Looking for Something?

KUALITI JIWA VS KUANTITI HARTA

Author:

harta

Ramadhan telah berlalu, dan kemudian bertamu pula Syawal. Saat-saat ini sesungguhnya menghadiahkan detik yang indah untuk terus bermuhasabah. Beberapa purnama lagi tahun baru akan menjengah, apakah pecutan diri menuju taqwa semakin goyah atau semakin gagah? Ya, hakikatnya hidup perlu dijalani dengan semangat “sentiasa bersedia untuk mati”. Bila hati benci mati, itu petanda jelas bahawa aku dan kamu belum mencintai Ilahi…

Apakah cukup hanya dengan keluhan? Padahal hidup memerlukan kayuhan. Kayuhan amal yang tidak putus-putus dan tanpa jemu-jemu. Kita boleh senyum ketawa dan mesra ketika bersama manusia, namun jauh di sudut hati, biar tetap sedih dan merintih kerana mengenangkan dosa lampau, dosa kini dan dosa akan datang. Sesekali kita boleh tertawa dengan kebodohan diri, tetapi lama kelamaan jika kebodohan itu berulang, hati akan terdera oleh satu pertanyaan: Bilakah lagi aku akan matang?

Malam yang dulu tidurku terganggu. Kira bicara hati tidak menentu. Walaupun yang kukira adalah wang-wang pada nisab dan haul menjelang hujung tahun… tetapi hakikatnya yang kutimbang adalah soal hati. Hati yang masih tamak. Hati yang hanya ingin menerima tetapi begitu sukar memberi. Yang kucongak adalah zakat. Namun hakikatnya, neraca muhasabah ini ialah antara mahmudah dan mazmumah. Aku boleh menipu angka dan timbangan, tetapi mampukah aku menipu diri sendiri? Lebih-lebih lagi mampukah aku menipu Ilahi?

Yang paling penting dalam hidup ini ialah punya hati yang qanaah – hati yang berpada-pada dengan apa yang ada. Sedikit, mencukupi. Banyak, boleh diagih-agihkan. Pernah aku berjanji dengan diri sendiri, agar menjaga keinginan agar tidak melewati batas-batas keperluan. Jangan sekali-kali terjerumus ke jurang pembaziran. Keinginan yang melampaui batas, jika tidak dapat dikawal akan mengundang resah jiwa. Gejolaknya akan terus mengganggu. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas. Aku pernah tersiksa kerana itu!

Kemudian aku tersedar… bahawa kekayaan sebenar bukanlah kerana ‘memiliki’. Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya. Benar, milik Allah segala yang ada. Tetapi bukan kerana itu DIA digelar Al Ghani – Yang Maha Kaya. Allah itu Maha Kaya kerana DIA tidak memerlukan segala sesuatu, sebaliknya segala sesuatu yang memerlukan-Nya. Begitulah manusia. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keperluan terhadap dunia dan manusia … bukan dengan meningkatkan keperluan kepada keduanya.

Pernah aku temui orang kaya yang memilki harta berjuta. Segala-galanya bagai berada di hujung jarinya. Kereta, rumah, hartanah dan wang simpanannya berjuta-juta. Tetapi alangkah sedih, dia begitu miskin di sudut jiwanya. Keinginannya pada dunia sentiasa meluap-luap. Ingin itu, ingin ini. Selepas satu, satu pula keinginannya. Jiwanya sentiasa resah. Dia umpama meneguk air laut, makin banyak diminum semakin haus. Pantang ada kereta model terbaru… dia resah. Pantang ada hartanah yang nak dijual… dia gelisah. Oh, alangkah siksanya sikaya yang hidup dalam kemiskinan itu. 

Lihatlah perancangan kewangan musim yang lalu. Betapa kekadang berlaku sesuatu di luar di luar dugaan. Disangka cukup, tiba-tiba mengurang. Dijangka sempit, tiba-tiba lapang. Tidak salah merancang di batas tadbir… tetapi segalanya terlaksana di alas takdir. Sebab itu pasakkan ke dalam hati selalu, Allah itulah Ar Razzak – Maha Pemberi Rezki – yang mampu memberi melalui jalan-jalan yang misteri. Jalan yang tidak mampu dijangkau oleh akal yang terbatas, justeru upaya-Nya yang Maha Luas.

Wahai diri yang bakhil, keluarkanlah hak orang lain yang kau anggap hakmu. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kau yang memerah keringat. Ya, kau yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kau berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancainderamu itu milik siapa? Kau bukan pemiliknya. Kau hanya peminjam… Begitu juga dengan akal, hati dan perasaan yang kau gunakan untuk berfikir, merasa dan bertindak… milik siapa segalanya? Bukankah segalanya milik Allah?

Oh, rupanya aku sering terlupa bahawa usahaku semuanya, segalanya, adalah dengan ‘modal pinjaman’. Aku perlu membayarnya. Kepada siapa? Kepada Allah? Ah, Dia Maha Kaya. Dia tidak memerlukan apa-apapun daripada hamba-hamba-Nya. Namun, Allah memerintahkan agar ‘modal pinjaman’ itu dipulangkan kepada hamba-hamba-Nya yang memerlukan. Itulah golongan 8 – asnaf zakat yang memerlukan. Merekalah pemilik yang berhak ke atas harta Allah yang dipinjam oleh Sikaya. Lalu aku akur, ya Allah alangkah berdosanya aku. Aku masih tamak, aku masih rakus. Bagaikan akulah pewaris harta Qarun nan sejati – hati yang sentiasa merasa miskin!

Dulu, aku pernah menjerit kerana tidak cukup. Tapi kini aku menjerit kerana ingin lebih. Ah, apakah esok aku akan terus menjerit kerana tidak puas? Wahai diri, milikilah kematangan rasa. Jangan sekali-kali bertindak ‘terlalu’. Samada terlalu ‘mahu’ atau terlalu ‘benci’. Kesederhanaan itu selalu menyelamatkan. Ingat selalu pesan Al Quran, tangan jangan terlalu dibukakan… tetapi jangan pula terlalu digenggamkan. Titik tengah antara boros dan bakhil, itulah pemurah.

Jika wang boleh menyuburkan kasih-sayang, hulurkanlah. Jangan lokek ‘memeriahkan’ persaudaraan. Bukan Rasulullah SAW pernah bersabda sedekah terbaik ialah yang didahulukan kepada kerabat terdekat. Tetapi ingat, bukan wang itu yang mempertautkan persaudaraan… tetapi hati yang jujur. Kejujuran mampu ‘membeli’ kasih-sayang lebih dari jumlah wang yang aku miliki… Aku tidak ingin menjadi pewaris hati Qarun!

Antara kualiti jiwa dan kuantiti harta sering diri alpa dan terkesima. Jiwa dibiarkan buruk dan gelap, badan kereta pula yang asyik dilap dan digilap. Rumah ditukar langsir, dicat baru dan dihiasi perabot pelbagai jenama, tapi sayang… jiwa berterusan terus kusam, kelam dengan mazmumah yang terus bermaharajalela.

Duhai diri, apakah kamu lupakan mati? Di mana Qalbun Salim (hati yang sejahtera) yang menjadi penjamin mu di Hari yang tidak berguna semua saudara dan segala harta? Ya Allah, uzlah aku dari kejahatan diri agar tidak menjangkiti orang lain. Qanaah aku agar tidak hasad pada nikmat yang diberi kepada yang lain. Sabar aku dengan karenah insan yang menjadi “bahan uji”Mu untuk mendidik aku. Syukur aku pada nikmat yang ada tanpa mengenang apa yang tiada. Pemaaf aku pada kejahatan insan sebagai karma kejahatanku pada mereka.

Ya Allah, aku belum sampai… tetapi sungguh, aku telah mulakan perjalanan. Walau susah sungguh, untuk pasrah padaMu, penuh seluruh! Lihat aku, kesihanilah aku, kutip aku… wahai Al A’fu.

Feedback

12
  • khairul aznan

    sedih sangat dengan diri ini , bila baca artikel ini. Bagaimana nak membayangkan diri ini boleh sampai ketahap Qaglbun salim sedangkan rasa bakhil nak menyumbang pada perjuangan Islam pun susah nak dikikis. Tahu kelebihan infak, tahu keburukan bakhil,boros,membazir…..mahu melakukan….tapi nafsu sentiasa menghalang…..syaitan sentiasa menghasut……sekeliling sentiasa menghalobakan…..pemikiran sentiasa membimbangkan ….. tolonglah Ya Allah…..

  • kasturi

    subhanallah..kata-kata nasihat yang cukup menusuk qalbu..salam aidilfitri ustaz.

  • Iman

    Salam Aidilfitri ustaz,

    Jazakallah atas peringatan ini. terasa sukar mendidik hati malah lebih banyak xmngenali perihalnya hati walau letak pada diri sendiri.doakan diri ini terus mujahadah & istiqomah di jln ini..

    Maaf lahir batin di pinta.

  • Wardah

    Assalamualaikum ustaz…

    Belum terlambat rasanya utk saya ucapkan salam Eid Mubarak pd Ustaz dan keluarga.

    Terkesan saya dengan tulisan ustaz..terima kasih di atas tazkirah ini..

    Betul lah seperti yang difirmankan ALLAH SWT di dalam Al Quran :

    “sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir ”
    (Surah Al Ma’arij : 19-21)

    Oleh itu marilah kita sama-sama mencari kebahagiaan yang hakiki iaitu hati yg sentiasa tenang, lapang, merasa cukup dgn apa yg dimiliki, bersyukur dgn apa yg ada & bersabar dgn apa yg tiada..Insya Allah..

  • rayyan

    ya Allah kurniakan kami jiwa yang bersyukur

  • rose kalas

    Salam buat tuan,

    Saya teringat kata-kata datuk Dr. Fazdillah Kamsah dalam rancangan Anjakan Paradigma, “kita menderita bukan kerana kekurangan, tetapi kerana tidak bersyukur dengan apa yang ada”. Menjadi hamba kepada nafsu, sampai bila-bila hati tidak akan tenang. Apa lagi pada zaman ini masyarakat meletakkan petunjuk kejayaan hidup adalah dari aspek luaran atau material semata-mata. Nilai itu telah kita import dari Barat sebagai lambang kemajuan. Iman dan takwa bukan keutamaan. Kesannya amat dashyat. Hilangnya nilai kemanusiaan. Ya Allah, tolonglah kami untuk selalu dekat pada Mu. Amin.

  • ZatuL

    Saya suka baca buku-buku karya Ustaz..boleh dikatakan, buku2 keluaran ustaz banyak dalam koleksi buku saya..yg terbaru saya baru beli.. Nota Hati Seorang Lelaki..dihadiahkan kepada suami sempena anniversary perkahwinan kami..

  • madisyak

    Ketenteraman jiwa amat penting bagi menjana kehiudpan ini dan itulah yang saya cari-cari selama ini.

    Tulisan Ustaz amat mengesankan ke arah pencarian saya itu. Terimakasih tidak terhingga.

  • gentarasa

    Salam rose,
    Benar kata Dr. Fadhilah tu. Semoga kita terus belajar. beramal dan mujahadah untuk istiqamah. Amin.

  • nabil

    terima kasih banyak-banyak di atas peringatan ini.

  • Mujahid ANBU

    salam ustad..terdetik hati membaca artikel ustad..sungguh diri ini tidak menzakatkan segala pinjaman dari tuhan..jiwa saya menjadi papa..mungkin kerna diri menjadi alpa..keringat dan nikmat bukan dimiliki sendiri..tapi buat mereka yang merintih…saya ingin jiwa yang merdeka,jiwa yang kaya..punya kebahgiaan yang melimpah…apa itu sebenarnya CINTA..cinta kepada yang maha mencintai..ia..saya pasti bahagia…

  • Nur Muhammad

    Salam,
    Membaca semua artikel ustaz sungguh terkesan dihati,..semua arkitel seolah terkena kepada diri yang dalam pencarian. Izinkan saya menggunakan kata2 / tulisan ustaz didalam ‘jurnal’ saya. Saya memang suka menulis dan mengambil kata2 hikmah sebagai pendorong memotivasikan diri Insya-Allah kearah yg lebih baik.

Leave a Reply

%d bloggers like this: