Looking for Something?

ARMADA HIJRAH

Author:

(Kalimah hijrah, seperti juga lain-lain kalimah yang penting dalam Islam, kerap disalah tafsirkan. Mendengar pelbagai bentuk dan nada perbualan antara juruhebah radio dengan pendengarnya semasa memandu pagi tadi (topiknya: Hijrah) menggerak rasa hati untuk menulis sesuatu tentang hijrah yang suci ini.

Sedih, apabila hijrah dikaitkan dengan perkara-perkara “kecil” yang begitu pinggiran sifatnya. Namun, saya berlapang dada… hakikatnya itulah nasib Islam, agama yang paling banyak disalah tafsirkan bukan hanya oleh bukan Islam tetapi oleh orang Islam sendiri.  Dan saya juga pernah tersasar memahaminya.

Justeru, saya rasa terpanggil untuk berkongsi mengenai hijrah. Jika salah, mohon diperbetulkan. Jika benar, alhamdulillah mohon difahami, dihayati dan sama-sama diperjuangkan.)

ARMADA HIJRAH

Hijrah adalah kalimah yang sinonim dengan iman dan jihad. Allah berfirman;
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.” (At-Taubah:20-22)

Ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan sama sekali. Tegasnya, hijrah itu dilaksanakan atas dorongan iman dan berjihad di jalan Allah. Dan ketiga-tiganya menuntut pengorbanan yang besar dari segi harta (masa dan tenaga) serta jiwa. Tidak ada hijrah tanpa pengorbanan. Dan pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi semata-mata untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah.

Ironinya, kita sering mendengar ungkapan seperti:
“Kita mesti hijrah menuju kejayaan.”
“Bangunkan ekonomi kita dengan semangat hijrah.”

Ya, benar kita perlukan kecemerlangan dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain, namun usaha itu sama sekali tidak boleh disifatkan sebagai hijrah sekiranya faktor iman dan Islam tidak dijadikan dorongan, penentu, pemantau dan panduan dalam mencapainya. Tanpa iman dan Islam menjadi niat dan jalannya maka apakah bezanya pencapaian kita dengan individu, masyarakat dan negara-negara bukan Islam? Mereka menjadi kaya, maju dan kuat tanpa menjadikan akidah, syariat dan akhlak sebagai landasan.

Hijrah tidak boleh dikaitkan berpindah daripada suasana miskin kepada kaya semata-mata. Ini kerana seorang sahabat Rasulullah SAW – Suhaib Ar Rumi RA bertukar daripada kaya kepada miskin akibat berhijrah. Ibnu Hisyam meriwayatkan bahwa ketika Suhaib (RA) berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya, “Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan relakan kamu pergi membawa kekayaanmu.” Suhaib (RA) menjawab, “Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?”. Kafir Quraisy menyetujuinya.

Suhaib (RA) menyerahkan semua hartanya kepada mereka dan berhijrahlah ke Madinah. Mengetahui hal ini Rasulullah (SAW) berkata, “Suhaib telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya. Sungguh, Suhaib benar-benar telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya.” Bukan beliau sahaja yang berbuat demikian tetapi itulah jua nasib yang menimpa hartawan-hartawan Islam seperti Abu Bakar Assiddiq, Uthman ibn Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain yang kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang apabila seluruh aset dan premis perniagaan mereka terpaksa ditinggalkan di Makkah apabila mereka berhijrah ke Madinah.

Hijrah juga tidak boleh dikaitkan dengan perjuangan meninggikan status sosial. Ini kerana Mus’ab bin Umair RA – seorang lelaki bangsawan yang ternama, bertukar menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup jenazahnya. Lihatlah betapa ramainya orang-orang besar Quraisy yang memeluk Islam rela membuang status sosialnya apabila mereka rela makan minum, tidur baring dan hidup bersaudara dengan golongan bawahan yang dulunya adalah kaum pendatang dan hamba abdi.

Hijrah memang bererti perpindahan, tetapi bukan semua perpindahan boleh disifatkan sebagai hijrah. Hanya perpindahan atau perubahan yang diniatkan kerana iman dan Islam sahaja layak dinamakan hijrah. Ini diterangkan oleh hadis berikut:
“Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : ” Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :’ Hanya sanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanya sanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehnya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah keranany.”’

TITIK PERALIHAN MENUJU KEMENANGAN

Hijrah walaupun dilihat pada mata kasar seolah-olah berundur, tetapi sebenarnya tidak. Ia adalah langkah berundur untuk melonjak lebih jauh. Pelaksanaan Islam selepas hijrah menjadi lebih syumul – daripada soal menegakkan akidah, syariat serta akhlak di peringkat diri dan keluarga kepada pelaksanaan sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, pertanian dan lain-lain lagi di peringkat masyarakat dan negara.
Justeru, hijrah adalah syarat untuk mendapat kemenangan. Tanpa hijrah umat Islam akan kalah. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”

Islam telah diperjuangkan di peringkat yang lebih global dan holistik hanya selepas Rasulullah SAW berhijrah. Dan sejak itu jugalah posisi Islam yang mulanya berada di bawah (ditindas) mula beralih ke atas (memayungi dan menaungi). Atas dasar itulah, Sayidina Umar RA memilih hijrah sebagai detik bermulanya kalendar Islam. Ia telah dipilih sebagai mercu tanda bermulanya kemenangan Islam. Agar dengan itu setiap kali menyambut tahun baru Islam umat Islam akan mengimbau detik kemenangan itu sebagai aspirasi mencipta kemenangan baru!

Hijrah digerakkan oleh pemikiran strategik, rohani yang bersih, persiapan fizikal dan material yang ampuh, emosi yang tenteram dengan bantuan Allah menerusi tentera-tentera-Nya yang di langit dan di bumi. Ia bukan sahaja perjalanan merentasi Makkah dan Madinah tetapi hakikatnya merentasi sejarah. Ia adalah satu kebangkitan yang merentasi masa dan ruang (time and space) generasi semasa dan sesudahnya.

DETIK YANG MENENTUKAN

Mari sejenak kita telusuri detik yang menentukan dalam sejarah Islam itu menerusi sajak ini:

HIJRAH KEKASIH
Kesetian Abu Bakar teman sepanjang jalan
Keberanian Ali menggamit maut di hujung selimut
Ketabahan Asma’ serikandi perancang bekal musafir
Setia, berani dan tabah terserlah
Di hijrah Rasulullah… menuju Allah
ke kota Madinah

Di gua Thur jejaring lelabah mengukir keliru
Merpatipun bersarang rendah menghibur gundah
Bisa ular di kaki Abu Bakar menjadi penawar
Angin malam dan ribut pasirpun reda seketika
Tentera Tuhan… akur setia
Suara alam…. sunyi seketika
pada dua kekasih-Nya di dalam gua

Di Madinah suara rindu syahdu mendayu
Hari syukur, tafakur atas nikmat dan rahmat
Marhaban… marhaban… marhaban
meriah kedengaran
Al Qaswa dibiarkan memilih persinggahan
di depan rumah Abu Ayub akhirnya…
bertamulah keberkatan

Dibena masjid telapak semadi ketulusan hati
dengan Ilahi…
sesama insani…
Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan
Aus dan Khazraj diserasikan
Perisai ummah benteng kekuatan

Itulah keindahan sebuah hijrah
Yang bertintakan kesusahan…
berdakwatkan ketabahan
Itulah hijrah kekasih Allah
Berasaskan iman bertunjangkan ukhwah
Menara Islam terjulang…
di Madinah Munawwarah!

Di tahap pertama perjuangannya (di Makkah) Baginda terlebih dahulu membina kekuatan iman dan takwa dalam diri pengikutnya. Di peringkat ini fokus Baginda hanyalah pada pembinaan kekuatan dalaman. Ketika ini walaupun ada serangan dalam bentuk fizikal hingga ke peringkat membunuh, Rasulullah tidak melawan walaupun ada sahabatnya yang terkorban.

Untuk meredakan penyeksaan yang ditanggung oleh sahabat-sahabatnya, Baginda mengarahkan beberapa orang sahabatnya hijrah ke Habsyah dan beberapa tahun kemudian Baginda sendiri hijrah ke Madinah. Pada peringkat awal di kota Madinah baginda memulakan beberapa langkah penting dan besar di tahap kedua.

Untuk pengukuhan ilmu, iman dan amal secara berterusan di binanya masjid – pusat pembinaan kekuatan rohaniah. Untuk kekuatan ukhwah, dipersaudarakannya golongan Muhajirin dan Ansar. Untuk menyatukan seluruh penduduk Madinah (yang Islam dan bukan Islam) dimetrainya Piagam Madinah – yang menjamin keamanan dan sistem pertahanan bersama. Kekuatan ekonomi mula dibina dan sistem hidup yang memerlukan pelbagai kepakaran mula diterokai – pasar, kebun, sistem perparitan dan kebersihan kota mula dilaksanakan.

Tiga atau empat tahun kemudian, apabila kekuatan Islam mula terserlah dan musuh terus mencabar, barulah Rasululah mengangkat senjata dan berlakulah beberapa siri peperangan yang bersifat defensif. Mula-mula Badar, kemudian Uhud dan akhirnya Khandak. Keberanian dan kepakaran dalam bidang ketenteraan tidak menggangu kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada perdamaian. Lalu berlakulah perjanjian Hudaibiyah.

Rasululah s.a.w. berani berperang dan berani berdamai dan dalam kedua-dua keadaan tersulam satu kebijaksanaan, kejujuran dan kekuatan yang sukar ditandingi. Dan akhirnya, dengan hati yang bertakwa, pemikiran yang strategi dan persediaan fizikal yang mantap, Makkah berjaya dibebaskan dan Islam tersebar di seluruh Jaziratul Arab.

Itulah langkah-langkah yang produktif dan konstruktif sebaik berlakunya peristiwa hijrah. Hijrah merupakan satu tahap berlakunya “turing point” (titik peralihan) dan “turning over” (titik perubahan) dalam perjuangan Islam. Hijrah yang telah berlaku hampir 1430 tahun yang lalu itu hakikatnya terus signifikan dan relevan untuk dijadikan asas dan teras dalam pemikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan umat Islam masa kini.

BERSAMA HIJRAH

Maal Hijrah ertinya “bersama hijrah.” Bersama hijrah bukan bermusim dan terhad sifatnya. Sambutan yang dibuat saban tahun tidak akan bermakna sekiranya ibrah dan hikmah di sebalik hijrah tidak terserlah. Ia akan terus menjadi ritual yang tidak membangunkan spiritual umat – sama seperti sambutan Maulid Nabi, Nisfu Sa’aban, Nuzul Quran, Lailatul Qadar dan lain-lain lagi. Bersama hijrah bermaksud mempelajari, memahami, menghayati dan mengamalkan dan memperjuangkan iman dan Islam berdasarkan “resipi” yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Hijrah yang menjadi tuntutan secara berterusan ialah berpindah atau berubah daripada buruk (jahat) kepada yang baik. Dan ukuran baik atau buruk itu dibuat berdasarkan perspektif iman dan Islam. Bersama hijrah dalam erti kata yang lebih luas ialah sentiasa berubah kepada Islam dan iman yang lebih baik sama ada untuk diri, keluarga, organisasi, masyarakat mahupun negara kita.

Bersama hijrah juga bermaksud sentiasa melakukan perubahan ke arah memperkukuhkan Islam secara istiqamah dan total. Hijrah diri, ialah sejauh mana diri diubah ke arah yang lebih baik dan mantap dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Hijrah diri itu perlu diteruskan ke peringkat keluarga, organisasi dan masyarakat.

Manakala hijrah negara pula merangkumi hijrah sistem ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain sistem kehidupan ialah sejauh mana semuanya mampu memperkukuhkan iman dan Islam kita untuk memberi keamanan dan kemakmuran kepada orang Islam dan bukan Islam persis yang dibuat oleh Rasulullah SAW di negara Islam Madinah dahulu.

Untuk melakukan hijrah yang menyeluruh itu, semua pihak mesti berperanan. Kenali watak dan peranan wira-wira hijrah yang mampu dan sesuai untuk diteladani. Pilihlah, sama ada untuk meneladani:
• Kesetiaan dan kemurahan hati Sayidina Abu Bakar (menyediakan keperluan logistik dan teman karib kepada Rasulullah SAW).
• Keberanian dan amanahnya Sayidina Ali (berselimut di tempat tidur Rasulullah SAW dan memulangkan kembali harta orang ;lain yang diamanahkan kepada Rasulullah SAW).
• Kecekapan Asma binti Abu Bakar (menyediakan makanan).
• Sifat murah hati Ummu Maabad (rela kambingnya diperah susu untuk memberi minum dalam perjalanan Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar).
• Kesal dan akurnya Suraqah (yang mulanya menentang tetapi akhirnya tunduk dan yakin kepada kemenangan Islam).

ARMADA HIJRAH

Islam kini menagih hijrah justeru nasibnya yang dagang seperti mana ia bermula. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW telah benar-benar berlaku. Rasulullah SAW bersabda:
“Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”. H.R. Muslim

Jadilah “orang beruntung” yakni orang yang bersiap sedia untuk melakukan hijrah satu langkah “jump start” yang sangat diperlukan masa kini. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa ada set minda (“mind set”) hijrah di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah ke arah Islam dan iman yang lebih baik.

Setiap diri berfikir untuk menghijrahkan hati, akal, nafsu, emosi dan fizikalnya ke arah iman dan Islam. Ibu bapa berfikir bagaimana menghijrahkan keluarganya. Guru-guru bertanggung jawab menghijrahkan sekolah. Imam hijrah dengan anak-anak kariahnya. Pemimpin masyarakat menghijrahkan kampung, mukim, bandar dan daerah. Wakil rakyat di kawasan parlimen masing-masing. Begitu juga dengan ADUN. Tokoh-tokoh korporat, menteri-menteri pula berperanan memimpin armada hijrah yang lebih besar dan luas lagi…

Inilah pra syarat untuk mencapai kejayaan. Bantuan Allah akan sentiasa bersama kita jika kita bersama hijrah. Maha Hebat Allah yang menjadi sesarang lelabah dan merpati yang zahirnya begitu lemah untuk melindungi dua orang kekasihnya di gua Thur… Namun di situlah kehebatan kuasa Allah yang pernah menjadikan air untuk menewaskan Firaun dan bala tenteranya, nyamuk untuk membunuh Namrud, burung dan batu kecil ketika memusnahkan tentera bergajah Abrahah.

Dan untuk kita umat Islam akhir zaman, pasti ada bantuan yang sama, dengan syarat kita berhijrah dengan tenaga, harta, masa dan jiwa. Hijrah atau kalah, yang mana satu pilihan kita?

Feedback

27
  • fatin

    salam alaik..

    MasyaAllah, semoga kita diberi kekuatan utk berhijrah.. Hijrah yg memerlukan pengorbanan dlm sume aspek dan beristiqamah dgnnya..
    Ya Allah, jgnlah kami dihukum krn kesalahan kami, ttp didiklah kami dgn penuh hikmah.. dan berikanlah kejayaan kpd kami..
    ameeeeen..

  • nurkasih

    salam semua…

    selama ini saya hanya faham hijrah itu berubah dari baik kepada yang lebih baik..(very narrow minded) setelah cube menelaah entry kali ini, apa yg saya phm definisi hijrah itu lebih meluas aspeknya…seperti yg d tulis, hijrah perlu bersandarkan iman dan Islam..x boleh sekadar berjaya mencapai matlamat..matlamat tidak boleh menghalalkan cara..

  • Ana Muslim

    Assalamualaikum ustaz,

    Jazakallahu khairan for the article…it is really good…

  • rosma

    Salam Ustaz..
    Setiap kali menjelang hijrah..hati mesti berazam utk berubah..namun dipertengahan tahun kekadang kecundang dengan cabaran hawa nafsu dan org disekeliling..Semoga tahun baru ini Allah beri kekuatan,ketenangan dan kelapangan hati serta petunjukNya utk melaksanakan ketaatan dan menjauhi laranganNya..Terima Kasih Ustaz..(ustaz,ada sedikit salah taip utk “turning point” -turing point)

  • Juwariah Md Jamil

    Syahdu membaca sajak berkenaan Hijrah ini.

  • umair insyirah

    slm alaik..perkongsian yg amt mnarik..mhn izin utk copy pgisian ni.jazakumullh khairn kathira..

  • parsisay

    assalamualaikum,
    armada hijrah…sungguh hebat maksud yg tersirat.Penghijrahan bermula dari diri,keluarga,masyarakat dan kemudian negara.Tak mustahil cara ini bakal melahirkan generasi solafussoleh akhir zaman.Penghijrahan diri kearah iman dan islam…dgn menambah ilmu2 agama di dada dgn berguru,melalui media2 cetak n eletronik,mencari teman2yg dpt menyelamat dan menambah iman kita ia itu teman yg bertaqwa yg mampu mempengaruhi kita kejln allah,yg berpandangan luas dan positif,mengajak kita bangkit jika terjatuh,menyuluh kita jln yg benar ketika kita bercelaru,mendekatkan diri kita kpd allah,menjadi benteng kukuh dihadapan kita semasa melawan iblis dan syaitan dan tidak mengambil kesempatan utk dirinya.
    Mana teman sejati?
    Kita pasti menemuinya jika kita ikhlas mencari mereka kerana allah.
    semuga kita berjaya berhijrah menuju kejayaan dan kebahgiaan dunia dan akhirat.amin…

  • parsisay

    p/s:ohoh…teman sejati tu mesti sama gender ma!
    klu tak si halimunan jd yg ke3…syariat kena jaga supaya compas hati tak tersasar dari landasan…

  • qalbun saleem...=)

    Subahanallah…sungguh menusuk qalbu..perkongsian ustaz..salam maal hijrah..semoga iman dan islam kita sentiasa menuju penambahbaikan..amin..=)

  • qalbun saleem...=)

    salam ustaz..

    alhamdulillah…sizinkan sy berkongsi dengan ustaz tentang sy..dan sy minta bantuan ustaz untuk memberi sy kata-kata semngat…untuk terus istiqamah dalam penghijraan sy..sebenarnya sy selalu tersentuh dengan kata2 ustaz d blog mahupun dlam penulisan austaz yg lain..terima kasih ustaz. Alhamdulillah.. sekarang ni sy sedang melalui sebuah penghijrahan (pastinya ke arah yang lebih baik..insyaAllah)…saya betul2 merasakan hidayah Allah, orang kata…apabila selesai kita membuat satu kebaikan..kita terpanggil utk membuat lagi kebaikan..itu tandanya Allah sedang merahmati kita dan hidayah Allah turun dengan kita… betulkah ustaz??? itulah yang sy rasa kini…keindahan islam btul2 saya rasa..subahanallah..sy semakin mencintai agama ini…dan sentiasa berusaha memperbaiki diri demi mencari keredaan Allah.

    betul kata ustaz..dugaan dan ujian pasti datang..diambang penghijraan kita. Untuk pengetahuan ustaz sy.. rasa banyak perkara yang perlu sy perbetulkan (diri, keluarga, kerjaya, tanggungjawab…dll)..sy xtahu macam mana nak mula..kekadang..terasa..berat. Bagaimana caranya sy ingin membantu adik beradik yg lain

  • fityah91

    Assalamualaikum ust..
    Maknanya hijrah yg sbnr-benarnya yg patut difahami dgn baik oleh kita smua ialah hijrah yg berteraskan islam,iman dan jihad…maka hijrah yg difahami tanpa bertunjangkn ke tiga2 elemen di atas tdk selayaknya digelar dgn ‘hijrah’ yg tggi martabtnya..betul x fahaman sy ust?

  • aziza

    salam ustaz,
    mudah2an tidak terlewat untuk ku mulakan hijrah ku kearah mengagungkan ajaran islam yang JITU, dalam kehidupan dunia yang dipinjamkan sementara oleh ALLAH ini..sebagai bekalan ke akhirat yang kekal abadi.. smoga perjuangan ustaz di rahmati ALLAH.

  • gentarasa

    Salam,
    Sahih. Syukran atas penegasan mu.

  • gentarasa

    Salam,
    Syukran atas doamu. Semoga Allah rahmati mu juga. Amin.

  • gentarasa

    Salam, qalbun,
    Tahniah atas penghijrahan. Bila telah beramal, timbul rasa ingin beramal lagi. Bila beramal terasa bagaikan tidak diterima… lalu memperkemaskan lagi amalan itu. Beramal, tetapi terasa belum sempurna… Itulah tanda-tanda Allah sudah jemput kita ke daerah kebaikan. Syukur. Dan sentiasalah mengekalkan rasa kurang, miskin, hina, jahil, lemah di hadapan Allah.

    Untuk membantu orang lain berubah, kita terlebih dahulu berubah. Perubahan kita akan merubah orang lain. Beri kasih sayang, beri bantuan, dakwah dan doa itulah cara membantu adik beradik. Saya pun begitu juga. Jangan marah kalau orang lain tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki kerana kita sendiri tidak berubah mengikut yang kita sendiri kehendaki. Wallahua’lam.

  • gentarasa

    Salam,
    Syukran atas bantuan dan perkongsian ilmu dan kata-kata mu.

  • Hamba Allah

    Salam ustaz…salam maal hijrah..semoga ana sentiasa berhijrah kearah yang lebih baik..doakan ana ya ustaz…

  • Kak Nisha

    Assalamualaikum semua,

    Ya…. memang betul, kita perlu berhijrah, tetapi tak semudah yang di ucapkan, sabar, ikhlas dan istiqomah penentu kejayaan. Betul ke Ustaz?

    Mana mungkin sekali berjuang kita akan menang,
    Mana mungkin sekali menang kita akan matang,
    Mana mungkin matang bila dalam perjalanan kecundang,
    Mana mungkin kejayaan berterusan tanpa tumbang.

    Mana mungkin Ikhlas dengan sekali lafaz.
    Mana mungkin semua menjadi dengan tulisan di atas kertas
    Mana mungkin benar jika sekadar terpampang di skrin layar.

    Salam Maal Hijrah untuk semua.
    Wassalam

  • husaini a. hamid

    Salam ustaz..Terima kasih atas perkongsian ini. Muga ia nya beri menafaat pada semua.

  • parsisay

    askm kak nisha,
    pernah guru saya bertanya pd saya, apakah yg kamu hendak di dunia ini?hidup senang?kaya raya dan tak perlu berusaha?emas dan berlian yg bertompok2.sesungguhnya guru saya ini se org yg terlalu mudah doa nya di kabulkan tuhan.katanya lg,jika itulah yg kamu mahu saya boleh doakan tetapi pahala jatuh bangun dlm mujahadahtul nafsi yg terlalu byk hingga tak terkira kamu tidak akan dpt.jika sebegitu mudah utk dpt syurga dunia dan akhirat,para nabi2 dan sahabat tak perlu menumpahkan darah mereka utk tegakan islam.jatuh bangun dalam mujahadah itu lah nilai manusia di sisi allah.wassalam.

  • shafifah

    KUNJUNGAN HABIB UMAR BEN HAFIZ KE MALAYSIA JANUARY 2010 : http://wp.me/piAx4-ZY

    Program Bersama Dr Wahbah Mustafa Al Zuhaily http://wp.me/piAx4-103

  • Liz

    Salam,

    hijrah yang saya faham selama ini juga adalah hijrah dari segi peningkatan. Saya juga baru tahu ada juga hijrah yang melibatkan pengurangan. Ya! hijrah perlu disertai dengan iman dan taqwa pada Allah.

    Semoga Allah memberkai tuan atas usaha tuan di dalam berkongsi makna hijrah ini.

    Rgds
    Liz

  • nurkasih

    salam semua..

    wah kak nisha…indah nya puisi..menyentuh jiwa…sgt terkesan di hati..insyaAllah…marilah kita sm2 memohon supaya sentiasa d permudahkan jalan utk merasa ikhlas dan sabar..seterusnya mengambil inisiatif untuk bertindak bukan lagi sekadar berkata2..

  • shafifah

    Program Bersama Dr Wahbah Mustafa Al Zuhaily : http://wp.me/piAx4-103

    HIMPUNAN RIBUAN UMAT DI MASJID AL FALAH: http://wp.me/piAx4-ZY

    Habib Umar bin Hafiz, Ulama Habaib Terkenal Masa Kini : http://wp.me/piAx4-oP

  • ibn wm wamy

    Salam..ustadz…

    Boleh berikan sdikit perkongsian ttg kesan negatif budaya couple dr segi zahiriah dan batiniah..

    min fadlik..

  • kasturi

    salam ustaz,
    selalu saya terkesan dengan penjelasan dan huraian yang cukup releven dengan idea-idea yang bernas dari ustaz. saya ingin berkongsi dengan ustaz tentang beberapa pengalaman yang saya alami ketika ini. saya baru sahaja habis belajar, dan sedang mengikuti program yang dianjurkan untuk graduan yang masih mencari pekerjaan. saya sebenarnya ‘shock culture’ di negeri sendiri, apabila melihat keadaan masyarakatnya yang menganggap agama menjadi suatu yang asing bagi mereka. kalau dulu, saya belajar di tempat yang penduduknya amat-amat mementingkan agama, tapi sekarang saya duduk di tempat orang-orang yang kurang memahami agama. gambarannya cukup berbeza, kalau dulu penduduknya semakin masuk ke pelusuk semakin taat dan beriman, tapi sekarang berada di tanahair sendiri, semakin ke pelusuk semkain tidak beragama. suatu ungkapan yang amat menyedihkan apabila ada rakan-rakan yang mengatakan, mereka takut untuk membaca artikel-artikel yang berkaitan tentang hukum hakam agama, kerana apabila membacanya perkara yang simple dan mudah menjadi susah, saya terkedu mendengar penjelasan yang menyatakan bahawa hukum hakam ALLAH ini membebankan, sedangkan islam ini adalah agama fitrah sesuai dengan apa yang telah disyariatkan ALLAH swt..sedih melihat semangat jihad yang semakin sirna, belum ditanya tentang solat, malah ada yang masih tidak dapat menyebut ayat-ayat suci al-quran dengan betul. kadang-kadang rasa berdosa melihat dan membiarkan keadaan ini berpanjangan…terkadang cukup menyesakkan dada apabila berada dalam situasi ini.

  • elfutuwwah

    TAUBAT!

Leave a Reply

%d bloggers like this: