RSS

YANG TERSIRAT DI SEBALIK SELAWAT.

26 Feb

Tanpa dijadualkan, Subuh tadi saya dipelawa mendadak oleh Tuan Imam untuk memberi tazkirah seusai solat. Saya terima sebagai satu amanah daripada orang tua yang sangat saya hormati. Cuma lebih kurang 15 ke 20 minit. Dan ahli jemaah pagi itu lebih kurang 2 saf sahaja.

Berbicara secara santai untuk mengingatkan diri sendiri disamping mengingatkan orang lain dalam majlis yang kurang “glamour” begitu terasa lebih tenang dan harmoni. Saya rindukan suasana yang sebegitu sebenarnya. Tidak ada karenah birokrasi, ganjaran serta protokol itu dan ini, aliran kasih sayang dan ukhwah terasa lebih murni dan sejati.

Namun, setelah tamat, saya rasa masih banyak yang ingin saya kongsikan bersama saudara dan sahabat serta kenalan.  Lalu di pagi yang penuh barakah – Hari Jumaat, Maulidur Rasul ini saya ingin kongsikan sebuah tulisan, bersamaan kedatangan Maulidur Rasul ini. Terimalah… YANG TERSIRAT DI SEBALIK SELAWAT.

Bila kita kenal sesuatu yang indah, baik dan benar, kita akan jatuh cinta. Bila sudah cinta, kita banyak mengingat apa yang kita cintai itu. Dan bila kita banyak mengingat, pasti banyak pula kita menyebutnya… Kata orang tua dahulu,  bila hati teringat, mulut akan menyebut!

Jadi, tanda cinta kita kepada sesuatu, banyaklah kita menyebut-nyebutnya. Dan begitulah kitaran cinta kepada Rasulullah saw. Tanda kenal, cinta. Tanda cinta, ingat. Dan tanda ingat, banyak menyebut… Semakin banyak ingatan, semakin banyka pula sebutan. Dan di situlah signifikannya selawat!

Ya, semoga Allah berikan hati yang sentiasa ingat kepada Rasulullah saw lalu kita mampu berselawat ke atas baginda – sebagai tanda kasih, tanda cinta kepadanya. Tidak cukup jika berselawat pada Hari Keputeraannya atau membacanya hanya ketika dalam tahiyyat awal atau akhir, sebaliknya jadikan ia basahan lidah setiap masa – gembira atau berduka, ketika ramai atau bersendirian, siang mahupun malam.

Sebenarnya, bukan sahaja manusia dituntut berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, malah Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke atas baginda. Pujian daripada Allah dan para malaikat ini justeru ketinggian akhlak dan keperibadian baginda.
Firman Allah swt:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna-sempurna salam.”
(Al-Ahzab 56)

Bayangkan, tanpa Rasululah alam ini tidak akan diberkati. Kedatangannya adalah untuk memberi rahmat untuk alam ini. Alam itu gelap gelita, Rasulullah adalah penerang kepada penghuni-penghuni dunia. Kata bijak pandai, dunia tidak akan aman, selagi manusia yang menghuni di atasnya tidak berakhlak. Dan inilah misi utama kedatangan Rasulullah SAW yakni memberi rahmat kepada alam dengan berusaha memperbaiki akhlak manusia.

Firman Allah:
“Dan tidak diutuskan (nabi Muhammad SAW) melainkan untuk memberi rahmat buat sekelian alam.”

Rahmat kedatangan Rasulullah ini adalah dalam bentuk akhlak yang paling murni untuk dipelajari dan diteladani oleh semua manusia. Ini ditegaskan sendiri oleh sabda baginda:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.”

Tanpa Rasulullah tidak akan ada kasih-sayang sejati dikalangan manusia. Ibu-bapa tidak akan dihormati, anak-anak tidak akan disayangi, kaum wanita tidak akan dilindungi, yang miskin tidak akan dibela, yang kaya tidak akan pemurah, yang berkuasa tidak akan adil, yang diperintah tidak akan taat. Cara hidup Jahiliyah yang serba kejam, hina dan kucar-kacir akan terus bermaharajalela. Namun kedatangan baginda telah memberhentikan semua itu.

Baginda berjuang bermula dengan seorang diri. Diseru kaum keluarga terdekat dan sahabat terapat. Daripada Siti Khadijah, kemudian Sayidina Ali serta Sayidina Abu Bakar… Sedikit demi sedikit. Dan 23 tahun kemudian, ada lebih 124,000 para sahabatnya yang bertebaran di Makkah, Madinah dan seluruh jaziratul Arab. Baginda rela kehilangan apa sahaja demi menyelamatkan umatnya daripada kejahilan dan kesyirikan. Daripada cacian, dihalau hinggalah ancaman bunuh – semuanya telah baginda lalui demi perjuangan yang suci. 

Jika pada hari ini kita memuja pemimpin yang berjasa… maka siapakah pemimpin yang lebih besar jasanya daripada Rasulullah SAW? Bagindalah yang telah membebaskan kita daripada kesempitan hidup dunia untuk menikmati kelapangan hidup di akhirat. Baginda jualah yang membebaskan kita daripada penghambaan sesama manusia untuk menjadi hamba keoada Allah. Baginda yang mengeluarkan kita daripada ksempitan dunia untuk menuju kelapangan akhirat.

Soalnya, bagaimana kita memperingati jasa-jasanya itu?

Ya, kita mesti berselawat ke atas baginda. Kelebihan solawat telah banyak kita dengar. Namun apakah yang Allah swt benar-benar inginkan daripada selawat kita? Allah swt inginkan supaya hubungan kita dengan Rasulullah swt adalah berterusan. Oleh sebab itu kalimah, “Asyhaduallah ila ha illallah.”diikuti kemudiannya dengan kalimah “wa ashaduanna Muhammadar Rasulullah”. Apabila kita menyebut kalimah ini, rasakan diri kita adalah hamba Allah, lalu seterusnya perlu kita tanyakan bagaimanakah caranya hendak menjadi hamba Allah yang sebenar?

Lalu menyusul pengertian kalimah keduanya: “Wa asyhadu anna muhammadar Rasulullah.” Iaitu dengan mencontohi Rasulullah saw. Bagindalah individu yang pada setiap masa merasakan dirinya hamba. Ketika menjadi seorang ayah, seorang jeneral, seorang Nabi, malah sebagai pemimpin, baginda tetap merasakan diri sebagai hamba kepada Tuhannya.

Bagaimana rasa diri hamba? Ya, umpama seorang hamba, tentu dirinya tidak layak melakukan sesuatu sesuka hati. Apa yang dilakukan mesti mengikut arahan majikan atau tuannya. Jadi dengan amalan selawat ini, kita berharap menjadi hamba Allah setiap masa,di setiap tempat dan setiap ketika. Maka dengan itu bererti hubungan kita dengan Rasulullah juga adalah hubungan yang berterusan. Sebab kita hendak jadikan Rasulullah ini sebagai teladan bagaimana menjadi hamba Allah sebenar pada setiap masa dan ketika.

Allah swt bukan sahaja menurunkan Islam dalam bentuk ilmu dan ilmiah. Dia juga turunkan Islam dalam bentuk amaliah atau praktiknya, yakni melalui Rasulullah. Jadi Al-Quran itulah dalam bentuk ilmu, Rasulullah itu pula mempraktikkan isi Al-Quran. Jadi inilah yang Siti Aisyah katakan, jika kamu ingin melihat Al-Quran hidup, maka tengoklah peribadi baginda dalam kehidupan seharian. Dan bagi kita umat Islam akhir zaman ini… tidak ada jalan lain untuk ‘melihat’ keperibadian Rasulullah selain melihat sejarah hidup Rasulullah SAW.

Peri pentingnya sirah Rasulullah, ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
“Didiklah anak-anak kamu tiga perkara: Kecintaan kepada nabi kamu, kecintaan kepada keluarga baginda dan membaca Al Quran.”

Justeru, generasi Salafussoleh begitu bersemangat mengajarkan anak-anak mereka tentang sirah Nabi Muhammad SAW sehingga diseiringkan dengan pengajaran Al quran. Sebab sirah merupakan penterjemah makna-makna Al Quran secara praktikal. Imam Zainul Abidin bin Husin bin Ali RA berkata:
“Kami mengetahui soal perang-perang Rasulullah SAW sebagaimana kami mengetahui surah-surah yang ada dalam Al Quran.”

Mudahkan mencintai atau mencontohi Rasulullah?

Kita tidak pernah berjumpa Rasulullah. Kita hanya mendengar kisah kehebatan iman dan akhlak baginda sejak di bangku sekolah. Jadi, bagaimana hendak menyemai cinta kepada Nabi Muhammad SAW?

• Menerima seruan dan dakwah Nabi Muhammad SAW.
Apa yang telah disampaikan oleh rasulullah kita terima dan kita terus laksanakan. Semakin cepat kita menunaikan seruannya maka semakin bertambah kecintaan kita terhadapnya. Sayidina Ali misalnya, telah menerima seruan dakwah Rasulullah tanpa harus berbincang terlebih dahulu dengan sesiapapun, hatta ayah-ibunya sendiri.

Tidak ada gunanya mengaku cinta kalau tidak dibuktikan dengan perbuatan. Kata cinta, tetapi sunnah baginda kita cerca atau pinggirkan. Malangnya, inilah sikap kebanyakan umat Islam kini. Mengaku cinta, tetapi bergaul bebas, mendedahkan aurat, makan riba, minum arak, menipu, rasuah. Baginda sangat bencikan riba, tetapi ada dikalangan umat Islam yang masih mengamalkan riba.

• Mencintai apa yang dicintai Nabi.
Apa sahaja yang dicintai oleh nabi Muhammad SAW dari segi cara hidupnya – cara solat, puasa, mentadbir, menguruskan perniagaan, mengatur rumahtangga, makan, minum, pakaian sehingga cara baginda masuk tandas – akan kita teladani.

• Membenci siapa yang membenci nabi.
Siapa sahaja yang memperleceh-lecehkan kedudukan nabi Muhammad adalah musuh kita. Kita tidak akan berkawan apalagi bersahabat dengan mereka yang terang-terangan menghina nabi Muhammad SAW. Tidak kira mereka itu kaya, berkuasa atau ternama sekalipun. Siapa yang membenci Rasulullah itulah musuh kita.

Sebab itu umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya Nabi Muhammad diperlecehkan melalui lukisan, tulisan atau kata-kata.

• Menjaga hadis-hadis Nabi.
Maksud menjaga hadis di sini ialah dengan menghafaz dan mengamalkannya. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Samurah bin Jundub RA bahawa dia berkata:
“Di zaman Nabi, aku adalah seorang anak kecil, namun aku turut pula menghafaz hadis dari baginda, sedangkan orang-orang di sekelilingku semuanya lebih tua dariku.”

Ibarat seorang yang sedang bercinta. Kebiasaannya seseorang itu akan mengikut atau menyebut-nyebut nama orang yang dicintainya. Dia mesti mempunyai rasa suka atau cinta kepada orang itu.Kemudian rasa cinta itu dilahirkan dalam tindakan. Jadi cinta pada Rasulullah itu bukanlah semata-mata dengan kata, tetapi dengan tindakan. Oleh itu, dalam kehidupan ini, setiap tindakan mestilah menunjukkan kecintaan kepada Rasululah. Misalnya, acara mencukur rambut bayi dan kenduri aqiqah.

Majlis Aqiqah dan mencukur rambut diraikan ibu dan ayah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Ia adalah sunnah Rasulullah yang mulia. Ketika anak Rasulullah iaitu Fatimah az-Zahra melahirkan Hassan, Nabi pun berkata:
“Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya. Kemudian bersedekahlah dengan mengeluarkan perak seberat timbangan rambutnya.”

Seorang ulama Syeikh Dahlawi Rahimullah mengulas tentang hadis di atas dengan katanya:
“Sesungguhnya anak itu jika telah berpindah dari janin menjadi bayi merupakan sebuah nikmat yang wajib disyukuri, Bentuk kesyukuran yang terbaik adalah dengan menggantikannya. Mengingatkan bahawa rambut bayi merupakan bahagian dari perkembangan janin, dan menghilangkannya merupakan petanda kemerdekaannya menuju perkembangan sebagai anak, maka seharusnya bila rambut itu ditimbang (nilai) dengan perak.”

Setelah ditimbang, berat rambut Hassan adalah sedirham. Sedirham itulah disedekahkan. Kita mungkin antara bayi-bayi kecil satu ketika dulu didendang dengan selawat dan marhaban. Jika anak itu lelaki, diberikan permulaan nama “Muhammad” – Muhammad Rasul, Muhammad Taufik, Muhammad… supaya mendapat keberkatan Allah swt. Lebih-lebih lagi ayah dan ibu mengimpikan anaknya nanti membesar dan mencontohi akhlak Nabi Muhammad saw.

Sabda Rasulullah SAW:
“Namakanlah anak-anakmu dengan nama-nama para Nabi. Sedangkan nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdul Rahman dan nama yang paling benar adalah Harith dan Hamman, sedangkan nama yang paling buruk adalah Harb dan Murrah.”

Apabila anak lelaki sudah membesar, diadakan pula majlis berkhatan yang juga diiringi dengan selawat dan puji-pujian membesarkan Allah. Sesetengah masyarakat setempat mengadakan acara tambahan bagi meraikan atau menyemarakkan semangat kanak-kanak. Antaranya acara mandi beramai-ramai di sungai, berarak sambil didukung atas bahu bapa sendiri dan sebagainya. Semuanya dengan tujuan untuk menggembirakan hati anak-anak yang akan berkhatan.

Berkhitan sebenarnya satu perintah. Nabi saw pernah bersabda:
“Termasuk fitrah (kesucian) adalah berkumur, menghirup air ke dalam hidung (ketika berwuduk), mencukur misai, bersiwak, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut kemaluan dan berkhitan.”

Apabila usia meningkat remaja, teringin pula berumahtangga. Majlis pernikahan diatur. Termeterailah ikatan janji untuk berkasih dan bercinta selama-lamanya dengan iringan syahadah dan selawat. Ketika itu, kedua-dua pengantin berharap dapat hidup sebagai suami isteri yang bahagia dan harmoni. Rasulullah SAW bersabda:
“Yang lebih utama lagi ialah lidah yang berzikir, hati yang bersyukur dan isteri yang solehah yang akan membantu seorang mukmin untuk memelihara keimanannya.”

Jika rumahtangga mencontohi rumahtangga Rasulullah, kehidupan akan dipenuhi kebahagiaan dan keberkatan. Sabda Rasulullah SAW:
“Mahukah aku beritahukan sesuatu yang dapat dijadikan sebagai harta simpanan seseorang? Iaitu isteri yang solehah. Jika seorang suami memandangnya, dia membuatnya gembira jika ia memerintahkannya, dia mematuhi, dan jika dia pergi, maka dia akan selalu menjaganya.”
Sebaliknya jika kehidupan rumahtangga tidak dipandu iman, kehidupan bagaikan neraka dunia sebelum ke neraka sebenarnya.

Sehinggalah apabila kita mati, kita diajar bagaimana bertalkin di dalam bersolawat untuk Rasulullah. Terbuktilah setiap kehidupan kita dari sejak lahir sehingga kini mesti berhubung dengan Rasulullah saw. Oleh kerana itu jadikanlah berselawat itu teman dalam kehidupan kita.

Kelebihan bersolawat

Pengalaman kita, doa akan cepat dimakbulkan apabila kita memulai dengan berselawat. Kita akan dapat ketenangan hati. Menyebut nama orang soleh (dalam konteks ini Rasulullah SAW) akan mendatangkan rahmat. Dan yang paling penting ialah dengan bersolawat kita dapat keberkatan dan syafaat. Berselawat adalah sumber kepada syafaat. Syafaat Nabi di akhirat nanti terdapat 5 jenis:

• syafaat untuk membebaskan umat manusia daripada dahsyatnya suasana di Padang Mahsyar
• syafaat untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa sebarang hisab atau perhitungan
• syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukuman setimpal, supaya hukuman itu kemudian ditarikbalik.
• Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka
• Syafaat untuk menaiki ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.

Selawat juga mengundang keberkatan hidup di dunia.  Apabila kita menyebut nama orang-orang soleh, ia mendatangkan rahmat. Rahmat itulahkeberkatan… Bila ada keberkatan, insya-Allah akan ada kelebihan yang berterusan dan berkekalan.

Keberkatan yang sangat diharapkan ialah keberkatan dari segi rezeki. Kedua, dari segi umur kita, ketiga daripada usaha kita dan keempat, dari segi ilmu. Ini bermakna walaupun ada masanya kita hanya mendapat ‘sedikit’ tetapi dengan keberkatan, insya-Allah, yang sedikit itu adan mencukupi. Misalnya, umur walaupun pendek tapi banyak bakti dan jasanya. Inilah yang terjadi kepada Imam Nawawi, Imam Syafie dan Umar Ibn Aziz.

Jumlah kitab karangan Imam Nawawi misalnya, tidak sepadan dengan umurnya. Usianya hanya sekadar 40 an tetapi beliau sangat produktif. Begitu juga Umar Ibn Aziz, yang hanya sempat menjadi khalifah selama 2 tahun tetapi tempoh pendek itu dipenuhi dengan kecemerlangan yang tidak dapat ditandingi oleh khalifah-khalifah Bani Umayyah yang lain. Inilah pentingnya mendapat ‘umur’ yang berkat.

Manakala ilmu yang berkat pula ialah ilmu yang mampu menyuluh kelemahan diri, menyuluh kebesaran Allah dan menambah amalan soleh kita. Rezki yang berkat pula akan menjadi sumber kekuatan untuk melaksanakan ketaatan, baik ketaatan kepada Allah mahupun khidmat sesama manusia.

Inilah peri pentingnya kita berselawat sebelum berdoa.Tanpa berselawat sekaligus putus hubungan dengan Allah. Bila hubungan kita putus dengan Allah, berbagai-bagai kesusahan akan berlaku. Yang paling kita takuti, hilang keberkatan dalam hidup. Ini akan menyebabkan rezeki kita walaupun banyak tetapi masih tidak cukup-cukup malah melalaikan kita pula.

Umur kita mungkin panjang tapi sayangnya sarat pula dengan dosa. Usaha kita mungkin banyak, tapi tidak dapat meraih kejayaan. Ilmu pun mungkin banyak, tapi menyebabkan kita lalai dan derhaka kepadaNya. Makin tinggi ilmu, semakin ego. Jadi, marilah kita banyak berselawat, justeru ia adalah sumber keberkatan dalam kehidupan!

 
29 Komen

Posted by di 26 Februari 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , ,

29 responses to “YANG TERSIRAT DI SEBALIK SELAWAT.

  1. nik

    26 Februari 2010 at 11:10 am

    timakasih akhi atas peringatan ni. jiwa yang selalu lupa perlu sentiasa diingatkan. salam maulidurrasul

     
  2. muhammad fakhruddin

    26 Februari 2010 at 11:16 am

    Allahumma solli ala saidina Muhammad…
    kerdilnya kita ini

     
  3. nurin

    26 Februari 2010 at 11:25 am

    salam ustz..saya pinjam artikel ini utk di kongsi bersama rakan2..minta izin yea…

     
  4. Nofri Yeni

    26 Februari 2010 at 2:57 pm

    Rindu kami padamu ya Rasul. Walau kita tak pernah bersua tapi segala ajaranmu tetap ada dalam dada kami. Mudah-mudahan engkau berikan syafaat untuk kami di akhirat nanti….

     
  5. fatin

    26 Februari 2010 at 4:40 pm

    salam alaik,
    artikel yang baik untuk saya bermuhasabah, sangat praktikal dalam seluruh kehidupan kita,.. izinkan saya ‘link’ kan artikel ni dalam facebook saya..
    syukron ustaz..

     
  6. Nurr Iman

    26 Februari 2010 at 4:50 pm

    salam ustaz..
    syukran atas artikel y sgt tinggi nilai ilmu nye.
    alhamdulillah..
    muge dpt jd peringatan bwat diri ini y masih belajar utk mengembara d dunia y pnuh onak dan liku..
    muge cinta pd Allah dan Rasulullah m’jd penghias diri.
    Jazakallah

     
  7. kasih

    26 Februari 2010 at 8:36 pm

    Salam Ustaz.
    Jazakallaahukhoiron katheera. Alhmdulillah atas artikel yang amat di harap2kan untuk penambahan ilmu.
    Moga dapat kekuatan untuk menghidupkan sunnah Baginda SAW.
    Terkenang pertamakali mengunjungi Makam Baginda.. walau jauh terasa dekat…
    Alhmdulillah atas nikman iman dan islam.

     
  8. munirah sulaiman

    26 Februari 2010 at 11:02 pm

    salam alaik ustaz :)

    lama dah tak menjengah ke sini. kadang2 kalau ada kesempatan pun, pembacaan terhenti separuh jalan. saya doakan ustaz sihat walafiat hendaknya.

    Subhanallah. kelebihan selawat tiada tolok bandingannya ustaz. kekadang kekangan masa membuatkan manusia alpa. Alhamdulillah. Allah masih memberikan limpah rahmat yang tidak terhingga, masih, walaupun ketika perniagaan sedang struggling untuk diperkukuhkan.

    A very good article ustaz. sangat terkesan. rasa banyak dosa, nak nangis pun ada!~ berdoa mengharapkan Allah akan terus menunjukkan jalan yang benar. amiinn..

     
  9. kuntarto

    26 Februari 2010 at 11:43 pm

    Assalamu ‘alaikum wr wb.
    Mohon ijin ikut belajar ya Ustazd…trimakasih

     
  10. mia...

    27 Februari 2010 at 6:29 am

    terima kasih utk artikel y cukup bermanfaat ini…
    moga2 ianya memberi peringatan dan panduan buat saya… aminn…

     
  11. azman abdillah

    27 Februari 2010 at 12:34 pm

    Salam ust,ust kata rindu dgn suasana yg santai dan bersahaja tanpa protokol sedemikian,ana apatah lagi, suasana sebegini telah lama hilang dari kamus kita lebih 16 tahun yang silam. Waktu itu suasana ilmu ada dimana,bukan sekadar dimajlis usrah & tarbiah,malah sewaktu berjalan,makan dan apatah lagi ketika hendak tidur. Begitulah didikan Rasulullah S.A.W tidak mengenal erti penat lelah apatah lagi ganjaran melainkan hanya ingin melihat manusia kembali kepada fitrahnya. menjadi hamba Allah serta menjalankan amanah sebagai khalifah Allah dimuka bumi dgn penuh insaf dan merendah diri. Mulianya dirimu Ya Rasulullah,tiada insan sebaikmu dan tiada pengganti yg sebaik engkau. Allahuma Salli Alla Muhamad Wa allihi wasahbihi ajmaain.

     
  12. rosma

    28 Februari 2010 at 9:35 am

    Salam ziarah..

    “Ya Rasul..Syafaat kan kami,Ya Rasul Kami Rindu Padamu..Sesungguhnya apa yang kami dambakan ialah cinta Allah Yang Esa..Kerana cinta kepada Rasulullah..Bereti Cinta Kepada Allah.”.Allahumma Solli A’alaa Saidina Muhammad SAW..

     
  13. shafifah

    1 Mac 2010 at 12:36 pm

    Majlis Sambutan Maulid Kubro Nabi Besar Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم ke -8 di Yayasan al-Jenderami
    InsyaALLAH, pihak Yayasan Al-Jenderami berserta kerjasama Madrasah Islamiah Al-Jenderami berhasrat menganjurkan Majlis Sambutan Maulid Kubro Nabi Besar Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم ke -8 dan butir-butirnya adalah seperti berikut:

    Tema
    “Tradisi Salafussoleh Benteng Ahli Sunnah Wal Jamaah”

    Tarikh
    18hb – 20hb Rabi’ul Awal 1431
    Khamis, Jumaat dan Sabtu
    bersamaan
    4hb – 6hb Mac 2010

    Tempat
    Kompleks Yayasan Al-Jenderami, Kg Jenderam Hilir, 43800 Dengkil, Selangor Darul Ehsan

    Antara ulama-ulama yang dijangka hadir (sila klik pamplet dibawah untuk paparan lebih jelas)
    http://pondokhabib.files.wordpress.com/2010/02/jenderami-2.jpg

    Tentatif Program (sila klik pamplet dibawah untuk lebih jelas)
    http://pondokhabib.files.wordpress.com/2010/02/jenderami-3.jpg

    Untuk maklumat lebih lanjut sila hubungi saudara Faiz – 0123625192.

     
  14. Maryam Izza

    1 Mac 2010 at 10:07 pm

    Salam Ustaz!
    Satu lagi peringatan yg sangat baik! kita kadangkala terleka dek kesibukan tugasan harian…semoga lidah dan hati ini tak putus2 mengalunkan zikir memuji kebesaran Tuhan serta sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW…Terima kasih Ustaz :)

     
  15. mazlan

    2 Mac 2010 at 12:33 pm

    salam…ustaz terima kasih di atas tazkirah . terasa begitu rindu nya pada junjungan besar kita rasulullah sallallaahu alai hi wassallam hanya dengan akhlak mulia yang tiada tolok banding di muka bumi ini menyebar kan dakwah yang kekal hingga ke abad kini rahmatan lil aalamin ….jazakallaah ustaz

     
  16. mawarlarangan

    2 Mac 2010 at 7:08 pm

    salam ya ustaz..
    Syukran atas perkongsian yg sngat bermakna dan bermanfaat ini. semoga diri ini sentiasa beristiqomah mengamalkan sunat2 Rasulullah SAW dan sentiasa membasahi hati dan lidah untuk berselawat.

     
  17. Hamka

    3 Mac 2010 at 10:46 am

    salam ustaz .. just to share

    Mungkin kita terlupa pada awal kerja Nabi di jalankan, ketika Nabi Muhamad SAW keluar dari rumah dengan baju yang bersih, tapi bila petang nanti pulang, baju Nabi sudah kotor, di jalanan beliau di pukul orang, di sepak terajang dan di baling batu serta najis..,

    Dari celah daun pintu Fatimah r.aha anak Nabi mentintai perlakuan ayahandanya yang tercinta, lalu bergenanglah air matanya melihat penderitaan ayahnya, namun sebaik Nabi pulang, lekas-lekas beliau menyapu air mata dan menyambut Baginda dengan senyuman, menyembunyikan kesedihan demi memberi sokongan moral dan sedikit hiburan kepada jiwa luhur bapanya yang teramat tabah itu..

    Namun hati anak mana yang tahan melihat ayanya di seksa? Lantas suatu hari beliau telah mengikut di belakang Nabi, melihat perlakuan ayahnya secara langsung, di jalanan beliau melihat ayahnya berdakwah dan di hina, di layan seperti pengemis dan binatang, di sakiti, di caci, di maki, di pukul, dan di baling batu…

    Kemuncak penghinaan, ketika Nabi bersolat di hadapan Kaabah, Abu jahal dan sekutunya telah membuang najis dan perut unta ke belakang badan baginda yang sedang sujud.., dengan linangan air mata Fatimah r.aha datang membersihkan najis di badan ayahnya..

    Di suatu hari yang lain, Fatimah r.a telah menyambut kepulangan Nabi Muhammad SAW dengan linangan air mata., Lalu Baginda bertanya: kenapa menangis?

    Dengan air mata yang bergenang, melihat penderitaan ayahnya, Fatimah r.aha berkata:

    “Aku menangis kerana ku lihat telah bertukar warna kulitmu dan kotor pakaianmu.., ”

    Nabi menjawab (lebih kurang maksud)
    “Janganlah kamu menangis wahai Fatimah, satu hari nanti, ugama yang aku bawa ini, akan pergi menuju ke setiap rumah walaupun rumah itu berada di desa atau di Bandar, dan Allah akan masukkan kemuliaan atau kehinaan ke dalam rumah seperti tersebarnya malam…”

    Maka kita semua pada hari ini, Dalam kedamaian pagi dan ketenangan petang atau kesejahteraan malam, sedang kita menikmati nikmat berugama, mungkin di suatu hari akan datang wakil Nabi mengetuk pintu rumahmu, tidak kira di mana kamu berada, di desa atau di Bandar, dan Allah akan masukkan kemuliaan atau kehinaan ke dalam rumahmu seperti tersebarnya malam… dan bukakanlah pintu hatimu.., kerana mereka sedang mengzahirkan hadith Nabi Muhamad SAW.

    Ziarah mereka bukan kerana hari raya, atau kerana menuntut hutang, tapi semata mata kerana Allah, mudah-mudahan kamu dan mereka akan dapat menikmati ruang di bawah arasy berkat amalan ini, dan semoga Allah kasihan pada kamu dan mereka lantaran amalan yang mulia ini lalu mengekalkan kita semua dalam iman, dan menyebarkan hidayat ke seluruh alam, sehingga akhirnya kesemua lelaki akhil baligh dapat minikmati solat berjemaah, dan keseuma wanita akhil baligh dapat menikmati solat di awal waktu serta tutup aurat dengan sempurna, kemudian, anak-anak akan taat perintah ibu bapa, dan isteri-isteri akan taat perintah suami dan semua mahkluk akan taat perintah Allah lalu menyembah Allah dengan cara yang paling layak selayak-layaknya Dia di sembah!…

    Sesengguhnya, Dalam kedamaian Maulidur Rasul, dan kemeriahan berarak di jalanan, serta rukuk dan sujud yang merehatkan jiwa, di sebalik semua nikmat berugama ini, tidak terhintung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah…

     
  18. syuhaida shuib

    4 Mac 2010 at 7:44 am

    SALAM,
    Ustaz mohon share di blog..
    Syukran atas perkongsian..

     
  19. Kunang-kunang

    6 Mac 2010 at 11:00 am

    Salam ustaz,

    Artikel yang banyak memberi kesedaran kepada saya mengenai Rasulullah. Betapa besarnya pengorbanan terhadap kita. Saya harap ustaz tidak keberatan kerana saya telah pastekan N3 ustaz ini ke blog saya.

    Catatan Hamka juga begitu menginsafkan betapa siksanya Rasulullah dalam memperjuangkan islam.

     
  20. warda

    6 Mac 2010 at 9:16 pm

    assalamualaikum ustaz
    terima kasih ustaz atas peringatan ini

     
  21. khairulaznan

    9 Mac 2010 at 11:09 am

    salam tuan,

    minta izin di sunting dan di guna sebagai khutbah jumaat

     
  22. betik_muda

    26 Mac 2010 at 3:14 am

    terasa seperrti belum sempurna cintaku pada nabi..tersa sedih cinta nabi seakn kini tidak dihargai……….Ya allah,kurniakanlah kepada nabi muhammad darjat yang tertinggi yang telah engkau janjikan

     
  23. adibah

    6 Mei 2010 at 11:36 pm

    assalamualaikum ustaz, terima kasih atas setiap penulisan ustaz, mmg banyak beri pengajaran & peringatan….. teruskan menulis ustaz..

     
  24. Nur Alyani

    8 Mei 2010 at 1:23 pm

    Salam, saya hanya ingin berkongsi tentang selawat.. semasa saya mengandung anak sulung, saya takut akan kesakitan melahirkan anak.. bermacam-macam imaginasi saya terhadap sakit bersalin.. saya selalu dinasihat oleh ibu saya, amalkan selawat semasa mengandung, insya Allah dimudahkan bersalin..setiap hari ibu saya remind, stakat slawat sekali sehari jangan fikir mudah.. daripada terpaksa selawat atas arahan ibu, menjadi amalan harian setiap hari.. dari awal mengandung sehingga berada di dalam bilik bersalin.. dan alhamdullilah.. saya percaya dengan keberkatan selawat… sakit bersalin saya rasa boleh dicontrol .. memang besar kuasa selawat.. dan amalan itu saya topup semasa mengandung anak kedua.. dan sehingga sekarang menjadi amalan rutin.. dan saya forwardkan amalan ini kepada kawan-kawan satu ofis yang mengandung.. selawatlah..berkat.. dan keberkatan itu tidak dapat diucapkan .. ia mesti di alami sendiri.. selawatlah..

     
  25. kesidang

    15 Februari 2011 at 8:50 pm

    hari ini
    kami menyambut hari kelahiranmu Nabi Muhammad s.a.w
    hari ini
    kami berselawat untukmu Nabi Muhammad s.a.w
    hari ini
    kami mengingatimu Nabi Muhammad s.a.w
    moga hari esok dan seterusnya
    kami akan sentiasa meletakkan mu dalam hati kami
    dalam bicara kami, dalam tingkah laku kami
    dan dalam doa kami
    sesuatu yang lama kami tinggalkan
    walaupun wajahmu tak pernah ditatap
    hembusan baumu tak pernah dihidu
    suaramu tak pernah didengari
    namun kau tetap di hati…..

    selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad sallahualaihi wasallam, ahli keluarga dan para sahabatnya

     
  26. a kamsan

    16 Februari 2011 at 12:45 am

    assalamualaikum
    ustaz
    mohon share di blog saya..
    sgt tertarik dgn cara penulisan ustaz….

     
  27. srikandi aqielah

    26 Ogos 2011 at 9:31 pm

    saya nie bnyak dosa…apakah allah ampuni dosa saya

     
  28. srikandi aqielah

    26 Ogos 2011 at 9:32 pm

    saya nk tau bat tp x tau cmne…

     
  29. gentarasa

    29 Ogos 2011 at 10:17 pm

    Salam srikandi,
    Banyak telah diterangkan. Menyesal, kemudian berhenti, dan tidak mengulanginya lagi. Dan terus ‘cover’ dengan amalan-amalan yang baik.

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,165 other followers

%d bloggers like this: