RSS

TAFAKUR DI PUSARA CINTA…

10 Ogo

ms 89 aAh, cinta itu boleh tumbuh, subur dan berbuah. Cinta juga boleh lumpuh, terkubur dan musnah. Ramai pasangan yang berkahwin, tetapi tidak sampai setahun, cintanya patah. Ada juga yang berkahwin, berpura-pura bahagia. Akhirnya kecundang, berpisah di usia senja. Namun lebih ramai yang terus berkahwin, namun rumah tangganya bagai pusara… tidak ada cinta, jauh sekali bahagia.

Jika terdetik sahaja di dalam hati, “Aku tidak berpisah dengannya (pasangan kita) hanya kerana anak-anak…” itu petanda bahaya. Selalu kita diingatkan “hadiah” termahal untuk anak-anak ialah mencintai ayah atau ibunya (isteri atau suami kita). Jadi, jangan sekali-kali kematian cinta. Bina dan binalah lagi walaupun bagaimana perit dan deritanya.

Satu kebaikan perlu dimulakan berkali-kali. Jangan terperangkap dalam ilusi kesempurnaan. Jadi, binalah cinta berkali-kali. Walaupun sukar sungguh mencari  “kerana-kerana”nya lagi, tapi jangan putus asa. Cari dan binalah kerana yang baru. Jangan jemu. Berilah dan teruslah memberi. Insya-Allah, akan terpinggir juga akhirnya rasa benci, jemu dan letih oleh karenah, kekurangan atau “keburukan” pasangan kita.

Ingat selalu, terlalu banyak “sebab” untuk  menyintai, berbanding sebab untuk membenci!

Jangan cepat berubah hati. Bila “kerana-kerana” yang lain sudah hilang dan terasa tiada sebab untuknya mencintai lagi, ketahuilah itulah permulaan CINTA sejati. Itulah cinta tanpa syarat yang terlalu mahal harganya. Kata hukama, “di kala manusia hilang segala-galanya, maka ketika itulah dia menemui siapa dirinya yang sebenar.”

Cintailah pasangan kita kerana Allah. Ikhlaslah dalam bercinta. Inilah yang akan mengekalkan rasa cinta selepas perkahwinan. Jangan terikat dengan cinta yang murah – yakni cinta berbentuk “maddiah” (fizikal dan material). Jangan diteladani syaitan yang terlalu materailistik, yang merasakan dirinya yang tercipta daripada api lebih baik dari Adam yang tercipta dari tanah. Syaitan terlalu material. Sebaliknya, mulianya Adam kerana ilmu dan ketaatannya kepada Allah. Cinta kita jangan berpusatkan materail dan fizikal!

Saya pernah terdengar kata yang pesimis, perkahwinan itu adalah pusara cinta. Semakin bertambah usia perkahwinan, kata mereka, semakin tipis rasa cinta. Tidak ada lagi kemanisan, kehangatan dan keharmonian seperti yang pernah dirasakan sebelum bernikah dahulu. Segala-galanya menjadi semakin suram dan bungkam… seakan-akan pusara.

Hakikatnya, dakwaan di atas adalah satu bentuk tipuan syaitan untuk menghindarkan manusia daripada perkahwinan. Agar dengan itu, kebanyakan manusia tertipu untuk beranggapan bahawa kemanisan cinta hanya dapat dinikmati dalam lembah dosa pergaulan bebas dan perzinaan.

Namun kita lebih tertarik dengan kata yang optimis – perkahwinan itu adalah kebun cinta. Semakin lama berkahwin, semakin menebal dan mendalam rasa cinta. Akan ada kemanisan, keharmonian dan ketenangan sepanjang kembara mengharungi kehidupan berumah tangga.

Dalam alam rumah tangga, pasti ada kesusahannya tetapi ada juga kesenangannya. Ada kepahitan, namun kemanisan yang seiringannya juga lebih banyak. Susah-susah pun dijanjikan pahala. Inilah janji Islam, yang menegaskan ada “syurga” di dunia. Di mana lagi? Kalau bukan di dalam rumah tangga kita – Baiti Jannati!

Apa yang harus dilakukan untuk menjadikan perkahwinan itu sebagai kebun cinta bukan pusara? Salah satu caranya ialah dengan menjaga perasaan, sama ada perasaan kita sendiri dan perasan pasangan kita. Cinta itu berkait rapat dengan perasaan. Sering disebut “perasaan” cinta bukan “fikiran” cinta. Maka menjaga perasaan samalah dengan menjaga cinta.

Perasaan adalah bayangan fikiran. Jika fikiran kita positif, perasaan kita akan gembira. Sebaliknya, apabila perasaan kita sedih, marah atau kecewa, fikiran kita juga negatif. Justeru, dengan menjaga perasaan, bererti kita juga menjaga fikiran kita. Perasaan dan fikiran itu saling berkaitan. Perasaan itu umpama nyala api manakala fikiran itu adalah unggunnya.

Dalam sebuah rumah tangga, perasaan suami isteri mesti selalu gembira dan fikiran mesti sentiasa positif. Mengapa ini penting? Jawabnya, fikiran yang positif akan melahirkan tindakan, tingkah laku dan respons yang positif juga. Rumah tangga adalah wadah berlakunya pelbagai keadaan, insiden dan kejadian. Yang pahit dan manis akan datang bersilih ganti. Rumah tangga akan sentiasa teruji.

Bagaimana suami dan isteri bertindak (memberi respons) terhadap rangsangan-rangsangan ini? Ini semua bergantung pada fikiran dan perasaan mereka ketika berdepan dengan rangsangan-rangsangan itu. Satu perkara atau situasi yang sama tetapi dihadapi oleh dua orang yang berbeza akan memberi impak yang berbeza bergantung pada fikiran mereka.

Bila dicaci misalnya, bagi mereka yang berfikiran negatif akan menganggap itu satu penghinaan. Sebaliknya, bagi yang berfikiran positif menganggap itu sebagai cabaran untuk bertindak dengan lebih baik. Kesannya, yang berfikiran negatif bertindak secara destruktif (meruntuh) – menghina balik, berdendam atau susah hati. Manakala yang berfikiran positif akan bertindak konstruktif (membina) – sabar, muhasabah diri dan melupakan. Tindakan-tindakan yang konstruktif akan menyuburkan cinta. Manakala tindakan destruktif akan “menguburkan” cinta.

Jika cinta itu umpama sebuah kebun… maka adalah lebih mudah untuk memiliki sebuah kebun berbanding menjaga kebun itu agar sentiasa subur dan tidak dimusnahkan oleh haiwan perosak. Justeru, amat penting pasangan suami isteri menjaga perasaan masing-masing.

Jagalah perasaan sendiri agar ceria selalu. Insya-Allah keceriaan itu akan memudahkan kita menjaga perasaan pasangan kita. Orang yang gembira selalunya dapat menggembirakan orang lain. Hindarilah rasa benci, marah, kecewa, sayu dan putus asa. Tetapi jika kekadang rasa-rasa negatif itu timbul jua, bermujahadahlah untuk memeranginya. Jangan sekali-kali dibiarkan menetap lama-lama di hati kita. Ia umpama serangga perosak yang boleh memusnahkan kebun cinta kita.

Inilah rahsia kesuburan “kebun cinta’. Bila kebun cinta kedua suami-isteri telah subur, insya-Allah seluruh isi rumah (anak-anak, pembantu rumah dan siapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan mereka) akan turut merasa teduh oleh rimbun daun-daunnya dan akan dapat pula merasakan keenakan buah-buahnya. Orang yang penuh dengan rasa cinta umpama bunga yang harum. Ia sentiasa menyebarkan “keharumannya”.

Apakah yang harus dilakukan agar perasaan selalu ceria atau gembira? Mungkin untuk merasa gembira lebih mudah jika memang ada sesuatu, seseorang atau keadaan yang boleh menggembirakan. Kalau ada suatu insiden atau kejadian yang melucukan… kita tertawa, gembira. Jika ada orang memberikan hadiah, kita gembira.

Namun bagaimana jika semua itu tidak ada? Maksudnya, tidak ada seseorang, keadaan, perkara atau benda pun yang boleh menggembirakan kita? Pendek kata, sumber kegembiraan langsung tidak ada. Bagaimana? Jawabnya, jadilah sumber kegembiraan itu sendiri! Maksudnya, jadikanlah diri kita sebab untuk orang lain gembira.

Bagaimanakah caranya? Carilah orang lain dan gembirakan dia. Siapakah dia itu?

Siapa lagi kalau bukan pasangan kita. Sentiasalah berfikir, berusaha dan melakukan apa sahaja yang boleh menggembirakan pasangan kita. Insya-Allah, kegembiraan yang kita berikan kepadanya akan kembali kepada kita semula. Pepatah Cina ada mengungkapkan, tangan yang menghulur bunga mawar pasti akan berbau harum. Bijak pandai juga berkata“what goes around, comes around.”

Ya, hulurkanlah “bunga mawar” kepada pasangan kita, setiap hari, setiap masa. Insya-Allah, sebelum pasangan kita mencium keharumannya, tangan kita yang menghulurkannya akan berbau harum terlebih dahulu. Bunga mawar itu simbolik kepada kebaikan. Maksud menghulurkan bunga mawar itu ialah buatlah kebaikan kepada pasangan kita – tidak kira sama ada kecil atau besar. Kebaikan itu umpama baja kepada kebun cinta kita.

Teringat apa yang dikatakan oleh A’id Al Qarni dalam bukunya “La Tahzan”, “orang yang pertama merasakan nikmat kebaikan ialah orang yang melakukannya!” Ertinya, sesiapa yang berusaha menjadi sumber kegembiraan (dengan terlebih dahulu berbuat baik), maka dialah yang akan menikmati kebaikan itu sebelum orang yang ditujukan akan kebaikan itu merasa gembira. Bukankah sering dipesankan, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam, malah kita akan mendapat lebih banyak cahaya? Suami yang menggembirakan isterinya akan gembira dan begitulah sebaliknya.

Saya ulangi, langkah paling utama menjaga kesuburan kebun cinta berusahalah selalu menggembirakan pasangan kita. Berbagai-bagai cara, aktiviti, perkara dan usaha boleh dilakukan untuk itu. Jangan kebuntuan jalan. Jangan ketandusan idea. Percayalah, bila hati sudah “mahu” kreativiti dan inovasi akan timbul dengan sendirinya. Jadilah “tukang kebun” cinta yang rajin dan setia.

Kata bijak pandai, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Orang yang sudah mempunyai tujuan, umpama air yang sedang mengalir, tidak payah ditunjukkan ke arah mana hendak mengalir. Air itu tahu dengan sendirinya! Begitulah juga suami atau isteri, jika mereka memang tukang kebun cinta yang setia, tidak payah diajar untuk mengairi, membajai dan menjaga kebun cintanya.

Kaedah pertama untuk menjaga perasaan ialah dengan memberi senyuman. Berilah senyuman kepada isteri atau suami kita. Senyuman itu ada dua jenis. Pertama, kerana gembira. Kedua, kerana ingin menggembirakan. Kalau senyum kerana gembira, itu biasa-biasa sahaja. Siapa pun akan tersenyum jika ada sesuatu yang lucu atau menyenangkan. Senyuman jenis ini, kurang nilainya.

Senyuman yang luar biasa dan mahal harganya ialah senyuman untuk menggembirakan orang lain. Sungguh pun ada kalanya dalam hati sendiri bergelojak dengan masalah, badan sendiri sedang sakit, diri sedang letih, tetapi demi pasangan di depan mata kita senyumlah jua. Bukan kerana gembira tetapi ingin menggembirakan.

Wah, itu payah. Namun kerana Allah, demi cintakan isteri atau untuk mentaati suami, kita tersenyum juga… Inilah jenis senyuman yang dikaitkan dengan iman, yang disamakan dengan satu sedekah. Rugikah kita dengan senyuman itu? Tidak. Insya-Allah, niat kita untuk menggembirakan pasangan kita akan dibalas oleh Allah dengan kegembiraan yang setara atau yang lebih lagi.

Kedua, berilah salam. Jangan anggap salam itu hanya diberikan ketika hendak memasuki rumah atau ketika hendak bertemu dan berpisah sahaja. Pada hal salam boleh dihulurkan sebaik ingin tidur atau bangun dari tidur. Hulurkan salam dan senyuman waktu pertama kali bertentang mata selepas bangun dari tidur atau sebelum menutup mata untuk tidur. Atau jika bersua semula setelah sudah agak lama berada di tingkat atas (jika rumah dua tingkat) atau di bilik yang lain.

Ketiga, berjabat tangan. Budayakan isteri berjabat dan mencium tangan suami ketika mula bertemu atau hendak berpisah. Begitu juga para suami, jangan sekali-kali kedekut untuk menghulurkan tangan buat bersalaman. Jika terasa bersalah, cepatlah meminta maaf dengan menghulurkan salam. Bila dihulurkan tangan, jangan pula ego untuk tidak menyambutnya. Maafkanlah pasangan kita, bukan dengan hanya dengan kata-kata, tetapi juga dengan perbuatan yakni dengan cara berjabat salam.

Kesimpulannya, ingatlah tiga perkara yang akan menyuburkan kebun cinta kita – mengucapkan salam, memberi senyuman dan sering berjabat tangan. Salam itu umpama “baja”, senyuman itu umpama “air” dan berjabat tangan itu umpama cahaya di kebun cinta kita.

Insya-Allah, jika kebun cinta kita selalu diairi, dibajai dan diberikan cahaya, maka perasaan kita akan selalu gembira, fikiran kita akan positif dan tindakan-tindakan kita akan sentiasa membuahkan kebaikan. Dan itulah antara resipi “baiti jannati”.

Sekiranya, cintamu hampir menjadi pusara… tafakurlah sejenak di atasnya. Cari kembali dirimu dan dirinya. Bermulalah langkah “menghidupkan” semula cinta itu daripada dirimu sendiri. Dalam pencarian itu hendaklah selalu diingat… carilah di tempat dimana kita kehilangannya. Justeru, kita akan hanya menemuinya semula di tempat yang kita kehilangannya!

About these ads
 
15 Komen

Posted by di 10 Ogos 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , , ,

15 responses to “TAFAKUR DI PUSARA CINTA…

  1. masyuhada

    10 Ogos 2009 at 2:00 pm

    Terima kasih di atas tips yg nampak simple tapi kalau kasih dah hambar memang susah nak buat. Kena kukuhkan niat kerana Allah, akan saya usahakan semoga Allah memberi kesejahteraan dalam rumahtangga kami.

     
  2. heart

    10 Ogos 2009 at 2:18 pm

    Apa pandangan ustaz perkahwinan pada usia muda yg mana sepatutnya cita2 di dahulukan daripada cinta….

     
  3. mawar

    10 Ogos 2009 at 2:30 pm

    assalamualaikum..
    ustaz, sy begitu tersntuh dgn entry ustaz ni..sy blm berumah tangga..namun perasaan utk berumah tangga itu benar2 telah kuat hadir di dalam hati saya.. namun kadang2 sy khuatir dapatkah saya mmberikan yg terbaik kpd psgn sy kelak..kdg2 saya juga tertanya2 adakh sy layak utk bersama seorg yg saya rasa jauh lbh baik brbndg saya..dan lagi satu adakah cinta yg telah wujud dlm hati kami itu patut dibaja sekarg atau biar ia mnjadi rahsia dlm hati tanpa perlu diucapkan.. apakah cara terbaik yg perlu saya lakukan agar cinta kami boleh sampai ke gerbang perkahwinan dan ttp di bwh keredhaanNya..wallahualam.

     
  4. shafifah

    11 Ogos 2009 at 6:30 am

    Pengajian Kitab bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin
    Pengajian Kitab bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin
    Hari ini di Surau Kemensah Heights
    Muslimin & Muslimat semua dijemput hadir,
    Tarikh : 11 Ogos 2009 (SELASA – MALAM INI)
    Masa : Lepas Solat Maghrib & Bacaan Ratib Al-Haddad
    Tempat : Surau Kemensah Height, belakang Zoo Negara.

    http://pondokhabib.wordpress. com

     
  5. gentarasa

    11 Ogos 2009 at 1:14 pm

    Salam mawar,
    kalau cinta beritahu! Jika segala-galanya wajar dan sesuai, usahakan ikatan yang sah secepatnya. Jika tidak, mujahadah dan terus berdoa. Insya-Allah, wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jadi membajai cinta sebelum perkahwinan, ialah dengan berdoa dan beruasaha menjadi isteri/suami yang baik. Apa persediaannya? Tentulah ilmu, tarbiah dan kematangan serta keperluan fizikal dan material di tahap yang sederhana. Saya doakan agar dipercepatkan jodoh pertemuan. Amin.

     
  6. gentarasa

    11 Ogos 2009 at 1:17 pm

    Salam heart,
    Sepatutnya cintailah cita-cita. Itu yang paling ideal. Tetapi jika cinta sudah bertandang, dan perkahwinan tidak dapat dielakkan, seiringkanlah cinta itu dengan cita-cita. Insya-Allah, kalau tepat dan kena gayanya akan datang kuasa luar biasa cinta yang tiada tandingannya. Cita-cita akan dapat diraih dengan kekuatan luar biasa cinta.

     
  7. gentarasa

    11 Ogos 2009 at 1:19 pm

    Salam masyuhada,
    Yang baik itu susah. Perlu mujahadah. Niat perlu diluruskan. Usaha digandakan dan doa jangan putus. Ya Allah, perkukuhkanlah cinta kami dengan cinta kepada-Mu! Amin.

     
  8. ummuabbas

    13 Ogos 2009 at 3:58 pm

    Salam ‘alaykum gentarasa,

    Saya meminati banyak tulisan saudara. Tulisan yang ini banyak membina minda untuk berfikir dan merenung. Moga saya menjadi salah seorang penyubur cinta dalam rumahtangga.

    Jazakumullah atas perkongsian ilmu.

     
  9. kgee

    19 Ogos 2009 at 8:29 am

    salam,

    Seronok saya membaca tulisan saudara. terima kasih banyak atas perkongsian tips dan nasihat rumahtangga. Memang benar kata saudara, untuk memiliki kebun itu mudah namun untuk menyuburkannya perlu banyak details yang perlu dititikberatkan. Sayang, ramai pasangan terlepas pandang.

     
  10. gentarasa

    19 Ogos 2009 at 9:36 am

    Salam kgee,
    Kebun mesti disuburkan – perlu diairi, dibajai dan dijaga daripada serangga perosak. Jadi kita perlu BERCINTA berkali-kali… bukan dengan ramai orang tetapi dengan “seorang”. Siapa lagi, kalau bukan isteri atau suami kita.

     
  11. Kakcik

    7 November 2009 at 9:22 am

    kalaulah suami saya juga membaca entri ustaz ni…

     
  12. naniismail

    31 Disember 2009 at 1:26 pm

    Subhanallah!!

     
  13. kemal

    8 Jun 2010 at 7:28 am

    salam ustaz…

    sy merupakan pasangan yg belum berkahwin.kami merancang untukmendirikan rumahtangga setahun lg..banyak dugaan yg kami tempuhi dlm percintaan kami sehingga kn pasangan sy sukar untuk mempercayai sy..bagaimana untuk kita dapatkan semula kepercayaan dr pasangan kita semula?..wallahualam

     
  14. gentarasa

    9 Jun 2010 at 2:58 pm

    Salam,
    Membina mengambil masa. Meruntuh sekelip mata. Buat baik terus menerus walaupun terus dicurigai. Niatkan kerana Allah. Insya-Allah, Allah akan menggerakkan hatinya untuk mempercayai anda. Amin.

     
  15. ade

    10 Jun 2010 at 10:15 am

    ustaz,
    wanita yang baik untuk lelaki yang baik….andai ditemukan pasangan yang sebaliknya…adakah saya patut berdoa semoga pasangan akan berubah menjadi baik atau berdoa ditemukan pasangan lain yang lebih baik? wallahualam…..

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers

%d bloggers like this: