Looking for Something?

HUTANG ORANG BERJUANG

Author:

Sungguh aku begitu kesihan melihatnya. Dia terperangkap dalam dilema. Pada saat dia bertemu dengan ku dan memohon untuk meminjam wang, aku menghulurkannya lagi. Buat kesekian kalinya. Dan dia berkata, “maaf teman… aku kesempitan.”

Aku mengikuti perjalanan hidupnya sejak dulu. Dia memang gigih berusaha. Memang dengan usahanya, dia layak untuk kaya. Sayangnya, dia begitu “pemurah”, hingga sering tergelincir dari batas kemampuannya.

Siapa sahaja yang datang kepadanya dia akan menolong. Kekadang adik-beradik sendiri. Acap kali teman dan taulan. Orang ramai menganggapnya kaya… betapa tidak, dia penulis yang telah mencipta nama. Buku-bukunya terjual dan tercetak berulang kali. Sayangnya, dia kerap “tertipu”. Satu hari dia berbisik padaku, “semua orang ingat aku kaya.”

Namun apa yang orang tidak tahu dia sering berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi syarikat-syarikat penerbitan. Tak kurang juga angkara cetak rompak. Ditambah oleh datangnya “peminjam-peminjam” tidak resmi bertali arus memohon berhutang kepadanya. Dia tidak mampu berkata tidak. Dia terperangkap antara hak-haknya yang tidak ditunaikan oleh orang lain kepadanya dan kemurahan hatinya meminjamkan kepada orang lain.

Pernah sekali aku menasihatinya, “jadilah Aid Al Qarni yang tidak bersedih apabila buku “Jangan Bersedih” tidak mendapat ganjaran royalti yang sewajarnya.” 
“Aku bukan Aid Al Qarni… Aku punya anak dan tanggungan yang banyak. Menulis ini oksigen kepada keperluan hidupku.”

Aku tersenyum. Dia bukan menulis kerana nama atau kerana harta… tetapi kerana perjuangan. Tetapi pejuang juga perlu makan, ada anak-anak bukan? Sekali lagi subjek berkaitan dengan dilema yang sama menerjah ingatan. Aku telah pernah menyentuhnya dalam berbagai-bagai entri menerusi blog ini (antaranya: Kau Murabbi bukan Selebriti dan Bangsawan Agama).

“Apakah yang patut aku buat?” tanyanya.
Aku diam. Tidak mampu memberi kata dua, justeru aku sendiri pernah “diserang” oleh dilema yang semacam itu satu ketika dulu. Tetapi kita aku telah ada pendirian. Sejak ku hayati dan kukunyah mesej-mesej tersirat dalam filem Sang Murabbi yang ku tonton tempuh hari dan nasihat daripada guru-guru ku.
Antara memberi pinjam kepada yang datang dengan menuntut hak sendiri yang tidak diberikan… yang mana patut dihentikan?”

“Jangan menghentikan sedekah kerana takut miskin. Bahkan sedekah itu akan menahan bala, memanjangkan umur, menyembuhkan penyakit dan memurahkan rezeki,” balasku perlahan.
“Jadi, kau suruh aku menuntut hak ku? Cari kembali royalti-royalti yang tersembunyi dalam data akaun penerbit-penerbit buku-buku ku?”
Aku diam panjang.
“Ya, kau patut berbuat begitu!” ujarku akhirnya.
Kali ini dia pula terdiam.

“Itu lebih baik daripada kau sendiri yang terpaksa meminjam…”
“Apa kau tak sudi lagi meminjamkan wang kepadaku?” ujarnya tersenyum. Dia bergurau. Dia kenal saya. Saya sahabatnya sejak dulu.
“Kau takut tidak mengikut jejak Aid Al Qarni?” tanyaku.
“Aku menulis kerana perjuangan. Ingin orang lain mendapat hidayah.”
“Itu satu bab sahabatku. Tetapi dalam soal muamalat, ada akad, ada aku janji, ada hak penjual danpembeli. Itu juga syariat. Itu juga termasuk dalam ajaran Islam. Itu juga perjuangan.”

“Aku segan.”
“Kalau begitu halalkan sahaja! Halalkan sahaja royalti-royalti yang belum kau tuntut itu.”
Dia diam.
“Dan mulai sekarang jangan bagi pinjam kepada orang lain kalau diri sendiri tidak mampu.”
Dia diam lagi.
“Dan jangan meminjam kepada orang lain. Duit yang nak diberi pinjam itu lebih elok digunakan untuk diri sendiri,” tusuk saya satu demi satu.
Dia diam. Kesihan saya melihatnya… walaupun dia bukan Aid Al Qarni, dia tetap sahabat saya. Saya kenal hati budinya! Jiwanya penyayang, mudah kesihan dan sangat pemurah.

Lama saya termenung. Teringat kembali kepada satu tulisan yang pernah saya ketengahkan satu ketika dahulu. Buat renungan diri dan semua marilah kita telusuri kembali isi tulisan itu sedalam-dalamnya. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan.

Roh orang yang berhutang tertahan di ashhbul A’raf walaupun mati syahid. Mengapa hingga sedemikian diperingatkan oleh hadis? Mengapa dibandingkan dengan mati syahid? Ya, mungkin hutang ada “penyakit” orang berjuang!

Ikutilah tulisan ini…

Walaupun lima sen! Hutang tetap dikira besar apabila tidak kulangsaikan. Hutang tetap hutang. Tidak kira berapa jumlahnya. Bukan hak kita, begitu bisik hatiku mengingatkan bila melihat catatan hutang-piutangku malam ini. Ah, betapa dikegelapan ini aku cuba mengira-mengira hutangku dengan manusia, agar lunas juga hutangku dengan Pencipta. Biarlah dalam gelap ini aku disesah resah, agar di sana nanti disinari cahaya.

Teringiang-ngiang pesan ulama, kekadang hutang kita dengan manusia lebih sukar kira-bicaranya berbanding ‘hutang’ kita dengan yang Esa. Hatiku mengingatkan betapa buruknya wajah orang yang tidak melunasi hutang-hutang dunia ketika berdiri di padang Mahsyar kelak… Ah, alangkah roh syuhada’ lagikan tertahan oleh hutang-hutang mereka, inikan pula aku hamba yang penuh dengan alpa dan dosa ini.

Mengapa sangat berat ketika diri ingin membayar hutang padahal terasa begitu ringan sewaktu memohonnya? Apakah aku sudah berkira-kira untuk tidak membayarnya sejak awal lagi? Kalau begitu alangkah hinanya diri ini kerana itu hakikatnya bukan berhutang tetapi mencuri.

Ah, alangkah malunya orang yang berhutang. Siang menanggung malu, malam menanggung resah. Betapa murahnya harga diri orang yang culas membayar hutang di depan orang yang memberinya hutang. Sekalipun dia seorang ‘agamawan’ – yang begitu arif dengan wahyu dan sabda, tetapi dia hanya layak berteleku bila berdepan dengan orang yang dinafikan haknya untuk mendapat kembali apa yang dihutanginya.

Ah, aku tidak mahu menjadi seorang daripada mereka. Selagi mampu aku ingin melunasi hutang-hutangku sedikit demi sedikit. Aku berpesan pada diri, jangan sekali-kali terperangkap dengan alasan-alasan yang diberi oleh ‘hati besar’ hingga melemahkan denyut ‘hati kecil’.

Ingat wahai diri, ayat Al Quran paling panjang dalam surah yang paling panjang ialah mengenai hutang. Dan ayat hutang itu asal mulanya hanya tentang sebuah bekas air! Mari wahai diri, mari tatapi ayat itu buat sekian kalinya. Firman Allah:
“Wahai orang yang beriman Apabila kamu melakukan hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar. Jangan penulis menolak untuk menulisnya sebagaimana Allah telah mengajar kepadanya…. (hingga akhir ayat)
Al Baqarah 282

Begitulah seriusnya Allah apabila membicarakan soal hutang dikalangan hamba-hamba-Nya. Apakah aku memahami, merasai dan bertindak selaras dengan keseriusan itu? Atau, aku hanya merasakan ayat itu ditujukan kepada orang lain, bukan untukku. Atau aku merasakan ayat tentang dakwah, soal keluarga, siasah, ekonomi dan lain-lain itu yang lebih ‘terkesan’ di jiwa? Jika demikian, alangkah tertipunya aku, kerana ayat itu memang ditujukan untukku, yang masih berhutang ini.

Sesekali, ada justifikasi yang menerjah hati… Mati ketika meninggalkan hutang bukanlah seaib mana. Apatah lagi bila melihat para Salafussaleh ada juga yang mati meninggalkan hutang. Mereka yang ‘hebat’ itu lagikan berhutang, apalagi aku. Ah, itu cuma alasan syaitan. Mengapa tidak kuperhatikan dan ku perhalusi bagaimana kesungguhan mereka itu membayarnya? Bukankah mereka semua telah mencuba sehabis daya, tetapi apakan daya, tidak kesampaian juga… Namun, sejarah memaparkan betapa kerisauan mereka hingga berwasiat untuk ‘gadaikan itu dan ini’ hanya untuk melangsaikan hutang yang masih berbaki.

Wahai diri, jangan kau tertipu… Berbeza sungguh tujuanmu berhutang dan tujuan mereka berhutang.Berbeza sungguh kesungguhan mereka membayar dan kesungguhanmu membayar. Berbeza sungguh kebimbangan mereka ketika tidak dapat membayar, dengan kebimbanganmu ketika tidak membayar hutang.

Kau masih tersenyum, ketawa, berjalan bagaikan wira, menabur bunga-bunga kata kononnya kau wira segala… tetapi Allah tahu betapa ‘busuknya’ hutangmu itu. Jika hutang itu ‘berbau’ pasti manusia lari meninggalkanmu. Tidak malukah kau, dicemuh oleh orang yang tahu rahsia dirimu… ah, dia itu kokoknya sahaja berdegar-degar, ekor diselaputi hutang!

Mulai detik ini, ketika ada rezki yang datang menjengahku, kan ku katakan pada diri, “ini ‘bantuan’ Allah untuk melunasi hutang-hutangku. Aku akan makan-minum sekadarnya, menggunakannya hanya di tahap keperluan dan selebihnya aku mesti gunakan untuk membayar hutang!”

Dan mulai saat dan detik ini, aku berazam tidak akan berhutang hanya untuk ‘melebihi’ kadar keperluan dan kemampuan hidup. Aku sepatutnya malu… bila harga diri dipertaruhkan sebagai ‘deposit’ untuk berhutang. Teringat aku kata Saiyina Umar, “jika minum seteguk air di ketika sangat dahaga itu akan menjatuhkan harga diriku… nescaya aku tidak akan meminumnya!”

Ya, alangkah berertinya hidup ini jika kita ‘memberi’… Dan memberi paling utama ialah ‘memulangkan’ semula hak kepada pemiliknya.

Feedback

18
  • Hamba Allah

    Slm buat ustaz,kita selalu didedahkan dgn cara bagaimana utk berhutang..bukan cara bgmana utk mengelakkan drp berhutang..itulah lumrah trend hidup generasi masa kini..ana sendiri melihat pengalaman ditempat kerja ana..setelah 3 atau empat bulan bekerja,mula fikir macamana cara bank nak luluskan pinjaman..ada yg sanggup berpakat dgn bhgn akaun,jika bank tel.bagitau bank jumlah gaji melebihi gaji yang sebenarnya..dlm slip gaji ditambah elaun2 yang tak ada…itulah sebabnya gaji tak pernah cukup2..kerana tidak ada berkat dlm rezeki yg diperolehi…kerana tidak mendahulukan keperluan dari kehendak hati yang tak pernah puas,maka hutang dianggap perkara lumrah dlm hidup.. jika memahami hakikat hidup didunia ada kesinambungan selepas mati kita akan berhati-hati dalam soal hutang..berhutang jika benar2 perlu bukan untuk bergaya..

  • iman

    salam, ustaz…dulu masa saya kecil dalam darjah 2/3 saya pernah pecahkan aquarium jiran saya (india). saya lalu berdekatan je …tiba-tiba aquarium tu pecah (mungkin saya tak sedar saya terlanggar)..dan time tu, saya buat tak tahu je sbb saya rasa tak bersalah…sekarang..dah dewasa ni bila teringat, rasa bersalah la pula..tapi jiran saya telah pindah, saya tak tahu bagaimana nak menghubungi dia..apa yang perlu saya lakukan.

  • gentarasa

    Salam iman,
    Bagus kalau rasa kita dah halus macam tu. Saya tak pasti macam mana… tetapi elok sedekah senilai harga akuarium tu (agak-agak). Dan doakan selalu agar orang India (bukan muslim?) dapat hidayah. Doakan dia… itu yang terbaik. Wallahua’lam.

  • khairul

    salam tuan,
    diantara kelemahan – kelemahan diri yg masih tak dapat dibaiki ialah tidak menulis pemberian hutang.
    hingga terlupa……dan tak pernah menulis wasiat walau tahu itu perintah agama.
    Sentiasa tangguh walau tahu mati tak tahu bila. Macam mana nak mengubah sikap ni? Minta pandangan Tuan.

  • gentarasa

    Salam khairul,
    Keengganan menulis wasiat, dalam diam-diam adalah petanda kita lupa atau takut mati. Kita tak suka (walaupun tidak benci) mati. Itulah sahaja sebabnya. Bukan saudara sahaja alami begitu… kita semua. Bayangkan kalau kita nak keluar negara… kita akan ghairah menulis keperluan untuk ke sana. Tetapi untuk kita “keluar dari dunia”? Oh, tidak! Hati terlalu enggan.

    Keengganan menulis hutang pula kerana sikap sambil lewa. Kita rasa itu antara kita sesama manusia… padahal Allah yang perintahkan kita menulisnya. Atau disebabkan kita tidak anggap itu ibadah. Yang ibadah hanya beri hutang… mencatatnya tidak. Mudaha-mudahan kita mulai dari sekarang. Tulis… jangan tak tulis.

  • gentarasa

    Salam.
    Ada dua pilihan… pertama kita halalkan sahaja. Niat hadiah atau sedekah. Kedua, ingatkan dia baik-baik. Mana tahu dia terlupa.

  • kak chik

    assalamualaikum,
    sedih dengar cerita sahabat tersebut…demi utk mengembirakan org lain dia sanggup mengenepikan kepentingan diri dan keluarga. sukar jumpa umat rasullulah yg berjiwa begini di akhir zaman ini.Mudah2an allah hiburkan hatinya di kala semua hati di rundung duka diakhirat kelak…amin…
    Rasulullah pernah bersabda, perbanyakanlah kenalan org fakir dan miskin dan berbudilah pd mereka kerana mereka kelak akan mendapat kuasa.Bila tiba hari kiamat maka di katakan pada mereka “perhatikan siapa yg dahulu pernah memberimu makanan dan minuman seteguk @ pakaian sehelai, maka peganglah tangan nya dan tontonlah mereka ke syurga(maksud hadis Qudsi).wallahualam.Muga2 allah limpahkan sifat kasih dan sayang di dalam hati utk membantu org2 yg allah uji dgn kesusahan hidup di dunia.Pernah saya terbaca ,org yg hidup utk mencari keredhaan allah,allah akan mengirim org2 fakir dan miskin utk menguji dia, sementara org yg hidup utk mendapat syurga allah,allah akan uji mereka dgn ujian keikhlasan dlm amalannya.wallahualam.

  • kak chik

    assalmualaikum,
    saya syorkan supaya sahabat tersebut baca buku “quranic
    law of attraction” utk melembutkan hati2 kawan2 membayar hutang…

  • faridah

    salam ustaz…
    saya telah membaca buku nota hati seorang lelaki. terima kasih banyak2 atas karya ustaz itu. mudah2an kita sama2 sentiasa dalam keredhaan Ilahi.
    Selamat Menyambut Aidil Adha…

  • abuabid

    Salam alaik ustaz. Salam aidil adha. Smoga hati dan iman ustaz sentiasa dalam jagaanNya. Saya suka penulisan ustaz. Sgt bermanfaat. Alhamdulillah. dan sy rasa tak terlalu awal nk ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha. 🙂

  • NurSyahadah

    Assalamualaikum ustaz…syukur alhamdulillah atas tulisan ustaz dalam blog ini..Allah beri saya gerak hati untuk membacanya.kebelakangan ini,saya banyak bermuhasabah diri selepas beberapa tahun masuk islam.ada kerinduan yang sangat dalam untuk mengetahui lebih banyak tentang agama ini dalam menempuhi hidup seharian..antaranya bab mencari rezeki yang halal dan bab hutang…saya masih keliru dan mungkin belum mendapat jawapan yang benar..bagaimanakah kita mengetahui sama ada kita berhutang dengan orang atau tidak?..semasa saya baru masuk islam dan terpaksa menghadapi dugaan dipulaukan oleh ahli masyarakat yang tidak “setuju”dengan keislaman saya…ada beberapa hamba yang datang membantu..ada daripadanya mengatakan,”saya nak beri ini untuk bantu anda,kalau mampu bayar kemudian,bayarlah..kalau tak dapat..tak apa”..ada juga saya pernah minta bantu bila betul2 dalam kesesakan,wang tinggal hanya cukup untuk membeli suratkhabar..saya katakan”saya perlukan pertolongan ,boleh tak saya pinjam….nanti insyaallah akan saya bayar semula”..ustaz..ingatkanlah saya apa yang sepatutnya saya lakukan?bagaiimanakah situasi hutang saya…terima kasih ustaz…selamat menyambut Hari Raya Qurban..

  • ibnu nafis

    Salam kak chik,
    Terima kasih di atas nasihat kak chik tu… Pertama skali…jika dia berhutang kepada saya…Saya halalkan baginya. Cuma permasalahannya..Org ini telah berhutang pada arwah ibu saya. Telah hampir 5 tahun arwah meninggal… Tetapi hutangnya tetap tidak di bayar. Bapa pula meminta tolong saya untuk meminta kepadanya… Tetapi terus terang saya katakan.. Tidak tersampai pula hati ini utk memintanya kerana… Saya fikir, jika kita berhutang, sebolehnya dia tahu brapa jumlah hutangnya..
    Bukan mudah utk berterus terang biarpun kebenaran tu pahit…lebih lebih lagi ingin meminta pada yg lebih berumur dari saya..Dalam masa yang sama, saya memujuk ayah untuk menghalalkannya agar mudah perjalanan kehidupan ayah kelak agar tidak di bebani dengan perkara sebegitu…
    Moga ada pendapat yag mampu membantu saya untuk terus memujuk ayah agar dia tidak memikirkan hal ini lagi…
    Salam..

  • gentarasa

    Salam ibnu nafis,
    Seeloknya jika ayah tidak reda… elok kita mujahadah untuk mengingatkannya. Doa dan pinta hidayah daripada Allah… dan terus mulakan langkah. Jika berat juga, pujuk ayah untuk menghalalkannya. Itu akan jadi simpanan kita di akhirat. Jika ayah tak mahu juga, apa kata (kalau jumlahnya tak banyak), kita keluarkan duit kita sendiri dan bayar hutang itu kepada bapa kita sementara kita halalkan duit kita kepada orang yang berhutang itu. Ya, ada TIGA jalan. Pintalah hidayah dan pimpinan Allah untuk kita memilih yang terbaik untuk semua!

  • ibnu nafis

    Salam ustaz,
    Terima kasih di atas penjelasan ustaz tersebut.Moga Allah memberi petunjuk dan hidayah….

  • rosma

    Salam Ustaz..Terima kasih atas tulisan peringatan ustaz..di zaman ini amat sukar untuk mengelakkan hutang..namun apa kan daya..saya selalu berhajat untuk menjual rumah yg sememangnya hutang..agar saya pergi meninggalkan dunia ini dlm tidak berhutang..Semoga Allah membantu diri ini untuk melangsaikan hutang dunia ini agar selmt di akhirat sana..amin..

  • aziza

    subhanallah.. banyak info berguna sebagai pengajaran dan panduan kepada kita dalam melayari hidup di dunia pinjaman ini.. mudah2an Uztaz teruskn menulis.. saya akan cuba dapatkan buku nota hati seorang lelaki untuk bacaan dan menambahkan ilmu agar diri ini dan keluarga dpt memperbaiki diri..terima kasih ustaz..

  • amiemisliani bin zulkifli

    salam semua…bagaimana penghutang dapat menyelesaikan hutang didunia tetapi bagaimana pula di akhirat ..,apa akan berlaku jika semua penghutang meninggal dunia semalam adakah harta yang kamu ada cukup menampung hutang yang kamu tinggalkan atau sebaliknya …sebenarnya kita kena bawa dunia ini untuk akhirat bahkan harta yang kita tinggakan sedikit sebanyak dapat membantu keluarga sara hidup disamping anak2x… ,saya amiemisliani agent prubsn mencadangkan dengan mengambil prodak takaful prudential bsn ianya dapat membantu anda walau apa keadaan sekali pun …sihat dalam bentuk simpanan kami sediakan ,sakit kami ada pampasan untuk anda bahkan pendapatan bulanan kami sediakan untuk menampung pembelanjaan harian ,segala pembelanjaan kos rawatan kami bayarkan ..pelan takaful kami yg fleksibel dan premium bulanan serendah RM 20 ,jumlah pampasan dan premium bulanan dicadangkan bergantung kepada kemampuan dan keperluan peserta,keterangan lanjut boleh layari laman web kami di http://www.prubsn.com.my dan boleh hubungi saya ditalian 017-6896737 / 017-6896707 ( amie ).tq

    Balas

  • ida

    salam ust..
    Terima kasih atas coretan ustz kali nie..moga tiap pembaca ruangan ini sentiasa bersyukur dengan apa yg dianugerahkan untuknya..sesungguhnya hanya die yg maha berkuasa..alhamdulillah~

Leave a Reply

%d bloggers like this: