RSS

JANGAN TERLALU CINTA, JANGAN TERLALU BENCI…

15 Nov

91089773Filem pendek Perjalanan Hidup Sang Murabbi begitu menggugah jiwa saya. Walaupun pendek dan sederhana serta biasa-biasa sahaja… namun mesejnya melekat di hati.

Ya, kisah perjalanan hidup seorang pemuda yang sangat cintakan dakwah. Selepas menonton di rumah bersama isteri dan anak-anak.. saya mengirim SMS kepada sahabat yang menghadiahkan saya filem tersebut.

SMS itu hanya untuk meluahkan rasa hati dan terima kasih kepadanya. Saya catatkan:
“Syukran kerana memberi ana Sang Murabbi. Persoalan yang ana tagih melalui pelbagai jalan, Allah berikan jawapan jua melalui hadiah ustaz ini.”

“Ana nak hidup dan mati seperti Sang Murabbi itu. Amin. Pergolakan jiwa dan kata-kata hati selepas umrah tempoh hari telah terungkai. Alhamdulillah, syukran sekali lagi!”

Bahang Sang Murabbi itulah yang membakar semangat… makanya, selepas Subuh pagi tadi, hati berdetak kembali untuk memaparkan satu pandangan di tengah kecelaruan sikap, adab dan cakap-cakap dewasa ini. Apa pun yang berlaku di luar sana… tidak akan memadamkan apa yang berkobar-kobar di sini. Hidup hakikatnya mempunyai dua sempadan – harapan dan ajal. Dengan harapan kehidupan terpelihara dan dengan ajal kehidupan berhenti.

Dan dengan harapan itulah kita akan terus berusaha – mengingatkan diri sendiri dan juga orang lain. Kita tidak boleh “menjatuhkan hukuman” selagi hidup ini belum tamat. Yang jahat, diharap menjadi baik. Yang baik, diharap menjadi lebih baik. Berilah harapan… kerana Tuhan pun sentiasa memberi harapan, lalu diancam-Nya siapa yang putus asa dengan kekafiran!

Kali ini saya ingin menyentuh tentang CINTA dalam “keluarga” yang lebih besar yakni cinta dalam sebuah negara. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu berci. Ya, beginilah tulisan itu bermula…

Sebuah kerajaan yang baik, memerlukan unsur ‘check and balance’ dalam menentukan dasar dan pelaksanaan program pembangunannya. Ini bukan sahaja sesuai dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini, bahkan ia adalah satu faktor yang sangat diutamakan dalam sejarah kepimpinan pada zaman kegemilangan Islam.Jika diteliti pemerintahan Khulafaur Rasyidin misalnya, kita akan dapat melihat betapa ruang bagi proses ‘check and balance’ ini telah dibuka seluas-luasnya sejak awal pemerintahan mereka lagi. Sayidina Umar RA pernah ditegur sejak diawal pemerintahannya. Padahal kalau ada manusia yang layak menjadi Nabi selepas Rasulullah, Umarlah orangnya.

Para sahabat utama Rasulullah saw tersebut sedar betapa sebagai hamba Allah, mereka tentunya mempunyai kelemahan-kelemahan yang perlu ditegur, dinasihati bahkan diperbetulkan oleh pihak lain. Dan indahnya, rakyat ketika juga turut sedar bahawa kewajiban mentaati kerajaan tidaklah menghalang mereka memberi pandangan, nasihat dan teguran kepada pemerintah.

Kerajaan masakini perlukan proses ‘check and balance’ ini. Dan tentu sahaja prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam tidak boleh dipinggirkan dalam proses tersebut. Untuk itu golongan agama dalam kerajaan khususnya, patut memainkan peranan yang lebih aktif, dinamik dan terbuka dalam pendekatannya (kerana kerap didakwa ahli agama dari parti pembangkang yang sering disifatkan kasar, emosional dan prajudis?)

Justeru, bagaimana pula sikap ‘orang’ agama dalam kerajaan? Mampukah mereka melakukan proses ‘check and balance’ dari dalam? Atas ‘kelebihan’ mereka yang tentunya mempunyai sistem nilai, kepakaran dan ketulusan berteraskan Islam, sudah pasti peranan mereka juga lebih besar. Ini selaras dengan harapan kebanyakan orang Melayu agar mereka benar-benar berperanan dalam meningkatkan penghayatan dan amalan Islam di Malaysia.

Sesungguhnya, agenda besar ini menuntut skop pemikiran yang luas, komitmen tenaga yang tinggi dan gerak-kerja yang menyeluruh… Tegasnya, golongan agama bukan lagi berperanan sekadar bunga hiasan atau pinggan nasi tambah!

Secara mudah, dua dimensi utama tujuan Islam ialah menegakkan yang makruf (kebaikan dan kebajikan) dan mencegah yang mungkar (kejahatan dan keburukan). Dan kedua-dua dimensi ini mestilah dirujuk kepada Allah berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Untuk menegakkan yang makruf, golongan agama “bekerja keras” memahamkan masyarakat mengenai konsep dakwah dan tarbiah Islamiah yang praktikal dan realistik.

Tonjolkan sikap bukan cakap. Secara jelas, golongan agama dalam kerajaan memikul amanah untuk meningkatkan perjuangan Islam yang syumul ( tidak kira atas label “Islam Hadhari” atau apa pun jua jenamanya nanti), bukan sahaja secara konseptual tetapi juga dari segi pelaksanaannya.

Itu dilihat dari dimensi menegakkan yang makruf.

Manakala dari dimensi mencegah yang mungkar pula, ‘orang-orang’ agama dalam kerajaan perlu menyedari setidak-tidaknya ada juga perkara-perkara negatif dalam negara di bawah bidang kuasa kerajaan perlu ditegur dan dinasihati. Keberanian, ketelusan, sikap kritis tetapi berhikmah perlu ada pada mereka untuk menegur kerajaan dari dalam.

Ironinya, jika ada pihak beranggapan orang agama dalam parti pembangkang ‘terlalu benci’ hingga tertutup mata hati untuk melihat kebaikan kerajaan, maka janganlah hendaknya orang agama dalam kerajaan ‘terlalu cinta’ hingga alpa pada kesalahan atau kesilapan kerajaan.

Hubungan yang akrab antara mereka dengan pemimpin negara mestilah dimanfaatkan untuk memberi nasihat dan teguran agar proses ‘check and balance’ yang disebutkan sebelum ini berjalan dengan baik. Jika dahulu seorang tokoh agama dalam kerajaan pernah menyifatkan penolakan terhadap pembangkang membuktikan masyakat telah menolak ‘ulama yang tidak berhikmah’, maka masyakat ingin melihat bagaimana pula iltizam ‘ulama yang berhikmah’?

Siapa lagi kalau bukan orang-orang agama dalam kerajaan yang boleh diharapkan menegur pemerintah dengan penuh hikmah sepertimana yang dituntut oleh Rasulullah saw menerusi sabdanya:
“Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa mengenai sesuatu perkara, maka janganlah ia menyampaikan secara terang-terangan tetapi hendaklah ia memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian…”
(Riwayat Ahmad dan al Hakim)

Kebimbangan rakyat mengenai gejala sosial, jenayah seks, keruntuhan akhlak dikalangan remaja, dadah dan sebagainya amat membimbangkan masyarakat. Parti pembangkang terus menyalahkan kerajaan atas apa yang berlaku walaupun kadangkala jelas kelemahan institusi keluarga paling banyak menyumbang kepada keruntuhan itu.

Namun, apa salahnya jika kerajaan juga bermuhasabah atas program-program hiburan yang keterlaluan, lambakan bahan bacaan picisan dan lain-lain unsur negatif seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas dan budaya hedonisme yang mengancam golongan remaja.

Tentu ada yang ‘tidak kena’ di mana-mana. Jadi, ada baiknya jika golongan ulama dalam kerajaan menegur secara langsung budaya hedonisme yang diperagakan secara keterlaluan atau setidak-tidaknya membuka laluan yang lebih luas kepada budaya hiburan yang lebih sopan dan mendidik.

Walaupun mustahil menutup pintu langit dan menyekat segala bentuk kemungkaran menurut ajaran Islam kerana Malaysia negara berbilang agama dan bangsa, namun dalam batas-batas kesederhanaan Islam masih banyak rasanya yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membantu para ibu-bapa mengawal anak-anak mereka daripada terjebak dengan gejala-gejala negatif.

Pendekatan pencegahan menerusi program kesedaran, dakwah dan pendidikan perlu diperhebat dan dipelbagaikan dalam bentuk yang lebih kreatif, menarik dan berkesan. Ia juga perlu iringi oleh halangan-halangan berbentuk lahiriah – akta, undang-undang, denda dan sebagainya.

Hendaknya dalam keadaan-keadaan tertentu janganlah program-program yang melibatkan pendedahan aurat, pergaulan bebas dan lain-lain unsur negatif itu semacam disemarakkan melebihi program-program yang jelas kemakrufannya. Mungkin ini hanya persepsi sesetengah anggota masyarakat, tetapi ada baiknya persepsi ini diatasi dengan program penerangan yang lebih jelas dan mantap.

Ahli agama dalam kerajaan juga diharap dapat memadamkan polemik-polemik yang tidak perlu dan telah lama selesai dan lain-lain isu seumpamanya. Justifikasi yang kononnya mewajarkan isu begini ditimbulkan – untuk membuka ruang minda dan ‘horizon’ pemikiran adalah tidak relevan dan tidak berhikmah.

Jika benar perkara-perkara ini adalah bersifat pinggiran dan ‘khilafiah’ maka apa rasionalnya ia dibangkitkan semula sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan orang awam dan debat tidak bermanfaat di kalangan para ilmuwan?

Bukankah lebih baik perkara-perkara yang lebih relevan umpamanya bagaimana menyepadukan pembangunan rohani dan material, penghayatan dan memantapkan lagi soal-soal asas dan teras Fardu Ain (rukun Iman dan Rukun Islam), aplikasi industri bioteknologi menurut perspektif Islam, penggunaan dinar emas dalam pasaran kewangan Islam dan global, itu yang dibahaskan secara komprehensif?

Bukankah perkara-perkara baru yang bersifat ‘ke hadapan’ dan menyelesaikan masalah ini jauh lebih penting diketengahkan berbanding isu-isu yang telah lama selesai tapi ditimbulkan semula hanya untuk memuaskan ego atau hero keintelektualan?

Begitu juga peranan golongan ugama seharusnya tidak terhad cuma kepada bidang-bidang yang dilihat berwajah ‘agama’ tetapi mula menjangkau jua bidang-bidang lain selaras dengan Islam sebagai ‘way of life’.

Dalam bidang pembangunan fizikal dan ekonomi misalnya, suara golongan agama mestilah kedengaran bukan sahaja dalam menentukan halal dan haram, tetapi memantau prinsip, pendekatan, pelaksanaan dan tujuan pembangunan itu selaras dengan kehendak Tauhid, syariah dan akhlak Islamiah.

Justeru, kita berharap golongan agama ini akan terus meningkatkan keberkesanan dan kecekapan mereka dalam kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran dengan menambah ilmu dan kemahiran agar mereka layak diberi peranan yang lebih besar.

Pada era yang akan datang kita berharap dapat melihat orang agama dalam kerajaan boleh memimpin kementerian-kementerian yang berteraskan bidang pelajaran, penerangan, industri, keselamatan, pertanian dan sebagainya.

Apa yang penting, golongan agama inilah yang kita harapkan menjadi perintis bagi merealisasikan generasi kepimpinan baru yang menggabungkan sifat mukmin (kejujuran, amanah dan lain-lain sifat mahmudah) dengan tahap profesionalisme dan kompetensi yang tinggi.

Dengan sifat kehambaan kepada Allah dan sifat kekhalifahan dengan manusia dan tugasan, maka akan terbina satu barisan kepimpinan yang akan mendaulatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif, toleran dan dinamik pada era globalisasi.

Orang-orang Melayu mesti memastikan budaya dan jati diri mereka yang berteraskan nilai bangsa dan prinsip agama terus dipertahankan dalam gagasan menjadi ‘Khayra Ummah’ – yang amar makruf, nahi mungkar dan beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya!

Mungkin itu yang dapat saya sarankan kepada ulama-ulama dalam kerajaan… sekadar satu usaha ingat mengingatkan dengan kebenaran dan kesabaran. Bagaimana dengan ulama di luar kerajaan? Insya-Allah, jika ada kesempatan akan saya tulis jua nanti.

 
10 Komen

Posted by di 15 November 2009 in Zikir & Fikir

 

Label: , , , ,

10 responses to “JANGAN TERLALU CINTA, JANGAN TERLALU BENCI…

  1. Professor

    16 November 2009 at 12:29 am

    Assalamualaikum ustaz..

    menarik artikel ustaz..satu solusi yg halus tapi efektif jika diamalkan dengan ideal..
    tapi ustaz, adakah boleh sesuatu praktikal menjadi ideal? bagi ana, susah. sbb banyak perkara2 yang aka menghalang daripada menjadi ideal tu..
    jadi, ‘perubahan’ yg boleh dilakukan oleh orang agama, baik di dalam atau di luar kerajaan, semestinya selari dengan kekuatan yang ada padanya,. dan kekuatan yg ada pada orang2 agama dalam kerajaan tidak cukup utk mengubah segalanya..
    bagi ana. sistem yang wujud sekarang sangat sekular. memisahkan agama dari kehidupan..sepatutnya, Islam itu adalah ad-deen..cara hidup, syumul. bererti, setiap keadaan dalam kehidupan, Islam ada caranya. ana sangat sedih dengan media2 skrg..sepatutnya media adalah ‘alat’ yg paling mujarab dalam mencapai ‘matlamat’, tetapi apa yang berlaku, media menjadi ‘alat’ yang membuang ‘matlamat’ jauh2 dari pandangan rakyat. siaran televisyen, media cetak, radio, semuanya menjauhkan lagi rakyat dari ad-deen yang syumul tadi. Justeru, bila nk berakhir keadaan ni? sekular. bnyk yg ingin ditulis sbnrnya..
    Wallahu’alam..

     
  2. gentarasa

    16 November 2009 at 7:58 am

    Salam Prof,
    Syukran atas respon dan pandangan. Kita buat apa yang kita terdaya, di mana kita berada dan siapin jua diri kita. Apapun berbuat walaupun sedikit adalah lebih baik daripada tidak berbuat langsung kerana mengharapkan kesempurnaan. Satu kebaikan perlu dimulakan berkali-kali. Maksudnya, pasti tidak ada kesempurnaan ketika memulakan. Tetapi tidak mungkin ada kesempurnaan tanpa terlebih dahulu kita memulakannya!Media memang begitu… ada tangan yang tidak nampak menjadi dalang kepada sekularisme, hedonisme, dualisme, liberalisme dan pluralisme. Dan umat Islam tidak sedar menjadi alat. Mari kita berjuang, memulakan satu evolusi sikap berdasarkan revolusi hati dan pemikiran!

     
  3. Professor

    16 November 2009 at 9:09 am

    tapi ustaz, maksud ana, kekuatan yang tak cukup tu adalah susahnya untuk orang agama dalam kerajaan nak mula, susahnya utk menerangkan orang2 yang lebih berkuasa yang tidak faham bahawa ini salah..ini tidak betul! tetapi dari kaca mata pemerintah pula, mereka lebih menumpukan kepada keamanan, kesejahteraan hidup di malaysia, agama hanya diambil secara kulit sahaja, tidak nampak kesinambungan antara politik, pemerintahan dengan agama yang merupakani’ way of life’
    lihat sahabat2 pemerintah yang dahulu, ana tersentuh dengan kisah Sa’id Bin ‘Amir Al-Jumahiy RA. beliau merupakan seorang pemerintah di daerah Hims, seorang manusia yang terpilih di kalangan umat Islam pada masa itu..apa yang perlu diambil contoh oleh pemerintah sekarang adalah sikapnya. seorang pemerintah sepatutnya merupakan orang yang paling kaya (seperti sekarang, gaji dan elaun yang berpuluh2 ribu!), akan tetapi, sa’id pula merupakan antara yang termiskin di daerah tersebut..apabila amirul mukminin bertanyakan senarai orang2 miskin di daerah hims, nama Sa’id Bin ‘Amir Al-Jumahiy tercetak pada helaian tersebut. Subhanallah! harta merupakan satu bencana buat sa’id..
    kalau la pemerintah kita sebegini telusnya dalam melaksanakan peranannya, ana yakin, tidak susah utk Islam menjadi dasar kepada perlembagaan negara. barulah dinamakan pemerinta yang disanjung. ini tak, hangat dengan satu tema yang kononnya ideal, mahu rakyat mengikuti cara pemerintahan mereka, tetapi mereka sendiri tidak sedemikian..nauzubillahiminzalik..semoga kita terpelihara dar perkara dan sifat sedemikian..
    Segala2nya bermula dari anda wahai pemerintah…

    p/s:
    -mungkin ustaz boleh tulis artikel pasal kesinambungan agama dengan politik tu.mengambil contoh kisah2 pemerintahan oleh sahabat2 dulu..
    -satu lagi ustaz mungkin boleh olah dgn baik bahawa usrah adalah jawapan kepada masalah2 yang pelbagai..kerana masalah2 ini, apaila dikaji, berpunca daripada ‘cinta’

    wallahu’alam..

     
  4. ibnu nafis

    16 November 2009 at 11:34 am

    Salam ustaz,

    Terima kasih ustaz di atas catatan ini… Berfikir saya sejenak mengenainya..byk perkara yg perlu di perbetulkan… Terima kasih sekali lagi…

     
  5. shafifah

    16 November 2009 at 5:20 pm

     
  6. abdul rahman ali

    17 November 2009 at 2:03 am

    salam ustaz,
    soal jati diri ini adalah sangat bersifat individu….tidak hanya merujuk kdp sesuatu kaum. jika setiap org boleh mengetahui jati diri masing2 maka ianya sangat indah. Allah telah takdirkan manusia ini terdiri daripada 4 unsur atau jatidiri yang berbeza2….
    1. JatiDiri Spiritual=berjiwa masyarakat / pemimpin
    2. JatiDiri Emosi=berjiwa keluarga
    3. JatiDiri Akal=berjiwa ilmiah
    4. JatiDiri Fizikal=berjiwa praktikal

    wujudnya kecelaruan dalam masyarakat kita ini apabila mereka gagal memainkan ‘watak’ mereka yang sebenarnya..setiap individu boleh berperanan dengan sebaik2nya apabila dapat membina JatiDiri mereka dengan unggul walau dimana atau apapun kedudukan mereka…..orang sekeliling akan dapat menikmati suasana yang harmoni apabila masing2 membawa watak JatiDiri yang betul….

     
  7. gentarasa

    17 November 2009 at 6:46 am

    Salam sahabatku,
    Syukran kerana input yang sangat baik dan relevan ini. Diharap pengunjung lain dapat berkongsi sama.

     
  8. cili padi

    17 November 2009 at 7:33 am

    Asm.ustaz.Alangkah indahnya kalau menjadi realiti…Malangnya kita manusia kalau tak punya ilmu kebal mudah terpengaruh oleh orang-orang di sekeliling kita.Kadang2 orang yang kita rasa dah cukup kebalpun boleh berubah mengikut arus orang2 disekelilingnya…justifikasi mereka selalunya supaya mudah diterima kelompok itu dan kemudian dapatlah teguran berhikmah dilakukan.Namun teguran2 berhikmah tak menampakkan buah2nya.Yang tertera pada umum adalah sipenegur2 pun dah berubah mengikut arus itu.Macamana tu ustaz?Memang melemahkan semangat…

     
  9. nurzy

    7 Disember 2009 at 6:56 pm

    syukran ustaz
    ana pun menonton sang murabbi
    mungkin mampu menjentik semangat

     
  10. BADAR SBPI PEKAN

    12 Disember 2009 at 7:37 pm

    menarikkk….

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,252 other followers

%d bloggers like this: