RSS

MADAH HATI DI AIDIL FITRI

17 Sep

menu hati 3Syawal menjelang tiba. Namun, untuk merayakannya dengan penuh gembira… hati masih berbelah bagi. Justeru mengenangkan apakah Ramadhan ini sudah terisi dengan penuh bererti. Bila bermuhasabah dengan sejujur-jujurnya, kita pasti terasa pencapaian kita masih jauh daripada insan-insan mulia di awal kurun – khususnya para sahabat, tabiin dan tabiut tabiin.

Saya pernah menulis dua sajak yang telah menjadi nasyid tentang subjek ini (mengenai betapa jauhnya kita daripada hakikat puasa yang sebenarnya). Sebuah nasyid, MUHASABAH RAMADHAN telahpun dikumandangkan oleh kumpulan INTEAM atau UNIC (saya kurang pasti). Dan sebuah nasyid lagi RAMADHAN DUA ZAMAN (yang telah dibawa oleh Nazery ex-Raihan).

Saya hanya ingin berkongsi dengan anda saudara/i pengunjung blog Gentarasa yang setia. Hakikatnya kita hanya layak “menumpang” gembira insan-insan soleh di akhir zaman ini. Marilah kita sudahi baki Ramadhan yang ada dengan pecutan amal yang paling maksimum.

Bukan sahaja amalan sunat kita pertingkat, tetapi maksiat mata, telinga dan rasa hati juga wajib diperangi. Malah, meninggalkan mengumpat di siang hari itu hakikatnya lebih utama daripada solat malam. Didik, tekan dan sesahlah jiwa agar mampu MEMAAFKAN dan MELUPAKAN.

Entri dalam blog ini yang paling mendapat komen, ulasan dan perhatian ialah BERILAH KEMAAFAN itu. Begitu sukar, tetapi itulah yang menjadi penghalang kita menuju Allah. Sesuatu yang paling sukar itu sebenarnya “marhalah” yang paling sukar dalam jalan mujahadah kita. Ingat saudara/i ku, teliti dengan sedalamnya apa yang paling sukar dan menusuk hatimu saat ini dan kebanyakkan saat-saat mu dalam kehidupan ini. Hingga terasa dalam hatimu, “kalaulah masalah@orang@perkara ini selesai… maka tenanglah hidup ku. Kenapa yang satu ini cukup mengganggu aku?”

Sebenarnya, itulah, dialah, perkara itulah… jika dapat diatasi berpandukan akidah, syariat dan akhlak yang baik, akan membawa kita jauh ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah. Yang paling sukar itulah MAHAR cinta Allah. Allah letakkan mahar itu mungkin pada… manusia yang paling kau “benci”, mungkin pada perkara yang paling ingin kau lari daripadanya, mungkin kepada “penyakit” yang paling kau sedang hadapi kini atau apa-apa sahaja yang paling menekan, menyusahkan dan membimbangkanmu!

Sahabatku, jangan lari. Tetapi hadapi. Jangan mengelak , tetapi berdepanlah. Terimalah realiti walaupun pahit atau pedih amat. Itulah anak tangga yang kau mesti pijak untuk melonjak ke daerah tinggi. Jika kita lari, pasti anak tangga yang sama akan memburu dan menghantui kita dalam rupa yang berbeza tetapi mesejnya tetap sama. Kita tidak akan naik ke kelas atas, kita selamanya akan berada di kelas itu juga. Begitulah kata mereka yang arif, cara Allah mendidik kita dalam universiti kehidupan ini.

Temanku, dunia ini adalah sebuah sekolah. Kita di sini bukan untuk didera, tetapi untuk ditempa… dididik oleh MURABBI paling agung dengan mehnah (ujian), qada’ serta qadar-Nya. Pelajaran itu kekadang diletakkan Allah pada manusia lain, pada peristiwa, pada kejadian, pada penyakit, pada kegagalan, pada kejayaan… ya selamanya kita akan dididik. Berterus-terusan. Hingga layak kita menerima sekalung ijazah bernama Qalbun Salim (hati yang sejahtera).

Di mana kita dalam “Universiti Kehidupan” ini? Masih bertatih dalam “sekolah rendah” yang tidak pernah meningkat kelas? (masih mengeluh dan berontak bila diuji?) Atau masih di “sekolah menengah” yang masih terkial-kial menduduki peperiksaan yang sama tahun demi tahun? (kekadang tenang kekadang resah bila diuji) Atau paling malang masih diperingkat “tadika” yang masih tidak matang, alpa dan masih terus ingin bermain-main? Tidak teringinkah kita menjadi graduan-graduan  yang lulus pangkat pertama lalu melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan MA dan Ph.d? (Di situlah “bersemanyam”nya para sahabat Rasulullah dan para waliullah yang tersenyum bila diuji)

Aduh, madrasah Ramadhan ini semakin sampai ke hujung. Ketika para Salafussoleh membawa kurnia keampunan dan cinta yang begitu tinggi dan indah apa yang kita bawa untuk diri ini? Ya, Allah… pada kami hanya ada takut dan harap. Takut kemurkaan-Mu. Harap keampunan-Mu. Lalu, hatiku bermadah lagi… MADAH HATI DI AIDIL FITRI

pemandangan indah

TAKUT & HARAP…
DI AIDIL FITRI

Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan tekunnya amalan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan…
persengketaan
Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh perpecahan ukhuwah
Sejauh mana kasih sesama manusia
Dibatasi oleh cinta pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah perpaduan

Kekadang Allah menyempitkan…
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
Kekadang Dia melapangkan…
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!

Ya Allah,
semoga di kemeriahan Syawal nanti
Hati kami tetap di madrasah Ramadan
Dalam alpa dan berdosa… kami takut
Dalam ingat dan taat… kami harap
Takut kemurkaan-MU!
Harap keampunan-MU!

Allah hu Akbar… Allah hu Akbar…
Walillahhilhamd!
gambar sajak 3

SEMAI KEBAIKAN…
TUAI KEREDHAAN

Pada yang empunya harta melimpah
hulurkanlah zakat dan sedekah
Pada yang gagah sihat dan kuat
berilah tenaga dan keringat

Pada yang berbakat dan cendikiawan
murahlah dengan khidmat dan pengajaran
Pada yang miskin dan kesempitan
bersedekahlah dengan senyuman

Semua kita harus pemurah
Memberi bukan untuk bermegah
Tetapi itulah perintah Allah
Sebagai perantara rahmat dan barakah

Di dunia menyemai kebaikan…
Di akhirat nanti menuai keredhaan…
Di sini tempat berkerja memerah tenaga
Di sana tempat berehat menikmati syurga

Ramadan itu medan mujahadah
Agar di Syawal kembali ke fitrah
Perjuangan memang pahit kerana syurga itu manis
Ramadan itu bagai ‘dunia’ – menempuh ujian
Syawal itu umpama ‘akhirat’ – menempah kejayaan!

SATAY

PERISA HATI DI AIDIL FITRI

Kepelbagaian perisa menjadi satu rasa
Aroma yang berbeza bumbu kelazatannya
Pedas, harum, manis dan pahit bergaul mesra
Dalam resepi warisan sejak dahulukala

Pada kelembutan ketupat dan lemang
Pada keenakan lodeh dan rendang
Bersalut segala kreativiti dan aspirasi
Melahirkan citarasa yang serasi dan harmoni

Begitulah kiasan di Hari Raya
Hari mempertemukan semua yang berbeza
Segala bangsa, budaya dan agama
Buat menjalinkan kesatuan rasa

Berbeza bukan untuk bertentangan
Pelbagai bukan untuk bertikai
Di Aidil Fitri kita dipertemukan
Bagai ramuan dalam satu masakan

Inilah menu hakiki…
Inilah persaudaraan sejati…
Perisa hati di Aidil Fitri!
sajak 8

MAHAR CINTA SYAWAL

Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…
Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Hitung syukurmu di istana rahmat-Nya
Renung sukarmu di penjara dosa-dosa
Moga keberkatan Ramadhan…
Agar Kemuliaan Syawal…
Menjadi mahar seorang hamba…
untuk melamar cinta Tuhannya!

MAAF ZAHIR DAN BATIN SEPENUH DAN SELURUH DARIPADAKU.… Pahrol Mohamad Juoi.

 
20 Komen

Posted by di 17 September 2009 in Diari Hati

 

Label: , , , , ,

20 responses to “MADAH HATI DI AIDIL FITRI

  1. husna

    17 September 2009 at 11:46 am

    jazallahu khairan kathira..

     
  2. SZ

    17 September 2009 at 1:29 pm

    Terima kasih ustaz kerana sering mengingatkan. Moga hati saya sentiasa lembut menerima nasihat dan moga saya dapat berubah ke arah yang lebih baik.

    Salam Aidilfitri buat Ustaz sekeluarga. Dan terima kasih sekali lagi kerana pengisian yang amat menyentuh jiwa.

     
  3. NIK

    17 September 2009 at 6:29 pm

    ASSALAMUALAIKUM.. ya ustaz.. sajak ustaz sgt menarik dan ana bercita2 utk menjadi sasterawan islam.. blh ustaz berkogsi?? tips??

     
  4. Abu Musaddad

    17 September 2009 at 8:39 pm

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

    Di kesempatan ini, ana ingin mengucapkan “SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN” kepada semua umat Islam khususnya rakan-rakan blogger. Semoga semuanya diberkati dan dilindungi Allah SWT.

    Berhati-hati apabila memandu di jalanraya…Semoga semuanya selamat ke destinasi yang dituju….Ameen.
    —————————————–
    Ikhlas daripada :
    Abu Musaddad

    http://ibnismail.wordpress.com

     
  5. budak tadika yg blum naik kelas khidupann

    17 September 2009 at 9:26 pm

    terasa ALLAH sedang berkata-kata direct dengan saya melalui tulisan ustaz pahrol..persoalan-persoalan yg sering saya ajukan kepada ALLAH mengapa hidup saya tidak penuh onak duri kini terjawab.ALHAMDULILLAH..ALLAH membalas jawapan kepada semua persoalan saya kepada NYA melalui setiap baris tulisan ustaz.Subhanallah..

     
  6. arupasirdi

    18 September 2009 at 5:21 am

    salam ustaz,
    “Selamat Hari Raya ” buat ustaz sekeluarga. Beraya di mana tahun ni?

     
  7. gentarasa

    18 September 2009 at 5:44 am

    Salam arupasirdi,
    Saya di kl sahaja. Kemudian akan pulang ke utara sebentar ziarah orang tua dan ke selatan pula. Salam Aidil fitri juga buat akhi sekeluarga. Bila nak jumpa agaknya?

     
  8. gentarasa

    18 September 2009 at 5:51 am

    Salam ustaz,
    Blog ustaz sangat menarik. Salam Aidil Fitri untuk ustaz dan isteri tersayang serta anak-anak yang soleh. Amin. Insya-Allah.

     
  9. gentarasa

    18 September 2009 at 5:52 am

    Salam nurhanis,
    Mudah-mudahan kita sentiasa bdermujahadah untuk sentiasa belajar di sekolah ini. Salam Aidil Fitri, maaf zahir dan batin untukmu dan keluarga.

     
  10. muhammad fakhruddin

    18 September 2009 at 7:32 pm

    Assalamualaikum ustaz,
    semoga Aidilfitri memberi erti
    memujahadah diri
    menempuh gelombang realiti.

     
  11. nadiah hillmee

    18 September 2009 at 9:54 pm

    salam ustaz..minta izin untuk copy paste entri ni di facebook saya.i find the article to be very inspiring and i’m glad to share this with others yang mungkin belum tahu tentang blog ini..terima kasih di atas nasihat yang sangat bermakna ini.:)

     
  12. sunah

    21 September 2009 at 7:02 pm

    salam wrt. wbt. ya ustaz..syukran atas peringatan, ana minta izin untuk kongsi salah satu puisi ustaz untuk diletakkan dalam blog ana ye..

    salam aidilfitri untuk ustaz sekeluarga dan maaf zahir batin…

     
  13. fityah91

    24 September 2009 at 7:02 pm

    salam alaik..
    alhamdulillah, syukur ya allah kaugerakkan hatiku utk membaca hari ni..dalam kelalaian menyambut syawal, kau ingatkan kembali aku pd Mu..jauh sekali bezanya fiilku di syawal ini berbanding dgn madrasah ramadhan yg lalu…
    hmm..
    ustaz, mcm mana kita nk istiqamahkan amalan kita?
    sampai bila hanya nak bersugguh-sgguh bertaqarrub kpdNya hnya pd bulan ramadhan?
    kusutnya pemikiranku malam ni…

     
  14. anak

    25 September 2009 at 4:13 am

    Salam ustaz.
    Patut ke saya benci papa saya? Dia telah maki-maki saya dan mami.
    Papa tak buat salah apa pun,cuma bila dia marah. Akan keluar segala perkataan yang tidak pernah dia ungkapkan(maki-maaf, atas kurang sopan perkataanya ustaz).
    Saya tak faham dengan mami, dia tetap sayang papa. Mami akan pujuk saya jika saya suarakan yang saya tidak suka papa. Mami juga tidak pernah ajar saya, bencikan papa.

    Saya ingat, 1syawal sudah…saya hanya lafazkan Selamat Hari Raya papa, tanpa Maaf zahir batin. Tetapi, malam raya…takbir raya buatkan saya berubah hati.

    Saat ini, saya tak pasti apa perasaan saya pada papa. Benci,sayang? Tetapi saya masih hormatkan papa kerna dia bapa saya.

     
  15. abuyon

    25 September 2009 at 12:01 pm

    salam ustaz

    Mari, atas nama Tuhan yang agung
    dan rahman, kita hulurkan dua tangan,
    dan sejuta hati kita bersalaman dari
    denyutnya yang paling
    tenang dan dalam

    Salam 1 Syawal untuk 1 Malaysia
    1 Ummah

    Selamat Hari Raya — dari kami sekeluarga
    Maaf zahir dan batin, nampak dan tak
    nyata, dari hujung ke hujungnya

     
  16. i-muhyideen

    26 September 2009 at 5:16 am

    Salam eid Mubarak Ustadz!!

    artikel di ats very inspiring!! sajk ustdz ckp mndalam mknanya…alhamdulillah..ust. ada juga blog personal mcm ni..sya dn kuarga slalu mngikuti tulisan2 ustadz sama ada d mjlh,buku ust. sndiri..hatta dlm youtube kmi “mngejar” ust..Ummi slalu brpesan klu nk tulis smthing, tulis mcm ust. krana kmi suma dpt mrasakn aliran titisn iman pd staip bait tulisan ust…moga ust trus ttp di jln ini..mwrnai dakwah d tnh air trcnta!!

    Satu soalan..knpa prayaan Raya aidil fitree kita mnganjurkn budaya maaf brmaafn?adakh ini budaya shj atau anjuran nabi S.A.W??hrp mklum blas ust…akhir skali..taqabbalallahu minna wa minkum solihul a`mal!!

     
  17. burgerkecik

    26 September 2009 at 5:47 am

    salam ustaz…
    hmm rasanya masih jauh perjalanan untuk menjadi graduan y cemerlang tu.. ntah sempat atau tak. terase exam ini terlalu susah nak dihadapi

     
  18. ashiqin

    3 Oktober 2009 at 8:07 am

    salam..
    ustz..mintak izin untk copy sajak ustaz dalm blog saya…mmg menusuk qalbu ana….
    mmg penulisan ustaz serasi dengn ana..

    teruskan perjuangan ustaz dalam berdakwah melalui penulisan…
    smge perjuangan mu diredhai…

     
  19. kamila

    4 September 2010 at 3:13 pm

    T-T

     
  20. Geo

    26 Ogos 2011 at 12:06 pm

    Saya pun nak mintak izin copy gk Ustaz…..

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,219 other followers

%d bloggers like this: