Looking for Something?

KENANGAN DI UM (Universiti Mujahadah)

Author:

88496203Selepas Subuh tadi, saya membelek-belek kembali buku catatan saya semasa ditahan di Kamunting. Terjumpa banyak lembaran-lembaran tulisan yang tidak pernah saya ketengahkan. Hanya untuk tatapan peribadi. Antaranya, saya bertemu dengan tulisan yang akan saya ketengahkan ini.

Saya akui diantara buku yang banyak saya uliti sewaktu di sana ialah Tafsir Al Azhar oleh Hamka, Pengajaran Hikmah Al Hikam dan huraian oleh Prof. Muhibbudin Al Wali, Hentikan risau dan Mulakan kehidupan oleh Dale Carnargie, dan banyak lagi.

Mari kita kongsikan satu catatan yang saya buat sebaik sahaja habis membaca “Hanya untuk hari ini oleh Dale carnargie”. Catatan yang saya buat sebaik menyapu sampah dan membersihkan longkang di sekeliling kem tahanan (hari itu saya bertugas). Ah, sekadar catatan ringkas. Semuga ada manfaatnya – bukan sekadar mengimbau nostalgia tetapi untuk mendapat “:rasa-rasa” yang melatari peristiwa yang sangat mendidik saya itu.

Saya akui, rasa takut, resah dan “lemah jiwa” yang sering menghantui hidup saya sebelumnya dapat sedikit sebanyak dikikis melalui pengalaman pahit itu. Ya, pahit… tapi ubat. Syukur ya Allah, dalam derita itu saya banyak belajar… ISA adalah UM (Universiti Mujahadah) saya. Inilah catatan itu: HANYA UNTUK HARI INI.

Maha suci Allah, yang misteri ketentuan dan ketetapan-Nya tidak dapat di duga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, “God always move in a mysterious way…”
Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita.Cuba kita lihat contoh popular di kalangan figure ternama dan popular. Dapatkah Anwar Ibrahim misalnya, menjangka beliau akan digelar OT (orang tahanan) di kem tahanan kemunting padahal dia seorang pemimpin pelajar? Kemudian dia menjadi TPM, kemudian ditahan lagi sebagai OB (orang banduan) di penjara Sungai Buluh. Setelah itubebas, menjadi MP dan kini dia ada kemungkinan akan ditahan semula?

Sudah tentu juga mendiang Boon Siew tidak dapat menjangka akan menjadi seorang “bilionare” semasa masih menjual belon angin di awal karier perniagaannya. Dan paling agung, Nabi Musa AS –  dibesarkan dalam istana Firaun, berkelana di padang pasir, menjadi gembala kambing dan dilantik menjadi rasul…  Hidup yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan. Diri yang disanjung dan dipuja, dicaci nesta secara tiba-tiba!

Begitulah, hitam-putih nasib manusia, tidak dapat dijangkau dengan mata, fikiran dan rasa.Sebab itu orang tua-tua berpesan, jangan sekali-kali mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Hati-hati, semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin yang menggoyang. Pada hari esok mungkin tangan yang menjulang kita hari ini akan menghenyak kita. Kawan boleh lawan, dan begitulah sebaliknya. Benar firman Allah, setiap kesusahan akan diiringi kesenangan, setiap kesenangan akan diiringi kesusahan.

Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang?  Salah satunya: Jangan panjang angan-angan… Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.

Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang-bayang dalam angan-angan. Yang di tangan itulah realiti, yang ada dalam angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar – masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup sebenar ialah hari ini, inilah yang realiti.

Saya ingin menceritakan pengalaman hidup sendiri untuk menjelaskan bahawa adalah tidak wajar buat kita meneka-neka atau menjangka sesuatu yang tidak pasti pada masa depan. Samada yang kita jangkakan itu baik atau buruk. Jika kita mengangan-angankan yang baik, kita akan jadi ‘over confident’. Jika kita hanya mengangan-angankan yang buruk, kita akan jadi pesimis. Kedua-duanya memusnahkan.

Saya pasti saudara/i pembaca juga mempunyai kisah tersendiri yang relevan dengan perbincangan kita ini. Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah seumpama itu? Ya, untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah: Pendekkan angan-angan. Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semalam…. Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.

Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat.

Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.

Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok. Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba samar. Para sahabat nabi bukanlah pakar psikologi tetapi sikap mereka tepat seperti mana yang dikatakan oleh para psilogist moden:

“Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi melakukan apa yang jelas di tangan.”Sikap mereka dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah insan produktif yang bekerja hasil dorongan hati, fikiran dan fizikalnya oleh sabda Rasulullah S.A.W:“Jika kamu berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang….”

Matlamat dan pendekatan hidup mereka ‘simple’ dan jelas. Mereka adalah insan praktikal dan realistik. Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan ketika itu juga. Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu. Justeru itu tempoh hidup mereka tidak pernah diganggu oleh istilah terlambat atau tercepat… semunya TEPAT pada masanya.

Pernah satu malam Rasulullah S.A.W “rimas” ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya kenapa? Baginda bersabda:
“Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan.”

Itulah peribadi Rasulullah S.A.W, yang tidak berangan-angan panjang. Baginda pernah bersabda yang maksudnya, bahawa bila matanya terbuka, baginda tidak yakin apakah sempat baginda menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah baginda akan dapat melepaskannya semula.

Panjang angan-angan akan menyebabkan sikap bertangguh-tangguh untuk melakukan suatu kebaikan atau meninggalkan suatu kejahatan. Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir, tentang masa depannya. Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan. Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku. Dan jangan cuba hidup dalam “masa lalu”. Sebaik sahaja mengambil pengajaran daripadanya, terus lupakan! Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai sentiasa mengalir.  Dan begitu jugalah dengan masa lalu, ia telah berlalu… lalu biarkanlah ia terus berlalu!

Sekali lagi saya tegaskan bahawa hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya bahawa anaknya bakal menderhakainya? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, “masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir… tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup.”

Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma “take it easy….”

Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

Tidak ada gunanya berangan-angan. Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu kecewa. Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan baik. Sebaliknya, hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan. Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.

Lihatlah mentaliti orang tua-tua Melayu zaman dahulu. Pada mereka sudah ada pemikiran bertaraf wawasan (visi). Mereka sering memikirkan nasib anak cucu di kemudiaan hari. Mereka menanan pokok durian yang dijangka berbuah bertahun-tahun kemudian yang mungkin mereka pun tidak sempat merasanya. Mereka telah memafaatkan benih pokok durian lalu ditanam pada ‘hari esok’ mereka. Mereka berfikir, bukan khuatir.

Kita tidak akan dapat menikmati buah durian datuk dan nenek kita jika mereka hanya berangan-angan bahawa pada masa hadapan generasi Melayu akan terus makan durian. Atau khuatir kemungkinan tanah kebun akan tergadai menjadi kilang perindustrian.

Anda mungkin marahkan saya kerana asyik berfalsafah. Tetapi bukanlah niat saya begitu. Saya hanya ingin meyakinkan diri saya dan juga pembaca bahawa untuk selamat melalui ketika paling mencabar dalam kehidupan ialah dangan memendekkan angan-angan. Ini bukanlah falsafah yang hendak dibincangkan semata-mata. Tetapi ilmu mesti dan boleh mengamalkannya. Mungkin ada orang yang perlukan ilmu untuk mula mengamalkannya. Mungkin juga telah dapat mengamalkannya secara semulajadi (nature) tanpa belajar akan falsafahnya. Hidup ini bukan untuk ahli falsafah sahaja. Sinisnya, ada juga ahli falsafah yang hidupnya lebih celaru berbanding juga insan yang tidak punya apa-apa ijazah….

Mari saya kenalkan dengan seorang teman berbangsa Cina sewaktu sama-sama ditahan di Kamunting dahulu. Dia seorang positif dan cergas sewaktu melalui hari-hari yang sukar bagi di ken tahanan. Setiap hari, pagi-pagi lagi dia telah bangun dan mula bersenam dengan disiplin Taicinya. Setelah mandi dan bersarapan pagi, dia mula belajar bahasa Inggeris dan kemudian mengajar bahasa Mandarin. Jadual waktu belajar, bermain, pakaian dan aktiviti hariannya terdisiplin dengan begitu rapi.

Jarang saya melihat dia susah hati. Kalau adapun cuma sekali-sekala terutama pada hari Sabtu. Kalau saya tidak mengenalinya dari dekat, saya tentu tidak menyangka bahawa dia sebenarnya mempunyai banyak masalah yang tidak kurang beratnya berbanding orang tahanan yang lain. Pada suatu hari, dia telah dibenarkan pulang untuk satu masalah keluarga yang sangat urgent…. Daripada situ barulah rahsia dirinya tersingkap oleh saya (yang kebetulan rapat dengannya).

Sebenarnya, dia mempunyai seorang ayah yang sedang nazak kerana penyakit barah. Perniagaan yang dikendalikan oleh isterinya pula sedang merosot akibat penahanannya. Anak lelakinya masih tertanya-tanya akan ‘kehilangan’nya. Dan macam-macam lagi masalahnya yang berbelit-belit. Dia mengaku pada hari Sabtu dia sedikit gelisah, kerana hari itulah hari paling sibuk buat isteri dan anaknya dengan pelbagai urusan hidup.

Tetapi kenapa kawan saya itu tetap senang dan mampu gembira? Malah lebih gembira dari sesetengah kawan yang lain, yang kadang kala masalah-masalah mereka jauh lebih ringan daripadanya? Jawabnya… kerana kawan saya itu mengamalkan falsafah: Hidup dalam lingkungan hari ini.

Dia selalu berkata, “apa guna risau-risau. Nanti sakit. Bila sakit, apa guna harta dan wang. Hari ini gua mahu senaman. Nanti gua mahu jumpa gua punya bini dan anak dengan badan kuat dan sihat. Kalau lu susah hati…. Talak makan, talak tidur, lu akan sakit. Kalau sakit nanti satu sen pun tak ada guna.”

Itu orang bukan Islam… Kita seorang Islam sepatutnya lebih ke hadapan kerana kita bukan sahaja milik hati yang fitrahnya murni tetapi juga wahyu yang memandu fitrah hati itu agar sentiasa gagah dan tenang.

Ramai kawan-kawan berbangsa Cina di kem tahanan yang mengamalkan falsafah mudah untuk mententeramkan hati mereka. Mereka selalu berkata, “jangan kita rugi dua tahun. Kita mesti untung dua tahun.” Pada mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh mereka tetapi kemudian saya faham maksud ‘ahli-ahli falsafah’ Kamunting itu.

Penjelasannya begini…. Di luar mereka tidak punya masa unutk bersenam, menjaga kesihatan dan mneguruskan badan. Bahkan ada yang setiap malam minum arak dan berpeleseran hingga pulang jauh-jauh malam. Akibatnya, ramai yang kena penyakit darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan lain-lain lagi. Tetapi bila ditahan, badan yang sakit mula sihat kembali hasil senaman, makan, tidur, baring dan lain-lain yang terkawal. Lebih-lebih lagi sentiasa mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan daripada pegawai perubatan (H.A) yang dikhaskan.

Bagi mereka, pencapaian ini menguntungkan. Dengan badan yang sihat dan kuat terhasil semasa dua tahun ditahan, mereka lebih beruntung berbanding berada di luar dengan badan yang sakit-sakit dan lemah. Boleh jadi jika kesihatan terus diabaikan kematian pun boleh berlaku lebih cepat. Kalau begitu bukankah elok ditahan 2 tahun oleh ISA? Begitulah isi falsafah para “cendikiawan” Kamunting itu adanya…. Mereka amalkan “reframing” insiden yang negative kepada yang positif. Dalam Islam, prose situ ialah “mencari hikmah”!

Mereka hanya bercakap secara spontan tanpa istilah bombastik kerana mereka bukanlah ahli falsafah atau psikologist. Tetapi sebenarnya apa yang mereka katakan adalah sama dengan kata seorang pakar psikologi – Robert Louis Steven son:
“Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh. Dan inilah sebenarnya makna kehidupan.

Ingatlah, jangan sampai menunggu untuk menjadi ahli falsafah bagi mengamalkan prinsip: Hidup dalam lingkungan hari ini. Kita lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan! Justeru, di sisi orang beriman, Allah sentiasa berada disisi. When God is your friend, who is your enemy?

Feedback

14
  • pakcikli00

    Jika terasa mseh lemah jiwanya silal ayari halaman blog saya.
    terima kaseh, selamat maju jaya.

  • yusufjaafar

    Subhanallah…

    Saya benar-benar tertarik dengan quote yang terakhir itu, ‘When God is your friend, who is your enemy?

    Apabila kita menjadikan Allah sebagai teman rapat, tempat kita mengadu, tempat kita berkasih-sayang, tempat kita memohon sesuatu, dan tempat kita mencari perlindungan, maka tiada suatu musuh pun yang boleh mengancam kita.

    Hasilnya kehidupan pasti tenang dan bahagia walaupun kesusahan yang dialami seberat gunung yang menghempap tetapi yang dirasakan cuma seperti air yang dicurahkan ke atas kepala walaupun basah tetapi sejuk.

  • kasturi

    slm ustaz,

    Banyak manfaatnya membaca blog ustaz ni, saya baru pertama kali membacanya, selama ni memang tercari-cari blog yang sehebat ni, akhirnya saya temui. Benarlah apa yang ustaz katakan, tidak ada orang yang dapat menanggung derita masa lalu, kemudian bercampur dengan kebimbangan masa hadapan.

  • gentarasa

    Salam kasturi,
    Syukran atas ziarahmu. Fikir tapi jangan khuatir. Untuk itu kita sama-sama perlu BERZIKIR selalu.

  • gentarasa

    Salam yusufjaafar,
    Syukran kerana sudi menziarahi dan meninggalkan tapak. Saya sangat hargai. Ya, manusia yang paling gagah ialah dia yang mengaku lemah di hadapan ALLAH!

  • gentarasa

    Salam pakcik,
    Syukran atas ziarah. Saya dah ziarah pakcik. Tq, sangat unik!

  • naofal

    Assalamualaikum…

    Harap sihat dan dilindungi oleh Allah…banyak perkara saya pelajari dari coretan ustaz…
    harap ustaz dapat terus membuat coretan untuk dapat di kongsi sbg panduan, nasihat dan pengajaran untuk semua…

  • along

    terima ksih tak terhingga dia atas semua sumbangan dan dorongan yg banyak membantu dlm kehidupan …teruskan , InsyaAllah diberkati Yang Maha Esa

  • tun fatimah

    Assalammuaalaikum ustaz. Ya memang benar tulisan ustaz ni. Saya baru saja mengalaminya. Selama hampir dua minggu saya jatuh sakit yang saya sendiri tak tahu puncanya. Ia datang secara tiba-tiba.Lama saya berfikir sendiri dan berbincang dengan suami apa puncanya supaya boleh mencari ubat yang tepat. Akhirnya, saya teringat malam terakhir sebelum saya jatuh sakit saya terlalu banyak berfikir…tentang kesilapan masa lalu,saya banyak risaukan masa depan. Takut tak cukup berusaha untuk mendapatkan hasil yang terbaik dan saya terlalu letih dengan rutin harian saya. Tiga beban dalam satu masa.Saya rasa dah buat yang termampu saya lakukan, dah meminta padaNya, tapi saya risau dan cemas dengan hasilnya. Rupanya saya lupa satu perkara… tawakal, berlapang dada dengan qada’ dan qadarNya.Alhamdulillah saya dah dapat ubat yang tepat dengan punca penyakit saya…
    Terima kasih kerana berkongsi tulisan ini. Hidup untuk hari ini… saya akan ingat tu!

  • mawar

    salam..

    seronok baca coretan ustaz..
    penuh pengertian sarat dgn pengajaran..
    teruskan menulis kerana tulisan mu mungkin mnjadi asbab utk insan lain berubah..
    subhanallah..

  • Nur Aqilah Hanis Mohd Yusoff

    salam ustaz, benarlah ujian adalah guru yang terbaik dalam mengajar erti kehidupan, terpulang kepada setiap individu untuk dilihat dari sudut yang membawa manfaat, jika tidak masakan ISA menjadi UM. semoga terus sukses.

  • gentarasa

    Salam Tun fatimah,
    semoga cepat sihat, luar dan dalam. Amin. bagaimana hari ini mu? Semoga lebih baik dari semalam yang berlalu!

  • dr_taqwa

    salam us, saya cuba nak dapatkan point us..

    1) HIDUPLAH DALAM LINGKUNGAN HARI INI seoptimum mungkin.
    2) Rancanglah untuk hari esok, tapi jangan KHUATIR dan OPTIMIS.
    3) Ambillah pengajaran daripada hari semalam, sebagai bekal untuk hari ini.

    betul tak?
    kalau betul, ini memang prinsip hidup yang mesti semua kita pegang!

Leave a Reply

%d bloggers like this: