Looking for Something?

DEMI CINTA!

Author:

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini terlalu ramai diantara pengunjung rela dan tega berkongsi masalah dengan saya. Pada hal telah berkali-kali saya tegaskan bahawa saya hanya seorang yang sedang bermujahadah. Justeru, saya tegaskan marilah sama-sama kita berusaha… memperbaiki diri.”

“Kemudian saling doa mendoakan – pinta hidayah Allah dalam bermujadah. Kali ini saya ingin berkongsi lagi.. “Demi cinta” ini saya tulis agak tergesa-gesa. Mencuri-curi masa ditengah kesibokan menjalankan program di Port Dickson ini. Mari sama-sama kita kongsikan…”

DEMI CINTA!

Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.

Tirulah sifat Al A’ffu (Maha Pemberi Maaf)  Allah SWT… yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu… pengampunan Allah tidak bertepi dan “bertapi” lagi.

Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa… Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.

Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!

Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati… Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.

Bila datang perasaan semacam itu di hati mu… sedarlah ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA.. Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri… Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar. 
Jika benar cintakan dia kerana cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah. Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah.
Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.

Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk isteri atau suami mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan. Kemarahan seumpama ‘bom jangka’ yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita. Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah “benci tapi rindu”.

Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup… berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita ‘bebas’ dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu. Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita. Kemarahan itu adalah “api” dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.

Justeru, memaafkan pasangan adalah tradisi atau “life style” orang-orang yang soleh. Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan isteri atau suami?

Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun… Apatah lagi memaafkan isteri atau suami sendiri. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan. Dan hakikatnya suami atau isteri kita lebih berhak untuk mendapat kemaafan itu sebelum kita memaafkan orang lain!

Anehnya kita sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang nasuh hidup, bukan untuk orang yang telah mati. Bayangkan, isteri atau suami kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh sidia buat selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang “tidak selesai” antara hati-hati kita berdua?

Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.

Percayalah! Saya pernah mendengar cerita betapa ada seorang suami yang kematian isteri, yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar kita sedari mati itu datang tiba-tiba!

Telah berapa kali saya ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan  tidak memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka yang bakhil… Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah walaupun mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.

Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin… tetapi hanya oleh tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan penawar jiwa yang lara.

Seorang ahli falsafah, Plato pernah berkata,“kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri? Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.

Justeru antara adab tidur yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan kesalahan orang lain. Setelah membaca “4 Qul”, doa tidur dan zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain pada hari itu. Dan “orang lain” yang paling dekat dan hampir dengan kita ialah teman tidur di sebelah… siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita.

Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam “fail” di hati sanubari kita. “Delete” segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita suami isteri. Jangan lagi fikirkan “sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau begini…” Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.

Siapa kita yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang menyebabkan berlakunya keretakan.

“Isteri ku sepatutnya bersikap begini terhadap ku. “

“Suami ku tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku.”

Jangkaan-jangkaan inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa? Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Oleh itu  jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu  dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!

Justeru, bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan bersumber dari pasangan kita, maka sikap memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu, tetapi dia begini, tak apalah… aku maafkan. Aku akan terus mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada ungkapan, “tiada maaf bagi mu” selagi ada rasa cinta.

Kekadang ada yang terlalu sukar memaafkan pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan suami atau isterinya. Mereka yang diserang penyakit “benci tapi rindu” ini akan menyeksa diri sendiri. Kekadang isteri dimarahi, diherdik dan dicaci pada siang hari, namun pada malamnya dia akan tidur bersamanya lagi. Rasulullah SAW sangat membenci sikap suami yang begitu.

Mereka yang sukar memaafkan pasangan hidup akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan. Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu. Jadi maafkanlah selagi dia menjadi teman hidup mu. Petanda cinta mu akan ke syurga ialah rumah tangga mu di dunia menjadi tenang, damai dan harmoni. Apalagi yang boleh menyumbangkan ke arah itu kalau bukan kemaafan?

Kata ahli psikologi, “Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem saraf kita tidak.” Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!

Saudara/i ku, aku yang menulis ini pun masih bermujahadah untuk memaafkan. Lalu di akhir catatan rasa dan gurisan jiwa ini, ku hadiahkan sebuah puisi seadanya. Tentang gelombang rasa dan gejolak jiwa sendiri dalam sebuah episod dalam hidup ku sendiri. Sudi apalah kiranya kau tatapi bersama…

SUKARNYA MEMAAFKAN

Aku benci rasa ini
Walaupun ia bertandang di laman hati
Kenapa kau menjelma semula
Setelah menghilang sekian lama

Kau kah itu yang pernah menghadiahkan
Satu luka berdarah yang menyakitkan
Kenapa perlu ku temui lagi warna pilu
Ketika kau lalu di tepian kalbu

Ah, terasa segalanya terlalu laju
Bila batas-batas masa dikira
Puluhan tahun tidak lama
termanggu aku seketika…
di pinggiran nostalgia
… sukarnya memaafkan
….sukarnya melupakan

Segalanya kini sudah berubah
Sejak ikatan hati itu terungkai
Episod demi episod telah mendewasakan…
Kita semakin matang mentafsirkan!
Kalau benar cintakan Allah…
Hati kita tak kan terpisah

Dan entah kenapa tiba-tiba kini…
Kita dipertemukan  semula
…di persada kemaafan
bila butiran wahyu menyapa
Tuhan semulia itu pun bisa memaafkan
Lalu dendam luruh seluruh…
Walau di awalnya terasa susah sungguh!

(Dinihari Muharam 1417 H)

Feedback

34
  • nurkasih

    salam semua…

    teori2 ini sangat bagus sekali untuk santapan rohani kita..tetapi untuk mempraktikkannya memerlukan keikhlasan hati dan daya juang yang tinggi..ya, kdg2 kita juga tewas dgn nafsu amarah atau mungkin bisikan2 jahat mengganggu..namun, berdoalah wahai hati semoga kita diberi ketetapan iman..semoga kita cepat tersedar andai sedikit terleka..selamat beristiqamah wahai hati…

  • RindupadaNya

    salam..alhmdulillah..artikel yg baik,smga byk manfaatnya.. smga kita smua dikurniakan hati yg redha dgn tarbiah Illahi.. smg terus berkarya

  • khairulaznan

    Salam Tuan,

    Entahlah…..masih ada kemaafan yang belum dapat di berikan pada seorang yang begitu sombong dan angkuh untuk mengaku kesalahannya. Bahkan terus menyalah serta menghina diri ini.

  • fatin

    Salam alaik,
    Sekadar perkongsian ; brckp ttg memberi kemaafan ni, sy pernah bertanya seorang sahabat sy apakah yg membuatkan beliau mudah memberi kemaafan kpd org lain..
    Beliau menjwb(sambil menangis) :
    “ Apabila aku merasa aku marah kpd seseorang dan sukar memberi maaf kpd seseorang itu, aku khuatir kalau2 Allah juga sukar memberi kemaafan kpd ku apabila aku berbuat salah pada-Nya samada dlm keadaan sedar atau tidak.
    Itulah satu2 nya sebab yg kuat yg memberi ruang kpd dirinya utk berlapang dada dlm memberi maaf kpd org lain walau sebesar mana sekalipun kesalahan seseorang kpdnya.
    Mudah-mudahan perkongsian ini dpt membuka ruang di hati kita utk mudah memberi maaf…

  • rosma

    Salam..
    Terima kasih ustaz dengan post baru ini..

    Hiduplah dengan kemaafan agar hati kita sentiasa tenang dan damai..namun betul kata ustaz..kita perlukan istiqamah dlm bermujahadah..Anugerahkanlah kami Ya Allah hati yg lemah lembut dan kasih sayang terhadap org disekeliling kami..agar kami mudah memaafkan..Amin

  • abdul rahman ali

    salam….demi cinta, simbolik yang perlu kita hayati adalah rahsia dan maksud kesabaran disebaliknya. Tidak mudah untuk menjaga cinta kalau tidak ada kekuatan kesabaran….
    uniknya, cinta terbina dari asas kefahaman yang dibuktikan dengan perlaksanaan…Ertinya Demi Cinta, berilah ilmu@info bersama2 dengan contoh perbuatan@perlaksanaan apa yang diinginkan. Barulah cinta itu mudah difahami, dihayati dan dijiwai

  • Professor

    Bismillahirrahmanirrahim..

    Assalamualaikum..

    sekadar pandangan dari ana yang belum berumah tangga.
    Alhamdulillah..jzkk ustaz, ana merasa sgt terkesan dgn artikel ni walaupun belum berumah tangga..kaitannya, fitrah yang Allah aturkan. lelaki dan wanita itu saling tertarik, saling memerlukan. siapa yang tak nak kahwin kan..yang belum kahwin rasa nk sangat kahwin, tapi yang dah kahwin, kenapa blh jadi macam tu? sukar memaafkan pasangan? lupakan pada perasaan ingin kahwin satu masa dulu?Teringat satu puisi dalam sebuah buku:

    Bila malam sudah terasa sepi dibanding masa-masa sebelumnya
    Bila hangatnya persahabatan tak lagi cukup untuk mencurahkan isi hati
    Bila hati merindukan belaian kasih sayang dikala resah
    Bila hati mendambakan pelindung dan pemberi motivasi disaat dirinya lemah
    Bila hati mulai cenderung dan merasa tenteram disisi lawan jenisnya,
    Maka apakah yang akan kita cari, selain pernikahan?

    Allah statekan dalam kitabNya yang kita akan merasa senang dengan pasangan kita, masyaAllah..sungguh terkesan dengan ayat Allah tu. mana tak nya, berbalik kepada fitrah yang Allah aturkan tu..jadi, bila dh dapat semua tu (dh kahwin), kenapa mesti tidak memaafkan?hargailah nikmat Allah tu sebaiknya..semoga kita semua dikurniakan hasanah dunia dalam proses menuju matlamat mencapai mardhatillah..amiin..

    Wallahu’alam..

  • NURANI ROSNI

    assalamualaikum ustaz,
    terima kasih kerana memberi penjelasan ttg kemaafan..
    jauh d sudut ati saya, saya trlalu sygkan suami saya..
    klu dgn cara ini DIA menguji saya.. saya terima wlupn sakit…
    TERIMA KASIH USTAZ…

  • Hamba Allah

    Salam ustaz…alhamdullilah,artikel yang amat memberi menafaat buat ana..bukan mudah mengikis mazmumah yang berkarat dihati..namun jika hati betul2 mencintai Allah,kita akan berusaha untuk mengikisnya secara perlahan-lahan..beberapa kali membaca artikel ustaz mengenai kemaafan,baik untuk pasangan maupun untuk insan yang ada disekeliling kita…ana cuba hari demi hari,biarpun ada ketikanya kedegilan tidak mau mengalah..doakan ana ya ustaz..artikel2 ustaz banyak membimbing ana dalam muhasabah diri yang jahil ini…

  • parsisay

    salam,
    terimalah ia seadanya.kita manusia,semua ada kelemahan dan kelebihan tersendiri.terimalah ia sptmana kita mula2 terima ia sbgi suami@isteri kita dulu.bukankah sebelum kita di jodohkan dulu kita sering berdoa minta yg terbaik utk kita.ujian yg dtg sebenarnya merupakan baja utk mengukuhkan lagi kasih sayang dan mengenali allah dan pasangan kita lebih dekat.dgn adanya ujian kita akan cuba tambah ilmu didada dan juga iman.saya syorkan sesiapa yg diuji dgn pasangan, ambillah ia cara positif,lihat hikmah disebalik ujian tersebut,baca buku2 motivasi dr tuah iskandar spt membina hati bahgia dll,buku asmaulhusna ada wirid utk lembutkan hati suami/isteri,bykan ibadah2 sunat dan selalu minta ampun dari allah walaupun kita rasa kita x bersalah.Sebenarnya ini cara salah se org kawan saya hadapi krisis r/tangga sehingga suatu hari dia offer pd suaminya kawinlah lagi,cubalah tengok kalau2 ada isteri yg tahan dgn sikap panas baran awak ni. saya pun tak tahulah kebelakangan ni dah 3 kali mimpi di gigit ular…suaminya terus tersentak dan luahkan perasaannya pd sikecil…nak,ibu dah tinggalkan kita….saat itu ia terus berubah dan cuba mengawal ego n panas barannya.alhamdulillah kini mereka bahgia,mudah2an hingga kesyurga.amin

  • aziza

    salam ya ustaz,
    inilah ubat yang saya cari.. kemaafan walau mudah untuk di ucapkan ttp kadangkala, hati berdolak dalih dengan fikiran.kdgkala pula kesalahan dan kekhilafan dah di maafkan, tetapi kesan dari perbuatan itu yang menyiksakan.. dan lalu terpaksalah dipujuk hati supaya redha dengan ketentutan ALLAH.. inilah yang lebih menyusahkan..menangislah hati..apa yang boleh di buat lagi, anggaplah ini takdir ilahi yang datang untuk menguji..walau ini dah terpahat di sanubari.. kesedihan dan rasa terluka yang ambil masa nak pulih kekadang menyapa hati mengusik jiwa.. apalagi yg boleh di buat, menangislah hati.. kepada ALLAH kita berserah.. memang di akui, siapa lah kita utk menolak takdir.. yang melukakan lagi bila si dia yang meghadiahkan duka, dah kita maafkan tetapi langsung tak menghargai kemaafan dan semakin menambah kedukaan.. Ustaz, apapun terima kasih atas nasihat berguna ini.. semoga kemaafan yang kita berikan akan menenangkan hati kita.. dan yang selebihnya.. biarlah ALLAh yang menentukan… semoga Allah merahmati ustaz dan meneruskan perjuangan ke jalan ALLAH…

  • imranulkhalis

    Salam…

    Terima kasih ustaz.Peringatan buat diri dan sedikit sebanyak menjawab soalan saya pada ustaz melalui email tempoh hari.terima kasih kerana tidak putus-putus memberikan kepada kami nasihat.

    Moga ustaz tidak berhenti memberikan kami nasihat.

  • widyana

    salam………….demi cinta,ungkapan yg boleh mnjadikan diri lebih baik dan boleh jg jd sebalik nya……
    xmudah utk mnjaga cinta……..ht mnusia smua boleh berubah…
    YA ALLAH……….andai die baik utk dunia dan akhirat ku,andai die tercipta utk diri ku,kau temukan lah jodoh antara kami…
    andai sebaliknya…ku pohon dari MU YA ALLAH………..kau kuatkn lh ht dan iman ku ini utk mujahadah ke jln MU………..AMIN………

  • Kunang-kunang

    Terima kasih tuan.

    Motivasi yang sangat menginsafkan.

    Dalam lama hidup berumahtangga, kadang-kadang hati senang terguris, namun tak pernah disimpan menjadi dendam terutama bila terkenangkan berapa lamalah lagi kami akan hidup berdua.

    Pada usia yang semakin senja rasanya cinta yang ada ingin diberikan semua.

  • hajar

    Subhanallah

    segala puji bg ALLAH yang mengilhamkan ustaz pahrol menulis artikel ini..

    ALLAH memujuk hamba-hamba Nya melalui berbagai cara..salah satu nya melalui ilham yang diberikan kepada ustaz pahrol untuk memujuk direct kepada hamba Nya yang sedang mencari jawapan kepada masalah ini..

  • ashyfida

    salam ustaz.

    puisi yg ckup puitis.. 🙂

    adakala kemaafan terasa menggelodak tapi keikhlasan dalam menemui kemaafan itu skar dicari. kilaunya menjadi petanda tapi cahaya itu masih lagi dlam kembara sebagai hamba..pohonlah agar diberi hati yg suci agar maaf dan ikhlas itu sentiasa seiring dan mengiringi kita dalam mencari-cari redha Illahi..

    Wahai jiwa, berilah maaf agar hati kalian tenang…walau sepahit mana hempedu ditelan, bukan bermakna itu pengakhiran sebuah dugaan. Mungkin madunya belum mengeluarkan manisan, menanti masa di sepanjang pengembaraan,

    Sabarlah. Saat itu akan tiba. Sesungguhnya sabar itu INDAH kerna ia datang dari Allah pada hambanya yang sentiasa MEMBERIKAN kebaikan.

  • gentarasa

    Salam,
    Syukran atas tambahan dan peringatan yang sangat bernas dan baik. Peringatan yang diberi mengundang datangnya peringatan yang lain. Ya, Allah ciptakan hati untuk mengingat… namun ada hati yang lebih kuat mengingat daripada hati yang lain. Syukran.

  • gentarasa

    Salam,
    Cinta yang matang itu… tidak buta dengan kesalahan dan kekurangan pasangan. Nampak, tetapi hati yang cinta akan berdoa dan berusaha untuk memperbaikinya. Kita terima seadanya. Dia hamba, kita hamba. Hamba itu lemah dan sentiasa bersalah!

  • NURANI ROSNI

    assalamualaikum..
    terima kasih ustaz,
    teruskan dengan nasihat dan tazkirah ustaz..
    TERIMA KASIH..

  • shafifah

    Bersama Muhadits Syeikh Muhammad Ibrahim dari Syria Esok (Rabu): http://wp.me/PiAx4-ZD

  • anildzaf

    Salam. Saya adalah antara yg membaca tulisan ustaz. Terima kasih atas prkongsian ilmu. Jazakallah………..

  • tiqah

    salam ustaz…minta izin utk copy yek 🙂 silalah berkunjung ke blog sy http://sinarankasih.blogspot.com/

  • gentarasa

    Salam tiqah,
    Ya. Silakan. Mudah-mudahan ada keberkatannya.

  • Eema

    Salam Ustaz..izinkan sy untk copy salinan ini ye..sememangnya artikel ini juga berkait rapat antara sy dengan pasangan sy..Sy telah memaafkannye..tapi sy tk dapat melupakanye..mungkin hati ini tidak ikhlas memberi kemaafan itu..dan kini sy masih mengumpul kata2 semangat dan pendorong untuk sy melepaskan perkara yg mebebankan fikiran dan perasaan sy itu..Semoga sy dapat mencari keikhlasan itu..

  • Pujangga

    Salam Ustaz..Syukur ke hadrat Allah swt, Allah telah kabulkan doa saya untuk mencari jawapan dalam kemaafan. Ya, seandainya kita memiliki pasangan kerana cinta kita kepadaNya, begitu juga pasangan kita…alangkah bahagianya pasangan itu. Tapi tidak semua orang memilikinya termasuklah diri saya. Sememangnya kemaafan memerlukan keikhlasan, tapi jika pasangan kita tidak sebegitu, ia tetap meruntun jiwa. Ya.. bersabar jalan terbaik,tapi ia semakin menghakis rasa cinta. Demi cinta saya kepadaNya, hingga kini saya bersabar tapi rasa cinta pada pasangan semakin menjauh. Mudah-mudahan Allah swt berikan petunjuk terbaik buat saya mencari ketenangan hidup dan diberi hidayah ke jalanNYa serta membuat pilihan terbaik buat saya dunia akhirat. Terima kasih ustaz.

  • naniismail

    salam ustaz..semoga ustaz terus diberi ilham utk menulis artikel2 yg sarat dgn ilmu & pengajaran..hati terasa lapang setiap kali membaca hasil tulisan ustaz dan tidak jemu2 utk membaca lg..

  • qalbun salim

    salam….
    Terima kasih buat ustaz atas penulisan yang begitu memotivasikan…ALHAMDULILLAH. Sekadar perkongsian bersama, saya sangat bersetuju bahawa dengan memaafkan hati kita akan menjadi lebih tenang. Saya pernah diuji Allah SWT apabila orang yang disayangi menipu dan mempermainkan kita hidup-hidup. Pada awalnya sukar untuk saya menerima kenyataan itu kerana saya sentiasa cuba untuk bersangka baik dan berfikiran positif dalam setiap perkara. Tetapi, apabila perkara di luar jangkaan yang berlaku rasanya ia terlalu berat untuk ditempuhi. Namun, saya cuba untuk melupakan perkara yang pahit itu dan memaafkan setiap kesilapan yang dilakukan. Kerana saya sedar, kita sebagai manusia memang tidak dapat lari daripada membuat salah. Dan saya tahu Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Saya cuba untuk menerima kenyataan itu dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Tapi, ada satu perkara yang menghimpit dada saya buat ketika ini. Walaupun saya dah memaafkan semua kesalahannya, tidak menyimpan sebarang rasa benci, dendam, marah dan seangkatan dengannya namun sukar untuk saya kembali rapat seperti sebelum ini. Dirasakan ada suatu jurang yang membatas hubungan kami untuk kembali rapat seperti sediakala..saya cuma mampu mendoakan yang terbaik untuknya. Apakah yang patut saya lakukan ustaz?

  • ruhil

    alhamdulillah disaat sy memerlukan kata rangsangan.. Allah telah memberi hidayah dgn menemukan sy dgn blog ustz.

    ustz. nak mintak izin.. sy nak gunakan artikel ini.. tp saya nak ubah skit.. agar sesuai dgn situasi sy ketika ini…

  • nur

    Assalamualaikum Ustaz….

    pg tadi sy dimarahi oleh rakan sekerja yg lebih senior krn melakukan kesalahan yg sy sendiri x sedar. mgkn mereka fikir sy ambil mudah xp sy sendiri x tau knp dgn diri sy xp sy redha sb semua ujian dtg dr Allah.

    sy cuma nak kata² nasihat & semangat untuk sy lebih fokus dlm kerja sy. mgkn sy sentiasa lalai dlm menjalankn tugas sy dan sy harap sy akn dpt manfaat drpd kesilapan yg sy lakukan.

  • Ana Sarina Abu Bakar

    salam ustaz… saya amat meminat penulisan ustaz…. izinkan saya berkongsi sajak ustaz diruangan FACEBOOK Saya… dgn izin ustaz saya nantikan… terima kasih

  • gentarasa

    Salam Ana Sarina,
    Insya-Allah, boleh saja.

  • Dewi Nadia

    Salam Ustaz, saya suke entri ini… Membuat saya menginsafi diri, betul lah kata ustaz
    Jika kita tidak memaafkan orang lain samalah seperti kita tdk memaafkan diri sendiri.
    Puisi tu buat saya menitiskan air mata.. Mmg sukar utk memaafkan. Tapi dengan memaafkan lah hati akan menjadi tenang…

  • umie syamimi

    Demi cinta saya pada suami… saya lepaskan cintanya pergi agar suami tidak berasa terkurung, tersiksa dan terhalang mahu ke mana pergi. Saya yakin saya akan dapat cinta yang lebih sejati….iaitu cinta kepada ILLAHI. Cinta kepada ILLAHI akan membawa cinta suami kepada saya kembali….. saya yakin ALLAH tidak akan mengecewakan saya

  • zul azhari

    sangat sedih

Leave a Reply

%d bloggers like this: