RSS

SOLAT ITU BUANG MASA?

22 Jan


Ustaz Hashim sedang memberikan taklimat awal kepada para peserta kursus Modul Solat yang dijalankan oleh saya dan teman-teman di Fitrah Perkasa

Malam ini saya di UIA Kuantan, untuk berkongsi ilmu dengan saudara/i kita di sana dalam tajuk: MUKMIN PROFESIONAL. Mudah-mudahan Allah akan permudahkan untuk meuar-uarkan gagasan ini.

Mukmin Profesional  yang telahpun dijalankan dalam bentuk program dan modulnya sejak 7 atau 8 tahun yang lalu di pelbagai agensi korporat oleh Fitrah Perkasa Sdn Bhd. adalah satu proses “rebranding” (penjenamaan semula) imej umat Islam yang negatif di mata dunia.

Untuk anda sahabat-sahabat yang setia mengikuti kembara Gentarasa – saya ketengahkan satu tulisan untuk dijadikan bahan fikir dan zikir – solat pada pandangan bukan Islam dan orang Islam sendiri. Marilah membacanya dengan nama Allah…

SOLAT ITU  BUANG MASA?

“Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.

Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:
“Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?”
Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang solat.”
Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam.”

Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang terlalu mencabar.
“Ada sebab lain?” tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.

“Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.

“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? ”

“Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa,” jawab seorang pelajar secara spontan.
Saya senyum, sambil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.

“Apa yang saudara jawab?” tanya saya menduga. Gembira melihat mereka tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.
“Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima jawapan yang begitu.”
“Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu.”

“ Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?”
“Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri,” jawab saya.
“Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?” tanya seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).
Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani.

“Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat “maintanance” kapal terbang, kereta api elektrik (“bullet train”) dan kereta kamu…” terang saya.

Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.
“Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?”
“Tentulah manusia,” jawab mereka hampir serentak.
“Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?

“Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?”
“Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami “maintenance” diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu sendiri.”
“Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?”

“Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan kembali segala kegalauan, keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada Allah!”

“Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya terkawal,” sampuk seorang pelajar di barisan belakang.
“Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun masalah yang mereka hadapi,” tambah yang lain.
“Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!”
“Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting sekali dalam kehidupan seorang manusia,” ujar saya sebagai satu kesimpulan.

SOLAT ITU SOAL PERIBADI?

Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.
“Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing.”
“Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan. Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi,” tekan saya.

“Mengapa?”
“Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran.”

“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita berniaga…”
“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja,” tusuk saya perlahan.

“Kemungkaran dalam kerja? Apa tua?”
“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan.”

“Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan.”
“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”

“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.
“Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat.”

“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,” katanya berterus-terang.
“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk manusia jadi baik.”

Dia merenung muka saya lalu berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?”
“Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.

Setelah melihat dia diam, saya menambah, “sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”
“Kos… kos dan peruntukan latihan akan bertambah,” balasnya.

Kali ini saya pula terdiam.
“Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”
“Itu soal pihak atasan…” kilasnya.

“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.”

“Baik tu baik. Tetapi…”
“Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,” pujuk saya.

Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, “insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu.”
Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam…. tetapi oleh orang Islam sendiri.

Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!

 
27 Komen

Posted by di 22 Januari 2010 in Zikir & Fikir

 

Label: , , ,

27 responses to “SOLAT ITU BUANG MASA?

  1. aida noordina

    24 Januari 2010 at 5:35 pm

    asalamualaikum.maaf ustaz sy bertanya.di mana sy boleh dapatkan buku2 ustaz ni semua..boleh ke dapatkan melalui online.

     
  2. Ahmad Said

    25 Januari 2010 at 6:56 am

    Asalamualaikum Tuan Ustaz,
    Betulkah Solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar? Dari pemerhatian saya ramai juga yang solat 5 waktu tapi masih juga buat perkara yang keji dan mungkar. Tolong jelaskan hamba yang jahil ini.
    Moga Allah memberi kita HidayahNya.
    Terima Kasih.

     
  3. abdul rahman ali

    25 Januari 2010 at 12:21 pm

    Salam ustaz,
    Manusia akan rasa masa itu lambat atau cepat bergantung kepada sejauh mana dia dapat menguasai masa diri mereka. ALLAH yang menguasai masa..adakah manusia yang menentukan masa mereka ?..
    Perjalanan masa tidak hanya terhambat oleh aktiviti solat…banyak lagi aktiviti2 yang sebenarnya MEMBUANG MASA manusia itu !. Orang yang berkata solat itu membuang masa adakah mereka benar2 menguasai masa mereka ?
    Solat memiliki rahsia perjalanan masa yang sangat hebat kerana kita sedang berhadapan si pemilik MASA. justeru, sekiranya dengan solat kita boleh tenang, sabar, ikhlas dan syukur maka kita akan benar2 menguasai masa.
    Roh kita sangat sensitif dengan masa, hanya solat sahajalah yang akan membina kekuatan roh kerana solat dapat membina masa kita iaitu tenang, sabar, ikhlas dan syukur….

     
  4. khairulaznan

    25 Januari 2010 at 3:56 pm

    Salam

    Tuan,
    tulisan yang menyedarkan tentang tribulasi dalam menyampaikan dakwah. Buat diri ini yang kadang-kadang rasa bagai dia saja yang letih sedangkan orang lain lagi penat bila baca artikel ini datang semangat baru. Tq

     
  5. yg minat ustaz

    26 Januari 2010 at 9:35 am

    kenapa ye ustaz…
    solat tu mencegah perkara keji dan mungkar..
    tp byk lagi ustaz2 yg bertopeng dua muka?
    walhal mereka pun solat jugak macam ustaz..

     
  6. hamka

    26 Januari 2010 at 10:28 am

    Maksud solat adalah untuk mencegah kemungkaran!!!
    Timbul soalan: bagaimana nak dapat maksud solat?
    jawapan: Korang kena bawa ketaatan dalam solat ke luar solat.
    Dalm solat 5 minit korang taat segala perintah Allah, maka korang kena bawak ketaatan dalm solat 5 minit tu ke dalam 24 jam kehidupan korang…24 jam kena taat perintah Allah, seperti mana korang taat dalam 5 minit solat, dalam solat korang jaga mata, telinga dengar imam mengaji, mulut berzikir dan hati tawajjuh pada Allah..maka solat cam gini, bila ketaatan dalam solat cam gini di bawa ke luar solat maka automatic korang punya life pun 24 jam macam ‘solat’…
    Sebab tu perempuan yg solat tapi tak pakai tudung adalah wanita yg tidak bawa ketaatan dalam solat keluar solat..bukankah masa solat diorang habis tutup?..kenapa jadi macam tu? Sebab diorang tak faham maksud solat…
    Org lelaki pun sama, pakai seluar pendek..kenapa? sebab korang tak faham. Maksud solat..dan korang tak bawa ketaatan dalam solat ke luar solat sebaliknya kehidupan korang 24 jam di bawa masuk kedalm solat 5 minit, rosak solat cam tuh…masa solat fikir melayang2..mula2 solat kat Malaysia, lepas tu terbang ke mekkah, lepas tu pergi KLCC, lepas tu ingat baca blog apa tadi, lepas tu fikir nak buat apa lepas ni..mana kunci kerta, selipar aku sape yg ambik bla bla bla last2 dah salam baru sedar…oh aku kat Malaysia lagi rupanya…..

    -yang akan naik keretamayat

     
  7. Wan Siti

    26 Januari 2010 at 11:48 am

    Saya tertarik dengan artikel ini,
    saya nak minta izin utk salin dan post di facebook saya yea ustaz.
    Terima kasih.

     
  8. ashmir

    26 Januari 2010 at 2:33 pm

    Assalamualaikum Ustaz,

    Syukran di atas perkongsian ilmu pd kali ini. sebenarnya ramai di kalangan kita, baik yang beragama islam ataupun bukan islam, rata-rata masih tidak faham mengenai islam dan cara hidup islam.

    Lebih menyedihkan lagi apabila orang islam sendiri yang lantang untuk menolak konsep dan cara hidup islam…malah mereka mudah melatah apabila sesuatu idea / cadangan yang berasaskan konsep islam diusulkan baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah mahupun untuk meningkatkan produktiviti. cara hidup islam dianggap kolot dan ketinggalan zaman…nauzubillah.

    semoga Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada saya dan juga mereka-mereka yang telah jauh dari landasan Islam.

    semoga Allah juga memberikan kekuatan fizikal dan rohani kepada Ustaz dan seluruh umata islam dalam menyebarkan syiar Islam…AllahuAkbar!!!

     
  9. gentarasa

    27 Januari 2010 at 10:15 am

    Salam wan,
    ya, silakan.

     
  10. gentarasa

    27 Januari 2010 at 10:18 am

    Salam,

    Bila solat tak mencegah kemungkaran, solat itu bukan solat. Begitulah kira-kira jawapan Rasul ketika ditanya soalan yang sama. Mesti ada sesuatu yang tidak kena pada solat orang yang bermuka-muka… tak kiralah saya, awak, kami atau kita… atau ustaz-ustaz.

     
  11. gentarasa

    27 Januari 2010 at 10:20 am

    Salam shah,
    Insya-Allah, saya akan hubungi nanti.

     
  12. Noreen

    28 Januari 2010 at 3:58 am

    Assalamualaikum..
    Ustaz, sy ada jadikan 2 artikel ustaz dlm blog ni dan buku ustaz satu rasa dua hati untuk dijadikan bahan sy buat kelas untuk pelatih2 remaja di Pusat Bimbingan tempat saya bekerja. Alhamdulillah..bahasa dan idea yang mudah difahami. Banyak artikel ustaz mambantu saya nak sampaikan mesej. Bahasa yang bersaja dalam artikel. Bukan mudah nak fahamkan orang apa yg nak kita sampaikan. Alhamdulillah, artikel ustaz dapat membantu.Pelatih-pelatih pun dah sampai kenal nama ustaz.Terima kasih bnyk2 ustaz. baru2 ni sy ambil 5 lagi artikel ustaz utk mereka bincang dan present. Alhamdulillah..mereka faham.Nampak perkembangan kefahaman mereka, rasionalnya sebarang tindakan mereka sebagai hamba Allah. Artikel2 yg saya jadikan bahn2 tarbiah baru2 ni:- SOLAT ITU BUANG MASA, CINTA ITU BUKAN TUHAN, KALAU BENAR CINTAKAN ALLAH, MENCARI KETENANGAN HATI & INGAT MATI TAINGKAT PRODUKTIVITI.

    mohon maaf kerana tindakan mendahului izin utk kali ini.

    Noreen
    warden pusat bimbingan remaja puteri.

     
  13. gentarasa

    28 Januari 2010 at 6:57 am

    Salam Noreen,
    Syukran atas usaha saudara/i memanjangkan jariah ilmu. Saya juga demikian, hanya memanjangkan apa yang pernah saya belajar, baca dan alami. Ilmu milik Allah, kekadang orang yang ketiga, keempat…. lebih baik daripada orang yang pertama menerimanya. Menyampaikan peringatan bukan bererti kita telah baik, tetapi satu usaha untuk menjadikan diri kita insan yang baik. Saya sangat bersyukur kerana ada pengunjung seperti noreen yang berusaha sampai ke tahap itu. Syukran. Saya sangat hargainya. Semoga Allah membalas dengan yang lebih baik. Amin.

     
  14. fauzi

    28 Januari 2010 at 9:02 pm

    Assalamualaikum.

    Terima kasih sudi menjengah sebentar ke blog saya yang serba kekurangan.
    Terima kasih juga memaparkan artikel ini. Amat berguna untuk memperingatkan diri ini yang selalu hanyut.
    Sebagai seorang pendidik, soalan solat ini juga kerap kali ditanyakan oleh anak-anak kecil di sekolah

    Diharap solat yang kita kerjakan hari ini benar-benar mampu membimbing diri kita untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

     
  15. Norma Juainah

    29 Januari 2010 at 4:32 pm

    sholat merupakan tiang agama,
    tanpa sholat hidup mungkin tanpa tujuan, walau tujuan orang di bumi ada, tapi ingat!
    yg trpenting adalah tujuan kita di akhirat nanti……..
    jadi tunaikan lah dan insyALLAH klo bisa kita jangan tinggalkan sholat………
    demi menuju masa depan gemilang…..!!!!!!!!!!!! :)

     
  16. Nurana

    5 Februari 2010 at 1:45 am

    Assalamualaikum… pertama kali menjejakkan ke blog nie… rasa tertarik dan jatuh hati. lebih² lagi ketika jiwa dan rohani mendambakan intipati begini. izinkan saya untuk mengambil ilmu dan perkongsian di sini sebagai bahan siaran saya ketika bertugas. terima kasih~

     
  17. gentarasa

    5 Februari 2010 at 8:19 pm

    Salam Nurana,
    Ya… silakan. Mudah-mudahan ada kebaikannya. Syukran, atas sokongan mu. Saya sangat menghargainya.

     
  18. zaki

    11 Februari 2010 at 3:20 pm

    salam semua..

    best blog nie..tahniah kpd ustaz.!!

    kdg2 bila duk sorang2, sy rasa alangkah bertuahnya kalau seseorg 2 BUTA, PEKAK dan BISU..

    mesti ramai yg pelik kn..

    sy rasa sbb..
    mata akn terpelihara dr dok tgk maksiat….
    telinga pun bebs dr dok dgr benda yg melalaikan..
    mulut pun selamat dr mengucapkan ucapan yg sia2 tambah lagi ucapan kita 2 akan menyakitkan hati org lain..

    tapi sy ttp bersyukur ats segala nikmat yg telah dikecapi selama nie..

     
  19. gentarasa

    13 Mac 2010 at 10:57 am

    Salam Asmayah,
    Maaf, insya-Allah saya akan personalkan email dari saudari, Kadang2 saya tidak perasan, terus sahaja klik. Maaf sangat-sangat.

     
  20. gentarasa

    13 Mac 2010 at 11:03 am

    Salam,
    Saya faham dan merasai masalah puan. Tindakkan puan, “menjauh tapi bukan memutuskan” silaturrahim itu ada baiknya. Jika bersuara, jagalah akhlak dan syariat, jangan terlajak… nanti kita akan jadi sama macam mereka juga. Bersuaralah, pertahankan hak dan kebenaran, tetapi jangan kasar dan menyakitkan hati orang lain.
    Jauhkan diri sementara waktu kalau bimbang disakiti dan menyakiti… Ambil masa dekatkan diri dengan Allah. banyakan solat dan minta pertolongan dengan Allah. Paling penting jaga hati dan taatkan suami. Saya doakan Allah akan bantu puan. Insya-Allah. Amin.

     
  21. Bawang Goreng

    15 Mac 2010 at 10:16 am

    Salam,

    Saya pernah hadapi masalah yang sama… tapi ia berkaitan dengan makanan dan minuman. Biasalah di sana mereka minum beer dan minuman alkohol yang lain. Daging pula hampir tak pernah ada yang kena sembelih. Bila diajak minum, saya tolak dengan baik dan terangkan mengapa saya tak boleh menyentuh minuman sebegitu…. Tapi bila dah buat explantion yang berjela, mereka tanya saya balik, “Eh.. apasal your senior boleh minum, ya?”

    Saya kena pula xplain ttg dosa/pahala jika melanggar/mematuhi perintah Allah… tak berapa lama lepas itu, mereka cop senior ‘muslim yang jahat’ dan saya ‘muslim yang baik’ … hu.. hu…

     
  22. Aleng

    19 Mac 2010 at 3:20 pm

    Assalamualaikum ustaz…

    Ya Allah ampunkanlah hamba mu yang berani mempersoalkan segala perintahMu… sebagai muslim wajar kah kita mempersoalkannya… Di mana kah letaknya akal fikiran kita…. Pernahkah kita berfikir kenapa kita wujud di dunia nie… untuk apa? untuk Siapa? Kenapa? Percuma ka kita ada di atas muka bumi tanpa kita harus patuh kepada Allah…. ada brapa ramaikah umat islam yang masih belum tahu wujudnya Allah dalam diri kita… Astagfirullah Al-Azhim… Walaupun kita tak brapa pasti dengan rahsia-rashia Allah tentang solat… kita harus sedar yang kita adalah diciptakan oleh NYA…. Saya sekadar mengingatkn untuk diri sendiri dan saudara muslim yang lain.. Artikel ini cukup menyedihkan hati saya kenapa ada umat manusia yang bergelar muslim berani mempersoalkan daripada mempelajari apakah rahsia d sebalik solat

     
  23. gentarasa

    22 Mac 2010 at 7:09 am

    Salam Asmayah,
    Saya yang patut minta maaf. Kekadang kesibukan menyebabkan saya kurang sensitif dengan perkara-perkara seumpama itu. Apapun saya doakan puan diberkati Allah dan diberi ketenangan yang berkekalan. Amin.

     
  24. Asri

    24 Mac 2010 at 7:22 pm

    Ustaz, saya minta izin utk ambil sebahagian dari materials dlm artikel ustaz utk dikongsi dgn khariah tempat saya…

     
  25. ahmad

    26 Mac 2010 at 9:47 pm

    assalamualaikum

    orang yang solat tetapi melakukan dosa, maksiat, jenayah & kemungkaran boleh diibaratkan seperti hampas padi. dari luar nampak penuh tetapi kosong di dalam(pandangan peribadi). semasa mendengar kuliah maghrib di taman alam megah, shah alam pada tahun lepas(nama penceramah lupa), beliau menerangkan punca solat tidak menjadi benteng dari membuat maksiat. antaranya bacaan dalam solat, jadi sama-samalah kita membetulkannya. wallahualam

     
  26. waka waka

    8 Mac 2011 at 10:07 am

    minta copy nak disebarkan

     
  27. nam

    27 Mac 2012 at 11:00 am

    Assalamualaikum…

    ye betul…berdakwah dengan yg Islam agak susah dn mencabar juga…soalan, bagaimana jika seseorang yg jelas tahu berkenaan hukum dll, tetapi masih beralasan dan berat dalam melaksanakan perintah Allah…? apa penyelesaian dn mungkin amalan supaya tidak menjadi orang yg lalai…

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,190 other followers

%d bloggers like this: