Looking for Something?

BERHALA BATU VS BERHALA NAFSU

Author:

Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang menjadi pendorong dan pemangkin kepada tulisan-tulisan ini. Dan juga pengunjung blog yang sering memberi kata dorongan.

Saya sentiasa bertanya, untuk apa saya menulis? Namun, jawapan yang sedia di dalam hati sejak dulu sering mengingatkan saya… “aku menulis untuk mengingatkan diri sendiri disamping mengingatkan orang lain.”

Kita sendiri kekadang lambat mendapat manfaat daripada apa yang kita tulis berbanding pembaca. Dan kita harap setelah pembaca mengamalkan, mereka berdoa untuk kita… Begitulah yang pernah dikatakan oleh penulis besar seperti Aid Al Qarni, yang merasakan doa-doa daripada pembaca buku-bukunya lebih bernilai daripada bayaran royalti yang diterimanya.

Saya bukan penulis besar seperti dia… tetapi saya juga mengharap adanya titisan doa daripada orang lain sebagai pencetus hidayah daripada Allah untuk saya yang sedang bermujahadah.

Cukuplah itu sebagai perkongsian rasa. Justeru sebagai manusia, saya juga hendak “didengarkan” setelah selalu “mendengarkan”. Tetapi itu bukanlah cerita peribadi, namun lebih kepada ingin berkongsi. Justeru dalam hidup pembaca sendiri tentu tidak kurang warna-warninya yang dapat dipadankan dengan luahan-luahan ini.

Dan pada kesempatan ini… telusurilah tulisan ini. ia ada detak hati, letusan rasa bila melihat perkembangan semasa. Saya cuba membawa kita jauh semula ke belakang untuk mendepani masalah semasa, kerana sejarah itu sesungguhnya sering berulang. Nikmatilah… BERHALA BATU VS BERHALA NAFSU

Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan mencintai-Nya. Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan takut kepada-Nya. Sedangkan cinta dan takut kepada Allah itu sumbu dan mber kebaikan dalam hidup di dunia ini. Tanpa cinta Allah, manusia tidak akan dapat mengasihi sesama manusia. Tanpa takut kepada Allah, manusia tidak akan dapat dikawal kejahatan dan kelicikan tipu dayanya.

Orang yang mencintai Allah akan lunak, mesra dan sayang kepada sesama manusia. Kerana apa? Kerana Allah menyuruhnya berbuat begitu. Iman kepada Allah adalah asas dan teras untuk berkasih-sayang. Justeru, Rasulullah saw mengingatkan, tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Iman dan kasih sayang itu bagai irama dan lagu – keduanya tidak dapat dipisahkan. Teguh iman, kukuh persaudaraan.

Tidak ada kebaikan kepada Allah melainkan melalui kebaikan sesama manusia. Memberi salam kepada orang lain mengundang kesejahteraan daripada Allah. Menziarahi saudara kita akan dilimpahi kasih-sayang Allah. Membantu menyelesaikan masalah seseorang, Allah janjikan untuk menyelesaikan masalah kita. Tidak ada dikotomi antara hubungan Allah dengan hubungan sesama manusia. Keduanya saling berkaitan dan berdekatan antara satu sama lain.

Lalu, apabila kes dera bayi dan penzaliman terhadap kanak-kanak kembali berleluasa dalam masyarakat kini dan kita ditanya apakah puncanya? Apalagi jawapannya kalau bukan kerana manusia tidak kenal Allah. Tidak kenal Allah menyebabkan kita tidak cintakan Allah. Dan bila tidak cintakan Allah, maka lunturlah kasih-sayang terhadap manusia. Itulah punca dera.

Pada hal Islam menekankan kasih sayang bukan sahaja kepada manusia malah kepada tumbuhan dan haiwan. Pada musim haji, para jemaah dilarang merosakkan pokok. Pada waktu berperang tentera Islam dilarang menebang pokok yang berbuah. Hutan jangan dipugar dengan mengetepikan kelestarian alam, itu haram. Itu kasih-sayang kepada tumbuhan.

Manakala pada haiwan pula… pernah Rasulullah saw bersabda, akan seseorang yang dimurkai Allah kerana mengurung kucingnya tanpa diberikan makanan. Pisau untuk menyembelih binatang sangat perlu ditajamkan. Dan nabi Muhammad sangat melarang umatnya menyeksa binatang. Unta dan keldai jangan dibebani dengan bebanan yang berat sehingga melebihi kemampuannya menanggung.

Orang yang cinta Allah, akan mencinta makhluk-Nya. Orang yang mencintai makhluk yang di bumi, akan dicintai oleh makhluk yang di langit. Dan begitulah sebaliknya, jika orang tidak cintakan Allah, dia akan membenci makhluk-Nya. Bila dia membenci apa yang di bumi, akan mengutuknya apa yang di langit.

Mengapa ada manusia yang sanggup mendera bayi dan kanak-kanak kecil? Mengapa mereka tergamak berbuat demikian? Sedangkan harimau yang ganas itu pun tidak mendera anaknya? Apakah manusia lebih ganas daripada haiwan? Apakah ada insan yang lebih kejam daripada binatang?

Jawabnya, ya! Bila manusia tidak kenal Allah, manusia akan jadi lebih ganas daripada haiwan. Pada skala yang makro, lihat bagaimana bom atom, senjata kimia dan nuklear telah membunuh ribuan, malah jutaan manusia. Manusia yang dibunuh manusia lebih banyak daripada manusia yang dibunuh oleh haiwan ganas. Tidak syak lagi, manusia lebih ganas daripada harimau, singa dan buaya!

Pada skala mikro, betapa banyak bayi atau anak-anak kecil yang dibuang, didera malah dibunuh oleh ibu-bapa, jiran atau manusia yang durjana? Padahal mengurung kucing tanpa diberi makan pun sudah dimurkai Allah, inikan pula menendang, memijak dan mencekik bayi dan kanak-kanak. Mengapa manusia kembali ke zaman Jahiliah, yakni ketika umat Arab membunuh bayi-bayi perempuan mereka?

Tentulah kerana hati manusia yang mendera itu sama dengan hati orang Arab jahiliah. Hati yang karat dengan berhala. Jika dahulu manusia menyembah berhala batu kini manusia (yang beragama Islam) menyembah berhala nafsu dalam diri sendiri. Nafsu menyebabkan hati nurani menjadi rapuh dan kotor. Nafsu menjadi penjana sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, pemarah, rakus, dendam, gila dunia, cinta nama dalam diri manusia. Dan bila mazmumah sudah bertakhta, kasih sayang dan cinta sesama manusia akan sirna.

Kata orang, kemiskinan menjadi satu tekanan dalam diri ibu-bapa sehingga tega mendera anaknya. Tetapi Siti Fatimah dan Sayidina Ali juga miskin tidak sampai mendera anaknya Sayidina Hasan dan Husin. Kata pengkaji lagi, kerana manusia moden sering terancam, maka mereka sendiri bertukar menjadi pengancam… tetapi sejarah hidup sahabat-sahabat Rasulullah memaparkan hakikat sebaliknya.

Pernah seorang sahabat Rasulullah saw dijadikan tawanan dan menunggu masa untuk dihukum mati. Menjelang hukuman mati, Sayidina Khubaib meminta pisau untuk merapikan janggut dan misainya… Pisau itu diberikan kepadanya. Namun entah bagaimana, seorang anak kecil dari kaum Kafir Quraisy telah pergi berhampiran dengan Khubaib dan bermain-main dengannya.

Setelah menyedari hal itu, kaum Quraisy gempar dan berlari mendapatkan demi menyelamatkan budak tersebut. Mereka merasakan Khubaib pasti akan mencederakan anak kecil kaum yang akan membunuhnya nanti. Atau setidak-tidaknya menjadikan anak itu sebagai tebusan untuk menyelamatkan diri…

Apakah itu yang dilakukan Khubaib? Tidak, beliau tidak mencederakan sedikit pun anak itu kerana dalam hatinya ada iman. Subur iman, maka bersemilah kasih-sayang. Dan kasih sayang tidak akan tega membiarkan pemiliknya membenci apalagi mendera atau menyeksa sesama manusia. Itulah yang ada di dalam hati Khubaib, dan itulah yang tidak ada dalam hati para pendera masa kini.

Bagaimana mengatasi masalah penderaan sesama manusia? Tidak ada lain, melainkan setiap diri perlu kembali mengenali dan mencintai Allah. Mungkin jawapan ini pun sukar diterima memandang umat Islam telah pun belajar tentang persoalan iman – percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat dan lain-lain rukun Iman di sekolah. Namun mengapakah masih berlaku kejahatan dan kemungkaran termasuk masalah penderaan ini?

Amat besar bezanya antara tahu dan kenal. Tahu itu di akal, kenal itu di hati. Ramai orang yang tahu Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan sebagainya tetapi sedikit sekali yang benar-benar kenal akan sifat-sifat kesempurnaan Allah itu. Jika kita hanya tahu Allah Maha melihat tidak akan benar-benar mendorong manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Tetapi apabila manusia kenal sifat-sifat Allah, barulah dia merasa Allah melihat, mendengar dan sebagainya.

Hanya apabila seseorang merasa Allah melihat, mendengar, mengetahui dan sebagainya, barulah dia akan dapat menegakkan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dalam hidupnya. Untuk mengetahui sifat-sifat kesempurnaan Allah cukup dengan belajar. Tetapi untuk mengenal dan merasainya, tidak cukup dengan belajar… kita perlu lebih daripada sekadar itu.

Bagaimana? Imam Ghazali r.h.m telah menjawab pertanyaan hati anda dan saya melalui katanya:
“Cara menambahkan keyakinan itu bukanlah dengan mengajar keterampilan berdebat dan berhujah akan tetapi caranya adalah menyibukkan diri dengan membaca Al Quran dan tahfiznya, membaca hadis dan maknanya serta sibuk dengan tugas-tugas ibadah. Dengan ini akidah anak-anak akan bertambah kukuh…”

Hanya dengan itu barulah berhala nafsu dapat ditumbangkan. Dan hanya dengan itu penderaan sesama manusia dapat dihapuskan. Jika tidak, percayalah penderaan akan terus berleluasa. Anak-anak didera oleh ibu-bapa atau orang dewasa, buruh didera oleh majikan, pengikut didera pemimpin… dan sikaya terus mendera simiskin.

Feedback

19
  • naimul firdaus

    sekadar perkongsian, mari kita renungkan ini,
    “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya) dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah) dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.” Al-Baqarah Ayat 96

  • balqiszafira

    salam ustaz..syukran atas buah tangan baru dari ustaz…
    sesungguhnya saya sentiasa menantikan kata-kata,pandangan dan nasihat ustaz dalam menilai kembali diri saya dan hidup saya.
    nukilan ustaz tidak menghampakan saya.alhamdulillah,sedikit sebanyak saya mendapat ilmu melalui tulisan….
    syukran ustaz.
    saya berdoa agat Ustaz sentiasa dirahmati Allah dan dikuatkan semangat untuk menulis tanpa jemu demi mejaga kemaslahatan umat.Wallahu’alam.

  • siti zainab

    Dalam kegundahan dihimpit kesedihan dan gundah gulana saya cuba mencari kata2 hikmah untuk menenang perasaan ini.
    Alhamdulillah saya temui website ini, ianya telah mengetuk pintu hati saya untuk musabah diri dan dan membaiki diri agar menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan bersabar ujian Allah – tidaklah ALLAH memberi ujian kepada hambanya dengan sia2

  • Nurr Iman

    Salam ustaz..
    Syukran atas perkongsian kali ni.
    Alhamdulillah dgn ilham dari Nya..
    Kami doa kn ustaz terus dikurniakan buah2 idea utk menjadi santapan rohani ustaz dan kami.
    Insya Allah..

    “Tahu itu di akal, kenal itu di hati. Ramai orang yang tahu Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan sebagainya tetapi sedikit sekali yang benar-benar kenal akan sifat-sifat kesempurnaan Allah itu. Jika kita hanya tahu Allah Maha melihat tidak akan benar-benar mendorong manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Tetapi apabila manusia kenal sifat-sifat Allah, barulah dia merasa Allah melihat, mendengar dan sebagainya.”

    Perenggan ni sgt menarik bg saya..
    Muga menjadi ilmu y diamalkan bukan sekadar maklumat.
    Peringatan bwat semua dan terutamanya diri sendiri~

    Jazakallah

  • zamri

    salam ustaz, mmg benar ustaz apa yg di bicarakan dlm tulisan ustz. Keganasan lahir dari hati yg tak ada sifat ikhsan dan belas hasil dr kurang kenal dan cinta Allah.

    teruskan ustz menulis biarkan penulisan ustz dpt memberi input yg berguna pd kami semua…

  • kasih

    Salam Ustaz..
    Buah tangan kali ini amat menarik.. Jazakillaah… memang betul, apabila nafsu menjadi raja, manusia akan buta matahatinya.
    Mudah2an kita semua diberi petunjuk oleh Allah dan diberi kekuatan untk bermujahadah melawan nafsu…

  • siti hani

    salam, ustaz, rasanya agak lama saya tidak meninggalkan jejak di sini, saya membaca tulisan dan lakaran hati dan akal ustaz, saya meneliti hujahan-hujahan yang ustaz berikan, saya menggabungjalinkan maya dengan realiti, hasilnya saya mendapat sesuatu yang amat berbeza: fikrah yang orang jarang-jarang jumpa. Cukup sekadar melihat dan membaca tajuknya sahaja. Tajuk yang amat pendek, namun maksudnya amat dalam!

  • zaidah

    salam ustaz,
    moga ustaz terus-trusan di beri idea dan ilham utk menulis. seperti kata ustaz orang yang cinta Allah akan sayang sesama manusia dah makhluk ciptaanNya..masalah sosial sekarang sebab ramai umat Islam yang dah jauh tersangat jauh dr Allah..apatah lagi utk mencintai Allah.
    terima kasih ustaz atas tulisan yang menarik ini..tulisan yang mengingatkan saya berbuat baik sesama insan , memudahkan urusan orang lain, Allah akan pasti memudahkan urusan kita..
    semoga ustaz dan famili dilindungi Allah selalu.

  • hasnah

    Salam. Gemar membaca tulisan-tulisan ustaz yang mengingatkan dan menyedarkan saya. Selalu menunggu-menunggu tulisan terbaru. Anak saudara saya yang masih remaja juga tertarik dengan tulisan ustaz selepas baca buku Nota Hati Seorang Lelaki.
    Moga ustaz dan kelauarga dirahmati Allah sentiasa

  • sakina

    salam ustaz…stiap buah fkiran ustaz sgt sy tggu…smoga ustaz trus hasilkan penulisan yg sgt bagus untuk djadikan pedoman stiap pembaca…
    sy berdoa semoga ustaz mndpt rahmat dan hidayahnya dan trgolong di kalangan org2 yg Dia cintai

  • taufiq razif

    SALAM Ustaz,

    benar ape yg tlah ustaz nukilkan sebelum ni (perubahan harus dari ‘dalam’ ke ‘luar’)..

  • umat

    Salam….
    Alhamdulillah…. Selayaknya puji hanya bagiNYA…
    Syukran atas hikmah yang ustaz sampaikan dalam artikel…
    Sesungguhnya orang yang beriman itu melihat dari pandangan mata hati kan…
    Moga Allah berkati ustaz sekeluarga..
    Jazakallah…

  • kemboja

    Assalamualaikum wbk..mengenal Allah itu perlu dtg dr jiwa yg tulus dn ikhlas..bila kita kenal Allah segalanya akan menyusul..Allah tolong kita dalam apa jua situasi justeru berpeganglah pada Tali Allah..

  • abdul rahman ali

    salam….ustaz, payah betul nak buat perkara2 ni ;

    -nak latih bersusah-susah untuk menyembah ALLAH setiap masa

    -nak programkan menjaga waktu solat setiap hari

    -nak selesaikan urusan dengan ALLAH sebelum selesaikan urusan sesama insan

  • gentarasa

    Salam,
    Kesusahan itu memang sunnahnya. Jika ada anggota keluarga, sahabat yang seiya sekata… insya-Allah agak dipermudahkan. Ketika kita lupa, mereka akan mengingatkan. Ketika kita ingat, mereka membantu.

  • nieza

    salam ustaz, pengisian yang sangat bermakna.. mintak izin link di fb saya..

  • gentarasa

    Salam nieza,
    Silakan… Syukran.

  • raja amalina

    salam..syukron ats pengisian yg bermakna..
    ustaz, mntk izin utk petik tulisan ustaz sedikit sebyk utk buat risalah..

  • badrunnaim

    syukran ustaz, perkongsian yang sangat baik untuk bulan ramadhan ini..izinkan untuk ana ambil untuk kongsikan pada forum bersama adik2 di sekolah..wallahu ‘aalam

Leave a Reply

%d bloggers like this: