Looking for Something?

SUBUH YANG TERAKHIR!

Author:

usrah fikrah IslamiahKali terakhir saya bertemunya di hadapan hotel berhampiran Masjid il Haram sewaktu mengerjakan umrah akhir bulan Jun yang lalu. Tidak sangka itu adalah pertemuan terakhir kami. Dia hanya tersenyum, berjabat tangan dengan saya yang kebetulan bersama ustaz Muhammad Nasib. Isterinya, Jannah turut tersenyum.
Mereka berdua memang rapat dengan keluarga saya. Kami pernah tinggal berjiran di Kepong. Anak-anaknya pernah dijaga oleh isteri saya. Bila mereka berpindah, hubungan terus rapat. Seingat saya, boleh kata setiap hari raya Idil Fitri, dia akan menziarahi saya. Jannah, isterinya kerap juga menelefon isteri saya. Bertanyakan resipi itu dan ini.

Kali terakhir perbualan intim dengannya seusai solat Zuhur beberapa bulan yang lalu. Dia kerap bertanya dan bertukar-tukar pandangan apabila hendak menerbitkan album baru. Tetapi perbualan kami lebih bersifat adik abang sahaja. Tidak ada soal-soal perniagaan atau komersial.

Mendengar berita yang beliau meninggal dunia pagi ini sangat mengejutkan saya. Begitulah… kematian yang datang tiba-tiba. Senyum, suara dan sifat ramah-tamah serta hormatnya masih terbayang di ruang mata. Al Fatihah sahabat dan adik ku… Allahyarham ASRI IBRAHIM. Istirahatlah wahai sahabat dari ujian dunia, semoga kau soleh di sisi pangkuan Cinta Allah di sana.

Benar, tadi adalah subuh mu yang terakhir!

CAHAYA HATI

Bila hati payah mengingati Allah
Bila hati tak syukur dengan kesenangan
Bila hati tak sabar dengan kesusahan
Bila kurang terkesan oleh peringatan
Bila cintakan diri lupakan kawan
Bila cenderung pada yang haram dan dosa
Suka menzalim dan menganiaya…
itulah petanda hati telah buta

Paksalah hati mengingati Tuhan
Belajarlah syukur dengan yang ada
Hasil bersabar dengan apa yang tiada
Dekati sumur ilmu ceduklah titisan peringatan

Jauhilah yang haram dan syubhat
carilah bimbingan solehin terdekat
bersahabat dengan orang yang baik
pemurah, pemaaf dan bersedekah…
nescaya hati kan bercahaya semula!

Feedback

25
  • ABU SAIF

    Assalamualaikum WBT al-Fadhil Ustaz.

    Ana tidak mengenal Ustaz Asri secara peribadi. Tetapi sama seperti jutaan insan lain, beliau telah menemani seluruh liku perjalanan hidup dan perjuangan ana semenjak hari pertama disuluh oleh kesedaran Islam.

    Sebagaimana buah tangannya telah meneman kita semua dalam menempuh suka duka perjalanan hidup, semoga kini buah tangan itu menjadi amal soleh yang meneman beliau dalam perjalanan yang sepi dan sunyi itu.

    Semoga Allah mencucuri rahmat, maghfirah dan kasih sayang-Nya ke atas al-Marhum Ustaz Asri Ibrahim, serta mengurniakan sabar seluas-luasnya kepada seluruh keluarga beliau.

    Semoga Allah memelihara ustaz juga, diri ana, dan kita semua kerana janji Allah itu tiada siapa yang tahu…

    Salam ingatan dan rindu…

  • abuyon

    Ya Allah saya dewasa dengan suara Nada Murninya, meski sejak Rabbaninya saya kurang mesra sedikit. Ustaz, saya menangisi kematiannya.

    Ini yang saya tulis di saifulislam.com dengan sedikit pembaikian (saat saya paste ini di sini, airmata masih mengalir)

    Sebak saya, menitis airmata saya. Meski tak pernah berjumpa – lagunya, suaranya saya mesra. Sejak saya kenalnya nasyid, suaranyalah memenuhkan ruang kepala dan dada.

    Allah, Allah, Allah

    Airmata saya menitis lagi, sungguh. Allah tak tertahan saya …. tulis ni sambil menangis saya .. Allah ..

    Ini sajak yang saya tulis, takziah untuk
    kematian anak seorang rakan .. saat ini saya sendirilah yang mesti berlapang dada …

    Fatehah Untuknya
    Dari Allah kita datang, kepada-Nyalah
    kita kembali, Al-Fatehah
    untuknya

    Dia telah pergi menemui,
    Tuhannya

    Moga berlapang dada,
    siapa yang masih
    ada

    Dari tarikan nafas,
    abuyon

    Sudah beberapa kali saya aturkan lawatan untuk bertemunya dan Rabbani tetapi tidak kesampaian

    Hanya suaranya nanti jadi ingatan kerana perginya tak kembali

    Allah

  • KakLong

    assalamualaikum.
    Syukur kepada Allah dan Selawat ke atas baginda Rasulullah SAW.saya betul2 bersyukur kerana menemui laman blog ini.segala maklumat yang diberikan sangat bermanfaat.saya kongsikan maklumatnya dengan pelajar2 saya.takziah kepada allahyarham ustaz Asri.moga rohnya dicucuri rahmat.kita juga akan menyusul nanti pada giliran yang tidak kita ketahui.tambahan pula dgn pelbagai musibah pada masa kini.terima kasih ustaz.teruskan menulis.saya amat hargai.kalau boleh ceritakan juga tentang virus yang bermaharajalela pada waktu ini “H1N1”.

  • Amin elfutuwwah

    Ajal maut di tangan Allah, tak siapa sangka kita jua dijemput kembali padaNya. Nikmat usia kita Allah telah tetapkn qadarnya dan sesungguhnya kita milik Allah dan kpaNya jualah kita kembali. Sunguh saya rasa tersentuh sekali mendengar khabar pemergian insan seni seperti Allahuyarhamh Ust Asri Hj Ibrahim. Secara peribadi, saya amat meminati dan menyanjung tinggi beliau seadanya. Saya sunguh terkesan sekali akan kehilangan beliau. Semoga ruh beliau dicucuri rahmat kasih sayang Allah dan bersama para kekasih Allah dr kalangan para sholihin. Insya Allah ukhwah kta sampai ke syurga dan semga Allah memberikan syafaat kekasihNya Rasulullah s.a.w kpd kta seterusnya mengecap nikmat telaga kauthar kekasih Allah….ameen…

    TanbihulGhafilin…..
    “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” LUQMAN:34

  • wardah

    Kematian tidak mengenal usia, datang tanpa disedari. Ini sebagai iktibar buat kita yang masih hidup.
    Moga Ustaz Asri ditempatkan dikalangan orang-orang soleh. Amin

  • muhammad fakhruddin

    Al-Fatihah buat Ustaz Asri,takziah buat keluarganya dan rakan beliau dalam Rabbani.Moga beliau tergolong dalam kalangan orang yang soleh…

    Allahummaghfirlahu warhamhu wa’fuanhu

  • husaini a. hamid

    Salam ustaz.
    Mmg mengejutkan pemergian asri ibrahim. rakan yang juga saya anggap “adik” dalam industri nasyid.Bila berurusan dgn rabbani dlm mengatur aktiviti nasyid kita kan terpikat dgn akhlak ust asri dan ahli-ahli rabbani yg pandai hormat pd yang tua.
    sedih atas pemergian nya. Muga ahli rabbani yang lain dpt meneruskan perjuangan nasyid ini hingga akhir hayat.Asri akan tetap saya kenang atas ramah dan kebaikan akhlak nya

  • gentarasa

    Salam ustaz,
    Jangan sedih. Semalam saya hadir ziarah dan solat jenazah. Ustaz Asri seakan tidur… sahaja. Tenang dan tenteram saya lihat wajahnya. Ramai sungguh yang solat. Orang baik, insya-Allah Allah tunjukkan kebaikannya di dunia lagi. Dialah adik-adik nasyid yang terus datang dan ziarah saya di waktu saya susah dan kesepian selepas penahanan dulu. Dia tidak berubah ketika orang lain berubah. Kalau dia bersalam tentu dia nak mencium tangan saya… tetapi saya tetap menariknya. Begitulah setiap kali hingga dia naik segan. Sejak itu saya selesa kami bersalam biasa sahaja.
    Saya inginkan sahabat… yang tidak menilai pada nama, harta dan glamour. Yang mampu menerima saya seadanya. Dan Allahyarham adalah adalah seorang daripadanya. Ya Allah, ampunilah sahabatku, kesihanilah dia, afiat dia dan masukkanlah dia ke dalam syurga yang kekal abadi. Amin.
    Ustaz Husaini, salam persahabatan berkekalan saya hulurkan. Mungkin jarang bertemu, tetapi sekali bertemu terasa kemesraannya.

  • gentarasa

    Salam ustaz ABU SAIF,
    Walau tidak mengenal peribadi ustaz Asri, tetapi insya-Allah ustaz, ana dan kita semua dalam satu misi. Umat ini telah banyak terhutang budi kepadanya… dialah nikmat Allah dalam perjuangan menegakkan kalimatullah ini.
    Juga, pada ustaz. Jaga kesihatan iman dan jasad. Ramai yang telah, sedang akan terus menagih manfaat daripada tulisan dan nasihat-nasihat ustaz. Ana mendoakan ustaz terus bergerak jauh dan menerusi liku-liku jihad dalam belantara jahiliyyah yang dahsyat ini dengan selamat dan menyelamatkan.
    Maaf, tidak mampu meninggalkan jejak apabila ziarah ke blog ustaz. Masih belum arif dengan segala serabut dan kabut teknologi ICT ini. Email dan password yang ustaz ajar ana dengan Adib dulu itulah juga yang kekal sampai kini. Fobia IT ana masih belum dapat diatasi.
    Oh, ya… cium untuk Yop bagi pihak ana.

  • nuriman

    Salam alaik..Anak saya besar dengan alunan zikir dan nasyidnya..ketika dengan Nadamurni lagi..teringat nasyid Di Pondok Kecil…kini dia pergi tak kembali…biarpun hanya mengenali melalui lagunya tetapi tetap sebak…Al Fatihah…

  • shafifah

    JADUAL PENGAJIAN ILMU HUJUNG MINGGU INI 14-16 OGOS 2009

    KLIK :
    http://pondokhabib.files.wordpress.com/2009/08/majlis.jpg

  • Azman Abdillah

    Assalamualaikum Ust,satu persatu sahabat seperjuangan kita pergi meninggalkan kita. Lazimnya bila dah tiada segala kenangan,jasa dan budi baik akan dicanai semula. Tapi,kita yang masih ada,semakin hari semakin jauh entah kemana..
    Bilakah lagi saatnya untuk melihat semua rakan-rakan kita bersatu semula walau dihimpit oleh kesibukan dunia. Melihat Arwah,tenang hati ini,tapi dalam masa yg sama cemas bersilih ganti,bimbang bagaimanakah agaknya bila diri tiada,adakah teman-teman akan hadir,kerana diwaktu hidup pun sukar untuk berjumpa.Wallahualam

  • arupasirdi

    salam ustaz,
    salam takziah buat ustaz asri ibrahim sekeluarga. Kematian datang dgn tiba2, tiada siapa yg boleh menjangka cepat atau lambatnya. Semuga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh beliau. Buat isteri serta anak-anak Allahyarham, saya doakan semuga tabah menjalani hari2 yang mendatang. Banyak2kan bersabar…..terutama dalam membesar dan mendidik anak2 yang masih kecil ….

  • sunah

    salam ustaz, benar lah seperti pengunjung-pengunjung yang lain..membaca sahaja entri ini sudah cukup untuk menyebakkan hati..pagi 13 ogos itu pun ana terpana apabila membaca nota2 di YM sahabat-sahabat mengenai pemergiannya. seperti tidak percaya, ana cuba cari maklumat di utusan online, innalillahi wa inna ilaihi raji’uun..benarlah, ustaz Asri telah kembali kepada Penciptanya. semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang bertaqwa..amiin..

    mendengar lagu-lagu nasyid kumpulan Rabbani kini mengundang rasa sedih, entah bagaimana agaknya kumpulan itu selepas ini? semoga terus tetap di jalan dakwah…

  • MUSLIMAH

    Salam…

    Setiap kehidupan dan kematian adalah iktibar dan ingatan buat kita semua…moga rohnya dicucuri rahmat-Nya… amiiinnn

    ustaz dah tgk blog ni?
    http://mualaffalbidayuhi.blogspot.com

    seorang saudara baru yang akan faqih ttg agama…Alhamdulillah…

  • rose kalas

    Salam ustaz,

    Mendengar zikrullah oleh Ustaz Asri dalam Astro Oasis, terasa seolah-olah arwah masih ada di alam fana ini. Namun hakikatnya, arwah telah menghadapi pemergian yang abadi. Rahmat Allah untuk rohnya. Amin

  • rose kalas

    Salam ustaz,

    Saya telah membaca dan memiliki dua buah buku tulisan ustaz iaitu Tentang Cinta dan Dilema Melayu Islam. Apabila saya mengunjungi kedai buku, saya akan berdoa kepada Allah agar memberikan pertunjuk kepada saya untuk ditemukan dengan buku-buku yang bermanfaat khususnya untuk pengisian rohani. Alhamdulillah, buku-buku ini antara yang saya jumpa. Terima kasih dari orang Sarawak.

  • Zayu Hisham

    Salam…semoga perjuangan arwah diteruskan lagi oleh sahabat-sahabat di Rabbani.Tugas kita ialah menginsafi diri. Amar makruf Nahi Munkar…..

  • Mujahid ANBU

    salam Ustad..saya mengenal ustad baru sahaja..dengan membaca buku nota seorang lelaki..allahyarham meninggalkan dakwah yang berkesan..namun saya gusar..kalau tiada penyambung nadi dakwah islam dalam jiwa muda mudi..islam mengikut zaman atau zaman mengikut islam..kalau boleh dapat ustad bersama muda mudi di facebook..hubungan manusia rangkaian antara dunia..

  • anak baik

    Abuya, Husam sensitif bila mendgr berita tu. Dia kata dia nangis 3 hari dn slalu sebak dgn kematian Ustz Asri. Jah nasihatkn dia supaya jgn emosional sangt tp, dia tu..alahai lembut orgnyer.. jah risau jgk tgk dia pasal dia kurang tumpu pd study.. cane ni Abuya?

  • gentarasa

    Salam zayu Hisyam,
    Ya, pasti ada penerus perjuangan agama Allah ini. Dan semoga kita terpilih untuk itu. Amin.

  • gentarasa

    Salam rose kalas,

    Semoga terus sudi membaca buku dari saya. Jika kelapangan, baca juga buku NOTA HATI SEORANG LELAKI. Dan tolong cadangkan kalau ada buku-buku yang pernah saudara/i baca untuk saya baca bersama. Siapa kita 5 tahun akan datang di tentukan oleh 2… 1. Dengan siapa kita bergaul? 2. Buku apa yang kita baca? Begitulah kata bijakpandai!

  • gentarasa

    Salam muslimah,
    Masya-Allah, hebatnya blog tu. Saya terkesima membacanya. Mengalirkan air mata!

  • mualaffalbidayuhi

    salam ustaz,trma ksih atas sokongan ust pd ana..ana amat mghargainya..
    ana sdg menulis kisah hidup ana sblum memeluk islam shgga ana mndapat hidayah,harap ust dapat bagi tunjuk ajar dan dorongan utk saya terus kehadapan dlm medan dakwah ini.tahniah skali lagi atas penerbitan majalah SOLUSI.

  • starry

    nak share.tq

Leave a Reply

%d bloggers like this: