Looking for Something?

TAUHID ITU SEGALA-GALANYA!

Author:

Pengurusan stress 1Di hadapan Kaabah… seorang suami berdoa agar Tuhan memperkenankan hajatnya untuk berpoligami. Di tempat yang sama si isteri pula berdoa agar Allah menghalang hajat suaminya. Doa keduanya saling bertentangan. Namun kedua-duanya sama ikhlas. Hati mereka sama-sama suci. Isteri berdoa agar suaminya tidak berpoligami bukan kerana menolak hukum Allah tetapi kerana dirasakan dirinya tidak mampu menanggung ujian. Dia menerima dari segi ilmu dan hukum, tapi apakan daya, diri tidak kuat melaksanakannya… Manakala si suami pula bukan didorong kerakusan nafsu atau hendak berfoya-foya, tetapi benar-benar ikhlas atas sebab-sebab yang syari’e.

Lalu, doa siapakah yang akan diperkenankan Tuhan? Wah, payahnya mengukur kemisterian takdir di neraca fikiran tadbir. Walau hanya andaian, namun hati kecil tetap inginkan kepastian. Bagaimana ya? Mungkin jawapannya begini… jika kedua-duanya sama-sama ikhlas, maka Allah akan tentukan yang terbaik untuk kedua-dua mereka. Jika berpoligami itu yang terbaik untuk mereka berdua maka itulah yang akan ditakdirkan berlaku. Sungguhpun kelihatannya hajat suami yang diperkenankan, tetapi poligami itu cepat atau lambat, pasti akan membawa kebaikan juga kepada siisteri yang tidak mahukannya.

Sebaliknya, jika poligami itu tidak baik untuk keduanya, maka Allah tidak akan takdirkan poligami itu berlaku. Mungkin pada awalnya, hanya si isteri menarik nafas lega kerana doanya diperkenankan, namun insya-Allah, si suami yang gagal berpoligami itu pun nanti akan mendapat kebaikan (walaupun hajatnya tidak kesampaian). Doa siapa yang akan diperkenankan? Itu tidak pasti. Yang pasti ialah apa yang terbaik untuk keduanya akan berlaku. Apakah pengajaran di sebalik persoalan di atas? Ya, Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Dengan akal manusia diberi keupayaan untuk menilai yang mana baik, yang mana buruk, tetapi sebijak mana pun akal… kemampuannya tetap terbatas. Justeru manusia tetap perlukan wahyu untuk memandu akalnya. Tegasnya, manusia yang ‘tidak serba tahu’ ini sentiasa perlukan Tuhan yang Maha Mengetahui untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya. Hakikat ini telah Allah tegaskan melalui firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya” Al Baqarah 216

Hakikat itu mesti sentiasa terpahat dalam hati dan fikiran manusia setiap kali berdepan dengan apa jua persoalan dalam hidupnya. Berbincang, berusaha dan putuskanlah apa sahaja… tetapi persoalan tauhid mestilah menjadi dasar pemikiran dan asas pertimbangan kita. Tuhan telah menentukan yang mana yang benar dan batil, mana yang betul dan salah, mana yang baik dan buruk. Akal manusia yang terbatas itu mestilah digunakan dalam batas-batas itu. Kebebasan akal terletak dalam lingkungan hukum Allah. Jika keluar dari lingkungan itu, bukan bebas yang dinikmati tetapi terbabas.

Umpama kipas yang berpusing. Berpusinglah selaju mungkin tetapi mestilah terikat kukuh pada dinding atau syiling. Jika pengikatnya longgar, alamat hancurlah kipas yang berpusing itu. Maka begitulah akal manusia, syiling atau dindingnya sandarannya ialah wahyu. Manakala pengikatnya ialah tauhid.

Justifikasi yang sama mesti digunakan dalam perbincangan tentang isu poligami, hudud, murtad dan lain-lain lagi. Akidah mestilah mendasari setiap perbincangan, keputusan dan tindakan. Kuasa mutlak Tuhan dalam menentukan sesuatu yang baik, benar dan betul jangan dilanggar apalagi dicabar. Misalnya, adalah jelas, Allah telah mengharuskan poligami. Dan keharusan itu diiringi pula oleh peraturan dan syarat-syarat-syaratnya. Manusia, tidak kira lelaki atau wanita, mesti menerima hukum ini dan segala syarat yang berkaitannya.

Tidak mengapa, jika akal belum nampak akan kebaikan sesuatu hukum Allah. Tetapi ingat, itu bukanlah bererti hukum Allah itu tidak baik tetapi akal sesetengah manusia yang belum mampu melihat akan kebaikan itu. Sepertimana kita mampu melihat seluruh bintang di langit, bukan kerana bintang itu tidak ada ataupun ia tidak bercahaya, tetapi pandangan kita yang dilindungi awan atau mata tidak berupaya melihat kerana kejauhan. Begitu juga hukum Allah, tentu ada kebaikan yang menjadi sebab Tuhan mewajibkan, menghalalkan atau mengharuskannya. Jangan jadi seperti kata pepatah, tidak tahu menari dikatakan lantai tinggi rendah.

Poligami misalnya, dihalalkan dengan syarat-syarat yang ketat. Hanya si suami yang mampu memberi nafkah (zahir dan batin) dan mampu berlaku adil kepada isteri-isteri diharuskan melakukannya. Maksudnya, pintu poligami hanya terbuka untuk ‘lelaki-lelaki istimewa’ dan pada keadaan dan syarat yang istimewa juga. Dan begitu juga, bagi pihak wanita. Walaupun pengorbanan yang agak tinggi diperlukan, namun pasti ada juga sebilangan ‘wanita istimewa’ yang sanggup dimadukan. Tuhan Maha Mengetahui hakikat ini, maka atas dasar itulah poligami dihalalkan.

Adalah tidak adil bagi Tuhan untuk menutup pintu poligami dengan meminggirkan situasi, kondisi serta insan yang benar-benar mahu, mampu malah kadangkala terdesak untuk melaksanakannya. Untuk mereka inilah syariat diturunkan. Bukan untuk manfaat kaum lelaki sahaja, malah untuk kaum wanita juga. Pintu ini tidaklah dibuka seluas-seluasnya sepertimana perkahwinan monogami, tetapi dirapatkan sedikit agar tidak dilalui sewenang-wenangnya. Ia umpama ‘pintu kecemasan’ yang terbuka bila keadaan mendesak. Bayangkan, bagaimanakah keadaannya bila sebuah bangunan atau kenderaan besar terbakar, tanpa pintu kecemasan?

Poligami tidak boleh dipersalahkan hanya kerana ada segelintir lelaki ‘hidung belang’ yang memperalatkannya untuk tujuan jahat. Yang salah, pelakunya bukan subjeknya (poligami). Jika logik yang sama digunakan, mungkinkah nanti akan tiba pada satu keadaan yang sangat ekstrem yang mana monogami juga hendak diharamkan bila terdapat ramai lelaki memperalatkannya untuk melaksanakan tujuan-tujuan jahatnya.

Ya, di dunia masa kini bukan sahaja ramai di kalangan lelaki berpoligami tidak berlaku adil, malah ramai juga lelaki bermonogami sudah tidak mampu lagi melaksanakan tanggung-jawab dan kewajiban sebagai suami. Maka ketika itu apa tindakan kita, mengharamkan monogami? Begitulah juga halnya dengan poligami, ia tidak boleh dipandang negatif hanya kerana kesalahan para pelaksananya.

Pihak yang anti-poligami, sebenarnya bukan sahaja menentang sesuatu yang dihalalkan oleh Tuhan, tetapi turut menganiaya nasib wanita lain yang perlukan pembelaan. Apa yang sebenarnya perlu diperjuangkan ialah keadilan pihak lelaki (tidak kira yang berpoligami mahupun yang monogami). Tuntutlah agar lelaki berlaku adil dan menjalankan peranannya sebagai suami dan berkempenlah untuk itu. Tidak salah wanita memperjuangkan sesuatu yang memang telah diperuntukkan oleh Allah buat mereka tetapi masih belum ditunaikan oleh kaum lelaki.

Inilah yang telah diperjuangkan oleh kaum wanita pada zaman Rasulullahlah s.a.w. dan para sahabat. Kita telah lihat bagaimana kepetahan seorang wanita bernama Asma’ ketika memperjuangkan status wanita yang tidak berpeluang berjihad ke medan perang seperti suami-suami mereka. Kita juga mendengar bagaimana Hindun isteri Abu Suffyan yang bertanya tentang perbuatannya mengambil wang dari suaminya yang kedekut. Begitu juga kisah seorang wanita yang menegur Sayidina Umar tentang nilai maskahwin wanita.

Berat atau ringannya hukum Allah ini kekadang tergantung pada kekuatan tauhid seseorang individu untuk melaksanakannya. Kadangkala ada seseorang individu atau sesuatu kaum yang merasa mudah melaksanakan sesuatu hukum, tetapi hukum yang sama terasa payah pada seseorang atau kaum yang lain. Manusia diciptakan berbeza keupayaan, maka berbeza pulalah penanggungan mereka dalam melaksanakan sesuatu suruhan atau larangan daripada Tuhan. Namun, manusia mesti menerima hukum itu dengan rela selaras dengan sifat kehambaannya, walaupun kadangkala terdapat kecuaian, kelemahan dan kekurangan dari segi pelaksanaannya. Firman Allah:
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapannya, “kami mendengar dan kami patuh.” An Nuur 51

Adalah salah jika kita tidak melaksanakan hukum Tuhan, tetapi adalah lebih bersalah jika kita menolak terus kewajipan sesuatu hukum itu. Katalah, solat – hukumnya wajib. Adalah berdosa jika kita tidak melaksanakannya, namun adalah lebih berdosa jika kita menolak terus kewajipannya. Sama juga dengan poligami, hudud dan sebagainya. Soal kita melaksanakannya atau tidak itu satu hal, tetapi soal mengingkari status hukumnya itu satu hal yang lain pula. Justeru, usahlah hendaknya kewajaran sesuatu hukum Allah diperdebatkan atau didiskusikan tanpa dikaitkan dengan soal tauhid!

Feedback

13
  • Azlan Shah

    Assalamualaikum,

    Wah, penjelasan yang menyengat Minda!

    Syukran Ust,

    Semoga mereka2 yang sering mempersoalkan dan mengkritik hukum2 Allah Azza Wa Jalla berpeluang atau diRezekikan untuk membaca artikel ini

  • taj

    salam,

    kebanyakan yg memberi hujah dan memperlekehkan isu poligami adalah org2 yg tiada ilmu…semoga entri ini dpt menjawab segala tohmahan ttg poligami, yg mana rata2 mengata poligami ini sesuatu yg buruk… keindahannya tiada diperlihatkan…Islam itu Indah…

  • khairul

    terimakasih atas artikel yg banyak manafaatnya dalam kita mencari ketaqwaan di bulan mulia ini

  • gentarasa

    Salam Khairul,
    Syukran juga untukmu. Orang yang baik-baik akan nampak yang baik-baik sahaja. Khair!

  • gentarasa

    Salam taj,
    Islam itun indah. Tetapi jika ada yang belum dapat melihat keindahannya, itu petanda jiwa kita yang belum indah. Ya, Allah hiasilah hati ini untuk melihat keindahan ajaranMu!

  • gentarasa

    Salam Azlan,
    Semoga Allah membuka pintu hati kita dan mereka semua untuk menerima dan menegakkan hukum Allah dalam diri dan masyarakat kita.

  • al

    artikel yang mengajar erti ikhlas mencintai suami/isteri kerana ALLAH

  • Mohd najib

    Ana guna artikel ustaz di blog ana.. credit to gentar-rasa.com

  • nazri

    Assalamualaikum Ust. kaifah?. 🙂 syukran. nice artikel ni.

  • aziza

    salam ya ustaz… benar, hukum ALLAH tidak pernah salah krna ALLAH mnjdikan sesuatu bukan sia-sia, tetapi hambanye yang mprmainkan hukum itu yang mengambil kesempatan.. mengambil “dibolehkan kawin dari satu” tapi x mengambil syarat2 yg disertakan dri syarat poligami itu… bukankah itu tanda org tak beriman… bnyk yg berlaku dalam situasi sekarang.. moga ALLAH memberi ‘mereka dlm golongan ini’ pengajaran kerana mempermainkan hukum ALLAH…

  • gentarasa

    Salam aziza,
    Allah Maha Tahu siapa yang memperalatkan agama untuk tujuan diri. Kita ada Allah, sebagai hakim yang Maha Adil. Dan ada akhirat, tempat keadilan muktamad.

  • Pustaka Global

    Terbitan E-book: POLIGAMI ANUGERAH TUHAN

    Tajuk : POLIGAMI ANUGERAH TUHAN
    Penulis : MD LUTFI BIN YUSOF
    Penerbit : PUSTAKA GLOBAL
    ISBN : ISBN 983-43879-0-7
    Mode : e-book, boleh dicetak.

    Pembelian boleh dibuat secara online daripada penerbit.
    Untuk keterangan lanjut:

    http://www.impstandard.com/anugerah

    Terimakasih.
    Penerbit.

  • kleding blog

    What’s up, its pleasant paragraph regarding media print, we all know media is a wonderful source of data.

Leave a Reply

%d bloggers like this: