Looking for Something?

MEMORI UNTUK KAKEK

Author:

Sungguh terasa mendapat satu penghormatan apabila sahabat saya, Editor Zakaria Sungip dari Galeri Ilmu Sdn. Bhd. menawarkan saya menulis kata penghantar untuk buku memoir guru penulisan saya Pak Cik Nora. Tanpa membuang masa saya menulis… cepat dan seadanya sahaja. Terasa ingatan dan katameluncur bagaikan air daripada sumur kenangan yang tidak pernah kering.

Lalu Pak Cik, di pagi Jumaat ini… ku genggam sebuah doa untuk mu. Semoga kau berbahagia di dunia dan di akhirat nanti. Amin. Pak Cik minta maaf, jika anak Pak Cik ini tidak pandai mengenang budi… Namun, doa untuk Pak Cik sentiasa saya panjatkan, walaupun saya sedar siapalah saya insan yang berdosa yang sedang jatuh bangun dalam mujahadah ini.

Untuk saudara/i pengunjung blog ini, terimalah genta rasaku… buat seorang guru…Memori untuk Kakek (dengarnya buku  DI TENGAH KOTA – MEMOIR SASTERAWAN NORA – ini akan dijual di Pesta Buku KL yang sedang berlangsung sekarang).

Saya masih teringat ketika kali pertama menyerahkan hasil tulisan kepadanya. Saya begitu malu dan takut-takut. Namun semuanya hilang apabila beliau bersuara mesra, “Oh, penulis muda. Orang muda boleh pergi lebih jauh.” Tanpa banyak bicara, beliau terus “mengerjakan” tulisan saya dengan cepat dan cermat. Tanda-tanda merah sewaktu dia menyunting tulisan saya tercalit di sana sini. Saya lihat betapa pengalamannya memberi satu kebolehan yang begitu menakjubkan. Saya sebagai penulis yang baru bertatih melihat bagaimana beliau membetulkan, memperkukuhkan dan merapikan tulisan saya. Kosa katanya, perbendaharaan istilah dan kerapiannya menyusun ayat dan perkataan sungguh mengagumkan.

Itulah detik awal perkenalan saya dengan Pak Cik Nora – seorang penulis, sasterawan dan penyair yang kaya dengan pengalaman. Dan hasil bimbingannyalah cerpen pertama saya tersiar dalam media massa pada waktu itu. Saya tidak dapat bayangkan betapa gembiranya waktu itu apabila cerpen Derap Kasutnya tersiar. Bukan gembira kerana cerpen itu, tetapi gembira kerana seorang yang telah “bernama” sepertinya sudi menyunting bahkan memberi judul baru kepada cerpen saya itu.

Ramai penulis yang dikagumi tulisannya, tetapi apabila kita mula bercakap dan bergaul dengannya, kita kecewa. Apa yang indah dalam tulisan, tidak indah dalam pergaulan. Padahal hakikatnya penulis “menulis” dirinya. Namun alhamdulillah, saya tidak menemui hal ini pada Pak Cik Nora. Beliau seorang yang sangat mudah mesra dan dimesrai. Walaupun agak jauh juga jurang usia antara saya dengannya, beliau bergurau, berjenaka dan mengingatkan seolah-olah kami sebaya. Yang membezakan hanyalah janggut dan misainya yang telah memutih sejak pertama kali kami bertemu.

Pak Cik Nora amat komited dengan tugasnya. Dia datang tepat ada waktu dan terus-terusan menepati deadline yang diamanahkan kepadanya. Saya masih ingat bagaimana kami sering berkongsi kegembiraan apabila beliau membawa kuih koci special yang dibuat oleh Mak Cik Maznah (isteri beliau) ke pejabat untuk kami makan bersama. Insya-Allah, seingat saya hingga kini saya belum merasai kuih koci yang lembut, enak dan cantik rupanya seperti kuih koci yang dibawakan oleh Pak Cik Nora.

Bayangkan hubungan semesra itu ketika beliau membetulkan tulisan, menegur ketepatan istilah dan frasa yang tersasar. Saya sungguh bertuah kerana dididik oleh orang sepertinya. Kerap saya dengar penulis yang baik dan “besar” dididik secara dihenyak dengan makian, tulisannya dikeronyok dan dibakulsampahkan, malah diherdik dengan carutan, tetapi semua itu tidak pernah saya alami bersama Pak Cik Nora.

Beliau begitu lembut, penuh kemesraan dan santai dalam menghadapi kerenah saya dan beberapa orang lagi tenaga muda yang bekerja bersamanya. Adakalanya saya memanggilnya dengan gelaran ‘kakek’ (maksudnya datuk, bahasa yang digunakan sebagai gantinama dirinya dalam sebuah sajak). Dia mendorong dan menegur sambil bergurau dengan menggunakan kalimah-kalimah puitisnya. Kebanyakan buku awal tulisan saya, dialah yang menggiatnya.

Saya masih ingat Pak Cik Nora sangat sinonim dengan sajak atau tulisan yang mengingatkan tentang mati. Boleh dikatakan sajak-sajak tentang kematian hasil nukilan beliau sangat memberi kesan kepada diri saya. Mungkin kebanyakan orang lebih terkesan dengan sajak Sakaratul Maut yang tersohor itu, tetapi secara peribadi saya sangat terkesan dengan sebuah sajak yang beliau tulis untuk mengingati kepulangan seorang sahabat kami, seorang kartunis (seingat saya Allahyarham Rosli yang lebih dikenali sebagai Ali Sufi). Saya menangis teresak-esak apabila membaca tulisan itu.

Bayangkan Allahyarham Ali Sufi meninggal dalam usia muda. Anak sulungnya masih kecil; baru beberapa bulan sahaja usianya. Dan pada hari kematian itu, Pak Nora menulis sebuah sajak untuk anak Allahyarham yang bernama Muhammad Khubaib (sempena nama seorang sahabat Rasulullah SAW yang mati syahid). Saya masih ingat lebih kurang bait-bait sajak yang sangat menyentuh rasa itu:
“Khubaib …
Mungkin ketika kau mampu membaca sajak ini …
orang tua penulis sajak ini sudah tidak ada lagi di dunia ini!”

Saya menangis. Apabila melihat kematian sahabat terapat, dia merasakan kematiannya sendiri sudah dekat. Namun Allah Maha Pengasih, saya kira kini Muhammad Khubaib telah dewasa dan mampu membaca tulisan yang ditujukan untuknya. Dan penulis sajak yang hiba itu pun masih bernafas di bawah rimbunan kasih sayang Allah hingga kini. Allah mengurniakan umur yang panjang untuk Pak Cik Nora untuk terus menulis lagi, walaupun hingga ke satu takah beliau mengakui tintanya telah “lesu”.

Umur yang panjang dan berkat pula adalah antara doa yang sering dipanjatkan oleh para salafussoleh kepada Allah. Umur yang panjang dalam ketaatan, tentunya lebih baik daripada umur yang pendek dalam ketaatan. Tentu ada hikmahnya Allah menentukan begitu pada seorang sasterawan Islam seperti Pak Cik Nora.

Bagi saya Pak Cik Nora adalah Tokoh “Sasterawan Agama” yang terus-terusan mengalirkan tintanya untuk dakwah dan tarbiah. Sesungguhnya, hitam dakwat penulis dan merah darah mujahid, sentiasa membajai tanah perjuangan untuk membina keagungan dan kemulian Islam zaman-berzaman. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa Pak Cik Nora adalah bukti bahawa tidak semua penyair lalai seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam surah asy-Syu’ara.
“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.” (Asy-Syu’ara: 224)

Penyair yang ingat Allah, beriman dan punya iltizam yang tinggi seperti Pak Cik Nora mungkin tidak disanjung dan dijunjung oleh pelbagai anugerah dan gelaran … namun mata hati orang yang cintakan Islam, sekali-kali tidak akan terlepas pandang!

Telah lama saya tidak bertemu mata dengannya. Cabaran dan ujian hidup kekadang seperti ombak di lautan. Walaupun setiap kapal menuju pelabuhan yang satu, kekadang terpisah jua walaupun bukan itu kehendak jiwa. Saya tidak pernah melupakannya … malah ketika saya berada di daerah yang sangat terasing dan terpinggir, saya ada menulis sebuah sajak mengenangkannya. Namun sajak itu hanya jadi cacatan di sebuah buku nota sebagai satu simpanan sepi yang terlalu peribadi.

Namun percayalah, apa yang saya tulis untuknya … adalah yang baik-baik. Pak Cik Nora layak untuk dihargai sama ada di pentas terbuka mahupun di kamar hati secara tersembunyi.

Setiap penulis ada resah. Setiap penyair ada gelisah. Namun resah dan gelisah itu tidak akan mengganggu aliran tinta yang meluahkan mutiara kata. Bahkan resah dan gelisah itulah yang menjadi sumur ilmu dan telaga idea untuk terus mencipta. Pak Cik … kudengar desahmu dari jauh, tetapi tetap kunikmati karyamu dari dekat. Pak Cik Nora tetap menjadi umpama karang di dasar lautan yang tidak terusik dilanda badai di permukaannya – beliau terus menulis dalam gerimis nestapanya. Sesungguhnya, ujian itu adalah baja untuk beliau terus merintih tanpa letih kepada Allah.

Teringat kata-kata sufi yang didengar sejak dulu:
Kekadang Allah menyempitkan
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
Kekadang Dia melapangkan
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!


Lalu pada satu pagi ketika Editor Zakaria Sungib menghubungi saya untuk menulis sesuatu sebagai kata-kata penghargaan untuk buku beliau Di Tengah Kota: Memoir Sasterawan Nora ini, saya tidak mempunyai sebarang alasan untuk menolaknya. Saya rasa dihargai kerana diberi peluang untuk menghargainya.

Pembaca bukan hanya membaca fakta, cerita dan kenangan, tetapi mereka akan membaca detak rasa, limpahan pengalaman dan sama-sama merasai bahang keyakinan menerusi himpunan tulisan Pak Cik Nora yang sarat dengan nilai dakwah dan tarbiah. Sesungguhnya Pak Cik Nora bukanlah penyair yang mewakili dirinya secara peribadi tetapi beliau adalah suara generasi tua yang tetap muda, segar dan bertenaga oleh roh keislamannya.
Temuilah roh ini dalam setiap kisah, sajak dan memoir yang dianyam begitu tulus dan telus dalam buku ini. Susuri pengalamannya sebagai lampu suluh dalam kembara hidup anda sebagai seorang insan yang menuju Tuhan. Kematian yang sering disebut-sebutnya adalah obor kehidupan yang lebih bersih, tenang dan harmoni. Justeru beliau benar-benar yakin, hidup hanya akan mampu dijalani dengan tenang dan berani apabila kita sentiasa bersedia untuk mati … .

Entah dia yang pergi dahulu sebelum kita atau kita yang pergi dahulu sebelumnya … namun memoir tulisannya ini sesungguhnya akan terus hidup untuk memberi cahaya kepada hati generasi kini yang semakin “mati”. Benarlah apabila hukama berpesan, “Apa yang kau beri akan terus hidup setelah mati, sedangkan apa yang kau terima akan terhenti dengan tibanya saat kematianmu.”

Dengan lahirnya buku ini, Pak Cik Nora telah menunaikan satu amanah yang kerap diwasiatkan oleh hukama:
“Lakukanlah sesuatu yang terus hidup setelah kamu mati!”

– Pahrol Mohd Juoi

Feedback

19
  • rina

    alhamdulillah…

  • dinilhayah

    salam…ustaz….

    tersentuh juga…baru membaca tentangnya..ingin mengenali lebih lagi…

    Teringat kata-kata sufi yang didengar sejak dulu:
    Kekadang Allah menyempitkan
    Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
    Kekadang Dia melapangkan
    Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
    Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
    Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
    selain-Nya!

    manusia selalu perlu untuk diingatkan….

    kadang-kadang bila jatuh…rasanya sukar untuk bangun kembali…

    syukran ustaz…penulisan membina…terima kasih Allah!

    Semoga Allah terus membantumu dalam medan dakwah ini..

  • kasih

    Salam Jumma Mubarak buat semua..
    ‘Lakukan lah sesuatu yang terus hidup setelah kamu mati..’
    Benarlah, ‘Apbila meninggalnya anak anak adam, hanya 3 yang tinggal, anak yang soleh, ilmu yg bermanafaat dan sedeqah jariah..’
    Semoga Ustaz terus diberi kekuatan untuk menyumbang demi manafaat insan sejagat..

  • Siti Hajar

    Assalamualaikum Ustaz.

    Sy masih ingat kenangan Kakek baca sajak waktu pementasan Nada Murni dan selalu berjumpa dgnnya di SP,waktu umur sy 7thn.mmg sy ingat sampai skrg kehebatannya.Dialah satu2nya kakek yg penah sy kenal sepanjang hidup sy:)

  • abdul rahman ali

    salam..ust,

    tahniah !!! diatas usahakerja ust ni..moga2 sastrawan agama akan terus dijadikan rujukan oleh masyarakat kita didalam memahami erti seni2 kehidupan yang Allah tunjukan setiap saat dan ketika.

    mereka telah dianugerahkan jiwa yang sensitif dan halus didalam memahami setiap perjalanan kehidupan…tiada lagi nas dan hadish baru, diharapkan moga2 mereka yang jiwanya suci murni inilah yang sedikit sebanyak mampu untuk menterjemahkan sunnahtullah yang terbit setiap saat dan ketika sepanjang zaman.

  • cikgu_eya

    Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa Pak Cik Nora adalah bukti bahawa tidak semua penyair lalai seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam surah asy-Syu’ara.
    “Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.” (Asy-Syu’ara: 224)

    Sungguh, ayat tersebut mungkin lebih banyak makna tersirat… Bukankah zaman Rasulullah, syair dilawan dengan syair juga? .. ^^

    Saya sungguh terkesan dengan buku Tuan … Nota hati seorang lelaki

  • khairunisa

    Salam Ustaz.. tersentuh baca nukilan ini,terus terang selama umur saya 24 thn ni,baru kali ini saya dengar nama pakcik nora,sasterwan yang banyak menabur jasa lebih2 lagi untuk tegakkan Islam,sayang sebab rasanya tidak ramai yang kenali dia..lagi2 pelajar2 sekarang..kalola buku2 pakcik nora dapat diterapkan dalam kokurikulum sekolah2 pasti cantik..
    untuk mengenali lebih lanjut mengenai penulis emas ini,sempat saya browse info di internet,terjumpa satu blog menceritakan mengenai pakcik nora juga..teruja saya untuk share…http://www.abunyer.com/?p=109
    juga di blog itu disertakan akaun number pakcik nora,saya kira sebagai insan tak salah hulurkan sedikit rezeki untuk mengurangkan beban pakcik nora..
    Wallahualam…

  • gentarasa

    Salam khairunisa,
    Syukran. Barakallahu fik atas respons.

  • ibunoor

    Salam ziarah ustaz…minta izin untuk saya letakkan ‘link’ laman web ini ke dalam laman web saya ya. Minta maaf kalau bahasa saya tidak menyenangkan ustaz. Baru hendak mengenal dunia penulisan.

  • gentarasa

    Salam ibunoor,
    Terima kasih atas kesudian ziarah. Dan sudi bekerjasama untuk berdakwah di alam siber ini.

  • gentarasa

    Salam sahabatku,
    Maaf hujung minggu terlalu sibuk… sabtu menguruskan mak mertua yang sakit terlantar, kemudian ke IJN hadapi abang ipar yang di CCU. Berdepan dengan orang sakit, menyebabkan kita menghargai nikmat sihat. Akibatnya, perancangan untuk kita bertemu jadi tergendala. Sebab di tengah-tengah kesibukan itu, terlupa pula ada cermah yang perlu diisi di Kolej Kris Mas di UKM. Ana sangat-sangat mohon maaf, kerana tak dapat meraikan sahabat ketika di KL. Hampir setiap masanya ana off kan handset kerana ada di hospital. Maaf Man… Doa untuk anta dan keluarga. Ana sangat menghargai keprihatinan dan sokongan anda yang tidak berubah-ubah… walaupun zaman telah berubah. Syukran. Barakallahu fik.

  • yusofsmart

    Buku DI TENGAH KOTA sudah berada di booth galeri ilmu B 01 mulai 24/03/10 (rabu).

  • gentarasa

    Salam Suf,
    Terima kasih kerana kerjasama dan keprihatinan.

  • betik_muda

    salam ustaz…menghargai bukan untuk difargai…tapi saya menghargai buah fikiran ustaz..syukran

  • Mawar

    Sdr Pahrol,
    saya mengikuti tulisan sdr, terima kasih kerana ia kerap meneduhkan. saya juga membaca cerpen Pak Nora. mungkin ada yang keliru Pak Nora dengan Alis Murni (Prof USM). kedua-duanya Ali Hj Ahmad, orang Johor dan sasterawan.

  • gentarasa

    Salam Mawar,
    Syukran kerana menggunakan nama panggilan “saudara” buat saya. Sebenarnya terus-terang saya lebih selesa dipanggil saudara daripada ustaz. Saya tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama. Saya hanya pendakwah… Ya, Pak Cik Nora bukan Prof USM. Baca bukunya itu. Insya-Allah, banyak pengalamannya. Syukran Mawar.

  • muhammad khubaib bin rosli

    slm ustz.. ana khubaib. n ana yakin khubaib yg ustz maksudkan tu ana.. ana nk sgt jumpa dgn pak nora.. ustaz ada contec num?

  • klahsutera

    Syukur masih ada penulisan santapan jiwa yang dapat memberi bekas untuk sama sama dihayati. Bukan mudah
    bagi saorang manusia itu dengan rasa kemanusian…untuk mendidik manusia lain menjadi manusia sejati…

  • Raihah

    Sumber inspirasi hidup saya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: