Looking for Something?

KENANGKANLAH SAAT BERPISAH…

Author:

amanPagi Jumaat ini datang seperti biasa. Pintu hari dikuak dan sehari lagi kita mendekati saat kematian yang telah ditentukan itu. Peliknya, hati seakan-akan lupa hakikat itu.

Mati seolah-olah “mati” dalam hidup kita. Saban hari orang bersengketa – tentang itu dan ini, berebut kuasa, mengecam dan mendabik dada. Harta, kuasa, nama dan populariti jadi hijab yang menghilangkan bayang-bayang mati yang mengikut kemana sahaja manusia pergi.

Kita tidak tergamak, bermusuhan sesama saudara, sesama sahabat dan sesama Islam kalau kita kita ingatkan mati. Kita tidak akan berdendam, marah, memfitnah dan melakukan pelbagai penganiayaan jika sedar kita sendiri akan menghadap Allah yang mengetahui tentang kita segala dan semuanya. Baik, mulia, agung dan hebat sangatkah kita?

Wahai diriku dan saudara-saudaraku, mari kita kenangkan saat berpisah yang pasti menjengah. Kenangkanlah saat yang dibimbangkan oleh orang-orang yang soleh itu. Hayati apa yang ditangisi oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA itu. Mereka mengikut jejak kekasih mereka Rasulullah SAW yang sentiasa mengingati mati. Itulah sumbu bagi pelita kehidupan mereka. Tanpa ingat mati, apalah guna hidup ini…

Hari ini, urut dadamu, pejamkan matamu… istirehat seketika dan katakan: Wahai diri, aku akan mati! Kemudian bukalah mata, dan sematkan di hati bahawa segala ujian hidup ini adalah kecil dan sedikit berbanding apa yang akan dihadapi nanti. Insya-Allah, akan lapanglah hati… dan mulut mampu terseyum dengan segala cabaran yang mendatang. Masakan orang yang melihat singa berhampirannya masih merungut tentang seekor semut yang menggigit kakinya?

Begitulah diriku dan saudaraku, keyakinan kepada kehidupan akhirat akan memberi kekuatan dalam menghadapi kehidupan di dunia. Kenangkanlah saat berpisah kerana…

saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini?

Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:
“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.

Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.

Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.

Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Ingatlah, kata-kata ini:
“In life, what sometimes appears to be the end is really a new begining.”


Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!

Amin.

Feedback

11
  • amir

    salam ziarah..
    maaf ust saya tertanya2 knape begitu mudah kematian ‘mati’ dalam hidup kite? sdgkan zmn shbt begitu mudah menitiskan air mata kerna ‘hidup’nya kematian dlm hidup mrk…

  • musa bin nordin

    Terimakasih ustaz,banyak pengajaran yang saya dapat dari tulisan ustaz.Hidup ni memang penuh ujian,saya sendiri di uji dengan kehilangan mata kiri akibat kemalangan,kini tinggal sebelah mata untuk melihat,saya ambil yang positif kehilangan mata kiri saya .Satu mata bermakna pandangan mata tinggal separuh,kurang separuh maksiat mata.Alhamdulilah saya mula menghafal AlQuran dengan surah surah amalan seperti Yassin,Mulk dan sebagainya.Saya berdoa suatu hari saya mampu menghafal ALquran dengan izin Allah.
    Terimakasih
    Musa

  • shafifah

    Kuliah Pengajian Syeikh Fuad Kamaluddin
    Pengajian Kitab bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin
    Hari ini di Surau Kemensah Heights
    Muslimin & Muslimat semua dijemput hadir,

    Tarikh : 4 Ogos 2009 (SELASA – MALAM INI)
    Masa : Lepas Solat Maghrib
    Tempat : Surau Kemensah Height, belakang Zoo Negara.

    http://pondokhabib.wordpress. com

  • Iman

    salam ustaz…

    jazakallah atas peringatan terbaru ini, teringt kata2 abah saya bahawa kematian adalah suatu kepastian yg tidak disedari empunya diri apabila djemput Illahi..

    semoga pengakhiran kehidupan ini di rahmati Illahi..ameen..

    ustaz ,
    saya mohon utk dmuatkan dlm blog saya ya…

    syukran jazilan ya ustaz

  • shafifah

    Majlis Sambutan Malam Nisfu Sya’aban
    Tarikh : 5 ogos, 2009 (Rabu)
    Masa : Selepas Solat Maghrib
    Tempat : Masjid Taman TAR, Ampang.
    Tentatif Program:
    1.Bacaan Yassin & Doa
    2.Solat Sunat Tasbih
    3.Pengijazahan Kitab Pancaran Nur Zikir % Doa Ahli Akhyar
    Semua di jemput hadir.
    http://pondokhabib.wordpress. com

  • gentarasa

    Salam,
    Innalillah wainnailaihi rajiun. Saya dapat rasakan ujian yang menimpa saudara. Namun, yakinlah gantian Allah pasti lebih baik lagi. Ya, mudah-mudahan saudara akan menjadi hafiz. Amin. Doakan saya juga, agar kesihatan saya baik dan dapat melaksanakan ibadah dan amanah sebaik-baiknya. Salam persaudaraan buat saudara dari saya sekeluarga. Assalamualaikum.

  • along

    Salam ustaz…mmg sgt2 takut fikirkan soal mati… satu2 pengalaman yg sesiapa pun tidak boleh berkongsi mengenainya. InsyaAllah hidup kita di dlm Islam dan mati kita pun di dlm Islam.Amin.

  • gentarasa

    Salam Along,
    Syukran kerana datang ziarah berkali-kali. Marilah kita sama-sama berdoa di pagi Jumaat yang mulia ini… Ya, Allah jadikanlah kami ibu-bapa yang sentiasa mendoakan anak-anak. Jadikan kami orang yang hidup dengan sentiasa merngingati mati. Dan jadikanlah kami orang yang bertaqwa dengan diberi kemudahan menempuh jalan mujahadah dan taubat kami. Amin.

  • along

    salam ustaz. t/kasih atas peringatan tsbt. Saya tidak dikurniakan Ilahi kepakaran dlm melahirkan kata2 nasihat n bimbingan sptmana ustaz.Izinkan saya berkongsi mana2 tulisan ustz dgn rkn2. Mohon maaf krana pernh melakukan sdmikian sblm ini ketika shbt2 perlukan kekuatan n kesedaran saat menghadapi musibah…InsyaAllah semuanya kearah kebaikan,ustaz byk membantu.jazakallahu khairaan khatiraan

  • Nuaeman

    Terima kasih atas peringatan ustaz. Hati ini memang mudah ‘mati’ bilamana tidak mengingati mati apalagi jika terlalu menyibukkan diri dengan urusan dunia. Untuk saya tika ini, kalau rasanya hati ini bagaikan ada ‘sakit’ biasanya saya kekubur. Dengan melihat tempat yang menjadi kampung orang beriman beserta lubang-lubang lahad yang belum terisi hati menjadi tunduk dan kembali mengingati mati.

  • Antika soraya

    Subhanallah, Terima kasih ustaz atas peringatan nya dan ilmu yg ustaz kongsi kan…
    Saya minta izin share ustaz untuk saya kongsikan untuk rekan2 yg lainnya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: