RSS

KEMBARA MATA HATI (1)… (Catatan perjalanan mujahadah dalam Umrah & Ziarah)

17 Jun

84751876Alhamdulillah, syukur, saya telah selamat kembali ke tanah air semula setelah lebih kurang dua minggu di Tanah Suci melaksanakan umrah dan ziarah. Dan di kesempatan ini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sama-sama mendoakan saya.

Insya-Allah, segala catatan “Kembara Mata Hati” ini akan disiapkan sedikit demi sedikit. Mudah-mudahan dapat juga dikongsi bersama pengunjung blog ini.  Saya cuba amalkan apa yang dikatakan oleh pakar-pakar pendidikan bahawa 95% ilmu terserap ke dalam diri apabila disampaikan.

Maksudnya, belajarlah dengan niat hendak “mengajar” orang lain. Ini juga yang dimaksudkan oleh hadis, sampaikan daripada ku walaupun sepotong ayat. Buat masa ini saya masih berkongsi rasa bersama keluarga sendiri, meneliti kembali catatan-catatan yang kekadang jelas dan samar akibat dilambung oleh pelbagai rasa, suasana dan keadaan.

Saya memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskinikan blog ini. Saya cuba-cuba juga mencari waktu dan kesempatan untuk melakukannya semasa berada di Makkah, Madinah mahupun di Kaherah, namun tidak kesampaian. Akur dengan keterbatasan itu, saya mencari hikmah… ya, mungkin saya ditakdirkan untuk fokus semata-mata kepada Allah. Berperang dengan hati sendiri, berhempas pulas di jalan mujahadah. Bukan lupa tetapi belajar melupakan demi mencari satu peringatan!

Sudah menjadi kebiasaan, sebelum melaksanakan sesuatu yang dianggap “besar” saya sering meminta panduan daripada orang “tua-tua” dahulu – tidak kiralah sama ada dia itu “tua” pengalaman, ilmu, akhlak atau usia. Bagaimana seharusnya adab, sikap, rasa hati dan perlakuan saya sebagai tetamu Allah dan Rasul-Nya nanti.

Saya ingin berguru dan mendapat ilmu semaksimumnya daripada mereka. Mudah-mudahan hati dan diri saya terpimpin. Pengalaman ketika menulis beberapa buah buku dan pengalaman menguruskan kerja  dan majlis pernikahan anak sulung saya lebih kurang setahun yang lalu telah banyak mengajar saya betapa panduan daripada orang-orang tua itu sangat berguna untuk mendapat keselamatan, ketenangan dan keberkatan (insya-Allah). Oleh kerana itu saya tidak malu-malu bertanya, kerana ilmu yang ditimba daripada pengalaman tentunya lebih dapat dihayati berbanding apa yang diperolehi daripada pembacaan.

Nama-nama “guru-guru” rujukan saya dalam umrah ini terlalu personal untuk dinyatakan satu persatu. Tetapi sudi apalah kiranya mendengar kata nasihat mereka (yang kekadang pendek atau panjang). Inilah antara panduan-panduan yang saya terima daripada mereka:

• “Minta Allah pandu hati kita selalu. Serah bulat kepada-Nya. Minta sebarang rasa, keputusan dan tindakan di bawah perlindungan-Nya. Minta doa agar Allah mengemudikan hati kita, ” kata seorang sahabat yang telah saya anggap seperti ayah.

• “Jangan asyik membaca doa. Tetapi berdoa dengan membawa rasa hati. Renung Kaabah dengan rasa cinta, rindu dan merintihlah dengan Tuhan. Jangan pandang kiri kanan lagi,” ujar seorang lagi yang saya anggap sebagai abang.

• “Umrah itu muamalat – hubungan dengan manusia. Jangan asyik dengan Allah hingga lupa tanggung jawab kita dengan anggota rombongan atau dengan tetamu-tetamu Allah yang lain. Bantu orang lain setiap ada kesempatan dan peluang,” kata seorang teman yang begitu merindui Makkah dan Madinah.

• “Bila berbelanja di Madinah, niatkan hendak raikan “jiran” tetangga Rasulullah. Ni belanja beli aiskrim di sana,” kata seorang sahabat sambil menghulur wang sepuluh ringgit. Dia senyum sahaja bila saya mengambilnya dengan rela. Bukan nilai lahiriahnya, tetapi simbolik pemberiannya.

• “Berdoalah setiap kali tawaf. Jangan gopoh untuk buat umrah berkali-kali. Tetapi hayati benar-benar rukun-rukunnya. Makna tawaf, saie, tahallul. Dan yang paling penting… jaga niat!” kata seorang “guru” penulisan saya.

• “Sangka baik sahaja. Insya-Allah, Allah akan permudahkan,” kata seorang grafik dan pereka letak muslimah yang baru pulang dari sana bersama suaminya.

• “Nampaknya anta perlu belajar dari Fir’aun dulu. Ya, jumpa Fir’aun dulu sebelum jumpa Rasulullah,” gurau seorang pegawai Bank rakan baik saya setelah diberitahu saya akan singgah di Kaherah dan Iskandariah, sebelum ke Makkah dan Madinah.

Selain itu saya sungguh bertuah kerana ada seorang saudara sekaligus sahabat yang begitu bertalu-talu mengirim SMS kepada saya sejak seminggu sebelum saya berangkat ke sana. Malah kekadang mencecah 15 SMS sehari! (selama seminggu). Bayangkan, begitu terperincinya gambaran, doa, rasa dan panduan yang diberikan kepada saya. Kepadanya saya ucapkan terima kasih. Hingga kini SMS itu saya simpan.

Walaupun sejak 3 tahun lalu, saya telah bersama-sama dengan sahabat-sahabat di Fitrah Perkasa, merangka dan melaksanakan modul Umrah Kembara Mata Hati, namun saya membaca lagi buku-buku yang berkaitan dengan umrah dan haji. Beberapa ceramah dalam U Tube dan juga tulisan dan nukilan daripada kitab-kita Imam Ghazali dalam Ihya’Ulumuddin saya telusuri semula.

Banyak lagi nasihat yang dilontarkan sebagai bekalan saya ke sana. Justeru, saya bertekad untuk jadi murid yang ingin belajar sahaja ketika di sana. Ya, Allah, ajar aku… pimpin aku… terimalah aku…

Nama-nama mereka yang “berkirim” salam kepada Rasulullah saya catatkan satu persatu. Itu amanah. Saya banyak mendengar dan membaca cerita-cerita pelik dan aneh tentang “karamah” atau“karenah” serta pembalasan tragis yang dialami oleh para pengunjung Tanah Suci. Banyak buku dan majalah yang menceritakan tentang itu.

Jika tidak benar-benar difahami dan disuluh dengan ilmu yang tepat, besar kemungkinan cerita-cerita itu akan menimbulkan rasa bangga, rasa hebat dan tidak kurang juga yang mungkin menimbulkan rasa kecut, takut dan bimbang sebelum atau sesudah ke sana. Ah, ini satu lagi “bencana” yang menimpa agama yang suci – bila sesuatu amalan yang murni telah diselubungi pelbagai mistik yang tersasar daripada unsur tarbiah dan akidah.

Terus-terang saya katakan pada diri, saya tidak mengharap ada manusia berserban putih, wanita bertudung berwajah cantik atau figur-figur misteri yang bakal datang menemui dan menghulurkan pelbagai nasihat dan bantuan melalui cara-cara yang “super natural”. Memang saya berharap dapat bertemu dengan orang yang baik-baik, samada dikalangan teman sepermusafiran atau “orang lain”.

Tetapi masakan saya boleh bertemu dengan orang yang baik-baik, jika saya sendiri belum berusaha menjadi baik?  Jadi, seharusnya ada di dalam hati ialah niat “jadilah orang baik” dahulu, bukannya carilah orang yang baik. Jadi jangan mengharap ada tangan yang akan menghulurkan air zam-zam, tetapi jadilah tangan yang menghulurkannya untuk orang lain. Jangan mengharap ada lelaki misteri yang menunjukkan jalan ke masjid Nabawi, tetapi jadilah lelaki yang seadanya, yang mungkin mampu menunjukkan jalan kepada mereka yang tercari-cari jalan pergi atau pulang. Jangan mengharap ada bau wangi yang tiba-tiba semerbak bila bertawaf atau bersa’ie tetapi janganlah hendak manusia lain tercium bau busuk daripada badan kita walaupun busuk dosa kita dapat dihidu jua oleh manusia-manusia yang punya hati sesuci Uthman bin Affan (yang akan ditemui di makam Baqi’ nanti.)

Walaupun kekadang hati terusik juga mendengar perihal cerita orang yang tidak nampak Kaabah, sesat tak nampak pintu Masjid Nabawi, meracau dan pelbagai cerita “seram” namun saya teguhkan hati bahawa saya sudah dipanggil ke sana… menjadi tetamu-Nya. Tentulah “Tuan Rumah” yang Maha Pengasih dan Penyayang itu tidak akan mengecewakan saya. Saya bersangka baik – dengan imbangan khauf (takut) dan raja’ (harap). Tapi hati bergolak sungguh, penuh gemuruh dan seluruh. Namun sekali sekala harapan dapat juga mengatasi ketakutan, dan saya pasrah kepada zat yang lebih Pengasih daripada seorang ibu yang paling pengasih. Bagaimana ibu ketika kita yang diperantauan ini pulang ke kampung menziarahinya? Oh, pastinya Allah lebih mengasihi daripada seorang ibu…

Petang (28 hb. Mei 2009), sehari sebelum saya berangkat, saya beli dua buah buku catatan kecil dan dua ball pen. Saya niatkan – “nak catat yang baik-baik dalam mengerjakan umrah nanti.” Catatan pertama bermula petang itu dengan ayat berikut…
“Ya, Allah bantulah aku untuk memberi kebaikan kepada orang lain.”

Dan bersama itu juga saya mulakan dengan pertanyaan. Untuk apa aku ke sana? Kiranya saya boleh berkongsi rasa (untuk sama-sama belajar) saya catatkan di situ:
• Untuk bertaubat dari segala dosa.
• Untuk membuang mazmumah.
• Untuk membina mahmudah.
• Untuk mendapat kuat jiwa dan tabah.
• Untuk bijaksana dan hikmah.

Saya ke pejabat untuk membawa beberapa bahan bacaan. Selain daripada 3 buku khusus tentang umrah saya mencari Ihya Ulumuddin bilangan ke 12. Saya benar-benar ingin menyemak semula tulisan Imam Ghazali dalam bab ikhlas. Namun hajat saya tidak kesampaian. Buku itu teralih dari meja tulis saya. Puas saya mencarinya di mini perpustakaan di pejabat fitrah Perkasa, namun tidak kedapatan juga. Ketika saya ingin melangkah ke luar, saya terpandang kitab Minhajul Abidin – karya imam Ghazali juga, yang membicarakan 7 tanjakan dalam menjadi hamba Allah yang sejati.

Hati saya terpanggil untuk membawanya. Mungkin ada hikmahnya, lain yang dicari lain pula yang ditemui. Sebenarnya sudah lama saya menyimpan cita-cita untuk “memodulkan” 7 langkah menuju Allah yang ada dalam kitab itu . Mana tahu, saya akan mendapat dorongan dan kekuatan dalam perjalanan untuk mula merangka dan” memetakannya” nanti? Bukan untuk orang lain, tetapi pertamanya untuk diri sendiri.

Malamnya saya membuat panggilan telefon kepada kedua-ibu, kakak dan saudara-saudara terdekat. Minta ampun dan restu buat sekian kalinya. Subuh sebelum berangkat, saya menemui Imam Masjid Imam Ghazali, Bandar Menjalara, yang sama-sama berjemaah untuk mendapat nasihat. Dia begitu ceria dan untuk saya hanya dua doanya – umrah mabrur, selamat pergi dan pulang! Saya aminkan dan kami bersalaman.

Pulang ke rumah, saya “up date”kan blog dengan tulisan: Bahagia itu bila Membahagiakan. Selepas itu terus ke Telaga Biru menyemak artikel dalam Solusi keluaran akan datang. Kemudian terus ke pejabat Fitrah Perkasa untuk menjalankan usrah pelaksanakan program-program latihan oleh sahabat-sahabat yang tinggal sepanjang permusafiran saya.

Makan tengah hari bersama dua orang sahabat terapat – Tuan Haji Ahmad Salim dan Ustaz Hasyim, dan terus balik bersiap. Saya sangat menghargai semua warga kerja (ustaz-ustaz dan muslimah)  Fitrah Perkasa yang dengan kerjasama dan pengorbanan mereka saya dapat melaksanakan ibadah yang mulia ini. Saya sedar dengan pemergian saya, mereka terpaksa memikul beban tugas yang lebih daripada biasa.

Setelah mandi sunat musafir dan berjemaah dengan semua anak-anak, saya berdoa dengan di”amin”kan oleh semua anak-anak dan isteri. Entah kenapa, air mata mencurah-curah tidak dapat ditahan.  Terasa saya sebagai “wakil” keluarga untuk menemui Allah – layak bapa yang lalai ini? Layakkah suami yang hina ini? Layakkah anak yang derhaka ini?

Sementara menunggu Tuan Haji Ahmad Salim mengambil saya ke Concorde Hotel, (hotel berhampiran KLIA kursus untuk semua peserta Umrah Kembara Hati menjalani kursus setengah hari sebelum berlepas) saya sempat membuat panggilan kepada Ustaz Zakaria Sungib di Galeri Ilmu untuk mendapat panduan-panduan dan nasihat akhir. Sebagai sahabat yang telus (walaupun agak pendiam), dia salah seorang sahabat rapat yang dapat berkongsi rasa. Alhamdulillah, dia terus sudi memberi pesan-pesan akhir, kali ini sebagai seorang penulis.

Dalam kereta (pada ketika-ketika Tuan Haji Ahmad Salim berdiam diri), saya sempat mencatitkan… Atur cara dalam kapalterbang (dijangka perjalanan memakan masa 12 jam KL-Mummbai-Kaherah). Saya catatkan:
• Doa perjalanan.
• Baca 4 Qul.
• Ayat Qursy.
• Baca Manzil.
• Baca Quran.
• Baca bab taubat dari kitab minhajul Abidin.

Sejak diserang vertigo 2 tahun yang lalu, saya sedikit trauma bila menaiki pesawatn – aerophobia. Jadi, setiap kali “terbang” setiap kali itulah saya banyakkan membaca, berzikir dan menulis. Jarang dapat tidur.

Apa yang sepatutnya saya rasa? Dan bagaimna saya mampu kekalkan rasa itu sepanjang perjalanan? Ringkasnya – sangka baik dengan Allah, sangka baik sesama manusia. Banyakkan doa untuk ibu-bapa, keluarga dan sahabat-sahabat. Dapat saya rasakan daripada awal lagi, ini bukan perjalanan kaki tetapi adalah perjalanan hati. Hati yang buas, keras mungkin akan “disesah” sepanjang musafir ini.

Di Concorde Hotel, saya mula berkenalan dengan 9 keluarga yang akan bersama menjadi teman safar saya. Kuliah sedang disampaikan ketika saya sampai. Kelewatan saya memang telah dimaklumkan justeru perlu mengatur dan memimpin usrah sebelum berlepas. Pada waktu itu, sahabat saya  Ustaz Muhammad Nasib, guru dan mutawwif dalam umrah Kembara Mata Hati  sedang memberi kuliah.

Telah beberapa kali saya mendengar kuliah: Dosa dan impaknya kepada diri, oleh ustaz-ustaz di Fitrah Perkasa (itu satu segmen wajib dalam modul Kesedaran: Celik Mata Hati). Malah “point” dan klips audio visualnya disemak oleh saya berkali-kali. Namun petang itu saya menangis mendengarnya. Perasaan sungguh mudah tersentuh. Setelah reda saya menulis…

Ya Allah…
Ampunilah dosaku kerana mengutamakan yang lain selain-MU
Ya Allah… kuserahkan hati yang berdosa ini kepada-MU
KAUlah sebaik-baik Pentadbir

Ya Allah hadirkan KAU dalam hati ini
Aku tidak mampu mengawal hatiku sendiri
Engkau Maha Hebat ya Allah

Ya Allah
Ku adukan resah hatiku ini
Kumohon tenang hakiki
Untuk berehat di bawah naungan rahmat-MU

Ya Allah
Aku mohon sangat
Aku harap amat
Segala-galanya akan selamat
Dapat kiranya kutagih berkat
Untuk duniaku juga akhirat

Ya Allah,
Berilah aku ketenangan
Pulihkan hatiku
Agar berani dan tabah…
Untuk menuju-MU!

Sahabat, aku mula penat… mohon berehat sementara. Banyak lagi yang akan dikongsi bersama. Padaku dalam ibadah umrah ini, bukan siapa yang dahulu atau siapa yang kemudian, siapa yang pergi atau siapa yang tidak, tetapi… ah, biarlah ku catatkan semua itu nanti.   Jumpa lagi untuk catatan ke-2, Insya-Allah. Fi amanillah!

 
23 Komen

Posted by di 17 Jun 2009 in Iktibar Kisah

 

Label: , , , ,

23 responses to “KEMBARA MATA HATI (1)… (Catatan perjalanan mujahadah dalam Umrah & Ziarah)

  1. wardah

    18 Jun 2009 at 6:54 am

    salam ustaz. Alhamdulillah Allah telah menjadikan ustaz tetamuNYA. rindu juga rasa hati untuk melangkah ke sana. Teruskan berkongsi dengan kami. Tabarakallah

     
  2. nour

    18 Jun 2009 at 12:48 pm

    mashaAllah, a long awaited piece of writing…rindu pada tanah suci membaca artikel ini…saya dan suami pergi menunaikan haji november lepas. teringin nak pergi lagi…moga Allah menerima umrah ustaz…

     
  3. gentarasa

    19 Jun 2009 at 4:56 am

    Salam nour,

    Ya, rindu. Belum balik (masih di sana) pun rindu… apalagi bila dah balik begini. Tetapi kita ada tugas (perjuangan)… Bayangkan 3/4 para sahabat yang berjumlah 124 ribu orang itu mati di luar makkah dan madinah. Ya, kalau kita menyembah Kaabah… Kaabah telah jauh. Telah kita sembah Allah, DIA dekat! sentiasa.

     
  4. gentarasa

    19 Jun 2009 at 5:00 am

    Salam Wardah,
    Ya, banyak catatan orang lain yang saya baca, semuanya membantu saya ketika saya ke sana. Sekarang tiba giliran saya pula membantu sahabat-sahabat yang akan ke sana. Walaupun mungkin sedikit berbeza, berdasarkan ilmu dan pengalaman… tetapi hakikatnya sama. Kita membawa HATI kita ke sana. Simpanlah rindu itu, insya-Allah, dengan rindu… belum berjumpa sudah bertemu!

     
  5. muhammad fakhruddin

    19 Jun 2009 at 1:37 pm

    Assalamualaikum ustaz,
    nampaknya nasib kita sama-sama berguru dengan firaun ya(saya pun singgah di Kaherah sebelum ke Madinah & Mekah).Cuma mungkin bukan rezeki kita bersua muka di sana.Kalau ustaz sudi,jemput baca & komen coretan Kaherah saya…http://tanya-ustaz.blogspot.com/2009/06/hakikat-ayat-ayat-cinta.html

    p/s:maaflah ustaz,itu standard tulisan budak baru belajar…

     
  6. gentarasa

    19 Jun 2009 at 4:07 pm

    Salam Muhammad fakhuruddin,
    Ya, saya dah lawat blog ustaz dan baca tentang Kaherah tu… he, he. Ayat-ayat cinta, tanpa dipaksa… hadir jua. Sudah bersua, makin mesra… Walaupun sekadar cinta “orang tua!” Kita berkongsi nanti, “berguru dengan Fir’aun! Syukran, sahabatku.

     
  7. sukri

    20 Jun 2009 at 8:16 am

    salam mujahid…
    ada lama ustaz tidak menghandirkan diri dalam artikel ustaz ni. ana harap setelah kembalinya ustaz dari menunaikan umrah, ustaz lebih berketerampilan dalam meneruskan tugas seorang daie yang diamanahkan – Nya…insya Allah

     
  8. husaini a. hamid

    20 Jun 2009 at 5:10 pm

    Salam Ust Pahrol,
    Selamat pulang bersama dgn “pelajaran” yg boleh kami kongsikan.Semuga musafir itu bukan saja dapat menafaat nya pd ustaz tapi harapan nya kami juga boleh tumpang belajar.

    Kami sentiasa menunggu coretan dan pengalaman ustaz.

     
  9. Safiudin

    21 Jun 2009 at 9:27 am

    Salam Ustaz,

    Saya benar2 rindu, sejak balik dari Mekah & Madinah (Mac 2009). Tak dapat nak digambarkan kerinduan yang terpendam.

    Catatan Ustaz menambah dan menyedarkan saya, betapa lalainya, hinanya dan derhaka diri ini.

    Maafkan aku ya Allah!

     
  10. busyro

    22 Jun 2009 at 7:55 am

    salam ayah..umur pak cik mungkin sebaya dengan ayah saya,dan tulisan pakcik banyak mempengaruhi ‘rasa’ dalam tarbiah hati saya..saya lebih selesa memanggil p.cik ayah..kerana saya seolah-olah berbicara dgn seorang ayah bila menatap tulisan p.cik..cuma ayah..terkadang saya rasa lemah sejak akhir2 ini,berperang dgn perasaan..berperang dgn pembelajaran..terkadang terasa ingin mengejar seronok dunia..ntahlaa..saya perlukn semangat tika ini…ya Allah…

     
  11. aisha

    22 Jun 2009 at 2:42 pm

    saya suka tulisan ustz

     
  12. gentarasa

    24 Jun 2009 at 11:50 am

    Salam aisha,
    Komen anda walaupun pendek telah menggembirakan saya. Semoga Allah akan menggembirakan anda juga! Amin.

     
  13. gentarasa

    24 Jun 2009 at 11:51 am

    Salam busyro,

    Syukran nak. Mudah-mudahan kita saling ingat mengingatkan. Walaupun tidak bertemu muka, tetapi tetap dapat menjalinkan rasa bersaudara.

     
  14. halawatuliman

    29 Jun 2009 at 1:14 am

    salam. ustaz, sekadar teguran, rasanaya ustaz salah eja..catatan tu, ustaz eja cacatan..pada tajuk.

     
  15. gentarasa

    29 Jun 2009 at 3:21 am

    Salam,
    Ya, ya… itulah kecacatan saya. Kekadang nak cepat sampai terlepas pandang. Syukran. Saya akan tukar segera. Syukran!

     
  16. ibnu_arifin

    6 Julai 2009 at 9:23 pm

    salam ustaz..
    1st time saye masuk website ni. sebelum ni baca kat solusi je tulisan ustaz. Bila dengar nasyid yang ustaz tulis untuk the zikr terasa sayu hati ni…

     
  17. ubasape

    2 November 2009 at 10:18 pm

    1. “Ya, Allah bantulah aku untuk memberi kebaikan kepada orang lain.”
    2. Maksudnya, belajarlah dengan niat hendak “mengajar” orang lain

    Assalamu alaikum warahmatullah wabarakaatuh
    kedua point diatas sengaja sy kutip untuk menegaskan sekaligus mengingatkan kita semua bahwa sebenarnya hanya Allah saja yang memiliki kemampuan & kapasitas memberi kebaikan (ini dlm konteks hakikat), coba pahami lebih jauh dan lebih dalam lg, jd sy kira kita perlu hati2 dlm memahami. dalam memahami jgn coba-coba terburu2 atau tergesa2 utk menyatakan sesuatu, krn sesungguhnya kt tdk memiliki apapun…, sekali lg hati2 dg kata2 dan sikap krn sangat berpotensi kpd ke-akuan diri yang dpt mendatangkan murka Allahu SWT (Ihdinasshiraathalmustaqiim)

    Begitu pula dgn point yang kedua (2)…, dalam pemahaman yg hakiki, sesungguhnya Allah-lah yg mengajarkan setiap hambanya, bukan siapapun dan apapun selainNYA. apapun dan siapapun selainNYA hanyalah merupakan jembatan / alat / media /cara / gaya Allahu SWT berbicara dan berbuat kepada makhluknya agar setiap makhluknya terutama manusia yang diberi kesempurnaan kelebihan “akal / pikir / qolbu” dari makhluk2nya yg lain. akhirnya mari kita semua utk saling mendoakan semoga kita senantiasa dituntun Allah kepada “jalan lurus dan benar hanya dalam rangka menujuNYA” ….. Ihdinasshiraathalmustaqiim…

     
  18. hjh norliah

    14 Januari 2010 at 4:40 pm

    Masyallah. Ini pertama kali saya buka blog ni. Ustaz sungguh berbakat. Saya terlalu rindu pada Madinah,Makkah, Kaabah. Telah laksana kewajipan pada 2006. Teringin nak buat umrah insyallah……. Doakan. Banyak cerita yang saya alami. Termasuk lelaki misteri yang sedia membantu….
    Allah Maha Mengetahui. Syukran

     
  19. musalmah muhamad

    21 Januari 2010 at 2:54 am

    salam..Tulisan ustaz buat saya tambah rindukan kaabah walaupun baru pulang dari sana Disember 2009.Sebelum pergi saya juga selalu terfikir layakkah aku untuk mengunjungi rumah Allah.Sudah zerokah dosa2 aku kepada Nya …Apakah Allah akan membayar tunai atas setiap dosa2 yang telah ku perbuat.Ternyata Allah Maha Penyayang dan Maha Pengasih,amat terasa di alu alukan.Tiada pembalasan tunai,tiada kepayahan .Air mata sahaja yang mengalir laju setiap kali mengadap ke Kaabah,melihat masjid Nabi di Madinah sahaja buatkan saya rasa bersalah pada anak2 yg di tinggalkan.Pertama kali menatap masjid Nabawi ,hati saya sayu …..benarkah saya telah sampai ke sini.Allah ampunkan dosa dosaku kerana sering terlalai dari mengingati mu.Terima kasih ustaz untuk tulisan yang buat saya tambah merindui Allah.

     
  20. gentarasa

    21 Januari 2010 at 8:32 am

    Salam,
    Tulisan musalmah yang sedikit ini pun telah menyebabkan air mata saya mengalir. Kotornya kita, tetapi DIA masih mengizinkan kita ke tempat suci-Nya. Syukran!

     
  21. sitizaleha

    27 Mac 2010 at 12:46 am

    saya terharu dengan coretan ustaz. Saya belum ke sana. Insya-Allah saya akan kesana pada 29 March 2010. Doa agar Allah mempermudahkan perjalanan saya ini dengan tiada sebarang gangguan.

     
  22. raziah

    13 April 2010 at 9:36 pm

    Assalamualaikum Ustaz, ini kali pertama saya buka blog ustaz, ustaz telah memberi banyak panduan untuk saya , insyaAllah saya akan menziarahi Mekkah untuk menunaikan umrah bersama suami pada bulan Jun ini, tiada apa yang saya harapkan selain, hanya ingin memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan …kerana alpa mengejar keduniaan. Saya juga ingin berdoa supaya ALLAH menjadikan anak-anak saya , sebagai anak yang soleh dan menyenang hati saya..adakah ini terlalu keterlaluan dalam niat saya ingin menunaikan umrah? beri saya sedikit panduan lagi…

     
  23. Nor

    26 Julai 2010 at 4:26 pm

    Assalamualaikum ustaz,
    ini kali pertama sy melawat blog ustaz.syukur padaNYA kerana sy sdg mencari doa2 buat mengiringi teman sy yg akan berangkat ke sana utk umrah. apakah ada lagi yg patut sy lakukan utk teman yg akan berpergian jauh mengunjungi rumah Allah selain dari doa? sy mohon izin untuk berkongsi dan dijadikan sbg panduan kpd teman sy itu ya ustaz..terima kasih.

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,181 other followers

%d bloggers like this: