan atau terkasar bahasanya.

“Kenapa… kalau bukan ustaz tidak boleh bercakap tentang agama?”
“Saya dengar begitulah. Tidak autentik. Tidak ada autoriti,” jawabnya terus terang.
“Kenapa begitu ya?”
“Ya lah, kalau kita bercakap agama tetapi tanpa nas dan dalil kita mungkin mengelirukan orang lain.”
“Walaupun sekadar mengajak untuk mengerjakan kebaikan. Contohnya, nak mengajak orang solat, berakhlak baik, rajin bekerja, tinggalkan mengumpat… perlu dalil juga?”
“Mestilah. Bukankah halal dan haram itu pasti ada nas dan dalilnya?”

Saya benar-benar terkejut dengan kefasihan dan kelancarannya berhujah. Dia bukan sebarang. Kelihatan naif, tetapi sebenarnya tajam dan licik gaya berfikirnya.
“Benar, semua itu ada nas dan dalil… tetapi semua orang sedia maklum akan haram atau halanya. Contohnya, majoriti sudah tahu solat itu wajib, mengumpat itu haram. Nas dan dalil bukan masalah utama di sini.”
“Masalahnya apa?”
“Masalah kita bukan tidak tahu wajib atau haramnya sesuatu itu…tetapi kita tidak mahu melakukannya. Tahu solat wajib, tetapi malas melakukannya. Tahu mengumpat itu haram, tetapi suka melakukannya.” 

“Kalau itu masalahnya, bagaimana kita hendak menanganinya?”
“Ustaz lebih tahu!” balas saya tiba-tiba. Dia terkejut dengan panggilan saya. Sejak tadi saya hanya memanggilnya dengan panggilan “saudara”. Tetapi sekarang hati saya cenderung merasakan bahawa dia memang seorang ustaz (berkelulusan agama).
“Ya, ya… saya seorang ustaz.”
“Alhamdulillah, kalau begitu soalan tadi saya kembalikan kepada ustaz. Ustaz tentu lebih arif,” kata saya. Memang saya mengharapkan jawapan dan panduan daripadanya.

“Semua pihak perlu memainkan peranan. Kita mesti menyeru dan mendidik masyarakat,” jawabnya setelah diam sejenak.
“Termasuklah saya yang “encik” ini kan?” kilas saya perlahan.
Dia mengangguk.
“Benar kata ustaz… Encik cara encik, ustaz cara ustaz. Saya hanya mampu menyeru, berdakwah dan mengingatkan. Sepatah yang saya tahu, sepatah yang saya sampaikan.” “Sampaikan daripada ku walau sepotong ayat… Begitu kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW,” ujar ustaz mengeluarkan nas.
“Kalau begitu, encik sudah jadi seorang dai, seorang pendakwah,” tambahnya lagi.
“Ya, kita umat dakwah. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dengan kemampuan kita.”
“Dengan kuasa, lidah atau sekadar benci dengan hati!” balas ustaz.
“Betul ustaz.”

“Tapi saya khuatir ramai yang menyamar jadi ustaz sekarang ni. Tidak ada kelulusan agama tetapi merasakan diri layak untuk digelar ustaz,” ustaz itu menyuarakan kebimbangannya.
“Kelulusan yang bagaimana?”
“Ya lah, mesti ada PHD, MA, BA atau setidak-tidaknya diploma dalam bidang agama daripada universiti dalam atau luar negara.”
“Kalau setakat tamat pengajian pondok, boleh dipanggil ustaz?”saya bertanya.
Ustaz itu termenung. Berfikir agaknya.

Dalam ruang ingatan saya terbayang “ustaz Z” – guru yang mengajar saya sewaktu kanak-kanak dahulu. Pada akhir tahun 60’an ustaz Z mengajar saya tentang tauhid, fikah dan akhlak. Dia berserban dan bergamis putih. Ustaz Z hanya belajar sekolah pondok (begitu pengakuannya pada saya). Namun saya kagum dengan kegigihannya. Kesungguhannya mengajar anak desa dengan ganjaran paling minima ketika itu sangat saya hargai. Dan diantara yang “luar biasa” tentang ustaz Z itu ialah dialah satu-satunya ahli agama yang rela dipanggil ustaz!

Mungkin generasi sekarang terkejut dengan kenyataan saya. Tetapi itulah hakikatnya. Pada zaman Pop Ye Ye , The Beetle , kemudian menyusul budaya hippies dan woodstock pada waktu itu kehidupan beragama memang tercabar. Menutup aurat (sekadar dengan tudung pendek) itu pun sudah dianggap asing. Dan pada waktu itu ramai ustaz-ustaz (maksudnya orang yang berkelulusan agama) yang malu kalau dipanggil ustaz. Pengalaman saya sendiri berdepan dengan ustaz yang mahu dipanggil ustaz hanya di kawasan sekolah! Jangan di tempat awam.

Namun sekarang ustaz-ustaz sudah naik “harganya”. Malah sudah ada “glamour”. Sudah ada rancangan TV yang popular sama ada yang dihoskan oleh ustaz atau secara langsung dinamakan dengan tanyalah ustaz. Tidak hairan jika kini ramai ustaz yang mahu dipanggil ustaz dan bukan ustaz pun yang mahu dipanggil ustaz. Di sinilah mungkin terjadi persaingan, kekeliruan, eksploitasi, obsesi dan sebagainya. Kalau dulu keikhlasan para ustaz diuji cara begitu, kini keikhlasan itu teruji dengan cara yang lain.

“Saya cadangkan encik jadi Protaz,” tiba-tiba ustaz itu bersuara. Saya terkejut dalam lamunan atas imbauan lampau yang panjang.
“Protaz?”
“Profesional ustaz. Maksudnya, dia mungkin doktor, jurutera, korporat, malah pilot atau lain-lain golongan profesional tetapi mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.”
“Mempunyai pengetahuan agama yang tinggi atau mempunyai kelulusan agama yang tinggi?”
Kali ini ustaz itu benar-benar berteleku. Dahinya berkerut.
“Saya tak faham. Benar-benar saya tak faham, apa maksud encik?”

“Begini ustaz, ada seorang sahabat saya, seorang akauntan tetapi pengetahuan agamanya tinggi. Hasil dia belajar di masjid, surau atau kelas-kelas pengajian yang tidak formal. Saya dapati tajwidnya fasih, tafsirnya juga mantap, tetapi kalau diikutkan piawaian tadi dia masih dalam kategori encik, bukan ustaz…. Sekarang boleh dia dipanggil Protaz?”
“Bolehlah…” jawab ustaz itu perlahan.
“Bagaimana dengan autoriti diri dan autentik ilmunya?”
“Wah, pening saya,” akui ustaz itu.

“Maaf, sampai ke tahap ini pula perbualan kita. Jika dilanjutkan nanti saya pasti akan melarat-larat kepada takrif ulama, alim, profesional dan lain-lain pula nanti,” ujar saya.
Kami pun berjabat tangan tanda perpisahan.
“Terima kasih ustaz.”
“Terima kasih encik,” balasnya.

Saya masih ingat betapa hebatnya “muzakarah” yang menghampiri medan “mujadalah” antara beberapa cendekiawan dalam majlis forum yang pernah saya hadiri beberapa tahun yang lalu.
“Ulama itu orang yang faham segala ilmu teras dan ilmu alat dalam bidang agama secara terperinci!”
“Ulama itu orang yang takut kepada Allah. Kalau ilmu setinggi langit sekalipun, tetapi tidak ada rasa takutkan Allah, orang itu bukan ulama, ” bidas seorang lagi.
“Apakah tukang sapu yang hanya tahu asas-asas fardu Ain tetapi sangat takutkan Allah, boleh dipanggil ulama?” tanya seorang yang lain.
“Mampukah orang yang hanya ada asas-asas fardu Ain takutkan Allah?”
“Eh, jangan lupa… kisah budak gembala kambing yang diuji oleh Sayidina Umar agar menjualkan kambing tuannya lalu dia menjawab, kalau begitu di mana Allah? Apakah anda hendak nafikan yang budak itu adalah ulama?”

Itulah serang dan tangkis yang saya dengar daripada mulut para ilmuan dan tokoh suatu ketika dahulu. Saya yang “encik” ini akhirnya mengambil sikap tidak mahu campur perkara yang di atas. Saya tidak layak. Namun, sebagai seorang Islam kita tetap terpanggil untuk membuat kebaikan… lalu saya turun ke bawah. Saya tidak banyak tahu jika dibandingkan dengan orang di atas. Tetapi bila saya lihat “di bawah” saya insaf, ilmu saya masih “terlalu” banyak bila dibandingkan dengan kewajipan menyampaikan. Terlalu banyak ayat-ayat yang belum saya sampaikan.

Ah, kekadang (dan sejak akhir-akhir ini sering) saya biarkan sahaja persoalan yang rumit dan kusut. Yang bukan taraf diri dan tahap ilmu saya untuk mengungkainya. Namun entah mengapa sejak akhir-akhir ini, pertikaian, kekhilafan dan perbezaan yang sudah lama disimpan dalam “sampul” sikap lapang dada dan adab ulama silam kini seolah-olah dibongkar kembali. Mungkin ada kewajarannya… kata mereka, kini orang semakin bijak. Dunia semakin terbuka. Namun, sikap berhati-hati dan paling penting – keikhlasan kepada Allah SWT, perlu diutamakan. Ya, mungkin orang sekarang semakin bijak, tetapi hubaya-hubaya kalau hati semakin rosak!

Mudah-mudahan peti khazanah ilmu silam yang beragam dan bermacam itu akan menyerakkan sejuta keharuman bila dibuka kembali dengan hati yang luhur. Dan tidak menjadi seperti “kotak pandora” yang meyebarkan fitnah dan kecelaruan bila dibuka dengan hati yang takbur . Ya, semoga semua pihak, tidak kira ulama, ustaz, alim, protaz, profesional atau sekadar “encik” sama-sama memainkan peranan menegakkan agama. Setiap orang Islam mesti memperjuangkan Islam!

 
34 Komen

Posted by di 23 Mei 2009 in Tarbiyah

 

Label: , , , , ,

34 responses to “USTAZ, ENCIK ATAU PROTAZ?

  1. pali

    23 Mei 2009 at 9:25 am

    salam encik ustaz protaz. hehe,

    saya pernah terfikir juga pasal hal ini, bila melihat makna hadith pertama Imam Nawawi..

    Minta tunjuk ajar, saya berpandangan,

    apa jua gelaran itu dinilai orang pada perbuatan, kekadang tidak berniat pun menjadi ustaz @ protaz @ encik, tapi manusia itu bila melihat suka sekali MELABEL.

    segala amal itu bermula dengan niat, dan sesiapa yang berniatkan Allah dan Rasul, ia akan mendapatkannya..

    sama juga dengan sesiapa yang “berniat” untuk menjadi popular, ustaz, baik, pandai berblog, disayangi ramai orang, dia akan dapat apa yang dihajatinya. Ini janji Allah.

    TAPI, jika niat kerana ALLAH dan Rasul, dia akan mendapat segalanya.. walaupun tidak dipinta. Akan ada kekuatan luar biasa dariNya.

    Allah itu Maha Mengetahui kehendak dan kelemahan hamba2Nya.

    -anak murid tumpang belajar-

     
  2. sukri

    23 Mei 2009 at 3:06 pm

    as`kum wr. wbt…
    ustaz, encik @ protaz….panggilan untuk siapakah itu? pada pemerhatian ana, sekarang memang terdapat ramai orang yang ingin dirinya dipanggil ustaz..

    bagi ana, panggilan ‘ustaz’ adalah satu kewajipan yang harus ditanggung oleh tuannya. Ini kerana masyarakat atau sesiapa sahaja yang memanggil beliau dengan panggilan ‘ustaz’ telah meletakkan pandangan yang begitu baik terhadap seseorang itu.

    setiap muslim adalah seorang daie, seorang pendakwah…jadi, tidak kira sama ada seseorang itu seorang ustaz, encik, protaz atau apa2, semuanya mempunyai tanggungjawab dalam menyebarkan dakwah.

    benarlah apa yang ustaz utarakan berkaitan sabda Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahawa “sampaikanlah daripadaku walau sepotong ayat”..

    ” Islam Itu Benar”

     
  3. naja

    23 Mei 2009 at 3:26 pm

    benar.

    semua mesti memainkan peranan.

    tak kira apa sekalipun gelarannya.

     
  4. Suluh Hati

    23 Mei 2009 at 8:15 pm

    Salam ziarah Encik.. :)

    Kewajipan serta tanggungjawab menegakkan agama bukan terletak pada bahu ustaz / ustazah semata, tapi pada setiap kita yang beriman pada Allah. Kita pasti akan dipersoalkan tentang tanggungjawab itu nanti; sama ada kita encik, ustaz, professor, doktor, jurutera, guru, cleaner, buruh, surirumah…

     
  5. midonali

    23 Mei 2009 at 8:29 pm

    Assalamualaikum wbrkth.

    Semoga sihat dan sentiasa di dalam keberkatan hendaknya. Hari ini seharian suntuk cuba menghabiskan membaca semua tulisan abang Pahrol, tapi tak kesampaian. Hati ni terasa bahagia kerana dapat melayari bahtera mengikuti rentak cerita/tarbiyah yang ditulis. Terima kasih, atas segalanya. Memang abang Pahrol seperti dia yang ku kenal 82-84 dulu dr berbagai sudut terutama tulisannya, cuma, skrg apa yg ditulis lebih ampuh dan teguh, mencengkam kuat dalam hati saya yang membacanya. Syabas dan teruskan.

    Hj Hamidon b Hj Ali
    Dungun, Terengganu.

     
  6. br.hafiz

    24 Mei 2009 at 8:13 am

    salam.terima kasih ust.Pahrol.maaf,nak tanye,
    ayat nie.

    Menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dengan kemampuan kita.”

    boleh jelaskan,bagaimana mengukur KEMAMPUAN KITA?
    trima kasih

     
  7. ummu hafidz

    24 Mei 2009 at 12:55 pm

    salam..USTAZ
    Sejenak begitu ingin ‘membantu’ (saya bukan seorang ustazah) menyingkap tabir yang sering ‘mengganggu’ pandangan (persepsi) manusia..Aduhai, bukankah Allah mencipta kita untuk menjadi ‘wakilNYA’ bagi menyuburkan alam ini dengan kebajikan dan kebaikan..
    Nah..banyak tu tugasan yang perlu dibuat..luas jangkauan untuk insan kerdil seperti kita untuk sama menjadi ‘kaki dan tangan’ dalm misi ini..yang hanya natijahya untuk mendapat PANDANGAN dari Allah.
    Bersyukur kerana adanya daei’ seperti ustaz dengan ‘approach’ yang mudah lagi berhemah untuk menyuluh persepsi yang sering mejadi isu perbahasan..wallahua’lam.

     
  8. Hj Hamidon b Hj Ali

    24 Mei 2009 at 9:48 pm

    Assalamualaikum wrbrkth,

    Kepada abg Pahrol yg dihormati. Tulisan-tulisan ni begitu dekat terasa di hati ni. Seharian suntuk spent masa nak abiskan tp tak kesampaian. Memang dr dulu, sy begitu menghormati kata-katanya yg sampai byknya dlm bentuk tulisan. Surat dulu, masih lg tersimpan sehingga kini….
    ….dagang yg sebenar adalah mereka yg tidak punya kecintaan….
    masih lg terngiang-ngiang di telinga ni, walau telah 27 tahun berlalu….

    Syabas dan teruskan…

     
  9. ummimusa

    25 Mei 2009 at 12:02 pm

    salam alaik encik ustaz protaz (sekadar gurauan)

    sebetulnya pula, saya bergelar ‘Teacher’ dan saya juga di rasakan ‘bermasalah’ oleh sesetengah pihak apabila saya bercakap dengan hal2 keagamaan, ustazah ke teacher ni?

    bila di muhasabah kan, kenapa ‘gelaran’ begitu penting? kerana hormat, tapi gelaran tidak lah sebegitu penting sikap kita pada orang itu. jika kita beria-ia memangggil orang itu ustaz, mahupun lecturer ataupun teacher, sambil kita menyumpahnya atau lain2 sikap biadap, tidak guna lah kita memanggilnya dengan apa2 pun gelaran terhormat.

    isu yang akhi (semua encik ustaz dan protaz adalah saudara sesama islam ya?) utarakan ini saya pernah jumpa dalam buku 7 tahapan da’wah fardhiyyah oleh mustafa mashur, dimana dia mengatakan bahawa kita mesti memberi kefahaman kepada ‘orang selain ulama dan ustaz’ bahawa beban da’wah juga terpikul atas bahu mereka: tanggungjawab itu adalah tanggungjawab bersama dan bukan lah jawatan tertentu pihak tertentu.

    isu ini juga berkait dengan sekularisma ya, akhi? semoga kita sama2 juga dapat memberi diri kita dan orang lain ‘pencerahan’ mengenai isu ini.

    ummimusa

     
  10. ummimusa

    25 Mei 2009 at 12:49 pm

    teringat sesuatu mengenai isu ustaz/ustazah ni:

    tak semua ‘ustaz ustazah’ di sekolah berkelulusan yang menjadikan dia layak di panggil begitu kerana ada sesetengah guru yang di berikan matapelajaran menurut ‘demand’, contohnya, ketiadaan guru BM, jadi bila masuk mana2 guru, walaupun dia berkelulusan sains atau english atau agama, dia di berikan tugas dan bahan2 utk mengajar BM, kerana keperluan pada guru BM di sekolah tersebut.

    sama juga seperti subjek agama di sekolah. ada guru yang semasa di universiti belajar pendidikan sains, tapi bila tiba di sekolah, mengajar agama dan di panggil ustazah.

    ini pula berkaitan sedikit dgn cerita di atas: apabila guru2 yang berkelayakan agama, tetapi tidak pula mengamalkannya – ustaz atau ustazah yang menduakan suami/isterinya. Memang seolah-olah skandal ‘panas’ yang sengaja di ada-adakan, dan kerana itu lah saya menjadi terkejut apabila melihatnya terjadi sebagai sebenar-benar kejadian…

    ini lah yang terjadi apabila “islam” menjadi “subjek” dan bukan identiti.

    semoga kita berusaha ke arah mengeluarkan islam dari kertas dan dakwat ke dalam peribadi dan akhlaq kita, amin…doa untuk diriku dan pembaca2 lain

     
  11. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:04 pm

    Salam,
    Benar ummimusa. Pada apa jua keadaan, masa dan ketika… TAKDIR sentiasa mengatasi tadbir. Menulis dalam kehidupan jauh lebih sukar berbanding menulis di atas kertas. Siapapun kita, tidak kira ustaz atau ustazah… memikul tanggungjawab yang berat untuk menjadi muslim atau muslimat yang soleh dan solehah. Dan siapapun kita, cikgu atau ustaz, mengajar agama atau sains, sama-sama bertanggungjawab untuk berdakwah. Anjuran memasukkan roh tauhid dalam matapelajaran Sains telah saya ketengahkan menerusi buku DILEMA MELAYU-ISLAM: KURANG FIKIR ATAU KURANG ZIKIR.

     
  12. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:10 pm

    Salam,
    Sekali lagi saya sangat bersetuju dengan ummimusa. Dulu ada idea “mengintelektualkan” ulama dan “mengulamakan” intelektual. Ya, gelaran soal kedua tetapi bagaimana ustaz dan golongan lain boleh bertolong bantu berdakwah dan mendidik masyarakat. Yang punya ilmu tetap “imam” dalam usaha dakwah. Namun, itu bukan bererti tugas dakwah dan menerangkan Islam harus dimonopoli oleh mereka. Membantu, membimbing dan mendorong, adalah sikap yang amat diharapkan dari golongan agama kepada golongan “sekular” (maksud saya asas pendidikannya bukan ilmu Islam) tetapi punya kesedaran agama yang tinggi untuk sama-sama menyumbang ke arah mendaulatkan Islam. Tahniah ummimusa… pencerahan yang amat baik! Syukran.

     
  13. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:15 pm

    Salam,

    Hj Hamidon yang dihormati lagi diingati… Tuan Haji juga sangat dekat di hati ini. Pertolongan, bantuan dan kerjasama serta kesabaran masa lalu amat saya hargai dan ingati hingga kini. Sudah melawat blog tuan haji. Hebat. Insya-Allah akan selalu ke sana. Telah pergi terlalu jauh dan tinggi rupanya saudara berbanding ana yang masih bertatih ini. 27 tahun terlalu singkat untuk melupakan kebaikan dan kemanisan ukhwah. Malah bila “tersentuh” keharumannya menyerak semula! Tahniah sahabatku. Teruskan perjuangan. Doakan ana yang akan kembara ke tanah suci pada 1 – 15 Jun ini. Insya-Allah. Doakan ya, jangan tidak-tidak. Ana mengemis untuk itu!

     
  14. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:18 pm

    Salam,
    Ana pun menghabiskan masa yang lama untuk mengikuti cerita Uwais Al Qarni dalam blog Tuan Haji. Bila tengok gambar, wah… tak banyak berubah. Semoga terus sihat pada zahir dan batin untuk terus berjuang. Amin.

     
  15. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:23 pm

    Salam ummu hafidz,
    Allah melihat pada hati dan amalan, bukan pada zahir dan gelaran. Jika kita ibu-bapa, maka anak-anak adalah mad’u (sasaran dakwah kita). Itu “autoriti” yang paling asas dan teras dalam dakwah – selamatkan diri dan famili daripada api neraka. Saya ketengahkan isu itu sekadar untuk mendorong agar setiap kita “berani” berdakwah dalam upaya dan kekuatan yang ada. Namun keberanian itu sudah semestinya ditunjangi oleh ilmu dan pimpinan daripada mereka yang lebih arif. Syukran ummu hafidz, tulisan anda sangat menguatkan rasa hati saya yang kekadang teruji juga.

     
  16. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:30 pm

    Salam br. hafiz,

    Kemampuan… ilmu, kuasa, tenaga, harta, masa, bakat, profesion… kita. Kita tidak mampu “mengukur” tahap kemampuan kita. Tetapi apa yang penting kita berusaha sedaya upaya. Terbaik dan seoptimum mungkin. Pakar psikologi berkata, setiap manusia “lebih kuat” daripada apa yang dia sendiri jangkakan ke atas dirinya. Maksudnya jika kita rasa kita boleh ke tahap 10… sebenarnya kita boleh pergi 11, 12, 13 dan lebih lagi. Jadi, cubalah sedaya mungkin, sebaik mungkin. Cuma berehat di hujungnya dengan TAWAKAL dan DOA.

     
  17. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:36 pm

    Salam Tuan haji,
    Semoga kita semua belajar daripada pengalaman. Dan kegagalan merupakan guru terbaik dalam mengajar erti kesabaran, keredaan dan kegigihan untuk memulakan semula dengan lebih baik. Benarlah kata hukama, satu kebaikan perlu dimulakan berkali-kali!

     
  18. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:38 pm

    Salam,
    Salam ziarah juga. Syukran kerana selalu ziarah saya. Apa yang dinukilkan turut menyuluh diri saya.

     
  19. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:44 pm

    Salam,
    Ilmu yang disampaikan akan lebih meresap kepada penyampainya! Benar.

     
  20. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:46 pm

    Salam,
    Yang benar wajar disampaikan oleh orang yang benar dengan cara yang benar. Ana tetap hormat kepada golongan ustaz. Pimpinlah kami yang begitu “cemburu” dengan kelebihanmu untuk mendidik manusia ke jalan Allah!

     
  21. gentarasa

    25 Mei 2009 at 5:48 pm

    Salam,
    Apa yang penting, kita mesti LEBIH BAIK daripada label yang diberikan. Mudah-mudahan Allah akan menjaga kita daripada sebarang kepentingan diri dalam usaha dakwah ini. Ya, Allah… ikhlaskanlah kami. jauhkan kami daripada “membesarkan” diri di sebalik usaha MEMBESARKAN-MU!

     
  22. Hazim Azhar

    26 Mei 2009 at 2:47 am

    Orang yang ikhlas tidak menginginkan reda manusia, sanjungan dan ganjaran. Cukuplah reda Allah sebagai puncak keinginan.

     
  23. gentarasa

    26 Mei 2009 at 5:37 am

    Salam,

    Syukran akhi Hazim Azhar, syukran atas peringatan. Doakan ana. Blog akhi sangat menyentuh perasaan. Tahniah. Semoga terus gagah di jalan dakwah. Amin.

     
  24. Hj Hamidon b Hj Ali

    26 Mei 2009 at 7:34 am

    Terasa terhutang pulak nak doa. Sodah doa semalam dan hari ni dan akan kusambung seterusnya selagi dlm kemampuan akal dan fikiran. Takpa bang, pergilah utk mencari redhoNya. Akan ku doa kan pemergian mu, go and back in one piece dan dlm rahmat dan berkatNya.

    Semoga satu hari kita dpt bertemu mata.

     
  25. gentarasa

    26 Mei 2009 at 5:45 pm

    Salam,

    Syukran sangat-sangat. Itu bekalan untuk ana ke sana. Insya-Allah, doa saudara atas saudaranya akan mendekatkan jarak yang jauh dan jasad yang terpisah. Alhamdulillah, ketemu semula kita. Amin, mudah-mudahan kita berjumpa.

     
  26. husaini a. hamid

    29 Mei 2009 at 11:58 am

    Salam Ustaz Pahrol,
    Pengalaman saya, saya sendiri di panggil dengan beberapa gelaran, da yg panggil ustaz terutama yg belajar fardu ain atau yg anak mereka mengeji dengan saya di surau, ada yg panggil haji walau pun beberapa kali saya beritahu saya belum kemekah dan selebih nya panggil syeikh dan juga tak kurang yang hanya memanggil husaini.

    Tapi bila ada golongan yg panggil ustaz ada pula yg menentang dan bercakap di belakang kerana alasan saya tak de tauliah atau tak de ijazah dalam bidang agama sedangkan kita sendiri tak pernah meminta dan menggelarkan diri kita ustaz dan tak senang bila di panggil ustaz.
    Tapi saya tetap menerima panggilan ini hanya atas alasan mereka ingin menunjukakan rasa hormat walau pun kita hanya mengajar perkara2 asas fardu Ain dan iqra’ sahaja.

    Begitulah dunia. tetapi bila suatu masa dulu ada seorg ustaz kata kalau di mesir gelaran ustaz ini adalah gelaran bagi seorg guru, kerana yang mengajar budak bermain biola pun akan di gelar ustaz, jadi pd pandangan saya biarlah …kalau ada yg panggil saya ustaz sebab saya memang guru….guru nasyid!!!

    Mungkin masyarakat sedang keliru dan jangan lah dgn sebab gelaran ini akan menghalang rasa tanggungjawap kita dalam mengajak diri dan org lain kearah kebaikan.

     
  27. gentarasa

    31 Mei 2009 at 6:03 pm

    Salam ustaz,
    Setiap kita pemimpin, jadi setiap kita guru… sebab pemimpin itu mesti mengajar dan mendidik. kita adalah “ustaz” pada diri dan anak isteri kita. sekurang-kurangnya!

     
  28. husaini a. hamid

    31 Mei 2009 at 10:27 pm

    Betul ustaz, kita adalah “ustaz” kepada apa yang kita perlu “tanggung dan perlu jawap” di akhirat nanti. Samaada kita suka atau tidak.Ya Allah berat nya tanggungjawap ini….

     
  29. gentarasa

    17 Jun 2009 at 11:41 pm

    Salam ustaz husaini,
    Setiap yang kita tahu membawa bersama tanggungjawab untuk memberitahu kepada yang tidak tahu dan “peringatan” yang telah tahu. Salam perjuangan, dulu, kini dan selamanya. Insya-Allah!

     
  30. Nurul 'Afifah

    26 Jun 2009 at 7:46 am

    Assalamua’laikum wbt…
    ustaz, sy suka dengan post ni…
    sy mntk izin copy ke blog sy ye…

     
  31. gentarasa

    26 Jun 2009 at 12:38 pm

    Salam Nurul,
    Ya, ya… sebarkanlah. Semuga kita terus bersaudara dengan nikmat-Nya!

     
  32. aziza

    11 Disember 2009 at 4:31 pm

    assalamualaikum ustaz. tiada apa yang boleh di nukilkan, saya terlalu kecil dan jahil dalam soal2 agama ini. cuma doakan langkah permulaan mendekati blog ustaz dan rakan2 seperjuangan ustaz sekurang2nye membantu saya bermastautin dalam golongan ‘ùstaz’/ ustazah..insyaAllah.. Ya Allah Maha Pengasih dan Penyayang.. bukakanlah laluan untuk ku mendekatiMU.. Hilangkanlah kedukaan ku dengan kasih sayang MU..amin. berbahagialah org2 yang digolongkan dalam golongan ‘ústaz / ustazah”..

     
  33. Bawang Goreng

    30 Jun 2010 at 11:59 am

    Teringat saya kepada ‘cik’ Salmi yang bertanggungjawab mengajar kami ilmu agama di MGS Ipoh (tahun 1986-1988). Cik Salmi mmg tak benarkan kami (pelajar) memanggil beliau ‘ustazah’, katanya, “Saya bukan ustazah. Jangan panggil saya ustazah. Panggil saja Cikgu atau nama saya, ‘Cik Salmi’…”

    Apa khabar cik Salmi sekarang…??

     
  34. pandora charms central texas

    9 Julai 2012 at 9:52 pm

    I think this is one of the so much vital info for me.
    And i am satisfied studying your article. But want to remark
    on some basic issues, The site taste is ideal, the articles
    is really nice : D. Just right task, cheers

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers

%d bloggers like this: