RSS

BERCERAI KASIH BENCI TIADA!

20 Okt

83266466Siapa kita lima tahun akan datang ditentukan oleh buku apa yang kita baca dan dengan siapa kita bergaul. Begitu kata pakar-pakar psikologi. Kita dibentuk oleh apa yang kita baca – dalam konteks iqra’ imam Ghazali mentafsir membaca dengan akal, hati dan emosi. Maksudnya apa sahaja input yang selalu kita lazimi pada akal, jiwa dan emosi akan membentuk peribadi.

“Buku” dalam ertikata yang luas ialah apa yang kita dengar, lihat, tonton, berinteraksi dan berkomunikasi. Kamu ialah apa yang kamu baca, seperti juga kamu apa yang kamu makan, kerana membaca itu hakikatnya memberi “makanan” pada akal, hati dan emosi.

Baiklah, bukan itu yang ingin saya fokuskan kali ini. Tetapi saya ingin berkongsi bahagian kedua daripada kata-kata pakar psikologi itu – yakni “dengan siapa kamu bergaul.” Sudah lama saya ingin menyentuh persoalan ini, dan telah ramai juga pengunjung blog yang meminta saya menulis tentangnya. Alhamdulillah selepas Subuh ini, ada dorongan yang sangat kuat untuk menulis tentangnya. Mudah-mudahan ada kebaikan buat kita bersama.

Saya ingin menulis sesuatu yang saya dengar, dapati, rasai daripada pengalaman sendiri. Tentunya daripada pengalaman peribadi dan pengalaman orang yang saya temui. Kebetulan karektor saya sebagai “perfect malancholy” – yang umumnya selalu serius, berhati-hati, agak skeptik (kadangkadala prajudis), suka kesempurnaan – selalunya akan menghadapi cabaran yang lebih “besar” dalam perhubungan. 

Tidak seperti “peaceful phalagmatic” – yang secara tabienya lebih ceria, suka bergurau, agak fleksibel – yang mahir dalam perhubungan. Begitu mengikut kajian pakar-pakar psikologi yang membahagikan manusia kepada 4 karektor (insya-Allah, ada masa nanti kita akan bincangkan mengenai pembahagian karektor manusia).

Maaf, saya tidak ingin menyusahkan anda dengan istilah-istilah ini. Sekadar menunjukkan bahawa mengenali karektor kita (dalam ertikata mengetahui di mana kelebihan dan kekurangannya) sangat penting dalam sesuatu perhubungan samada persahabatan, persaudaraan, perkahwinan, sepekerjaan dan sebagainya. Bahkan tidak keterlaluan kalau saya katakan, mengenali diri sendiri jauh lebih penting daripada mengenal orang lain dalam usaha mengujudkan suatu hubungan yang harmoni.

Saya akui bahawa saya sendiri “terkial-kial” dalam mengenali dan mengatasi kelemahan diri khususnya dalam perhubungan. Mungkin setelah usia mencapai 45 tahun (lebih kurang 2 tahun yang lalu) barulah saya mendapat sedikit pencerahan dan panduan dalam diri sendiri. Itu yang katakan selalu, ilmu yang didapati daripada mujahadah lebih mendalam daripada apa yang kita dapat daripada mentelaah. Membaca buku hanya mengutip fakta, dalil dan bukti tetapi membaca kehidupan barulah tersingkap segala rasa, makna dan getaran untuk bermuhasabah, mengkoreksi dan membuat pembetulan.

Pertama ingin saya tegaskan: Tidak mengapa kalau kita tidak mempunyai ramai sahabat, tetapi sedikit itu biarlah yang setia, sayang, tulus dan benar-benar jujur dengan kita. Namun jika ramai sahabat yang setia tentulah lebih baik. Ingin saya tegaskan mencari sahabat yang baik, sama seperti ingin mendapat isteri yang solehah. Keinginan dan cita-cita sesiapa pun ada, tetapi untuk mendapatnya sukar… sesukar mencari gagak puitih.

Namun cuba ingat kembali petua yang pernah saya nukilkan dalam buku Tentang Cinta. Jadilah solehah… bukan carilah soleh. Jadilah soleh… insya-Allah akan datang solehah untuk kita. Maka begitulah juga dalam petua bersahabat, jadilah sahabat yang baik, bukan carilah sahabat yang baik.

Jika kita ingin mengubah diri kita (kearah yang lebih baik samada dari segi agama, keperibadian atau kerjaya), jangan lupa untuk “menyemak” semula siapa yang berada di sekeliling kita. Bukankah Nabi Muhammad saw pernah berpesan, agama seseorang ditentukan juga oleh siapa sahabatnya? Jadi jika kita ingin “menukar” iltizam kita dalam beragama, acapkali kita perlu menukar “sahabat” kita.

Jika bersamanya, agama kita tidak bertambah baik (bahkan kekadang merosak)… ayuh berani meninggalkannya! (sebahagian hal ini saya pernah sentuh dalam entri yang lalu: Kill your darling!)

Jagalah hati, walaupun kita menghindari daripadanya, bukan kerana takut “kejahatan” dia berjangkit kepada diri kita tetapi lebih diniatkan agar jangan kejahatan kita yang berjangkit kepadanya.

Saya pernah menekankan bahawa persahabatan umpama sebuah perkahwinan. Jika sudah tidak serasi, “bercerailah”. Tetapi pastikan kita bercerai dengan baik-baik. Namun sekali-kali jangan membenci. Mungkin sidia akan mendapat orang yang lebih baik daripada kita sebagai sahabat barunya dan kita akan mendapat orang baik yang lain sebagai sahabat baru.

Ingat sikap nabi Muhammad saw bila berdepan dengan makanan yang tidak disukainya? Baginda akan meninggalkannya tetapi sedikitpun tidak mengecam makanan itu.

Mungkin analogi itu tidak sama dalam konteks persahabatan. Tetapi saya kira begitulah panduannya… tinggalkan apa yang kita tidak sukai tetapi jangan sekali-kali membenci. Ingat “benci” itu virus dalam hati dan emosi kita. Orang yang dihinggapi rasa benci akan buta melihat dunia ini dengan lebih indah dan ceria. Pada hal keceriaan dan keindahan itu ada di mana-mana tetapi pembenci tidak akan dapat melihat dan menghidunya.

Kenapa saya tergamak menyarankan agar kita “ceraikan” orang-orang tertentu sebagai sahabat? Hubaya-hubaya… kerana di dalam hidup wujud orang begitu untuk menguji kita. Ditakdirkan ada manusia yang begitu pandai bermuka-muka. Anda merasakan dia sebagai sahabat, lalu anda longgokkan segala kepercayaan, amanah dan kesetiaan kepadanya (begitukan kalau kita bersahabat?). Oh, kalau begitu jadinya anda seolah-olah memberi “senjata” yaang paling merbahaya untuk dia menikam anda nanti.

Jangan sekali-kali lupa, kesalahan yang paling besar dalam perhubungan ialah bila anda menganggap pandangan, persepsi, rasa hati dan fikiran orang lain sama dengan anda. Ini satu kesilapan besar. Jangan tersilap memberi amanah. Oleh kerana senyumnya manis, pujiannya melangit dan simpati serta empatinya melimpah, anda kalah. Tidak upaya lagi berkata tidak… walaupun dia telah jauh menerobos benteng hak anda yang sangat peribadi.

Dengan bermuka-muka anda akan sentiasa dieksploitasi dan dimanupulasi. Hati-hati. Kesabaran tidak menafikan kebijaksanaan. Jika anda terus menyimpannya, anda seperti menyimpan musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan. Jika kita kuat bersabarlah dan teruslah bersabar. Orang kata bersabar dalam bersabar (sabrun jamil – sabar yang indah). Tetapi jika hati, jiwa dan perasaan anda rosak akibatnya, menjaraklah. Jangan sabar membunuh kebijaksanaan dan kewarasan.

Apa yang dimaksudkan dengan “bercerai dalam bersahabat?” Jangan silap faham maksud saya. Bercerai bukan bererti memutuskan silaturrahiim. Itu berat sekali dosanya. Bercerai bermaksud anda letakkan satu jarak yang lebih jauh sedikit daripada sebelumnya antara diri anda dengan sidia. Jadi dalam kategori bersahabat, letakkan kategori-kategori tertentu. Untuk sahabat yang ini yang jaraknya begini, kita kongsikan perkara-perkara tertentu. Untuk sahabat yang itu yang jaraknya begitu, kita kongsikan pula perkara-perkara yang lain.

Jangan kita lupa, dalam hubungan sesama manusia, perkara “jangan lakukan” lebih utama dijaga dan dititikberatkan berbanding perkara “hendaklah dilakukan”. Jangan mengumpat orang, lebih utama dijaga daripada menolong orang. Jangan hasad dengki lebih patut didahulukan daripada rasa simpati dan empati. Jangan membenci mesti dipentingkan berbanding menasihatinya. Pokoknya, dalam persahabatan: Jangan meruntuh itu lebih baik daripada membina!

Pernah anda terjumpa seorang yang begitu suka membantu orang susah, tetapi apabila orang susah itu sudah senang, yang membantu tadi mula “membuntu” dengan hasad dengki, mengumpat dan mencela (orang yang pernah ditolongnya) di belakang? Benarlah kata hukama, merasa susah dengan kesusahan orang lain agak mudah berbanding untuk merasa senang dengan kesenangan orang lain. Nikmat itu selalunya dihasad.

Dalam persabatan anda mesti mengenali antara kelemahan dan kejahatan. Kelemahan itu memang biasa – anda punya kelemahan, sahabat kita punya kelemahan. Jangan menginginkan satu kesempurnaan. Kita bukan bersahabat dengan malaikat… tetapi dengan manusia yang punya seribu satu kelemahan. Kekadang kita terpaksa berhadapan dengan marah, rajuk, pelupa, “pemboros” dan berbagai-bagai lagi karenah. Itu semua sepatutnya kita hadapi. Kasih tidak menjadikan kita buta dengan kelemahan tetapi menerimanya dengan wajar.

Apa nak buat sudah “jodoh” kita dengan orang yang begitu… Sabar sahajalah. Sepertimana kita bersabar dengannya, dia juga bersabar dengan kita. Dia bermujahadah, kita pun bermujahadah. Kita sama-sama tahu “piawaian” manusia yang syumul, tetapi kita sama-sama sedang merangkak mencapai piawaian itu!

Untuk berdepan dengan masalah ini, pegang analogi ini. Hubungan kita dengannya umpama hubungan tangan kiri dan kanan. Kekadang tangan kiri kotor, tangan kanan pun kotor… bagaimana kita bersihkan kedua-dua belah tangan itu? Ya, kita temukan dan bergeser antara satu sama lain. Itu yang kita buat semasa mencuci tangan.

Akhirnya dengan geseran dan laluan air, kedua-dua tangan yang kotor itu jadi bersih kerana geseran itu rupanya “saling membersihkan”. Itulah hikmah “geseran” dalam persabatan. Kelemahan kalaupun tidak dapat diatasi tetapi dapat diterima dengan rela dan reda.

Tetapi berhati-hati dengan kejahatan. Yakni sekiranya ada orang yang merancang menggunakan anda, melaga-lagakan anda, menyekat laluan, mensabotaj rangkaian perhubungan anda dan paling malang jika dia sudah berani melampaui batas dengan strategi memijak anda untuk melonjak diri sendiri.

Itu bukan kelemahan lagi tetapi sudah satu kesalahan. Berdoalah kita agar dijauhkan daripada manusia yang sebegini. Kita tidak sekali-kali boleh membenci… tetapi jangan pula disengat olehnya berkali-kali. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Dan hidup juga terlalu singkat untuk disekat oleh orang yang begini!

Jagalah Allah dalam perhubungan dengan selalu menjaga syariatnya dalam persabatan. Biarlah hukum halal, haram, sunat, makruh dan harus sentiasa menjadi rujukan bersama. Ke situlah kita merujuk bila berdepan dengan masalah. Dalam hubungan sesama makhluk, Khalik mestilah menjadi pengikatnya. Iman itu mengikat hati-hati manusia umpama “simen” yang melekatkan batu-bata.

Tanpa simen batu bata tidak akan tersusun dan berpadu. Jangan melupakan Allah dalam memburu kasih-sayang manusia kerana dengan melupakan kasih Allah, kita akan gagal merebut kasih manusia. Bila melihat kebaikan sahabat… rasailah itu hakikatnya kebaikan Allah. Tetapi apabila melihat kejahatan atau kelemahan manusia percayalah… itulah cara Allah menguji kita.

Cukuplah setakat ini saudara-saudara ku sebagai muhasabah hati di permulaan bulan yang baru. Ramadan telah sebulan meninggalkan kita. Ingatkah? Apa yang akan saya letakkan sebagai tajuk tulisan ini… ya tuliskan sahaja: BERCERAI KASIH BENCI TIADA!

 
21 Komen

Posted by di 20 Oktober 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , , ,

21 responses to “BERCERAI KASIH BENCI TIADA!

  1. mohamad radzi

    20 Oktober 2009 at 1:12 pm

    salam….syukron ustaz…. saya belajar sesuatu….jazakallahu khaira….moga dipanjangkan umur dan sihat sentiasa utk terus menulis….ameen…

     
  2. khalati69

    20 Oktober 2009 at 2:16 pm

    Asskm, ustaz .. moga dilimpahi sentiasa dengan sihat walafiat serta sentiasa disinari barakah minal ALLAH. Amat tersentuh hati ini bila menghayati tazkirah ini dengan kepada waqi’ dan realiti yang ada di depan mata. Alangkah ramainya manusia yang kita anggap ‘sahabat’ seperjuangan … namun amat sedikit sekali yang sanggup menolong kita di kala kita menghadapi uijian hidup. Sesungguhnya amat bermaknanya jika kita dihadiahkan seorang ‘sahabat’ yang sama2 dapat membantu, menolong kita untuk melaksanakan tuntutan Agama, kebaikan dan menyebarkan kebenaran. Itulah hikmah Allah menyediakan satu ‘soff mukhtarah@ terpilih’ yang akhirnya diiktiraf oleh Baginda SAW sebagai sahabat2 Baginda – susah dan senang demi menegakkan Agama Allah. Mampukah kita menjadi sahabat2 itu?

     
  3. Sakinah

    20 Oktober 2009 at 4:40 pm

    Salam,

    Saya nak kongsi pengalaman seorang kawan saya yang saya rasa memang berkaitan dengan entri kali ini.

    Bila hati dia diketuk hidayah taufik [bukan hidayah Islam], dia jauhkan diri daripada kawan2 dia sebelum ini. Pada mulanya dia tinggal di asrama A [contoh], kebanyakan kawannya tinggal di situ. Dia cuba minta pindah di asrama B [contoh] yang jauh sikit dari asrama A. Sepatutnya pertukaran asrama di kampus bukanlah mudah. Mungkin dengan niat dan azam yang bersungguh2, Allah permudahkan urusannya dan dia dapat pindah dengan mudah. Di asrama baru itu pula dia dapat kawan2 yang lebih baik yang membantu dia mendekatkan diri dengan masjid dan ilmu2 agama. Alhamdulillah hingga sekarang dah masuk alam perkerjaan pun dia istiqamah dalam menutup aurat dan menjaga batas sosial, inilah hidayah taufik yang diusahakannya dahulu.

    Pendapat saya, kalau seseorang itu hendak berubah ke arah kebaikan, Allah pasti akan lorongkan jalan dan permudahkan urusannya. Seperti “jagalah” Allah, maka Allah akan menjagamu.

    Ustaz nak minta kebenaran copy sikit2 ayat dalam blog ni dengan letak rujukan blog ni. Saya terkesan dengan ayat [dalam komen ustaz] berkaitan “setiap orang adalah unik. dunia ini tidak lengkap tanpa kehadiran kita” dalam entri nikmatnya syurga dunia . Minta izin ustaz untuk copy ayat2 yang seterusnya juga..

    Syukran.

     
  4. TAQWACORE

    20 Oktober 2009 at 5:16 pm

    JazakAllah ustaz, ni bab hati lah ni ustaz ek? Fuh bukan senang nak dapat kawan yang fikir agama kat kawasan saya ustaz, saya tak salahkan mereka ustaz, tapi saya ni duduk kat pedalaman sarawak, suasana tak menggalakkan ustaz, majlis ilmu jarang sekali ada di sini, nak berbual pasal agama dalam internet ni je lah ada, dengan anak2. Ustaz boleh beri nasihat kat saya tak, mintak email ustaz. Takut membosankan rakan lain nanti membaca rintihan saya

     
  5. Student

    20 Oktober 2009 at 5:20 pm

    Assalamualaikum Ustaz…

    Terima kasih atas perkongsian yang begitu menarik..
    rasa agak tersentuh dengan tulisan ustaz..
    Ianya banyak menjawab persoalan persahabatan dalam diri saya..
    doakan saya supaya memililih untuk jadi soleh, berbanding pilih yang solehah…

     
  6. acu

    20 Oktober 2009 at 5:47 pm

    Salam ustaz,
    Semoga Allah terus memberikan saya kekuatan, tiada daya saya untuk mengatasi masalah ini melainkan dgn bantuan Allah. Masa untuk mencari dan memperbaiki kelemahan diri dan bukan menunding jari.

    Suka saya dgn petikan ustaz yg ini:
    ["Orang kata bersabar dalam bersabar (sabrun jamil – sabar yang indah). Tetapi jika hati, jiwa dan perasaan anda rosak akibatnya, menjaraklah. Jangan sabar membunuh kebijaksanaan dan kewarasan"]

    saya dapat merasakan hati dan perasaan saya rosak=( dan ia semakin berlarutan seakan tiada jln penyelesaian kerana pihak yg lg satu terus diam membisu.

    {akan terus menerus memperbaiki hubungan dgn Allah, InsyaALLAH}

     
  7. gentarasa

    20 Oktober 2009 at 7:45 pm

    Salam taqwa,
    Syukran. Email saya pahrolmjuoi@yahoo.com

     
  8. pali

    20 Oktober 2009 at 7:59 pm

    Assalamualaikum, salam ziarah. Saya suka template baru blog ustaz, ringkas dan kemas.

    terima kasih atas peringatan. bercerai kasih talak tiada, esok jangan rindu-rinduan. Ni lirik lagu P Ramlee ni. hehe.

    Selalunya bila sudah berpisah dengan seseorang itu, insyallah akan cuba diakhiri dengan baik, lepas tu saya seolah olah paranoid untuk menghubungi beliau lagi, hingga dihubungi oleh beliau bertanya adakah semua baik baik sahaja?.. bukan apa, takut jatuh ke lubang yang sama dua kali. Jadi trauma pula..

    Kata orang, sikap begini bermakna kita tak benar-benar memaafkan? Wallahualam, mohon pandangan, agar i’tiqad saya boleh dibetulkan.

    ps: Selamat Hari Raya~( aiseh, lambat ucap dah..:D)

     
  9. sunah

    21 Oktober 2009 at 3:59 pm

    salam ustaz..syukran, akhir2 ini semakin banyak cerita tentang persahabatan yang ana dengar dan baca..ana setuju, sahabat2 di sekeliling kita akan menggambarkan diri kita pada masa akan datang…

    semoga dikurniakan ALLAH sahabat2 yang akan membawa diri ini semakin dekat padaNYA..ameen..

     
  10. yazihjahiri

    23 Oktober 2009 at 11:22 am

    Assalamualaikum Ustaz, terhibur dan terdidik rasanya bila masuk blog ni, terima kasih banyak-banyak, moga Allah beri kekuatan dan kesihatan kepada Ustaz Pahrol untuk mendidik di alam internet ni, saya dari Semporna, Sabah ingin sangat bersua, bersalaman- dgn. ustaz, susah nak dapatkan buku-buku ustaz di Semporna ni.

     
  11. tiqah

    23 Oktober 2009 at 10:01 pm

    salam ustaz…betul apa yang ustaz tuliskan tu…sy sokong…mcm sy, kadang2 klu ada terasa dengan kawan2, sy akan cuba ingat balik kebaikan yang diaorang lakukan kat sy…barulah perasaan marah dalam diri sy berkurang…sebab sy sendiri pun ada buat kawan2 sy terasa apa yang sy cakap…nanti sy nak minta izin copy kate2 ustaz yek… syukran

     
  12. ibnu razi

    24 Oktober 2009 at 12:13 am

    Salam…
    Teringin ana mahu melihat satu forum merangkumkan tenaga pakar motivasi, pendakwah dan ahli akademik. Ana pernah mengimpikan satu forum terbuka yang menampilkan Ustaz Pahrol, Ustaz Hj. Hasrizal dan Prof Dr. Sidek (UIA) diadakan (Cadangan sahaja) . Mungkin ada forumer2 di sini yang mempunyai kapasiti MAMPU untuk mengusahakan program yang boleh dianggap BERPRESTIJ ini. (bom bastick punya ayat, he..he). Kalau ada sebarang maklum balas/perkongsian boleh jer emailkan kpd ana…mohdzakia83@yahoo.com.TQVM

     
  13. gentarasa

    26 Oktober 2009 at 11:48 am

    Salam Ibnu razi,
    Dua tokoh yang disebutkan tadi sangat saya hormati. Kebetulan rapat juga dengan keduanya. Sebenarnya ramai panel-panel yang komited dan gigih dalam bidang masing-masing. Syukran atas cadangan yang baik itu.

     
  14. gentarasa

    26 Oktober 2009 at 11:59 am

    Salam yazihjahiri di Semporna,
    Saya terharu mendpat saudara yang datang dari jauh. Mungkin apa yang boleh saya cadangkan, beli sahaja secara langganan pos dari Telaga Biru. Terima kasih atas doa saudara. Saya doakan saya juga diberi keimanan, kekuatan dan hidayah selalu dan sentiasa oleh Allah. Amin.

     
  15. fania

    30 Oktober 2009 at 12:01 pm

    Salam Ustaz yg dihormati,

    MashaALLAH3, coretan kalam ustaz kali ini benar2 bak berus muhasabah yang membersih hati yang kian kelam ini jua ukhwah yang acap buntu…Jazaakallah khayran ustaz, segala baik akan segera dihadami..enshaALLAH3.
    Moga terus lancar tiap tinta ilham ustaz, ameen.

     
  16. Hariyati Ariffin

    1 November 2009 at 10:17 pm

    Ustaz…saya seorang pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam. Buat masa ini saya sedang membuat kajian mengenai perceraian dikalangan pasangan yang telah berkahwin lebih 20 tahun, kajian dibuat dibuat berdasarkan sudut Komunikasi kekeluargaan, untuk Phd saya. Saya tertarik dengan tulisan Ustaz didalam SOLUSI jilid ke 2 tahun lalu, dengan tajuk ` Bila Cinta hanya suam-suam kuku. Bagaimana untuk saya menghubungi Ustaz untuk mendapat penjelasan lebih lanjut mengenai isu yang sedang saya tulis ini. Harap mendapat kerjasama daripada pihak Ustaz.

     
  17. Kakcik

    3 November 2009 at 2:51 am

    salam ustaz
    hati saya bagaikan terdidik dengan entri ustaz ini. Semoga ustaz diberikan kesihatan yang baik untuk terus mendidik hati saya dan orang lain. Amin

     
  18. fikry

    17 November 2009 at 10:32 am

    salam..
    artikel yg sgt menarik..
    dpt rileks minda jap yg berserabut tgk masalah umat sekarang….
    semoga ustaz sentiasa chat dan istiqamah..

     
  19. maryam

    29 Disember 2009 at 9:24 am

    Assalamualaikum wbt,

    jzkk ustaz.

     
  20. Hazalini zayani

    6 September 2010 at 4:35 pm

    Assalamualaikum wbt..
    Entri y sgt menarik dan bermanfaat

     
  21. Noetz

    8 Disember 2010 at 10:25 pm

    As-Salam, peaceful phalagmatic…yes, I am this type. But not in my marriage. Your phrase `Bercerai kasih benci tiada’ captured my eye…and is truly what I want. Namun tak berdaya. Allah je yang tau.

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,219 other followers

%d bloggers like this: