Looking for Something?

SERASIKAN TADBIR DAN TAKDIR

Author:

Alhamdulillah, sepanjang pengendalikan blog gentarasa ini saya mendapat kerjasama yang baik daripada ramai sahabat-sahabat rapat. Daripada Ustaz Adib yang memulakannya, sehingga Ustaz Faisal yang begitu komited memberi input dan cadangan dari semasa ke semasa. Saya tidak sangka sama sekali, gentarasa sampai ke tahap ini. Walaupun pencapaian ini masih kecil, tetapi ia sudah terlalu besar buat saya. Syukur, medan dakwah semakin terbuka. Dan saya gembira untuk meneruskannya.

Mulanya, saya sekadar ingin berkongsi. Namun kini ia sudah menjadi satu tanggungjawab dan amanah. Pada sahabat-sahabat saya di Fitrah Perkasa dan Telaga Biru, saya sangat menghargai sokongan saudara-saudari. Dalam kesibukan menulis buku (oh ya… buku terbaru saya akan terbit, bercerita tentang mujahadah), mengendalikan program dan berceramah,  syukur masih ada tenaga yang direzekikan Allah untuk saya memasukkan entri-entri baru dalam blog ini.

Ramai dan banyak yang telah saya temui dalam hidup ini. Syukur kerana Allah terus sudi menemukan saya pada ramai/banyak kebaikan berbanding keburukan.  Ada yang kita sangka kaca tetapi permata, ada pula kaca walaupun pada awalnya kita sangka permata. Yang tidak serasi pergi, dengan ucapan semoga dia menemui yang lebih baik dari kita. Dan kita bersangka baik, yang terbaik untuk kita akan datang mengganti.

Dalam usia yang semakin ke hujung ini, apa yang kita harap ialah yang baik-baik sahaja. Tidak mahu kekecohan, inginkan ketenangan. Berpada-pada dengan apa yang ada tanpa merencatkan usaha untuk mendapat yang lebih berkat. Bersendirian… tidak kesunyian. Di tengah ramai… tidak pula kelelahan. Ada masa untuk tafakur di rumah Allah dengan zikir dan wirid yang istiqamah. Ada masa untuk keluarga dengan pelbagai karenah tetapi tetap sakinah. Konsisten keluar berdakwah dan mentarbiah dengan niat untuk memperbaiki diri sendiri. Dan mendapat rezeki yang secukupnya hingga boleh diagih-agihkan kepada orang lain yang memerlukan.

Satu pesanan yang sering menjadi ingatan: Bergembiralah membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain. Jauhilah dari riya’, sum’ah dan ujub. Sedikit amalan, dengan ikhlas lebih baik daripada banyak tetapi dicelahi oleh rasa sombong. Bila berjaya melakukan kebaikan, jangan memperkecilkan orang lain. Justeru, masih ada manusia yang tidak dikenali di bumi tetapi sangat tersohor di langit sana. Kebaikan jangan dianggap jasa, tetapi anggap sahaja penebus dosa.

Buat semua yang membaca… doakan aku, insan kerdil yang sering patah dalam mujahadah ini. Aku ingin segala-galanya indah, ceria dan tenang… namun siapalah aku? Kau, aku dan kita cuma seorang hamba. Pada kita ada tadbir. Tetapi pada Allah segala Takdir. Lalu usaha kita hanyalah… menserasikan tadbir mengikut Takdir!

Terimalah tulisan ini: SERASIKAN TADBIR DAN TAKDIR!

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Alhamdulillah.

Namun acapkali juga takdir dan tadbir bersalahan, bertentangan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan terjadi. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelma. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena?

Ketika itu hatipun merintih… semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bunga ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan ketentuan Allah yang maha Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari… kita menyalahkan segala – daripada diri sendiri, orang lain sehinggalah kepada Allah.

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat.

Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa duirinyanya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah luput  daripada segala takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia.

Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan… itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam?

Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain.

Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.
Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, ”belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka.

Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab) tetapi mata hati mereka dapat menjangkau ’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).

Hati mereka berkata:
”Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk ku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapangkan dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmu ku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diri ku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah iman ku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”

Feedback

38
  • fatin

    salam alaik..

    Ujian itu berat pada nilaian hamba..teringat pula saya kepada sayyidina Umar, setiap kali terkena musibah, Umar selalu memuji Allah. Ketika ditanya, beliau menjawab, “Kerana musibah itu tidak menimpa agamaku.”

    Semoga kita semua masih mampu mengucapkan syukur kerana Allah tidak menimpakan ujian di dalam perkara agama…tandanya Dia masih sayangkan kita..

  • azrul azwan

    Amat bermanfaat… Moga Redha Allah mengiringi hamba-hamba yang mengharap padaNYA…

  • adibah

    ustaz terima kasih atas tulisan ustaz ni, bila saya baca article ini saya benar-benar tersentuh dan insaf……saya rasa berdosa,ustaz, saya diuji allah hajat saya tidak dimakbulkan olehnya….. setiap hari saya bersembahyang dan berdoa. doa yg sama namun 2 permintaan sy tidak allah perkenankan…. sy rs amat sedih dan marah…. selesai solat sy akan menangis dan berdoa berkata-kata pada allah mengapa dia uji sy begini, sy persoalkan apa dosa saya(yg pasti memang banyak dosa) saya benar-benar tak boleh terima ujian ini…. 3 minggu sy menangis, makan juga tak lalu, mak dan ayah betul2 risau…. kesian ayah, cuba pujuk sy agar bersabar dan redha dengan ujian ini tp sy masih tak boleh terima……..pernah ketika solat sy boleh terfikir adakah allah ini kedekut….. ya allah, setelah membaca article ustaz ini sy benar2 rasa berdosa, sy malu pada allah, sy lupa dan lalai ustaz, Allah bg nikmat lagi banyak pada saya, ujian ini sedikit sahaja ustaz

  • gentarasa

    Salam adibah,
    Begitulah kita… ilmu kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas. Saya menulis dari pengalaman sendiri, jatuh bangun dalam mujhadah yang berliku-liku. Ujian menempa hati kita yang kadangkala masih liar sekalipun dalam solat. Bila Allah uji kita, tandanya Allah sayang kita. Allah tidak mahu kita terbuai lalai dalam kesukaan dan keseronokan hingga melupakan Allah dan diri kita sendiri. Syukurlah kalau kita masih ingat yang kita selalu lupa… itu petandanya Allah ingatkan kita ketika kita lupa!

  • gentarasa

    Salam fatin,
    Benar. Jika ujian mencabut iman dan Islam kita… itulah yang paling parah. Sematkan betul-betul di hati… aku hamba, aku layak diuji. Jika diuji jangan katakan, kenapa aku yang kena… tetapi katakan aku telah terpilih. Begitulah kata para sahabat Rasul. Di jalan itulah kita merangkak menyusul!

  • shazali

    mohon paparkan post ustaz..

  • Kak Nisha

    Assalamualaikum semua,

    Sangat-sangat bersetuju dengan apa yang ustaz tuliskan.

    Untuk Adibah teruskan kebergantungan kita dengan Allah. ‘Dunia ini Madrasah Cinta Kita’.

    Allah sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama. Namun di teruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah. Allah akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar samada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami. Akhirnya kita akan tau semuanya adalah untuk kebaikan kita juga.

    Terima kasih Allah atas rahmat dan nikmat dariMu.

    Wassalam.

  • gentarasa

    Salam shazali,
    Syukran.

  • gentarasa

    Salam Kak Nisa,
    Syukran atas pencerahan yang diberikan. Kadangkala kita dapat kekuatan daripada doa sahabat-sahabat.

  • Hamba Allah

    Salam Ustaz..kerana kecetekan ilmu dan lupa kita adalah hamba…bila dtg ujian yang kadangkala amat kecil tapi tidak selari dengan kemahuan kita..kita merasakan ujian itu amat besar…amat sulit dan amat pahit untuk ditelan…padahal kita lupa ubat yg pahit tu bila ditelan akan menjadi penawar yg amat mujarab..semoga kita menjadi hamba Allah yg memahami bahawa dunia adalah ladang akhirat…wassalam.

  • TAQWACORE

    Aslmkm Ustaz,

    JazakAllah kerana menulis article ini ustaz, lama sudah tak berkunjung kat blog ustaz, alhamdulillah ada rakan facebook yang post kat wall article ini

  • faiza

    Assalamualaikum ustad..tersentuh benar dengan tulisan ini..terasa benar kerdilnya saya…sebagai hambaNya selayaknya saya berasa malu dan hina..kerana seringkali lupa dan alpa..seringkali juga menangis dan mengeluh apabila diuji olehNya Yang Maha Kuasa..Terima Kasih Ustad..diatas tulisan2 yang membina ini..

  • ashyfida

    salam..
    setiap takdir adalah ujian, berusahalah menjadi hamba yang sentiasa mencari hikmah pada setiap kejadian. usah ditanya “mengapa” kerana jawapannya telah ada.. cuma masanya belum tiba. phonlah pada Allah diberi kekuatan bagi menangani ujian dan dugaan kerana Allah tidak membebankan hambaNYA dengan ujian yang tak mampu ditangunggnya..kerana ap? kerana SAYANG dan KASIH Allah tiada batasnya.. Ucaplah alhamdulillah atas segala kurnian Allah

  • sarah

    Salam,ustaz..syukran atas paparan artikel ini…sesungguhnya saya seorang hamba yang tersangat lemah..selalu melakukan kesilapan dalam hidup..pernah dìcop sebagai budak baik+alim,namun terbuat juga silap dalam hidup…hakikatnya iman saya tidaklah sekuat mana..ketika itu dunia terasa kelam,namun saya yakinkan diri yang saya ada Allah..bersujud memohon moga Allah ampunkan segala dosa saya dan pimpinkan kembali kelemahan hati saya…namun bila keaiban diri saya disebarkan dengan ‘selambanya’ oleh seorang yang saya amat hormati sehingga terasa pedihnya sehingga ke ulu hati kerana cerita itu tersebar sehingga ke media elektrnik seperti facebook,membuatkan saya terasa seperti tidak mampu menghadapi hari2 yang mendatang..saya mohon pada Allah moga segala keaiban saya ditutup serapat2nya selepas ini walaupun hanya Allah sahaja yang tahu betapa robeknya hati saya kerana yang menyebarkannya adalah seorang Mualim..ya Allah,ampunkan dosa saya..saya menangis berhari2 ketika itu..namun,saya masih tetap kuatkan hati saya,dan segalanya saya serahkan pada Allah…dengan harapan saya tetap thabat menghadapi musibah dan ujian kehidupan ini..

  • hamka

    salam ust..

    Ingat senang ke jadi perempuan?

    Sesungguhnya, Allah itu mampu membolak balikkan hati manusia, maka janganlah kerana sikap kita yang mudah buruk sangka dan bodoh bangang, buat Allah terbalikkan hati kita daripada beriman kepada murtad, daripada hidup sedih kepada mati sedih (bunuh diri)

    Naduzubillah…

    terima kisah ust untuk entri..

  • Teja

    “Terima kasih ya Allah atas ujian yang Engkau berikan. Amat payah untuk menerima, tapi penuh dengan hikmah..Alhamdulillah”

  • mia...

    salam ustaz…
    minta keizinan u post artikel2 ustaz…
    moga ianya membawa kebaikan u semua…..

  • mar

    salam ustaz. maaf soalan saya mungkin agak lari dari entri ustaz. saya nak tanya tntang solat istikharah. saya buat solat istikharah untuk decide adakah saya patut kahwin dgn seorang kawan prmpuan saya. esoknya saya mimpi. mimpi yang mnunjukkan seperti saya patut lepaskan dia. saya tak tau kalau mimpi tu berkaitan atau tak. tapi kami berdua dah berniat nak berkahwin dan parents kami pun dah berkenalan. kalau boleh kami tak mahu lepaskan diri masing2. apa pendapat ustaz?

  • e-man

    Assalamualikum ustaz, semenjak saya mengikuti blog ustaz, pemikiran saya benar2 mampu berfikir, tidak seperti sebelumnya, saya sudah mampu tersenyum dan redha dengan setiap apa yang berlaku. Saya tidak pernah lagi mempersoalkan Kenapa dan Mengapa sesuatu itu terjadi. Seperti yang ustaz katakan, “Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa dirinya. Saya skrg dalam proses bersungguh-sungguh dalam cuba mengitai hikmah disebalik apa sahaja yang terjadi…Dari itu, saya berharap sangat-sangat agar Allah membukakan saya jalan dan sentiasa memberi pertolongan untuk mendapatkan hidayah dari Nya. Saya juga sentiasa mendambakan Ketenangan dariNya dalam hidup yang penuh ujian dan dugaan ini!

  • gentarasa

    Salam eman,
    Syukur, saya juga mendapat kekuatan dari respons eman. Kadangkala kita lebih diuji dengan apa yang kita tulis sendiri… memang begitulah kasih sayang Allah, DIA masih sudi mengingatkan kita ketika kita mengingatkan orang lain. Terusan eman!

  • gentarasa

    Salam mar,
    Selepas mimpi, hati belum tetap lagi… buktinya anda masih lagi “diganggu” dengan soalan “patutkah saya lepaskan dia?” Jadi, maknanya hati belum tetap. Apa jalan keluar? Jawabnya, istikharah lagi… hingga diberi ketetapan hati (bukan mimpi-mimpi) lagi!

  • aziza

    salam ustaz.. semoga dilimpahi rahmat Allah keatas ustaz dan keluarga.

    saya juga seperti e-man.. sejak bertemu blog ustaz, semua artikal ustaz telah saya copy, print, saya ulang2 baca.. dalam nye saya bertemu ilmu yg menyejukan hati, mengimbangi minda yang bercelaru dan jalan kesyukuran yang sepatutnye seorang hamba lakukan terhadap ujian yang diturunkan oleh ALLAH yg maha penyayang..segala ujian untuk menjadikan kita lebih baik dari semalam yang baik, apatah lagi jika semalam itu tidak baik dan terlalu buruk.. Syukur Alhamdulillah.. sedikit demi sdikit ujian keperitan ini mampu saya lalui dengan tenang.. ya semestinye dengan bantuan ALLAH yang maha pengasih dan penyayang dan semestinye kita sbg HAMBA mendampingkan diri kepadaNYA.. terimakasih ustaz.. kata2 tanpa suara nukilan ustaz di majalah SOLUSI, di blog dan di buku2 ustaz sangat2 membantu penunjuk jalan dan memujuk hati mendekati ALLAH dan mengajar hatai memahami takdir ALLAH..semoga ALLAH merahmati ustaz dan terus menulis..

  • najlaaY

    salam.
    mohon izin copy satu perenggan utk dishare dgn rakan2 lain 🙂

  • Siti

    Assalamualaikum Ustaz

    Ada sy terbaca sebuah buku dari Indonesia, berkenaan insan2 yg di timpa musibah, kemudian mereka pasrah dan berserah pada Allah s.w.t. dan selepas itu mereka mendapat kembali apa yg telah hilang, atau di pulihkan kembali dari sakit dsbnya. Saya mencari2 buku ini tak tau mana nak dpt. Pernahkah ustaz atau sesiapa di sini terbaca buku ini?

    Saya sedang melalui ujian Allah yg amat hebat dari segenap penjuru. Dalam goyah saya tetap menongkah arus yg menggila kerana saya membawa beban dan tanggungjawab, dan jika saya tewas, beban saya akan turut hanyut.

    Kadang2 saya tak daya, namun saya masih mencari penawar dan apa2 saja yg boleh saya grab. Saya nak baca buku itu, bagaimana menjadi org yg tabah dan redha, agar Allah memberkati saya dengan rahmatNya.

    Maaf, saya tidak membaca entri ustaz yg baru saya jumpa hari ni, sebab fikiran agak terganggu.

  • syamsuliza

    salams ustaz, saya mohon izin copy & paste untuk dikongsi bersama rakan2, insyaallah, saya akan turut sertakan url ustaz untuk rujukan mereka. terima kasih.

  • gentarasa

    Salam syam,
    Silakan. Mudah-mudahan jadi amal jariah kita. Amin.

  • kemboja

    bila diuji dgn gelombang khidupan yg pelbagai mmg menghimpit perasaan..pada awalnya sya dikuasai pertanyaan kenapa dan mengapa aku?? saya banyak belajar..muhasabah diri..mmg banyak hikmah yg tsembunyi dsebalik ujianNya..Yg pasti stiap takdirNya ada kebaikan..wp akal kta yg cetek adakala memandg negatif..Allah mnetapkn sgala terselit banyk rahsia2 kebaikan..Sukar rupanya mahu mndidik hati jd sabar dn redha tidak semudah berkata dek lembut lidah berbicara..mg saya dberi kekuatan dariNya agar tabah mnghadapi gelombang hidup ini dan saya yakin pasti ada sinar menanti hatta terselit jalur sinar di celah2 dedauanan..

  • ahmad

    assalamualaikum
    terima kasih atas perkongsian, banyak yang saya belajar. ada kemusykilan, sabar itu sebahagian @ separuh dari iman? minta penjelasan, thumbiey6061@gmail.com

  • ummunabeeha

    salam ustaz…
    mintak izin postkan artikel2 ustaz ni ke laman web saya..semoga kebaikan dapat disebarkan utk kesejahteraan bersama 🙂

  • annisa

    terima kasih..
    sy mencari2 dalam tangisan erti sabar dan redha untuk bt hati jadi lbh tenang..
    alhamdulillah.. berkurang beban dihati..
    terima kasih sekali lagi

  • halman

    Askum…..
    Tadbir…dan…Takdir itulah saya perolehi melalui pembacaan ini. Tadbir manusia dan tak akan dapat melawan takdir dari Allah. Samalah kita serasikannya agar perjalanan hidup ini memperolehi kejayaan yang sejati Amin….

  • zurina md.noor

    Assalamualaikum… takdir yang datang usah ditolak kelak ..hati memberontak…sebaliknya….terimalah ia sebagai hadiah yang paling manis dari Allah kerana Allah sayang saya..begitulah saya pujuk hati bila mengenangkan takdir yang menimpa….kadang-kadang semakin dipujuk hati…ujian lain datang… Ya..Allah ..ku mohon kekuatan…semoga dengan perkongsian bahan dalam blog ini dapat membantu saya terus redha dengan ujianNYA.terima kasih Ya Allah…terima kasih ustaz krn berkongsi bahan untuk renungan kita bersama

  • nora

    salam ustaz………
    sy telah dibuang ibu dan ayah kira2 17 tahun yg lalu dan sejak itu sy tidak dbenarkan balik lg ke kampung malah sy diharamkan oleh mereka menjenguk mereka wpun mereka mati sekalipun. Byk sebab mengapa mereka membenci sy,dan antaranya mereka menuduh sy membomohkan mereka kerana pernah satu ketika smua adik beradik dan ayah sy mengalami sakit yg ganjil. utk pengetahuan ustaz, ibu sy suka merujuk sesuatu dgn bomoh drp doktor. Dan mengikut bomoh tersebut, musibah yg menimpa kluarga sy adalah atas pbuatan sy dan suami. Sejak itu sy tidak dibenarkan pulang ke kampung wpun hati sy sgt memberontak unt menemui mereka. Bgaimana sy harus menerima takdir ini dengan hati yg lapang????

  • gentarasa

    Salam,
    Ibu-bapa tetap ibu-bapa… sekalipun mereka kafir, mereka berhak mendapat doa dan kebaikan kita. Sebagai anak, kalau dapat kita rapat kembali. Jika tidak berdoalah dari jauh. Itu hak mereka terhadap kita… hak mendapat doa dan kebaikan, walau apa sekalipun keadaan kita. Bagaimana menerima dengan hati yang lapang? Ini ujian. Pasti sukar. Sekadar tips… pandanglah kepada Allah, yang mendatangkan ujian itu, bukan pada mereka yang menjadi sebab kita diuji. Kenagkan saat kematian, insya-Allah, akan mudah kita memaafkan. Bagaimana kita hendak kita dapatkan kemaafan dari Allah, jika kita sukar memaafkan ibu-bapa kita sendiri? Wallahua’lam,

  • nora

    salam ustaz,
    terima kasih atas respons ustaz….
    skadar memaklumkan pd ustaz, sy tidak pernah berdendam pd mereka malah merindui mereka hingga ke hari ini. Memandangkan jarak rumah sy dgn mereka tidak terlalu jauh, boleh dikatakan sy sering datang melihat rumah mereka pd waktu malam agar terubat rasa rindu ini. Sy pernah cuba balik ke rumah tapi, sy dan suami serta anak2 pernah dihalau oleh ibu sy tanpa belas kasihan. Shingga hari ini, ksedihan sy tidak pernah terpadam. Sy tidak diberi peluang utk membela diri.Sy ingin memeluk mereka namun apakan daya. Sy sgt mgharapkan hubungan ini bertaut kembali kerana sy sedar hidup ini sgt singkat. Terima kasih sekali lagi, ustaz

  • al bukhari

    saya setuju, sesungguhnya setiap sesuatu yang telah, sedang dan yg akan berlaku samada baik atau buruk telah diiznkan Allah SWT… semua itu berlaku dgn tujuan yg haq bkn sia2 kerana pandangan makhluk dan pandangan Allah berbeza. makhluk melihat sesuatu takdir itu baik atau buruk tp hakikatnya ianya adalah baik krana ia datang dr sisi Allah SWT yg maha megtahui dan berkuasa atas tiap2 sesuatu. bkn menafikan usaha dan doa krana usaha dan doa itu juga mengikut takdir yg telah ditetapkan Allah dan sbb itulah jika kita lihat tak semua doa dan usaha kita akan berjaya krna Allah hanya mengizinkan sesuatu yg telah Dia tetapkan berlaku seperti yg tertulis di lauh mahfuz. akan tetapi, kita digalakkan utk terus usaha dan doa kerna itu dituntut dlm islam krna kita tak tau mana satu takdir yg telah ditetapkan dan sebelum kita nak doa atau usaha sesuatu kita perlu membaca ihdinassiraltal mustaqim (tunjukkan jalan yg lurus/benar)terlebih dulu bg megelakkan segala usaha dan doa yg sia2..

Leave a Reply

%d bloggers like this: