RSS

NIKMATNYA SYURGA DUNIA!

17 Okt

86369502Pernahkah anda rasa lebih miskin setelah mendapat sesuatu? Ramai yang pernah saya tanyakan mengakui pernah. Bila saya tanyakan lagi, mengapa? Mereka menjawab, sebab keinginan jadi semakin bertambah. Ketika duit sedikit… keinginan mungkin hanya satu.

Tetapi bila duit mula bertambah, keinginan jadi 2, 3, 4 dan seterusnya. Dan paling malang bila kadar pertambahan duit itu adalah rendah berbanding kadar peningkatan keinginan… Dan kita akan menjadi lebih “kurang” dan “miskin’ daripada sebelumnya! Inilah sifat tabie manusia yang diceritakan dalam al Quran, “sangat mendalam cintanya kepada kepada harta”. Tanpa kawalan iman, keinginan itu akan menjahanamkan.

Psikologi ini malangnya dieksploitasi semaksimumnya oleh para kapitalis. Mereka tahu… sebaik manusia mendapat sesuatu, keinginan mereka mula berpindah kepada sesuatu yang lain pula. Inilah di sebalik penciptaan produk dan perkhidmatan yang begitu laju. Fesyen pakaian, jenama produk, eksesori alat telekomunikasi, menu makanan  yang sentiasa dinamik.

Dibius atas nama “kemajuan”, manusia disiksa dengan pelabagi keinginan yang tidak bertepian. Lalu… kapitalis memperalatkan kehendak nafsu manusia yang tidak ada batas dan tidak mengenal puas walaupun di sana Al Quran ada mengingatkan, “tidaklah kehidupan dunia ini melainkan mata benda yang menipu daya!” Mari ikuti tulisanini… jangan dicari neraka dunia. Carilah syurga dunia. Tetapi sebelum itu ikuti kisah ini:  Cerita ini pendek dan ringkas sahaja.

Namun pengajarannya cukup relevan dan padat. Ia mengisahkan seorang budak yang telah kehilangan sejumlah wang dalam perjalanannya ke kedai untuk membeli gula-gula. Setelah puas mencari wangnya yang hilang tetapi tidak juga ditemuinya, maka budak itu kecewa lalu menangis teresak-esak di tepi jalan. Tangisannya itu telah menarik perhatian seorang tua yang kebetulan sedang berjalan di situ. Orang tua itu berhenti dan lalu bertanya, “mengapa engkau menangis wahai budak?”. Budak itu menjawab, “saya kehilangan wang untuk membeli gula-gula.” Orang tua itupun bersimpati lalu berkata, “hentikanlah tangisanmu dan ini wang Pak Cik sebagai gantinya.” Budak itupun menerima wang tersebut. Namun sejurus kemudian dia menangis lagi. Malah kali ini tangisannya jauh lebih kuat. Pak Cik tadi kehairanan lalu bertanya, “kenapa engkau menangis lagi? Bukankah wangmu yang hilang itu telah kugantikan?” Budak itu terus menjawab, “saya menangis kerana jika wang sebelumnya tidak hilang, maka sudah tentu sekarang saya memiliki lebih banyak wang!” Iktibar dari kisah ini sebenarnya adalah berkisar di sekitar sifat tamak dan kerakusan manusia. Budak dalam kisah ini adalah lambang tabiat manusia yang tidak sabar dengan apa yang hilang dan tidak pernah puas dengan apa yang ada. Pada dasarnya, keadaan ini berlaku kerana dua sifat yang semakin pupus dalam jiwa manusia yakni sifat sabar dan sifat syukur.

Tangisan pertama, menunjukkan budak itu tidak sabar dengan kehilangan wangnya. Manakala tangisan kedua pula menunjukkan budak itu tidak bersyukur dengan apa yang ada. Dalam kedua-dua keadaan kanak-kanak itu susah hati. Susah hati inilah yang menyebabkan ia menangis. Susah hatinya kerana tidak sabar. Susah hatinya kerana tidak syukur. Pendek kata cerita ini membuktikan bahawa lebih atau kurangnya harta bukanlah faktor yang menentukan ketenangan jiwa.

Timbul pertanyaan dihati kita, apa sebenarnya ketenangan itu? Dan ia terletak di mana? Adalah sesuatu yang biasa jika manusia susah hati apabila ditimpa kemiskinan… Tetapi sangat aneh, mengapa ada orang yang masih susah hati ketika dilimpahi kekayaan? Ini satu persoalan yang menarik untuk dibincangkan. Sebenarnya dalam Islam hakikat kekayaan ialah kaya hati. Inilah kekayaan yang hakiki. Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak harta. Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya jiwa.” Rasulullah SAW bersabda lagi: “Bukanlah dinamakan kaya itu kerana berlimpah ruahnya harta, tetapi yang dinamakan kaya itu ialah kaya jiwa.”

Apakah yang dimaksudkan dengan kaya hati? Kaya hati ialah hati itu mampu bersabar apabila ditimpa kemiskinan dan mampu bersyukur apabila mendapat kekayaan. Dan dalam apa jua keadaan orang yang memiliki hati yang sedemikian akan mendapat ketenangan dalam hidupnya. Ketenangan inilah yang menjadi asas dan teras pada kekayaan hakiki pada seseorang individu. Dan Maha Adil Tuhan yang telah menentukan bahawa kekayaan hati itu boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja tidak kira simiskin atau sikaya. Asalkan sahaja hati itu dihubungkan dengan Allah, maka hati itu akan tenang.

Firman Allah: “Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Al Ra’d Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenang dengan mengingati Tuhan? Ini kerana apabila hati seseorang mengingati Tuhan maka seseorang individu itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa dirinya. Bila ditimpa musibah, katalah kemiskinan, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan dari Allah yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah.

Walaupun dia telah berusaha segigih dan sekuat mungkin, tetapi jika ditakdirkan miskin … diterimanya ketentuan itu dengan hati yang sabar. Dalam hatinya dia berkata, “takdir sentiasa mengatasi tadbir. Tentu ada hikmah di sebalik kepahitan ini.”Dia tidak aka n menyalahkan dirinya, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpanya. Kerana apa? Kerana dia sedar sebagai hamba dia hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah. Maka dengan keyakinan yang sebegini orang tersebut akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan dia tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidupnya.

Dia yakin, bahawa semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang dari Allah (yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kita diajar mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…” – ertinya kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan. Tegasnya, ucapan ini mengingatkan kita bahawa kita adalah hamba-Nya. Maka jika kita sedar akan hakikat itu, layakkah kita sebagai hamba untuk ‘memberontak’ menentang sebarang ketentuan Allah? Walaupun patuh kepada-Nya bukanlah alasan untuk tidak berusaha menolak kemiskinan, kesakitan dan kegagalan namun jika ia berlaku juga tentulah ada kebaikan yang tersembunyi.

Dan hakikat itu pastinya tidak dapat kita singkap dengan akal kita yang sejengkal berbanding dengan ilmu Allah yang Maha luas. Lupakah kita bahawa Allah pernah mengintakan bahawa,“dan ada perkara yang kamu benci tetapi itu membawa kebaikan bagi kamu dan ada perkara yang kamu sukai tetapi itu tidak baik bagi kamu. Allah lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.” Orang yang hatinya mengingati Allah juga akan bersifat syukur apabila mendapat nikmat. Hatinya tidak terlalu melonjak-lonjak, sombong, zalim dan memandang rendah kepada orang lain. Dia sedar bahawa kelebihan yang diberikan kepadanya hakikatnya adalah satu amanah daripada Allah yang mempunyai maksud tertentu untuk difahami dan dilaksanakannya.

Syukur ertinya, menyedari bahawa nikmat itu adalah dari Allah seterusnya menggunakan nikmat itu selaras dengan tujuan pengurniaan nikmat tersebut. Jika dia diberi kekayaan, dia sedar itu adalah amanah dari Allah untuk membantu hamba Allah yang lain. Maka dibelanjakanlah kelebihan itu untuk membantu fakir miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan hibah. Jika dia pandai, dia rasa kepandaian itu datangnya dari Allah lalu digunakannya kepandaian itu untuk mengajar orang lain dan membantu masyarakat.

Dia tidak sombong seperti Qarun, yang merasai kekayaannya adalah hasil kepandaiannya berniaga. Sebaliknya dia mewarisi sifat Nabi Sulaiman yang apabila dipuji dia berkata: “Semua ini adalah pemberian Tuhanku.” Justeru apabila kita dikurniakan nikmat, kita akan diajar untuk mengucapkan alhamdulillah – ertinya, segala puji bagi Allah. Apa rahsia di sebalik ucapan ini? Ertinya, kita diminta memuji Allah bukan memuji diri kita apabila mendapat nikmat. Bila dikurniakan harta, kita ucapkan ‘segala puji bagi Allah’ yang bermaksud Tuhan itulah yang mengurniakan harta kepada kita dan kepada-Nyalah kita wajib berterima-kasih. Hati kita akan puas dengan apa yang diberikan-Nya.

Sebaliknya jika kita tidak rasakan itu pemberian dari Tuhan, maka kita akan ditimpa oleh dua kemungkinan – satu rasa sombong diri dengan kelebihan dan kurniaan itu. Atau yang kedua, rasa belum cukup puas dengan apa yang ada dan terus haloba dengan apa yang tiada. Mencari dan terus mencari, umpama orang yang minum air laut, makin diminum makin haus. Fenomena inilah yang melahirkan amalan ‘jenayah kolar putih’ – rasuah, penyelewengan dan berbagai-bagai skandal kewangan dikalangan orang atasan.

Sudah kaya harta, tapi masih tamak kerana miskin hatinya. Hakikat inilah yang pernah digambar oleh maksud hadis bahawa jika dunia ini diserahkan kepada seorang yang tamak, maka dia akan menuntut sebuah lagi dunia yang seumpanya. Inilah bahana kerakusan nafsu yang tidak pernah kenal erti cukup dan puas. Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia hari ini tidak kira di mana, walau siapapun dirinya, dan pada bila-bila masapun, telah mengalami ‘sakit rohani’ seperti yang tertera dalam kisah ini. Memang, sifat sabar dan syukur jarang dimiliki oleh manusia.

Manusia selalunya bersifat keluh-kesah bila ditimpa musibah, tetapi lupakan diri apabila menerima nikmat. Tidak sabar dan tidak syukur ini menyebabkan manusia menderita dalam apa jua keadaan – sama ada dalam kekurangan atau dalam kelebihan. Benarlah kata hukama bahawa, “barang siapa yang tidak cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak.” Sama seperti budak dalam cerita ini – hilang wang menangis, dapat wang pun masih menangis. Jelaslah bahawa wang dan harta bukanlah ukuran ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup.

Ya, wang tidak dinafikan perlu untuk kebahagiaan hidup tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor yang menjamin kebahagiaan. Dunia masakini telah dihuni oleh ramai orang miskin yang kecewa, marah dan hasad terhadap kekayaan orang lain. Dan dengan sifat-sifat negatif itulah mereka terdorong untuk melakukan perbuatan mencuri, merompak dan rasuah. Kemiskinan harta yang dialami diiringi juga oleh kemiskinan hati. Dunia masakini juga telah dipenuhi oleh orang kaya yang tidak bersyukur, yang terus merasa miskin walaupun ditimbuni oleh wang ringgit dan harta. Akibat kemiskinan hati, orang kaya ini sentiasa merasa kurang dengan apa yang ada.

Akibatnya, berlakulah penyelewengan, rasuah, riba dan lain-lain jenayah kewangan yang dilakukan oleh orang yang telah kaya. Dengan adanya dua kelompok manusia ini, dunia menjadi semakin huru-hara. Tidak ada hubungan yang harmoni antara yang miskin dan kaya. Yang miskin hasad dengki manakala yang kaya pula terus tamak dan sombong. Moral dari cerita ini ialah carilah kekayaan hati di samping mencari kekayaan harta. Kekayaan hati bukan sahaja penting di akhirat sebagai jaminan keselamatan dan kebahagiaan di sana. Namun ia juga penting untuk kebahagiaan kita di alam dunia ini lagi.

Percayalah, ketenangan di dunia ini adalah bayangan kepada kebahagiaan di akhirat. Justeru dunia adalah ‘ladang’ akhirat. Bagaimana kita akan dapat menuai hasil yang baik dan lumayan di akhirat nanti, jika pokok yang kita tanam di dunia bantut dan kering layu? Sebab itu ahli sufi pernah berkata: “Carilah syurga yang disegerakan di dunia (Ajjanatul Ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”

Ah, nikmatnya syurga dunia… hati sentiasa lapang, tenang. Kaya, syukur. Miskin, sabar. Inilah hakikatnya perjuangan kita di dunia.

 
35 Komen

Posted by di 17 Oktober 2009 in Iktibar Kisah

 

Label: , , , , , ,

35 responses to “NIKMATNYA SYURGA DUNIA!

  1. TAQWACORE

    17 Oktober 2009 at 2:14 pm

    SubahanAllah sungguh benar sekali, jazakAllah, itu juga yang saya dapati dan sering cuba jelaskan kepada orang di sekeliling saya namun atas penguasaan bahasa dan ilmu yang rendah maka tidak tercoret ayat yang sebaik tuan. Semoga Allah merahmati tuan dan kita semua

     
  2. Akmal Hakim

    17 Oktober 2009 at 2:30 pm

    Siapa tidak teringinkan kekayaan di dunia?

    Dahulu pernah saya bertanya pada diri tentang untungnya mendapat kenikmatan di dunia. Maka kemudiannya saya sendiri berfikir, adakah saya akan bahagia dengan adanya harta yang banyak?

    Saya mengatakan sudah tentu, jika hati tetap pada Allah.

    Namun realitinya saya belum merasai kekayaan, duit keliling pinggang ataupun merasai financial freedom. Bagaimana mungkin saya expect bahawa saya akan terus melalui jalan yang lurus?

    Belum tentu lagi saya akan terus berada dengan kesabaran dan kebaikan. Sebab itulah kita diajar tentang qanaah, berasa cukup dengan apa yang ada.

    Tetapi soal inginkan duit dan harta yang banyak inilah ustaz, mentaliti yang seringkali dibius ke minda anak-anak muda seperti saya ini.patah lagi frasa seperti “no money no talk” atau “the richer the better” seringkali menjadi fahaman pemuda sekarang. Wallahu a’lam

     
  3. Nisha

    17 Oktober 2009 at 2:36 pm

    Assalamualaikum Ustaz.

    Terima kasih ustaz. Cerita/artikle ini seolah-olah untuk diri saya.

    Wassalam.

     
  4. rimbunan

    17 Oktober 2009 at 4:26 pm

    suatu coretan yg meyedarkan kita tentang pnting ny mncari ketenangan hati ini…..dan menyucikan hati dr sifat2 yg mazmumah….dekatilah Allah & syukur dgn nikmat-Nya….terus berjuang untuk mndpt redha Allah.

     
  5. sunah

    17 Oktober 2009 at 5:42 pm

    salam ustaz…suka ayat ni: “takdir sentiasa mengatasi tadbir. Tentu ada hikmah di sebalik kepahitan ini.”

    benar ustaz, kita sebagai hamba ALLAH hendaklah redha atas segala anugerahNYA. bila kita merancang sesuatu, ALLAH juga merancang, dan ALLAH adalah sebaik-baik perancang. bila tidak mendapat sesuatu, tidak sepatutnya kita kecewa berlebih-lebihan, geram dan menyalahkan takdir, tetapi kita harus ingat sentiasa bahawa kita adalah hamba ALLAH, yang mana segala anugerahNYA itu adalah yang terbaik buat kita. anugerah yang sebenarnya sampai bila-bila pun bukan milik kita, tetapi hanya sekadar pinjaman di dunia ini..dan sedarlah diri kita ini juga adalah pinjaman..

    jadilah hamba ALLAH yang sentiasa redha atas segala anugerahNYA…

     
  6. gentarasa

    17 Oktober 2009 at 9:12 pm

    Salam taqwa,
    Setiap orang ada sentuhan masing-masing. Pengusaan bahasa dan ilmu sangat relatif sifatnya. Yang penting, kita jadi saja siapa kita… Insya-Allah, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh, cuma kebijaksanaan sahaja yang berbeza. Biar kita sentiasa ada impian… jangan hanya mimpi! Insya-Allah.

     
  7. gentarasa

    17 Oktober 2009 at 9:15 pm

    Salam,
    Menjadi dan mencari kaya tidak salah. Malah dituntut… Mencari, menyimpan dan memberi. Namun jika kita sudah usaha semaksimumnya, tetapi takdirnya belum kaya juga, PASTIKAN jangan terkorban kekayaan hati. Jadilah hamba Allah yang kaya dan bersyukur, tetapi jika tidak mampu… jadilah hamba Allah yang miskin tetapi sabar dan reda!

     
  8. gentarasa

    17 Oktober 2009 at 9:16 pm

    Salam Nisha,
    Untuk anda, saya dan kita. Kita semua manusia… “penyakit” kita sama. Wallahua’lam.

     
  9. gentarasa

    17 Oktober 2009 at 9:17 pm

    Salam sunah,
    Akhi benar. Amin. Terima kasih atas tausiah dan tazkirah. Semuga anda diberkati Allah. Amin.

     
  10. rose kalas

    17 Oktober 2009 at 11:15 pm

    Salam buat tuan,

    Bila wang kita sedikit,
    kita kata, “Kita hendak makan apa hari ini?”

    Bila wang kita banyak,
    kita kata, “Kita hendak makan di mana hari ini?”

    Bila wang kita semakin banyak,
    kita kata, “kita hendak ‘makan’ siapa hari ini?”

    Mohon sentiasa diberi hidayah oleh Allah swt. Amin.

     
  11. nadzir

    18 Oktober 2009 at 7:49 am

    salam,
    kadang2 saya terasas jiwa ini terlalu miskin, aspek keilmuan khasnya. “Walaupun dia telah berusaha segigih dan sekuat mungkin, tetapi jika ditakdirkan miskin … diterimanya ketentuan itu dengan hati yang sabar. Dalam hatinya dia berkata, “takdir sentiasa mengatasi tadbir”. Adakah hidup ini umpama perjalanan yang talah ditentukan laluannya?? kaya…..untuk apa kalau lupakan allah, miskin…..untuk apa kalau mrusakkan jiwa…lalu dimana harus saya berdiri?? sekian

     
  12. gentarasa

    18 Oktober 2009 at 9:50 am

    Salam nadzir.
    Tadbirlah hidup kita dengan sebaik-baiknya tanpa dibimbangkan oleh apa takdir yang telah ditentukan-Nya untuk kita. Kita hanya buat kerja kita… dan kemudian berdoa dan bersangka baik dengan Allah. Biarlah DIA dengan kerja-Nya. Kita tidak tahu apa yang ditentukan. Itu kerja Tuhan. Tapi kerja kita berusaha sehabis daya. berdoa dan kemudian bertawakal. Tahukah kita apa yang kita hendak makan tengahari ini? Tidak. Tapi kita telah berusaha mencarinya bukan? Insya-Allah, Allah maha Kasih maha Sayang… Setiap takdir-Nya, ada sunatullah dan syariatullah yang perlu kita patuhi. Sebaik tadbir, akan dikurniakan sebaik TAKDIR. Dan di situlah kita berdiri sebagai hamba-Nya!

     
  13. Sakinah

    18 Oktober 2009 at 4:15 pm

    Salam ustaz,moga dalam redha dan rahmat Allah..

    Pertama kali komen di sini. Baru jumpa blog ustaz ni di blog orang. Saya kenal ustaz dalam buku Tentang Cinta kira2 2 tahun yang lepas.

    Pendapat saya, ada orang yang kaya harta makin takut kehilangan hartanya. Makin bersifat kikir kerana takut kekurangan harta. Padahal ketika dia miskin harta dahulu, dia lebih bersyukur dan bermurah hati bersedekah.

     
  14. khairul

    18 Oktober 2009 at 5:01 pm

    Salam tuan,

    syukur diatas tulisan yang menyentuh hati. Kalua tuan tidak keberatan saya cadangkan tuan olah “bab hati” ini dalam bentuk teks khutbah jumaat kerana saya percaya kebolehan tuan mengolah ayat sangat menarik kalau di jadikan teks khutbah. Saya yakin ramai khatib akan menggunakan sebagai khutbah mereka termasuk saya. Tq

     
  15. TAQWACORE

    18 Oktober 2009 at 8:43 pm

    InsyaAllah Ustaz saya akan usaha ingat yang ustaz sarankan, jazakAllah kerana mengejut saya dari buaian mimpi :D

     
  16. pengemisredha

    19 Oktober 2009 at 8:31 am

    assalamualaikum..
    sy setuju semua ustaz kata.
    pengalaman y pernah sy lalui..sy menjadi tidak tenang bila saya terlalu ingin menjadi hebat seperti orang lain, terlalu ingin meniru gaya hidup org lain…
    tidak bersyukur dengan apa y Allah kurniakan pd dri.

     
  17. pengemisredha

    19 Oktober 2009 at 8:32 am

    dan akhirnya sy sedar…manusia tidak akan melihat kebaikan pd dirinya sekiranya tk melihat dengan kaca mata syukur

     
  18. gentarasa

    19 Oktober 2009 at 3:22 pm

    Salam,
    Dengan kaca mata syukur… baru terserlah “kelebihan kita”. Jika tidak, kita akan sentiasa dibutakan dengan kelebihan orang lain. Syukran atas pencerahan!

     
  19. gentarasa

    19 Oktober 2009 at 3:25 pm

    Salam,
    Kita ada unik… tidak ada duanya kita di atas dunia ini. Dunia tidak akan lengkap tanpa kehadiran kita. Carilah mengapa kita dihadirkan? Di sana pasti ada kelebihan kita yang dengan itu Allah pertanggungjawabkan ke atas kita peranan. Bertandinglah dengan diri sendiri… bukan dengan orang lain.

     
  20. gentarasa

    19 Oktober 2009 at 3:28 pm

    Salam,
    Sama-samalah kita saling kejut mengejutkan.

     
  21. gentarasa

    19 Oktober 2009 at 3:31 pm

    Salam tuan imam/khatib,
    Saya cuba melihat dari posisi itu. Saya menulis sebenarnya untuk peringatan diri. Cuma apa yang boleh dikongsi marilah kita berkongsi. Syukran atas cadangan.

     
  22. gentarasa

    19 Oktober 2009 at 3:33 pm

    Salam sakinah,
    untuk tidak menderita apabila nikmat hilang… jangan merasai nikmat itu milik kita. Bila kita merasai nikmat itu milik kita, maka ketika itulah kita telah DIMILIKI oleh nikmat itu! Wallahua’lam.

     
  23. ibnu razi

    20 Oktober 2009 at 12:35 am

    Salam……
    Seiring dan Sejalan…..Genta Rasa dan Saifulislam…walauapapun blogers yang lain juga ada kekuatan tersendiri yang tidak pernah dinafikan. ANDAI DIRI INI MENJADI SEPERTI ANDA.

     
  24. gentarasa

    20 Oktober 2009 at 8:50 am

    Salam,
    Masya-Allah. Semoga Allah ikhlaskan kita dalam menjalankan tugas. Anda hebat, insya-Allah… Kita hebat, selagi tunduk pada KEHEBATAN ALLAH.

     
  25. norafizan binti nordin

    29 Oktober 2009 at 3:15 pm

    terima kasih di atas teks yang sangat baik untuk dijadikan santapan minda dan rohani.moga dapat dijadikan panduan hidup.amin………

     
  26. munirah sulaiman

    31 Oktober 2009 at 9:42 pm

    Salam ustaz.

    Syukran. Artikel yang sangat baik. Adakalanya, saya, sebagai seorang yang baru berjinak-jinak di dalam perniagaan, tidak dapat terlepas daripada menyimpan angan-angan. Pelbagai perkara ingin dilakukan, pelbagai objek-objek ‘mewah’ yang ingin dimiliki. Pelbagai perancangan disusun, semata-mata ingin mencapai ‘target sales’ dan sebagainya.

    Namun, takdir Allah itu kan, sangat indah ustaz. Bila masa saya rasa saya seakan-akan terlalu laju mengejar impian, mesti ada ‘ujian-ujian’ kecil yang membuatkan saya sedar, perlukah duit yang banyak dalam mencapai kebahagiaan? Kadang-kadang diri terlalu sibuk, sehinggakan kesihatan terabai. Kadang-kadang diri leka, sehinggakan lupa bertanyakan khabar mak dan ayah, adik-adik. Dan setiap kali ‘peringatan-peringatan’ kecil ini timbul, saya bersyukur, insaf, betapa dengan mudahnya niat-niat baik terpesong, sedangkan saya ada agenda yang telah saya susun.

    Mungkin momokan buku-buku perniagaan barat yang banyak mempengaruhi. Mungkin juga akibat kedangkalan ilmu, manusia seakan-akan rakus mengejar dunia. Berniaga tanpa jujur, tanpa amanah, tanpa solat. Selalunya saya sedih memandang situasi ini, namun bersyukur, Allah masih memandu saya ke jalan yang lurus. Alhamdulillah. Berdoa dengan sangat agar ditetapkan hati, agar perniagaan ini diredhai dan diberkatiNya.

    InsyaAllah. Terima kasih atas peringatan dari Ustaz.

    Salam.

     
  27. gentarasa

    1 November 2009 at 10:41 am

    Salam munirah,
    Tahniah, semuga perniagaan yang dijalankan sukses. Ya, perniagaan hakikatnya cuma alat untuk digunakan mencapai matlamat. Perniagaan di dunia yang didasarkan niat yang ikhlas dan cara yang benar adalah umpama kebun tempat kita bertanam, yang mana pohon-pohon itu akan berbuah dan kita tuai hasilnya di akhirat. Ingat selalu, wang, harta dan segalanya adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat jahat. Letaklah segalanya itu sebagai hamba dengan selalu mengingatkan hati bahawa kita selamanya adalah hamba Allah. Amin.

     
  28. sahara niza

    3 November 2009 at 10:19 pm

    salam ustaz.

    Jazakillah,sangat terkesan dengan apa yang ustaz tulis walaupun ni first time baca blog ni.Baru2 ni ada peristiwa yang saya alami menyebabkan saya rasa diri sangat2 tidak bersyukur dengan kurniaan Allah. Kadang-kadang bila diri terlalu mengharap untuk dapat sesuatu dan ditakdirkan Allah kita tak dapat apa yang diharapkan tu, perasaan kecewa sangat mudah menyerang dan di saat tulah akan timbul persoalan2 pelik menyerang di benak sampaikan keyakinan pada Allah al-Mutawakkil mula tergugat. Seakan2 inilah jawapan pada keraguan saya selama ni, Alhamdulillah..

    Juga terkesan dengan reply ustaz ni

    ‘Kita ada unik… tidak ada duanya kita di atas dunia ini. Dunia tidak akan lengkap tanpa kehadiran kita. Carilah mengapa kita dihadirkan? Di sana pasti ada kelebihan kita yang dengan itu Allah pertanggungjawabkan ke atas kita peranan. Bertandinglah dengan diri sendiri… bukan dengan orang lain.’

    Terlalu sedikit kita menghargai diri sendiri dan mensyukuri kurniaan Allah. Sentiasa mencuba untuk menjadi orang lain dan tidak kenal siapa diri kita sebenarnya.Semoga lepas ni saya akan lebih bersemangat untuk bersaing, bukan dengan orang lain tapi dengan diri sendiri!

     
  29. siti norbasyirah bt sh rahim

    11 April 2010 at 9:47 am

    salam….ustaz…kalau ustaz sebutkan sstu hdis boleh x datangkan dr riwayat mana…..tq

     
  30. gentarasa

    11 April 2010 at 10:25 am

    Salam siti,
    Jika dapat saya akan letakkan. Tetapi jika hadis itu masyhur… saya tidak akan letakkan. Saya tidak mampu. Tapi insya-Allah saya akan berhati-hati.

     
  31. gentarasa

    11 April 2010 at 5:53 pm

    Salam siti,

    Kalau hadis itu sudah masyhur, saya tidak akan letakkannya. Bukan tidak mahu, tetapi tidak mampu. Saya tidak punya kemampuan untulk melakukanya. Namun saya akan berhati-berhati agar tidak meletakan yang salah dan batil. Insya-Allah, teguran sangat dialu-alukan.

     
  32. harafi musa

    19 Ogos 2010 at 9:48 pm

    salam ustaz…macam mana hedak membandingkan nikmat antara syurga dan dunia? ada tidak ayat al-quran atau hadis yang meyatakan parbezaan tarsebut?

     
  33. gentarasa

    23 Ogos 2010 at 10:43 am

    Salam sahabatku,
    banyak… tanyakan pada ustaz dan ustazah yang terhampir. Al Quran ada, hadis pun ada.

     
  34. NOR AZURA

    11 Mei 2011 at 11:31 am

    Asalamualaikum,

    Alhamdulillah rencana yang amat baik dan indah untuk merenungi hidup yang semetara di dunia ini. Manusia akan bahagia apabila dekat dengan Allah dan untuk dekat dengan Allah Hati, kita harus dihiasi dengan segala sifat baik yang indah, bukan kah Islam itu indah. Ayuh sahabat semua kita hiasi hati kita dengan 1001 keindahan sifat-sifat yang mulia terutama syukur di atas semua pemberiannya, percaya, yakin dan pastilah apa yang di takdirkan untuk kita itulah yang terbaik dan terindah untuk kita walau apapun pahitnya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. “Ya Allah tambahkanlah rasa syukur di hati kami dan jadikanlah kami hamba mu yang redha di atas segala ketentuan mu, peliharalah kami ya Allah dan selamatkan kami di dunia dan akhirat. Amin Ya Allah…….

     
  35. Hisham

    27 Julai 2011 at 3:39 pm

    artikel yg sgt berkesan dlm hati saya…mohon disalin untuk panduan hidup dan renungan

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,099 other followers

%d bloggers like this: