RSS

“BANGSAWAN AGAMA” YANG CARI MAKAN?

29 Jul

83749393Saya sangat terkesan dengan tulisan yang dikirimkan oleh seorang pengunjung blog (rujuk tulisan itu di : http://www.malaysia-instinct.com/english/index.php

option=com_content&view=article&id=9027:ulama-pendakwah-dan-budaya-cari-makan&catid=51:berita-tempatan&Itemid=15).

Tulisan itu  tentang teguran seseorang kepada golongan “bangsawan agama” (ahli agama) yang cari makan atas nama dan populariti.

Golongan “super elit” agama ini, menurut artikel tersebut, telah menuntut bayaran tinggi (mencecahkan 5 hingga 6 ribu untuk satu sesi ceramah atau program), penginapan bertaraf hotel (malah meletakkan syarat mesti hotel bertaraf 5 bintang) dan segala “claims” yang melibat perbelanjaan minyak, tol, makan-minum dan lain-lain bayaran yang terlibat.

Saya diminta memberi respons yang segera oleh pengunjung. Namun begitu, bukan mudah menunaikannya dengan segala keterbatasan yang ada. Acap kali bila keadaan seperti ini terjadi saya mengaku secara terus-terang sahaja, “saya tidak tahu. Walllahu a’lam.”

Apa yang termampu, buat masa kini saya sedang meneliti pelbagai rujukan termasuk kuliah daripada yang berbahagia Dato Hj. Samsuri dan sumber-sumber lain  berkaitan subjek yang berkenaan. Sekarang biarlah saya lontarkan pandangan sepintas dan sekilas pada subjek yang dikemukakan. Anggapkan ini sekadar perkongsian rasa atau pengalaman sahaja. Kita tunggu nanti, hujah yang lebih autentik daripada mereka yang pakar.

Pada dasarnya, saya bersetuju dengan teguran yang disampaikan penulis (walaupun tegurannya saya kira sangat pedas). Pasti ada yang sangat “mengganggunya” sehingga dia tergamak berbuat demikian. Dia yang merasai, tentulah terasa beratnya.

Namun, perlu disedari bahawa “pengalaman peribadinya” tidak boleh digunakan untuk menilai kesemua ahli agama atau penceramah. Sementelahan pula yang bertaraf “bangsawan agama” (sekadar meminjam istilahnya) tidaklah ramai. Mungkin bilangan jari sahaja. Sikap berhati-hati amat diperlukan. Kita tidak boleh “generalize” begitu sahaja.Ini pendapat saya.

Terus-terang saya katakan, terasa begitu sukar untuk mengulas apalagi hendak menetapkan “hukuman” berdasarkan ilmu yang begitu cetek . Semua ini memerlukan dalil “naqal” dan “aqal” yang luas dan dalam. Apatah lagi kebanyakan mereka yang dikritik sebagai “bangsawan agama” ini adalah ahli agama yang pakar. Tentunya mereka juga mempunyai hujah yang lebih kukuh untuk bertindak demikian.

Justeru, di sini (buat masa ini) saya tidak akan mengemukakan fakta dan hujah autentik dalam soal ini. Bukan tidak perlu, tetapi saya tidak mampu. Sebenarnya, bukan sahaja subjek ini, malah banyak lagi subjek lain yang pernah diajukan kepada saya… saya jawab wallahua’lam. Bukan tidak bertanggungjawab, tetapi memang tidak tahu.

Antaranya soalan yang pernah ditanyakan kepada saya ialah tentang hukum pelakon bukan muhrim dalam drama Islam yang bersentuhan dan berpelukan (bagai anak dan ibu, suami dan isteri)… apakah itu ok atau tidak? Apakah ESQ selaras atau tidak dengan prinsip Tauhid uluhiyah dan rububiyah atau itu menjurus kepada Islam Liberal?

Begitu juga apakah pendekatan Islam Hadhari menepati akidah dan maqasid syar’iyah? Juga ISA apakah Islamik atau Barbarik? Hinggalah kepada soal foto muka wanita bertudung dengan solekan “mengancam” menjadi penghias kulit muka majalah Islam… itu tabarruj atau tidak?

Terus-terang, saya jawab, saya tidak arif. Saya juga sedang menekuni apa yang diutarakan oleh Dr. Yusuf Qardhawi, Wahbah Zuhaily juga figur-figur agama tempatan seperti Ustaz Zaharudin, Ustaz Ahmad Husni, Ustaz Junaid (sekadar menyebut beberapa nama) dan beberapa sahabat untuk mendapat pencerahan. Jika masih samar, saya diamkan. Jika bermuzakarah pun hanya dikalangan teman-teman rapat secara tertutup.

Atas perkara-perkara yang saya tidak arif, saya diam, bukan tidak ada pendirian, tetapi tidak cukup ilmu… Mungkin untuk rasa hati dan pegangan peribadi sendiri, sudah ada. Tetapi soal rasa hati dan pengalaman peribadi mana mungkin boleh dijadikan hujah untuk menghukum secara umum? Biar tersalah kerana tidak menghukum daripada tersalah hukum. Lagipun saya selalu berdiri atas kapasiti pendakwah… tahu satu, sampai satu. Yang tak tahu, belajar lagi.

Begitu juga tentang subjek ini. Mari kita berkongsi pengalaman. Itu sahaja. Pengalaman adalah “guru” yang lebih baik. Sebagai seorang pendakwah, saya sendiri mengalami banyak pengalaman sekitar dan seputar persoalan ini. Hingga hati saya turut terdetik, bolehkah seorang ahli agama menetapkan bayaran atas tugasnya menyebarkan dan menyampaikan ajaran Islam? Jika ya, kenapa? Jika tidak, bagaimana? Jika ya, berapa? Dan berapa pula hadnya?

Saya kira kita perlu melihat perkara ini secara holistik, maksudnya daripada kaca mata masyarakat dan juga ahli agama yang terlibat itu sendiri. Kebetulan saya mempunyai pengalaman di kedua-dua belah pihak – sebagai anggota masyarakat dan pendakwah sendiri. Saya biasa ditugaskan “mencari” penceramah dan “dicari” untuk memberikan ceramah.

Mari kita susuri pengalaman pendakwah kecil seperti saya – sekadar mendapat sedikit input dan meluaskan sudut pandang.

Saya pernah dijemput berceramah di sebuah universiti di Pantai Timur Tanah Air. Saya jelaskan kepada pihak penganjur bahawa saya tidak mampu memandu sendiri, jadi saya ingin menaiki bas sahaja. Akan bertolak tengah malam dan sampai pada keesokan pagi dan terusnya berceramah pada malamnya. Pulang semula pada sebelah pagi esok dan sampai semula di KL petang keesokan harinya. Cukup, 2 malam 2 hari (termasuk perjalanan pergi dan balik).

Kebetulan masa itu hujung tahun… saya ingin sendirian untuk melakukan muhasabah tahunan seperti kebiasaannya. Perjalanan panjang waktu malam ke Pantai Timur menghadiahkan detik sepi dan sunyi yang sangat penting untuk melihat diri sendiri.

Apabila mula dijemput (tidak kira sesiapapun) , saya tidak pernah bertanya berapa “harga” yang akan dibayar? Apakah ia berbaloi dengan belanja tambang perjalanan, “slide” dalam bentuk “power point” yang disediakan (bagi subjek yang berkenaan), atau belanja makan-minum sepanjang perjalanan (jika lokasinya di luar kawasan).

Bila saya terima, saya terima tanpa syarat. (Melainkan kalau saya ditanya, saya akan menjawab, “berapa yang selalu diperuntukan?” Selalunya saya terima sahaja bila disebut suatu jumlah.) Bila tidak ditanya begitu, saya telah bersedia untuk apa jua keadaan.

Pada mulanya, saya hairan, mengapa jemputan itu dibuat secara tergesa-gesa. Mujur sempat saya membuat rujukan dan menyediakan “slide power point” seperti kebiasaannya. Tanda tanya saya terjawab akhirnya apabila sampai di sana dan mula berbual dengan pihak penganjur… Rupa-rupanya saya hanya pengganti pada saat akhir.

“Kami jemput seorang penceramah popular. Harganya terlalu tinggi mencecah ribuan RM tidak termasuk tambang kapal terbang dan penginapan bertaraf hotel…” kata seorang pelajar.
“Jadi akhirnya kami bermesyuarat semula, dan keputusannya mencari penceramah yang tidak popular tetapi boleh menghuraikan subjek yang sama,” ujar seorang lagi berterus-terang.

Saya diam. Faham. Sayalah “penceramah yang tidak popular” itu. Namun, dalam hati saya bertambah kuat tekad untuk menyempurnakan tugas ini dengan tepat dan betul. Saya tidak kecil hati, kerana saya faham betapa besarnya harapan “anak-anak” itu.

Saya bukan sahaja memahami malah merasai kesusahan mereka. Kebetulan anak saya (yang menuntut di sebuah universiti pun pernah menjadi pihak yang dipertanggungjawabkan mencari penceramah untuk program anjuran persatuan yang dianggotainya). Kasihan, dia pun selalu mengadu hal dan selalu terkial-kial mencari penceramah, menyesuaikan masa dan tidak kurang… memadankan dengan “budget” yang begitu terhad.

Alhamdulillah saya diberikan bilik penginapan yang baik (walaupun saya tidak arif berapa “bintangnya”). Bila hendak makan, saya sendiri berjalan-jalan merayau ke luar kawasan kampus dan mencari warung-warung yang berdekatan. Seronok melihat masyarakat dari dekat. Sudah terbiasa begitu sejak muda-muda dulu.

Pulang ke bilik menulis azam tahun baru atas muhasabah “kemenangan” dan “kekalahan” diri” pada tahun sebelumnya. Di atas itulah dibina perancangan tahun baru. Jauh-jauh dari anak dan isteri begitu memberi ruang terbaik untuk melihat semula perjalanan diri, keluarga dan organisasi menuju visi dan misi yang telah ditetapkan.

Bertemu dengan siswa-siswi malam itu sangat “mengujakan”. Selalunya saya berdepan dengan warga organisasi korporat atau pegawai-pegawai kerajaan tetapi malam itu saya bertemu siswa-siswi – sasaran yang unik. Terimbau kembali sewaktu saya sendiri di tempat mereka (sebagai mahasiswa) – bagaimana dinamik, agresif dan “gopohnya” (kadangkala) suatu idealisme untuk diketengahkan. Soalan bertubi-tubi datang.

Pagi esoknya, saya bertuah kerana pelajar yang menghantar ke stesen bas sudi membawa saya “berlegar-legar” di bandar tersebut, mendengar ulasannya tentang Islam dan masyarakat setempat. Walaupun pada asasnya saya agak “introvet” tetapi saat-saat begitu memang manis. Singgah di tepi jalan, makan pagi dan berbual-bual sambil mencari (atau didatangi) oleh idea-idea dan rasa untuk artikel, sajak atau buku baru.

Sebelum saya menaiki bas, sekeping sampul surat diberikan kepada saya. Setelah tiba di rumah esoknya baru saya buka… Jumlahnya?

Tidak “pulang modal” jika dibandingkan dengan kos perbelanjaan tambang dan makan-minum saya di sana. Apatah lagi kalau diukur dari segi tempoh masa yang diberikan. Dan jumlah itu sangat-sangat kecil jika dibandingkan bayaran yang dituntut oleh “figur popular” yang menolak jemputan sebelumnya.

Saya rugi? Saya marah? TIDAK. Sebab saya mendapat banyak “keuntungan” yang menjadi tujuan saya ketika membuat keputusan untuk ke sana. Pengalaman, idea baru, muhasabah dan insya-Allah kalau saya ikhlas (untuk mendapat pahala dan keredaan Allah) saya akan dapat “lebih” sebagai gantinya.

Tetapi bukan itu yang hendak saya kemukakan di sini… Apa yang lebih penting ialah masyarakat juga perlu sedar bahawa mereka juga turut menyumbang kepada masalah ini. Masyarakat sendiri yang meletakkan “rating” kepada penceramah – mana popular dan mana yang glamor. Dan secara tidak sedar timbullah dilema, mana satu lebih utama kualiti atau populariti? Eh, sudah jadi macam cerita artis pula.

Dalam satu kes yang lain, di saat-saat akhir pernah saya ditanya,”terus terang ustaz, kami boleh bayar setakat ini sahaja (disebut satu jumlah).”
“Mengapa sekarang baru tanya?” tanya saya kembali.
“Sebab, seorang ahli lagi ahli panel menarik diri kerana bayaran terlalu kecil,” akui pihak penganjur terus-terang.
Saya tegaskan, bila saya telah bersetuju dan bila sudah “clear” tarikh, masa dan soalan-soalan forumnya, saya tidak akan menarik diri. Cuma sempat saya mengingatkannya, “ lain kali, beritahu awal-awal lagi. “

Saya tersenyum bila mendengar cerita sahabat saya (seorang ustaz yang mengajar masjid ke masjid). Suatu ketika dia menggantikan seorang ustaz lain yang datang mengajar di sebuah masjid. Ironinya, apa yang diperolehinya sebagai “bayuaran” jauh lebih rendah… sedangkan tahap ilmu, pengalaman dan penyampaian mereka sama. Yang berbeza… cuma kereta sahaja. Dia memandu kereta Wira, ustaz yang digantikannya Mercedez! Jadi bayarannya rendah kerana jenis keretanya lebih murah.

Lucu. Apakah nanti ada “ustaz-ustaz” yang berlumba-lumba menukar kereta (yang lebih mahal dan prestij) supaya bayaran mereka lebih tinggi? Nauzubillah. Mudah-mudahan tidak, tetapi itu tidak mustahil berlaku… jika masyarakat terus menilai “KPI” ustaz-ustaz berdasarkan keretanya. Siapa yang menyemai angin, akan menuai badai.

Walau pun begitu ingin saya ingatkan bahawa bukan semua ustaz-ustaz yang mempunyai “rating” yang tinggi. Saya kenal seorang ustaz yang begitu sederhana kedudukan ekonominya, tetapi pernah dicela hanya apabila dia membayangkan kos pengangkutan yang terpaksa ditanggungnya untuk memenuhi jemputan ceramah. Pihak penganjur mengatakan dia cinta dunia!

Saya sedih, kerana saya memang arif benar tentang sikap dan kesungguhannya. Menuduh dia cinta dunia, sangat tidak adil.

Padahal saya tahu dia tidak ada duit minyak pun untuk ke tempat ceramah. Dia bukan “demand” tetapi sekadar membayangkan keterbatasannya. Nak didiamkan sahaja, dia pernah “terkena”. Hendak bersuara, itu akibatnya.

Sebaliknya, ada pula ustaz yang lebih “advance”. Dia semakin “hangat di pasaran” impak cerita lucu dan jenaka dalam penyampaian.
“Itu semua cuma rencah. Kalau serius sangat orang mengantuk,” katanya. Dan dia pun semakin galak melakukan “value added” kepada ceramahnya.
“Kita akan diundang lagi!” jawabnya bila ditanya kenapa dia buat begitu.

Seorang kawan, lebih “pro-aktif” lagi. Dia “demand” berdasar status tempat, taman, masjid dan sebagainya.
“Jika tempat orang miskin, saya percumakan sahaja,” katanya.
“Tempat orang kaya?” tanya saya.
Dia hanya senyum…

Ingin saya tegaskan bahawa mereka mempunyai rating yang tinggi pun tidak semua yang menuntut bayaran yang bukan-bukan. Hanya segelintir sahaja. Itu pun kita belum dengar apakah hujah mereka berbuat demikian. Untuk menghukum, kita perlu dengar hujah kedua-dua belah pihak. Mungkin ada sebab mereka jadi begitu. Jika sebab itu “syarie” kita terima sahaja. Soal hati, bukan kita menghukumnya.

Ini satu lagi kes… Pernah saya dengar, (walaupun agak pelik kedengaran)… hujah mengatakan, “kalau penyanyi boleh dibayar beribu-ribu oleh pihak penganjur, kenapa tidak ustaz atau ustazah?” Wah, bagaimana? Boleh anda terima hujah ini? Bolehkah dua perkara itu “diqiaskan” begitu?

Seorang yang lain, pernah berhujah:
“Kita perlu minta bayaran. Baru mereka serius mendengar. Kalau “free” mereka tidak hargainya. Dengar sambil lewa. Bila ada kos, baru mereka serius.”
Pulak? Jadi, makin tinggi bayaran, makin bagus. Nanti khalayak akan lebih serius. Begitukah?

Namun, masyarakat juga berbisik, ustaz-ustaz “glamour” pun kekadang ada yang keterlaluan. Pendapatan mereka (menurut sumber dari sesetengah sahabat dan kenalan) ada kalanya hampir mencecah belasan malah puluhan ribu ringgit sebulan, tetapi ada yang masih “kedekut” untuk melaksanakan dakwah dan tarbiah secara percuma atau sederhana bayarannya.

Padahal syarikat-syarikat besarpun (termasuk yang bukan Islam) sering melalukan “social obligation” secara percuma di tengah masyarakat. Sebaliknya, mereka ini terlalu berkira.. Melalui “promoter-promoter” mereka, jemputan yang tidak memenuhi syarat-syarat tertentu akan ditolak.

Bayangkan, jika berterusan begini, orang-orang miskin, para remaja, anak-anak yatim dan golongan marhaen yang lain (bukan “potencial buyer” kata orang sekarang) akan ditinggalkan dalam arus dakwah. Akan ada sasaran terpilih, masjid terpilih dan golongan terpilih.

Dalam konteks yang lain, saya ingin ketengahkan kisah Rasulullah SAW yang pernah ditegur Allah dalam kes si buta Ibnu Maktum… Walaupun ketika itu bukan soal “bayaran” yang menjadi perhitungan Rasulullah. Cuma soal keutamaan. Siapa lebih berpengaruh untuk didakwahkan guna menyedarkan yang lain? Pemuka Quraisy itu atau Abdullah bin Maktum yang buta? Bukan soal ganjaran.

Kalaulah soal ganjaran menjadi perhitungan – siapa bayar tinggi akan mendapat layanan, bayaran rendah dipinggirkan – kita takut ancaman Allah untuk mereka yang “menjual ayat-ayat-Nya dengan harga yang sedikit akan menimpa.” Wallahua’lam. Mudah-mudahan ada ulama yang lebih arif “menghakimi” soal ini.

Ya, ulama adalah pewaris nabi – ilmu, didikan dan pimpinan mereka adalah amanah.

Amanah bukan komoditi yang boleh dijual beli. Kita harus merasa malu meletakkan bayaran yang terlalu tinggi untuk melaksanakan amanah Rasul terutamanya untuk golongan miskin, anak yatim dan para pelajar. Bahkan kalau kita mampu, kita mesti mencontohi Maulana Ilyas Zakaria RHM yang membayar “upah” kepada mereka yang mendengar bayan dan tazkirahnya!

Saya sangat berhati-hati menyentuh soal ini. Ini sangat sensitif. Dulu pernah saya menulis satu tulisan bertajuk: KAU MURABI BUKAN SELEBRITI. Sejak itu saya mendapat teguran daripada banyak pihak (termasuk guru-guru dan mentor-mentor) yang sangat saya hormati. Berhati-hatilah menulis, pesan mereka… Pintalah sentiasa Allah pimpin hati kita. Jangan emosi.

Jangan ada huzuzunnafsi (kepentingan peribadi) dalam penulisan dan teguran. Ya, seperti biasa, saya kira semua pihak (termasuk saya) mestilah bermuhasabah… Kedahagaan umat untuk mendapat dakwah jangan dieksploitasi, kegigihan pendakwah untuk menyampaikan seruan jangan “didiskriminasi”.

Secara ideal, alangkah baiknya jika pendakwah ada sumber pendapatannya tersendiri (dari perniagaan atau pekerjaannya sendiri) bukan bergantung pada “kerja” dakwahnya. Saya kagum dengan Aaa Gym Kiyai Abdullah(Indonesia) yang hebat ekonomi dengan Darul Tauhidnya. Malah telah ramai sahabat dari kalangan pendakwah yang berbuat demikian. Cuma hendaklah dijaga agar dakwahnya pula jangan bertukar jadi promosi produk jualannya.

Pada zaman keagungan Islam, belanja penghidupan para ulama dan daie dibiayai oleh Baitulmal. Seperti mana yang pernah berlaku kepada diri Sayidina Abu Bakar RA. Selepas dilantik menjadi khalifah, beliau hendak keluar berniaga seperti kebiasaannya. Lalu dihalang oleh Sayidina Umar RA dan sara kehidupan khalifah baru itu diambil daripada Baitulmal.

Kalaulah ini boleh dipraktikkan lagi masakini, alangkah indahnya. Ini penting kerana pendakwah juga memerlukan sumber untuk menyara keluarga dan kehidupan mereka.

Namun begitu, alhamdulillah masih ramai sahabat dikalangan para daie yang begitu komited dalam jihad mereka. Solat tahajud, puasa sunat dan doa serta taubatnya makin mantap dari hari ke hari. Cakapnya sedikit, tetapi sangat berkesan. Kita perlu banyak belajar daripada mereka ini. Kekadang, “terpukul” oleh ketulusan dan ketelusan mereka. Penting sekali mencari dan bergaul dengan mereka. Kalau tidak selalu, seseketika. Mesti.

Buat saudara yang bertanya, dan mereka yang membaca tulisan ini. Saya hanya merakamkan “cerita-cerita” masyarakat dan pengalaman sendiri yang begitu terhad sifatnya. Mudah-mudahan setelah mentelaah dan bertanya lagi nanti (dan mungkin juga ada orang yang lebih arif memberi respons terhadap tulisan ini), kita sama-sama akan ada input yang lebih kukuh dan teguh untuk mendapat pencerahan dan peneguhan.

Saya mohon maaf, semoga tulisan ini sedikit sebanyak dapat dijadikan pertimbangan dalam mencari kebenaran. Ya, sekalipun jika ia salah… itu juga hakikatnya adalah satu perjalanan dalam mencari dan menemui kebenaran! Insya-Allah. Ya Allah, bimbinglah hati-hati kami. Amin.

 
17 Komen

Posted by di 29 Julai 2009 in Tarbiyah

 

Label: , , , , , , ,

17 responses to ““BANGSAWAN AGAMA” YANG CARI MAKAN?

  1. shafifah

    29 Julai 2009 at 10:50 am

    Malam Aspirasi Generasi Salahuddin – Pidato Perdana

    Jadual Pengajian Ilmu bagi Bulan Julai-Ogos 2009

     
  2. tun fatimah

    29 Julai 2009 at 12:49 pm

    Assalammuaalaikum ustaz, berilah sedikit panduan bagaimana ustaz membuat muhasabah tahunan tu. Bagaimana menilai berjaya atau gagal kita mencapai matlamat. Bagus kalau dapat dipraktikkan untuk diri dan keluarga.

     
  3. panduanhidup

    29 Julai 2009 at 1:25 pm

    betul kata ustaz, kita selalu memandang kehebatan seseorang dengan popularnya. lebih popular lebih tinggi bayarannya.

    selalunya peluang diberikan kepada yang popular manakala yang kurang popular hanyalah pengganti jika berlaku sebarang kemungkinan.

    mungkin kita perlu tetapkan prosedur bayaran maksima atau minima. (sekurang2nya pulang modal untuk kos minyak, tol, makan dll).

     
  4. Azman Abdillah

    30 Julai 2009 at 5:31 am

    Salam Ustaz,inilah hakikat dunia bila semakin hujung umurnya,jangankan masyarakat,ahli agama pun telah rosak. Bimbang ana dengan perkembangan ini. Agama dijual beli sesuka hati. Pengalaman lampau banyak mengajar ana untuk lebih berhati-hati dengan ahli agama.

     
  5. muhammad fakhruddin

    3 Ogos 2009 at 9:27 pm

    Assalamualaikum ustaz,
    keadaan sebegini bolehlah dianggap ditelan mati emak,diluah mati bapa.Tersepit antara TUJUAN menggalas amanah sebagai pewaris Nabi dengan KEPERLUAN mengisi perut menyara seisi keluarga.

    Setuju dengan saranan ustaz,molek kiranya ekonomi para daie ini dapat diurus dengan baik. Cuma sebagai masyarakat yang prihatin,perlu ditimbang juga permintaan golongan daie ini,jangan sampai mereka berasa didiskriminasi.

     
  6. gentarasa

    5 Ogos 2009 at 2:34 pm

    Salam Azman,
    Jazakallah kerana masih sudi ziarah ana. Ana doakan ustaz dan seluruh keluarga diberkati Allah. Kawan baru umpama perak, kawan lama umpama emas!

     
  7. fauzi

    6 Ogos 2009 at 7:42 pm

    assalamualaikum ustaz…
    persoalan seperti ini juga banyak dihadapi oleh saya saban hari….jawapan yang apling sesuai yang dapat saya beri buat mereka cuma “berpada-pada dan beringatlah selalu”….

    Risau dengan ahli agama yang jual agama….
    juga risau dengan masyarakat yang ambil kesempatan (tiada “common sense”)….

    Moga yang membaca artikel ini sama-sama mendapat manfaat..kiranya cerita dan pengalaman ini mampu kita fikirkan sama-sama.

     
  8. gentarasa

    7 Ogos 2009 at 5:40 am

    Salam pagi Jumaat yang mulia,
    Subhanallah, cantiknya blog saudara. Oh, otai nasyid rupanya ya. Saya semakin kurang mengikuti perkembangan nasyid sekarang. Sekadar dengar-dengar. Entah kenapa, sukar diungkapkan dengan kata-kata. Hanya dapat dirasa, tetapi tidak boleh diluahkan dengan kata-kata. Ada sesuatu yang tak kena… tapi di mana ya? Wallahua’lam. Sama-samalah kita berdoa.
    Pengalaman itu cuba cebisan. Hanya untuk difikir-fikirkan. Insya-Allah, nanti akan ada pakar yang akan menjawabnya secara jelas. Kita kongsi bersama nanti. Teruskan perjuangan Fauzi!

     
  9. fauzi

    7 Ogos 2009 at 6:59 pm

    saya bukan otai nasyid ustaz…masih lagi hijau…kesilapan pun banyak dilakukan. masih lagi belajar

    lagu nukilan ustaz antara lagu yang menjadi kegemaran sepanjang masa (lagu antara dua cinta) dan memberi inspirasi untuk cuba menghasilkan karya nasyid yang baik, memberi kesan di jiwa pendengar..

     
  10. Nuaeman

    9 Ogos 2009 at 8:11 pm

    Kata-kata pasal bangsawan agama tu pernah saya dengar ketika menghadiri satu majlis ceramah. Apa yang diucapkan oleh salah seorang peniaga disitu lebih kurang sama sepertimana yang tercatat dalam ayat artikel tersebut. Apapun beliau tak sebutlah bangsawan agama tetapi terus sahaja menjurus kepada individu yang dimaksudkan.

    Ulasan ustaz dah cukup panjang lebar pasal ni dan saya sendiri lagilah tak tahu nak komen apa tentang isu ni cuma pernah juga dengar cerita seorang ustaz yang datang berceramah dari utara cuma disedekahkan kelapa. Errmm.. boleh ke buat tuang tangki minyak air kelapa tua tuh? hehe..

     
  11. gentarasa

    11 Ogos 2009 at 1:21 pm

    Salam Nuaeman,
    Syukran kerana sudi singgah. Artikel saya hanya “pembuka” pintu perbincangan. Mudah-mudahan setelah difikirkan akan ada kebaikanya. Niat kita hanyalah untuk mendapat kejernihan dan pencerahan. Insya-Allah.

     
  12. khairul

    19 Ogos 2009 at 9:07 am

    …….saya masih lagi bertugas menjemput para penceramah….tugas yang saya pikul dari masa belajar di UPM dulu sampai bekerja.

    saya seronok dengan tugas ini kerana banyak ilmu boleh kita dapat dgn menjemput penceramah ni

    ….masalah bayaran tinggi ni ada tapi tak ramai, ada juga yg kita bagi lebih sikit…..dia pulangkan separuh, katanya ambil duit minyak aje…

    ….ada juga dulu sebelum popular kita jemput dia mudah datang, tapi bila dah popular tak mahu datang, jadual penuh je….mungkin bayaran kita di takuk lama , minyak makin naik..

    tapi artikel ini cukup hebat dan patut di beri kepada semua penceramah dan pendakwah sebagai muhasabah diri

     
  13. gentarasa

    19 Ogos 2009 at 9:32 am

    Salam,
    Kadangkala penceramah itu tidak dijemput secara direct tetapi melalui organisasi yang diwakilinya. bayaran dikenakan pula oleh organisasi tu. Jadi penceramah jadi serba-salah. Saya sering juga “terperangkap” begitu. Apapun kesederhaan kita selalunya menyelamatkan. Ikhlas itu terlalu seni dan maknawi. Syukran atas respon. Semoga berterusan dalam usaha menyampaikan ilmu. Alhamdulillah.

     
  14. baysirna

    25 Ogos 2009 at 1:53 pm

    Salam alaik..

    “kalau penyanyi pop boleh dibayar beribu-ribu oleh pihak penganjur, kenapa tidak penyanyi nasyid, kenapa tidak ustaz atau ustazah?” :) Ada kalangan teman yg menyokong persoalan ini.

    Ustaz Gentarasa..
    Apa pendapat ustaz seandainya penceramah2 kena ada fix rate. Kereta besar ke, kereta kecil ke, ‘rate’nya sama, mungkin kerajaan pusat atau negeri boleh laksanakannya.. mudah juga untuk organizer fix kan bajet dan dalam masa yg sama, tiada perbalahan dalam penentuan bayaran penceramah.. tiada juga sangka buruk pada ustz-uztazah. Wallahualam

     
  15. gentarasa

    1 September 2009 at 12:10 pm

    Salam baysirna,
    Ustaz Zaharuddin telah menjawab persoalan ini dalam majlah SOLUSI edisi 11. Cuba dapatkan. Jelas dengan hujjah dan faktanya di situ.

     
  16. Cahaya hidup

    1 Oktober 2011 at 7:39 pm

    Insyaallah ustaz…what you give you get back, saya doakan ustaz selalu sihat dibawah lindunganNya, doakan untuk saya juga supaya istiqamah dlm apa jua dlm melalui kehidupan ini…

    mmm…my mind trigger sekejap dah jadi tabii org2 kita…kalau bab agama…mmg org tak minat…kalau hiburan cepat ajer..pernah bermujahadah dgn suami….org ni kalau nak kaya nak kereta besar berebut zaman muda….tak ada pun org berebut nak g mekah dan buat kebaikan masa muda…Astaqfirullahalazim…Allahuakbar!

     
  17. laila

    16 Disember 2011 at 7:51 pm

    assalamualaikum..

    subhanallah.. semoaga Allah membalas kebaikan ustaz..
    menyampaikan ilmu tanpa mengharapkan balasan..
    risau pula saya takut2 bilangan ustaz dan ustazah semakin berkurang nanti padahal pada ustaz dan ustazah lah tempat dijadikan rujukan..

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,251 other followers

%d bloggers like this: