RSS

BAHAGIA ITU BILA MEMBAHAGIAKAN

31 Mei

87272643Sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku,
Esok, insya-Allah aku akan berangkat untuk menunaikan umrah. Ini satu lagi langkah mujahadah yang mesti ku tempuh. Kekadang hati digaru ragu apakah aku layak diterima sebagai tetamu Allah SWT? Layakkah hatiku yang berdosa ini menzirahi Rasulullah SAW. Namun, jauh di sudut hati, di sebalik segala kelemahan dan kekotoran diri, masih terselit cebisan harapan untuk mendapat pengampunan.

Sahabat-sahabatku,
Doakan aku. Agar tega dan rela meninggalkan segala untuk mengadap Pemilik segala. Hatiku benar-benar bergolak – kekadang rasa rindu ke sana hingga terasa mudah mengalirkan air mata. Namun kekadang ditarik nafsu dengan rasa pilu, nestapa dan berat rasa. Ya Allah, ku adukan segala ini untuk MU dan ku kongsi segala-galanya bersama teman-teman yang cinta dan setia.

Maafkan, kalau aku lambat membalas setiap respons kalian. Bukan aku lupa, bukan aku malas, tetapi jiwaku bergolak sungguh dan seluruh. Ingin ku langsaikan segala akan mudah berangkat ke sana, tetapi apakan daya masih ada yang tertangguh dan tergendala. Tidak ada masa yang paling sesuai, tidak ada masa yang paling tenang, kita ke sana sama ada dalam senang atau gelombang. Kutitipkan beberapa tulisan, sebagai menggalas bicara sewaktu kita tidak bersama.

Sahabat-sahabatku pembaca,

Doakan aku sangat. Doakan aku amat. Insya-Allah akan ku doakan kalian (secara umum) dalam tawaf dan ‘Saie’ku. Semoga Islam yang kita cinta ini meresap ke hati kita. Biar keindahannya dapat dilihat dan dirasa. Moga kita menjadi mujahid yang hidup dan mati hanya kerana dan untuk Allah semata! Amin. Doakan aku.

Inilah beberapa bingkisan tulisanku:

BAHAGIA ITU BILA MEMBAHAGIAKAN…

Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiaakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia. Sesungguhnya bahagia itu bukan “benda” yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin “diberikan” akan bertambah terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam… tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya. 

Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki), maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu. Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.

Apakah langkah pertama untuk membahagiakan isteri? Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa sidia adalah anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup kita sepanjang kembara di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.

Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita bukannya perabot, bukan peralatan eletronik, komputer ataupun barang-barang antik yang lain. Yang paling berharga ialah manusianya – isteri atau suami kita itu. Itulah” modal insan” yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya. Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih daripada barang-barang berharga di rumah kita?

Sayang sekali, lain yang difikirkan lain pula yang dirasa. Cuba renanungkan, berapa ramai para suami yang lebih prihatin tentang perasaan isteri berbanding ‘keadaan’ keretanya. Batuk isteri yang berpanjangan semacam tidak kedengaran. “Batuk” kereta yang sedikit cepat-cepat dihantar ke “workshop” untuk diselenggarakan.

Itu belum dikira lagi kaki pancing yang setiap hujung minggu berkepit dengan joran dan umpan tetapi membiarkan anak-anak dan isteri kesepian di rumah. Atau para isteri yang leka dengan aorkid dan barang antik, dibelek dan dikelek siang malam, sedangkan suami terbiar tanpa ditanya perasaan dan didengar luahan hatinya.

Bila kereta ‘aneh’ sedikit bunyinya, cepat-cepat diusung ke workshop, dibetulkan enjin, ditunekan semula bunyinya. Tetapi isteri yang batuk-batuk, lenguh dan sembab dibiarkan… alasannya, itu memang adat, badan dah tua. Itu belum dikira yang ‘workoholic’ – bekerja siang, malam, tak kenal cuti dan rehat… Bila ditanya mengapa begitu sibok? Dia menjawab, demi isteri. Padahal, dia bekerja sampai ke tahap mengabaikan isteri. Aneh juga, ada yang mencari duit sampai tidak sempat menikmati duit. Bila duit sudah terkumpul, kesihatan sudah tergadai, rumah tangga sudah berkecai, isteri telah terabai.

Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita. Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih… mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh “kedutan” itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu “mercu tanda” pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita.

Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati “turun” ke mata. Yang kita lihat bukan “body” tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi… tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is verb – cinta itu tindakan. Kata penyair bila sudah cinta, ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestanya… Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.

Mungkin sikaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang “permaisuri”. Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang “orang gaji”. Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!

Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata. Begitu selalu pesan cerdikiawan dan pujangga. Malangnya, kita selalu lepas pandang. Sesuatu yang ‘terlalu’ dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai. Kajian menunjukkan bahawa para suami di Amerika lebih banyak meluangkan masa menonton TV daripada bercakap dengan isteri. Di sini apa kurangnya, tiga jam menonton TV bersama tanpa sepatahpun berbual. Suami dan isteri sibok melayani fikiran sendiri walaupun duduk hanya berselang beberapa inci.

Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang “sakit” – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital, merenung mata isteri atau suami kita yang berkelip-kelip, tanpa kata, tanpa suara…

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi… Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang ‘hilang’ akan berganti? Apakah anak, isteri, suami yang ‘pergi’… akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak ‘pulang’ atau tidak ada lagi sidia yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda ‘pergi’ atau dia yang ‘pergi’. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!

BUAT KEKASIH (isteri kita)

Sungguh aku tidak akan meninggalkan mu
Masakan dalam diri ini aku bisa lupa
Pada orang tersayang yang banyak berjasa
Aku tidak akan lupa…

Dalam ria dan tangis mu
Sentiasa aku ada di situ
Walaupun kita berpisah…
Tetapi cinta dan kasih kita tidak!
Kau ku sayang…
Itulah teman ku sepanjang jalan

Kekasih,
Kekadang lidah letih menuturkan
Badan penat menghantarkan
Akhirnya bicara cinta terhantar hanya melalui sendu
Bisu… tetapi getarannya tidak pernah diam
Dan tika berpisah sendu itu memuncak
Ingin ku dakap,
Ingin ku peluk,
Tidak mahu ku lepaskan
Tapi siapakah kita yang tidak mahu merelakan
Cinta itu semakin kukuh…
Bila menjauh

Sayang,
Aku tidak pernah meluahkan
Bila jemu, letih dan putaran hidup kian mencengkam
Tetapi percayalah…
Cinta ku tidak pernah letih
Sayang ku tidak pernah padam
Dalam sunyi dan ratap
Engkau tetap hadir dalam doa dan harap

Ya, Allah..
Rahmati kekasih hati ku di bumi
Agar cinta kami membumbung tinggi
Tiada sempadan, tiada tara,
… sampai syurga!
Amin.

 
27 Komen

Posted by di 31 Mei 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

27 responses to “BAHAGIA ITU BILA MEMBAHAGIAKAN

  1. Akmal

    2 Jun 2009 at 11:24 pm

    Salam abg Pahrol..
    Moga dipermudahkan urusan oleh-NYA sepanjang berada di sana..
    Saya doakan keselamatan pergi dan pulang..
    Mudah-mudahan..

     
  2. sunah

    3 Jun 2009 at 6:35 am

    salam ustaz. semoga dipermudahkan segala urusan ustaz semasa mengerjakan umrah. jangan lupa doakan agar kami lebih kuat dalam perjuangan dan semakin dekat kepada ALLAH.

     
  3. sarahyasmin

    3 Jun 2009 at 11:00 am

    Salam Ustaz,

    First time singgah kat blog ni. Tersentuh hati bila baca artikel di atas. Saya ingin membahagiakan suami saya, maka saya rela mengundurkan diri supaya dia boleh berkahwin dengan kekasihnya sekarang. kerana dia tidak mampu berpoligami. setelah bersabar hampir 3 tahun, akhirnya saya mengambil keputusan ini walaupun ibu mertua tak bagi. Saya redha dengan dugaan Allah ini kerana selama berpulh tahun saya hidup ini, nikmat yg Allah beri terlalu banyak. Tapi bila bagi dugaan yg satu ini, saya rasa terbeban sangat. Moga keputusan ini adalah tepat; moga saya lebih hampir kpd Allah krn saya tahu Allah amat mengasihi hamba2Nya.

     
  4. jay

    7 Jun 2009 at 10:53 pm

    Satu untaian kata yang amat memberangsangkan tapi sayang, hanya satu pihak yang membaca dan menghayatinya. Seandainya semua pasangan mempunyai pandangan begini, bahagia pasti menghiasi dunia ini. Bagaimana mungkin seorang isteri boleh bahagia, jika satu soalan membawa petaka, lantaran kebohongan meliputi jiwa.

     
  5. hemart

    9 Jun 2009 at 7:11 pm

    artikelnya cukup menarik,perkenalkan saya dari indonesia, saya suka blog anda.
    ikutilah blog kontes indonesia dengan hadiah-hadiah menarik, jadilah pemenangnya di indonesia blog kontes, daftarkan blog anda info di http://herbamart.blogspot.com

     
  6. mayasakinah

    14 Jun 2009 at 7:27 am

    Assalamualaikum

    Ustaz, lamanya menyepi..kongsila ilmu yang boleh menyeri hati yang rindu kata-kata hikmah.

     
  7. gentarasa

    17 Jun 2009 at 11:12 pm

    Salam mayasakinah,
    Saya safar dua minggu. Kini kembali. selamat bertamu dan bertemu di alam maya ini. Insya-Allah, kebenaran, ilmu dan peringatan kita tetap realiti. Amin.

     
  8. gentarasa

    17 Jun 2009 at 11:20 pm

    Salam hemart,
    Saya berbangga dapat kunjungan daripada saudara. Itupun sudah satu hadiah yang besar… bayangkan, kita tidak pernah bertemu tetapi sudah bersaudara walaupun hanya di alam siber. Jazakallah!

     
  9. gentarasa

    17 Jun 2009 at 11:22 pm

    Salam jay,
    Bila kita hendak membahagiakan orang lain, insya-Allah kita akan terlebih dahulu diberi bahagia. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti dahulu berbau harum.

     
  10. gentarasa

    17 Jun 2009 at 11:34 pm

    Salam sarah,
    Begitulah, cinta itu kekadang terpaksa melepaskan. Mungkin dialah “Ismail” yang terpaksa kita “sembelih” dalam jejak kita menyusur Ibrahim. Jangan rasa hina, jangan rasa sedih, Allah sentiasa akan membantu apabila kita bersama dengan-Nya. Sangka baik sahaja, keputusan itu yang terbaik. Memberi akan menyebabkan kita akan lebih banyak menerima. percayalah. tunggulah. Amin.

     
  11. gentarasa

    17 Jun 2009 at 11:37 pm

    Salam sunah,
    Blog saudara sungguh hebat. tahniah. Ya, ya, saling doa mendoakan ya. Salam jihad wahai mujahid!

     
  12. arupasirdi

    28 Jun 2009 at 7:29 pm

    salam ustaz,
    Betul kata ustaz. Hati isteri dan anak2 mana yg tak kesepian bila sering ditinggalkan setiap hujung minggu. Suami saya minatnya empat tahun kebelakangan ini, mendaki gunung. Ya, boleh dikatakan setiap gunung di Malaysia sudah ‘ditawannya’. Semasa saya menaip ni pun, dia sudah dua hari berada di Bario, Sarawak. Bagaimanakah saya hendak menyedarkannya bahawa tanggungjawabnya seharusnya lebih kepada keluarga, bukan dengan rakan2 sepergunungannya? Kekadang saya rasa fedup dgn sikapnya yang keterlaluan itu. Segala urusan anak diserahkan kepada saya untuk memikulnya…

     
  13. gentarasa

    29 Jun 2009 at 3:32 am

    Salam,
    Pegang selalu kataka-kata ini… kebaikan bermula daripada kita! Dan orang yang membuat baik dengan IKHLAS, tidak akan dikecewakan Allah. Di luar sana sentiasa ada isteri-isteri yang teruji… dengan bermacam-macam sebab tentunya. Gunakan masa bersendiri, di samping berbakti kepada ibu untuk lebih dekat dengan Allah. Berdoalah, itulah harta dan “senjata” yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa. Allah memisahkan, untuk mengajar kita agar selalu bertamu dan bertemu dengan-Nya! Itulah yang selalu saya katakan, bila terpisah.

     
  14. arupasirdi

    29 Jun 2009 at 1:23 pm

    salam ustaz,
    terima kasih atas nasihat yg diberi. InsyaAllah akan saya cuba gunakan dlm melalui liku2 hidup ini.
    Memang masa yg terluang memberi banyak ruang utk berfikir, tetapi kekadang saya tidak lari dari terfikir perkara yg bukan2. Naluri seorg isteri kekadang menyangka perkara yg tidak seharusnya disangka. Wbgmanapun, akan saya cuba perbaiki kelemahan diri demi suami dan anak2 trsayang…

     
  15. yarasu

    11 November 2009 at 5:55 pm

    Salam Ustaz

    Alhamdullilah, segala ujian yg telah saya lalui menyedarkan saya hahikat seorang Hamba. Bila direnung kembali ada hikmah disebalik yang berlaku dan menjadikan saya lebih dekat kepadaNYA. Amin.

     
  16. Drs.Fathur Rohman Ms.MH.

    23 November 2009 at 8:27 am

    Idkholussurur ‘ala qolbi kulli mu’minin khoirun min ‘ibadati sittina sanatan, kira-kira demikian dasar pikiran kita umat beriman.

     
  17. Drs.Fathur Rohman Ms.MH.

    23 November 2009 at 8:30 am

    Alhamdulillah saya bisa bertemu sama Ustadz disini, Majelis Ta’lim tidak terbatas hanya di Masjid saja atau madrasah dan lainnya. ternyata di alam maya juga banyak majelis ta’lim.

     
  18. zahas

    24 November 2009 at 1:08 am

    saya suka kata2 indah dlm blog ni. ustaz, saya masukkan sebahagian artikel ustaz ni dlm facebook saya dan saya sertakan sekali linknye..supaya dpt berkongsi ilmu yyg berharga ini dgn kawan2 yg lain.takpe ye ustaz..ramai yg tak rajin mencari sendiri..saya bantu sampai menyampaikan nasihat ustaz ini…artikel ini dpt membuka mata hati saya dan kawan2 dlm kisah cinta sebelum dan selepas kahwin terutamanya..generasi baru perlukan pedoman begini dlm melayari bahtera cinta dlm perkahwinan kerana mungkin terlalu lama bercinta sebelum diijabkabulkan, menjadikan impian dan khayalan seolah2 tidak menjadi kenyataan selepas termateri ikatan perkahwinan..teruskan ustaz, mudah2an rumahtangga masing2 semakin indah dari saat ke saat..amin

     
  19. gentarasa

    24 November 2009 at 6:47 am

    Salam zahas,
    Syukran kerana usaha itu. Saya sangat hargainya. Semoga usaha kita semua jadi amal jariah bila kita tiada nanti… ya buatlah kebaikan yang terus “hidup” selepas kita mati.

     
  20. misya

    20 Mac 2010 at 8:58 am

    salam ustaz….artikel ni buat saya tarik nafas…bersyukur apa adanya..terima kasih ustaz…mohon utk masukkan dlm facebook ya ustaz..sy sertakan link sekali….;) ingin berkongsi artikel ini dengan orang2 yg saya sayangi..;)

     
  21. gentarasa

    22 Mac 2010 at 7:17 am

    Salam misya…
    Syukran. Silakan.

     
  22. salwani

    3 April 2010 at 1:54 pm

    salam ustaz..
    saya baru jumpa artikel ustaz yang ini,teruja dengan kata-kata ustaz yang sememangnya saya minati,moga cinta kami suami isteri akan lebih utuh hingga ke syurga dan sentiasa dirahmatiNYA,saya hargai segala usaha ustaz untuk seluruh rakyat agar sentiasa menghargai apa yang ada depan mata sebelum ajal menjemput kita.amin.

     
  23. gentarasa

    5 April 2010 at 6:15 pm

    Salam salwani,
    Amin ya Rabb…

     
  24. sutera

    21 Mei 2010 at 8:00 pm

    Assalamualaikum ust
    Tersentuh hati membaca artikel ini..malah artikel lain pn begitu..hati sy d landa rawan dn gundah kala ini,bagai tersentap dan tersedar.bnyk yg perlu sy perbaiki…doakan sy

     
  25. shila

    22 Jun 2010 at 5:05 pm

    salam ustaz…sgt best artikel ni. Yg hilang mungkin berganti..Yg patah mungkin kan tumbuh kembali, tp selalu terjadi yang berganti dan tumbuh itu tak sama lagi seperti sebelumnya.

     
  26. gentarasa

    22 Jun 2010 at 8:10 pm

    Salam shila,
    Yang tumbuh kembali memang tidak sama dengan yang patah. Tetapi tidak dapat dipastikan mana yang lebih baik… Allah maha tahu!

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,104 other followers

%d bloggers like this: