Looking for Something?

KEMBALILAH!

Author:

Benar-benar saya teruji, saya kehilangan suara ketika sangat memerlukannya. Sepanjang minggu ini, telah dijadualkan untuk saya bersama rakan-rakan Fitrah Perkasa mengendalikan kursus Amanah Dalam Kerja bersama kakitangan Bank Rakyat di Bagan Lalang, kemudian Muhasabah Cinta di UPM, terus ke TV 3 untuk ulasan buku Nota Hati Seorang Lelaki dan akhirnya mengendalikan Bengkel Penulisan Antara Pedang dan Pena di UiTM perubatan Shah Alam…. “Innalillah”, saya benar-benar kehilangan suara. Batuk bertali arus. Seram sejuk di seluruh badan.Berada di dalam bilik hotel, sekadar untuk berehat dan berubat.  Tugasan diambil alih oleh sahabat-sahabat. Mengharap suara datang semula… untuk kembali berdakwah. Mujur ketika suara hilang… saya masih belum kehilangan kata-kata dan bahasa. Lalu dalam penuh pengharapan agar suara dikembalikan, saya masih bersyukur, mujur ada blog ini sebagai perantara bicara… Dan rasa saya terus bergenta. Untuk diri ini dan dirimu…

KEMBALILAH!

Kekadang kita terkejut dengan ungkapan-ungkapan yang kedengarannya begitu aneh. Ungkapan yang bukan dilahirkan oleh orang yang biasa, tetapi manusia yang luar biasa. Mereka yang mengucapkannya adalah hukama, ulama dan bijak pandai yang begitu arif tentang kehidupan. Ada ungkapan yang berbunyi:
“Barang siapa yang ingat mati akan hidup… tetapi mereka yang ingat hidup akan mati.”

Ah, aneh. Mengapa begitu ya… Mari kita telusuri apa makna tersirat di sebaliknya. Bukan sekadar untuk bermain dengan kata-kata tetapi dengan berpijak pada ilmu dan pengalaman yang nyata. Justeru kata-kata itu hanya membenarkan sahaja apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya:
“Yang paling banyak mengingati kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.

Riwayat Imam Ibnu Majah

Mari kita kembara seketika untuk mengungkap cebisan rahsia kematian dan kehidupan yang hakikat adalah ujian bagi setiap insan. Firman Allah:
“Dia yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji antara kamu siapakah yang terbaik amalannya.”

Apakah kaitan antara hidup dan mati? Apakah rahsia di sebalik kata-kata bahawa mati itu adalah tunang kepada kehidupan? Justeru, marilah kita ‘kembali’ sebelum pergi menemui kehidupan yang abadi!

Sayidina Ali karamallahuwajhah pernah berkata:
“Manusia semuanya tidur, bila mati baru mereka terjaga (tersedar).”
Kata-kata itu sungguh dalam dan tersirat maknanya. Ia bermaksud, hanya apabila seseorang itu telah mati barulah hakikat atau realiti kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.

Pendek kata, mati adalah ‘program realiti’ yang benar-benar realiti. Setelah roh berada di alam barzah (yakni alam kubur yang menjadi sempadan antara dunia dan akhirat), barulah kebanyakan manusia sedar apakah perkara yang benar-benar bernilai dalam hidupnya ketika hidup di dunia. Bila mata yang ada hancur dimamah bumi, maka ketika itulah matahati yang alpa selama ini tersentak… Terbeliak, lalu ketika itu barulah terserlah yang mana ‘intan’, yang mana ‘kaca’?

Menjelang kematian, setiap diri akan akur betapa bernilainya kebaikan dan kebajikan. Itulah hakikatnya intan yang selama ini dianggap kaca. Dan pada saat itu barulah kita sedar betapa intan yang selama ini kita puja hakikatnya kaca yang tidak berharga. Itulah perbuatan dosa dan perkara yang sia-sia. Alangkah ruginya ketika hidup di dunia. Kita tersentak!

Manusia baru tersedar apakah hakikat kehidupan yang sebenar setelah kematian. Dan lebih malang lagi rupa-rupanya baru pada ketika itu manusia menyedari bahawa mati sebenarnya bukanlah satu pengakhiran, tetapi ia adalah satu permulaan kepada satu kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi (hidup di akhirat kekal abadi).

Manusia telah diingatkan bahawa di alam roh kita telah mengenal Allah. Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”

Al-A’raf : 172

Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob yang sebenar (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan jatuh cinta kepada-Nya.

Namun alangkah sedikitnya manusia yang benar-benar mengenal Allah. Kebanyakan manusia hanya ‘mengetahui’ tetapi tidak mengenali-Nya. Mengenal dan mengetahui itu jauh berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Mengenal hanya memahami, tetapi mengenali akan merasai. Kebanyakan kita hanya mengetahui Allah Maha Melihat, tetapi tidak merasai Allah Maha Melihat. Justeru, kita masih tega dan tergamak melakukan kemungkaran walaupun kita tahu Allah Maha Melihat.

Bermula da Di alam roh dahulu hati kita yang telah mengenal Allah. Pendekata, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah. Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu ramai manusia yang mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta palsu..

Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu ramai manusia yang mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta palsu..

Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi… Semakin bertambah usia, semakin jauh jarak perpisahan itu.

Pepatah Arab ada mengatakan, manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Jadi, bila cinta itu sudah tersalah, maka tersalah jugalah ramai manusia meletakkan sifat kehambaannya. Hidup beralih arah, daripada menghambakan diri kepada Allah kepada ‘menyembah’ hawa nafsu. Firman Allah:
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?”

Al-Furqon 43

Akibatnya, tujuan hidup telah tersasar. Ini kerana hanya manusia yang menyedari adanya Tuhan dan memperhambakan diri kepada-Nya sahaja, akan mempunyai tujuan hidup yang tepat dan jelas. Manusia tidak akan tahu apa tujuan hidup, kerana manusia tidak pinta dihidupkan. Allah yang menghidupkan kita, maka Allah jualah yang Maha Mengetahui untuk apa manusia dihidupkan. No God, No purpose! – tanpa Tuhan tidak ada tujuan.

Setelah terantuk (mati), barulah dia terngadah (sedar). Rupa-rupanya apa yang diburu selama ini hanyalah kepalsuan manakala apa yang dihindari adalah kebenaran. Ah, betapa tersasarnya langkah hidup selama di dunia, setelah mati baru terjaga. Pada ketika itu jugalah ramai yang mengharapkan agar dapat pulang ke dunia semula. Minta untuk dipanjangkan umur, bagi menukar perbuatan yang buruk selama hidup di dunia dulu dengan amalan kebaikan.

Di alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’ kepada kita, barulah kita terjaga daripada buaian ‘mimpi’ selama ini. Tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa hakaikatnya hidup ini adalah untuk menghambakan diri kepada Allah – beribadah kepada-Nya. Rasa ingin bertaubat singgah dengan tiba-tiba. Terasa dosa yang dilakukan begitu banyak, bagaikan bueh di lautan.

Sayangnya, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana pada saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Jadi, kesedaran itu mesti dirasai semasa hidup di dunia lagi, barulah ia mempunyai makna dan berguna. Apabila hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran akan hakikat kematian, maka barulah seorang manusia akan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan.

Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya berlaku di alam kubur , maka segala-galanya sudah terlambat. Jadi bertaubatlah sebelum terlambat, kembalilah ketika masih sempat! Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang bijak. Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang hidup. Merekalah orang yang berani. Dan orang yang berani tidak pernah mati – the brave never die!

Bagaimana untuk mengembalikan semula manusia kepada asas dan teras jati dirinya yakni sebagai hamba Allah? Atau rengkasnya, bagaimana hendak mencapai ketenangan dalam hidup yang serba mencabar ini? Inilah yang menjadi teras persoalan dalam nasyid yang bertajuk ‘Kembali’ ini. Kembali di sini bermaksud, kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah.

Roh yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Hati yang tenang ialah hati yang mengingati Allah. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”

Ar-Ra’du: 28

Inilah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga selalunya perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat, kita rela menelan kepahitan, kita rela menanggung ke[peritan berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua itu enak rasanya. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stresss… kita ikuti, patuhi walaupun begitu ‘berat’ untuk mendapat sihat.

Maka begitulah jalan untuk ‘mengubat’ hati. Penawarnya juga pahit. Ubat hati jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati? Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia. Kata ulama, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras. Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit.

Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan nama-Nya yang baik dan mulia. Ingat, ilmu wahyu akan menerangi hati, manakala ilmu dunia akan menerangi kehidupan. Hakikatnya ubat hati ialah ilmu-ilmu yang diambil daripada Al Quran.

Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah mendirikan solat. Solat lima waktu adalah silah (penghubung) antara hamba dengan Tuhan. Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segala gerakan dan bacaan itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri bersungguh-sungguh.

Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi. Apatah lagi ‘penawar’ yang datang daripada Allah – Tuhan yang mencipta kita. Al Quran dan solat tentulah akan lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingatlah solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya. Ingat selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain, no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah jalannya… jalan mujahadah.

Seperti sakit fizikal yang perlu pada pantang larangnya, begitu jugalah ‘sakit hati’ , juga ada pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi oleh makan ‘racun’. Maksudnya, apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan? Atau pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga minum teh tarik yang manisnya keterlaluan? Penyakit tidak akan sembuh, jika melanggar pantang. Bahkan, pengamal perubatan sering menegaskan bahawa berpantang lebih baik daripada berubat.

Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga. Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Sebaik-baiknya carilah kawan yang seiya sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.

Untuk buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Untuk buat baik perlu ada ‘jamaah’ – kumpulan yang bersatu untuk melakukan kebaikan. Bila ada perkumpulan, usrah atau jamaah, maka tentu ada program-program yang tersusun dan berkala. Program yang positif boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu Ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh perkumpulan itu.

Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’. Bahkan rasululah SAW sendiri pernah menegaskan bahawa nikmat yang sering memperdayakan manusia ialah masa lapang dan kesihatan tubuh badan.

Masa lapang ini perlu diisi dengan kesibukan belajar menuntut ilmu dan pelbagai usaha untuk memperbaiki diri. Dengan adanya program-program ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan. Mula-mula kita membentuk program dan akhirnya program akan membentuk kita. Inilah pentingnya program yang baik, kita akan terdisiplin melakukan kebaikan walaupun ada masa-masanya kita diserang rasa jemu, malas dan godaan-godaan jahat.

Inilah sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang muda masa kini
Kata Sayidina Ali lagi:
“Beramallah ketika di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi hanya ada amalan (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada amal (akhirat).”

Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur, yang mana pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi. Berjuanglah menghadapi kemalasan dan kejahatan diri sendiri. Malulah kalau kita kalah dengan diri sendiri. Jangan hanya malu jika ‘kalah’ dengan orang lain. Biasanya orang yang menang dalam bertanding dengan dirinya sendiri akan menang juga dalam pertandingan dengan orang lain – Only me can beat me!”

Benar, anda sahaja boleh mengalah diri anda sendiri. Jadi bertandinglah dengan diri sendiri, dengan mengalahkan rasa malas, menundukkan sifat malu tidak bertempat, mengatasi rasa takut yang tidak kena pada masanya dan lain-lain sifat negatif. Jangan terkeliru dengan anggapan bahawa remaja hanya sekali, lalu kita mesti ‘enjoy’ sepaus-puasnya. Remaja sebenarnya dua kali – satu di dunia, satu lagi di akhirat. Remaja di dunia akan diakhiri oleh usia tua. Tetapi remaja di akhirat kekal selama-lamanya (ahli syurga semuanya dalam usia remaja).

Gunakan masa remaja di dunia untuk mencapai keremajaan yang lebih bermakna di akhirat. Oleh itu kembalilah!

Feedback

37
  • nurkasih

    salam semua..

    ” Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya. ” ~ ayat ini cukup terkesan..ya ustaz, mmg terasa sgt ssh sekali bermujahadah..dan sy ssh utk merasai kenikmatan kemanisan itu….kdg2, sy smpi pelik dan mrh dgn diri sndri…terima kasih atas artikel2 ustaz yg sguh mendalam maksudnya…Ya Allah, peliharalah ustaz dan keluarganya..amin.

    p/s: mlm ni ustaz akan dtg ke kolej sy..(UPM)..sy ingin sgt pergi..insyaAllah. moga ustaz cpt2 sembuh..

  • شاح

    Assalamualaikum.. Insya-Allah.. kekadang Anugerah Allah kita lupa syukuri walaupun dengan menyebut “Alhamdulillah” sehingga kita kehilangannya sekelip mata. Syukur dengan nikmat Islam dan Iman yang di anugerahkan..

  • Farha Jalila

    Assalamualaikum..
    Semoga kita semua kekal hidup dalam mengingati mati.

  • nurr

    Salam…Syukran ustaz atas ingatan ini. Ya Allah terasa diri mensia-siakan masa yang ada.
    “Jadi bertandinglah dengan diri sendiri, dengan mengalahkan rasa malas, menundukkan sifat malu tidak bertempat, mengatasi rasa takut yang tidak kena pada masanya dan lain-lain sifat negatif.”

    Teruskan mujahadah.

  • Teja

    Salam ukhwah..

    Ujian itu selalu ada. Saya pun batuk2 dan lemah seluruh badan. Namun, perjuangan perlu diteruskan..Berjuang untuk ke ‘sana’ yang abadi..

    Semoga cepat sembuh ya ustaz..

  • mia...

    assalamualaikum ustaz dan semua….
    alhamdulillah dan syukur kpd Allah ats nikmatNya…
    sy msh lg dberi peluang bernafas utk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan….

    ustaz….sy sedar dr ini amat jauh dr Allah.. iman dihati tidak seteguh karang di lautan..on off dlm amalan…bkn tiada usaha utk memperbaiki diri,,buku2 keagamaan sy baca, rancangan b’bntk keagamaan sy tonton dan sbgainya…tp sy msh tdk dpt mengisi kekosongan di hati…mencari ap y dicari..
    ya Allah… sukarnya jalan yg sy harus tempuhi..
    ustaz dan sahabat2 sekalian….bantulah diri ini utk mendekatkan diri pd-Nya, utk menginggati-Nya, utk terus mencintai-Nya..
    Bantulah sy ‘kembali’ sebelum pergi menemui kehidupan yang abadi!

  • mia...

    sy minta keizinan ustaz utk post kt laman FB sy…
    mg artikel ini mampu membawa manfaat kpd yang membacanya…

  • inSAnkerdil

    Alhamdulillah, pagi2 buka blog ini dapat juga diri bermuhasabah..
    Terlalu banyak penyakit dalam diri ini yang harus disembuhkan..
    Semoga diri tidak tergolong dalam golongan org2 yang rugi di dunia dan akhirat.

    Sesungguhnya, dosaku terlalu banyak bagai buih di lautan, semoga Allah memberi keampunan..Semoga kematianku tidak datang menjemput sebelum taubatku diterima..amiin..

    p/s1: Semoga ustaz cepat2 sembuh..teruskan usaha ustaz berdakwah..semoga ustaz terus diberi kekuatan.semoga insan2 seperti ustaz akan terus bersinar bak intan,,memberi pedoman dan menyampai kebaikan..InsyaAllah Rasulullah pasti bangga dengan insan2 yang tidak jemu menyambung dakwah Baginda..amiin..

  • shafifah

    Majlis Maulid Kubro Nabi Muhammad Yayasan Jenderami : http://wp.me/piAx4-17l

    Seminar Amalan Tariqat Negeri Selangor : http://wp.me/piAx4-17c

    Majlis Bersama Ad-Daie – Habib Munzir Al-Musawa : http://wp.me/piAx4-179

    Sambutan Maulidurrasul di Masjid al-Falah : http://wp.me/piAx4-16R

    Isu Kalimah Allah Banyak Hikmah : http://wp.me/piAx4-16U

  • Nizam Mat Saari

    Alhamdulillah, saya memperoleh banyak pengajaran daripada tulisan Tuan ini. Rasa begitu kerdilnya diri yang tersangka tahu. Ya tahu tetapi tidak MERASAI. Saya ingin KEMBALI untuk MERASAI. Terima kasih, Tuan.

  • gentarasa

    Salam Nizam,
    Merasai itu yang payah. Berdoalah kita agar sama-sama direzekikan oleh Allah untuk merasai apa yang kita ketahui. Allah…

  • gentarasa

    Salam inSAn.
    Syukran atas doamu. Kita sama sahaja… saling ingat mengingati sebab sama-sama sering lupa. Apa yang kita ingat ialah kita sering lupa… sebab itu kita beringat semula! Syukran atas doamu. Itu lebih besar daripada tulisanku!

  • gentarasa

    Salam mia…
    Ya, silakan. Rasa kosong, mendorong kita untuk mengisinya semula. Terasa jauh, kita berusaha untuk mendekat pada-Nya. Begitulah Allah mendidik kita insan berdosa ini. Kita akan terus mencari selagi terasa belum berjumpa… Sukar kita untuk bersabar. Tetapi bergembiralah, rasa susah inipun sebenarnya satu kurnia besar daripada Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk melalui jalan-Mu. Sesungguhnya, mudah bagiMu untuk memudahkan kami… Amin.

  • gentarasa

    Salam Teja,
    Saya semakin sembuh. Syukran atas doa mu. Semoga anda juga segera sembuh untuk berjuang!

  • Admin

    salam,
    sila layari bersama juga web saya..terima kasih

    Admin,
    http://NTVirus.wordpress.com

  • شاح

    Salam.. Saya kagum dengan ciptaan Allah.. Saya kagum dengar Pahrol Mohamad Juol.. Sepatah kata/tulisannya membuat saya tak kelip mata membacanya..

  • siti

    salam ustaz…
    terima kasih di ats byk pduan berguna y diberikn melalui penulisan ustaz….
    bagimna jika hati yg jauh sest ini sgt ingin kembali..tetapi terkdg msih sering juga tersasar dek kejahilan dan kerapuhn hati…..ada x doa yg patut di amalkan?
    tq

  • hrysobah

    assamualaikum ustaz.
    saya selalu membaca karya, terima kasih kerana banyak membuka minda saya. semoga ustaz sihat seperti sedia kala.
    bila sebut pasal cara didikan ibu bapa didunia pada anak yang dilahirkan, saya teringat pada kata-kata cikgu saya.
    ‘bila kita masih kecil, kita mungkin boleh salahkan ibu bapa kita sebab x bagi pengajaran agama pada kita, tapi bila kita dah besar, kita kena salahkan diri kita sendiri kenapa kita x cari sendiri”
    saya pegang kata-kata itu sampai sekarang.

  • radhiah

    assalamualaikum ustaz, saya mula mengenali dan mengagumi ustaz melalui tulisan2 bernas dan menyentak rasa dlm majalah solusi .nota hati seorang lelaki amat indah susun atur kata, dlm makna dan tinggi nilai mesej yg cuba dibawanya.Syukur, atas anugerah Ilahi kerana mengurniakan seorang insan berilmu dan berpengetahuan luas, namun rendah diri, tawadhuk dan terserlah jiwa kehambaannya, semoga Allah yang Maha Bijaksana akan menghiasi ustaz dengan ciri-ciri`Ibadurrahman seperti yg disenarai oleh Ustaz Yusuf Al-Qaradhawiy.Mmg saya amat terasa kekerdilan dan kekurangan diri, bimbang dan hiba,bagaimana bila kembali nnt,apakah yg dapat saya persembahkan dihadapanNya, sedangkan dosa banyak dan amal ibadat, amat jauh dari sempurna.Bila dihitung, direnung, begitu banyak ni’matNya tanda kuddusnya cintaNya kepada kita, dan terasa malu, kerana kita kerap membalas ni’mat dan cintaNya itu dengan kemungkaran dan alpa. Semoga,saya diberi ruang dan kekuatan untuk terus memperbaiki diri, amal , ibadat dan hati…sebelum tiba saat itu – takut..bimbang, bila memikirkan…bagaimanakah nnt penerimaanNya.

  • hajar

    salam ustaz pahrol,

    saya bersyukur sgt2 pada ALLAH kerana pertemukan sy dgn tulisan ustz pahrol sejak 4 thn yg lalu..

    Rasulullah SAW dah wafat, tak boleh nak tny direct pada Baginda tentang persoalan kehidupan yg sukar utk org yg tak pandai seperti sy fahami..

    sy bersyukur ALLAH wariskan ilmu kpd ustz Pahrol utk menyambung perjuangan Baginda mendidik umat..terubat rindu pada Rasulullah bila membaca tulisan ustz Pahrol..semua yg ustz Pahrol tulis Rasulullah dh lama ajar melalui hadis tp saya yg tak pandai nk interpretasi dlm kehidupan..Alhamdulillah melalui tulisan ustz Pahrol, Allah mengajar saya..Semoga ALLAH merahmati ust Pahrol dan keluarga dunia akhirat

  • Noreem

    Assalamualaikum ustaz,

    Mohon izin ambil artikel ini utk dibuat kelas.

    Noreen

  • shafifah

    SEMINAR AMALAN TARIQAT NEGERI SELANGOR : http://wp.me/piAx4-17c

    JADUAL MAJLIS ILMU & MAULIDUR RASUL 1431H : http://wp.me/piAx4-17X

    Program Bulan Kelahiran Rasulullah di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR : http://wp.me/piAx4-17R

    JADUAL MAULIDURRASUL BERSAMA HABIB ADNAN AL-HADDAD : http://wp.me/piAx4-17E

    Majlis Maulid Kubro Nabi Muhammad ke -8 di Yayasan al-Jenderami : http://wp.me/piAx4-17l

    MAJLIS BERSAMA AD-DAIE – HABIB MUNZIR BIN FUAD AL-MUSAWA : http://wp.me/piAx4-179

  • aziza

    ustaz… salam ya ustaz yang dirahmati Allah.. bahagianya jadi seperti ustaz.. seronoknya membaca tulisan ustaz.. tenang hati, faham apa yang ustaz ungkap.. tersentuh jiwa.. ingin sungguh menikmati hidup berjiwa seperti orang-orang yang mendekatkan diri kesisi Allah..mudah2an kn ustaz, Allah tidak meminggirkan saya dari rahmatNYA.. moga saya dapat merasai cinta Allah seperti yang ustaz dapat rasa.. Ya Allah, janganlah kau biarkan diriku tidak memerlukan perhatianMU..
    cepat sembuh dan terus mendidik hati-hati kami yang memerlukan kemanisan dari kata-kata mu ya ustaz..wasalam.

  • gentarasa

    Salam aziza.
    Seringkali yang saya tulis ialah sesuatu yang “ingin” rasakan tetapi belum rasakan. Apa yang lebih utama, mudah-mudahan dengan itu orang lain akan mendapat manfaat, lalu Allah redha dan Allah bantu pula kita merasakan dan mengamalkannya. Syukran atas doa. Marilah kita sama-sama mendidik diri sambil mengingatkan orang lain.

  • annasehah

    salam
    ustaz,,,1st time saya membaca tulisan,,ayat yang akan keluar dari mulut saya ‘ a’ah..btol jugak’…’a’ah ek…’…its mean bnyk perkara yang bermain dlm minda saya dh terjawab..huhu..syukran ustaz,,,Allah telah mengkurniakan ‘kelebihan’ ini padaustz..Alhamdulilllah
    ustaz..saya mintak copy sedikit sebnyak potongan ayat2 dari tulisan ustaz yang saya rasakn amat mendalam rasenyer..boleh???

  • gentarasa

    Salam annasehah,
    Silakan. Mudah-mudahan ada yang baik diperpanjangkan. Amin.

  • elfutuwwah

    JazakAllahu khaeran jazaa’!
    Sesungguhnya tiada lagi jalan kembali selain hanya kepada Allah

    “Tidak ada satupun setiap yang ada di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba.! “(93:MARYAM)

  • Professor

    Bismillahirrahmanirrahim..

    Assalamualaikum..

    Ustaz, surah Ar-Ra’d yang ustaz letak tu ayat nya macam tersilap je,
    13:28, bukan 13:56

    Jazakallahukhair ustaz.Satu lagi yang lebih susah adalah macam mana kita nak istiqamah dalam suasana soleh yang kita ikuti, disebabkan sistem jahiliyyah yang berpusu-pusu menyerang kita di sekeliling kita..

    Wallahu’alam..

  • gentarasa

    Salam Prof,
    Jazakallah atas pembetulan. Ya, itulah cabarannya… sistem jahiliyah. Kita perlu bangunkan sistem Islam bermula daripada diri, keluarga dan masyarakat. Bermula dari diri, dan serulah orang lain. Mudah-mudahan kita jadi ikan yang tidak masin dengan kemasinan laut. Bukan seperti kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu mengembuk… Kita jadi ikan, jangan jadi kambing ataupun lembu.

  • Zamzairi Mohd Jawi

    Salam buat Ustaz,

    Saya baru selesai membaca buku nukilan ustaz – Nota Hati Seorang Lelaki. Tulisan dan olahan begitu rapi sekali sehingga membuat saya terkagum dan terkesan. Insya Allah, saya akan menyokong ustaz untuk terus tanpa henti menulis tentang hal berkaitan dengan titian akhirat yakni alam kekal.

  • reng cool

    subhanAllah

  • Mohd Nadzri Mustakim

    ‘Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu ramai manusia yang mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta palsu..

    Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi… Semakin bertambah usia, semakin jauh jarak perpisahan itu.”

    ayat ini berulang ust… mungkin boleh di ‘adjust’

  • JambuManis

    Salam Ustaz Pahrol,

    Tersedar saya dari terleka apabila membaca tulisan ustaz. Memang benar kita manusia perlu ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tersasar jauh dari landasan. Tapi sedihnya manusia hanya insaf untuk seketika..kemudian mengulanginya semula. Bagaimana ya ustaz untuk menjadi hamba allah yang sentiasa dipelihara dari melakukan perkara-perkara dilarang? Ya allah…masih terlalu sedikit bekalan untuk dibawa “Pulang” . Semoga saya diberi ruang dan kesempatan untuk memperbaiki amal, perbuatan sebelum dijemput olehNya. Takut , bimbang bila memikirnya. Semoga ustaz tidak jemu menulis….supaya dapat memberi panduan untuk direnungkan.

  • gentarasa

    Salam jambuManis,
    Begitulah manusia… kejap lupa, kejap ingat. Sebab itu kita perlukan peringatan yang selalu dan sentiasa. Berterusanlah bermujahadah!

  • nafwan naila

    alhamdulillah ustaz. sekejap tadi, saya berdoa pada Allah, temukanlah saya dengan petunjukNya, di kala hati ini mulai layu dengan rasa cinta dariNya, dia pertemukan saya dengan ini,
    nyata hati ini kian layu, menunggu masa untuk mati. Astaghfirullah..

  • jauharah

    salam ust….syukran ats entri yg pnuh dgn pringtan….moga mengingati mati sntiasa di hidup hati ini….mohon share….

  • siti

    Salam ust,
    Pertamakali membaca tulisan ustaz,hati saya benar2 meyakini bhw doa sy telah dimakbulkan Allah.Bg sy pengisian mujahadah yg ust terbitkan dr keluhuran hati ust adalah cabang hidayah dr Allah kpd sy.Berbelas tahun Allah menguji kekuatan sy dgn penyakit misteri dan ianya hampir2 melumpuhkan semangat hdp sy tp dgn santapan rohani yg penuh motivasi ini telah menyegarkan kembali sisa harapan yg ada.
    Inilah petanda Allah sayangkan sy dan sy dpt rasakan tulisan2 ust mmbantu sy dekat padaNya.Namun,sy bimbang andainya jalan mujahadah sy ini disekat oleh syaitan dan hawa nafsu sy sndiri.tlg doakan sy ya ust..moga sy tergolong dkalangan hamba yg solehah sblm menghadapNYA..tkasih byk.Mg Allah sntsa memberi ruang kesihatan dan kegembiraan kpd ust dunia akhirat.

Leave a Reply

%d bloggers like this: