Looking for Something?

MAAFKAN…

Author:

88694955Malam semalam, satu email sangat “mengganggu”. Bicaranya berbau sendu. Penghantar dukanya sekian lama. Malangnya, yang ditujukan untuk mendapat rawatan adalah aku… pesakit sepertinya jua. Namun harapannya adalah terlalu tinggi untuk dikecewakan. Walau berat ku guriiskan juga rasa hati ini semuga jadi rintihan bersama. Kunamakan tulisan ini MAAFKAN… Ayuh, kita telusuri bersama:

Selagi kau tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain… itu petanda kau sendiri tidak bahagia. Kau mesti bahagia melihat “musuh-musuh”mu bahagia. Walaupun pernah disakiti sekali, kau akan disakiti berkali-kali jika terus mengenang perbuatan mereka. Dan paling derita, jika kau merasakan mereka sedang membina istana kebahagiaan di atas tapak kedukaanmu!

Wahai diri, ingatlah, segala gerak dan laku makhluk adalah dengan izin Allah jua. Jika datang orang “menghadiahkan” air mata… Allah sedang mendidikmu tentang sifat sabar. Jangan dilihat manusia yang menjadi “sebab”, lihat dengan mata hati yang Allah jua yang menjadi “musabbabil asbab”.

Jika kau di sakiti oleh dia, DIA sedang mengajarmu erti reda. Kita bukan malaikat untuk terus pasrah tanpa terusik oleh calar dan cakar insan. Namun, ada ketika-ketika yang sangat kritikal untuk kita bertahan dan katakan… tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini.

Mungkin sahaja “penjahat” yang pandai bermuka-muka akan terus dijulang sebagai wira. Dan hamba sejati yang mempunyai “hati emas”, akan terus dihenyak sebagai sandera (tawanan) di penjara hiba dan cela. Bahagialah dengan kebahagiaan orang lain. Terimalah hakikat kita bukan Tuhan yang mencatur rezeki dan nikmat untuk hamba-hamba-Nya. Jangan kau tanyakan mengapa dia yang dilebihkan, aku dikurangkan? Mengapa dia yang licik dengan gelecek segala strategik dimenangkan sedang aku yang bersenjatakan kebenaran dan kesederhanaan selalu dikalahkan?

Di sini tidak lama. Di SANA jua tempat berehat segala penat. Keyakinan terhadap hari akhirat, akan menyebabkan kita kuat menghadapi tipuan dunia. Keimanan kepada Tuhan akan menimbulkan rasa sabar menghadapi karenah insan. Belajarlah daripada Nabi Yahya AS dan Zakaria AS yang digergaji mati tanpa dapat melihat bunga-bunga kemenangan. Belajarlah dari Sumaiyah dan Yassir yang terbunuh tanpa semmpat melihat daulah Islamiah dan empayar Islam berkembang.

Mereka tidak dapat kemenangan… tetapi mereka tidak hilang ketenangan!

Wahai diriku, mereka (salafussoleh itu) menjadi “besar” kerana menghadapi ujian yang besar. Mereka “mempertaruhkan” nyawa. Pada hal aku, kamu dan kita terlalu kecil justeru yang dipertaruhkan cuma “harga diri”. Terasa diri ditipu, dipersenda dan diperkotak-katikan serta tidak dihargai. Sedarilah, yang tercabar bukan harga dirimu tetapi keegoanmu! Harga diri itu milik kita selamanya. Tidak akan luput dan dapat dicabut oleh orang lain.

Jangan bimbang jika tidak dihargai, tetapi bimbanglah jika benar-benar kita tidak berharga. Di mata siapa? Di mata diri sendiri. Namun ego itulah yang selalu menuntut pengiktirafan dan sanjungan. Hati yang ego bertuhankan “maddiah” (material dan fizikal). Bila syaitan berbicara tentang ketinggian api berbanding tanah sebagai asal usul kejadian dan ukurtara kemuliaan… dia memberontak. Merasa Adam dilebihkan.

Syaitan tidak bahagia dengan “kebahagiaan” Adam.

Akibat marah, cemburu, derita, kecewa lalu dibujuknya datuk dan nenek kita (Nabi Adam dan Siti Hawa) dengan strategi dan rencana untuk maksud yang satu: BIAR HILANG KEBAHAGIAN MANUSIA. Agar bertempat bersamanya di neraka – derita selama-lamanya. Wahai diri, beringat-ingatlah akan tipuan syaitan bila kau tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain. Itulah rasa yang sangat merbahaya. Itulah pintu rasukan syaitan bila kau sendiri mendakap kejahatan warisannya sejak lama.

Wahai diriku, Mulakanlah langkah mencari bahagia dengan merasakan bahagia melihat kebahagiaan orang lain. Langkah pertama itu ialah MEMBERI MAAF.

(*** Bila sampai di tahap ini, kusambung tulisan ini dengan satu nukilan yang pernah kucatatkan dalam majalah ANIS. Renungilah semula untuk meneruskan muhasabah ini.)

Ah, terlalu sukar memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-iang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah ‘orang-orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkilkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri.

Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk disorong-tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, bila mengenangkan ‘musuh-musuh’ itu tersenyum dengan kemenangan. Namun itu hanya bisik ‘hati besar’ku. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri… ada suara lain yang bergetar. ‘Hati kecil’ yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.

Maafkan… lupakan, cintakan, sayangkan. Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu. Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman yang bermaksud, tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan. Nesacaya engkau akan dapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara. Wahai diri, api jangan dilawan dengan api.

Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh mu terus ketawa, sedangkan kau sendiri menderita meneguk bisa. Musim-musim berlalu sewajarnya mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila ‘fatamorgana’ itu berlalu, aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya.

Apakah akan kuterjah perangkap itu berkali-kali? Oh, tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali! Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan kubawa dalam safar kehidupan yang pendek itu. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri.

Memaafkan orang lain, bererti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai – what you give, you get back – apa yang kita berikan akan kita terima kembali.” Ah, betapa leganya sekarang… Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan.

Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar dalam tazkirah – yang punya tabsyir dan inzar – bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum syurga yang baqa. Kini hatiku tertanya-tanya lagi… siapa aku, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan?

Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil dan kecil itu untuk terus berdendam? Ya, Allah, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang… aku ‘terlanjur’ menumpang hak-MU. Aku tidak sekali-kali  disakiti oleh-MU wahai Allah, begitu juga oleh hamba-hamba-MU… tetapi aku disakiti oleh ego ku sendiri!

Feedback

31
  • mymj

    Hanya manusia yang kuat saja yang boleh memaafkan kesalahan orang lain. Semoga kita diberi kekuatan ini oleh Allah.

    Baru saya tahu sebenarnya bukan harga diri kita yang tercabar tetapi sebenarnya ego kita yang tercabar.
    Syukran, Ustaz.

  • Hj Hamidon b Hj Ali

    Benarlah apa yg abg katakan tu. Satu ketika sampai keperingkat yg tidak mampu utk bertahan langsung, hati besar mengajak yg bukan2 tp hati kecil mengajak utk mencuba talian hayat….kembalikan segala2nya pd Allah. Dia yg mendatangkan, Dia juga yg merencanakan. DIA MAHA PENCATUR. ‘Sediakan diri’ utk dilapah bedah. Dia yg lebih mengetahui ttg luar dlm diri kita dari kita tau ttg diri kita sendiri. Walau baru setahun, tp ‘kemenangan’ dlm bentuk ketengangan dan mudah urusan mcm dibyr cash. Byk yg nak ditulis tp tak byk yg boleh share. Namun, yakinlah dgn sebenar2 yakin, ujian itu tanda sayangnya Dia kepada kita. Ngadulah byk2 kepada Dia ttg ‘sakitnya’ kita bermujahadah itu. Sebagai manusia, perlu jugak utk mendapatkan teman yg faham dan memahami utk berbicara. Jatuh bangun kita dlm perjalanan itu pasti dlm pengetahuan Allah yg MAHA MELIHAT dan MENGETAHUI. Allah tidak pernah ,mensia2kan sesiapa, tambah2 hamba2Nya yg beriman kepadaNYA.

  • ummimusa

    salam ustaz pahrol,

    benarkah memaafkan tidak akan merugikan pihak yg memberi maaf langsung? how do we differentiate between being pushed over and our ego?

  • nurin

    salam seindah kasihNya…
    ustaz, boleh saya copy artikel ini? untuk rujukan dan perkongsian saya bersama rakan-rakan yg lain.

    mengalah tidak bererti kalah…kadangkala sikap mengalah ini adalah kemenangan sebenar. istiqomah sentiasa…yakin dan percaya pada Dia Yang Maha Kuasa…krn tiap yg berlaku pasti ada hikmah sebaliknya…Dia Maha Mengetahui apa yg terbaik di antara yg terbaik buat kita yg lemah ini. wallahu’alam

  • gentarasa

    Salam,
    Nurin, ya… silakan. Mudah-mudahan ada kebaikannya. Amin,

  • gentarasa

    Salam ummimusa,
    Memaafkan bukan ertinya menafikan kebijaksanaan dan meminggirkan keadilan. Jika hak Allah dilanggar, kita tidak berhak memaafkan. Tetapi bila hak kita dilanggar, kita boleh memilih… menuntut keadilan atau memaafkan. Terpulang kepada kita. Memaafkan, tanpa kebijaksanaan akan menyebabkan kita “disengat” oleh orang yang sama, perkara yang sama dan keadaan yang sama berkali-kali. Itu tidak betul. Mukmin tidak akan terjerumus dalam lubang yang sama 2 X!

  • gentarasa

    Salam Haji,
    Kita akan bebas apabila memaafkan. Tetapi jika terus marah, “dia” dan apa yang menyakitkan kita itu akan tambah mencengkam. Berita baik… dalam pengalaman saya, apabila kita memaafkan, Allah akan ambil alih hak untuk membalas” dari tangan kita kembali kepada-Nya. Percayalah, doa orang yang dizalimi akan didengar. Dan doa orang yang dizalimi itu cukup dengan rintihan… Hukum “karma” akan berlaku, percayalah tidak ada KETENANGAN di atas penzaliman orang lain. Kita nampak penzalim ketawa, suka, gembira dan kaya… tetapi yakinlah di sebalik itu ada derita yang ditanggungnya. What you give, you get back. Jadi pulangkan kepada Allah… Moga gembira, adikku!

  • Iman

    salam ustaz,

    kemaafan dendam yg terindah,bgtu lirik sbuah lagu..

    mudah utk di lafazkan pd bibir tapi di hati Allah saja yg tahu pedihnya..walau sakit, hati perlu dpujuk utk memaafkan demi menampakkan pelangi di hati sendiri..

    Syukran jazilan ustaz.Ana mohon utk di copy ke blog ana ya.Teruskan perjuangan ustaz.

    Semoga segala khilafku jua bisa di maafkan..

  • shafifah

    Jadual Majlis Pengajian Kitab Bulan Julai/Ogos 2009
    Jadual Majlis Pengajian Kitab

    عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور

    الحكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر

    JADUAL MAJLIS PENGAJIAN
    1. Pengajian kitab Bahjatun Nufus (Syarah Mukhtasor Ibn Abi Jamrah) oleh al-Habib Ibrahim Bin Yahya, Pahang.

    a) Tarikh: 2 Sya’ban 1430/ 24 Julai 2009 (Jum’at)
    Masa: Bermula pada jam 9.00 malam
    Lokasi: Pusat Pengajian Ba’alawi, No.9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah. (belakang Zoo Negara)

    b) Tarikh: 3 Sya’ban 1430/25 Julai 2009 (Sabtu)
    Masa: Bermula jam 10.30 pagi
    Lokasi: Pusat Pengajian Ba’alawi, No.9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah.

    2. Majlis khataman kitab hadits al-Muwattho karangan Imam Malik bin Anas – dipimpin oleh al-Habib Sholeh bin Ahmad bin Salim al-Aidarus dari Pondok Pesantren Darul Hadits al-Faqihiyyah, Malang, Jawa Timur, Indonesia

    (a) Tarikh: 5 Sya’ban 1430/ 27 Julai 2009 (Itsnain)
    Lokasi: Lorong Kubu Gajah 10, Sg Buloh
    Jadual pembacaan: 9 pagi – 11pagi; rehat; selepas asar – 1/2 jam sebelum masuk waktu maghrib; selepas maghrib.

    (b) Tarikh: 6 Sya’ban 1430/ 28 Julai 2009 (Selasa)
    Jadual pembacaan: 9 pagi – 11 pagi.

    3. Pengajian kitab Sairus Salikin karangan Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani – Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Makili An-Nadwi

    a) Tarikh: 11 Sya’ban 1430/2 Ogos 2009 (Ahad)
    Masa: 9.30 pagi
    Lokasi: Masjid al-Falah USJ 9, Subang Jaya, Selangor

    b) Tarikh 25 Sya’ban 1430/ 16 Ogos 2009 (Ahad)
    Masa: 9.30 pagi
    Lokasi: Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor
    (dengan perbahasan khusus mengenai Rahasia Puasa dari kitab Sairus Salikin)

    4. Jadual Pengajian Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki

    (a) Tarikh: 15 Sya’ban 1430/ 6 Ogos 2009
    Masa: Selepas sholat Maghrib
    Lokasi: Masjid Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Bakar Arang, Sungai Petani
    Kitab: Hadits Qudsi

    (b) Tarikh 16 Sya’ban 1430/ 7 Ogos 2009
    Masa: 9 pagi – 11 pagi
    Lokasi: PAKSI Sungai Petani

    (c) 17 Sya’ban 1430/ 8 Ogos hingga 20 Sya’ban 1430/ 11 Ogos 2009
    Lokasi: Masjid al-Bukhary, Alor Malai, Alor Setar, Kedah
    Masa pengajian: 9 pagi – 12 tengahari dan selepas sholat Maghrib.
    Kitab: Nashoih ad-Diniyah wal Washoya al-Imaniyah dan Kumpulan Hadits Nabawi Riwayat 10 Shahabat – Jilid 2

    (d) 21 Sya’ban 1430/ 12 Ogos 2009 – 23 Sya’ban 1430/ 14 Ogos (Mini Daurah)
    Lokasi: Masjid Bakar Arang, Sungai Petani
    Jadual:
    12 Ogos 2009 : 9 pagi – 12 tengahari dan selepas ‘Asar – kitab Umdatus Salik; selepas Maghrib kitab Hadits Qudsi
    13 Ogos 2009 : 9 pagi – 12 tengahari dan selepas ‘Asar – kitab Umdatus Salik; selepas Maghrib kitab Hadits Qudsi
    14 Ogos 2009 : sebelah pagi di PAKSI dan sebelah malam Majlis Penutup Daurah di Masjid Bakar Arang.

    (e) 24 Sya’ban 1430/15 Ogos 2009
    Masa: Selepas sholat Maghrib
    Lokasi: Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur

    (f) 25 Sya’ban 1430/ 16 Ogos 2009 – Majlis di Seremban, N9 (akan dikemaskinikan)

    (g) 26 Sya’ban 1430/ 17 Ogos 2009 dan 27 Sya’ban 1430/ 18 Ogos 2009 – Majlis di Kuantan, Pahang (akan dikemaskinikan)

    http://pondokhabib.wordpress. com

  • hiddenshiroku

    Benarlah bahawa kata/tulisan itu lebih tajam dari mata pedang.

    Satu tulisan yang terbit dari dasar hati maka akan menuju ke pangkal hati pembaca jua. Menginsafkan.

    Irama tulisan yang tersusun rapi memberikan satu kekusyukan membacanya, moga tekad menulis!

  • ibnu abas

    Salam,

    “Sifat pemaaf adalah antara sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh Allah s.w.t. lalu Allah s.w.t. memerintahkan manusia mencontohi sifat pemaaf tersebut, kerana dengannya tertatalah sebuah institusi masyarakat yang terjauhkan daripada permusuhan dan kedengkian, mudah-mudahan.

    Adapun kunci untuk mendapatkan keampunan Allah s.w.t. adalah dengan sentiasa memaafkan orang-orang yang melakukan kesalahan kepada kita. Antara kuncinya juga adalah dengan memaafkan orang-orang yang menzalimi kita, menyambung silaturrahim dengan mereka yang memutuskannya dengan kita dan memberi hadiah kepada mereka yang bersikap bakhil kepadamu. Inilah antara kunci-kunci bagi seseorang untuk mendapatkan keampunan daripadaNya.

    Oleh yang demikian, hendaklah kita sentiasa memaafkan sesama muslim sebagaimana kita sentiasa mengharapkan pengampunan daripada Allah s.w.t.. Hendaklah kita sentiasa memberi peluang kepada mereka yang melakukan kesalahan kepada kita untuk mereka memperbaiki diri sebagaimana kita juga sentiasa mengharapkan peluang daripada Allah s.w.t. untuk kita memperbaiki diri kita dalam bermuamalah denganNya selaku hambaNya.”

    al-Faqir Raja Ahmad Mukhlis

    Allah al-Ghafur.

    Ya ustaz, teruslah lembutkan hati-hati ini dengan hikmah-hikmah yang menusuk kalbu.. Pertama kali di sini, terpaut untuk menyinggah lagi.

    In sya Allah.

    Allahu yubarik fik,
    Allahu ma’ak.

  • ummimusa

    terima kerana memberi pencerahan.

  • anak baik

    Buya macam mane kalo kite plak yg selalu memaafkan orang.. tp hati tak pernah bahgia sbb xdpt rasa dhargai.. kite biarkan orang len “membahagiakan” diri sendiri…?

  • gentarasa

    Salam,
    Kalau dah maaf tapi kita tak bahagia, ertinya kita belum benar-benar ikhlas memaafkan. Jadi, perlu mujahadah lagi. Kalau orang tu benar-benar nak eksploitasi keikhlasan kita memaafkan biarlah… dia tidak akan bahagia. Jah baik. Caiyok!

  • al-fasih

    terima kasih,kemaafan raga adalah kelahiran jiwa.

  • gentarasa

    Salam anak baik,
    jumpa buya nanti kita bincang. Ok. Jaga solat. Insya-Allah, nanti Allah bantu apa je masalah kita.

  • sufi

    Salam,
    Saya menangis bace artikel ni. Sgt sesuai dgn situasi sy sekarang. Amat susah utk saya menghilangkan dendam ini. Jika malu dan kepayahan menanggung segalanya itu djatuhkan ke bahu saya sendiri mungkin lebih mudah utk memaafkan, tetapi jika melibatkan keluarga ….sgt payah utk memaafkan….

    Sehingga ke hari ini, masih terasa bahangnya dimalukan sebegitu.

    Nasihatilah saya..

  • gentarasa

    Salam Sufi,
    Allah juga “disakiti” oleh hamba-Nya. Rasul-Nya juga disakiti oleh manusia. Tetapi Allah dan rasul-Nya tetap memaafkan. Terasa memang terasa, tetapi kita tetap tahu apa yang sepatutnya kita lakukan. Ada luka, yang sukar disembuhkan… tetapi hanya masa akan menyembuhkannya secara perlahan-lahan. Namun, jangan membalas. Walaupun belum boleh melupakan. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Orang yang sibuk melakukan kebaikan, tidak akan sempat mengenang kejahatan orang lain. Jadi, buatlah baik… Itu terapi hati yang paling mujarab untuk satu penghinaan.

  • sufi

    Salam…
    Syukran atas nasihat yg ringkas tapi sgt membina. Alhamdulillah, Saya tidak pernah membalas apapun padanya. Saya sentiasa berusaha agar boleh memaafkan dan redha atas sglanya. Saya sentiasa tanamkan dalam diri, pasti ada hikmahNya. Alhamdulillah, telah banyak hikmah yang Allah gantikan dengan segala keperitan yg sy tanggung. Syukurlah saya tidak menikah dgn nya. DIA bukan yg terbaik utk saya.
    Allah Maha Mengetahui apa yg terbaik utk saya. Syukran. ….

  • nur adibah

    assalamualaikum ustaz,

    saya minta izin daripada ustaz nak print artikel untuk dikongsi bersama sahabat yang lain. kadang-kadang kita akan rasa bahagia bila org lain bahagia walaupun kita tak terasa kebahagian itu. Kadang-kadang seorang ibu atau ayah akan bahagia bila anak-anak bahagia. tapi kita lupa kebahagian itu datangnya daripada doa mereka. bahagiakan mereka selagi mereka ada……. doakan mereka tidak kira mereka masih ada ataupun ‘pergi’ meninggalkan kita.

  • gentarasa

    Salam,
    Kita mungkin selamat hingga hari ini kerana doa ibu yang mengiringi kita. Ah, bagaimana kalau ibu telah tiaada? Untuk anak-anak doakan kita, jangan lupa doakan ibu-bapa kita selalu. Ya, Allah, kesihanilah kedua ibu-bapa kami, sepertimana mereka mengasihi kami semasa kami kecil. Amin.

  • Anis

    Salam..
    emm, terkadang kita memaafkan..
    mengikhlaskan hati untuk memaafkan..
    ternyata bayangan masih cukup jelas bagai tidak mahu pudar..
    disulami dengan dosa2 masa lalu..
    rasa seperti tidak ingin lagi menatap wajah seseorang yang pernah menjadi teman..
    agar hati ini tidak sakit lagi..
    mamaafkan..
    dalam masa yang sama tidak boleh berhadapan..
    boleh kah begitu, ustaz?

  • khairul aznan

    Bila ibu bapa telah pergi,baru saya sedar bahawa kejayaan dan kebahagian selama ini diantaranya atas doa mereka yg tak putus-putus utk anak-anaknya. Sekarang amat terasa … tiada lagi doa mereka utk anak-anaknya…..kena banyak berdoa sendiri ….dan mendoakan mereka bahagia di sana…….

  • Nathifah Syamimi

    Assalamualaikum….
    Terima kasih Ustaz, saya suka membacanya.
    Terasa hati ini dibelai-belai…(‘,’)
    InsyaAllah…lepas ni boleh la saya berkongsi dengan sahabat yang lain.
    Terima kasih Ustaz.

  • nur sarah

    salam ustaz,
    artikel ustaz menyedarkan saya, terima kasih ustaz,
    cuma kadang2 menjadi manusia saya selalu lupa, hari ini memaafkan, esok bila kesilapan yang sama berulang, rasa sakit hati dan rasa tak dihargai dtg lagi…

  • Najwa

    Salam ustaz…

    sy suka mmbcany..sy mohon utk copy ke blog sy utk dkongsi bsma shabat lain..

    Trima ksih ustaz.

  • oden

    alhamdulillah…byk yg dpt sya blajar dr blog uz ni…selama ni sya sukar nk maafkn ksalahan 1org hamba allah ni yg memfitnah sya…tp tiba2 bila baca blog niu, ati sya trus lembut utk maafkn dia…tq uz

  • ira

    Ass wr wb,

    Salam ustad, sy dari indonesia. Senang sekali bisa membaca tausyiah dari ustad. Tepat benar apa yang ustad sampaikan dalam rubrik ini. Namun demikian terkadang sulit dalam implementasi. Hanya dengan riyadoh terus menerus kita bertahan dalam badai ujian dan cobaan ini. Tetap istiqomah dan jaga shalat dari waktu ke waktu..

    Salam,
    Ira Ariati

  • nurjiwa

    salam ustaz..

    saya nak share artikel ini boleh..untuk rujukan saya dan pengkongsian untuk rakan2 juga..time kasih..

  • AngahNormaHajar

    Salam ustaz,

    Terima kasih ats artikel yg cukup menginsafkan diri.
    Apa pulak ceritanya bila kita dipihak yg meminta maaf.Sbg manusia kita tidak pernak tidak akan membuat kesilapan.Silap manusia dgn manusia..silap dgn Allah x terhitung bnyknya.Semoga diampunkan dosa oleh Allah.Allah maha pengamoun.Maha Tinggi.Maha pemaaf.Pengasih.
    Tetapi yg sepatutnya memaafkan enggan utk memberi maaf walau bertahun si pesalah insaf dan bertahun meminta maaf.
    Apakah itu tandanya si pesalah ini tidak diampunkan Allah..wahai ustaz?
    Subhanallah,Maha Suci Allah ..
    Si pesalah amat2 menyesali perbuatan nya.Didoakan si dia yg sepatutnya memberi maaf hampir di setiap doa.Diutuskan email,berSMS memohon maaf,merendah diri dan berdoa serta berharap utk dimaafkan.tp enngan dimaafkan..Membalas SMS pun enggan apatah lg utk mengajak bertentang mata..
    Harap ustaz boleh jelaskan.Apa yg sepatutnya harus dilakukan lg oleh si pesalah ini.
    Allah sentiasa membuka pintu taubat kpd hambanya.
    Pohon penjelasan dr ustaz.
    Wassalam

  • hkhatimah

    assalamualaikum,

    Terima kasih ustaz. arktikel ustaz benar-benar menyentuh hati insan yang kerdil seperti saya ini.

Leave a Reply

%d bloggers like this: