Looking for Something?

KALAU BENAR CINTAKAN ALLAH

Author:

Semakin ramai yang mengajukan masalah-masalah personal kepada saya. Saya anggap ini amanah. Walaupun tidak mampu saya tangani semuanya secara khusus, tetapi jika diteliti, artikel-artikel yang sebelumnya ada yang telah pun menjawabnya secara umum. Tolong cari jawapannya di sana…

Bulan ini sahaja, berkali-kali saya ke IPTA yang pelbagai untuk membincangkan soal cinta. Walaupun jarang benar saya dapat memenuhi undangan (kerana terpaksa mengendalikan program latihan) tetapi jika ada masa terluang, saya tidak akan menolak. Penulisan buku Tentang Cinta, menjadi satu amanah untuk diteruskan misinya. Namun di celah-celah subjek yang popular itu, saya juga diajukan soalan-soalan yang sensitif. Kebanyakannya saya tangani juga dari perspektif dakwah.

Berikut ada dua tulisan saya yang cuba menyentuh isu itu secara tidak langsung. Dan kemudiannya diikuti oleh satu tulisan (yang sebenarnya hanya  satu catatan sewaktu mengerjakan umrah dahulu) yang menangani masalah poligami – yang juga kerap ditanyakan dalam blog ini.

Saudara-saudaraku, marilah sama-sama kita mengambil teladan (jika baik) dan sempadan (pasti ada yang kurang) dalam kedua tulisan itu. Terimalah… Kalau Benar Cintakan Allah dan Mufarakah Doa di Jabal Rahmah.

KALAU BENAR CINTAKAN ALLAH….

Sebutlah nama Allah banyak-banyak. Maksud ayat al Quran dengan kalimah “berzikilah pada waktu pagi dan petang” itu ialah kita berzikir dengan kuantiti dan kuali yang tinggi. Zikir lidah, zikir hati dan zikir perbuatan semuanya menjurus kepada membesarkan Allah, dan segala yang lain kecil belaka.

Lidah menyebut kalimah Allah, lalu hati merasakan kebesaran dan keagungan-Nya, dan tindakan menyusul apabila kita selaraskan segala perbuatan dengan hukum-hakam-Nya. Itulah zikir yang hakiki. Kesannya sepadu. Ia akan memberi ketenangan dan kekuatan.

Namun bila Allah dilupakan, umat akan kurang menyebut nama-Nya lagi. Ketika itu hati-hati pun lalai daripada merasakan kebesaran dan keagungan-Nya. Akibatnya hukum-hakam-Nya diabaikan dalam tindakan dan perbuatan. Bila ini terhadi jangan ditangisi jika Allah “lupakan” kita.

Allah hanya menjadi pembela kepada orang yang bertakwa. Orang yang bertakwa adalah orang yang banyak mengingati-Nya – dengan lidah, hati dan perbuatan. Menjadi seorang muslim sahaja (bukan muttaqin), tidak melayakkan kita mendapat jaminan bantuan daripada-Nya. Siapakah kita, muttaqin atau hanya muslim? 

Muslim, lebih-lebih lagi muslim yang fasik, kurang berzikir malah ada yang tidak berzikir langsung. Apakah Allah akan mengingati kita jika kita melupakan-Nya? Lalu terbiarlah kita dihina, dizalimi dan diperkotak-katikkan oleh musuh tanpa mendapat pembelaan.

Sayidina Umar pernah mengingatkan, bahawa dia lebih bimbangkan dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam berbanding kekuatan dan perancangan musuh. Dosa-dosa akan menghalang daripada datangnya bantuan Allah kepada kita. Kenapa orang melakukan dosa? Jawabnya, kerana lupakan Allah. Lupa zikir kepada-Nya. Justeru, untuk mendapat kekuatan, elakkan dosa. Dan untuk elakkan dosa sentiasalah mengingati Allah.

Ya, masakan orang yang sentiasa ingatkan Allah tergamak bergelumang dengan dosa? Jika terlanjur sedikit pun mereka segera bertaubat. Orang yang beginilah akan mendapat bantuan Allah dalam apa yang mereka usahakan dan perjuangkan. Mereka disokong oleh kawan dan dihormati oleh lawan. Belum pun bertempik, hanya berbisik, orang akan akur dan tunduk.

When Allah is your “friend”, who is your enemy? Bila Allah akrab dengan kita, siapakah yang berani memusuhi kita? King Richard yang berhati singa itu pun tunduk kepada Sultan Salehuddin Al Ayubi. Mengapa? Apakah hanya kerana kekuatan Salehuddin? Tidak, tetapi kerana akhlak dan keperibadiannya yang ditempa oleh zikirullah. Hasilnya, sifat pemaaf, kasih-sayang dan prihatinya, tidak terbatas. Merentas sepadan bangsa, negara dan agama.

Musuh tidak terlalu laju, tetapi orang Islam yang terlalu perlahan. Kita seharusnya ke depan dengan roh cinta dan kasih-sayang. Dengan cinta kita berdakwah, berhujah dan menjelaskan dengan penuh hemah dan hikmah tanpa dibauri oleh kebencian dan prasangka.

Dengan cinta kita tidak hanya menyebut nama-Nya, mengingati-Nya dan mendaulatkan hukum-hakam-Nya dalam diri tetapi kita akan kembangkan sayap cinta itu ke dalam rumah tangga, organisasi, masyarakat dan negara.

Kalau benar cintakan Allah, cintailah diri dan umat ini dengan banyak mengingati-Nya. Bangun seawal Subuh, bersih dan sucikan diri. Lalu solatlah untuk mengingati-Nya. Kemudian, bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal dengan meninggalkan segala bentuk rasuah, riba dan penyelewengan.

Atur keluarga mengikut syariat. Jauhkan pendedahan aurat. Perangi pergaulan bebas, racun hedonisme dan fesyen bohemian dalam kehidupan diri dan remaja kita. Pacu kemajuan ekonomi, tetapi jangan lupakan hukum Ilahi. Bersiasahlah tetapi jauhi fitnah dan kepentingan diri. Ingat Allah! Jaga halal dan haram dalam setiap perilaku dan perbuatan.

Kalau benar cintakan Allah… ingatlah: Cinta itu bukan kata-kata. Love is a verb – cinta itu tindakan. Bangkitlah dengan kecintaan bukan dengan satu kebencian. Jangan marahkan orang yang tidak cinta… jika kita sendiri tidak cinta.

Marahkan diri kita dahulu, sebelum marahkan mereka. Tidak malukah kita kepada Allah, justeru jika demikian… bererti cinta kita hanya kata-kata? Hanya pura-pura?

“MUFARAKAH” DOA DI JABAL RAHMAH

Saya tersenyum. Aneh pun ada. Lucu pun ada.
“Ya, ustaz… pada semua tempat kami berdoa bersama. Saya berdoa isteri aminkan dan diikuti oleh semua anak-anak kami tapi…” kata Haji Rahim serius.
“Bila kami berdoa di Jabal Rahmah, isteri saya tidak mengangkat tangan seperti biasa. Anak-anak sahaja yang mengaminkan doa saya,” tambahnya lagi.
“Tuan Haji doa perlahan kot?”
“Semua tempat saya berdoa perlahan. Baik di Multazam, Hijr Ismail, Pancur Emas semua diaminkan bersama. Tapi bila di Jabal Rahmah lain pula ceritanya,” sambil tersenyum Haji Rahim melirik isterinya di sebelah.

Saya turut senyum melihat isteri Hj Rahim senyum. Mereka berdua pasangan serasi. Ke mana pergi bersama. Suhu di Makkah yang membara itu seakan-akan didinginkan oleh kelembutan dan kesyahduan doa para tetamu Allah termasuk sepasang suami isteri ini, yang menemani saya makan, tengah hari itu.
“Kenapa kak?” saya bertanya kepada isteri Hj Rahim.
“Ustaz pun tahu apa yang sering didoakan oleh para jemaah di Jabal Rahmah kan?”
“Doa minta rahmah, maghfirah dan hidayah…” balas saya.

“Bukan itu, tapi doa yang khusus!” balas Kak Raha, isteri Hj. Rahim.
“Doa khusus?” saya bertanya lagi. Sengaja ingin dia meluahkan secara jelas dan tepat rasa hatinya.
“Ahh, doa minta jodoh. Bertemu pasangan…”
“Jadi apa masalah kak?”
“Dia takut saya doa minta jodoh,” tiba-tiba Hj. Rahim menyampuk. Isterinya tersenyum sambil meneguk lassy (susu masam) yang enak rasanya.
Senyum saya akhirnya bertukar jadi ketawa. Nasi Beriani ala Yaman di hadapan kami baru sedikit terusik. Berbanding makan kami lebih rancak berbual.

“Ohh begitu. Kak takut aminkan doa Hj. Rahim, takut-takut dia minta doa nak kahwin lagi?” ujar saya.
Kak Raha menunduk. Masih senyum.
Ah, hati perempuan, getus saya dalam hati. Begitulah hebatnya sensitiviti wanita – tentang cemburu, cinta dan kasih sayangnya, mampu menjangkau doa seorang lelaki.
“Hj. Rahim doa macam tu ke?” Kali ini saya pula “menguji” Hj. Rahim. Mana tahu, hati lelaki, kekadang sukar diteka. Dalam senyap-senyap lelaki juga bijak berstrategi, bukan menipu tetapi tak bagi tahu.

Perancangan dan strategi hendak kahwin lagi ini memang biasa “dilaksanakan” oleh segelintir suami di Makkah atau di Madinah. Sahabat saya Hj. Ramzi menceritakan pengalamannya meredakan “perang saudara” antara suami isteri di Tanah Suci, baik semasa mengerjakan umrah atau mengerjakan haji. Semuanya gara-gara suami hendak berpoligami. Maklumlah, di sana hati manusia lembut, syahdu, hiba. Kesempatan itu kekadang digunakan untuk sisuami mengajukan “proposal” untuk bernikah lagi. Jika isteri menerima, aman. Jika tidak… siap, perang meletus di situ juga!

“Ustaz, tak terlintas pun dalam hati saya nak bernikah lagi. Apa lagi nak berdoa macam tu..,” pintas Hj. Rahim memutuskan lamunan saya.
“Dengar tu kak Raha,” kata saya selaku “mediator”
“Bukan apa ustaz, saya bukan tak terima poligami tetapi…”
“Tak palah kak, saya faham. Kemampuan hati wanita berbeza,” kata saya meredakan.
“Bagaimana kalau macam ni…” tiba-tiba Hj. Rahim membuka semula gelanggang perbincangan semula.
Saya terkejut. Isu ini sangat sensitif, silap-silap “mediator” terjebak sama.
“Macam mana Tuan Haji?”
“Begini. Katalah si suami berdoa kepada Allah minta sangat nak berpoligami. Isteri pula berdoa kepada Allah supaya janganlah Allah takdirkan suaminya berpoligami. Doa siapa yang Allah nak makbulkan?”
Tersentak. Soalan macam ni pun ada. Unik betul pasangan suami isteri ini. Nampak tenang, aman tapi soalannya tajam-tajam. Namun saya masih boleh tersenyum. Santai-santai. Ini bukan forum perdana, hanya perbualan biasa

“Sama-sama ikhlas. Sama-sama ada “reason” yang baik. Bukan kerana suami nak melampiaskan nafsu, bukan kerana isteri hasad dengki atau cemburu buta. Kedua-dua mereka sama-sama tulus dan lurus kerana Allah. Tetapi doa mereka sahaja yang berbeza!” tambah Hj. Rahim menambah kusatnya soalan yang sudah jadi persoalan itu.
“Insya-Allah, Allah akan makbulkan doa yang terbaik,” jawab saya akhirnya. Perlahan. Takut juga saya menjawab soalan itu, seolah-olah didesak menjawab bagi pihak Allah. Padahal saya hanya hamba-Nya.

“Terbaik untuk siapa?” Hj. Rahim dan isterinya bersuara serentak.
“Terbaik untuk kedua-duanya!”
“Bagaimana tu?”
Ya, jika poligami itu baik untuk kedua-duanya… poligami itulah yang Allah akan izinkan berlaku. Jika sebaliknya, poligami itu tidak baik buat kedua-duanya, poligami itu tidak akan berlaku.”
“Tak faham saya ustaz. Kalau poligami itu berlaku, memanglah baik untuk si suami… tetapi tak akan baik juga untuk si isteri?” Kak Raha minta penjelasan.
“Baik juga untuk siisteri, “ tegas saya.
“Bagaimana?”

“Kak, kita perlu kembali kepada Tauhid. Allah itu Al Alim. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Jika poligami itu baik, bukan sahaja suami yang berdoa untuknya dapat kebaikan, malah siisteri yang tidak berdoa untuk itu pun akan dapat kebaikan!”
Keduanya diam.
“Berapa banyak perkara yang kita sangka buruk, akhirnya memberi kebaikan kepada kita. Dan berapa banyak pula perkara yang kita sangka baik pada asalnya memberi keburukan. Kita tidak tahu, Allah Maha Tahu,” kata saya mengulangi apa yang telah Allah tegaskan firman-Nya (surah Al Baqarah ayat 216.)

“Dan kalau poligami itu tidak berlaku… jangan pula suami bersedih. Itu tentu lebih baik bukan sahaja untuk isterinya tetapi untuk dirinya juga. Allah tahu tahap kemampuan lahir dan batin kita. Mungkin fizikal dan material kita ok, tapi bagaimana dengan kemampuan memberi ilmu dan mendidik?”
“Kalau tidak suami akan menanggung beban dunia dan akhirat kan ustaz?” tekan Kak Raha. Saya menjeling Hj. Rahim. Dia senyum.
“Begitu juga isteri kalau dah ditakdirkan dia dimadukan, pasti ada kebaikan yang akan dinikmatinya nanti. Ubat selalunya pahit,” balas saya supaya adil.
“Awak jangan takut… kalau saya doa poligami nanti, saya akan doa kuat-kuat tahu. Awak mesti aminkan,” kata Haji Rahim mengusik.
“Dan kalau nanti saya doa kuat-kuat abang tak berpoligami pun, abang kena aminkan juga,” balas kak Rahah turut mengusik. Saya ketawa – terubat keletihan melihat kemesraan mereka berdua.

Malam itu, saya termenung panjang. Persoalan siang tadi, kembali menerjah ingatan. Walaupun itu hanya satu daripada jutaan persoalan yang bergolak dalam jiwa umat ini tetapi itu menunjukkan betapa jahil dan jahilnya kita sebagai manusia. Betapa kadangkala hati kita sendiri bertanya kenapa jadi begitu dan mengapa ini yang terjadi ? Padahal kita hanyalah hamba-Nya. Mengapa dan kenapa.. apabila ditujukan kepada takdir akan menyebabkan kita hilang ketenangan.

Insiden “mufarakah” doa di Jabal Rahmah, menghadiahkan sebuah hikmah. Ya, akhirnya saya hanya mampu berdoa, “ya Allah, bantulah hati ini memahami, menghayati dan merasai keindahan takdir-MU. Jadikanlah aku hamba yang sebenar-benarnya hamba – yang pasrah dan menyerah, seluruh dan sepenuh.” Bukan menafikan tadbir, bukan tidak boleh berdoa… tetapi bila takdir sudah memutuskan pasrah dan menyerahkan. Ingat, the believer asks no questions, while no answer can satisfy the unbeliever!

Feedback

32
  • siti

    salam ustaz sekadar nak berkongsi pengalaman..saya berpisah dgn suami setahun yang lalu..2 anak saya jaga 2 anak bekas suami yang jaga…bekas suami saya kawin lain semasa saya dlm edah lagi..tak apalah saya berserah pada Tuhan walau hati ini sedih sekali…takdir Tuhan menemukan saya dgn bekas kekasih lama..cinta kami berputik kembali..tetapi dia telah punya isteri dan 5 anak…pada awalnya saya dijanjikan keizinan dr isterinya utk menjadi isteri ke2..tapi disaat akhir isterinya telah membuat bantahan dimahkamah tidak izin sisuami utk berpoligami…jenuh saya pujuk isterinya itu utk menerima saya..saya hanya mahu berkongsi kasih bukan merampas kasih…tapi isterinya tetap dgn keputusannya..akhirnya saya menarik diri walaupun diajak berkahwin di Siam…dgn alasan saya tak mahu perkahwinan yang huru hara…baru2 ini bekas suami saya telah bercerai dgn isteri barunya dan dimasukkan ke hospital krn ketumbuhan diususnya..saya menolong dia atas dasar kasihan dan krn mengenangkan dia ayah kpd anak2 saya…bekas suami ajak saya balik kepadanya.. sebenarnya sayang saya masih ada…saya setuju kembali padanya…demi kebahagiaan kami dan anak2..pada masa yang sama bekas suami saya minta pertolongan dan pengorbanan dari saya…utk berkahwin lagi satu selepas berkahwin dgn saya krn dia telah berjanji dgn keluarga perempuan tersebut….sedihnya hati saya Tuhan saja yang tahu..bila saya bermunajat kepada Allah..saya mengadu pada Allah…saya nampak kedudukan diri saya dulu sebagai bakal isteri ke2 merayu pd isteri pertama utk menerima saya..kini saya sebagai isteri pertama marah kpd bakal isteri ke2 ganggu suami saya..nak rampas kebahagiaan kami..Allah Maha Besar..Dia uji saya…hidup ini ujianNya..apa salahnya kita berkongsi kebahagiaan dengan semua org..suami, anak dan sesiapa saja adalah semuanya pinjaman semata2..kita tiada hak apa2..tak perlulah tamak…dan tak salah berkongsi dgn semua…seperti kata ustaz ‘ Kita tidak akan bahagia selagi orang disisi dan diseililing kita tidak bahagia”…kini saya setuju utk dimadukan krn saya tahu janji Allah tak pernah mungkir utk dapat payung emas diSyurgaNya..Aminnn

  • gentarasa

    Salam Siti,
    Allah hu Akbar, Alhamdulillah. Saya yakin, pengorbanan Siti PASTI diberi ganjaran oleh Allah dengan ketenangan di dunia dan akhirat. Semoga ikhlas. Allah menguji kita… dengan sesuatu yang pahit, kerana itu ubat. Dan nanti pasti ada kemanisannya. Tahniah.

  • Kak Nisha

    Assalamualaikum semua,
    Tahniah Siti. Tak ramai yang sanggup seperti itu. Tambah-tambah kalau ilmu Islam(ustazah pun ramai yang tak sanggup) dan juga keinginan untuk mencari keredhaan Allah kurang di dada.

    Saya mempunyai guru(ustazah yg bermadu 4 orang) yang hidup aman damai bersama madunya. Mereka macam kawan-kawan dan saling tolong menolong. Jika isteri pertama tak boleh hadir kelas yang sepatutnya dia mengajar dia minta tolong madunya mengambil tempat. Suatu hari nanti saya harap dapat peluang menulis tentang guru saya ini. Nak minta izin dan nak tau cerita dari dia lebih banyak lagi.

    InsyaAllah jika saya di takdirkan seperti Siti saya juga akan cuba redha. Mudah-mudahan. Ameen.

    Wassalam.

  • saleha

    salam ustaz.saya ada masalah..saya sedari kecil sehingga sekarang tidak pernah berkawan dengan mana2 lelaki krn yakin dengan janji Allah, u dapat pasangan yg baik kite mesti jd yg terbaik. tapi baru2, mama saya suruh kahwin. tetapi yg datang merisik setakat ni, bila saya solat isikharah saya dpt petunjuk mimpi dari Allah supaya tolak (dalam mimpi tu, kami makan bersama kawan2yg lain, dan dia tidak endahkan bicara saya dgn dia) . dalam keadaan camtu, adakah saya kene still menunggu org lain atau saya terima je org yg merisik tersebut dengan alasan takut tiada lagi org yg akan lamar dan mahu menjaga hati mama saya

  • gentarasa

    Salam saleha,
    Jadilah muslimah yang baik. Dan ikutlah pilihan orang yang baik (ibu-bapa, guru, sahabat atau lain-lain). Jawapan istikharah bukan semestinya mimpi. Mimpi, boleh jadi benar atau tidak. Timbang dengan akal dan hati – calon itu beriman, baik dan baik keislamannya? Jika ok, terima sahaja. Tapi jika ragu-ragu, bagi lagi sedikit masa. Terus istikharah. Insya-Allah, DIA akan bagi ketetapan hati.

  • hatimati

    Salam semua..
    tenang hati saya baca ada lagi insan seperti siti dan saleha.
    Ustaz, saya pun nak bertanya.. saya ni saudara baru.. baru tak baru dah 5tahun memeluk Islam. Saya memeluk Islam secara kebetulan. Sehingga hari ini saya masih tercari cari pengertian Islam. Puas saya membaca, bertanya, namun tak dapat membuatkan saya taat pada Allah. Di tambah dengan pelbagai masalah peribadi,keluarga, saya jadi semakin buntu.
    Saya tak tahu nak buat apa lagi.. sekarang saya terus hidup dalam keadaan berdosa. Saya tak nampak jalan keluar lagi… sedikit nasihat dari ustaz sudah memadai. terima kasih.

  • gentarasa

    Salam hati”hidup”,
    Masalah saudari ialah masalah orang yang sudah lama memeluk Islam juga. Jangankan 5 tahun, yang 50 tahun memeluk Islam pun masih belum taatkan Allah. Puncanya? Kurang mujahadah. Nak jadi baik perlu lawan rasa malas, jemu, letih dan lain-lain ketika kita hendak beribadah. Jalan keluar? Tambah ilmu (membaca dan berguru), mujahadah, cari kawan yang sehaluan, berdoa terus menerus minta hidayah dan taufik daripada Allah. Perlu yakni, bila Allah berikan Islam pada kita… kita akan dibantu untuk mendalami dan menghayatinya. Berdosa? Tempuh syarat2 taubat. Berdosa lagi? Bertaubat lagi! Begitulah berulang-ulang. Jangan jemu, kekadang Allah melambatkan, kerana nak mengindahkan pertemuan. Pegang Islam kukuh-kukuh. Jangan lepas lagi. Dosa-dosa kita jangan sampai membutakan kita daripada sinar keampunan-Nya yang Maha luas. Terus bermujahadah… no pain, no gain.

  • aziza

    Salam ustaz… smoga di rahmati Allah.
    Ya Allah, bantulah hati ini tenang dalam hidayah dan rahmatMU..
    tulisan ustaz benar2 membantu saya mcari ketenangan jiwa.. banyak benar info yg selama ini tak tercapai dek akal.. padahal itulah yang sepatut dn spatut2nye di fikirkan dan sntiasa bradi di fikiran..
    moga ustaz teruskan memberi info2 spt ini… terubat sungguh hati ini! hilang jua resah dn gelisah..syukur kpd Allah menemukan sesuatu yg bermakna dn mbantu diri ini mjadi yg lbih baik….kdg2 hati ini tahu, tp ianya perlu diberitahu dn terus di beritahu dgn nasihat2 spt ini.. terima kasih.

  • siti

    salam ustaz..saya sentiasa berdoa agar saya dikurniakan kesabaran, keikhlasan, ketenangan dan sentiasa redha dgn ketentuanNya… amin..sesungguhnya hati yang sentiasa ingat Tuhan akan tenang…terima kasih atas sokongan ustaz dan teman2..

  • saleha

    salam ustaz, terima kasih byk2 atas respon ustaz…entahlah saya pun tak tahu…saya ada tanya beberapa orang sahabat sebelum membuat keputusan untuk menolak si dia…ada seorang sahabat saya tu, mula2 dia cadangkan supaya terima, kemudian dia call balik dia cadangkan supaya tolak, kerana dia rasa macam tak sedap hati je…ustaz, boleh tak saya nak minta email ustaz…ustaz boleh balas menerusi email saya…saya masih ada beberapa soalan privacy yg ingin ditanya…syukran jazilan

  • kukubima

    Salam ustaz..

    bleh ke ustaz berikan doa kebahagiaan rumahtangga yg boleh sy dan rakan-rakan lain amalkan..sbb doa singkat yg ustaz tuliskan kadangkala membuatkan meremang bulu roma sy membacanya…

    trima kasih.

  • saleha

    salam, ustaz..saya nak tanya beberapa soalan privacy…boleh tak ustaz bagi email ustaz via email saya? syukran

  • gentarasa

    Salam saleha,
    Email saya bermasalah. Saya cuba buat email yang lain nanti. Syukran juga atas respon saudari. Teruskan istikharah – mengadu dengan Allah, teruskanlah muzakarah – dengan sahabat dan sahabat yang baik, Insya-Allah, tidak akan kecewa orang yang sentiasa beristikharah dan bermuzakarah. Allah akan bagi ketetapan hati nanti. Amin.

  • tangisan_hati

    Assalamualaikum Ustaz,

    Saya pun berharap agar ustaz dapat memberi email ustaz.
    Saya juga mempunyai soalan privasi utk diaju kan pada ustaz.

    terima kasih.

  • gentarasa

    Salam tangisan,

    Email saya bdermasalah. Sila emailkan ke sini sahaja. Insya-Allah, saya tidak akan paparkan. Jika tidak, tunggu saya buat alamat email yang baru. Maaf banyak-banyak.

  • amizah

    assalamualaikum ustaz,
    baru2 ni kawan saya, seorang peguam muda, didatangi klien2nya yg ada masalah keluarga, antaranya;
    -seorang lelaki yg isterinya menuntut cerai darinya, sedang dia masih sayangkan isterinya
    – & seorang lagi lelaki yg isterinya curang kerna jatuh hati dengan seorang pengkid.

    jadi,kawan saya meminta pendapat saya bagi ttg hal ni, katanya dia krg arif, sbb blm berkahwin, walhal saya pun di situasi yg sama dgnnya…

    & saya yang kiranya cetek ilmu & tiada pengalaman ni, berilah pandangan saya sekadar yang termampu…

    jadi,saya harap sangat, kalau ustaz dapat berikan pandangan yang bernas berkaitan hal ni.

    terima kasih ustaz, barakallahufik…wasalam

  • gentarasa

    Salam Sha,
    Pesan saya… lebih baik sekah daripada patah. Better bend than break. Terimalah seadanya takdir yang telah berlaku. Kesalahan suami telah pun dimaafkan. Ramai yang hidup bermadu… tetapi bahagia. Kasih dan cinta bukan benda, yang akan berkurang bila dikongsi. Tetapi yang paling penting jadilah isteri solehah… dengan mentaati perintah Allah dan suami. Allah tidak akan mengecewakan mu! Aimin.

  • ingin tahu

    asalamualaikum ustaz,

    saya nak tanya ustaz tentang hukum. seorang suami telah lafaz takliq pd isterinya sekiranya dia (suami) membuat perkara yg di takliqkan itu maka jatuhlah talak satu. tanpa pengetahuan isteri, suami tersebut telah melakukan perkara yg di takliqkan. soalannya adakah sah jatuh talak akibat pembuatan suami tersebut? dan sekiranya jatuh talak dan suami ingin rujuk kembali boleh tak dia rujuk secara senyap2 tanpa pengetahuan isterinya iaitu memadai dgn mengadakan hubungan suami isteri? apakah hak isteri dlm permasalahan ini kerana jatuh talak dan di rujuk kembali tanpa pengetahuannya. terima kasih ustaz

  • Nurr Iman

    “the believer asks no questions, while no answer can satisfy the unbeliever!”

    syukran ustaz~

  • ikin_solehah

    slm ustaz..suka artikel psl Allah tu..nk amik sikit tulisn ustaz utk dikongsi dlm blog boleh?

  • wani sujak

    asalamualaikum ya ustaz..
    wlwpon sy ni Islam ttp msh byk lg ilmu tntg islm yg msh blm sy terokai lg..hamdalh dgn mmbuka ruangan genta rasa ini ,,smkn byk ilmu yg sy peroleh,,dn smkn mendalam rasa syg dn cinta sy terhadp islam..sy hrp ustz sntiasa d bri rhmt serta sntiasa dbwh lindungn drpd ALLAH TAALA..aminn..

  • normala

    kadang2 siisteri menerima poligami, rela bersabar krn mahukan payung emas.tapi adakah siisteri pandang sisuami.mampukah dia memayungi isteri2nya dan anak2nya. buatlah keputusan dgn membawa syariat.bukan pandang diri sendiri sahaja tapi pandanglah suami dan anak2.mampukah kita membawa mereke kesyurga sama…spt ayat dlm quran peliharalah keluargamu dari api neraka

  • alissa

    salam ustaz,

    saya nak berkata pasal kalau kita melafazkan `auzubillah` semasa masuk ke rumah,kalau kita seorang je yg melafazkan ayat itu syaitan x akan masuk jgk ke???

    terima kasih ustaz…

  • alissa

    salam ustaz,

    Kalau budak yg belom baligh die tidak wajib puasa ke???Dan gelarannya dipanggil mumayyis???

    terima kasih ustaz…..

  • gentarasa

    Salam alissa,
    Ya… begitulah.

  • gentarasa

    Salam alissa,
    Insya-Allah, jika dibaca dengan ikhlas, istiqamah… Tetapi perlu selaraskan perbuatan kita dalam rumah dengan ucapan kita semasa mula memasukinya.

  • anuar

    Allah sukakan kebaikkan tetapi untuk mengenal dan melihat atas kehendaknya juga.Apabila dah mengenal mulalah cinta.Mengenal Allah taala bukan kita tentukan hanya Dia yang layak menyatakan.Kalau sudah kenal nescaya terduduk anda mengenang dan merinduinya.Kalau dinyatakan disini pasti akan menimbulkan fitnah.Ilmu yang anda tahu tak dapat menceritakannya kerana ilmu itu Dia yang menyusunkannya.Nanti baru anda tahu apa itu erti taat,soleh dan sebagainya.Malu untuk berkata taat soleh dan baik.Suara yang diberi.tenaga yang diberi,hati yang diberi dan segala gala yang diberi pada diri mahluk..kemudian makhluk meminta balasan atas amal makhluk itu walhal semua itu pemberian Allah.Selagi tak kenal tidak boleh menyayangi sesama makhluk dan Allah.Macammana nak sayangkan makhluk..asyik kata makhluk tak baik,,ingkar,,jahat..dan sebagainya..yang baik hanyalah dia sendiri.Petua saya berzikirlah menyebut nama Allah 24 jam di dalam hati tanpa henti.Sembahyang harus tepat waktunya.biar kita tunggu Allah jangan Allah tunggu kita.Maka apabila Ia telah suka nescaya diperkenalkan Dirinya.nescaya kalau diizinkan kamu akan melihat..sesuai dengan tugas masing masing.kerana makhluk Allah ada tugas masing masing.Sesuai dengan kemampuan akal yang diberikan.

  • gentarasa

    Salam,
    Lupakan… Mujahadah, lupakan. Tidak ada manfaat mengingat dan menyayangi orang yang sebegitu. Tidak ada cinta tanpa TANGGUNG-JAWAB. Walaupun susah tetapi lupakan adalah jalan terbaik. Teruskan istikharah dan solat hajat, agar diberi kebaikan. Insya-Allah, jika Allah kembalikan dia kepada anti, itu baik. Tetapi jika dia dilepaskan dari hati anti itupun baik. Minta Allah agar dicintai dan mencintai orang yang baik. Semoga dibantu Allah. Amin.

  • Hafriz

    Teramat sukar Mencintai Allah, selagi hati cinta pada Dunia.

    Tak sabar rasanya nak ke Makkah…
    ku harap, dalam usia muda inilah…dapat kiranya aku menggagahkan kaki menjejak langkah…Ruku’ dan Sujud di Bumi Anbia’…insyaAllah.

  • adienah

    salam.. ustaz… saya pernah berdoa di hadapan kaabah semasa umrah.. ya ALLAH seandainya si fulan jodohku, maka sukakanlah aku padanya.. dekatkanlah aku dengannya… dan dengan izinNYA.. sekembali ke Malaysia, saya jatuh kasih pada si fulan.. tapi sepanjang percintaan kami, kerana terlalu syg, macam² yg kami buat yg melanggar batasan agama… namun syukur saya tidak terjerumus dalam zina… namun nauzublillah saya telah menghampirinya… lalu kami berpisah dan saya merasa sedih sgt².. terasa kotornye diri ini.. dan bile bermuhasabah, saya terdetik yang mungkin perpisahan ini adalah ujian ALLAH juga balasan kerana saya telah melakukan maksiat atas kasih sayang yang diredhaiNYA.. dan kini saya insaf dan sedang berusaha untuk istiqamah dalam ibadah khusus n sunat.. dan sehingga kini saya tak henti berdoa pada ALLAH agar diberi peluang untuk bersama semula dengan si fulan, dan minta diringankan jodoh kami serta berazam untuk menjadi hambar yg beriman n bertakwa serta menjadi isteri yg solehah kepadanya… kadang² saya rase tenang bile berdoa begitu dan yakin ALLAH pasti makbulkan.. tapi ada kala hati saya jadi sedih dan sayu, mungkin kerana bile kenangkan hubungan kami sekarang.. apa yg patut saya buat ustaz? bolehkah ustaz tolong sama² mendoakan untuk saya?
    HAMBA ALLAH YANG KERDIL

  • Fatimah Syarha

    Tak Mengapa, Sayang…

    Sayangku,
    Ketika mereka mengatakanmu cemburu,
    Tak mengapa, Sayang,
    Kerana Allah tahu,
    Itu perasaan yang paling layak,
    Daripada isteri yang besar cintanya,
    Cemburumu bukan kekurangan,
    Ia sifat orang beriman ,
    Fitrah yang Allah berikan di dunia,
    Dan bakal Allah hilangkan di syurga .

    Sayangku,
    Ketika mereka mengatakanmu tamak,
    Tak mengapa, Sayang,
    Kerana Allah tahu,
    Betapa dirimu dambakan kedudukan akhirat,
    Menjaga agamamu daripada terfitnah ,
    Dirimu sebenarnya sangat pemurah,
    Sanggup menggadaikan keseluruhan milikmu,
    Demi hidup tenang di samping Tuhanmu.

    Sayangku,
    Ketika mereka mengatakanmu tidak sanggup berkongsi,
    Tak mengapa, Sayang,
    Kerana Allah tahu,
    Betapa dirimu terlalu banyak memberi,
    Berkongsi suamimu dengan perjuangannya,
    Hingga masa untukmu hanyalah bersisa senja,
    Meredhai suamimu berkongsi kepakaran,
    Kau didik anaknya dalam kepayahan,
    Berkongsi suamimu dengan masyarakat,
    Hingga tugas-tugas dakwah tidak tergugat,
    Pengorbananmu mulia dan terhormat.

    Ketika mereka mengatakanmu sensitif,Tak mengapa, Sayang,
    Kerana Allah tahu,
    Betapa terpujinya sensitivitimu,
    Kecaknaan sifat orang beriman,
    Itu lambang lembutnya perasaan,
    Simbolik jiwamu yang penyayang,
    Anugerah kewanitaan,
    Yang menjadikanmu istimewa,
    Sebagai isteri dan ibu.

    Ketika mereka mengatakanmu tidak positif,
    Tak mengapa, Sayang,
    Kerana Allah tahu,
    Betapa positifnya dirimu,
    Ketika memilih MENCEGAH SEBELUM MERAWAT,
    Itu tanda akalmu bijak membuat nilaian,
    Itu tanda kau rasional membuat pilihan,
    Lambang sifatmu yang berhati-hati,
    Lahir dari kecelikan mata hati.

    Sayangku,
    Ketika mereka mengatakanmu menolak hukum Tuhan,
    Tak mengapa, Sayang
    Kerana Allah tahu,
    Kau menjelaskan dan menegakkan hukum Tuhan,
    Sebagaimana yang difahami oleh jumhur ulama,
    Monogami adalah sunnah dan asal di sisi syarak,
    Poligami itu cuma rukhsah,
    Untuk merawat masalah-masalah tertentu,
    Seperti isteri gila, sakit dan tidak bernafsu,
    Rukhsah tidak diambil sewenang-wenangnya,
    Apatah lagi sekadar menjamu nafsu,
    Jelaskan sudut pandang,Islam tidak menjadikan poligami pilihan utama,
    Agar terbela Islam dari fitnah musuhnya.

    Sayangku,
    Ketika mereka mengatakanmu menolak sunnah,
    Tak mengapa, Sayang,
    Kerana Allah tahu,
    Kau mencintai dan menegakkan sunnah,
    Kau bersama fikrah jumhur ulama’,
    Hukum asal poligami cuma harus dan bukannnya sunnah,
    Islam mengawalnya dengan ketat dan payah,
    Apabila mensyaratkan ‘adil’, syarat yang susah,
    Agar keluargamu tenang dalam mawaddah warahmah.

    Sayangku,
    Ketika mereka mengatakanmu tidak menerima poligami,
    Tak mengapa, Sayang,
    Kerana Allah tahu,
    Kau menerima poligami bukan sebagai perintah syariat,
    Kau menerima poligami bukan sebagai galakan agama,
    Kau menerima poligami sebagai keringanan bersyarat,
    Itulah yang difahamkan oleh jumhur ulama’,
    Sebagaimana harusnya berburu selepas ihram,
    Tiada paksaan dan tiada suruhan,
    apatah lagi poligami melibatkan hak ramai orang,
    Kutahu sayangku, bukan dirimu menakut-nakutkan,
    Tapi kau berhak mencegah sebelum merawat,
    itulah hikmahnya hak syarat ta’liq diberi Islam.
    Sayangku,
    Biarlah mereka asyik menjelikkan,
    Kita balas dengan meraikan,
    Biarlah mereka membuat pilihan,
    Tenanglah dengan pilihan kita,
    Apa yang penting,
    Kita tidak menanggung pilihan mereka,
    Dan kita bahagia dengan pilihan kita,
    Hidup ini sekejap cuma,
    Moga kita semua mudah ke syurga,
    Bidadari dan pemuda kacak (wildan) menanti di sana,
    Dirimu tetap teristimewa,
    Teruskan sayangku…
    Sebarkanlah bahagia.

    FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN

Leave a Reply

%d bloggers like this: