RSS

DENGAN KUALITI JIWA BUKAN KUANTITI HARTA…

06 Mac

Maaf, kiranya saya membuat para pengunjung blog tertunggu-tunggu entri baru. Agak lama juga saya tidak menulis dalam blog ini. Mengerjakan tiga buku serentak, memang menguji ketabahan dan ketelitian. Itulah yang menjadi hambatan saya dalam beberapa minggu ini. Saya cuba selesaikan tiga buku serentak – sebuah yang agak berat dan ilmiah, satu lagi agak santai dan kreatif, manakala yang ketiga pertengahan diantara keduanya.

Insya-Allah, Mukmin Profesional – Celik Mata hati, Nota fikir untuk Zikir dan R & R Rohani akan terbit juga nanti. Cuma ketentuannya di tangan Allah jua. Disamping itu ada satu tugas asas dan teras yang sangat mencabar. Pembaikan dan penambahan nilai untuk modul Penghayatan Amanah dalam Profesyen yang telah dilaksanakan untuk kakitangan Bank Rakyat. Insya-Allah, banyak penambah-baikan akan dilakukan pada pelaksanaan program latihan yang akan datang.Saya bersyukur kerana mendapat banyak doa dan dorongan daripada pengunjung. Itu menguatkan jiwa dan semangat saya untuk terus menulis. Saya sering mengingatkan diri, usaha kita mengingatkan orang lain adalah juga usaha kita untuk memperbaiki diri sendiri. Dijauhkan Allah dari bersifat hipokrit. Walaupun kekadang apa yang diingatkan untuk orang lain, terlupa kita padankan pada diri sendiri. Saya, anda dan kita semua hanya INGIN jadi baik, belum benar-benar jadi baik. Kita insan yang sedang bermujahadah.

Baiklah sahabat dan saudara-saudaraku, kali ini mari kita sama-sama telusuri tulisan yang sangat sederhana ini. Semoga sadara/i ikhlas membacanya, sepertimana saya cuba ikhlas ketika menulisnya. Bacalah… dengan kualiti jiwa, bukan kuantiti harta…

Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa. Semua orang pernah mendengar ungkapan ini. Namun, berapa kerat yang memahami tuntutannya? Dan berpada kerat pula yang telah menunaikan tuntutannya? Ibu-bapa yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah, akalnya sudah lemah, pertimbangannya jadi singkat. Kerenah orang tua sangat menguji anak-anak.

Berapa ramai yang menganggap ibu-bapa yang telah tua sebagai satu liabiliti dalam kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu aset yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Menjaga ibu-bapa yang telah tua, bersabar dalam menghadapi kerenahnya sesungguhnya akan membuka pintu kerahmatan dan keberkatan daripada Allah swt.

Ingatkah lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan kepada kita bagaimana tiga orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua? Masing-masing memohon pertolongan daripada Allah melalui perantaraan (tawassul) amalan mereka. Salah seorang lelaki tersebut telah memohon kepada Allah melalui perantaraan amalannya yang berbakti kepada orang tua… dan pintu gua itu tergeser, petanda bantuan Allah tiba kerana amalannya terhadap orang tua.

Mengapa tidak kini kita gunakan kaedah yang sama? Bukankah banyak permasalahan dan beban hidup yang berat sedang atau akan kita tanggung? Salah satu kaedah untuk mengatasi dan menangani masalah tersebut ialah dengan berbakti kepada orang tua dan menjadikan kebaktian tersebut sebagai perantaraan berdoa kepada Allah. Dengan syarat kita berbuat demikian dengan hati yang ikhlas.

Berapa ramai penulis yang “terbantut” idea dan mindanya, lalu dia mengangkat tangan berdoa kepada Allah melalui perantaraan ketaatannya kepada ibu-bapanya? Atau ahli perniagaan yang dilanda masalah hutang atau merudumnya jualan, lalu istirahat seketika lantas berdoa meminta bantuan Allah melalui budi-baiknya terhadap ibu-bapa? Atau ahli politik yang diserang kiri dan kanan oleh musuh politiknya, mengambil sedikit masa untuk bermunajat kepada Allah melalui amalan baik terhadap kedua ibu-bapanya?

Ingatlah, ibu-bapa yang tua itu adalah satu aset. Kesusahan, kejemuan dan kebimbangan kita sewaktu menjaga mereka sebenarnya adalah mahar kepada sebuah ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Namun sebaliknya, jika mengabaikan mereka itulah yang akan membuka kepada pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan. Benar seperti yang pernah didendangkan oleh lagu lama, “ayah dan ibu wali-wali keramat.”

Ibu-bapa memang “wali keramat” kerana meminggirkan mereka (apatah lagi kalau sampai ke tahap menderhakai mereka) akan menyebabkan hidup kita terhijab (terhalang). Bukan sahaja kita orang awam ini, bahkan orang-orang Soleh sekalipun jika tersalah laku dengan ibu-bapa akan menerima padahnya. Lupakah kita kepada Juraij, seorang yang amat soleh (rajin uzlah dan beribadah) tetapi tertimpa malapetaka fitnah kerana tidak disenangi oleh ibunya.

Gara-gara begitu asyik dengan solat sunat, Juraij tidak menyahut panggilan ibunya. Ibunya sungguh terasa hati menyebabkan dia berdoa agar Juraij ditimpa fitnah. Benar, tidak lama kemudian Juraij difitnah berzina dengan perempuan jahat menyebabkan dia dihina dan disakiti oleh penduduk-penduduk setempat. Itulah bahananya mengecilkan hati ibu. Justeru, dari segi hukumnya, ajaran Islam menetapkan seseorang yang sedang bersembahyang sunat wajib menyahut panggilan ibunya setelah tiga kali panggilan itu diulang. Kenapa? Padahal solat itu hubungan dengan Allah, sedangkan menyahut panggilan ibu bapa itu hubungan sesama manusia? Apakah hak manusia lebih besar daripada hak Allah?

Tidak, bukan begitu. Sebenarnya itu didikan daripada Allah jua, agar seorang anak menjaga hubungan dengan ibu-bapanya semasa berhubung dengan Allah. Taat kepada Allah dan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ada kalanya dirangkaikan dalam ayat-ayat tertentu dalam Al Quran. Ya, jangan sampai mengejar cinta Allah, dengan mengabaikan cinta terhadap ibu-bapa. Yang setepatnya ialah cintailah ibu-bapa kerana mencari cinta Allah!

Bayangkan jika manusia sesoleh Juraij pun boleh ditimpa kesusahan kerana kesalahan yang boleh dikatakan kecil (berbanding kederhakaan anak-anak zaman ini) terhadap ibunya, apalagi kita. Kebaikan kita tidaklah setinggi dan sebanyak Juraij, sebaliknya kesalahan kita terhadap ibu-bapa kita lebih banyak daripadanya… Bila-bila sahaja kita boleh ditimpa malapetaka akibat kederhakaan ini. Dan mungkin kita tidak sedar, malapetaka itu telah pun menimpa kita.

Intai-intai dan telitilah kembali jalan hidup yang telah, sedang dan akan kita susuri ini. Berapa banyak halangan dan hambatan yang datang melanda. Berapa banyak kali kita kecundang? Apa yang dirancang kekadang sering tidak “menjadi”. Malang dan bencana datang timpa menimpa. Dicari sebabnya, dikaji puncanya, seakan-akan tidak terjumpa… mana tahu semuanya bahana derhaka kepada kedua ibu-bapa.

Dosa kita pada yang lain masih adalah istilah nanti dan tunggu. Tetapi dosa kepada ibu-bapa akan dibalas segera dan tiba-tiba. Sesetengah orang, hanya kerana dia telah menghulurkan bantuan ratusan malah ribuan ringgit sebulan kepada ibu-bapanya, dia telah menunaikan tanggungjawab… Jadi apabila ibu-bapanya “bersuara” sedikit, sudah berani dia membentak. Apa yang tidak cukup lagi? Apa lagi yang ibu hendak? Apa lagi yang bapa tidak puas hati?

Ingatlah, wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu membalas jasa atau menebus bakti kedua orang tua kita. Bukan semua perkara dalam kehidupan ini boleh dibeli. Banyak perkara-perkara penting dalam hidup ini tidak boleh dinilai oleh kuantiti material dan fizikal yang kita ada. Antaranya, jasa dan bakti kedua ibu-bapa. Ia hanya boleh “dibayar” oleh kualiti jiwa bukan kuantiti harta.

Maksudnya, budi hanya dapat dibayar oleh budi. Jasa dengan jasa. Budi baik dan akhlak kita yang cantik sahaja dapat menyenangkan hati orang tua pada usia senja mereka. Layani mereka dengan baik, dengarlah cerita mereka (walaupun telah diulang berkali-kali), duduk berbual dengan mereka, membelai atau mengurut badan mereka dan yang paling penting sering menziarahi dan sentiasa berdoa untuk mereka.

Jangan lupa, satu hari kita juga akan melalui apa yang sedang lalui kini. Kita akan mencecah gerbang tua dan mengecap sisa-sisa umur dengan payah dan lelah seperti mereka… bagaimana kita saat itu? Tentukanlah nasib kita itu pada hari ini. Bagaimana? Taat, layan dan belai dengan penuh kasih sayang orang tua kita pada hari ini, insya-Allah anak-anak kita akan mengamalkan sikap yang sama terhadap kita pada akhir nanti.

Cerita dan nasihat ini bukan pertama kali kita dengar… tetapi semuanya diulang lagi kerana kita sering mengabaikan apa yang sering kita dengar. Kita sering menjadi umpama kelekatu yang melanggar lampu yang bercahaya sedangkan di bawahnya sudah begitu banyak kelekatu lain yang terkorban. Berapa banyak ikon anak derhaka dalam cerita rakyat seperti Sitanggang mahupun Malim Kundang yang kita benci dan caci, ironinya kita menjejak mereka tanpa kita sedari.

Sudah dianggap derhaka dengan mendecit perkataan “ah” kepada kedua ibu-bapa. Sudah dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan mereka selepas setiap kali mengerjakan solat. Sudah mengecilkan hati mereka jika sudah lama kita tidak menelefon ataupun menziarahi mereka di kampung… Oh, terlalu banyak kesalahan kita terhadap mereka. Dan apakah ini telah menyebabkan tertutupnya pintu kerahmatan dan keberkatan?

Rezeki banyak, tetapi tidak puas. Umur panjang, tetapi dipenuhi dosa. Masa lapang, tetapi hilang manfaat. Kesibukan yang memanjang, keresahan yang tidak berpenghujung mungkin sedang berlaku dalam hidup kita. Anak-anak degil. Isteri atau suami semakin degil dan tidak serasi… Apakah ini semua kerana dosa kita terhadap orang tua? Apakah Allah sedang murkakan kita?

Jika anda bertanya begitu, sila ulang baca ayat pertama pada awal tulisan ini!

 
35 Komen

Posted by di 6 Mac 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

35 responses to “DENGAN KUALITI JIWA BUKAN KUANTITI HARTA…

  1. innaAb

    7 Mac 2010 at 11:39 am

    salam…Bukan kita tidak tahu tentang kewajipan kepd ibubapa..sbenarnya kdg2 kita ter alpa…dgn tuntutan duniawi….
    Alhmdulilah….tuan mengetuk n tersedar smula yg ntah ke berapa kali….terima kasih….

     
  2. peluncurIslam

    7 Mac 2010 at 11:46 am

    risau jgk takut jd anak yg derhaka…blh sampai masuk neraka… Tapi kena balas jasa…ibu dan bapa…agar mereka tak tersiksa…menanggung derita…daripada anak yg derhaka…

    fikirkan cara untuk rapat dengan mereka…agar mereka tak rasa tersisih sepnjang masa… doakan mereka, ziarah mereka, cium mereka, ucapkan kata-kata yg baik pada mereka… agar kita mendapat redha…untuk menuju jalan ke syurga…

    ====

    jazakallah ustaz…teruskn perjuangan ustaz…
    tak sabar nak dptkan buku keluaran terbaru ustaz… :)

     
  3. ana

    7 Mac 2010 at 3:36 pm

    salam ustaz.
    ana jgk ingn trus bbakti pd ibubp.
    ustaz, bgaimana utk mnegur bapa y agk sukar mnerima pndangan n nsht org lain?
    apa hukumnya ustaz, kalau si anak tidak mngikut kehendak bapa y mminta anknya mbuat pnjmn peribadi di bank utknya sdg dia kgkala sering mnyalahgunakn wang utk bsama kawan2nya?

     
  4. khairuummah77

    7 Mac 2010 at 5:36 pm

    Kami pertubuhan Khairu Ummah memerlukan bantuan untuk menjayakan pembenaan pondok sila layari Blog kami http://khairuummah77.wordpress.com/

     
  5. JHaZKiTaRo

    7 Mac 2010 at 9:08 pm

    entri yg baik & penuh bermakna.. salam kunjung dari bumi Dublin, Ireland.. blog walking mengisi masa terluang.. ada kelapangan, jemput singgah ke blog hamba.. :)

     
  6. abdul rahman ali

    7 Mac 2010 at 10:09 pm

    salam..ust,
    bila dah jadi ibubapa ni baru faham erti ketaatan kepada mereka. tidak mudah nak mendahulukan mereka dari segala2nya. moga2 Allah mudahkan hati ini untuk terus mendoakan kedua ibubapa kita demi mendapat keredhaan mereka.

     
  7. zukri

    8 Mac 2010 at 12:04 am

    salam tuan…just nak minta keizinan untuk linkkan post2 tuan di facebook sy..harap dprkenankan…terima kasih sebagai pendahuluan

     
  8. rozie

    8 Mac 2010 at 2:04 am

    salam ustaz. terima kasih untuk artikel ini..tepat sekali. mungkin ini punca saya dilanda resah gelisah, sedih yang tak berkesudahan..seolah2 dlm keadaan depresi yang teramat. mungkin ibubapa saya kecewa dengan sikap saya sbb tak menunaikan impian dan harapan mereka. saya sering menyalahkan mereka atas jalan yg saya pilih hari ini, walhal saya tahu ianya adalah untuk kebaikan saya juga. saya sering mengingatkan diri untuk tidak meletakkan kesalahan itu pada mereka, namun setiap kali saya merasa susah atau gagal, di bawah sedar, saya seolah2 mempersoalkan semula tentang jalan yg telah mereka pilih untuk saya..semacam tak redha dengan takdir yang telah ditentukan Allah untuk saya.
    bagaimana ya ustaz?
    untuk pengetahuan ustaz, saya merupakan lepasan ijazah perubatan. baru saja bekerja dalam 1 minggu, dan telah pun berhenti disebabkan tidak tahan dengan stress dan belum bersedia untuk menghadapinya. saya kesal dengan sikap sendiri seolah2 seperti kebudak2an.

     
  9. eyma

    8 Mac 2010 at 10:53 am

    Salam Ustaz,

    Alhamdulillah dan terima kasih atas peringatan ihklas dr Ustaz..mintak izin copy..

     
  10. gentarasa

    8 Mac 2010 at 11:09 am

    Salam Dr. rozie,
    Bila Allah bawa kita di situ, Allah akan bawa kita melaluinya. Insya-Allah. Minta redha ibu-bapa, sekalipun mereka benar-benar bersalah, tetapi niat mereka tetap benar dan betul… demi kebaikan anaknya. Saya juga ada anak yang mengambil jurusan perubatan, saya katakan… bersedialah bersusah-susah semasa belajar dan bersusah lagi selepas bekerja nanti. Tetapi pahalanya besar sekali. Jangan fikirkan soal gaji sahaja, tetapi fikirkan amalan yang besar di sisi Allah. Dr., bersyukurlah apa yang Dr. ada sekarang…. Ingat, kita hamba, kita tak dapat semua yang kita inginkan. Jadi? Kalau tidak dapat apa yang kita suka, cubalah suka apa yang kita dapat. Bukan kebudak-budakan, tetapi begitulah kita bila tiba di terminal keliru… Solat Hajat, solat istikharah, pinta petunjuk dan ketenangan dari Allah. Selamat maju jaya Dr.!

     
  11. gentarasa

    8 Mac 2010 at 11:11 am

    Salam Man,
    Susahnya melihat anak-anak susah. Pada kesusahan itu lebih mendidik mereka berbanding kesenangan. Kita teruji dengan anak kita, seperti ibu-bapa kita dulu teruji dengan kita. Doakan man, supaya ana jadi anak yang baik dan ibu-bapa yang baik.

     
  12. gentarasa

    8 Mac 2010 at 11:13 am

    Salam JHaZKiTaRo,

    Syukran atas ziarahmu. Dah pun ziarah ke blog mu. Cantik dan informatif. Jumpa lagi. Teruskan perjuangan!

     
  13. nur adibah

    8 Mac 2010 at 12:51 pm

    salam ustaz,

    terbaca nukilan ustaz ni teringat buku anis keluaran terbaru, bulan mac 2010. “ANAK DERHAKA PETANDA KIAMAT”. teringat jugak progran SEMANIS KURMA yang dikelolakan oleh Dato’ Siti Bahyah dan Ustaz Wan Akashah baru-2 ini. Tajuk nye pun anak derhaka. jemputan Dr Fazley dan ibunya. sedih dengar isu yang hangat diperkatakan.
    Bermuhasabahlah diri agar kita tidak tergolong di dalam golongan ini.

     
  14. Hamba Allah

    8 Mac 2010 at 3:43 pm

    Salam Ustaz.Pada feb 2010 ana diuji Allah dengan kakak yang menghidap kanser, kakak tak ada anak so ana yg jaga kakak kat hospital.Dalam hati ana susahnya tak ada anak,nanti sakit tak ada yang jaga. sesungguhnya Allah Maha Besar,tiap kurniaan ada hikmahnya..ana pun tak ada anak,bila dihospital banyak ana lihat mereka2 yg tak diziarahi anak..bila ana tanya kakak tak ada anak ke?..Subhanallah, ada yang punya anak 5@6 dan ada yg sampai 10 org..tapi ibu @ bapa terlantar dihospital sendiri,harapkan nurse yang uruskan..betul-betul menginsafkan ana..dalam hati ana, ada anak tak semestinya hidup terbela..hati yang benar2 mencintai Allah akan bahagia dunia akhirat..so skrg ana tak sedih sgt sebab Allah tak kurniakan ana anak..pada Allah ana serahkan hidup mati ana…

     
  15. shafifah

    8 Mac 2010 at 6:19 pm

    MAJLIS BERSAMA AD-DAIE ILALLAH
    AL-HABIB MUNZIR BIN FUAD AL-MUSAWA
    Pengasas & Pimpinan Majelis Rasulullah, Jakarta .Kunjungan khusus beliau ke Masjid al-Falah USJ : keterangan lanjut klik : http://pondokhabib.files.wordpress.com/2010/03/munzir.jpg

     
  16. شاح

    8 Mac 2010 at 6:59 pm

    Salam Ustaz.. Huhh.. Akhirnya baru dapat baca blog Ustaz.. Sibuk sangat bila nak menuju ke final ni.. Ibu bapa derhaka pada Anak.. itu entry SOLUSI 16.. Kekadang perlu kita beritahu masyarakat yang digelar ibu atau bapa yang ‘derhaka’ pada Anak ini tentang tanggungjawab mereka sebenar.. Harap mereka tidak melepas tangan dan melepaskan tanggungjawab…

     
  17. شاح

    8 Mac 2010 at 7:41 pm

    Ingin berkongsi Hadis :

    Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Semua dosa2 lain,Allah melambatkn balasannya menurut kehendakNya sehingga hari kiamat,melainkan dosa menderhaka kepada kedua ibubapa maka sesungguhnya Allah akan mempercepatkan balasan-Nya kepada si penderhaka di kehidupan sebelum mati”. -Diriwayatkan oleh Imam Hakim, dari Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu,

     
  18. kasih

    8 Mac 2010 at 10:23 pm

    Salam Ustaz..
    Terkesan dengan artikel kali ini.. memang betul bila ibu bapa meniti usia tua, anak2 lah yang sebenarnya sedang diuji Ilahi. Dan bukan semua anak diberi keupayaan untuk berbakti kepada orang tua. Pada semua anak2 yang berpeluang menjaga dan berbakti kepada orang tua, ambillah peluang itu dan bersabarlah menghadapi karenah mereka sebagaimana mereka sabar menghadapi karenah kita semasa kecil..

     
  19. shah

    9 Mac 2010 at 8:30 am

    Salam, ust. ini kali pertama sy melayari website ust.
    Sangat padat dengan nasihat dan tujuk ajar, sesuai menjadi panduan kepada
    remaja seperti sy yg terkadang malu untuk bertanya.

    Kat sini sy ingin bertanya sesuatu, di mana kes ni jadi pada kawan sy.
    Bagaimana kalau salah seorg dr ibu bapa itu mengambil ringan perintah Allah,
    dan tidak mahu mendengar sebarang pendapat anak-anak. Sebarang pendapat samada yg berkaitan agama mahupun hal-hal lain tidak mahu diambil kira. Bukan ape, kadang2 ibu bapa juga bole silap dalam pertimbangan.

    Bagaimana ye ust.
    Sekian, terima kaseh

     
  20. Fateh

    10 Mac 2010 at 11:20 am

    salam.. tak sabar menunggu kemunculan buku-buku terbaru..

     
  21. ziyana

    10 Mac 2010 at 10:27 pm

    salam ustaz.
    terkenang bonda ayahanda di kampung ketika sy membaca artikal ini..terima kasih. sememang nya mereka tidak mengharap apa2 harta material dari kita… kerana sesungguhnya..KITA ADALAH HARTA MEREKA…jesteru ayuhla kita berusaha menjadi harta mereka yang sebenar-benarnya.

     
  22. hamba allah

    11 Mac 2010 at 1:11 am

    eh ustaz…jgn lupa ustaz..org yg dalam kebenaran ni slalu dibukak hijab meraka untuk melihat perkara2 yg banar dan batil..smoge mendapat cinta tuhan ye ustaz..

     
  23. gentarasa

    11 Mac 2010 at 7:53 am

    Salam hamba Allah,
    Syukran atas ingatan.

     
  24. zaidah

    12 Mac 2010 at 12:53 pm

    Salam ustaz,

    saya mohon maaf tanpa keizinan ustaz saya telah copy tulisan di atas dan emailkan kepada kawan untk sama2 kami renungkan. Harap ustaz izinkan dan maafkan..
    syabas saya ucapkan, saya rasa terlagi2 utk membaca setiap entri ustaz. Tulisan2 ustaz memang penuh penghayatan dan menginsafkan. Semoga ustaz terus dikurniakan ilham dan idea utk terus berdakwah..

     
  25. Ummu Rafiq Raihanah

    12 Mac 2010 at 8:15 pm

    Salam ustaz,
    Izinkan saya berkata sepatah dua untuk “adik rozie”….

    Adik rozie,
    ditakdirkan Allah, kita memiliki permulaan nama yang sama dan juga profesion yang sama: doktor. Adik, renungilah diri, bersyukurlah dgn kejayaan yang telah adik miliki, itulah anugerah Allah untuk anda dan anggaplah ujian2 dalam pengajian dan pakerjaan nanti sebagai suatu anugerah istimewa dari Allah untuk anda…..(bukan orang lain, kerana ramai lagi yg tidak berjaya berada di tempat anda). Anda mempelajari ttg diri manusia, berhadapan dgn mereka yang sakit dan merawat mereka, walaupun penat dan banyak yang terpaksa dikorbankan, di akhirnya awak akan mendapat kepuasan yg tiada tandingannya….ia pekerjaan yg sungguh mulia, bersyukurlah & yakinlah setiap ketentuan Allah pasti ada hikmahnya, semoga berjaya & dekatkan diri dgn Allah…pasti tenang & bahagia….

     
  26. Ummu Rafiq Raihanah

    12 Mac 2010 at 8:44 pm

    Salam ustaz..
    Kisah seorang usahawan yang menceritakan ttg kekhuatiran ibunya sebelum ajal beliau ” siapakah yang akan mendoakan untukmu bila ibu dah tiada nanti…?” di dlm buku “nota seorang lelaki”,amat terkesan di hati saya. Sebagai ibu saya ingin membesarkan & mendidik anak2 dgn sebaiknya agar mereka menjadi anak2 soleh solehah..dan mendapat kebahagiaan di dunia & akhirat…
    Di samping itu terus berbakti & mendoakan ibubapa saya dgn ikhlas…saya kasihkan mereka…walaupun saya tidak dibesarkan oleh mereka….Yang lepas biarlah berlalu…pasti ada hikmahnya..
    Hidup untuk memberi, memberilah dgn penuh kasih sayang… (spt yang sentiasa ustaz ingatkan kami….) hatikan tenang, jiwa pasti bahagia…

     
  27. kukubima

    17 Mac 2010 at 9:21 am

    pengalaman hampir setahun ditinggal isteri benar2 menguji jiwa dan perasaan saya..setiap hari sy berdoa agar dpt kembali keharmonian rumahtangga yg pernah kami kecapi dulu..namun setiap doa yg dilafazkan rasa bagai tiada perkenan dari Allah..

    puas ikhtiar dan usaha dilakukan..namun jalan penyelesaian yg dicari tidak jg jumpe..dirasakan hanya perceraian shj jalan terbaik…

    Alhamdulillah, Allah Maha Pengasih..diperlihatkan kpd sy tulisan ustaz ni…lantas sy gunakan kaedah ‘tawassul’ yg tidak pernah pn sy terfikir sblm ni..

    Terima kasih ustaz..sy dh dpt kembali isteri sy…kami bhgia bersama..
    Alhamdulillah..mdh2an Allah sentiasa memberkati usaha ustaz dlm bermujahadah..

     
  28. hasnah

    19 Mac 2010 at 11:42 pm

    Salam. Terima kasih banyak ustaz. Bukan tak tahu tetapi selalu lupa. Ini mengingatkan diri supaya tidak menjadi derhaka dan berusaha merebut anugerah Allah ini dengan redha ibu yang tercinta.

    Terima kasih sekali lagi.

     
  29. gentarasa

    22 Mac 2010 at 7:26 am

    Salam Hasnah,
    Menjaga ibu-bapa perlu mujahadah yang tinggi. Apalagi ketika sudah tidak mampu mengurus diri sendiri. Tetapi mereka hakikatnya asset untuk mencapai keredhaan Allah.

     
  30. insyirah

    27 Mac 2010 at 12:51 am

    salam ustaz…
    mntak kbnaran untuk share post ustaz nih ye…
    harap dapat di halalkan….

     
  31. kacamata

    30 April 2010 at 8:37 am

    Salam Ustaz.

    minta kebenaran copy ke blog. untuk disebarkan.

     
  32. halman

    21 Jun 2010 at 5:23 am

    Askum Ustaz….
    Saya aku akan cuba melakukan yang terbaik untuk kedua orang tua saya…….Terima kasih ustaz

     
  33. Matahariku

    9 Julai 2010 at 4:15 pm

    saya nak minta izin dari ustaz nak copy entri ni.. nak letak kat fb sebagai renungan..

     
  34. Niee Daud

    21 Julai 2010 at 12:38 pm

    Salam Ustaz. Mohon “share”. Terima kasih.

     
  35. Ruslan

    3 Ogos 2012 at 10:33 am

    Salam ustaz mohon share sebahagian ayat untuk renungan masyarakat..Terimkasih

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,222 other followers

%d bloggers like this: